Thursday, December 6, 2018

BAKAT DAN ILMU DALAM PENULISAN: Meneruskan Pandirisme Dalam Perkembangan Intelektual



Bolehkah seorang penulis bergantung hanya kepada bakat? Apakah bakat? Seorang sasterawan Indonesia menulis sebuah buku tentang “bakat alam”, yakni “natural talent” dalam penulisan.  Terpengaruh dengan pendapat sasterawan Indonesia ini, pada keseluruhannya sasterawan Malaysia (Melayu) berpegang kepada konsep bakat alam dan pada umumnya menolak kepentingan ilmu dalam penulisan, tetapi mereka mengakui seseorang penulis perlu mempunyai maklumat yang sekira-kira memadai untuk menulis dengan baik. Tetapi ini pun tidak tepat, kerana pada keseluruhannya mereka menyamakan maklumat dengan ilmu; dan yang amat ketara dalam penulisan mereka ialah penguasaan maklumat itu pun tidak sebaik seperti sepatutnya, dan tidak pula kritis.  Kalau anda membaca kertas kerja para sarjana ini, yang membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara, anda akan dapat melihat dengan ketara penguasaan maklumat tentang teori sastera Barat yang mereka jadikan pegangan itu pun sebenanya cetek. Lihat saja bagaimana mereka menggunakan istilah seperti dekonstruksi, intertekstualiti, konsep teks itu sendiri, tentang perbezaan dalam teori sastera Barat dan mengapa perbezaan itu sentiasa dicari-cari oleh para sarjana mereka. Saya  telah meminta para sarjana ini merujuk sebuah buku penting tentang feminisme, yang ditulis oleh seorang profesor falsafah,  berjudul  Feminism is Queer: The intimate connection between queer and feminist theory, oleh Mimi Marinucci.  Anda akan melihat betapa serabut dan kelamkabutnya feminisme ini dalam pemikiran Barat, hanya kerana satu sebab sahaja, iaitu kerana mereka tidak mempunyai sumber ilmu. Setiap sarjana menyatakan pendapat masing-masing, kerana mereka menolak hakikat manusia itu dijadikan oleh Allah SWT yang berasal daripada Nabi Adam dan isteri baginda Hawa. Yang amat aneh, para sarjana yang membicarakan feminisme di Malaysia juga menolak hakikat kejadian manusia, dan menerima hanya pendapat peribadi daripada para sarjana Amerika Syarikat. Ini jelas dalam buku-buku yang ditulis oleh mereka yang   menyebut kononnya mereka sebagai pakar feminisme dan selain mereka, orang lain tidak berhak berbicara tentang feminisme. Maka lahirlah apa yang disebut sebagai “puitika sastera wanita,” sebuah konsep yang sebenarnya karut. Apakah pendirian para feminis Melayu ini tentang kebenaran? Nampaknya mereka menolak adanya kebenaran, kerana para guru  mereka dari Amerika Syarikat tidak menerima adanya konsep kebenaran itu. Ini dijelaskan dengan mendalam oleh Mimi Marinucci dalam bukunya. Baca di situ jika anda belum yakin dengan penjelasan saya.  Atau, jika anda sendiri tidak pasti di mana kedudukan anda sebenarnya.  Anda akan pasti bahawa anda adalah kumpulan yang  “cetek meraba-raba” tetapi ingin memaksa hegemoni palsu anda kepada orang lain berasaskan kekeliruan anda.  Ini telah dapat kita lihat dalam perbincngan di FB milik salah seorang sarjana ciritan ini yang mengajak teman-temannya yang sama cetek meraba-raba sepertinya memberi pendapat yang cukup merapu hingga kita menjadi hairan bagaimana ini boleh dibenarkan dalam dunia akademik kita. Maklumat itu ada dalam Internet, sila cari atau bertanya orang yang tahu.

