Tuesday, January 1, 2013

TINDAKAN TIDAK RASIONAL MENGANGKAT SASTERAWAN LEBIH TINGGI DARIPADA AHLI ILMU


Apabila telah datang pertolongan Allah
dan kemenangan; maka kamu
lihat manusia masuk agama Allah
dengan berbondong-bondong, maka
bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu
dan memohon ampun kepada Nya.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.
(al-Quran, 110: 1-3)


Tindakan meletakkan para sasterawan lebih tinggi daripada pemikir dan ilmuan adalah satu tindakan yang tidak rasional, satu tindakan yang tidak boleh diterima oleh akal sihat. Kenyataan ini diakui sendiri oleh ahli akademik  dan para sarjana yang membuat kesimpulan, dalam seminar tentang pemikiran para sasterawan negara, bahawa para sasterawan negara bukanlah pemikir, oleh itu tidak termasuk dalam golongan yang digelar ahli ilmu. Allah Ta’ala sangat memuji ahli ilmu, al-ulama, sebagai golongan yang takutkan Allah (al-Quran, 35: 28). Sasterawan tidak termasuk dalam golongan ini, malah segala tindakan mereka sebagai manusia dan dalam karya mereka sebagai sasterawan, lebih kerap dan lebih ketara sikap mereka yang menentang kebenaran dan tidak menerima hakikat taklif yang menjadi pegangan manusia yang berpandukan ilmu yang benar. Dari perspektif ini para sasterawan ini menolak kebenaran  dalam konteks taklif, dan sikap ini membuat mereka tidak rasional. Mereka tidak menerima hakikat insan menurut taklif sebagai prinsip penting dalam kehidupan manusia; dengan itu mereka hanyut dalam budaya hedonisme yang menjadi prinsip penting dalam kesusasteraan, yang membenarkan  mereka menulis perkara-perkara yang memuaskan kehendak hawa nafsu manusia, termasuk diri mereka sendiri. Kesimpulan ini boleh dilihat dengan jelas dalam semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Malah Panel Anugerah Sastera Negara sendiri pun tidak rasional dalam penilaian mereka. Contoh-contohnya telah saya berikan dalam beberapa post yang disiarkan dalam blog ini. Supaya kesimpulan ini tidak disalahtafsir dan diselewengkan maksudnya, anda harus membaca dengan teliti, menggunakan  akal sihat, Laporan 1985, Laporan 1991, Laporan 2009, dan Laporan 2012.  Sebagai contoh, dalam Laporan 2012, anda dapat kata-kata berikut:  “Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu puisi yang indah, mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam [hal. 20]. ...  [Beliau] ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa ini. Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani” [hal. 21].

Adakah ini kesimpulan yang rasional? Jawapannya diberikan oleh Prof. Rahman Shaari dalam syarahan perdana beliau, “Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tanggapan” (Universiti Malaya, 2004). Kata ini profesor: “Tidak ternafikan bahawa sajak tersebut merupakan salah sebuah sajak tentang kemerdekaan yang cukup bertenaga dan puitis” (hal. 65). Beliau merujuk sajak berjudul, “Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” oleh Kemala. Itulah satu-satuya sajak sasterawan ini yang menarik perhatian Prof. Rahman Shaari. Beliau tidak langsung bercakap tentang pensajak ini yang “mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam” seperti yang ditegaskan dalam Laporan 2012.  Sekarang timbul persoalan akademik yang serius: adakah Panel Anugerah Sastera Negara telah tersalah penilaian sehingga sanggup memberi pujian yang begitu tinggi? Atau: Prof. Rahman Shaari itulah yang tidak nampak kehebatan pensajak ini? Jelas penciuman beliau telah gagal mencium “puisi yang semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.” Untuk menidakkan kemampuan intelektual dan kemampuan akademik Prof. Rahman Shaari yang sepanjang hidupnya sebagai ahli akademik meneliti dengan cermat perkembangan sajak-sajak Melayu, tetapi masih gagal mencium keharuman puisi kerohanian pensajak ini, tentulah tidak rasional, tidak masuk akal. Adakah ini bermakna kemampuan akademik beliau disangsikan? Jika benar, maka bagaimana pula beliau layak diberi kedudukan tinggi dalam bidang akademik sebagai seorang profesor sajak? Jika andaian ini benar, ternyatalah Panel Anugerah Sastera Negara telah membuat penilaian yang salah, mendakwa tentang kehebatan pensajak yang dinilainya tanpa mengemukakan sebarang bukti berupa contoh sajak yang membuktikan  penilaian mereka betul. Adalah lebih selamat untuk kita memihak kepada Prof. Rahman Shaari sebagai seorang pakar sajak yang tidak dapat disangsikan, dan kerana kepakarannya itulah maka beliau tidak mendapati sajak-sajak sasterawan negara itu benar-benar mantap, kecuali sebuah sajak tentang kemerdekaan yang mengikut penilaian saya tidaklah begitu istimewa, hanya sebuah sajak biasa saja yang banyak ditulis oleh pensajak yang bukan sasterawan negara.

