Friday, January 11, 2013

Cemuhan bukan Kritikan ...


Cemuhan bertujuan untuk menghina, merendahkan orang, mengutuk dan sebagainya. Lebih buruk ialah untuk memfitnah. Itulah  kelakuan orang yang tidak beradab,  orang yang tidak beretika, yang rendah moralnya, orang tidak berilmu, tetapi mendakwa dialah orang berilmu dan paling sopan. Dalam cemuhan itu dia memuji dirinya sebagai orang yang jujur, ikhlas, dan mengutamakan kepentingan awam.  Cemuhan itu bertujuan untuk  membuatnya rasa seronok kerana boleh menyalahkan orang yang tidak disukainya.  Sebaliknya, kritikan bukan cemuhan, tetapi penilaian berasaskan ukuran tertentu, yang mesti dijelaskan supaya pembaca faham apakah ukuran yang digunakan itu. Cemuhan tidak memerlukan ukuran, hanya tindak balas spontan berasaskan emosi, lantas lebih memperlihatkan sikap negatif dari hati yang boleh dianggap kotor.  Walaupun seorang pengkritik kadang-kadang sangat kritis, tidak ada sikap negatif itu kerana dia membentang dengan jelas ukuran yang dipakainya. Oleh itu pembaca boleh terima atau tolak ukuran itu. Jika ditolak, dia perlu memberi penjelasan, mengapa ukuran itu tidak boleh dipakai. Jika dia tidak memberi penjelasan atau hujah, maka dia hanya mencemuh, bukan mengkritik. Perkara ini sebenarnya perkara asas, yang sudah diketahui oleh sesiapa saja yang ingin menceburkan diri dalam bidang kritikan. Dia mestinya sudah ada persediaan ilmiah. Tetapi jika dia hanya ingin mencemuh, dia tidak perlukan apa-apa persediaan ilmiah. Dia boleh saja terus menghentam membuta tuli, menyeranah sesiapa juga yang disukainya (anda harus berhati-hati membaca ironi ini!).  Kita boleh lihat keunggulan seorang pengkritik, tetapi kita hanya nampak keangkuhan seorang pencemuh. Paling bagus ialah si pencemuh ini dengan gagah perkasa mencemuh sang pengkritik tanpa sebarang usaha untuk memahami pengkritik tersebut, suatu tindakan yang spontan kerana dia menyatakan dia memang benci dan tidak akan membaca tulisan pengkritik itu yang dinilainya sebagai tidak berguna. Dan tidak memberikan apa-apa pandangan yang boleh memajukan pemikiran masyarakat/pembaca. Bagaimana dia boleh tahu dan boleh menilai sang pengkritik yang tidak dibacanya? Itulah keistimewaan sang pencemuh: dia manusia serba tahu yang tidak tahu dia tidak tahu apa-apa sambil membuat penilaian konkrit dan berani tentang perkara yang dia tidak tahu apa-apa. Itulah tipikal perangai baik sang pencemuh.

Siapakah mereka dalam sastera Melayu? Kita boleh namakan mereka, tetapi kerana mereka sering disenaraikan dalam berbagai-bagai senarai, maka mereka tidak perlu dikenal pasti, cukup dengan melihat wajahnya (jika akhbar atau majalah ingin memperkenalkannya) atau membaca namanya (atau “tidak bernama”) untuk mengingatkan kita bahawa di sekeliling kita berkeliaran tukang cemuh yang bersedia pada bila-bila masa saja untuk mencemuh sesiapa saja yang tidak disukainya.  Berapa ramaikah mereka? Angka sebenar tidak mungkin diketahui, kerana sering berubaha-ubah, sama ada bertambah atau berkurangan. Tetapi angka tidak penting, kerana yang penting ialah pengaruh pencemuh ini agak  besar dalam budaya pandirisme sehingga boleh melewatkan kemajuan atau perkembangan kebudayaan berasaskan konsep ilmu yang benar.  Para pencemuh ini berusaha untuk melihat gagasan Persuratan Baru tidak tersebar luas, dengan misalnya memberi komen yang negatif, memberi nasihat (nasihat sepatutnya untuk kebaikan!) supaya Persuratan Baru dipinggirkan dengan tidak membincangkannya secara akademik, kerana selain niat mereka tidak baik, mereka pula tidak mempunyai kelayakan akademik untuk membincangkan Persuratan Baru dengan objektif. Ini hanya sedikit contoh; lain-lain contoh anda boleh dengar sendiri diucapkan oleh para pencemuh ini sebaik saja terbuka peluang untuk itu. Apakah faedahnya mereka berbuat demikian? Menurut maklumat yang sampai kepada saya, faedah paling besar ialah mereka berjaya mempertahankan kedudukan sastera dalam keadaan status quo, tanpa perlu diadakan perubahan jika Persuratan Baru disebar atau dibincangkan secara akademik. Menurut para pencemuh ini, maksud mereka adalah baik dan matlamat yang ingin mereka capai adalah terpuji; oleh itu tidak ada sebab untuk mengutuk mereka sebagai pencemuh, kerana yang mereka lakukan bukan mencemuh, tetapi hanya menyekat kemaraan Persuratan Baru dengan memberi gambaran buruk, seburuk yang mereka dapat bayangkan dan usahakan. Mereka berkata, jika Persuratan Baru menjadi aliran perdana, dengan ramai para penyokong, maka sastera Melayu akan rosak, dan tidak ada lagi sasterawan negara, malah yang ada sekarang pun akan diturunkan darjatnya kerana mereka tidak menulis dalam kerangka Persuratan Baru. Mengapa para sasterawan ini perlu dihukum?  Demikianlah mereka bertanya mendedahkan hati mereka yang suci bersih. Itulah kejahatan yang dibawa oleh Persuratan Baru, tegas mereka dengan jujur.  Kerana ini merupakan satu dogma yang dipegang kukuh oleh kumpulan ini, maka tidak ada faedahnya berhujah dengan mereka, kerana mereka memang tidak mahu mendengar pandangan orang lain mengenai Persuratan Baru.  Niat mereka yang suci bersih untuk mempertahankan sastera Melayu dan para sasterawan tidak membenarkan mereka untuk bersikap objektif.

