Tuesday, December 4, 2012

BENARKAH SASTERAWAN NEGARA BUKAN GOLONGAN PEMIKIR?


Dalam seminar pemikiran sasterawan negara A. Samad Said tak berapa lama dulu, saya bertanya Prof. Rahman Shaari, adakah A. Samad Said seorang pemikir? Saya terkejut dan hairan apabila beliau mengatakan tidak, ertinya A. Samad Said bukan seorang pemikir. Siapakah di antara sasterawan negara yang ramai itu boleh diterima sebagai seorang pemikir? Ada orang berkata, soalan itu sangat nakal, bertujuan untuk menghina para sasterawan negara. Ini pun satu hal yang sangat pelik dan memalukan, seolah-olah orang yang beranggapan demikian, kerana terlampau ghairah ingin mempertahankan kedudukan sasterawan negara, telah menjadikan mereka seolah-olah patung Kristus di Gereja Sastera Malaysia.  Di Indonesia pula, kegiatan sastera dalam pandangan Prof. A. Teeuw, adalah sejenis gerakan gereja tidak rasmi, yang membolehkan orang Indonesia berasa sangat bangga apabila H. B. Jassin digelar Paus Sastera Indonesia oleh Gayus Siagian. Mengapa harus diberi gelar “Pope” tidak pernah dipersoalkan, walaupun H. B. Jassin telah menulis tafsir (lebih tepat terjemahan harfiah) Quran, dan dia memang seorang Islam. Bagaimana masyarakat Indonesia boleh bebangga apabila dia digelar Paus Sastera Indonesia?  Nampaknya idea ini dibawa masuk ke Malaysia, sama ada disedari atau hanya untuk megah terikut-ikut saja, dengan meletakkan para sasterawan negara ini sebagai golongn istimewa yang mesti diiktiraf sebagai kelompok yang berada di luar pagar kritikan seperti yang diberikan kepada para paderi. Mengapa mesti meletakkan mereka di luar pagar? Dengan berbuat begitu, mereka bebas dari segala kritikan yang akan meletakkan mereka seolah-olah setaraf dengan  para sasterawan lain, padahal mereka adalah golongan istimewa dan telah dianggap demikian oleh negara yang memberikan mereka gelaran itu. Sekarang anda faham apa maksud saya membawa cerita H. B. Jassin ini? Kata orang yang berpendapat begini, para sasterawan negara sendiri telah menerima hakikat itu dan dengan sedar meletakkan diri mereka sebagai golongan istimewa. Anda mahu bukti? Di mana saja anda bertemu mereka, anda mesti address “sasterawan negara”; dan dalam tiap majlis, gelaran dan nama mereka mesti disebut.  Dalam satu peristiwa, ada seorang yang bergelar ini masuk majlis dan duduk bersama orang lain; tiba-tiba ada satu orang besar sastera memberi ucapan aluan, dia sebut beberapa nama, yang bukan  sasterawan negara; tetapi tidak menyebut nama orang itu padahal dia sedar kehadiran orang itu; maka marahlah orang itu kerana berasa terhina. Oleh itu, mereka mestilah diberi keutamaan dalam mana-mana majlis sastera. Jika tidak, mereka mengomel tidak puas hati; dan omelan mereka ini telah lama kedengaran. Walaupun ada sasterawan lain tertawa kerana menganggap perbuatan itu lucu, namun sebahagian besar sasterawan menerima omelan itu sebagai suara protes yang wajar.  Kata orang yang baik-baik, apa guna diberi gelaran jika tidak disebut dan orangnya tidak diangkat-angkat? Sebenarnya memang betul, kerana itulah budaya Melayu. Jadi sebagai orang berbudaya dan beradab sopan yang tinggi, mereka mesti dihormati dan disanjung setiap masa, tanpa ragu-ragu. Lebih-lebih lagi mereka pun mahu dilayan begitu.  Adakah ini bentuk feudalisme sastera?  Ada orang mengomel, tak pasal-pasal kita dibeban dengan feudalisme sastera seperti ini.  Jika kita meneliti semua ini, tidak dapat dielakkan lagi kita harus bertanya: Siapakah sebenarnya sasterawan negara ini?

