Satu
kesilapan besar telah berlaku apabila
institusi anugerah sastera diwujudkan. Inilah pandangan saya sejak awal.
Sebagai satu protes, saya menderma seringgit kepada Dewan Bahasa dan Pustaka; beberapa
minggu kemudian saya menerim surat penerimaan ditandatangan oleh Encik Ayub
Yamin, mengucapkan terima kasih di atas derma itu. Sindiran dibalas dengan
sindiran! Memang adil. Kemudian saya menulis sebuah cerita pendek berjudul,
“Orang Yang Berdiri”, untuk memperingati penerimaan anugerah itu oleh Keris
Mas. Cerita pendek itu disiarkan dalam sebuah majalah yang tidak terkenal yang
saya sudah lupa namanya. Cerita pendek itu ditulis selepas saya menonton
upacara penerimaan anugerah itu yang disiarkan secara langsung di RTM. Selama beberapa tahun saya menerima undangan
untuk menghadiri upacara anugerah, tetapi saya tidak pernah hadir. Akhirnya
nama saya dibuang dari senarai dan kad jemputan pun tidak lagi dikirim kepada saya. Satu anugerah yang bagus
untuk saya.
Saya
beranggapan, dan saya yakin saya betul, anugerah sastera yang diwujudkan 1981
itu adalah projek politik; oleh itu selepas itu hampir semua perlantikan baru
berunsur politik. Sebagai bukti, Ishak Hj. Muhammad tidak layak diberi
anugerah; demikian juga A. Samad Ismail; dan seterusnya Kassim Ahmad. Jika
bukan satu projek politik, ketiga-tiga tokoh ini sudah semestinya dilantik,
apatah lagi Ishak Hj. Muhammad dan A. Samad Ismail sudah pun diberi hadiah
Pejuang Sastera. Kemudiannya terjadi
lobi-melobi untuk dipilih menjadi sasterawan negara; ada yang mendapatnya
akhirnya, ada yang kecundang terus menerus. Lobi-melobi ini sudah kerap ditulis
dalam ruangan sastera di akhbar, perihal sasterawan mengiklan dirinya sebagai tokoh
yang layak untuk diberi gelaran sasterawan negara. Serendah itukah tarafnya?
Maksud saya, taraf kedua-duanya, anugerah dan penerimanya. Tetapi keberatan
yang paling besar ialah kesilapan mengangkat kesusasteraan terlalu tinggi, atau
begitu tinggi, sehingga sasterawan layak ditokohkan sebagai tokoh negara yang
bertaraf di raja. Yang layak dan berhak memberi anugerah itu hanya Yang di
Pertuan Agong, tidak perdana menteri atau menteri pelajaran. Wajarkah
sasterawan diberi taraf setinggi itu? Di
sinilah terjadi kesilapan besar Dewan Bahasa Pustaka, sehingga dapat dituduh
sebagai sudah mengkhinati perjuangan bahasa dan pemertabatan ilmu. Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan untuk
mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, selain bahasa perpaduan negara. Sebaliknya
yang terjadi ialah pemertabatan para sasterawan, dengan meminggirkan
perkembangan ilmu dalam bahasa Melayu. Jika DBP ingin membetulkan kesilapan
ini, maka yang harus dilakukan ialah dengan memberi pengiktirafan kepada ilmuan
yang menulis dalam bahasa Melayu, dengan mewujudkan Hadiah Persuratan
PETRONAS. DBP sudah wajar sedar bahawa
sastera bukan segala-galanya, sehingga perlu diberi taraf di raja dengan
melibatkan Yang di Pertuan Agong, seolah-seolah para sasterawan itu sama
tarafnya dengan perlantikan para hakim dan lain-lain perlantikan yang dilakukan
oleh Yang di Pertuan Agong. Perbuatan ini sudah melampau, dilakukan tanpa
sebarang maruah, yang jika dipakai bahasa yang halus, boleh dianggap sudah
berlaku biadab. Tidak ada masa lagi untuk berdolak-dalik dalam perkara ini.