Kerana adanya kontradiksi ini, kita perlu membersihkan nama sasterawan negara ini dengan Panel Anugerah Sastera Negara memberikan penilaian mereka dengan lebih teliti, analisis yang benar-benar kritis, supaya benar-benar mencerminkan kualiti sajak-sajak yang dinilai dalam Laporan 2012 itu.  Sehingga lahirnya penjelasan itu, maka kita masih berhak untuk menidakkan penilaian mereka yang ada sekarang,  tetapi sebaliknya menerima laporan itu sebagai penilaian yang tidak rasional dan sewenang-wenang.  Bagi sasterawan negara berkenaan, kedudukan ini tentulah mengaibkan beliau. Panel Anugerah Sastera Negara boleh menyanjung dan mengangkat beliau setinggi mana sekali pun, tetapi tentulah bukan untuk mengaibkan beliau dan mengelirukan pembaca.  Meletakkan sasterawan negara ini sebagai pensajak sufi tidak sesuai dengan maklumat yang ada pada kita yang kita ketahui, seperti yang dibayangkan dalam post yang lepas; selain dari itu, karya-karya sasterawan negara ini belum lagi diuji dengan tepat menggunakan ukuran yang sesuai dengan persajakan sufi yang diketahui umum. Penilaian yang salah akan merendahkan darjat sajak-sajak berunsur nilai-nilai kesufian sebenar. Aspek ini pun perlu dibahaskan dengan tuntas, tidak boleh dilempar begitu saja kepada khalayak.  Ini merupakan tanggungjawab akademik yang tidak boleh diremehkan begitu saja oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Kelemahan paling besar Laporan 2012 ialah penilaian terhadap sajak-sajak yang kononnya sajak-sajak sufi itu dibuat berasaskan nilai-nilai sastera Barat, terutama sekali  dengan menggunakan pendekatan “hermeneutik kerohanian” yang disesuaikan daripada teori sastera Barat.  Mengapa tidak sahaja digunakan ukuran Islam sepenuhnya?  Apakah yang menghalang Panel untuk berbuat demikian?  Dua soalan yang mudah, yang tidak mungkin dijawab oleh Panel Anugerah Sastera Negara untuk mengelak daripada membuka aib mereka sendiri.

Apakah yang mengaibkan tentang Panel Anugerh Sastera Negara ini?  Ramai yang tidak tahu kerana laporan yang mereka keluarkan tidak dijual untuk bacaan ramai. Laporan itu hanya diketahui oleh penyelidik dan sarjana sastera saja, yang berminat dalam bidang kritikan. Malah di antara mereka sendiri pun sedikit sekali yang tahu kandungan laporan itu, apatah lagi pembaca bermentaliti “gosip”, mungkin langsung tidak tahu bahawa laporan itu wujud.  Apakah yang mengaibkan tentang laporan itu? Pertama sekali, laporan itu menolak bulat-bulat apa juga penilaian yang bercorak Islam.  Mengapa? Jika karya para sasterawan negara itu dinilai daripada perspektif Islam, tidak seorang pun layak diberi gelaran sasterawan negara. Tidakkah ini amat mengaibkan? Sikap ini mengaibkan kerana semua sasterawan negara beragama Islam; penilai pula majoritinya Islam. Mengapa ketepikan pandangan Islam? Inilah yang amat mengaibkan. Inilah yang paling tidak rasional. Inilah yang menjadi sebab utama mengapa anugerah sastera mesti diganti dengan Hadiah Persuratan PETRONAS, untuk mengembalikan sifat siuman yang sudah hilang atau  paling tidak diketepikan sudah sekian lama. Jika anda teliti, anda akan lihat bagaimana seorang “pensajak sufi” (kononnya!) dinilai berasaskan teori Barat yang disesuaikan. Tidakkah ini amat mengaibkan? Mengapa sasterawan seorang ini pun tidak layak diberi penilaian berasaskan pendekatan Islam? Dia sendiri mahu dinilai daripada perspektif Islam supaya sifat kesufiannya terserlah; apa alasan Panel untuk menolak permintaannya?  Kita perlukan penjelasan, sekurang-kurangnya dalam satu makalah panjang; tetapi lebih baik dan lebih bermaruah jika ditulis sebuah buku supaya semua kemusykilan yang dibangkitkan dapat ditolak dengan memberikan hujah dan pembuktian yang rasional, bukan yang bercorak “cetek meraba-raba”.

