Sifat-sifat
munafik telah diketahui oleh semua orang Islam, dan mungkin juga dimaklumi oleh
yang bukan Islam. Dalam politik, budaya munafik penting untuk mendapat undi dan
dari situ kerusi yang membolehkan sesuatu kumpulan mendapat kuasa. Dari perspektif ini, sikap munafik adalah
rahsia kejayaan dalam politik yang memang disedari oleh semua ahli politik.
Dalam hal ini, yang paling menarik ialah sistem demokrasi itu sendiri adalah
kemuncak budaya munafik ini. Tetapi hal ini tidak menjadi masalah, kerana dalam
politik demokrasi terdapat satu konsep penting yang menjadi amalan semua ahli
politik, ia itu yang dipanggil mobilization
of bias. Untuk mudah, kita
akronimkan menjadi MOB. Inilah senjata politik yang wajib digunakan oleh semua
ahli politik sekiranya mereka ingin mendapat kemenangan dalam pilihan raya.
Yang menarik di sini ialah, ahli politik yang mendakwa memperjuangkan Islam
sekali pun wajib menggunakan MOB, dengan itu melaksanakan falsafah munafik yang mereka halalkan dalam perjuangan mereka
kerana dalam sistem demokrasi tanpa MOB tidak akan tercapai apa-apa kejayaan
dalam aktiviti politik sesuatu kumpulan. Ini bermakna, pembohongan, satu sifat
munafik, adalah senjata politik yang paling penting, yang memang diketahui dan
dipraktikkan oleh semua ahli politik, termasuk yang memperjuangkan politik
Islam.
Bagaimana
pula dalam kegiatan sastera? Sekiranya
kita terima pembohongan sebagai salah satu ciri penting dalam karya sastera,
maka kegiatan sastera pun dikuasai sift-sifat munafik sama dengan yang
dilakukan oleh ahli politik. Sebelum
kita membuat apa-apa kesimpulan yang mungkin memeranjatkan, kita lihat dulu
contoh yang boleh membantu kita memahami keadaan sebenar dunia sastera ini.
Menurut para sarjana sastera, pada waktu ini Malaysia sudah mempunyai sebuah
novel terbesar sepanjang zaman, yang mengatasi novel-novel dunia sekali pun.
Itulah novel Naratif Ogonshoto. Prof. Dr. Mohamed Saleeh Rahamad dari
Universiti Malaya telah menulis satu rencana yang istimewa membicarakan novel
agung ini. Oleh sebab saya telah menyebut perkara ini banyak kali, saya tidak
perlu ulangi lagi. Tetapi ada satu
perkara yang belum lagi dilakukan oleh sesiapa pun yang menggelarkan diri
mereka sarjana sastera, ia itu membuat kajian perbandingan yang teliti dan
objektif antara Naratif Ogonshoto dan
Pujangga Melayu, untuk menentukan mana satu yang benar-benar berkualiti dari
segi pemikiran, teknik, kandungan, dan macam-macam lagi yang boleh kita lihat
jika diadakan kajian perbandingan itu. Mengapa tiada sesiapa pun dari antara
sarjana kita yang hebat-hebat berminat? Jawapannya sangat mudah. Mereka tidak
mahu mempromosikan Pujangga Melayu.
Mereka tidak membacanya, kerana novel itu tebal dan banyak sekali persoalan teknik
diperkenalkan dalam karya itu. Tidak ada seorang sarjana yang memuji Naratif Ogonshoto yang sanggup membaca
novel Pujangga Melayu yang tebal itu. Mereka tahu, jika mereka tidak
bersedia dengan pengetahuan yang agak mendalam tentang sejarah penulisan novel
dunia dan teknik yang digunakan oleh para penulis novel dunia, mereka tidak
akan dapat memahami bagaimana Pujangga
Melayu ditulis dan mengapa ditulis, untuk mencapai maksud yang bagaimana.
Semua ini tidak terdapat dalam Naratif
Ogonshoto, sebuah karya yang nipis dan amat mudah dibaca. Tidak ada cabaran
intelektual yang berat-berat di dalam novel picisan itu; padahal cabaran
demikian cukup banyak terdapat dalam Pujangga
Melayu.
Cuba kita
lihat kandungan laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Bagaimanakah laporan itu ditulis? Kita
gunakan laporan terhadap Shahnon Ahmad sebagai kes kajian. Laporan ini sangat
nipis, paling nipis di antara beberapa laporan lain. Paling panjang ialah
laporan terhadap Usman Awang. Timbul
pertanyaan bodoh yang tidak dapat dielakkan mesti ditanya: Adakah pilihan dibuat terlebih dahulu,
selepas itu baru ditulis laporannya? Siapa yang boleh menjawab pertanyaan ini
kalau tidak DBP. Bolehkah kita percayakan DBP akan bercakap benar? Terus
terang, saya tidak percaya mereka akan berkata benar. Apakah alasan saya? Kita
dapat buktinya baru saja beberapa hari ini, apabila para sasterawan negara
diberi habuan kewangan bulanan setelah begitu lama menjadi sasterawan negara.