Kita harus menerima kenyataan bahawa perbuatan mengangkat para sasterawan
begitu tinggi adalah satu kesilapan besar yang hanya boleh berlaku apabila
orang sudah kehilangan adab. Untuk mengembalikan adab itu dalam kebudayaan Melayu,
maka caranya ialah dengan meletakkan ilmu pada tempatnya yang mulia, dengan
memberi pengiktirafan kepada ahlinya yang menulis dalam bahasa Melayu, yang
dengan itu sekali gus mengangkat ilmu itu melalui penggunaan bahasa Melayu.
Tidakkah inilah tugas besar Dewan Bahasa dan Pustaka?
Para
sasterawan yang bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka telah berjaya memujuk ahli
politik di bawah pimpinan Tun Razak untuk mewujudkan anugerah sastera negara
bagi mengiktiraf para sasterawan sebagai “pejuang kemerdekaan”. Sungguh munasabah jika sebahagian besar
pemenang anugerah datang dari DBP sendiri, pewaris Asas 50 pula. Para sasterawan ini diberi keistimewaan
sebagai golongan tersendiri yang berjasa kepada negara kerana “perjuangan”
mereka menulis dalam bentuk cerita pendek atau pun novel, membicarakan betapa
peritnya perjuangan kemerdekaan itu mereka rasai sendiri sambil mengadap mesin
taip mereka. Inilah kemudiannya yang diberi anugerah sastera. Siapakah mereka sebenarnya? Saya telah
menjawab soalan ini dalam beberapa post dalam blog ini. Mereka adalah sasterawan biasa, bukan luar
biasa baik dari segi teknik dan “pemikiran” mahu pun dari segi bahasa dan gaya,
tidak juga dari segi penerokaan tema. Semua mereka menulis tentang perkara yang
sama, dengan judul yang berlainan. Ini boleh dilihat dalam laporan yang
disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.
Ciri utama semua mereka adalah ketangkasan mereka meniru teknik Barat,
yang sangat dipandang tinggi oleh Panel Anugerah Sastera Negara, diberi
sanjungan sebagai sasterawan yang berjaya membuat eksperimen dan perubahan
dalam karya mereka melalui peniruan teknik Barat itu. Itulah keistimewaan
mereka, menurut Panel Anugerah Sastera Negara, dan diterima dengan baik oleh
para sasterawan dan sarjana, serta pengkritik sastera. Jadi tidak saja Panel Anugerah Sastera Negara
memuji karya para sasterawan ini sebagai karya Barat dalam bahasa Melayu,
menjadi pelindung para sasterawan yang menulis novel dan cerita pendek, serta
sajak-sajak juga, malah para sasterawan ini pun bangga menjadi ahli waris
sastera Barat. Inilah kumpulan yang
kemudiannya diberi anugerah sasterawan negara.
Apakah
kesalahan yang dilakukan apabia diwujudkan institusi anugerah sastera? Pertama sekali, para sasterawan diberi
kedudukan tinggi oleh ahli politik sebagai satu golongan tersendiri yang
penting dalam kemajuan sesuatu bangsa. Pada permulaannya kesalahan ini tidak disedari oleh sesiapa pun, tetapi
kesannya memang dapat dirasakan apabila semakin sukar mencari calon yang
sesuai, membuktikan calon-calon yang kemudian tidaklah “sebaik” calon yang
terdahulu. Malah ada di antara calon yang terpilih diremehkan oleh rakan-rakan
mereka dan oleh para sasterawan negara terdahulu. Siapa mereka memang diketahui
oleh para sasterawan dan pegawai DBP sendiri. Keadaan ini membuktikan tidak ada “kemajuan”
yang ditunjukkan oleh calon terkemudian, ertinya dari segi kualiti makin
merosot. Hal ini menimbulkan anggapan bahawa di kalangan para sasterawna negara
sendiri memang ada penarafan yang tidak diketarakan, tetapi orang yang
mengikuti politik sasterawan negara tahu ada tiga kategori sasterawan negara:
yang bagus; yang tak berapa bagus; yang tidak bagus. Siapa mereka anda boleh
kesan sendiri, misalnya melalui percakapan antara para sasterawan. Apakah makna yang kita boleh baca dari
keadaan ini? Semua ini menunjukkan
sejenis permainan politik dalam sastera. Kini sudah dicanangkan kita patut
mengangkat seorang sasterawan negara bukan Melayu, jadi sudah dijadikan isu
perkauman, bukan lagi isu kualiti karyanya. Ada juga semangat kedaerahan,
dengan misalnya dipersoalkan mengapa tidak seorang pun sasterawan dari Sabah
dan Sarawak diangkat menjadi sasterawan negara, padahal dua negeri itu
mempunyai ramai sasterawan yang layak. Antaranya yang berada di Sarawak
misalnya ialah Azmah Nordin dan Jong Chian Lai. Dari Sabah saya tidak pasti,
mungkin bagus juga jika ditambah nama mereka dalam senarai calon penerima anugerah sastera negara. Keberatan yang menjadi misteri ialah mengapa ramai
sangat sasterawan negara yang berasal daripada pegawai DBP. Jawapan yang sering
diberikan ialah, terjadinya demikian hanya satu kebetulan, yakni memang DBP
merekrut penulis atau sasterawan yang berkualiti untuk bekerja dengan DBP, oleh
itu tidak ada kesangsian apa-apa pun jika mereka kemudiannya dijadikan
sasterawan negara. Memang mereka layak,
apatah lagi semua syarat ditentukan oleh para sasterawan yang berada di DBP
ketika itu, masih belum berubah. Syarat-syarat itu tidak semuanya menjurus
kepada kualiti karya, kerana antara yang penting ialah berpengaruh tidaknya
sasterawan yang dipilih dengan dapat dikesan dari karya penulis kemudian yang
meniru gaya mereka; syarat lain ialah mengenai kegiatan mereka dalam persatuan
atau memberi ceramah tentang sastera. Pada mulanya syarat-syarat itu dituduh
diadakan untuk memenuhi keperluan sasterawan tertentu, supaya mereka juga layak
dilantik. Tetapi syarat tentang pengaruh itu sangat cetek, kerana jika para
penulis kemudian memang diharapkan meniru yang terdahulu, maka bagaimana kita
akan mengukur kemajuan dalam penulisan kreatif? Syarat tentang banyaknya
tulisan yang membicarakan tentang seseorng sasterawan juga cetek, jika tidak
diambilkira kualiti pembicara yang membicarakan karya mereka. Semua ini sukar
dilakukan, dan akan menjadi kemarahan para pembicara sendiri jika mereka
dituduh sama selekehnya dengan sasterawan yang mereka bicarakan. Saya pernah
diberitahu terdapat tesis Ph.D. tentang
seorang sasterawan, yang kualiti tesis itu sangat disangsikan, malah penulis
yang dijadikan bahan itu sendiri pun tidak layak diberi kedudukan setinggi itu,
walaupun orang seperti itu memang popular di kalangan para pegikut mediocre mereka. Semua ini memang membenarkan pemerhatian saya
bahawa memang terdapat budaya pandirisme dalam kesusasteraan Melayu moden, yang
dengan megah dijadikan aliran arus perdana.
Kegagalan
ujian paling besar ialah dari segi pemikiran para sasterawan negara ini. Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan
seminar tentang pemikiran ini untuk hampir semua sasterawan negara. Tetapi istilah “pemikiran” itu tidak pernah
ditakrifkan dengan terperinci, tidak pernah dibahaskan dalam seminar mengenai apakah
yang dimaksudkan dengan “pemikiran” ini. Apakah ciri-ciri seorang pemikir sastera?
Semuanya tidak pernah dipersoalkan. Oleh itu terdapat satu jenis konsensus di
kalangan para sarjana yang menulis kertas kerja bahawa A. Samad Said bukanlah
seorang pemikir, begitu juga Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan yang lain-lain.