Sastera Melayu sudah lama berada dalam dunia mengarut ini, tetapi mereka yang terlibat tidak sedar kerana mereka tidak mempunyai ukuran yang membolehkan mereka mengetahui kedudukan mereka. Itulah sebabnya saya selalu mengajak mereka kembali kepada konsep ilmu yang benar, atau jika mereka tidak mahu sekalipun mengakui ilmu itu bersumber dari Allah SWT, mereka sekurang-kurangnya perlu menjelaskan premis setiap andaian teori sastera Barat, seperti yang telah dilakukan dengan begitu baik dan jelas oleh Frank Lentricchia dalam bukunya, After the New Criticism (1980) atau sekurang-kurangnnya membaca Jacques Derrida, terutama polemiknya dengan beberapa orang sarjana terkenal di Perancis, German, Amerika Syarikat dan Britain. Mereka seharusnya familiar dengan aspek ini. Mereka adalah sarjana, yang melahirkan ramai pelajar sastera. Apakah yang mereka ajar sebenarnya? Kalau dapat, bagus sekali jika para pelajar ini memberitahu kita apa yang mereka pelajari daripada para sarjana ini tentang sastera dan teori sastera. Mereka tidak berani? Atau mereka tidak mahu peduli kerana sudah dapat digri. Mereka selesa dalam dunia pandirisme.

Ternyata konsep “bakat alam” yang mereka fahami, yang dibeberkan oleh sasterawan Indonesia itu, telah menjadikan mereka, para sarjana ciritan ini, keliru besar tentang konsep ilmu, malah secara sedar menolak wujudnya konsep ilmu yang benar.  Seperti yang saya tegaskan berkali-kali, Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) menjadi bukti yang sangat jelas betapa sikap anti-ilmu dan anti-intelektual para sarjana ciritan yang menulis kertas kerja untuk persidangan ini meremehkan saja peranan ilmu dalam pembinaan tamadun negara ini, dengan memilih untuk merayau-rayau dalam belantara sensasi teori sastera Barat, kononnya mereka sedang berbicara tentang persoalan penting. Terdapat kecenderungan untuk mengikut lagak ahli politik dalam memberi cadangan mereka untuk memajukan negara, tetapi tidak mempunyai asas ilmu. Kita digesa oleh Profesor Muhammad Haji Salleh supaya meniru dan belajar daripada teman rapatnya, Baha Zain, seorang sasterawan negara, untuk mengambil contoh bagaimana karya kritikan ditulis. Oleh itu wajarlah jika kita bincang dengan kritis kertas kerja Baha Zain, untuk melihat sejauh mana Profesor Muhammad Haji Salleh bercakap benar. Apakah yang ditulis oleh Baha Zain? Dia mahukan apa yang disebutnya trasformasi sastera. What kind of creature is this? Sorry  to say,  dia hanya meluahkan retorik teh tarik kedai mamak dalam kertasnya. Saya mahu bahaskan beberapa pendapat beliau yang saya anggap penting, walaupun mengelirukan jika tidak diperinci dengan teliti. Transformasi dalam bentuk kekeliruan inikah yang diperjuangkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera? Kita lihat pendapat pengkritik contoh ini:

“Sastera bukan sekadar gambar atau potret cerita yang mati, tetapi membawa bersama-samanya idea, persepsi, dan perasaan, terutama daripada pengarangnya. Ia memberikan pujian dan persetujuan, kritikan yang keras atau peringatan yang mesra. Kalau falsafah menuju kepada kebenaran akal, sastera pula menghidangkan kebenaran pengalaman; dan sastera kita akan memberikan tindak balas estetik terhadap transformasi negara.” (hal. 229 edisi pertama).

