Akhir-akhir ini banyak sekali kita dengar rintihan, rungutan, kesalan, kemarahan, dan entah apa-apa lagi mengenai bahasa Melayu. Perlukah kita tangisi nasib bahasa Melayu? Saya kira bahasa Melayu masih hidup dan semakin baik kedudukannya sebagai bahasa negara. Cuma akhir-akhir ini saja terdapat sedikit kekeliruan daripada ahli-ahli politik, di kalangan UMNO atau UMCO (nama baru yang agak popular sekarang) terutama sekali. Kekeliruan itu timbul daripada kelemahan bahasa Melayu mereka, yakni mereka tidak boleh bercakap Melayu dengan fasih dan tidak boleh berfikir dalam bahasa Melayu. Oleh itu mereka campur-campur bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam percakapan dan ucapan mereka. Masalahnya ialah, bahasa Inggeris mereka juga tidak lancar, menyebabkan mereka tergagap-gagap mencari nafas ketika ingin menyampaikan sesuatu. Mengapa jadi begini? Mereka adalah hasil pendidikan Malaysia yang telah gagal melahirkan manusia yang cekap berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dalam sistem pendidikan yang kita ada, terjadi jungkir-balik dari segi memahami keperluan ilmu dan kemahiran berfikir. Sepatutnya kita perkuatkan (sekarang orang kata, perkasakan) kemahiran berbahasa ini sebagai teras utama dalam sistem pendidikan, diikuti dengan pengajaran matematik. Dua mata pelajaran ini adalah teras kemajuan, teras pembinaan tamadun. Apa yang kita buat ialah menjadikan anak-anak kita bodoh dengan tidak memberi mereka peluang menjadi pengguna bahasa yang kompeten, yang boleh berfikir dengan teratur dalam berbahasa dengan menguatkan kemahiran mereka dalam ilmu matematik. Dua mata pelajaran ini berkaitan rapat: ilmu matematik memberi kita sistem untuk berfikir; bahasa pula memberi kita kebolehan untuk menyuarakan secara sitematis apa juga yang ingin kita ucapkan. Kita menjadi bisu dan bodoh apabila kerajaan mengutamakan sains dan teknologi. Itulah punca kelemahan kita berbahasa dan berbicara dengan sistematik. Dasarnya (bahasa dan matematik) tidak kita perkuatkan, yakni bahasa dan matematik. Kecelakaan ini terjadi kerana para pembuat dasar pelajaran tidak mengenal tamadun dunia secara dekat, terutama tamadun Islam. Jika mereka kenal tamadun Islam secara dekat, mereka akan tahu bahawa sebelum lahirnya Al-Farabi, Ibn Sina dan ahli sains Islam yang lain-lain, termasuk ahli matematik, sudah dikanunkan terlebih dahulu bahasa Arab dan sastera Arab dan nahu Arab. Pada waktu yang sama mereka mempelajari logik dan matematik. Dua ratus tahun kemudian barulah lahir tokoh-tokoh besar dalam berbagai jenis ilmu sains ini. Tak bolehkah kita jadikan ini panduan kita?
Mengenai sastera Melayu. Mengapa mesti ditangisi? Jika anda tahu bagaimana sejarah kesusasteraan Melayu moden dilahirkan, anda akan rasa bahagia dan gembira sekiranya sastera Melayu moden itu sedikit demi sedikit hapus. Tamadun kita mementingkan persuratan, yang melaluinya kita lahirkan pendita, ulama, para pengarang. Tamadun kita tidak kenal sasterawan dan tidak menghargai sasterawan. Hanya akhir-akhir ini saja kita tersasul jauh daripada dunia persuratan itu dan tenggelam dalam dunia sastera yang tidak memberi apa-apa yang istimewa jika dibandingkan dengan dunia persuratan yang telah melahirkan ribuan ulama dan cerdik pandai kita. Jika anda tidak kenal mereka, maka itulah tandanya anda sudah mabuk, betul-betul mabuk dalam sastera dan sasau dalam dunia yang tidak memberi apa-apa faedah dari segi intelektual. Fikirkanlah. Kita harus berbangga jika kita akhirnya akan kembali kepada persuratan dan meninggalkan sastera. Tidakkah kita telah silap besar? Kalau anda masih keras kepala, maka ketahuilah anda telah ditipu oleh faham sastera yang merugikan anda, tetapi anda tidak tahu atau terlalu degil untuk menerimanya. Anda perlu tahu, sebaik saja sastera Melayu moden diajarkan di universiti, maka bermulalah kebodohan umat Melayu tentang tamadun mereka. Bermulalah juga penggunaan bahasa Melayu yang tidak bersifat ilmah, tidak berciri intelektual, apabila bahasa Melayu dikaburkan dengan bahasa-bahasa "sastera" (kononnya) yang mengutamakan hawa nafsu, emosi, dan kebebasan menulis yang tidak berasaskan ilmu. Sesiapa juga yang mahu pertikaikan kesimpulan ini, silakanlah. Kemukakan hujah anda secara ilmiah, bukan mengikut perasaan. Kita harus ajar kembali rakyat kita mencintai ilmu, bukan lagi diri sendiri seperti yang diutamakan dalam karya sastera.
Mohd. Affandi Hassan, 25/11/2010.
Thursday, November 25, 2010
Monday, November 22, 2010
Membina Generasi Persuratan Dengan Kesedaran Taklif Yang Tinggi
Mengapa taklif penting dalam kehidupan manusia? Seperti yang dijelaskan oleh Shah Waliullah al-Dahlawi, tersirat di dalam konsep taklif itu tiga rahsia yang menjadi asas kehidupan semua manusia. Tiga rahsia taklif itu ialah ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar. Tentang rahsia pertama, secara fitrah manusia dibekalkan dengan kemampuan untuk memahami kewujudan Allah Ta’ala, dengan itu manusia diberi kemampuan untuk membaca ayat-ayat Allah di dunia. Dari situlah tercipta semua jenis ilmu dan kemahiran yang dipunyai manusia sekarang. Tetapi lama-kelamaan manusia memisahkan dirinya daripada sumber ilmu yang sebenar, yakni Allah Ta’ala, sehingga dia menjadikan dirinya ukuran nilai-nilai kehidupannya. Pada ketika itu dia tidak lagi sedar akan hakikat taklif yang secara tabi’i menjadi asas kejadiannya sebagai manusia. Walaupun dia mungkin seorang Muslim, beragama Islam, namun kesedaran taklifnya begitu rendah sekiranya dia tidak lagi mempelajari ilmu tauhid, dengan itu memisahkan dirinya daripada sumber ilmu yang benar. Dia mungkin tahu sesuatu daripada pengalamannya sebagai manusia (yang beriman atau tidak), tetapi tidak kenal hakikatnya. Inilah yang terjadi kepada Ratu Balqis, ketika beliau menemui Nabi Sulaiman ‘a.s. lalu melihat kolam pada lantai berkilat. Pengalaman empirisnya telah membuat dia melihat realiti semu di depan matanya. Apabila diberitahu Nabi Sulaiman ‘a.s. hakikat sebenarnya, barulah dia sedar dia telah menzalimi dirinya, dan dengan kesedaran itu dia menerima ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Sulaiman ‘a.s.
