Tuesday, December 11, 2018

Sebuah kisah untuk direnung kembali (disalin daripada Balai Maqamat)



CERITA SEBENAR KOMANDO MAT MELAYU
(Sebuah Dongeng Politik)

Oleh Mohd. Affandi Hassan

            Peristiwa itu dikenali dalam sejarah sebagai “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan”. Nama itu diberikan sendiri oleh Komando Mat Melayu, ditemui dalam buku catatannya dan disebarkan selepas pembunuhan itu dilakukan. Ahli sejarah tidak ada pilihan lain selain menerima nama yang telah diberikan oleh Komando Mat Melayu, walaupun terdapat bantahan kuat daripada beberapa pihak tertentu yang memberi alasan sejarah tidak perlu ditulis dengan tepat jika sekiranya dengan berbuat begitu satu pihak akan merasa terhina dan pihak yang lain pula merasa megah. Sejarah harus mencerminkan kemahuan manusia yang menulisya, bukan hakikat sebenar yang berlaku. Atas dasar itu, kata mereka, “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan” tidak boleh dimasukkan di dalam buku teks yang dipakai di sekolah-sekolah. Peristiwa itu akan membangkitkan kemarahan yang berpanjangan sehingga kiamat jika didedahkan kepada murid-murid sekolah. Untuk menyelamatkan peristiwa itu daripada menjadi sumber kemegahan sesuatu puak, maka Komando Mat Melayu telah dipersetujui oleh ahli-ahli psikologi supaya diisytiharkan sebagai seorang pemuda Melayu yang gila, yang dipengaruhi oleh anasir jahat berupa ajaran tuk-tuk guru pondok. Bagaimana tuk-tuk guru ini boleh berada dalam peristiwa ini tidak dijelaskan oleh ahli sejarah, tetapi pihak yang berkuasa, yang menerima keputusan ahli-ahli psikologi itu, terpaksa mencari sumber yang munasabah dan boleh diterima untuk dikaitkan dengan kegilaan Komando Mat Melayu. Tidak lain yang bersalah itu ialah tuk-tuk guru pondok yang memang berusaha menegakkan negara Islam di Malaysia, yang ditentang hebat dengan nyawanya oleh tokoh politik yang mati ditembak itu. Dengan itu Komando Mat Melayu tidak saja disahkan gila oleh para doktor jiwa; dia juga disahkan sebagai seorang yang sudah diselewengkan akidahnya oleh tuk-tuk guru yang mencampuradukkan politik dengan agama. Tiba-tiba Komando Mat Melayu mendapat pengiktirafan yang dipersetujui  ramai sebagai pengganas Islam yang paling terkemuka dan paling bengis dalam sejarah Malaysia.
            Pada hakikatnya Komando Mat Melayu tidak kena mengena dengan tuk-tuk guru pondok, dan bukan seorang pengganas, tidak juga gila. Dia hanya seorang nasionalis kerdil yang tidak boleh menerima penghinaan yang dilemparkan terhadap bangsa Melayu. Dia bukan seorang yang cerdik, tidak terdidik tinggi, tidak juga berpengaruh di kalangan para penjahat sekali pun. Malah dia dibenci oleh para penjahat dari pelbagai peringkat dan puak, kerana ketegasannya mempertahankan hak bangsa Melayu untuk dihormati dan diterima sebagai tuan punya Semenanjung Tanah Melayu ini. Kata ahli psikologi, itulah alasan yang mereka pakai untuk mengisytiharkan Komando Mat Melayu seorang yang tidak siuman, seorang gila yang khayal dengan semangat kemelayuan yang melampau. Kata ahli psikologi, dari segi sejarah, tidak seorang pun yang siuman menafikan hakikat sejarah bahawa penduduk Melayu adalah penduduk asal Kepulauan Melayu dan seluruh daerah Nusantara. Tetapi hakikat sejarah itu telah berubah sebaik saja Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu diterima oleh semua penduduk Malaya sebagai syarat mendapat kemerdekaan. Itulah hakikat sejarah yang baru, yang menghapuskan hakikat sejarah yang lama. Dilihat dari segi itu, kata ahli undang-undang dan para hakim yang menghukum mati Komando Mat Melayu, semua warga negara berhak mempersoalkan apa juga perjuangan perkauman sesuatu puak yang hendak dipaksakan ke atas warganegara yang tidak bersetuju dengan perjuangan itu. Tokoh politik yang ditembak oleh Komando Mat Melayu dengan jujur, sebagai seorang tokoh politik yang prihatin kepada kesejahteraan pengikutnya, telah mempersoalkan kedudukan jawatan Perdana Menteri yang tidak seharusnya dihadkan kepada orang Melayu yang beragama Islam saja, dan sesiapa juga harus menghormati perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang tidak membenarkan negara ini dijadikan sebuah negara Islam, walaupun sekiranya seluruh orang Islam bersetuju dengan perancangan itu. Kata para hakim dan ahli psikologi, Komando Mat Melayu telah keliru besar apabila dia dengan marah dan bengis menembak tokoh tersebut.