Kalau begitu, jenis “pemikiran” apa yang dibincangkan? Pemikiran tentang
tiadanya “pemikiran”? Dalam seminar begini, penulis kertas kerja akan memilih
tema atau tajuk tertentu yang dijadikan bahan penulisan sang sasterawan, lalu
dicari pendekatan tertentu untuk dipadankan dengan tema berkenaan, lalu
dibahaskan dengan cetek sekali bahawa sasterawan sekian-sekian memang membicarakan
tentang burung gagak, tentang pokok kayu di tepi jalan yang tumbang, tentang
katak yang mati dilanggar kereta, dan sebagainya, lalu dibuat kesimpulan bahawa
sasterawan itu seorang pemerhati alam yang tajam dan membicarakan dengan ...
(dengan apa?) aspek alam sekitar. Kita beri contoh yang mudah, supaya sesiapa
juga yang kemampuan kognitifnya paling minimum sekali pun boleh faham maksud
“pemikiran” tentang alam sekitar misalnya.
Kerajaan dalam usahanya membasmi kemiskinan, membuka tanah hutan
besar-besaran. Akibatnya mengeruhkan sungai, menyukarkan penduduk mendapat air,
membunuh hidupan dalam sungai, mendatangkan hakisan yang teruk, menjadikan
kawasan itu gondol dan panas, mengganggu tadahan air, dan sebagainya. Maka
bangkitlah seorang petani miskin membantah projek itu, kerana burung-burung
yang jadi kesayangannya yang dipikatnya pada musim tertentu sudah lari, begitu
juga binatang liar yang diburunya. Lalu dia menubuhkan satu badan yang khusus
untuk membantah pembasmian kemiskinan yang memiskinkan alam sekitar. Sasterawan
yang bijak pandai, seorang “pemikir”, menulis sebuah novel yang hebat. Dia
mengetengahkan watak-watak yang hebat yang saling bertentangan; dan dalam
konflik itu ahli politik mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri mereka
dan sekutu mereka. Apakah yang akan ditawarkan oleh sang sasterawan dalam karya
itu? Sebagai seorang “pemikir”, dia akan cuba mengolah tema itu secermat
mungkin, sehingga segala buah fikirannya diberi perhatian oleh para perancang
dan manusia yang berada dalam
kemiskinan. Tiba-tiba kita diberitahu, pembukaan hutan bukanlah cara terbaik
dan berkesan untuk menghapuskan kemiskinan, malah menambah kemiskinan dan
bermacam masalah sosial yang timbul kemudian; dan dia menghujahkannya dengan
meyakinkan, sehingga kita mendapat kesimpulan bukan kemiskinan yang cuba
diselesaikan, tetapi bagaimana kemajuan dijadikan strategi untuk mendapat
keuntungan: wang yang mudah, di samping itu dipuji kerana melaksanakan projek
untuk rakyat. Sang sasterawan menjadikan
korupsi sebagai teras “pemikirannya”, dengan itu semua aspek rasuah itu
dijadikan tema penulisannya. Dia membahaskan peranan korupsi dalam pembangunan
negara. Barangkali menarik juga apabila
dia memberitahu kita, di kalangan para sasterawan pun terdapat rasuah, tetapi
diberi wajah yang indah untuk mengabui mata masyarkat. Rasuah intelektual?
Rasuah dari aspek nilai dan etika? Kalau dibuat begini begini, barulah dapat
dilihat “pemikirannya”, bukan ditebuk di
sana sini untuk memperlihatkan “kepelbagaian” tema yang disajikan oleh sang
sasterawan, walaupun dari segi pengolahan amat cetek! Ini hanya satu contoh, untuk menjadi panduan
bagaimana kita memberi tafsiran dan takrif tentang istilah “pemikiran” ini.
Dalam gagasan Persuratan Baru, hal ini tidak lagi menjadi masalah. Memang pemikiran itulah yang menjadi teras
karya persuratan yang dianjurkan oleh Persuratan Baru. Tetapi contoh takrif pemikiran yang paling
tepat dan terkenal ialah yang diberikan oleh Pujangga Iqbal dalam
syair-syairnya, iaitu tentang pembinaan peribadi unggul dan cinta Tuhan sebagai
asasnya. Kalau belum jelas lagi maksud “pemikiran” dalam karya kreatif, maka
tidak payahlah dibincangkan aspek pemikiran ini dalam mana-mana seminar sekali
pun.