Kerana adanya tiga rahsia taklif yang dihuraikan oleh Shah Waliullah tadi, maka barangsiapa yang benar-benar sedar dan faham akan hakikat taklif ini akan muncul sebagai seorang manusia yang kuat peribadinya, seperti yang ditekankan oleh Iqbal dalam syair-syairnya.
Mengapa taklif penting dalam seni mengarang dan penulisan? Taklif seperti kemudi kepada perahu dan kapal. Semua orang yang siuman tahu apa yang akan terjadi kepada perahu dan kapal jika tidak dikemudi dengan bijak dan betul. Bila perahu atau kapal sampai di pengkalan, taklif seperti tali sauh atau tali pengikat untuk menambat perahu supaya tidak hanyut dan selamat di perhentian. Bila kapal di tengah lautan, taklif seperti nakhoda yang cekap, mengelak dari batu karang, membawa muatan yang berguna untuk semua manusia, yang diridhai Allah Ta’ala. Taklif membina ilmu yang benar, membina peribadi takwa, menemukan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Semua ini terkandung dalam hakikat taklif. Dengan kesedaran takif, jika anda seorang sasterawan atau sarjana, anda boleh baca apa juga karya. Tak akan terpesona. Anda boleh membezakan realiti semu dengan realiti hakiki. Ini penting, kerana ramai orang yang hanyut dalam realiti semu ini. Apabila para sasterawan dan sarjana berasa selesa berada dalam realiti semu, menganggap lantai berkilat yang dipijaknya sebuah kolam yang dalam seperti yang terjadi kepada Ratu Balqis, maka mereka akan terus khayal dalam keselesaan palsu dan terus keliru dalam penilaian mereka. Orang-orang seperti ini sangat gigih mempertahankan kepalsuan itu bukan kerana mereka tidak tahu yang benar, tetapi kerana mereka berpihak kepada Mephistopheles seperti yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam sajaknya, “baris-baris dari muzium goethe”. (Sebuah Unggun di Tepi Danau, hal. 5). Dalam konteks ini, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah menyuarakan pendapatnya begini: “Kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 14). Apakah kesalahan itu? Masih dirahsiakan. Berapa ratus jumlahnya? Belum lagi dihitung. Siapa yang melakukannya? Belum ada kepastiannya. Adakah Panel Anugerah Sastera Negara termasuk dalam senarai yang belum disiapkan? Pertanyaan ini tidak perlu kerana Panel Anugerah Sastera Negara telah diisytiharkan tidak melakukan apa-apa kesilapan dan kesalahan. Kesimpulan ini memang logik dan semestinya begitu: kerana kalau tidak, pelantikan Sasterawan Negara oleh Panel Anugerah Sastera Negara tentulah boleh dipersoalkan dan mungkin juga silap, oleh itu terdapat sasterawan negara yang tidak layak telah dilantik oleh Panel. Semua ini menjadi masalah apabila konsep ilmu yang benar dan konsep taklif ditolak, tidak boleh dipakai dalam kritikan dan penilaian sastera yang diasaskan kepada teori dan nilai-nilai Barat, yang kini menjadi pegangan para sasterawan, pengkritik, sarjana dan ahli Panel Anugerah Sastera Negara.
Dua kekeliruan mesti dijelaskan: kemunculan generasi persuratan tidak bererti golongan sasterawan akan terhapus. Golongan sasterawan akan naik pangkat bila menyertai generasi persuratan, tetapi tidak sebaliknya. Kedua: kemunculan generasi persuratan memang ditunggu-tunggu dalam persuratan Melayu, untuk mengembalikan nilai-nilai Islam dalam persuratan dan kebudayaan Melayu yang telah dirosakkan dan dipinggirkan oleh golongan sasterawan selama kira-kira 80 tahun, yang sampai ke kemuncaknya apabila Panel Anugerah Sastera Negara ditubuhkan. Panel inilah yang melanjutkan nilai-nilai sekular Barat dalam sastera Melayu moden dan dalam kebudayaan Melayu. Jika kita dapat percaya ucapan beberapa orang tokoh sasterawan yang mengatakan kita perlukan perubahan, atau kata mereka, kita perlukan anjakan paradigma, atau seperti kata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh kita telah lama membuat salah dalam penilaian kita, maka jalan keluar yang paling wajar dan selamat ialah dengan kembali kepada taklif, menjadikan taklif sebagai asas dalam seni mengarang. Tetapi para sasterawan dan sarjana sastera menolak taklif, kerana menurut mereka jalan satu-satunya yang boleh membawa sastera Melayu moden mencapai taraf antarabangsa ialah dengan meniru dari Barat, seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika menilai karya A. Samad Said. Jadi sebenarnya mereka yang menyalakkan perubahan ini tidak mahu berubah. Malah yang berubah ialah sikap mereka yang tidak mahu lagi bercakap tentang perubahan, kerana di depan mata mereka berdiri gagasan Persuratan Baru mencabar kejujuran dan sikap lapang dada mereka yang selama ini mereka sering jeritkan sebagai kepunyaan mereka. Bagi mereka, orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka adalah biadab, tidak beretika, tidak bertamadun, cetek dan angkuh. Hanya orang-orang yang bersifat seperti yang mereka katakan itu saja yang menerima gagasan Persuratan Baru. Siapakah mereka ini sebenarnya?