Ketika pendekatan Islam ditolak oleh Panel Anugera Sastera Negara, pada waktu yang sama mereka mendakap erat teori dan pendekatan Barat sebagai satu-satunya ukuran yang boleh berlaku adil kepada para sasterawan negara. Maka terjadilah penilaian yang amat mengaibkan, yang terutama sekali dapat dilihat dalam empat laporan yang disenaraikan di atas, yang keseluruhannya memberi isyarat yang salah dan songsang terhadap ukuran yang dipakai untuk menentukan “kehebatan” sasterawan negara yang mewakili laporan tadi.  Saya telah menulis tentang perkara ini, oleh itu tidak mahu mengulanginya di sini.  Saya hanya ingin membicarakan beberapa kesan negatif terhadap sistem nilai yang seolah-olah tidak kelihatan, tetapi dapat dilihat kesannya. Ini terjadi apabila Panel Anugerah Sastera Negara membiarkan sastera Melayu moden tumbuh liar tanpa sebarang panduan dari segi teknik mahu pun dari segi tema, kerana mereka percaya karya yang bermutu tidak perlu mempunyai sebarang mesej, tidak didaktik, dan tidak mempunyai matlamat tertentu, juga tidak perlu menekankan soal moral (rujuk terutamanya Laporan 1985). Inilah kesan negatif faham realisme Barat yang dipraktikkan dalam sastera Melayu moden, yang diberi pengiktirafan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Faham sastera begini melahirkan kekeliruan kognitif (cognitive dissonance) di kalangan anggota Panel sendiri, yang jelas dapat dilihat dalam laporan yang disenaraikan di atas.  Antaranya yang terkenal ialah kesimpulan Panel 2009 yang menganggap sebuah cerita pendek sasterawan negara tahun itu berbentuk filosofikal, kerana kononnya membicarakan kehidupan bebas moral seperti kehidupan binatang yang bersenggama, mencari pasangan baru, dan sebagai manusia binatang yang boleh berbicara, kehidupan moden itu penuh dengan pembohongan.  Apakah yang filosofikal dalam cerita pendek ini? Panel tidak ada pilihan melainkan memuji cerita pendek ini kerana inilah antara beberapa buah cerita pendek sasterawan ini yang dianggap bermutu; akibat terlalu ingin memuji sebuah karya yang biasa saja, Panel mengangkat karya ini dengan memberinya kedudukan sebagai sebuah karya “filosofikal” tanpa apa-apa penjelasan. Cara begini digunakan pula dalam Laporan 2012, seperti yang dijelaskan di atas. Semua ini tidak lebih daripada retorik pujian yang tidak mempunyai apa-apa makna, kecuali untuk mendendangkan pujian semata-mata, walaupun tidak benar. Dilihat dari segi ini, Panel dengan sedar berusaha menyelewengkan pembaca yang tidak kritis untuk menganggap karya-karya yang dipuji mereka benar-benar bermutu, walaupun dari segi perincian teliti tidak begitu. Jelas sekali terdapat sikap anti-ilmu di kalangan anggota Panel, ketika mereka melontarkan kesimpulan mereka seperti yang disebut di atas. Inilah kesan penyelewengan nilai yang dibina dan digalakkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dan dari segi inilah kewujudan Panel Anugerah Sastera Negara menghalang kemajuan dalam kritikan dan penilaian sastera di Malaysia.