            Sebelum digantung, Komando Mat Melayu meminta diberi peluang untuk memberi wasiat kepada bangsanya. Permintaannya ditolak, tetapi Komando Mat Melayu sempat menjeritkan kata-kata berikut: Pertahankan Maruah Melayu Dengan Darah dan Nyawa Sehingga Kiamat. Kesan ucapan itu sangat serius. Orang yang membawa keluar jeritan Komando Mat Melayu itu didakwa menyebarkan fitnah dan cuba mengapi-apikan semangat perkauman, lantas dibicarakan dan diputuskan untuk dipenjara selama dua puluh tahun dengan sepuluh sebatan. Dia hanya sempat berada dalam penjara selama 15 tahun dan menerima 6 sebatan saja. Dia mati sambil menjeritkan wasiat Komando Mat Melayu. Kata ahli sejarah, pada saat kematiannya, penjara menjadi medan pertempuran antara banduan dan para pengawal. Berpuluh-puluh banduan ditembak mati dan ditangkap sekali lagi untuk dibicarakan sebagai banduan kedua.
            Cerita Komando Mat Melayu tidak habis setakat itu saja. Seorang wartawan, ketika membuat penyelidikan tentang kebangkitan Komando Mat Melayu sebagai seorang pahlawan, menemui sebuah buku catatannya yang berbugkus kain merah. Catatan itu tidak bernilai dari segi sejarah dan politik, kerana hanya mencatat berapa ekor babi hutan yang dibunuhnya ketika dia berburu di Gunung Tahan. Ada tidaknya nilai catatan itu hanya pada kegigihan Komando Mat Melayu memburu dan membunuh babi hutan. Yang menjadi persoalan ialah: Benarkah babi hutan yang ditempaknya, atau manusia yang dipanggilnya babi hutan? Dalam penyiasatan polis, orang-orang hilang yang tidak ditemui, yang ramai juga bilangannya, tidak ada kaitan dengan Komando Mat Melayu. Semua kehilangan itu berlaku di tempat lain, bukan di Gunung Tahan tempat Komando Mat Melayu berburu. Tetapi seorang ahli sejarah keturunan Cina yang meneliti semula penyiasatan polis mendapati beberapa tanda-tanya yang tidak berjawab, antaranya yang paling penting ialah: Mengapa Komando Mat Melayu menamakan pembunuhan tokoh politik itu “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan”?  Ahli sejarah itu membuat kesimpulan, Komando Mat Melayu adalah seorang pengikut Nazi berbangsa Melayu yang pertama, berasaskan catatannya pada gambar Hitler yang ditemui dalam lipatan baju Melayunya yang menyatakan Hitler adalah seorang pemimpin berani yang telah mengorbankan dirinya untuk mempertahankan maruah bangsa Jerman daripada dimusnahkan oleh gerakan orang Yahudi antarabangsa. Menurut ahli sejarah itu, catatan itu membuktikan Komando Mat Melayu seorang pengikut Nazi dan seorang penjahat yang sangat berbahaya, sama bahayanya dengan Hitler sendiri.
            Penemuan ahli sejarah keturunan Cina itu dibantah keras oleh Persatuan Sejarah Pejuang Politik Malaysia, yang mempersoalkan kesahihan catatan itu. Dalam satu seminar yang diadakan khas untuk meneliti kesahihan catatan itu, pakar-pakar sejarah bersetuju bahawa catatan itu ditulis kemudian, setelah Komando Mat Melayu sudah mati digantung, ditulis sendiri oleh ahli sejarah yang menemuinya. Ahli-ahli sejarah Persatuan Sejarah Pejuang Politik Malaysia memutuskan bahawa satu penipuan sejarah telah sengaja dilakukan, lalu dibuat rumusan supaya ahli sejarah yang cuba menipu itu dihukum dengan menarik balik ijazah Ph.D. yang diperolehinya. Universiti yang menganugerahkan ijazah itu menolak mentah-mentah desakan itu, dengan alasan bahawa tesis yang menjadi asas penganugerahan ijazah itu tidak mengandungi unsur-unsur menipu, malah dibuktikan sahih dari segi sejarah. Penipuan itu dibuat setelah penerima ijazah itu diterima sebagai pakar sejarah, oleh itu beliau hendaklah dihukum dalam konteks lain, bukan dalam konteks akademik. Akhirnya beliau dibiarkan saja, dan akhirnya beliau menerbitkan catatan Komando Mat Melayu setelah membayar dengan harga dua juta ringgit kepada waris beliau.