Soalan itu tidak boleh dijawab oleh seorang pengkritik sastera, yang di Malaysia telah diberi  peranan dan kedudukan sebagai pakar untuk memuji para sasterawan negara, dan secara umum sasterawan lain yang masih menunggu giliran.  Ini menimbulkan sedikit masalah: Jika soalan itu tidak boleh ditanyakan, bagaimana kita akan menentukan status para sasterawan negara ini?  Sebenarnya status mereka telah dipastikan melalui majlis rasmi yang dihadiri oleh Yang Dipertuan Agong yang menganugerahkan sendiri ijazah untuk membolehkan seseorang sasterawan diberi gelaran Sasterawan Negara. Itulah kedudukan mereka, sebagai seniman di raja, yang sama taraf dan kedudukannya dengan “polis di raja, “askar Melayu di raja”, “kastam di raja”, dan lain-lain lagi yang diberi gelaran “di raja”. Terloncat satu soalan nakal daripada seorang murid kelas satu yang baru meninggalkan kelas tadika: “Adakah para sasterawan negara ini sama darjat dan kedudukannya dengan Profesor di Raja?”  Gurunya menjawab pantas: “Tentu tidak sama. Kita mempunyai hanya seorang Profesor Di Raja, tetapi sasterawan di raja yang bergelar sasterawan negara itu sudah berjumlah 11 orang semuanya, dan akan ditambah lagi. Lainlah jika kita menambah gelaran Profesor di Raja setiap tahun. Pada ketika itu samalah kedudukan seniman di raja yang bergelar sasterawan negara itu dengan kedudukan seorang profesor yang bergelar Profesor di Raja. Kamu faham?”.  Semua murid kelas satu (kini dipanggil tahun satu) meneriakkan dengan penuh bersemangat: “Faham cikgu!!”

Itulah ceritanya. Atau: Begitulah cerita kedudukannya. Adakah sama maknanya dua kesimpulan ini, atau kedua-duanya tidak bermakna apa-apa?  Yang sah dan pasti ialah Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan seminar pemikiran sasterawan negara untuk semua sasterawan negara, dan bukunya telah diterbitkan dengan pengantar oleh sasterawan negara sendiri.  Sama ada mereka pemikir atau apa ditentukan oleh karya dan sumbangan mereka. Yang akan menentukannya ialah pembaca yang kritis yang memberikan bukti dan hujah sebelum membuat kesimpulan.  Di antara mereka ada yang tinggi kedudukannya, ada yang sederhana, dan ada yang rendah saja kedudukannya. Mereka tidak setaraf, walaupun sama dari segi gelaran.  Walaupun mereka diberi gelaran, namun gelaran tidak menentukan kualiti karya mereka. Oleh itu ada di antara mereka yang menulis karya picisan, hatta selepas diberi gelaran sasterawan negara; dan ada di antara karya picisan yang ditulis sebelum mereka diberi gelaran itu dijadikan bukti untuk melantik mereka sebagai seniman di raja yang diberi gelaran sasterawan negara.  Sebagai penulis dan sasterawan, mereka bukanlah istimewa; tetapi gelaran sasterawan negara itu sangat istimewa, yang membolehkan mereka diletakkan di luar pagar kritikan.  Itulah kedudukan sebenar para sasterawan negara. Oleh itu mereka tidak perlu diberi taraf seorang pemikir kerana tidak diberi peluang untuk diuji sehabis kritis dalam analisis dan penilaian yang ketat berasaskan ukuran yang boleh diuji kesahihannya, tidak kira dari mana datangnya ukuran itu.  Kritikan cerita yang dipakai untuk menilai karya mereka, seperti yang dibuat sekarang,  hanya menyerlahkan kedudukan mereka sebagai penglipur lara moden atau penulis cerita, bukan sebagai pemikir.  Jika kita benar-benar berminat untuk membuktikan mereka sebagai pemikir, maka kita harus menggunakan kritikan wacana yang lebih teliti, kritis, dan objektif menganalisis dan menilai “pemikiran” mereka, bukan hanya bercerita tentang “pemikiran” mereka.  Itulah pilihan yang perlu kita buat; dan untuk itu kita perlu meletakkan sasterawan negara di canai wacana yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru.     Tidakkah itu namanya melanggar feudalisme sastera? Tak pasal-pasal anda dipaksa membuat pilihan: terus bersama feudalisme sastera, atau  membina tradisi persuratan berasaskan konsep ilmu yang benar.    

Mohd Affandi Hassan,
3 Disember, 2012.

No comments:

Post a Comment