Kesimpulan di atas ada kaitannya dengan sikap ahli Panel  terhadap teori dan pendekatan kritikan Barat yang menjadi panduan mereka.  Bagi mereka, hanya teori sastera Barat yang satu-satunya boleh digunakan untuk menilai karya sasterawan Malaysia, kerana semua mereka, tanpa kecuali, menulis di bawah lindungan teori sastera Barat. Sekiranya ada teori sastera Islam sekali pun, tidak dapat digunakan kerana tidak universal seperti teori sastera Barat;  lagi pula, menurut mereka, jika digunakan kaedah Islam, ada kemungkinan karya-karya sasterawan Malaysia tidak akan terserlah. Ada saja kelemahannya di mana-mana, padahal yang dianggap kelemahan itu adalah kekuatan karya itu menurut kaedah universal kritikan sastera Barat. Hakikat ini dibuktikan dengan jelas dalam semua laporan yang telah diterbitkan selama lebih dari 30 tahun ini. Kata mereka: Adakah kita akan menolak semua karya bermutu menurut kaca mata teori Barat itu hanya semata-mata kerana kita ingin menggunakan nilai-nilai Islam dalam kritikan sastera?  Kata mereka, kita akan mundur 1400 tahun ke belakang, padahal abad ini adalah abad avant-garde.  Di mana Islam berada dalam abad avant-garde itu? Jadi wajarlah jika karya para sasterawan Malaysia terus menerus dinilai dengan menggunakan teori dan pendekatan Barat.  Di mana salahnya pandangan ini? Sekurang-kurangnya kita mempunyai dua pendapat daripada dua orang ahli Panel Anugerah Sastera Negara. Pertama, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah berkata, kita telah lama melakukan kesalahan kerana menilai karya kita menurut ukuran Barat, padahal kita menggunakan bahasa Melayu yang tidak sama dengan bahasa-bahasa Barat. Seorang lagi profesor, iaitu Prof. Zawiah Yahya, lebih tegas pendapatnya, sehingga beliau mahu dilemparkan terus teori dan kaedah sastera Barat itu, diganti dengan kaedah kita sendiri.  Adakah mereka serius? Sebenarnya tafsiran bacaan saya menurut mereka adalah salah, kerana mereka tidak bermaksud begitu. Sehingga ini saya masih menunggu apakah tafsiran yang betul itu, belum muncul-muncul. Saya sepatutnya tidak dibiarkan berada dalam kesilapan selama-lamanya, oleh itu mereka harus membuat pembetulan itu walaupun kedudukan saya dan mereka tidak setaraf. Tetapi kesilapan tetap kesilapan, walaupun yang melakukannya seorang raja atau seorang pengemis!  Sudah menjadi satu etika yang terpelihara di kalangan para ahli akademik, untuk tidak melakukan kesalahan akademik, dan jika terjadi juga, untuk terus membetulkannya. Di Malaysia etika ini tidak diberi perhatian, sesuai dengan adab sopan Melayu yang halus bahasanya, dan termasuk di dalam konsep kesopanan jenis ini ialah membiarkan saja kesilapan dan kesalahan berterusan untuk memastikan kesopanan terus terpelihara.  Mereka berhujah, Allah melindungi “dosa” (samakah dengan kesalahan/kesilapan?) seseorang dan barangsiapa yang melindungi kesalahan saudaranya akan dilindungi Allah kesalahannya di Akhirat. Menurut mereka, itulah maksud sebuah hadis qudsi. Ada lagi satu hadis yang menyatakan sesiapa yang melihat kemungkaran, mesti mengubahnya dengan tiga cara yang terkenal itu. Hadis itu tidak boleh dipakai kepada sasterawan dan lain-lain seperti mereka kerana mereka tidak melakukan kemungkaran apa-apa. Menulis karya erotik dan lucah dan picisan atau menghina hukum Allah dengan menerima konsep tragedi sebagai satu teknik dalam mengarang cerita bukanlah satu kemungkaran, kata mereka, hanya perkara harus yang dibenarkan oleh agama. Begitu juga menggunakan pendekatan dan teori sastera Barat yang seluruhnya sekular itu, memang diharuskan dan bukan suatu kesalahan. Kita lihat masalah ini seterusnya.

