Sumbangan
Panel Anugerah Sastera Negara dalam kritikan sastera Malaysia belum lagi dikaji
secara ilmiah walaupun Panel itu sudah wujud lebih dari 30 tahun. Sejauh mana
Panel itu telah berjaya memberi arah yang betul dalam kritikan sastera
Malaysia? Pada hemat saya, Panel itu
telah gagal memberi arah yang betul itu; sebaliknya Panel itu hanya menjadi
jurucakap dan pelindung sastera Barat yang ditulis dalam bahasa Melayu. Jika
andaian ini benar, adakah kita perlu meneruskan kewujudan Panel Anugerah
Sastera Negara? Di sinilah timbul reaksi yang menarik: Mengapa anda perlu
menyibukkan diri mempersoalkan kewujudan Panel Anugerah Sastera Negara? Pada
hemat saya, reaksi ini bersifat reaksioner dan tidak sepatutnya timbul setelah
kita mempunyai berpuluh buah universiti yang mengajar sastera dengan beribu
profesor dan sarjana sastera, yang kesemuanya memperjuangkan kebebasan bersuara
dan kebebasan memberi kritikan. Dalam penelitian saya, kewujudan Panel Anugerah Sastera Negara telah memberi kesan negatif
dalam perkembangan ilmu. Paling utama dalam persoalan ini ialah: Apakah konsep ilmu yang menjadi pegangan
Panel Anugerah Sastera Negara? Seperti yang dibayangkan di atas, Panel menjadi
pelindung sastera Barat dalam bahasa Melayu dengan menjadikan teori dan
nilai-nilai sastera Barat sebagai ukuran dalam menentukan siapa yang patut dan
layak dijadikan sasterawan negara. Adakah ini yang kita perlu kembangkan dalam
kesusasteraan Melayu moden? Tidak adakah alternatif lain yang lebih baik dan
lebih sesuai dengan semangat tamadun bangsa Melayu? Untuk soalan kedua ini,
jawapan yang diberikan ialah bahawa kewujudan kesusasteraan Melayu moden
bergantung seluruhnya kepada teori dan nilai-niai sastera Barat yang menjadi
ikutan dan panduan para sasterawan dan para sarjana sastera Melayu selama lebih
dari 80 tahun. Kata mereka, yakni para
sasterawan dan sarjana sastera, tidak pernah pun terjadi dalam sastera Melayu
moden itu terputusnya tradisi Melayu dan nilai-nilai Islam dalam perkembangan
sastera Melayu moden. Tetapi pandangan dan andaian ini telah ditolak sejak 1972
lagi oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau
dengan kesimpulan yang terkenal itu, iaitu perihal para sasterawan ini adalah
kumpulan pinggiran yang tidak mendalam pengetahuannya tentang tradisi bangsanya
dan tidak pula mendalam kefahamannya tentang tamadun Barat, oleh itu mereka
adalah kumpulan yang “cetek meraba-raba”. Sehingga ini kesimpulan ini belum
ditolak secara ilmiah, malah dengan kehadiran Panel Anugerah Sastera Negara dan
laporan yang mereka terbitkan,
kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu dibuktikan dengan
jelas, tanpa ragu-ragu, oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan
mereka. Sekarang sudah jelas bahawa kewujudan Panel Anugerah Sastera Negara dan
sekumpulan sasterawan negara yang mereka pilih membuktikan wujudnya hingga ke
hari ini sifat kumpulan pinggiran ini yang “cetek meraba-raba”. Adakah kita
masih mahu meneruskan keadaan ini?
Sekiranya anda masih mahu meneruskan feudalisme sastera yang mencirikan
lembaga sasterawan negara ini, maka anda harus memperinci sumbangan mereka dari
segi perkembangan ilmu dan nilai-nilai tamadun kita. Sekali imbas pun kita
dapat mengesan dengan mudah kehadiran para sasterawan ini dan karya mereka
telah mengubah sistem nilai yang beteraskan sistem ilmu yang benar kepada
sistem nilai yang berteraskan liberalisme Barat dengan pendewaan yang
berlebihan kepada pendekatan dan teori sastera Barat dalam keseluruhan analisis
dan penilaian mereka terhadap karya kreatif itu, dengan alasan bahawa karya itu
hanya sesuai dinilai dari kacamata teori Barat kerana asas penciptaannya ialah
teknik dan stail sastera Barat seluruhnya. Kesimpulan bahawa Panel Anugerah
Sastera Negara menjadi pelindung kepada sastera Barat dalam bahasa Melayu
adalah tepat, dan inilah yang perlu
dipersoalkan dan seterusnya dirombak sama sekali.