Apakah yang dimaksudkan oleh pengkritik contoh ini dengan “kebenaran akal”? Akal yang beriman tidak sama dengan akal yang tidak beriman; perbezaan ini mesti diketahui dengan jelas oleh orang Islam. Anda hanya dapat melihat perbezaan ini dengan membandingkan falsafah ulama Islam seperti Imam Ghazali dan Ibn Rushd dengan falsafah Descartes yang selalu dibandingkan dengan Imam Ghazali. Anda boleh lihat perbezaannya? Lebih jelas, ketika membicarakan konsep ilmu dalam kitabnya yang pertama sebelum beliau menghuraikan ilmu-ilmu Islam dalam Ihya Ulumid-Din, beliau menegaskan matlamat ilmu dalam Islam ialah mencapai keyakinan. Ini tidak ada dalam konsep ilmu orang tidak beriman. Mereka akan bertanya: Apa keyakinan? Para sarjana Melayu dan sasterawan juga menyerlahkan tabiat berfikir ini, yang jelas dalam cara berfikir Baha Zain dalam kertasnya ini. Mengapa persoalan ini penting? Ia penting kerana hakikat ini ada hubungannya dengan hakikat kejadian insan, hakikat ilmu, dan hakikat amal.  Tiga perkara ini menjadi keutamaan untuk anda fahami dalam konteks ilmu yang benar, kalau tidak anda tidak akan dapat membaca dengan tepat pemikiran Barat dalam bidang apa pun juga.  Jadi pemahaman ini sangat penting untuk anda mengerti apakah yang dimaksudkan dengan “kebenaran pengalaman” yang disebut oleh Baha Zain.  Kebenaran pengalaman itu hanya bererti jika dilihat daripada perspektif taklif, seperti yang dihuraikan dengan jelas oleh Shah Wali Allah. Bacalah di sana.  Lain-lain perkara, umpamanya tentang hakikat insan, telah dibicarakan dengan amat mendalam oleh Imam Ghazali dan dihuraikan dengan amat jelas oleh Dr. Abul Quasieim  dalam kitabnya The Ethics of al-Ghazali: A Composite Ethics in Islam (1975).  Tekuni buku itu dan lain-lain buku yang membicarakan hakikat insan ini, misalnya dengan meneliti sebuah kitab oleh seorang sarjana Indonesia,  Dr. H. Saeful Anwar, M.A., Filsafat Ilmu al-Ghazali:  Dimensi Ontologi dan Aksiologi  (Penerbit Pustaka Setia, Bandung (2007).  Apabila sudah memahami aspek ini, maka apakah yang diperlukan dalam “transformasi” yang dibicarakan oleh Baha Zain ini? Senang: faham terlebih dulu konsep ilmu yang benar, ketika itulah baru anda boleh bercakap tentang transformasi. Itulah yang cuba dihidangkan kepada anda oleh Gagasan Persuratan Baru. Tetapi kerana anda meremehkan saja pemikiran orang lain yang tidak berada dalam kumplan anda,  kumpulan Mutual Admiration Club, anda sanggup menyesatkan diri anda dalam belantara teori sastera Barat. Kalau begitu, tidak usah dulu bercakap tetang transformasi sastera. Sia-sia dan mengelirukan.

Seterusnya kita lihat penegasan Baha Zain lagi: “Tidak terlalu banyak yang dituntut oleh sasterawan dan penulis untuk dirinya, kecuali kebebasan berucap dan mencipta demi memenuhi panggilan bakat semula jadi atau untuk turut membangunkan warisan kebudayaan dan tamadun. Mereka sedar bahawa bakatnya itu amanah Tuhan demi memakmurkan alam serta megangkat darjat manusia, baik sebagai individu, masyarakat mahupun bangsa. Amanah dan bakat yang dipinjamkan kepadanya juga tidak sekadar meraikan orang atau gagasan yang baik, tetapi juga untuk menegur keburukan, korupsi, penyelewengan, dan ketidakadilan kerana kemakmuran bukan sahaja menyenangkan kehidupan tetapi dapat juga menimbulkan akses sosial, ketamakan, dan perebutan kemewahan yang melanggar ketetapan hukum, amalan etik, dan moral.” (hal. 229).

