Tahun 2018
banyak juga saya menulis di blog, berjumlah 53 (termasuk entri ini). Paling
sedikit 2013, hanya 26 saja, tetapi mengemukakan isu-isu penting. Terbanyak
entri 2017, berjumlah 98. Saya sendiri
tidak perasan mengapa rajin sangat tahun 2017 itu. Tiga golongan menjadi
perhatian saya: (1) para sasterawan picisan, termasuk sasterawan negara; (2)
para sarjana ciritan yang memuji para sasterawan negara; (3) para pengkritik
yang cetek meraba-raba. Nampaknya ketiga-tiga
golongan ini tidak membaca tulisan saya, jika kita boleh jadikan sikap membisu
mereka sebagai bukti. Walaupun kritikan saya agak keras, namun tidak ada
apa-apa reaksi daripada mereka. Benarlah kesimpulan yang diucapkan oleh kenalan
saya, bahawa tiga golongan ini memandang saya sebagai anjing menyalak saja.
Bukti yang mereka kemukakan ialah sikap dan pandangan Dr. Fatimah Busu dan
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang terang-terang mengatakan saya
hanyalah anjing kurap dalam sastera Melayu yang cetek pula pengetahuannya
tentang sastera. Pandangan ini menjadi sangat menarik kerana Dr. Fatimah Busu
memang mengidam hendak diangkat menjadi sasterawan negara; tak dapat, kerana
diberikan kepada penulis perempuan lain, bukan beliau. Walaupun beliau disokong
oleh Shahnon Ahmad. Saya memang menyokong jika Dr. Fatimah Busu diberi
kedudukan tinggi itu, kerana di antara para penulis wanita di Malaysia, bagi
saya beliau adalah yang terbaik, jauh melebihi sasterawan negara perempuan yang
terpilih itu. Semua ini memberi bukti yang amat jelas betapa kuatnya pengaruh
Mutual Admiration Club di kalangan sasterawan. Walaupun Dr. Fatimah Busu juga
anggota Mutual Admiration Club ini, tetapi beliau nampaknya tidak berpengaruh
di kalangan anggota lain. Lagi pula dia asal Kelantan, oleh itu sering kita
dengar cukuplah wakil Kelantan yang seorang itu, yang lain-lain tidak setaraf
dengan beliau yang bergelar sasterawan negara. Inilah realiti yang ada, yang
tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun.
Walaupun pun Kelantan digelar Serambi Mekah, dan menjadi pusat
perkembangan persuratan dan perkembangan ilmu sekitar pertengahan 1920-an
hingga 1950, sekarang Kelantan tidak saja malap, tetapi sudah kehilangan
semangat Shah Wali Allah apabila tidak seorang pun penulis Kelantan kenal tokoh
yang berpengaruh ini, walaupun ada seorang di antara mereka yang mengikut
syarahan tentang Shah Wali Allah, tetapi tidak mendapat apa-apa manfaat
daripada kuliah itu, yang diberikan oleh Hj. Nik Mohd Salleh bin Hj. Wan
Musa. Apabila saya perkenalkan idea Shah
Wali Allah dalam sastera Melayu, tidak seorang pun di antara penulis Kelantan excited, malah mereka nampaknya tidak
pernah dengar nama tokoh besar itu. Yang di luar Kelantan apatah lagi …
Tahun 2018
adalah penting dalam pemikiran politik saya. Pada tahun 1987, ketika UMNO
berpecah, saya mencadangkan kepada teman-teman ketika bertemu di UKM supaya
UMNO dikalahkan untuk memberi peluang kepada orang Melayu membuat pilihan. Tiba-tiba
saya dituduh menjadi penderhaka kepada bangsa Melayu kerana membuat cadangan
itu. Akhirnya terjadi juga dalam tahun 2018 apabila UMNO dikalahkan oleh UMNO
sendiri yang berpecah. Dalam konteks ini, siapakah pengkhianat bangsa
Melayu? Mana ada golongan yang mahu
mengaku. Yang terjadi adalah sesuatu yang sungguh menarik bagi seorang penulis
seperti saya yang sepanjang hayatnya mengutuk UMNO sebagai golongan yang
menjadikan Melayu yang miskin itu sebagai hamba mereka. Tidakkah pelik apabila UMNO yang direkon (recon) di bawah Dr. Mahathir muncul
sebagai pemenang pilihan raya 2018 dengan memakai nama Pakatan Harapan, yang
banyak mendapat sokongan daripada parti yang dibenci Melayu selepas Peristiwa
13 Mei 1969, yang diceritakan dengan mendalam oleh Perdana Menteri ketika itu, Tunku
Abdul Rahman Putera, dalam bukunya May
13: Before & After (Utusan
Melayu Press, 1969). Buku ini wajar dibaca kembali dan dibincangkan oleh semua
lapisan rakyat untuk mengenal siapa mereka dan siapa pula musuh mereka. Versi
Rumi dan Jawi juga diterbitkan, jadi semua pembaca boleh memilih versi pilihan
mereka.