Dalam seminar pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh baru-baru ini, pensyarah dan pensajak muda Shamsuddin Othman, Imam Madrasah al-Johori (maaf jika maklumat ini salah!) menulis satu kertas kerja yang banyak memetik ayat Al-Quran. Yang menarik ialah beliau mengemukakan “teori” (?) beliau yang beliau namakan Model Rasa Insaniah (MRI). Pada mulanya saya fikir sejenis mesin pengesan yang canggih, MRI yang dipakai di hospital. Rupanya MRI Shamsuddin ini meneropong tiga unsur, (1) penulis sebagai makhluk, (2) penulis yang bersifat kerasulan (?), (3) penulis dan karya. Bila saya fikir-fikir, saya kira konsep taklif yang dihuraikan oleh Shah Waliullah lebih tepat. Gerun juga membaca prinsip kedua itu. Dalam novel Jejak Warisan saya catat, pengarang adalah tokoh penting dalam kehidupan manusia bertamadun dalam Islam, selepas ulama, kerana ulama adalah waris para nabi. Ulama besar adalah pengarang terkenal pula, dan dari kitab-kitab mereka kita belajar tentang hakikat Islam. Urutannya jelas. Tidak pasti mengapa Shamsuddin Othman mengemukakan MRI. Mungkin kerana beliau ingin berteori-teorian. Kalau itu tujuannya, memang tidak perlu, kerana yang anda kemukakan itu boleh membawa kekeliruan. Kita sudah ada istilah kita sendiri, pakai saja supaya mengelak dari kekeliruan. Oleh itu saya ingin peringatkan kepada generasi persuratan, mereka tidak harus mengusutkan yang telah dijelaskan oleh para ulama, misalnya dengan mengemukakan idea “realisme magis Islami” yang mengelirukan itu. Jika kita berpegang kepada Surah al-‘Asr, kita tidak akan keliru; malah kita akan jadi lebih berani dan jujur untuk menyatakan kebenaran yang diajarkan kepada kita oleh para nabi. Tepat sekali pandangan Imam Shafi’i bahawa Surah al-Asr itu sepertiga daripada al-Quran. Pendek, tetapi huraian dan maknanya panjang seluas angkasa; dalamnya lebih dalam daripada tujuh lautan; tingginya lebih tinggi daripada semua gunung yang di darat dan di dalam laut. Kalau anda mahu tahu, itulah hakikat taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Waliullah: ilmu pengetahuan; keadilan; usaha ikhtiar. Terjemahan (A. Hassan Bandung): “Perhatikan masa; sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; kecuali orang yang beriman dan beramal baik dan berpesan-pesan pada (menjalankan) kebenaran, dan berpesan-pesan pada manjalankan kesabaran.” Para sasterawan, sarjana, ahli akademik, pengkritik sastera, tidak suka dinasihati; sebab itulah mereka anti-khutbah kerana di dalam khutbah itu terkandung nasihat yang baik. (Untuk mendapat huraian dan penjelasan lanjut, lihat kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009), hal. 122-124).
Mohd. Affandi Hassan, 22/11/2010.
Saturday, November 20, 2010
CABARAN INTELEKTUAL DAN CABARAN KREATIF GENERASI PERSURATAN
Dalam tahun 1950, para penulis muda ketika itu, yang memanggil diri mereka sasterawan, berjaya menguasai akhbar dan majalah Melayu ketika itu, seperti Utusan Melayu dan Mastika. Melalui dua penerbitan penting ini, Asas 50 melancarkan serangannya terhadap pengarang lama Melayu ketika itu, dengan menuduh mereka tidak progresif, jumud, tidak mempunyai bakat sebagai penulis, taksub kepada Islam dan idea lama, dan berfaham kuno menentang fikiran baru. Kumpulan Asas 50 ini melancarkan serangan yang begitu hebat terhadap tulisan Jawi, yang menurut mereka tidak ada kaitannya dengan agama Islam (baca laporan dalam akhbar Warta, Bil. 58, bertarikh 6 April 1954). Berasaskan pandangan itu, maka Asas 50 menggunakan akhbar dan majalah yang dikuasai mereka untuk melancarkan gerakan sosialis dalam politik dan sastera Melayu moden, yang menurut mereka hanya dengan gerakan bercorak itu saja rakyat boleh dimajukan dan negara boleh dimerdekakan. Waktu itu mereka tidak kenal realisme sosialis, tetapi mereka mendukung faham realisme dalam tulisan mereka, dengan menjadikan sastera dan karya sastera sebagai landasan propaganda mereka untuk memisahkan agama daripada kehidupan orang Melayu, yang secara tersembunyi agama dianggap sebagai madat yang menghalang kemajuan. Kemuncak perjuangan Asas 50 dan suku-sakatnya ialah dengan terbentuknya Panel Anugerah Sastera Negara. Satu persatu orang-orang Asas 50 atau pengikutnya diangkat menjadi apa yang mereka namakan dengan gah sebagai “Sasterawan Negara”. Yang tertinggal ialah A. Samad Ismail. Beliau ditinggalkan mungkin kerana pernah diISAkan dan dituduh membawa faham komunis; tetapi kemudiannya diberi anugerah dengan gelaran Tan Sri kerana jasa-jasanya sebagai wartawan. Terakhir beliau diabadikan oleh UiTM dengan Kursi A. Samad Ismail dalam bidang kewartawanan. A. Samad Ismail yang kecewa menuduh sastera Melayu dikuasai golongan Mafia sastera, yang meragut semua hadiah dan anugerah yang mereka adakan untuk dikongsi dengan rakan-rakan terdekat.
Kebenaran pandangan A. Samad Ismail dapat dilihat bagaimana orang-orang yang tidak layak berada di dewan Sasterawan Negara tiba-tiba berada di situ dan menjadi masalah apabila kehadiran mereka dianalisis dengan kritis. Tetapi ini bukan satu masalah besar, kerana pada umumnya tidak ada sasterawan yang tidak layak digelar “sasterawan negara”, sekiranya tidak dihalang. Menghalang sasterawan tertentu daripada diberi anugerah negara itu adalah antara “perjuangan suci” kumpulan Mafia sastera ini. Tetapi sumbangan kumpulan ini yang lebih penting ialah ketegasan mereka meneruskan pengaruh dan nilai-nilai Barat yang sekular dalam sastera Melayu moden, yang dilaksanakan dengan berkesan melalui Panel Anugerah Sastera Negara. Meskipun terdapat suara-suara palsu yang seolah-olah menyesali pengaruh Barat ini, misalnya yang disuarakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Dr. Zawiah Yahya dalam tulisan mereka, namun pada hakikatnya mereka berpendapat tidak wujud sastera Melayu moden tanpa Barat atau pengaruh Barat. Pandangan mereka nampaknya diaminkan oleh sebahagian besar sasterawan Melayu, dari golongan tua mahu pun golongan muda. Walaupun mereka ini sering bercakap tentang perubahan dan sebagainya, tetapi mereka menentang kuat apa juga percubaan untuk membawa kembali persuratan Melayu berasaskan Islam untuk menggantikan kesusasteraan Melayu moden yang keliru dan bersifat sekular sepenuhnya. Mungkin aneh bagi yang tidak mengkaji perkara ini, apabila diberitahu bahawa idea beberapa orang daripada mereka yang inginkan nilai-nilai Islam dalam kesusasteraan, pada hakikatnya adalah percubaan yang mungkin tidak disedari untuk mensekularkan nilai-nilai Islam berasaskan nilai-nilai sastera Barat. Saya telah menyentuh perkara ini dalam buku saya, Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP, 1992, cetakan kedua 2005).
Generasi persuratan mungkin tidak menghadapi masalah yang digambarkan di atas; tetapi mereka menghadapi masalah yang lebih besar. Pertama, mereka harus memperlengkapkan diri mereka dengan kemahiran berfikir, diikuti dengan kemahiran menulis dan berhujah. Kedua, mereka harus memahami dengan mendalam tamadun Barat, yang lama dan yang semasa; sama seperti mereka memahami dengan mendalam tamadun Islam. Ketiga, mereka harus menerima hakikat bahawa sebagai pengarang, mereka hanya akan dihormati berasaskan penulisan mereka yang berkualiti, bukan dengan pemberian hadiah dan anugerah atau apa-apa gelaran rasmi yang diberikan kepada mereka. Saya akan bincangkan yang ketiga ini terlebih dahulu, kerana dari ketiga-tiga masalah ini yang ketiga inilah yang terpenting. Ia berkait dengan maruah.
