Dalam entri
yang lepas, saya akhiri dengan satu maklumat penting mengenai Balai Maqamat, yang dengan sengaja
dicetak dengan memuat 5000 kesalahan ejaan, tanda baca dan lain-lain. Kerana
begitu banyak kesalahan itu, maka kita bolehlah membuat kesimpulan bahawa semua
itu dengan sedar dan sengaja dilakukan oleh ITBM dan Prof. Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad yang diangkat menjadi penyelia buku itu untuk memastikan kesalahan
cetak itu wujud dengan matlamat untuk merosakkan penerbitan buku itu, dengan
itu konsep Gagasan Persuratan Baru boleh dibuktikan tidak diperlukan, malah
jika dibiarkan akan merosakkan sastera Melayu. Walaupun kita tidak tahu
matlamat sebenar ITBM dan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad membiarkan kesalahan
itu menjadi sejumlah 5000 kesalahan, kita pasti perbuatan itu disengajakan
untuk mencapai maksud tertentu. Kita berharap ITBM dan Prof. Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad sendiri boleh memberi kerjasama untuk memberi penjelasan mengapa mereka
melakukan perbuatan itu. Mereka tidak boleh menafikannya kerana kesalahan yang
disengajakan itu memang terdapat di dalam buku itu dengan jumlah yang begitu
besar, sehingga memerlukan penjelasan.
Kesalahan paling besar ialah
apabila Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad meminda nama Persuratan Baru yang
sudah diterima sebagai nama rasmi menjadi Persuratan Baharu. Apa tujuan beliau
membuat perubahan itu? Ada batu di sebalik udang atau ada udang di sebalik
batu? Mana satu yang betul? Sebagai seorang sarjana yang amat dikagumi oleh
para sasterawan negara dan ahli akademik, beliau tentulah mempunyai asas
akademik untuk meminda nama PB menjadi Persuratan Baharu, tidak mahu
menggunakan Persuratan Baru yang telah dibakukan dalam penerbitan rasmi
mengenai gagasan itu. Tidak mungkin seorang ahli akademik yang begitu terkenal
dan dikagumi melakukan sesuatu yang tidak pantas dilakukannya, atau berbohong
dalam bidang akademik. Kita mahu mendengar penjelasan beliau dan juga
penjelasan ITBM mengapa begitu banyak kesalahan di dalam penerbitan Balai Maqamat. Kita perlu tahu mengapa kesalahan itu
disengajakan? Apa yang hendak dicapai oleh ITBM dan Prof. Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad dengan melakukan kesilapan dan kesalahan yang disengajakan itu? Kesilapan dan kesalahan itu memang
disengajakan kerana terlalu banyak terdapat di dalam Balai Maqamat. Penjelasan jujur amat diperlukan. Rakyat Malaysia, khususnya yang terlibat
dalam kegiatan sastera dan penerbitan, perlu diberi penjelasan mengapa
kesalahan yang begitu banyak disengajakan dan dibiarkan berada di dalam Balai Maqamat. Kalau tidak ada kesalahan, semuanya perfect, maka kita ingin mendapat pengakuan dan pengesahan
demikian daripada ITBM dan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Paling penting, mengapa nama Persuratan Baru
yang sudah dibakukan dalam penerbitan rasmi mengenainya diubah menjadi
Persuratan Baharu? Apa alasan kamu, Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad?
Walaupun
saya bukan seorang ahli akademik dan tidak setanding dengan kedudukan Prof. Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad, anda tidak boleh menafikan kemampuan akademik dan
kemampuan intelektual saya yang telah menerbitkan buku-buku penting mengenai
PB, seperti Gagasan Persuratan Baru,
edisi ke-2. Juga karya kreatif yang jauh meninggalkan semua karya para
sasterawan negara. Mahu saya senaraikan karya itu? Biarlah ahli akademik
sendiri melakukannya, supaya boleh dipercayai kewujudannya. Jika kita membuat perbandingan dengan karya
Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan karya saya sendiri, mana satu di antara
kami yang lebih menonjol dari segi penerbitan ini? Kita perlu diberi bukti
bahawa karya Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad jauh lebih berkualiti, kerana
dibuktikan telah terpilih untuk mendapat Hadiah Sastera Negara, manakala saya
sendiri tidak pernah diberi Hadiah Sastera Negara. Adakah kesimpulan ini wajar
dalam pertandingan akademik? Kita perlu diberi penjelasan yang jujur.
Beberapa
tahun lepas saya menerima satu sticker
daripada sekumpulan mahasiswa sastera di UKM, UPM, USM dan UM tertulis: “Perintis
Gagasan Persuratan Baru, Mohd. Affandi Hassan.
Nyah Sistem Pandirisme. Sudah Tiba Masanya Kita Terima Sastera
Intelektual!”. Adakah mereka lakukan
ini dengan gesaan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sendiri yang menjadi
mahaguru mereka? Sekiranya Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad malu-malu atau
takut untuk mengaku, bagus juga jika para mahasiswa yang membuat poster itu
tampil memberi penjelasan. Adakah mereka lakukan ini untuk mengajar ahli
akademik yang telah gagal memberi input akademik yang terkini dan diberikan
dengan kritis dan jujur? Nampaknya
penerimaan terhadap PB menjadi masalah di UM dan USM, walaupun diterima baik di
UKM dan UPM. Adakah universiti yang menerima PB itu telah membuat kesilapan
akademik? Kita perlu mendapat pandangan kritis daripada Prof. Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad sendiri yang kita tahu telah menolak PB untuk menjaga keutuhan
para sasterawan negara yang dari perspektif PB adalah penulis picisan. Saya telah menulis sebuah buku khusus (belum
dicetak) berjudul, “Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara”. Tentulah sangat bermakna jika kita mendapat
pandangan kritis daripada Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengenai perkara
ini. Saya diberitahu, beliau berpegang
kuat kepada pendiriannya bahawa PB tidak perlu diberi tempat dalam sastera
Melayu. Mengapa ya? Kerana terdapat
manusia siuman yang menerima PB, maka mereka tentulah mahu tahu adakah yang
menolak PB seperti Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu lebih siuman dan lebih
bijak?
Jika kita
perlukan penyelesaian kepada persoalan ini, mungkin DBP dan/atau ITBM boleh
membantu dengan mengadakan seminar kebangsaan untuk menolak PB once and for all! Saya boleh kasi 20,000 Ringgit Malaysia untuk
mengadakan seminar itu. Wang itu saya akan salurkan hanya kepada ITBM atau DBP,
bukan kepada organisasi lain yang berminat, jika ada. Salah sebuah kertas kerja
penting dalam seminar itu ialah mengenai kesalahan yang berjumlah 5000 yang
terdapat di dalam Balai Maqamat. Betulkah
sebanyak itu kesalahan yang terdapat di dalam buku itu, atau tidak ada apa-apa
kesalahan sama sekali? Biarlah ahli akademik sendiri menentukannya.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 26 Disember 2018.
No comments:
Post a Comment