Menarik juga
untuk dikongsi di sini pendapat saya yang tertulis dalam Pujangga Melayu mengenai isu politik yang amat mirip dengan yang
sedang berlaku sekarang. Saya salin bahagian itu untuk makluman pembaca. Inilah
dia:
“Sabar!” teriak
Pak Tua. Sabar. Jangan bunuh mereka. Biarkan mereka. Kita tidak dapat menolak
mereka kerana kita sendirilah yang memberi mereka tempat dalam kehidupan kita.
Kita yang mencipta mereka dan memberi mereka kedudukan serta kekuasaan, sama
ada kuasa politik atau kuasa ekonomi. Beranikah kita menghapuskan mereka? Bolehkah kita menentukan bahawa pengganti
mereka adalah lebih baik daripada mereka? Kita telah melakukan kesilapan ini
dalam sistem kehidupan kita. Kalau tuan-tuan ingin menghapuskan mereka,
tuan-tuan tidak ada pilihan lain kecuali membentuk corak dan cara pemerintahan baru yang tidak
membenarkan mereka berdua ini diberi kedudukan penting dan diberi segala
kesempatan serta sokongan untuk menipu dan menindas kita semua. Adakah kita
mahu?”
Kalau anda
tidak mempunyai kesedaran politik, anda mungkin tidak faham maksud kutipan ini.
Bagaimana pun, fikirkanlah. Isu seperti
ini perlu dibahaskan dengan kritis dan tuntas supaya Melayu tidak terus
tertipu, ditipu oleh para pemimpin politik mereka sejak 61 tahun dulu hingga ke
saat ini. Pemimpin yang bercakap tentang perubahan adalah orang yang sama yang
telah menggunakan kebodohan Melayu untuk mendapat kuasa politik dan seterusnya
menindas mereka, membiarkan mereka terus miskin dan terbiar, tertinggal dalam
pembangunan negara. Kita perlu membuat analisis yang kritis untuk memahami
mengapa Melayu terus menyokong pemimpin yang telah menipu mereka lebih dari
setengah abad! Siapakah yang mendapat faedah dari “kemerdekaan” ini?
UMNO telah
mengkhianati bangsa Melayu. Inilah hakikat politik yang mesti disampaikan
kepada bangsa Melayu. Kini UMNO yang kalah Mei 2018 muncul dalam bentuk yang
tidak berbeza, cuma sekarang menggunakan bahasa Melayu. Yang dipanggil parti PERIBUMI
itu ialah bahasa Melayu untuk United Malays National Organization, UMNO! Pemimpinnya pun masih sama…!
Sekarang
orang galak sungguh bercakap tentang para pemimpin yang korup dalam BN/UMNO.
Siapakah yang jadi pemimpin BN/UMNO dalam 22 tahun yang tidak korup? Pemimpin UMNO/BN
hanya korup ketika diperintah oleh Datuk Seri Najib Razak. Siapakah beliau?
Anak didik siapa? Kita semua tahu kekuatan Tun Mahathir ialah kelihaiannya
mencampakkan pemimpin “pengganti” kerana beliau tidak mahu wujud persaingan.
Maka dimusnahkan Musa Hitam, Tengku Ghazaleih, Anwar Ibrahim dan … Inilah tindakan bersifat nagarawan, seperti yang saya telah sebut
dalam entri terdahulu. Inilah hakikat
politik Melayu yang dibanggakan oleh bangsa Melayu. Satu perkara menarik untuk
difikirkan ialah para pemimpin UMNO dari zaman Tunku, Tun Razak, Tun Hussain
Onn… adalah dari keluarga terkenal dan berpengaruh dalam masyarakat Melayu.
Dato’ Onn Jaafar diiktiraf sebagai penyelamat Raja-Raja Melayu dan bangsa
Melayu. Apakah yang telah diselamatkan
oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed? Kita
perlukan sebuah buku, paling tidak, tentang pemimpin special ini untuk meneliti segala tindak tanduknya dan maknanya dalam
politik Malaysia. Terutama sekali
sepanjang yang berkaitan dengan orang Melayu yang dijadikan hamba oleh para
pemimpin UMNO dan dibiarkan terus miskin hingga sekarang. Kini mereka dikutuk
kerana terus miskin!
Kini kita
diberitahu kita berada dalam Malaysia Baru… Jangan tertipu lagi, dong!!
Selamat
tahun baru untuk kesekian kalinya dan terus berada dalam keadaan yang
diteruskan.
Mohd. Affandi
Hassan,
Petaling
Jaya, 31 Disember 2018.
No comments:
Post a Comment