Kekuatan generasi persuratan akan diukur daripada kehebatan karya mereka, bukan kerana hadiah dan anugerah yang diterima atau diberikan kepada mereka. Hakikat ini menjadi masalah besar dalam kehidupan hedonistik para sasterawan yang mementingkan penghormatan luaran, bukan kekuatan daya intelek dan pemikiran. Dalam konteks ini, saya telah membincangkan kaitan Sea Write Award dengan maruah para sasterawan. Nampaknya kita harus berhati-hati apabila membaca perisytiharan para sasterawan ini yang menegaskan dengan lantang bahawa mereka adalah pembela keadilan, kemanusiaan, dan penentang kezaliman. Sedangkan pada waktu yang sama mereka membiarkan saja pembunuhan beramai-ramai oleh askar Siam di Patani dan lain-lain wilayah selatan Siam yang didiami oleh orang Melayu sejak beribu tahun. Mereka menulis sajak dan membaca sajak tentang kekejaman askar Siam dan kerajaan Siam membunuh ulama dan rakyat Wilayah Selatan; tetapi mereka tidak berasa canggung atau rasa tertipu menerima anugerah SEA Write Award dari negara pembunuh ulama itu. Mereka tidak rasa berdosa, tidak rasa terkilan sedikit pun. Mereka begitu rakuskan penghormatan, walaupun daripada musuh Islam dan musuh orang Melayu. Generasi persuratan tidak boleh bersikap begini dalam fiil mereka, berkata dan menulis satu perkara, tetapi berbuat sesuatu yang lain yang bertentangan. Mereka harus selalu membaca dan ingat maksud hadis munafik yang masyhur itu untuk dijadikan panduan.
Kita kembali kepada masalah pertama, tentang perlunya kemahiran berfikir, menulis dan berhujah. Tanpa kemahiran berfikir, tanpa kemampuan menulis dengan jelas, dan selekeh pula bila berhujah, maka hasilnya dapat dilihat seperti dalam Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, sebuah syarahan perdana yang gagal dan keliru. Anda harus membaca dengan teliti huraian dan kritikan Prof. Siti Hawa Hj. Salleh tentang buku ini dalam Budi Kencana, atau tulisan Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan tentang sarjana ini yang tidak boleh mengeja dengan betul (aneh bukan?) dalam Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera, hal. 12-17); atau tulisan Dr. Ramli Isin dalam buku yang sama (hal. 22). Dr. Ramli Isin menegur Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, gurunya, yang memuji sajak-sajak Baha Zain melampau-lampau kerana Baha Zain sahabatnya.
Tentang Ramli Isin sendiri, yang jadi murid sarjana yang tak boleh mengeja dengan betul ini, anda harus baca ulasan kritis (rujuk majalah Sarina, Januari 1985) oleh Balham K ke atas buku Ramli Isin berjudul , Riak dan Gelombang Sastera Melayu (DBP). Kata Balham K: [Buku ini mengandungi] sekumpulan tulisan yang sungguh kacau, malah beberapa tulisan ini jelas membuktikan kegagalannya sebagai peneliti sastera yang berwibawa gagasannya. ... pembacaan yang kritis akan cepat membawa seorang pembaca kepada hakikat kecetekan pemikirnanya. ... Penghujahannya berbelit-belit. .. kontradiksi dalam pembicaraannya cukup ketara (dan menyakitkan). ... Bakat Ramli hanya satu: mempermainkan beribu-ribu kata yang pada akhirnya tidak pun menyampaikan satu gagasan yang bermakna!” Lihat kesimpulan penulis Balham K yang menarik ini: “Ramli telah menulis: ‘Pada keseluruhannnya dapat dikatakan bahawa kita (para pengkritik) memang tidak pernah mendapat didikan secara formal dan sistematis, bagaimana pula untuk melakukan kritikan terhadap sesebuah karya itu.’ Penilaian Ramli itu tidaklah adil sebab kita memang mempunyai beberapa orang pengkritik yang arif tentang asas-asas kritikan, tetapi sebagai satu kenyataan untuk menghuraikan pengkritik seperti Ramli penilaian itu amat tepat.” Saya menurunkan kutipan yang agak panjang untuk memperlihatkan bagaimana penilaian seperti ini (yakni, yang dibuat oleh Ramli Isin) amat lumrah kita temui, satu penilaian yang tidak pernah dihujahkan. Dua pelajaran penting boleh diambil dalam kes Dr. Ramli Isin ini. Pertama, generasi persuratan jangan hendaknya menulis seperti Dr. Ramli Isin dan gurunya, mendedahkan kecetekan tulisan mereka dan kontradiksi yang berserak kerana kemahiran menulis dan berhujah secara logik sangat lemah. Pelajaran kedua, generasi persuratan harus bersedia menghasilkan tulisan terbaik dengan meletakkan standard yang tinggi, dan ini boleh dicapai jika mereka menjadikan syarahan pengukuhan Prof. Syed Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejah dan Kebudayaan Melayu (1972) dan syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu (2007) serta kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (2009), sebagai contoh dan standard yang perlu dicapai.
Perlunya kemahiran berfikir, menulis dan berhujah ini di kalangan generasi persuratan menjadi suatu tuntutan ilmiah dan kreatif yang tidak dapat diabaikan jika mereka benar-benar ingin memajukan pemikiran rakyat dengan menyediakan mereka keupayaan menilai dengan kritis apa juga sumbangan yang bercorak ilmiah dan kreatif. Para sarjana, pengkritik dan sasterawan telah gagal menyediakan arah yang jelas dalam kemajuan berfikir dan menilai ini, sehingga mereka tidak dapat mengesan tokoh yang benar-benar tulen dan berkebolehan daripada tokoh buatan yang dibina berasaskan mitos yang palsu. Kemunculan tokoh-tokoh buatan yang palsu ini pernah dibicarakan oleh Prof. Syed Hussein al-Attas sekitar tahun 1980-an apabila beliau bercakap tentang wujudnya profesor kangkung di universiti, yakni profesor yang tidak boleh berfikir dengan kritis dan tidak dapat menerima kritikan terhadap mereka. Dalam posting untuk blognya, Shamsuddin Othman, seorang pensyarah muda di UPM dan seorang pensajak, pernah menulis tentang perkara ini (rujuk posting dalam Tanah Nurani, bertarikh 14 Julai, 2010). Nampaknya masalah yang dicetuskan oleh Prof. Syed Hussein al-Attas itu masih berterusan, dan besar kemungkinan menjadi “arus perdana” dalam pengurusan universiti kita dan dalam dunia akademik. Nampaknya kita telah menjadikan pandirisme sebagai teras apa yang disebut “budaya ilmu” di universiti. Agak aneh, bagaimana pandirisme boleh dijadikan teras “budaya ilmu”. Tetapi itulah kehebatan Malaysia, semua boleh diterima dengan bangga, tanpa menjatuhkan maruah sesiapa pun. Hanya maruah ilmu yang jatuh ke lembah pandirisme, yang disokong dengan gagahnya oleh para ilmuan (?) yang mendukung pandirisme itu. Bolehkah kita bertanya, adakah Panel Anugerah Sastera Negara sendiri mendukung pandirisme yang sama? Sesiapa yang telah membaca laporan mereka dan telah meneliti dengan kritis buku penting Prof. Ungku Maimunah, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (2009), tahu jawapannya. Generasi persuratan tidak boleh terjerumus ke dalam gaung pandirisme ini.