Mengapa tidak diberikan awal-awal lagi? Apakah faktor yang mengubah keputusan
mereka? Yang boleh menjawabnya hanya DBP. Berapa ratus tahun agaknya kita harus
menunggu sehingga tampil seorang Ketua Pengarah yang berani dan jujur memberi
jawapan yang kita perlukan. Jawapan itu akan menentukan beberapa perkara, yang
saya akan huraikan satu persatu nanti jika DBP berani memberikan jawapan yang
jujur. Bila kita bercakap tentang kejujuran, kita tidak dapat mengelak daripada
kemungkinan untuk berbohong. Termasuk dalam kes berbohong ini ialah memberi
alasan yang dicari-cari dan direka-reka untuk melepaskan diri, menampakkan
mereka jujur. Mengapa tidak disebut lebih awal? Inilah persoalannya. Bila kita
membicarakan aspek munafik dalam sastera Melayu, kita nampaknya tidak dapat
melepaskan diri daripada membicarakan perkara ini. Tetapi saya ingin
menegaskan, DBP tidak perlu memberi apa-apa penjelasan. Ada dua sebab mengapa
mereka tidak perlu memberi penjelasan. Saya akan sebut satu persatu nanti bila
dirasakan perlu. Kita biarkan saja dulu.
Laporan
Panel Anugerah Sastera Negara ini menarik untuk dikaji, dan saya telah menyebut
beberapa perkara mengenainya dalam beberapa entri yang lepas. Siapa yang
terbaca kira bernasib baik; siapa yang tidak terbaca tidak usah mencarinya.
Biar kita dengar sendiri penjelasan DBP sebagai sekretariat Anugerah itu. Saya hanya ingin memberi sedikit peringatan.
Walau apa pun penjelasan DBP, pemilihan para sasterawan negara tetap suatu
keputusan yang menentang konsep ilmu yang benar, yang memang tidak ada di dalam
karya para sasterawan sendiri. Pembaca yang cerdik dapat memberi tafsiran yang
tepat makna kesimpulan ini. Jika anda membaca hujah saya dalam beberapa entri,
anda akan bertemu dengan kesimpulan saya bahawa sasterawan negara tidak dapat
diletakkan setaraf dengan para ulama dan cendekiawan Melayu yang betul-betul
berjasa; maka dengan itu pelantikan para sasterawan negara meletakkan para sasterawan lebih utama daripada mereka,
yakni para ulama dan cendekiawan ini. DBP tidak iktiraf para ulama dan
cendekiawan ini sebagai golongan yang berjasa besar kepada perkembangan ilmu
dalam sejarah tamadun kita. Para sasterawan, yang datang kemudian, lebih
berjasa daripada mereka dalam pandangan DBP. Kalau kita boleh menggunakan satu
perkataan yang agak kasar, kita boleh berkata inilah satu kegilaan yang paling tidak
siuman yang kita lakukan untuk memberi kedudukan istimewa kepada para
sasterawan yang sebenarnya hanya berjaya menghasilkan karya picisan, jika
dibandingkan dengan sumbangan dua kumpulan tadi.
Sekarang
anda boleh memahami makna munafik dalam perkembangan budaya Melayu. Inilah
pembohongan sejarah terbesar, bila Pak Pandir diberi kedudukan lebih tinggi daripada para ulama dan
cendekiawan.
Inilah
keputusan yang paling biadab dalam sejarah tamadun Melayu, apabila golongan
picisan diberi kedudukan lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan.
Bayangkan kumpulan sasterawan picisan yang menentang konsep ilmu yang benar
yang diajarkan dalam al-Quran diberi kedudukan istimewa yang lebih tinggi
daripada para ulama dan cendekiawan.
Siapakah yang memberi ilham ini kepada DBP? Jawapannya diberikan dalam Surah Yasin, ayat 60-61. Baca sendiri di sana. Pertanyaan
yang sangat pedih yang perlu ditanyakan kepada para sasterawan negara: Adakah
kamu, sebagai seorang Islam, mematuhi perintah dalam ayat 61 itu? Tidak. Tetapi
kita semua harus menerima dengan baik jika para sasterawan negara ini menjawab
bahawa semua karya mereka memenuhi kehendak ayat 61 itu. Mengapa perkara ini penting? Ia penting
kerana kita tidak dapat tidak harus membuktikan bahawa karya para sasterawan
negara ini memberi manfaat kepada pembaca, dan tidak membawa pembaca menolak
kebenaran yang ditegaskan di dalam ayat yang dirujuk itu. Maksudnya, para sasterawan negara perlu membuktikan mereka
menjadikan konsep ilmu yang benar itu sebagai asas penulisan mereka untuk dapat
diterima sebagai penerima gelaran sasterawan negara itu. Jika tidak, maka
mereka tidak layak dihormati sebagai sasterawan negara kerana mereka menolak
konsep ilmu yang benar dalam karya mereka.
Semua kemusykilan ini mudah saja di atasi, jika para sarjana sastera
tampil menjadi pembela mereka dengan memberi hujah-hujah yang mantap yang
dengan meyakinkan akan membolehkan mereka diberi penghormatan yang lebih tinggi
daripada para ulama dan cendekiawan Melayu.
Sekiranya anda berkata, sasterawan bukan ulama, maka bagaimana pula anda
meletakkan para sasterawan lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan
dengan memberi mereka gelaran sasterawan negara? Kalau anda hanya bermegah
dengan idle talk, maka anda tidak
boleh meyakinkan sesiapa juga bahawa para sasterawan negara itu lebih tinggi
kedudukannya daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang memang sudah
terbukti berjasa dalam persuratan Melayu. Mereka tidak boleh disetarafkan
dengan para sasterawan, yang berada di luar lingkungan tokoh yang wajar
dihormati kerana ilmu dan sumbangannya untuk membina tamadun bangsa, yang tidak
dapat diberikan oleh para sasterawan.
Jika anda tidak bersetuju, anda perlu mengemukakan hujah anda.
Jika anda
ikuti perbincangan ini dengan kritis, anda mungkin dapat memahami maksud
munafik dalam konteks pembohongan sebagai salah satu ciri munafik. Good luck!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 27 Jun 2019.