Pandangan begini adalah satu tragedi. Saya gunakan istilah ini dengan maksud musibah. Adalah suatu musibah besar apabila para sasterawan dan sarjana sastera menggunakan segala macam hujah yang berbelit-belit untuk mempertahankan kesilapan mereka, bukan membetulkannya. Satu konsep yang mereka pegang kemas ialah konsep tragedi, sebagai sebahagian daripada makna realisme yang mereka fahami. Bagi para sasterawan, sesuatu karya kreatif akan membosankan dan tidak akan menarik minat pembaca tanpa aspek tragedi dalam kehidupan manusia, yang tidak dapat tidak mesti dialami oleh semua watak jika watak tadi berciri realisme. Oleh itu, bagi mereka, tragedi adalah sebahagian daripada hakikat hidup manusia yang universal, dialami oleh sesiapa juga di mana-mana pun dalam dunia, tidak kira dia orang Islam atau bukan Islam. Pandangan ini cetek dan salah, kerana tragedi tidak bermaksud begitu dalam kesusasteraan Barat. Makna tragedi dalam worldview Barat telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku-bukunya, antara lain dalam Islam and Secularism.  Pandangan beliau dijelaskan lagi oleh murid-murid beliau, antara lain oleh Che’ Razi Jusoh melalui makalahnya, “Tragedi Sebagai Salah Satu Watak Kebudayaan Barat” (dalam Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, MPH 2012).

Kata Che’ Razi Jusoh: “Tragedi biasanya berkisar dalam dunia kesusasteraan dan seni dan tidak ramai yang menganggapnya sebagai satu watak kepada sesuatu kebudayaan. Kenyataan bahawa tragedi sebagai salah satu watak kebudayaan Barat adalah satu tesis dan idea asli yang dikemukakan oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas melalui pelbagai tulisan dan sesi kuliah beliau.  Walaupun hampir kesemua sarjana Barat mengakui tragedi lahir di Greek dan perbahasan tentangnya telah dikemukakan secara ilmiah dan mendalam oleh Aristotle dalam karyanya yang tersohor Poetics, namun al-Attas berpandangan bahawa Aristotle mendapat idea tentang tragedi  ini dari kisah Adam dan Hawa yang telah dimaklumi pada zaman itu. Hal ini secara tidak langsung turut diperakui oleh Aristotle dalam karyanya Nichomachean Ethics, yang ditulis khusus kepada anaknya Nichomacus...” (hal. 259). Seterusnya dalam bahagian kesimpulan, Che’ Razi Jusoh berpendapat begini:  “Konsep tragedi Barat tidak dapat diterima dalam Islam kerana ia mendorong kepada mempertuhankan manusia dan menyalahkan agama sebagai jalan untuk menuju kasih sayang Tuhan. Kalaupun ada yang mendakwa bahawa tragedi mampu membawa kemajuan, ia sebenarnya berupa kemajuan fizikal semata-mata kerana dari sudut ruhani dan pemikiran, mereka sebenarnya sengsara. Kemajuan, pembangunan dan perubahan yang menjadi buruan kebudayaan Barat adalah lambang keperitan dan kedukaan. Tragiknya jiwa Barat, yang tampak di hadapan kita seolah-olah sebagai seorang musafir yang mengalami kedahgaan yang amat dahsyat dan berlari ke sana sini mencari air untuk menghilangkan kehausan jiwa dan fikiran itu sebenarnya adalah akibat dari sikap mereka membelakangkan agama dan mempertuhankan semangat yang dilatari faham tragedi.  Amatlah tepat kenyataan al-Attas bahawa aktiviti seni bagi Barat, tanpa mengira apa pun bentuknya, adalah amat berharga kerana dengan senilah mereka beroleh kelegaan yang sementara, berbanding dengan agama yang mereka anggap tidak lagi mampu memberikan kebahagiaan sebenar.” (hal. 294-295).