Masalah besar kedua yang dihadapi generasi persuratan ialah cabaran keilmuan: Apakah aras pengetahuan mereka tentang tamadun Islam dan tamadun Barat? Bagaimana pula pengetahuan mereka tentang tamadun Melayu dan Nusantara dan tamadun-tamadun Asia? Dalam sistem pendidikan kita, tidak ada mata pelajaran khusus mengenai perkembangan tamadun manusia sejak zaman awal hingga yang terkini. Khusus mengenai Malaysia, para pelajar di semua peringkat tidak diperkenalkan tokoh-tokoh pemikir Melayu dan Nusantara, tetapi terlalu banyak dibicarakan “tokoh-tokoh” Malayan Union dan penggiat UMNO serta parti-parti yang bersekutu dengan UMNO. Oleh hal yang demikian, sistem pendidikan kita menyerlahkan kebodohan orang Melayu yang tidak mempunyai pemikir mereka sendiri, tetapi terlalu tepu dengan “tokoh-tokoh” politik yang sebahagian besarnya tidak layak diteladani, tetapi dibesar-besarkan jasa dan pengaruhnya dalam masyarakat. Penipuan ilmiah ini membantut pemikiran kritis pelajar, menjadikan mereka penyokong pandirisme di kalangan ahli politik yang kebanyakannya korup. Berhadapan dengan kenyataan ini, apakah yang boleh dilakukan oleh generasi persuratan? Mereka tidak ada pilihan, melainkan berusaha melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan tentang tamadun manusia sejagat, terutama sekali tentang tamadun Melayu dan Nusantara, tamadun Islam dan tamadun Barat. Mereka harus mengenal tokoh-tokoh penting dalam ketiga-tiga tamadun itu, di samping berusaha secara sistematik untuk mengenal lain-lain tamadun dan tokoh-tokoh besarnya. Dengan terbitnya buku suntingan Prof. Ungku Maimunah, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (2010), maka satu batu tanda telah diwujudkan untuk menjadi permulaan dalam penerokaan ilmiah ini, khususnya dalam persuratan. Buku ini wajar dijadikan bacaan wajib generasi persuratan, supaya mereka sekurang-kurangnya mengetahui serba sedikit (tetapi lengkap) tentang kedudukan ilmu dalam persuratan dalam tiga tamadun: Islam, Melayu, Barat.
Huraian tentang peranan Islam dalam kegiatan kreatif, terutama dalam penulisan, harus difahami dengan betul; demikian juga tentang selok-belok pemikiran kreatif dalam tamadun Barat. Pengetahuan ini sangat penting, kerana terdapat kecenderungan di kalangan para penulis yang terdidik dalam pengajian Islam, dan yang belajar secara khusus tentang kesusasteraan Arab, tidak dapat membezakan antara realiti semu dalam tamadun Barat dan realiti hakiki dalam tamadun Islam. Ada penulis yang begitu ghairah hendak memperkenalkan ciri Islam ini dengan menulis cerita pendek tentang syurga-neraka, atau alam ghaib yang tidak seorang manusia pun tahu. Misalnya, kita dapat cerita pendek berjudul, “Blogger Kecil Dari Syurga”, atau “Agresi Di Genting Sakarat” oleh Ibnu al-Kurauwi. Beliau mempunyai pendidikan Islam yang baik dan secara khusus lulus kesusasteraan Arab. Tetapi apabila beliau menamakan dua buah cerita pendeknya itu berunsur “Realisme Magis Islami”, beliau boleh mengelirukan pembaca, dan mungkin juga akan muncul penulis/sasterawan yang menjadikan istilah itu satu hujah, kerana diucapkan oleh seorang yang berpendidikan Islam. Tentu saja tidak ada “realisme magis Islami”, malah sebarang percubaan untuk menulis tentang perkara-perkara ghaib begini “diharamkan” oleh Islam (kita tidak perlu apologetik untuk mengelak daripada menyebut istilah ini). Di sinilah makalah Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman, Ustaz Zulkarnain Mohamed, dan Mohd. Shahrizal Nasir dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan boleh membantu dan boleh dijadikan panduan oleh generasi persuratan. Huraian Prof. Ungku Maimunah tentang peranan “ilmu” dalam kritikan Barat boleh membantu generasi persuratan untuk melihat apa sebenarnya yang ada dalam “teori” Barat.
Sekiranya generasi persuratan tidak dapat mengatasi tiga cabaran besar ini, maka mereka akan terus menulis karya seperti yang ditulis oleh para sasterawan yang ada sekarang. Tetapi ini tidak bermakna mereka harus terjun dengan seluruh kegilaan ke dalam lembah eksperimen untuk kononnya mengemukakan idea dan teknik baru. Berasaskan pengetahuan yang mendalam tentang hakikat taklif, mereka tidak perlu bereksperimen. Dengan berbekalkan kefahaman yang mendalam tentang konsep ilmu yang benar, mereka akan mengemukakan kelainan bukan dalam bentuk eksperimen yang dangkal, tetapi dalam kedalaman analisis sewaktu mengemukakan wacana kreatif mereka dalam apa juga janru yang mereka pilih. Di sinilah mereka harus memahami dengan jelas dan agak mendalam konsep stylization of ideas yang menjadi salah satu asas penting gagasan Persuratan Baru.
Mohd. Affandi Hassan, 20/11/2010.
Thursday, November 18, 2010
“Biarlah Karya Kamu dan Pengkritik Kamu Berbicara Tentang Diri Kamu!”