Perihal
kehilangan adab ini diceritakan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man,
tertulis dalam kertas kerjanya ketika membicarakan “pemikiran” Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh. Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man memberitahu, Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh berpesan, “Untuk seminar nanti, kena tulis elok-elok pasai
(sic) saya”. Andainya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh hanya bergurau, maka gurauan
itu in bad taste, tidak pantas
dikeluarkan oleh seorang yang bergelar Tokoh Akademik Negara. Apakah perlunya
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berpesan demikian? Hanya untuk menunjukkan
kualiti sebenar beliau sebagai seorang ahli akademik yang handalan, yang perlu
memberi amaran supaya hanya yang baik-baik saja yang ditulis. Bukan satu
gurauan, kerana itu kata Dr. Siti Hajar: “Maka, terikatlah sudah satu
perjanjian yang tidak dimeterai, saya perlu menulis sesuatu yang indah yang
menyamankan hati dan perasaan seorang tokoh yang cukup baik dengan saya.”
Hasilnya, Dr. Siti Hajar membentang satu kertas yang tidak ada faedah langsung
dari segi akademik. Beliau memilih untuk menyukakan hati gurunya dan tokoh yang
baik dengannya daripada memberikan analisis dan kritikan yang objektif dan
bersifat akademik, sesuai dengan tarafnya sebagai seorang sarjana yang mengajar
di USM, universiti paling cemerlang di Malaysia sekarang. Nampaknya maruah
akademik boleh diketepikan demi “menjaga hati” seorang tokoh “yang cukup baik
dengan saya”. Jika inilah hasil yang kita dapat, maka DBP tidak perlu membuang
masa dan wang untuk maksud yang murahan begini.
Jika inilah bentuk kesopanan akademik yang dihumban ke muka kita oleh
para ahli akademik kita yang handalan, maka adalah mengarut saja untuk kita
mengharapkan mereka bersikap objektif dan boleh dipercayai kualiti akademiknya.
Jika inilah jenis manusia yang dilantik menjadi sasterawan negara, maka apakah
moral yang boleh kita dapat daripada seorang tokoh yang begitu tabiatnya dan
sikapnya? Semua ini menguatkan hujah kita bahawa kita tidak perlukan sasterawan
negara untuk menjadi cerdik dan beradab.
Imej buruk yang diberikan oleh sasterawan negara sendiri nampaknya tidak
dapat dielakkan, kerana mereka terpilih bukan kerana kualiti pemikiran mereka,
tetapi kerana permainan politik sastera semata-mata. Dalam laporan terakhir
(2012) kita diberitahu telah muncul seorang pensajak sufi di kalangan
sasterawan Malaysia. Maklumat yang kita dapat memberitahu bahawa ada seorang
pensajak yang cukup “syok” digelar pensajak sufi; diberitakan juga dia pandai
bermain gendang, dan sambil bermain dia berzikir, sampai menangis-nangis di
pentas. Orang bertanya saya: Itukah pensajak sufi? Tidak pasti sama ada
pertanyaan itu bodoh atau ingin menguji kebodohan saya. Walau bagaimana pun,
saya beritahu, orang yang pandai bermain gendang atau memalu batil namanya
Awang Batil, seorang penglipur lara.
Adapun yang mudah menangis dan meraung di pentas, maka itulah buktinya
dia seorang pelakon yang hebat. Orang sufi menangis sendirian di tengah malam,
ketika mengadu kepada Allah Ta’ala. Orang yang bergelar pensajak sufi meraung
di atas pentas di depan khalayak untuk mendapat tepukan; dia seorang pelakon
handalan. Jika anda mahu memanggilnya pensajak sufi, tidak ada halangan kerana
sekarang orang sufi pun sudah ada yang dituduh merogol atau mencabul maruah
wanita. Lagi pula, kata Shahnon Ahmad, penulis TIVI yang penuh dengan adegan seks itu, antara anak-beranak
pula, novel lucahnya itu adalah sebuah
novel sufi. Apakah yang lebih baik daripada itu yang kita peroleh daripada
seorang sasterawan negara? Contoh-contoh
lain anda boleh dapat dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Kalau anda
rajin, anda boleh lihat kritikan saya di blog ini. Tetapi saya fikir anda tidak perlu melakukannya,
kecuali anda seorang ahli akademik yang ingin
menguji sejauh mana hebatnya seorang sasterawan negara, dan sejauh mana
pula karutnya pandangan pengkritiknya. Kes
sasterawan negara memaksa penulis kertas kerja mengikut telujuknya bertentangan
dengan keghairahan mereka, dalam kes Interlok,
supaya para sasterawan diberi kebebasan untuk menyuarakan pendapat mereka.