Nampaknya mereka berjaya memburukkan Persuratan Baru, dengan itu diiringi dengan kejayaan yang memuaskan hati mereka apabila Persuratan Baru dapat ditumpaskan dengan mudah dalam pertarungan merebut pengaruh.  Di sini mereka tersilap besar: Persuratan Baru tidak berminat sama sekali untuk merebut apa juga jenis pengaruh daripada sesiapa pun. Sebaliknya, Persuratan Baru hanya mencabar kedudukan sastera Barat dalam bahasa Melayu seperti yang dipertahankan oleh sekumpulan pencemuh ini.   Pada mulanya ada di antara mereka yang berkata, dengan penuh yakin dan jujur, bahawa kita telah melakukan kesilapan besar dalam menilai karya kita dengan menggunakan ukuran Barat,  yang memang tidak sama dengan sastera kita. Walaupun pendapat ini disebut oleh seorang profesor sastera yang teramat masyhur di Malaysia dan seluruh Nusantara, malah di kalangan ahli akademik seluruh dunia, namun tidak diberikan penjelasan sedikit pun oleh tokoh popular ini  apakah yang tidak sesuai itu dan apakah yang dikatakan “salah” itu. Tentu saja pendapat begini tidak berharga dari segi akademik dan dari segi pemikiran tidak bermutu sedikit pun, tetapi kerana diucapkan oleh seorang yang begitu hebat dalam pandangan para sasterawan, dia masih dituntut untuk membuat penjelasan itu supaya tidak ada lagi orang membuat kesilapan yang sama dengannya andainya dia seorang yang jujur, walaupun kejujuran bukanlah faktor penting dalam dunia akademik Malaysia.  Apatah lagi apabila orang yang sama pernah menulis di tempat lain bahawa tanggungjawab seorang ahli  akademik adalah berat, termasuk di dalamnya tugas untuk mengelak dari kekeliruan yang boleh dielakkan.  Sayangnya beliau menganggap permintaan yang adil itu satu cemuhan untuk memburukkan namanya yang mulia itu. Lanjutan dari sikap ini ialah terserlahnya sikap memandang tinggi teori Barat, yang dianggap menjadi sumber kemajuan sastera Melayu moden. Anggapan ini belum tentu betul, sebelum diberi analisis dan penilaian yang kritis. Jika betul sekali pun, perlukah kita menjadi pengikut Barat seumur hidup? Inilah kesimpulan seorang pengarang Afrika yang terkenal, Chinua Achebe: “It is ... dignity that many African people all but lost during the colonial period, and it is that they must now regain. The worst thing than (sic) can happen to any people is the loss of their dignity and self-respect. The writer’s duty is to help them regain it by showing them, in human terms, what happened to them, what they lost.” (Dikutip oleh Agustine Nwoye dalam tulisannya yang dimuat dalam Decolonising the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms, terbitan USM, 2012, hal. 233.  Semua sasterawan dan sarjana yang tahu baca Inggeris harus membaca tulisan itu dan salah sebuah tulisan penting dalam buku ini, “Footprints of the ‘West’ in Arabic Language and Literature”, oleh Roghayeh Rostampour. Terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani yang menghadiahkan buku penting ini kepada saya.)

Mohd Affandi Hassan
11/1/2013

No comments:

Post a Comment