Membaca beberapa komen tentang seminar pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh 9-10 November 2010 di DBP baru-baru ini amat mengecewakan. Cukup jelas para sasterawan dan sarjana (atau pengkritik sastera) tidak berminat kepada pemikiran. Mereka lebih berminat kepada pemujaan, pujian, sanjungan dan segala macam yang berkaitan dengan keseronokan menonjolkan diri. Amat disayangkan perihal fiil para sasterawan dan sarjana ini. Tidak timbul kehebatan pemikiran profesor itu dalam komen-komen isingan yang ditulis dalam blog. Dalam akhbar pun tidak ada. Dalam laporan akhbar pun tidak muncul apa-apa laporan yang berguna. Adakah ini suatu bukti para sasterawan negara ini hanya gah di kalangan mereka sendiri, di kalangan teman-teman terdekat yang menyanjung mereka sahaja? Kalau dalam politik kita sukar mendapat pandangan kritis yang jujur dan adil, dalam sastera lebih buruk lagi. Mengapa para pengkritik dan sasterawan takut untuk membicarakan sasterawan mereka dengan kritis? Lebih-lebih lagi waktu kita berseminar tentang pemikiran mereka. Apakah yang mereka fikirkan? Apa jenis pemikiran mereka? Kita tidak mahu mendengar bebelan (asal kata “bebel”) mereka sendiri bercakap tentang diri mereka, tentang perangai mereka yang kononnya suka membaca. Buku apa yang mereka baca? Kita mahu tahu. Adakah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh membaca dengan mendalam karya-karya pemikir Islam? Nampaknya tidak seorang pun bertanyakan soalan ini. Malah kita sebenarnya tidak tahu buku Inggeris yang mana yang beliau baca? Hanya buku sajak? Tidak adakah buku-buku penting dalam bidang falsafah yang dibaca oleh ahli fikir Melayu yang dikatakan setaraf dengan Aristotle ini? (Sebenarnya perbandingan ini tidak siuman, lucu dan amat memalukan. Tetapi itulah standard sarjana Melayu dan sasterawan Melayu! Walau bagaimana pun, bacalah yang lucu dan memalukan ini dalam buku Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera). Tidak adakah sarjana kelas pertama yang menulis kertas kerja berbicara tentang bagaimana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh menghadapi ahli falsafah Barat jika benarlah beliau seorang pemikir? Janganlah perlekehkan tokoh-tokoh besar dan para pemikir sastera ini dengan tidak berbicara tentang pemikiran mereka, hanya berjela-jela memuji yang entah apa-apa. Kalau anda tidak mampu berbicara tentang ilmu, tentang pemikiran, janganlah kelirukan pembaca, terutama pelajar, dengan pendapat yang lucu dan bodoh. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah mendakwa beliau mempunyai 4-5 ribu pelajar universiti yang belajar daripada beliau. Dalam seramai itu, beliau hanya berjaya melahirkan Mana Sikana, Ramli Isin dan lain-lain yang memuji beliau. Mana ada di antara pelajar beliau yang jauh lebih cerdik dan hebat daripada beliau? Dengan itu beliau telah gagal mendidik para pelajar yang ramai, hanya sekadar lulus periksa saja, tetapi menulis pun kacau-bilau logiknya. Kalau mahu berbicara tentang pemikiran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, wajib ditonjolkan pelajar beliau yang telah mengubah cara berfikir tentang sastera dan kritikan sastera. Mana mereka? Tunjukkan, baru ada bukti profesor ini benar-benar seorang pemikir.
Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh bukan seorang pemikir, hanya seorang penyelidik dan penterjemah saja. Standard beliau sebagai seorang penyelidik pun dikritik dengan hebat oleh Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Abu Hassan, yang menuduh beliau tidak teliti dan tidak boleh mengeja dengan betul (tentang perkara mengeja ini saya telah bangkitkan dalam tahun 1983 lagi; kemudian dalam tahun 1991 di Dewan Sastera). (Lihat tulisan Mokhtar dalam Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera, DBP 2006). Kerana banyak sangat kelemahan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam kritikan beliau, maka kesimpulan beliau berupa pujian tinggi tentang keaslian profesor ini menjadi lucu dan tidak wajar, bertentangan dengan kritikan sebelumnya. Ini dibuktikan oleh kesimpulan Prof. Dr. Siti Hawa Salleh yang menganggap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh adalah “seorang tunanetra” dalam sastera tradisional. (Lihat analisis beliau dalam Budi Kencana, (Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1994). Kesimpulan Prof. Siti Hawa dalam analisisnya menolak bulat-bulat segala pujian dalam kesimpulan Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Abu Hassan itu. Tetapi saya bersetuju dengan Dr. Ramli Isin, murid Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, yang berkata (dalam buku Rangkaian Pemikiran ...) bahawa profesor ini terlalu memuji temannya Baha Zain yang “terlalu sempurna, memberi sanjungan tanpa sebarang kecacatan” (hal. 22). Perkara yang dibangkitkan oleh Dr. Ramli Isin, murid Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, adalah penting. Sebenarnya itulah keistimewaan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, yang tidak ada pada orang lain. Tetapi adakah ini hasil pemikiran atau hasil sanjungan palsu? Ini perlu dijelaskan, oleh seorang atau dua orang daripada 4000-5000 murid beliau. Murid-murid beliau mesti tampil mempertahankan guru mereka; atau jika mereka lebih objektif dan jujur, maka mereka wajar tampil memberikan persetujuan mereka terhadap kritikan yang ditujukan kepada guru mereka. Jadilah murid yang baik dengan tampil mempertahankan kebenaran dan menolak kepalsuan.
Apakah yang dimaksudkan dengan “pemikiran”? Soalan ini nampaknya tidak dijawab dengan tuntas dan ilmiah oleh mana-mana kertas kerja tentang “pemikiran” ini. Adakah para penulis, yang terdiri daripada sarjana kelas pertama, tidak tahu berfikir?
Mohd Affandi Hassan, 18/11/2010
Wednesday, November 10, 2010
SEA WRITE AWARD DAN MARUAH PARA SASTERAWAN
Perlukah sasterawan mempunyai maruah? Tidak perlu. Maruah hanya akan menjadi hambatan untuk para sasterawan mencapai cita-cita “luhur”nya, iaitu mendapat sebanyak-banyaknya pengiktirafan berupa hadiah, anugerah, gelaran dan lain-lain yang dikira boleh menaikkan markah seseorang sasterawan. Maruah hanya perlu dipunyai oleh orang-orang yang tahu harga diri, sangat tegas menjaga harga dirinya, sehingga sanggup mempertahankan harga dirinya dengan apa juga cara. Para sasterawan di Malaysia belum pernah diuji sejauh itu, oleh itu mereka belum lagi faham makna dan maksud harga diri. Sebaliknya mereka berlumba-lumba mencari peluang untuk mendapat seberapa banyak hadiah, anugerah, gelaran dan sebagainya yang boleh mereka tonjolkan apabila nama mereka disebut dalam majlis atau dalam biografi mereka.
Dalam perlumbaan itu, mereka tidak ragu-ragu meragut apa juga hadiah dan anugerah yang disodorkan kepada mereka, meskipun hadiah dan anugerah itu terang-terang menjatuhkan maruah mereka sebagai sasterawan yang kononnya memperjuangkan hak-hak kemanusiaan sejagat. Hingga ini belum ada lagi para sasterawan Malaysia menolak apa-apa juga anugerah yang dikira boleh menjatuhkan maruah mereka. Misalnya, belum ada yang menolak SEA Write Award dari Thailand, meskipun mereka tahu serdadu Thai telah membunuh beribu ulama dan rakyat Patani, bangsa satu agama dan serumpun dengan mereka. Seorang tokoh besar seperti Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah bersumpah: “aku telah belajar/ jadi kurang ajar”, namun dia tidaklah sehabat kata-katanya yang kedengaran bengis dan berani. Dia pun menerima SEA Write Award yang dikiranya lebih tinggi derjatnya daripada gelaran “sasterawan negara” yang telah dihadiahkan kepadanya.
