Izinkan saya menyiarkan sebuah tulisan bertarikh 4/5/2002 untuk renungan bersama. Tajuk ini hampir tidak dibincangkan di Malaysia. Bodoh sangatkah kita? Atau saja-saja malas untuk membicarakan isu besar seperti ini.
Ketika saya menulis rencana ini,
pada 4 Mei 2002, tarikh lahir Umm Kulthum, Saluran 5 ART (ASTRO) telah
menyiarkan 27 siri daripada 37 siri riwayat hidup Umm Kulthum (1904-1975), yang
digelar oleh orang Arab “Kaukab al-Sharq” (Bintang Kejora atau Bintang Timur).
Siri ini memakan masa dua tahun untuk difilemkan, dengan belanja yang besar.
Kita tidak tahu berapa ramaikah penonton Malaysia memilih saluran 5 jam 5.00
petang tiap-tiap Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat untuk menonton siri yang
hebat ini, tetapi kita pasti bahawa Umm Kulthum masih ada peminatnya di
Malaysia, kerana sejak awal 1930-an beliau menjadi pujaan para qari dan qariah
Malaysia. Puan Hajjah Che Yam, ibu kepada Hajjah Faridah, terkenal di Kelantan
kerana suaranya yang hampir sama dengan suara Umm Kulthum ketika mendendangkan
lagu “Ala Baladi Mahbub” yang terkenal itu. Di Kelantan juga terdapat seorang
seniman buta yang digelar Abdul Rahman Ala Baladi. Rasanya cukuplah dua contoh
untuk meletakkan kedudukan Umm Kulthum di Malaysia.
Tetapi tujuan saya menulis ini
untuk membicarakan perkara lain, walaupun ada kaitannya dengan Umm Kulthum.
Saya ingin memberitahu ahli musik dan peminat musik di Malaysia bahawa orang
Arab mempunyai tradisi musik yang sangat lama, terukir dalam syair-syair mereka
sejak zaman Jahiliah lagi. Tetapi selepas Islamlah musik menjadi ilmu khusus,
diceburi sebagai pakar oleh ahli falsafah, ahli nahu, ahli matematik, dan ahli
bahasa. Yang menjadi asas kepada musik Islam dan Arab ialah ilmu tajwid, ilmu
membaca Quran dengan betul. Pendeknya, Umm Kulthum dan Muhammad Abdul Wahab,
dengan bangga memberitahu kita bahawa mereka berdua adalah penyanyi paling baik
dan berwibawa kerana kedua-duanya terlatih dalam ilmu tajwid. Dalam satu
perbincangan di ART tidak berapa lama dahulu, seorang ahli panel, seorang
profesor musik perempuan, ditanya mana satukah antara Umm Kulthum dan Asmahan
yang lebih baik. Beliau menegaskan Umm Kulthum kerana beliau menguasai ilmu tajwid.
Di Malaysia, di kalangan ahli musik ghazal di Johor, pelajaran tajwid ini
terlebih dahulu diajarkan sebelum seseorang menjadi penyanyi ghazal. Ini pernah
ditegaskan oleh Fauziah Idris dalam satu temuramah di TV3 tak lama dulu. Nah,
kita telah melihat bagaimana eratnya agama (Islam) dengan musik dalam tamadun
Islam, hatta yang dipraktikkan di Malaysia sekalipun. Adakah ini satu tradisi
yang perlu kita pertahankan atau hanyutkan sahaja di laut musik moden untuk
ditenggelam oleh musik Barat yang hedonistik sepenuhnya? Hanya ahli musik
Malaysia saja yang layak memberi jawapannya.
Saya
menyebut al-Farabi, ahli falsafah Islam yang terkenal dengan gelaran
“Al-Mu’allim Thani” (Guru Yang Kedua, selepas Aristotle yang digelar Guru
Pertama), kerana beliaulah yang mencipta alat musik kanun, sejenis alat musik
bertali yang mempunyai 81 tali, dimainkan dengan meribanya atau diletakkan di
atas meja kecil, dipetik dengan jari. Bezanya dengan santur ialah kerana santur
menjadi kebanggaan Iran, dimainkan dengan mengetuk tali khusus. Pada prinsipnya
kedua-dua alat musik ini anak-beranak. Kanun mengiringi setiap nyanyian Umm
Kulthum, yang secra tidak langsung memberi makna bahawa di belakangnya berdiri
ahli falsafah Islam yang besar dan berpengaruh di Eropah pada Zaman Pertentangahan.