            Ahli politik Melayu memberikan pandangan yang berbeza tentang “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan” itu. Menurut seorang ahli politik Melayu yang terkenal, Komando Mat Melayu bertindak bersendirian, tidak mencerminkan kehendak bangsa Melayu. Ahli-ahli politik Melayu menggunakan kecerdikan mereka untuk menangkis tuduhan ahli politik bukan Melayu, dengan menggunakan saluran demokrasi dan undang-undang. Dari segi itu, katanya sesiapa juga boleh mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu, hak mereka untuk menjadi Perdana Menteri, dan hak mereka menubuhkan Negara Islam jika mereka mahu. Tetapi orang bukan Melayu sendirilah yang telah membuat kesilapan besar kerana kegopohan dan keangkuhan mereka. Jika mereka tidak gopoh dan tidak angkuh, tidak terlalu biadab menakutkan orang Melayu selepas pilihan raya 1969, mereka mungkin telah menduduki kerusi Perdana Menteri sejak tahun 1969 lagi. Ketika itu mereka mempunyai kerusi majoriti di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri Selangor. Kata ahli politik itu, sekiranya pemimpin Cina dan India lebih realistik dan tidak perkauman, dapat menerima toleransi Melayu sebagai satu kompromi, orang Melayu sudah bersedia menerima seorang Perdana Menteri Cina dengan timbalannya seorang Melayu dan seorang lagi India. Peluang itu telah tertutup sekarang, kata ahli politik itu. Katanya, orang Melayu tidak perlukan kemunculan Komando Mat Melayu untuk mempertahankan hak-hak Melayu. Malah kemunculan Komando Mat Melayu lebih membahayakan pemimpin Melayu sendiri. Sekiranya pemimpin Melayu gagal membela nasib bangsa Melayu, mereka akan dibunuh dalam “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan” kedua oleh seorang lagi Komando Mat Melayu.
            Ketika bangsa Melayu menghadapi zaman hanyut yang menakutkan orang Melayu sendiri, Komando Mat Melayu diketengahkan semula selepas 30 tahun terbunuh di tali gantung. Satu siri drama yang diterbitkan oleh para peniaga hiburan yang melihat cerita Komando Mat Melayu boleh dipasarkan, kini telah siap digambarkan, menunggu kebenaran untuk ditayangkan saja. Dalam drama itu Komando Mat Melayu adalah seorang perompak yang jahat, dan tokoh Cina yang dibunuhnya dalam “Peristiwa Pembunuhan Babi Hutan” itu adalah majikannya sendiri yang tidak membayar gajinya dengan memuaskan setelah menyelamatkan tauke itu dari rompakan sekumpulan pemuda India yang telah merogol tiga orang gadis Melayu di sebuah taman perumahan yang terbengkalai. Gadis itu merayau-rayau mencari mangsa sebelum dijadikan mangsa oleh pemuda India itu. Ketika itulah tauke itu berhenti di tempat itu untuk melihat projek itu yang akan dipulihkan semula, dan dia berminat memajukannya. Dia dirompak oleh pemuda-pemuda India yang masih basah kemaluannya dan perlu wang untuk membeli arak. Komando Mat Melayu yang menjadi pemandu tauke itu menggunakan pistol majikannya untuk menghalau perompak-perompak itu. Seorang dari mereka ditembak mati. Tauke yang tidak berasa terhutang budi diselamtakan dari rompakan, menolak permintaan kenaikan gaji Komando Mat Melayu.
            Tauke yang memanggil pemandunya Melayu saja, membuat keputusan itu dengan tegas.
            -Aku tak boleh bagi apa-apa padakmu, Melayu. Kalau hendak bolehlah aku lanjutkan tiga bulan lagi kontrak kamu dengan aku.
            Komando Mat Melayu tidak ada pilihan lain, kecuali menembak taukenya dengan pistol yang digunakan untuk menghalau perompak tadi. Versi drama itu pada mulanya dibantah, tetapi setelah didapati penceritaannya dibuat secara objektif, akhirnya ditayangkan. Bahagian akhirnmya berbunyi: Cerita ini tidak kena mengena dengan siapa-siapa yang hidup atau yang sudah mati.
            Itulah cerita sebenar Komando Mat Melayu yang dipinda oleh seorang pengarah filem untuk menghidupkannya semula dalam sejarah bagi tujuan perdagangan.

                                                                                    P.J. 17/6/2004.

No comments:

Post a Comment