Aspek tragedi ini dapat dilihat dalam keseluruhan karya para sasterawan negara, yang melihat manusia sebagai tawanan kezaliman dalam masyarakat yang keseluruhannya tidak berasaskan keadilan, oleh itu watak-watak yang digambarkan dalam karya para sasterawan negara ini adalah manusia yang menjadi tawanan hawa nafsu mereka sendiri atau hawa nafsu mereka yang menguasai mereka. Kerana itu watak-watak ini adalah watak-watak yang lemah, yang putus harap dan keliru dalam membuat tafsiran tentang kehidupan mereka. Semua ini adalah gambaran pengaruh tragedi dalam kesusasteraan Melayu yang tidak berasaskan ilmu yang benar, yang secara keseluruhnnya menjadi pengikut pendekatan dan teori sastera Barat tidak saja dalam penilaian, tetapi lebih-lebih lagi dalam persembahan atau teknik penulisan. Jika kita menghalusi aspek ini, kita akan menjadi amat bodoh dan degil untuk menjadikan para sasterawan negara ini sebagai ikutan, kerana nilai-nilai yang mereka bawa bukanlah nilai-nilai murni dalam konteks faham ilmu yang benar yang dijadikan asas penulisan dalam persuratan Islam. Maka sebab itulah kita mencadangkan supaya institusi anugerah sastera ini tidak diteruskan kerana ini bererti meneruskan kekeliruan dan kejahilan dalam kehidupan manusia moden yang masih beragama.  

Karya-karya para sasterawan negara ini akan mengelirukan pembaca yang cetek pengetahuannya tentang falsafah seni Barat; malah mana-mana yang pengetahuannya tentang seni Barat agak pelbagai (dari segi jenisnya, tetapi tidak mendalam dan tidak luas dari segi jangkauannya) di kalangan para sasterawan dan sarjana sastera,  mereka tetap berada dalam kekeliruan selagi tidak dibereskan konsep ilmu yang menjadi pegangan mereka, atau lebih tepat menjadi ikutan mereka. Dalam konteks inilah anugerah sastera negara suatu institusi baru yang membawa nilai-nilai palsu dalam kebudayaan Melayu melalui karya sastera para sasterawan negara.  Dari segi pandangan Islam, semua nilai adalah palsu jika sumbernya manusia sendiri, yakni dengan menjadikan manusia sebagai penentu segala nilai, seperti yang terjadi di Barat.  Misalnya, apabila anda berkata nilai-nilai murni perlu digalakkan di sekolah-sekolah dan dalam masyarakat, dengan memberi contoh sifat pemurah dan suka berderma; sifat pemurah suka berderma itu adalah palsu jika tujuannya untuk menunjuk-nunjuk, sambil menyerahkan cek palsu untuk diambil gambar dan disiarkan dalam pelbagai media. Perbuatan itu terkutuk, kerana masuk dalam istilah riak, yang memang dikutuk oleh Islam.  Anda perlu berhati-hati sekiranya anda ingin mempertahankan institusi anugerah sastera, dengan membuktikan bahawa nilai yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara bukanlah nilai-nilai palsu bersumber dari kemahuan hawa nafsu manusia sendiri.  Jika Panel Anugerah Sastera Negara bersih dari kepalsuan nilai ini, maka anda berhak mempertahankan institusi anugerah sastera. Jika sebaliknya, anda harus lebih berhati-hati lagi mempertahankan kepalsuan itu dari sudut yang boleh diterima akal, misalnya dengan mengatakan sastera tidak wajar dilihat dari perspektif Islam, kerana sastera tidak perlukan nilai-nilai Islam untuk menghasilkan karya yang bermutu. Sastera hanya perlukan nilai-nilai universal seperti yang diperakukan oleh teori dan pendekatan Barat, yang melihat karya sastera secara objektif melalui konsep autotelic writing yang menerima karya sastera sebagai autonomous, oleh itu tidak terikat kepada sebarang nilai yang ditetapkan, tetapi menampilkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat seperti yang dibayangkan dalam karya para sasterawan negara Malaysia.  Anda harus buktikan pandangan anda ini benar-benar menjadi pegangan Panel Anugerah Sastera Negara dan para sasterawan negara sendiri.  Akhirnya anda  harus buktikan itulah pilihan terbaik untuk Malaysia.  Jika anda gagal meyakinkan orang yang siuman akalnya, yang tetap berpendapat institusi anugerah sastera itu lebih banyak unsur mungkar daripada yang makruf, maka anda tidak wajar untuk terus berkeras kepala mempertahankan pendapat anda yang foni dalam penghujahan yang begitu naif pula, berasaskan emosi dan sentimen anda.  Tegasnya, anda harus belajar menerima kenyataan walaupun anda tidak bersetuju, kerana sudah menjadi ciri orang yang cerdik dan jujur untuk menerima kebenaran apabila kebenaran itu dicampak ke muka mereka setelah mereka mengelak begitu angkuh apabila diberi kesedaran dengan cara yang baik. Anda tentu pernah mendengar orang yang faham tentang agama memeritahu kita bahawa di dalam arak itu ada juga kebaikan; tetapi keburukannya lebih besar, maka arak diharamkan. Demikian juga sastera yang difahami dalam konteks Barat, ada sedikit kebaikan, tetapi kemungkarannya jauh lebih besar. Kemungkaran yang paling besar ialah sastera meletakkan manusia sebagai sumber nilai; dan untuk melihat betapa benarnya perkara ini, anda perlu membaca dengan teliti dan kritis semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Jangan takut untuk menghadapi kebenaran; sepatutnya anda lebih takut untuk lebih lama berada dalam kemungkaran sastera dengan kembali kepada persuratan berasaskan konsep ilmu yang benar.