Kita tidak boleh menyalahkan para sasterawan yang istimewa ini, kerana semua tindakan mereka pada dasarnya tidak diasaskan kepada konsep taklif, yang sudah jelas mereka tidak tahu kewujudannya dan mereka tidak sedar diri mereka terikat kepada taklif. Jika mereka tahu dan sedar bahawa mereka terikat kepada taklif, mungkin mereka akan mempertahankan maruah mereka dengan gigih dan berani, dan tidak akan menerima apa pun juga hadiah dan anugerah yang bertentangan dengan hakikat taklif itu. Dari segi ini, mereka adalah terdiri daripada golongan orang-orang yang jahil, oleh itu mereka wajib diperingatkan supaya mereka tidak kesasar begitu jauh dari hakikat taklif itu. Mereka tidak pernah dengar nama ulama besar Shah Wali Allah dari India, yang menjelaskan bahawa setiap manusia, sama ada Islam atau tidak, Melayu atau lain-lain keturunan, terikat kepada hakikat taklif itu. Bezanya ialah, orang Islam sentiasa diperingatkan tentang hakikat taklif itu; manakala yang bukan Islam atau yang Islam tetapi jahil dan cetek ilmunya tidak tahu bahawa mereka terikat kepada hakikat taklif itu. Oleh itu, orang-orang yang jahil dan menjadi sasterawan yang mengejar gelaran dan glamour ini tidak sedikit pun menjadikan taklif sebagai panduan hidup mereka. Kerana mereka jahil, dan tidak tahu siapa Shah Wali Allah, ulama besar itu, maka mereka meremehkan saja apa juga maklumat yang mereka dapat tentang hakikat taklif, sebagai sesuatu yang asing dan tidak kena mengena dengan kesusasteraan yang tetap menjadi pilihan utama mereka ketika akan membuat sesuatu keputusan: sama ada memihak kepada kesusasteraan atau kepada hakikat taklif.
Apakah hakikat taklif itu? Shah Wali Allah berkata dalam kitabnya, Hujjatu’Llah al-Balighah, bahawa taklif itu mempunyai tiga rahsia (sirrul-taklif): ilmu pengetahuan, keadilan, usaha dan ikhtiar. Manusia yang sedar akan hakikat taklifnya akan berusaha mendapatkan ilmu yang benar, yakni yang berasaskan al-Quran dan Sunah; supaya dia dapat berlaku adil dalam kehidupannya; dengan itu dia akan berusaha untuk membuat keputusan terbaik dalam sesuatu perhitungan. Termasuk menerima atau menolak SEA Write Award jika dia seorang sasterawan Islam. Itulah hakikatnya. Tetapi semua sasterawan Islam yang telah menerima SEA Write Award tidak akan menerima penjelasan ini. Mereka berhujah, SEA Write Award tidak kena mengena dengan hakikat taklif, kerana anugerah itu adalah simbol kerjasama negara-negara ASEAN untuk mencapai keadilan dan keamanan yang menjadi dasar perjuangan seluruh sasterawan seluruh dunia.Taklif hanya untuk orang Islam, yang tidak ada kaitan sama sekali dengan kesusasteraan. Anda tidak usah terkejut jika hujah itu digunakan juga oleh para pensajak (bukan penyair) yang menggelar diri mereka pensajak sufi. Apakah jenis “sufi” yang tidak menerima hakikat taklif? Cuba anda perhatikan hujah ini baik-baik. Apakah bau yang tercium oleh anda? Jika anda tidak berbau apa-apa, kembalilah kepada permulaan kejadian Nabi Adam ‘a.s. yang ditempatkan oleh Allah Ta’ala di dalam syurga, dengan satu larangan: jangan mendekati pohon itu, nescaya kamu akan menjadi orang yang zalim. Datang Iblis membisikkan, Tuhan kamu tidak benarkan kamu mendekati “pohon khuldi” (nama yang diberikan oleh Iblis sendiri) itu supaya kamu tidak kekal dalam syurga. Jika kamu mahu kekal dalam syurga, dekatilah pohon itu. Jika anda seorang sasterawan Islam, anda tahu cerita seterusnya. Apakah kaitan taklif dengan kisah ini? Anda akan tahu jika anda membuka al-Quran dan membaca dengan teliti kisah itu; kemudian mendapatkan bantuan para ulama tafsir untuk mengetahui maksud dan makna kisah itu dalam kehidupan manusia. Anda akan faham mengapa SEA Write Award mempunyai kaitan rapat dengan hakikat taklif seorang Islam, yang secara kebetulan atau pilihan sendiri menjadi sasterawan. Itu tugas anda, untuk mencari maksud dan makna kisah Iblis menipu Nabi Adam ‘a.s. Saya tidak perlu menjelaskannya untuk anda. Wallahu a’lam.
Saturday, November 6, 2010
Generasi Persuratan Mengambil alih Generasi Sastera Yang Tidak Relevan Lagi
Satu perkara tidak dapat dielakkan dalam Abad 21: munculnya generasi persuratan untuk mengambil alih generasi sastera yang tidak relevan lagi. Walau bagaimanapun, sastera masih hidup, tetapi hanya untuk menampung para penulis yang masih terus terikat kepada model Barat, terus dicengkam oleh keinginan hawa nafsu untuk menulis karya-karya yang bebas dari nilai-nilai Islam, untuk terus menghasilkan karya buatan (al-adab al-sina’i) seperti yang disebut oleh Maulana Abu Hassan Ali Nadwi , yakni karya yang artifisial. Manakala karya persuratan adalah karya asli (al-adab al-tabi’i; dalam gagasan Persuratan Baru disebut ‘genuine literature’, merujuk kepada konsep taklif). Pertentangan antara persuratan dan sastera bukanlah pertentangan perseteruan; tetapi pertentangan dari segi konsep ilmu yang benar yang menjadi asas persuratan Melayu, dengan konsep cerita dan fiksyen yang menjadi asas kesusasteraan. Lebih halus lagi, ia berupa pertentangan antara rea liti semu yang menjadi pegangan sasterawan dengan realiti hakiki yang menjadi panduan para pengarang dalam persuratan.