Apakah maksud Baha Zain dalam retorik teh tariknya ini? Sekali imbas, bagi pembaca yang tidak menilai secara kritis berasaskan konsep ilmu yang benar, beliau seolah-olah sedang mengucapkan sesuatu yang amat bermakna bagi manusia sejagat. Tetapi dengan wujudnya kontradiksi yang bersimpang siur, beliau hanya bermain dengan kata-kata, bukan mengemukakan pemikiran yang boleh dicontohi. Betulkah sasterawan tidak menuntut lebih dari sumbangan mereka? Apabila mereka dilantik menjadi sasterawan negara, mereka telah mengangkat diri mereka lebih tinggi daripada para ulama dan cenekiawan, kerana empat sasterawan negara yang menjadi hiasan dalam SKPM tidak bercakap sepatah pun (tidak direkod pun dalam laporan) tentang ucaputama Profesor Ulung Tan Sri Muhammad Kamal Hassan, apatah lagi memberi sokongan supaya ucap utama itu dijadikan risalah penting sebagai manifesto penulis yang wajar dijadikan rujukan para sasterawan. Sangat jelas sasterawan negara ini mementingkkan diri, tidak mementingkan ilmu, hanya bercakap sahaja dalam retorik teh tarik kononnya mereka sedar amanah mereka sebagai pencinta ilmu.  Seterusnya, menarik juga bila Baha Zain berkata sasterawan mahukan kebebasan bercakap diberikan kepada mereka, dalam kata-kata berikut, “kebebasan berucap dan mencipta demi memenuhi panggilan bakat semula jadi atau untuk turut membangunkan warisan kebudayaan dan tamadun”. Adakah semua sasterawan negara tidak diberi kebebasan itu? Inilah retorik teh tarik yang sunguh memualkan. Sebenarnya yang menyekat kebebasan bersuara itu ialah mereka sendiri, yang berada dalam Mutual Admiration Club. Semua orang tahu bagaimana kumpulan berpura-pura ini berusaha dengan gigih untuk menyekat Gagasan Persuratan Baru dari memasuki universiti untuk dibahaskan dengan tuntas dalam pengajian kesusasteraan.  Kita semua ingin sekali mendengar penapian daripada golongan Mutual Admiration Club ini. Sebaliknya, ketua mereka memanggil penggiat Persuratan Baru sebagai “anjing kurap”. Jika ini tidak benar, bermakna Dr. Fatimah Busu telah berbohong, kerana ungkapan ini tertulis dalam buku beliau. Kita tunggu penapian mereka. Kita mahu lihat betulkah mereka punya maruah atau tidak. Kita juga ingin tahu adakah mereka bersedia mempertahankan maruah orang lain yang ternyata lebih bijak daripada mereka?  Kita tunggu kucing bertanduk ini bertindak.

Ke manakah sasterawan negara Baha Zain ini ingin membawa para sasterawan yang istimewa itu? Beliau ingin membawa para sasterawan ini “turut membangunkan warisan kebudayaan dan tamadun.”  Apakah jenis warisan itu? Apakah jenis tamadun itu? Sebenarnya beliau tidak tahu makna warisan dan tamadun, yang di seluruh dunia berasaskan ilmu, termasuk semua warisan besar dunia yang kita kenal.  Apakah yang harus dilakukan oleh para sasterawan dan sarjana jika betullah mereka ingin membangun warisan dan tamadun? Mereka harus jelas apakah asas warisan dan tamadun itu. Apabila ada manusia yang menegaskan warisan dan tamadun itu haruslah berasaskan konsep ilmu yang benar, mereka menyelar dengan keras anjuran itu sebagai tidak lebih daripada “salakan anjing kurap” saja.  Sebenarnya ke mana Baha Zain dan kawan-kawannya yang terdiri daripada para sasterawan negara dan sarjana ciritan ini ingin membawa rakyat dalam “transformasi sastera” pilihan mereka? Kini kita semua  sudah dapat melihat dengan jelas matlamat mereka. Anda mahu ikut?

