Dua tindakan
besar yang istimewa dibuat oleh Tuanku Agong. Pertama, memberi pengampunan
penuh kepada Sdr. Anwar Ibrahim. Inilah
tindakan yang menimbulkan kemarahan, dan kekecewaan besar, Dr. Mahathir. Dia
mahu SOP (???) pengampunan itu dilaksanakan sepenuhnya. Diberi pengampunan,
tapi kena tunggu 5 tahun untuk mendapat keampunan rasmi; dan kena tunggu 5
tahun lagi untuk kembali aktif dalam politik. Mengikut SOP yang dijangka oleh
Dr. Mahathir, Anwar kena tunggu 10 tahun sebelum boleh aktif dalam politik.
Tiba-tiba Agong mansukhkan semua pertuduhan terhadap Anwar… Macam mana Dr.
Mahatiir tidak kecewa dan marah. Dia telah bersusah payah memburukkan nama
Anwar dengan segala macam tuduhan selama 22 tahun pemerintahannya, tiba-tiba
dibersihkan begitu mudah; dan menang besar pula di Port Dickson. Dr. Wan Azizah, TPM sekarang, mengaku
suaminya diberi pengampunan penuh dan berterima kasih kerananya.
Kedua, Agong
Kelantan meletakkan tradisi baru yang sesuai dengan cita-cita Pakatan Harapan
untuk tidak membazirkan wang negara dengan upacara rasmi memberi anugerah dan
mengadakan jamuan setiap kali hari jadi Agong yang ditetapkan setiap September. Dengan tiadanya upacara itu, maka ramailah
suku-sakat dan para pembodek Tun Mahathir kempunan untuk diberi gelaran Tan Sri
atau Tun, selain mendapat lain-lain “bintang” kebesaran negara. Kita tahu Agong
yang baru nanti akan meneruskan semua upacara ini. Ketua Propaganda PH yang
dulunya seorang Ketua Besar akhbar penyokong pemerintah BN, pernah menyindir
dan mengherdik Agong kerana membazirkan wang negara. Tentu saja yang disebut
pembaziran itu akan diteruskan supaya ramailah lagi orang-orang yang
sesungguhnya tidak seberapa jasanya, atau tiada apa-apa yang istimewa jasanya,
yang akan mendapat gelaran-gelaran itu. Inilah
dunia, anakku para pemuda Malaysia yang dikatakan telah sedar diri tetapi belum
faham makna feudalisme politik yang dibawa UMNO dan diteruskan dengan jayanya
dalam PH melalui UMNO rekon (recon)
yang diberi nama Melayu, nama baru sebagai Peribumi, dengan pakaian merah a la
UMNO asal.
Demikianlah
hakikat politik di mana-mana sekali pun. Tanpa pembohongan dan penipuan yang
dibenarkan oleh undang-undang (kamu kena cari sendiri contohnya), tidak akan
muncul seorang tokoh besar putar belit seperti Trump di USA, yang menurut
beliau dialah Presiden terbesar dalam sejarah Amerika. Siapa pula nagarawan Malaysia yang boleh mencapai keunggulan seumpama itu? Ada
orang tahu jawapannya; ada yang ragu-ragu; dan ada yang langsung tidak peduli
pun. Maka lestarilah politik pembohongan di negara kita. Tetapi pembohongan sangat
penting dalam politik. Ini telah diakui sendiri oleh Tun Mahathir, apabila
beliau memberitahu kita semua tol di jalan raya tidak boleh dihapuskan kerana
kosnya terlalu besar (kira-kira 442 bilion!). Kata beliau, betul dia berjanji
akan hapuskan tol; tapi ketika itu dia tidak sangka dia akan menang besar dan
dilantik jadi PM lagi!!! Katanya, mana
ada duit setelah disunglap oleh Najib anak Tun Razak. Marahkan Najib jika Tun kita ini mengaku
telah berbohong dan tidak dapat menunaikan janji politiknya. Semua rakyat telah
memaafkan kamu, Tun… Mereka terima kejujuran dan kelihaian anda sebagai tokoh
politik terbesar abad ini untuk rakyat Malaysia semua sekali, bukan untuk UMNO
atau Parti Peribumi saja. Tidak pantas
aku termasuk dalam kumpulan ini, setelah melahirkan novel terbesar sepanjang
zaman dalam sastera Melayu, Pujangga Melayu
yang kaya maklumat dan pemikiran baru itu.
Anda tidak perlu terima kenyataan ini, kerana sejarah sendirilah yang
akan meletakkan karya besar ini di tempatnya yang menjadi haknya. Tetapi anda kena terima pengakuan Tun
Mahathir sebagai seorang ahli politik terunggul Malaysia sepanjang zaman dan
sangat jujur dalam semua tindakannya. Mana ada pemimpin dunia yang mengaku
kesilapannya seperti beliau!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 7 Januari 2019.
No comments:
Post a Comment