Kesimpulan:

Jika anda membahaskan karya sasterawan dalam konteks ilmu, melihat sejauh mana sasterawan berusaha membina budaya ilmu yang sah, anda tidak dapat tidak akan menemui begitu banyak kelemahan konsep sastera yang menjadi pegangan para sasterawan. Pertama sekali, mereka tidak mempunyai kesedaran tentang pentingnya ilmu dalam bidang kreatif, oleh sebab mereka sudah dibelenggu oleh konsep sastera Barat yang menegaskan sastera itu cerita dan cerita yang disensasikan. Kerana itu, walaupun anda mungkin seorang ustaz, anda akan bergelumang dengan faham sensasi ini dengan memberi judul karya seperti “Seorang Blogger dari Syurga” misalnya, seolah-olah anda mempunyai pengetahuan begitu mendalam tentang syurga (dan neraka) yang hanya diketahui oleh Allah Ta’ala sahaja. Banyak lagi contoh judul karya para ustaz ini yang aneh-aneh, yang mempermainkan perkara ghaib. Sasterawan negara apatah lagi, begitu confident sekali menulis tentang ruh dan hari kiamat, tentang siksa neraka dan sebagainya. Mengapa kita perlukan karya sastera untuk mengetahui tentang aspek ini jika al-Quran dan Hadis sudah memberitahu kita semuanya? Inilah bukti betapa angkuhnya para sasterawan ini, mahu tunjukkan kepandaian mereka (sebenarnya kejahilan dan keangkuhan mereka) menulis tentang perkara-perkara yang tidak pernah dialami mereka, walaupun di sana sini mereka inilah juga yang memberi nasihat bahawa penulis yang berjaya dan jujur menulis hanya tentang perkara yang mereka tahu.

Semua ini menjadi hujah yang kuat untuk menolak institusi anugerah sastera yang cukup jelas telah mengelirukan para sasterawan sendiri dan juga para penilai mereka, lebih-lebih lagi para pembaca yang tidak kritis.  Sungguh malang dan rugi bagi sesiapa yang tidak mahu diselamatkan setelah sedar akan kesalahan mereka; seperti yang terjadi kepada golongan musyrik Makkah yang bermati-matian mempertahankan kemungkaran mereka kerana hanya di situ sajalah mereka berasa bebas melakukan maksiat dan kemungkaran seterusnya. Pada umumnya inilah faham sastera moden yang menjadi pegangan para sasterawan seluruh dunia, dengan dua pusat pengaruh yang besar, Paris dan London. Hanya di dalam konteks ini saja para sasterawan ini akan diberi peluang untuk menerima Hadiah Nobel, salah satu hadiah besar dunia yang amat diimpikan oleh para sasterawan Malaysia!  Anda boleh bayangkan sejauh mana sebenarnya para sasterawan yang bercita-cita besar, atau bermimpi besar ini telah membina budaya ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar. 

Satu pertanyaan yang tidak perlu dijawab: Perlukah ada perbezaan antara karya kreatif seorang pengarang Muslim dengan yang bukan?  Jawapan yang anda berikan akan menentukan di mana anda berada.

Mohd. Affandi Hassan,
1/1/2013










                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      



1 comment:

  1. Terimaksih,Pak Affandi
    "Tanpa petunjuk sebenar,manusia itu terus melangkah ,meraba-raba dalam kegelapan malam yang tiada penghujungnya".

    Kupasan,penjelasan tetap relevan dan wajar mencerdaskan minda pembaca.

    Insyaallah.

    ReplyDelete