Perbincangan ini ialah perbincangan tentang konsep ilmu. Kita tidak perlukan “transformasi sastera” seperti yang dikemukakan oleh Baha Zain dan ITBM, sebaliknya kita perlukan perbincangan lebih mendalam tentang konsep ilmu yang benar sebagai asas pembinaan tamadun negara kita. Para sasterawan dan sarjana sastera telah gagal membina tradisi intelektual berasaskan ilmu yang benar itu, maka tidak ada alasan sama sekali untuk kita membiarkan mereka meneruskan “transformasi sastera” yang mereka cadangkan itu, kerana semua itu akhirya kembali kepada kegagalan lama yang kini mahu diberi wajah baru dan “istilah” baru, atau slogan baru untuk meniru kemahuan pemerintah yang kini sedang bergelumang dengan korupsi dalam skandal 1MDB. Adakah para sarjana dan sasterawan menyokong kemunculan gergasi korupsi 1MDB itu? Kita lihat ini dalam konteks yang diberikan oleh Baha Zain, yang menegaskan bahawa “kemakmuran” menimbulksan akses kepada ketamakan dan perebutan kemewahan. Adakah ini terlepas daripada perilaku para sastrerawan negara dan lain-lain sasterawan serta para sarjana? Yang boleh menjawab soalan ini hanya sejumlah resolusi yang diputuskan oleh mereka dalam SKPM 2014 itu, yang sayangnya tidak dimasukkan ke dalam edisi terkini Sastera Teras Negara Bangsa. Tidak pentingkah resolusi itu, atau resolusi itu agaknya memalukan mereka kerana banyak sangat permintaan mereka yang bukan-bukan, hingga menjadi duta sastera (?) dan dimestikan ikut serta apa juga rombongan kerajaan ke luar negara supaya mereka dapat memperkenalkan diri mereka sebagai sasaterawan negara. Ada resolusi yang dengan tegas mesti melantik hanya para sasterawan negara menduduki beberapa organisasi baru yang dicadangkan. Dan banyak lagi yang agak pelik jika kita lupa bahawa mereka juga manusia biasa yang juga ingin kemewahan dan kedudukan secara rasmi untuk ditayang-tayang kepada masyarakat, seperti yang dibuat oleh ahli politik.  Dalam hal ini nampaknya mereka tidak original, walaupun mereka klaim dengan bangga bahawa mereka paling original dalam karya mereka. Anda boleh percaya? Perbincangan saya di sini hanya untuk menarik perhatian anda semua kepada beberap perkara yang agak menonjol. Banyak lagi yang boleh kita persoalkan dalam tulisan tokoh contoh Baha Zain ini.  Tepat sekali bila saya meggunakan ungkapan “retorik teh tarik” satu masa dulu, kerana inilah yang kita dapat daripada kertas kerja tokoh contoh Baha Zain ini.

Cadangan Baha Zain supaya kerajaan Malaysia menubuhkan Pusat Dokumentasi Melayu terbesar perlu dilihat dalam konteks sejarah bagaimana para sarjana Melayu sendiri, ada di antaranya sahabat baik Baha Zain sendiri, mengkhianati penubuhan IBKKM di UKM oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.   Mereka berusaha gigih untuk memusnahkan IBKKM kerana perasaan hasad yang tidak terbendung. Kini  mereka mahu satu lagi pusat yang dulu sudah dimusnahkan itu? Anda perlu baca catatan saya dalam Gagasan Persuratan Baru (edisi kedua, hal. 199 nota 10) untuk mendapat sedikit gambaran tentang perkara ini.  Walau bagaimana pun, saya fikir kita patut ada pusat seumpama itu. Tempatnya yang sesuai tentulah di DBP. Tetapi ini memerlukan rombakan besar-besaran di DBP, dari segi struktur pentadbiran dan pelantikan kakitangan yang pelbagai disiplin, dengan mengkhususkan bahagian pentadbiran kepada pakarnya yang arif dalam management.  Saya lebih cenderung untuk menjadikan DBP sebuah organisasi pelbagai bangsa, kerana kita sudah ramai mempunyai pakar bahasa Melayu dalam pelbagai bidang yang tidak lagi terbatas kepada orang Melayu saja. DBP mesti bersifat dan bersikap terbuka. Para sarjana Melayu, jika mereka benar-benar berkualiti, tidak harus takut menghadapi cabaran ini.

Jika anda tiada perasaan malu untuk menggesa manusia menjadikan sahabat anda sendiri, yang tidak pula seorang ahli ilmu, untuk dicontohi, sebagai uswatun hasanah dalam sastera Melayu, maka jelaslah anda tidak ada maruah. Malu. Belajarlah menjadi malu yang positif.

Keterbatasan bakat alam sangat jelas dalam kes Baha Zain dan Profesor Muhammad Haji Salleh ini. Walaupun profesor yang gah ini seorang sarjana, belum tentu beliau mempunyai ilmu. Bukti dari tulisan beliau hanya menunjukkan beliau ada sedikit maklumat yang tidak mencukupi untuk dijadikan tokoh yang boleh dicontohi. So sorry for that!  Begitu juga dengan Baha Zain, oleh itu amatlah aneh apabila Profesor Muhammad Haji Salleh mencadangkan kepada kita yang mereka anggap bodoh ini supaya mencontohi Baha Zain yang tidak ada bezanya dengan Profesor Muhammad Haji Salleh sendiri sebagai seorang tokoh biasa-biasa saja yang telah dimitoskan oleh Mana Sikana sebagai dua orang sasterawan terbesar Malaysia sepanjang zaman.