Bagaimana pula dengan ahli akademik, tidak
perlukah kebebasan itu untuk mereka menulis dengan objektif tanpa
sebarang campur tangan sasterawan negara?
Tetapi
cadangan untuk mewujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS bukanlah sesuatu yang
karut; sebalikya kewujudan Hadiah Persuratan itu sepatutnya sudah lama
diwujudkan, sebelum bahasa Melayu dihina seperti sekarang; yakni sebelum para
ilmuan yang menulis dalam bahasa Melayu dipinggirkan sebagai sampah dalam
perkembangan ilmu di negara kita, sementara para sasterawan yang menulis karya
picisan dan erotik diberi sanjungan dan pengiktirafan sebagai penyumbang
nilai-nilai murni dalam masyarakat walaupun yang diserlahkan dalam karya mereka
adalah nilai kurang ajar, biadab dan sebagainya. Bagaimana pun, masih belum lewat untuk
memperkasa bahasa Melayu sambil menghargai para penyumbang buku-buku ilmiah
yang menggunakan bahasa Melayu, dengan mewujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS
yang dicadangkan itu. Sila lihat perinciannya dalam kertas kerja yang dibentang
di “Seminar: Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan”, 25 Mei 2006 di Dewan
Seminar, DBP. Antara lain dalam kertas itu
saya mencadangkan seperti yang berikut:
“Dari memberi tumpuan kepada
sastera dalam pengertiannya yang sempit, DBP harus meluaskan skopnya dengan
memberi tumpuan kepada persuratan Melayu, dengan mengadakan program terancang untuk
memajukan persuratan Melayu. Karya persuratan daripada para pengarang dan
pemikir Melayu dan Nusantara, seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Amir
Hamzah, Sutan Takdir Ali Sjahbana, Za’ba, Hj. Agus Salim, Muhammad Hatta,
Soekarno, Syed Muhammad Naquib al-Attas, Dr. Burhanuddin dan lain-lain
pengarang/pemikir terkenal seharusnya dipilih untuk dijadikan teks dalam mata
pelajaran persuratan Melayu di sekolah-sekolah; tidak dibataskan kepada karya
sastera yang bercorak kreatif saja. Hanya yang betul-betul terbaik daripada karya
kreatif itu dipilih, tidak termasuk karya-karya baru daripada sasterawan yang
belum teruji lagi. Dicadangkan supaya DBP berusaha mendapatkan kerjasama
Petronas dalam program membangunkan persuratan Melayu ini. Petronas wajar
dilibatkan dalam kegiatan yang bersifat intelektual dan budaya tanpa mengganggu
program yang sedia ada. DBP wajar mencadangkan kepada Petronas untuk mewujudkan
satu hadiah untuk menggalakkan perkembangan persuratan Melayu dalam semua
bidang dengan mewujudkan Hadiah
Persuratan Petronas setiap
tahun, diberikan kepada sesiapa juga yang menulis dalam bahasa Melayu dalam bidang
ilmu yang terpilih. Hadiah itu hendaknya tidak kurang daripada RM100,000/-
setiap satu, dikeluarkan setiap tahun untuk (1) bidang matematik dan sains (ini termasuk perubatan, pergigian,
kimia, fizik dll), (2) bidang sosiologi
dan kemanusiaan (termasuk
perundangan), dan (3) bidang bahasa
(linguistik) dan cereka (novel, cerita pendek, drama dll). Tiap-tiap tahun
kita berikan hadiah kepada tiga orang tokoh yang berjasa dalam bidang-bidang
ini. Pemberian hadiah kepada para ilmuwan akan mendatangkan faedah yang sangat
besar dalam memajukan pemikiran dan memartabatkan lagi bahasa Melayu. Penghargaan
seperti ini kita berikan kepada para
penyelidik perubatan, pertanian, kimia dan lain-lain, di samping sumbangan
bermakna para sarjana kemasyarakatan dan lain-lain. Kita dengan itu
mendemokrasikan ilmu, tidak hanya mengehadkan kepada penulis kreatif saja. Ini bermakna kita berpindah dari sastera kepada persuratan. Maksud kesimpulan ini
perlu difahami dengan jelas supaya sebarang kekeliruan yang akan timbul dari
tafsiran yang salah tidak dijadikan pegangan.”