Kita
perlukan alternatif yang lebih baik. Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam
kertas kerja beliau, “Persuratan Baru: Anjakan Positif Yang Diperlukan Oleh
Sastera Melayu” (dibentang dalam Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia,
UPSI 28-29 September 2012), menghujahkan dengan meyakinkan perlunya alternatif
yang dimaksudkan. Nampaknya sudah ada kecenderungan di kalangan para sasterawan
dan sarjana sastera, terutama di kalangan generasi muda, untuk menerima
alternatif itu sebagai cabaran baru dalam perkembangan kesusasteraan Melayu.
Walaupun belum meluas, masih lagi terdapat keraguan akibat terlalu bergantung
kepada teori dan pendekatan Barat, namun kesedaran itu sudah mula terlihat
dalam karya kreatif dan dalam kritikan
sastera. Perubahan yang paling penting
dalam perkembangan ini ialah kesedaran tentang konsep kesusasteraan itu sendiri
yang terlalu begantung kepada realisme seperti yang difahami di Barat, yang
mengakibatkan lahirnya karya yang bercanggah dengan tradisi Melayu Islam. Dengan kesedaran ini, aspek ilmu dalam karya
kreatif mula mendapat perhatian, sekurang-kurangnya sudah timbul keinginan
untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan ilmu dan peranannya dalam karya
kreatif. Memang masih diperlukan penjelasan serta contoh yang konkrit tentang
aspek ilmu ini, terutama dari segi bagaimana konsep ilmu itu diadun dalam karya
kreatif yang bersifat naratif. Untuk mencapai maksud itu, tulisan-tulisan Prof.
Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani wajar dijadikan
rujukan penting. Anda tidak perlu bersetuju dengan mereka, tetapi
sekurang-kurangnya anda tahu apakah
persoalan penting dalam sastera Melayu moden, misalnya tentang konsep
realisme dan cabang-cabangnya.
Alternatif
yang diberikan oleh gagasan Persuratan Baru ialah kategori baru dalam karya
kreatif, iaitu karya persuratan
sebagai hasil karya yang berbeza daripada karya sastera: yang pertama berasaskan
ilmu yang benar, manakala yang kedua berasaskan emosi dan hawa nafsu. Contoh-contoh
karya berasaskan emosi dan hawa nafsu ini banyak sekali boleh didapati dalam
laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Anda hanya perlu lihat di sana untuk
memuaskan keraguan anda tentang karya sastera berasaskan emosi dan hawa nafsu
itu memang dilaksanakan dengan gigih oleh para sasterawan dan diterima sebagai
karya bermutu oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Karya persuratan dikenalpasti
melalui unsur wacana yang menjadi peneraju dalam pembentukan ruang naratif
karya berkenaan, dengan itu cerita diletakkan di tempat kedua sebagai
pelengkap. Apakah kesannya ke atas analisis dan penilaian karya kreatif? Unsur wacana memerlukan pemikiran, dengan itu
analisis akan tertumpu kepada aspek intelektual di dalam karya, yang boleh
dicapai melalui teknik mod bacaan intelektual. Dalam mod bacaan intelektual,
sesebuah karya akan dianalisis berasaskan penggunaan wacana di dalam karya itu,
bukan lagi hanya tertumpu kepada cerita semata-mata seperti yang diamalkan
sekarang. Oleh itu anda tidak menyibukkan diri anda berbicara tentang plot,
perwatakan, latar dan sebagainya yang kini sudah menjadi klise dalam kritikan
sastera Melayu. Sesuatu cerita dilihat dalam konteks peranan yang dimainkannya
untuk membentuk wacana, yakni bagaimana cerita itu digunakan untuk menghidupkan
wacana melalui penggunaan ruang naratif novel tersebut. Dalam teknik lama,
ruang naratif tidak diberi fungsi apa-apa untuk membina wacana; tetapi dalam
Persuratan Baru, ruang naratif digunakan seberkesan mungkin dengan memberi
tumpuan kepada isian ilmu dalam konteks wacana, tidak hanya untuk menampung
isian cerita seperti dalam teknik lama. Perbezaan inilah yang memerlukan
kategori karya persuratan diwujudkan kerana dari segi penampilan idea dan
teknik, karya persuratan tidak dapat disamakan, apatah lagi disetarafkan dengan
karya sastera. Sementara itu, karya
sastera akan terus ditulis, dengan ini bermakna dari masa ke semasa sasterawan
negara akan terus dipilih berasaskan sumbangan mereka dalam karya sastera.