Kesimpulan: Meneruskan Pandirisme Dalam Perkembangan Intelektual

Konsep bakat alam, atau bakat semula jadi dalam istilah yang dipakai oleh Baha Zain, tidak cukup untuk menjadikan anda seorang penulis yang cemerlang tanpa sokongan ilmu. Maklumat saja tidak cukup untuk membuat anda faham, kerana setiap teori sastera Barat yang anda baca anda akan dapati mempunyai hingga 12 wajah, seperti feminisme misalnya. Tetapi semua teori hanya berkisar kepada tiga paksi saja: kepada pengarang (melahirkan romantisisme); kepada karya (melahirkan  New Criticism); kepada pembaca (melahirkan bermacam-macam teori pula). Di manakah para sarjana Malaysia berada?  Mereka berada di mana-mana untuk tidak ke mana-mana. Suatu keadaan yang aneh, tetapi inilah corak kesarjanaan Melayu dalam sastera. Banyak sekali mereka tayangkan segala macam teori yang mereka jiplak daripada teori sastera Barat, tetapi tidak satu pun mereka kuasai dengan baik. Tahu serba sedikit, lalu berlagak tahu semuanya, akhirnya mereka lebih banyak merapu tak tentu arah di atas bumbung kilang berkarat untuk bermimpi mencari ilham, tetapi hasilnya ocehan kosong saja. Inilah hasil tulisan manusia yang meminta kita meniru dan belajar daripada Baha Zain, yang tidak lebih baik kualiti tulisannya daripada beliau sendiri yang membuat cadangan itu. Itulah saja yang dapat diberikan oleh “bakat semula jadi” atau bakat alam. Akhirnya mereka mempromosikan pandirisme.  Amatlah besar kemaluannya!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 18 Ogos, 2016.

LAMPIRAN  (Untuk makluman yang berminat)

RESOLUSI
SIDANG KEMUNCAK PENULIS MALAYSIA 2014
DARULAMAN GOLF & COUNTRY RESORT, JITRA KEDAH
24 – 26 OKTOBER 2014

Sumbangan sasterawan dan intelektual dalam pembinaan peradaban negara bangsa sangat besar ertinya. Tidak ada peradaban yang diingati kebesarannya tanpa memiliki khazanah kesusasteraan yang tinggi. Oleh itu, untuk membina sebuah negara bangsa yang berharkat tinggi dan meneguhkan peradaban yang sedia kita miliki, kesusasteraan khususnya, dan persuratan amnya, perlulah diperkukuh dengan dimensi baharu, mengikut perkembangan zaman.
Bagi melunasi cita-cita tersebut, satu perhimpunan telah diadakan pada 24-26 Oktober 2014, bertempat di Darulaman Golf and Country Resort, Jitra, Kedah. Perhimpunan yang dinamai Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) ini menghimpunkan 250 pengarang, sasterawan, budayawan, dan  cendekiawan yang mewakili 46 institusi yang terdiri daripada persatuan penulis, syarikat penerbitan, aktivis bahasa dan kebudayaan, pengamal media, serta ahli akademik yang berkaitan. Pertemuan yang diisi dengan perbincangan ilmiah serta perbahasan intelektual itu berhasrat mencari gagasan yang diharapkan dapat memantapkan martabat persuratan bangsa. Lanjutan daripada itu telah terhasil sebuah resolusi yang praktis untuk diusulkan kepada pihak-pihak yang berwewenang:

A.   Sastera dalam Pendidikan Negara

Menyedari bahawa kesusasteraan semakin dilemahkan dan dipinggirkan dalam sistem pendidikan, Kementerian Pendidikan diminta memulihkan dan memperkasakan subjek sastera dalam sistem pendidikan kebangsaan dengan beberapa saranan yang strategik:
1.    Mewajibkan subjek sastera sejak di peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi mengikut kesesuaiannya.
2.    Sastera daripada huraian ketamadunan dijadikan subjek wajib dalam sistem pendidikan negara.
3.    Teks kesusasteraan daripada tamadun Islam, India, dan Cina yang representatif dimasukkan sebagai unsur luar yang memperkaya subjek sastera dalam huraian ketamadunan.
4.    Menggunakan teks kesusasteraan yang representatif dalam subjek sastera, iaitu teks-teks yang memancarkan akal budi tamadun wilayah ini dari abad ke-16 hingga ke-21.
5.    Penambahbaikan kurikulum subjek Kesusasteraan Melayu dengan penekanan kepada nilai sejagat.
6.    Memperkasakan semula kurikulum mengkaji teks klasik dan karya agung Melayu di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi sebagai asas pengukuhan keperibadian tamadun Melayu.