Dalam
kutipan ringkas di atas, kita dapat melihat betapa pentingnya Dewan Bahasa dan
Pustaka mengiktiraf para ahli akademik tidak saja dari kumpulan bahasa dan
sastera, tetapi juga dari kumpulan-kumpulan lain seperti yang disenaraikan.
Tetapi perubahan paling penting di sini ialah perpindahan dari kecenderunagan
berlebihan untuk memberi perhatian besar kepada sastera kreatif kepada
penekanan terhadap perkembangan ilmu dalam konteks persuratan Melayu. Dua
perkara yang perlu ditekankan di sini: Pertama, tumpuan perlulah diarahkan
kepada perkembangan ilmu melalui bahasa Melayu, dengan itu ahli akademik yang
menulis dalam bahasa Melayu dalam bidang masing-masing diberi pengiktirafan
untuk perkembangan ilmu dan sekali gus untuk memartabatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu. Kedua, konsep kreatif tidak lagi dihadkan kepada cerita
yang difahami pada waktu ini yang terangkum dalam kosep sastera, tetapi
kreativiti haruslah diluaskan skopnya merangkum bidang-bidang ilmu dengan tidak
meninggalkan bidang kreatif dalam seni mengarang. Kedua-dua perubahan ini amat diperlukan jika
kita benar-benar ingin memajukan bahasa Melayu di samping membina budaya ilmu
dalam konteks pembinaan tamadun moden.
Dengan hujah
ini, kita lihat kecenderungan berlebihan untuk memberi perhatian terlalu besar
kepada sasterawan dan penulisan kreatif adalah bertentangan dengan penubuhan
Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri yang sememangnya diberi kepercayaan untuk
memajukan ilmu dalam semua bidang, menggunakan bahasa Melayu bertaraf tinggi,
yakni bahasa akademik dan bahasa ilmu. Cabaran ini belum lagi disahut secara
kontan dan berterusan dalam projek yang menjurus ke arah itu; oleh itu
sekaranglah masanya untuk berubah, sesuai dengan teriakan sekarang bahawa abad
ini adalah abad ilmu. Apakah jenis ilmu yang boleh diberikan oleh para
sasterawan dan karya sastera? Anda tidak perlu berdegil untuk mempertahankan
sastera dengan mengenepikan ilmu, seperti yang berlaku sekarang, yang
melahirkan kumpulan yang “cetek meraba-raba” yang mempunyai selera besar untuk
menjadi pemimpin masyarakat dalam kekeliruan mereka tentang konsep ilmu. Adakah
kita mahu meneruskan kehilangan adab ini dalam pembinaan tamadun kita? Seperti
yang ditegaskan di awal tulisan ini, kita tidak harus meneruskan kesilapan
besar yang telah terlanjur itu, dengan itu perubahan ke arah memartabatkan ilmu
dan bahasa Melayu harus dilakukan sekarang, dalam konteks persuratan Melayu,
tidak lagi dalam konteks yang sempit terkhusus kepada sastera Melayu dan para
sasterawannya saja. Apa juga jenis perubahan yang bertentangan dengan kehendak
ilmu yang benar bukanlah perubahan, tetapi penyelewengan dari hakikat insan
yang seluruh kehidupannya terikat kepada konsep taklif. Wallahu a’lam.
Mohd.
Affandi Hassan,
15 Disember
2012.
No comments:
Post a Comment