Untuk lebih mudah difahami, pertembungan antara realiti semu dan realiti hakiki ini digambarkan dalam peristiwa Ratu Balqis mengadap Nabi Sulaiman ‘a.s. Kisah ini sudah sering kali disebut, oleh itu tidak perlu diulang di sini. Meskipun terdapat ramai (malah kebanyakan dari mereka) yang mengejek peranan ilmu dalam penulisan kreatif, namun saya percaya ejekan ini akan hilang sebaik saja mereka dewasa dari segi pengalaman ilmiah dan mula belajar bersikap berlapang dada sebagai orang dewasa. Ketika itu mereka akan mula melihat dengan bijaksana dan objektif kewajaran gagasan Persuratan Baru sebagai satu gagasan ilmiah untuk membangun kembali persuratan Melayu dalam Abad 21. Jika ada di antara mereka masih menentang, maka penentangan itu sangat baik kerana sudah pasti mereka mempunyai pemikiran yang lebih tajam dan dapat melihat kecacatan gagasan Persuratan Baru dengan jelas, dengan itu mereka dapat mengemukakan gagasan mereka pula untuk memastikan yang salah dan tidak benar, yang mereka dapat dalam gagasan Persratan Baru, tidak diteruskan meracuni perkembangan ilmu. Tetapi sekiranya mereka sekadar menyalakkan kemarahan dan kebencian mereka, perasaan hasad dengki mereka, maka yang menjadi masalah bukanlah gagasan Persuratan Baru, tetapi sikap mereka yang tidak saja negatif, tetapi tidak bermaruah. Mana satu pun pendirian mereka, tidak akan mencacatkan gagasan Persuratan Baru sebagai asas perkembangan persuratan Melayu dalam Abad 21. Mereka tidak mungkin dapat menahan munculnya generasi persuratan itu.
Pada waktu ini sudah agak ramai para penulis yang berpendidikan agama yang tinggi dan mendalam menceburkan diri dalam dunia kreatif, menulis cerita pendek, novel dan sajak. Ada juga yang menulis kritikan sastera. Ada di antara mereka yang sering mendapat hadiah, menunjukkan kualiti tulisan mereka melayakkan mereka diberi hadiah. Dengan itu sudah terbukti para penulis yang berpendidikan agama ini mempunyai bakat dalam bidang kreatif. Jika hasil karya mereka terus diterbitkan, pengaruh kumpulan berpendidikan agama ini akan meluas tidak saja di kalangan pembaca, malah juga di kalangan penulis sendiri. Dengan itu kemunculan generasi persuratan ini akan lebih cepat terjadi, dan akibatnya akan lebih baik kepada persuratan Melayu, kepada perkembangan ilmu (melalui bidang kritikan dan analisis serta penilaian karya), juga kepada penerbitan karya-karya bermutu berasaskan konsep ilmu yang benar. Jika hal ini terjadi, kita tidak lagi akan berada dalam keadaan lesu seperti sekarang. Lebih penting, pendidikan estetika akan mengambil alih pengajaran sastera seperti yang dihidangkan kepada para pelajar pada waktu ini.
Kita harus menuju kepada pendidikan estetika, kerana salah satu kesan daripada pendidikan estetika ialah kemunculan pelajar yang cerdik dan terdidik dalam kemahiran menulis dengan baik dan analitikal. Hal ini tidak ada pada waktu ini, atau sekurang-kurangnya sangat sukar didapati. Bahasa Melayu sebagai bahasa kemunikasi menjadi lemah dalam sistem pengajaran sastera yang tidak memberi perhatian kepada perkembangan daya kritikan para pelajar, tidak saja dalam tulisan mereka, tetapi juga dalam percakapan mereka. Mahu tidak mahu, kita harus mengakui bahawa pengajaran sastera yang dihidangkan pada waktu ini telah membantut perkembangan pemikiran pelajar kerana metode yang dipakai tidak mengarah kepada pemikiran dan analisis, tetapi tertumpu pada pemahaman teks yang sangat dangkal, berlegar di sekitar konsep-konsep lama yang sudah menjadi klise, seperti plot, dialog, latar dan lain-lain yang dipakai tanpa pendekatan kritis. Akibat penggunaan konsep-konsep yang sudah jadi klise dan tidak lagi tajam sebagai alat analisis, maka para pelajar tidak dapat melihat kecerdasan pengarang dalam karya mereka, dan tidak dapat menikmati karya itu dari segi intelektual dan dari segi keindahan seninya. Dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru, sesebuah karya dapat dianalisis dan dinilai dengan objektif, tepat dan jitu dengan menggunakan konsep-konsep baru yang lebih berupaya meneroka kecerdasan pengarang mengolah bahannya dan keupayaan kreatifnya yang tinggi dalam membangun karyanya. Ini dapat dicapai melalui alat analisis yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru seperti wacana, cerita, paksi naratif, ruang naratif, dan konsep-konsep lain yang diperkenalkan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika menganalisis dan menilai karya-karya kreatif berasaskan gagasan Persuratan Baru. Antara yang penting ialah wujudnya mod bacaan intelektual yang boleh dipakai untuk mendekati sesebuah karya kreatif, seperti yang telah ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam tulisan mereka. Konsep-konsep yang sudah jadi klise yang disebut di atas boleh dipakai dengan lebih bermakna jika dilakukan dalam konteks gagasan Persuratan Baru. Sebagai contoh, konsep plot selalu menjadi masalah di kalangan para sasterawan, dan salah satu kekeliruan yang sering mereka sebut ialah gagasan Persuratan Baru menolak plot, kerana terlalu membebankan pembaca dengan khutbah untuk menyampaikan ilmu. Kekeliruan ini tidak timbul jika plot dilihat dalam konteks ruang naratif, dan cerita yang dipaparkan dalam ruang naratif itu tidak menyimpang dari paksi naratif yang ditetapkan, sehingga betapa tebal pun sebuah novel misalnya, penggunaan ruang naratif tetap terkawal dan dikawal oleh paksi naratif. Sila baca tulisan-tulisan Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd Zariat untuk memahami aspek ini dengan lebih jelas. Analisis Dr. Mohd. Zariat tentang novel Melati Kota Baharu, karya Abdul Kadir Adabi, sangat menarik kerana dengan menggunakan konsep-konsep yang dipakai dalam gagasan Persuratan Baru dapat menyerlahkan kualiti sebenar novel itu, yang sebelumnya tidak muncul dalam tulisan-tulisan para sarjana yang menggunakan teori sastera Barat, atau yang menggunakan konsep-konsep yang sudah tumpul dan menjadi klise yang disebutkan itu. Tentu saja kesimpulan Dr. Zariat terbuka untuk dicabar oleh sesiapa pun yang berasa teori-teori Barat lebih wajar digunakan untuk menilai Melati Kota Baharu. Mungkin mereka boleh berkata, sarjana-sarjana yang menggunakan teori Barat untuk menilai novel itu tidak benar-benar faham teori-teori yang mereka pakai. Dengan wujudnya gagasan Persuratan Baru, semua kemusykilan ini boleh diselesai dan diuji dengan objektif.
Dirgahayu generasi persuratan!
Mohd. Affandi Hassan, 6/11/2010.
Wednesday, November 3, 2010
Ralat
Posting bertarikh 3 November 2010, “Wujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS ...” adalah sebahagian daripada kertas yang dibentang di DBP yang disebut di akhir posting bertarikh 1 November 2010, “Adakah Penilaian Panel Anugerah Sastera Negara ...”. Harap maklum. Nota ini bermaksud hendak memberitahu perkara ini telah dibentang lama dulu.
Mohd. Affandi Hassan
Subscribe to:
Posts (Atom)