B.             Pengembangan Sastera Melayu  Nasional, Serantau dan Antarabangsa
Menyedari bahawa kesusasteraan nasional akan lebih maju dan dikenali di peringkat antarabangsa beberapa strategi perlu dilaksanaka. Dalam konteks ini, SKPM menyokong penubuhan Yayasan Penulis Malaysia yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, dan dalam masa yang sama meminta kerajaan menyalurkan bantuan tahunan secara tetap untuk Yayasan terus memainkan peranan dalam konteks pembangunan kesusasteraan nasional. Yayasan Penulis Malaysia perlu memberikan penekanan kepada kebajikan penulis, sama ada dalam konteks kebajikan peribadi mahupun penataan, pengkaryaan, dan penerbitan.
          Di samping itu, kerajaan perlu memperuntukkan dana tetap untuk tujuan pengembangan dan penterjemahan karya sastera nasional kepada agensi-agensi yang berkaitan, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku, dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Secara konkrit dan praktisnya, langkah yang perlu dilakukan adalah seperti yang berikut:

1.       Penterjemahan:
1.1     Mempergiat penterjemahan karya sastera Melayu Malaysia pelbagai genre dan peringkat khalayak ke dalam bahasa-bahasa utama dunia. 

1.2     Mewujudkan geran untuk melantik penterjemah tamu bagi menterjemahkan sastera Melayu ke bahasa natifnya. Misalnya, dilantik penterjemah dari Perancis untuk menterjemahkan sastera Melayu ke bahasa Perancis bagi menghasilkan terjemahan yang berwibawa.

1.3     Menterjemahkan karya kontemporari yang berpotensi untuk dikemukakan kepada pihak yang menganjurkan anugerah sastera di peringkat antarabangsa seperti Anugerah Sastera Komanwel.

2.       Anugerah Persuratan Melayu-Islam:
                     Mewujudkan Anugerah Persuratan Melayu-Islam Nusantara yang dinaungi oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong.  Selain bertujuan mengiktirafkan sasterawan Melayu-Islam,           anugerah ini bersungsi sebagai medan solidariti ummah di           peringkat Nusantara.

3.       Kerajaan, melalui agensi-agensi yang berkaitan, sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku          Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku, atau Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, perlu menyediakan Dana Pembangunan Penulis bagi tujuan penyelidikan, penciptaan karya, penyertaan dalam kegiatan sastera peringkat antarabangsa, mengikuti kursus berkaitan, dan residensi penulis muda, yakni berusia 40 tahun ke bawah.

4.       Kerajaan perlu menubuhkan Majlis Sastera, Bahasa, dan Kesenian Malaysia yang berperanan sebagai badan pemikir bersifat autonomi dan bertanggungjawab kepada menteri yang berkaitan bagi tujuan menyemarakkan pengkaryaan dan penciptaan, peluasan kegiatan apresiasi, penataran bakat, kemahiran, dan keilmuan serta merancang strategi pemasaran karya dalam dan luar negara, sekali gus mencipta peluang pekerjaan baharu yang berasaskan modal insan kreatif dan inovatif.

5.       Kerajaan perlu memilih dan melantik penulis tempatan yang berwibawa untuk menduduki Kerusi Pengajian Bahasa dan Sastera Melayu di luar negara, termasuk di universiti-universiti antarabangsa yang menawarkan kursus bahasa dan sastera Melayu. Keutamaan hendaklah diberikan kepada penulis mapan yang memperlihatkan mutu pemikiran yang tinggi, karya yang teruji serta sumbangan yang jelas terhadap dunia kesusasteraan.

6.       Menyediakan anugerah untuk penulis muda berumur 40 tahun ke bawah yang memperlihatkan mutu pemikiran garda depan dan komitmen dalam pembangunan dunia sastera kontemporari. Hadiah tersebut adalah dalam bentuk penyediaan prasarana untuk penulis memajukan pengkaryaannya serta untuk memasyarakatkan karyanya.