Adakah karya
persuratan memerlukan pengiktirafan yang sama seperti karya sastera? Saya telah
mencadangkan tahun 2006 lagi supaya satu cara pengiktirafan ilmu diusahakan
dengan PETRONAS menjadi penyumbangnya. (Lihat kertas kerja, “Hadiah dan
Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis”, DBP 25 Mei 2006, “Seminar
Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan”). Dari
masa ke semasa, apabila terdapat karya persuratan yang layak diberi hadiah,
maka karya itu akan diberi hadiah bersama dengan hadiah dalam bidang-bidang
akademik untuk buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu. Tidak ada gelaran
khusus untuk penulis karya persuratan, cukup untuk disebut sebagai “penerima
hadiah persuratan PETRONAS tahun 2020” misalnya. Kita biarkan saja para
sasterawan dengan gelaran mereka jika kerajaan masih mahu meneruskan projek itu. Tetapi saya fikir jika
sudah ada Hadiah Persuratan PETRONAS, anugerah dan gelaran sasterawan negara
tidak diperlukan lagi. Kerajaan sendiri telah melakukan ini dengan memberi
sekali saja Hadiah Pejuang Sastera kepada enam orang sasterawan, lepas itu
dihentikan. Oleh itu, memberhentikan anugerah sastera adalah wajar, setelah
diwujudkan hadiah yang lebih bermakna untuk memartabatkan bahasa Melayu melalui
Hadiah Persuratan PETRONAS yang dicadangkan itu. Cukuplah kita mempunyai 11
orang sasterawan negara yang tidak diiktiraf sebagai pemikir oleh sarjana
sastera sendiri; dan orang-orang ini pula telah terbukti menulis karya-karya
yang bertentangan dengan semangat dan nilai teras tamadun Melayu. Walaupun
pujian tinggi telah diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, namun jika
dinilai semula sumbangan sebenar para sasterawan negara ini, kita akan menemui
hakikat sebenar kualiti karya mereka. Jika mereka yakin karya mereka
benar-benar bermutu, mereka harus bersikap terbuka untuk dinilai semula dengan
lebih kritis, berasaskan kritikan wacana,
bukan kritikan cerita yang dilakukan
oleh Panel untuk membina hanya mitos di sekitar para sasterawan negara ini. Di
sinilah perlunya diadakan kajian menyeluruh tentang sumbangan Panel Anugerah
Sastera Negara dalam bidang kritikan dan kajian mendalam tentang sumbangan para
sasterawan negara dalam membangunkan budaya ilmu dalam kebudayaan Melayu.
Sebagai
penutup, saya ingin kemukakan satu kutipan panjang, khusus untuk pembaca yang
kritis dan mempunyai pengetahuan luas tentang kebudayaan Barat.
“Paradoxically,
tradition is revolutionary. A tradition is always older than the immediate
past; hence the endorsement of tradition always implies a rejection of that
immediate past in the interests of something purer, and such rejection is
always experienced as revolutionary, an overturning of the values of an
immediate past which have outlived their usefulness. This makes sense of the great modernist
paradox in which T. S. Eliot claimed ‘tradition’ as his own in what as
perceived as an overtly revolutionary form of poetry. By extension, the
endorsement of tradition, in the rejection of the immediate past, also always
presupposes the possibility of a different future; and the adoption of
tradition can thus (though this is not always necessarily the case) put an artist in the position of being
avant-garde, the originator of a different future, the liberator of a number of
proleptic possibilities. A second level
of paradox arises, however, whenever this strategy is repeated. Once it becomes
possible to repeat the avant-garde procedure of the ‘revolutionary’ adoption of
‘tradition’, one has begun the process whereby the avant-garde strategy is in
danger of becoming itself ‘traditional’ in a weak sense of the term. An inbuilt
crisis of obsolescence is necessarily inscribed in the logic of the
avant-grade. The avant-garde artist in an emancipatory ‘hero’ whose very individuation and status as a leading figure
or exemplary artist is necessarily
worthless, for such individuation is characterised by the necessity of her or
his self-sacrifice in the interest of the arriere-garde.” (Thomas Docherty ed. Postmodernism: A Reader. New York:
Columbia University Press, 1993; hal. 217).
Bagaimana
hendak membaca kutipan itu?
Mohd. Affandi
Hassan,
7 Disember 2012.
No comments:
Post a Comment