8. Mewujudkan sayembara penulisan esei dan kajian ilmiah sastera untuk penulis muda, tidak terhad kepada pelajar institusi pengajian tinggi sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh DBP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (Pengajian Tinggi).

9 .      Penubuhan Institut Penulisan Sastera Kreatif berwibawa yang berada di bawah satu bumbung bagi melatih bakal penulis dan profesionalisme penulisan kreatif. Hal ini telah dilakukan oleh negara-negara Barat seperti Universiti Iowa di USA.

10. Meminta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan universiti tempatan menerbitkan jurnal akademik dalam talian yang berfokus pada sastera Melayu dalam dwibahasa yang bertaraf Scopus dan International Science Index (ISI).

11.     Promosi
11.1.  Kerajaan melalui Kementerian Luar hendaklah mewujudkan atase kebudayaan di peringkat kedutaan bagi membantu memperkenalkan dan menyebarluaskan sastera Melayu di luar negara.

11.2   Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia perlu mewajibkan semua syarikat penerbangan tempatan menyisipkan karya terjemahan daripada sastera kebangsaan (cerpen dan puisi) di dalam majalah yang diletakkan di dalam pesawat.

11.3   Kerajaan hendaklah membawa sasterawan sebagai delegasi dalam setiap lawatan rasmi pemimpin tertinggi negara bagi tujuan promosi sastera.

11.4   Kerajaan perlu mewajibkan semua Badan Berkaitan Kerajaan (GLC) khususnya, dan menggalakkan syarikat swasta untuk memperuntukkan sumbangan tahunan bagi menampung pembiayaan program sastera dan bahasa kebangsaan serta kos operasi Yayasan Penulis Malaysia yang akan ditubuhkan.

11.5   DBP perlu mengaktifkan semula Majlis Sastera Pelbagai Kaum bagi melaksanakan fungsi penataraan, pengiktirafan, penterjemahan (daripada bahasa Melayu kepada bahasa etnik lain), dan penerbitan.

12.     Kerajaan perlu menubuhkan Muzium Penulis Malaysia bagi tujuan pendokumentasian dan pelestarian bahan tentang persejarahan persuratan Melayu, merangkumi susur galur penulis dan perkembangan penulis di Malaysia.

13. Pihak Kerajaan Negeri Kedah khususnya wajar menjadikan rumah pusaka Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad di Sik sebagai Muzium/Galeri  Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Pewujudan muzium atau galeri tersebut membuktikan pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada bidang sastera di samping dapat menjadikannya sebagai produk pelancongan.


C.      Dasar Kesusasteraan Negara.
Menyedari bahawa kedudukan sastera di negara ini masih belum
mempunyai dasar yang jitu untuk menentukan falsafah dan hala tujunya dalam agenda pembangunan Negara,  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu menggubal Dasar Kesusasteraan Negara. Dasar ini bertujuan melegitimasi bidang kesusasteraan sebagai suatu hasil kreativiti bidang ilmu yang sama nilainya dengan bidang-bidang lain dalam agenda pembangunan negara.
Penggubalan sebuah Dasar Kesusasteraan Negara dapat menjadi panduan, landasan kukuh serta penegasan teguh bagi membina falsafah, hala tuju penciptaan karya, penerbitan, pengedaran, dan matlamatnya bagi memenuhi aspirasi nasional.
Jawatankuasa penggubal Dasar Sastera Negara perlu dilantik daripada kalangan Sasterawan Negara, ahli akademik, wakil persatuan penulis yang tertentu, pengamal undang-undang di samping wakil daripada agensi kerajaan yang berkaitan


Dibentangkan pada 26 Oktober 2014
(Sumber: DBP). 

Anda perlu baca ini dan beri pandangan kritis anda. Misalnya, cadangan untuk menggubal  Dasar Kesusasteraan Negara adalah naif, penjelasannya bercelaru, dan cadangan siapa yang akan duduk dalam penggubalan itu membuktikan betapa tamaknya golongan ini kepada kedudukan, kemewahan (?), dan prestij, walaupun mereka tidak memberikan sumbangan yang cemerlang di mana-mana pun dalam bidang apa pun. Mereka akan hanya meneruskan pandirisme dalam budaya Melayu, bukan dinamisme bersifat ilmu. Klise. Itulah sebenarnya.


No comments:

Post a Comment