Dan ini memang benar, kerana antara lagu-lagu Umm Kulthum yang terkenal ialah
syair-syair penyair besar Islam, termasuk syair Muhammad Iqbal (lagunya
"Hadith al-Ruh” yang indah senikatanya dan indah pula lagunya), rubaiyyat
Umar Khayam (diterjemahkan oleh Ahmad Rami ke dalam bahasa Arab dengan judul
“Rubaiyyat al-Khayam”, yang menurut saya adalah lagu terindah Umm Kulthum,
ciptaan Riad Al-Sunbati. Cara Umm Kulthum mengakhiri lagu ini amat indah dan
berkesan, satu pengalaman seni dan intelektual yang menakjubkan). Adalah
menjadi kemegahan Umm Kulthum untuk didampingi oleh penyair-penyair Mesir
terkenal seperti Shawqi, Ahmad Rami dan lain-lain, di samping pencipta lagu
terkenal seperti Zakariya Ahmad, Muhammad al-Qasabji, Riad al-Sunbati, Muhammad
Abdul Wahab dan lain-lain. Umm Kulthum yang berasal dari desa, tidak
berpelajaran tinggi, akhirnya menjadi seorang seniman Mesir yang fasih dengan
syair-syair Arab, seorang wanita yang sofistikated, witty, dan keras hati.
Pendeknya, seorang penyanyi yang terpelajar
di samping bakat semulajadinya yang mencapai taraf genius. Muhammad
Abdul Wahab, yang digelar oleh orang Arab “Piramid Keempat”, mencipta sepuluh
buah lagu khusus untuk Umm Kulthum. Keberuntungan begini belum lagi singgah di
kalangan penyanyi kita, kecuali secara kecil-kecilan dan sederhana oleh P.
Ramlee. Jikalau kita melihat keistimewaan P. Ramlee, kita tidak dapat menolak
hakikat bahawa beliau didampingi oleh penulis lirik yang berbakat seperti Jamil
Sulung dan Rohaizat, di kekelilingi oleh pemusik terkenal seperti Ahmad Wan
Yet, Yusuf B, Zubir Said dan lain-lain. Tokoh-tokoh yang saya sebut ini
bertapak dalam tradisi Melayu, walaupun mereka memainkan dan mencipta musik
moden. Yang terjadi di Malaysia, apabila saja ada seseorang yang berbakat muncul,
maka banyaklah skandal dan fitnah ditabur di sekeliling pinggangnya, untuk
meruntuhkannya supaya beliau tidak dapat naik setinggi-tingginya. Dalam aspek
ini, contoh yang diberikan oleh Umm Kulthum barangkali patut kita bangunkan
dalam pembinaan budaya kita. Sukarkah melakukannya? Atau sudah menjadi tabiat
orang Melayu selalu iri hati, hasad, dan cemburu apabila melihat seseorang yang
agak istimewa muncul dalam bidang masing-masing? P. Ramlee, ketika hidupnya,
hanya menjadi pujaan di kalangan peminatnya, tetapi tidak dihargai seperti ketika dia sudah meninggal dunia
berpuluh tahun. Dalam budaya begini, tidak mungkin kita melahirkan Umm Kulthum
atau Muhammad Abdul Wahab. Malah untuk mendapat ganti P. Ramlee pun amat sukar.
Pada fikiran saya, kebanyakan orang Melayu adalah munafik besar, terikut-ikut
memuji seseorang apabila orang itu diberi pengiktirafan, padahal sebelumnya
tidak dipandang pun. Budaya munafik adalah budaya masyarakat yang berjiwa
kecil, yang rendah harga dirinya (low
self-esteem), yang angkuh, sombong,
dan suka berkhianat. Adakah gambaran ini adil, atau kerana sudah dibudayakan,
kita lekas tersinggung apabila hakikat
ini diketarakan?
Saya
tidak bermaksud hendak mengutuk bangsa
Melayu dengan menyebut kelemahan-kelemahan ini. Saya hanya ingin menarik
perhatian bahawa dalam apa juga kegiatan seni yang ingin diceburi oleh orang
Melayu, paksi keagamaan itu tidak boleh ditinggalkan. Setelah itu selesai, maka
aspek intelektualnya juga perlu diberi perhatian. Kita akan malu besar apabila
anak-anak kita menyanyikan lagu-lagu yang senikatanya begitu rendah kualiti
ilmu dan tatabahasanya, begitu pincang sebutannya, dan begitu lekeh pula
peribadi yang membawanya. Tidakkah boleh kita tingkatkan sedikit kualiti seni
musik kita? Saya harap ASTRO, dengan gesaan rakyat Malaysia, dan terutama
sekali dengan gesaan Utusan Melayu, akan menyiarkan semula siri riwayat hidup
Umm Kulthum dengan sari kata dalam bahasa Melayu. Jika dapat dialihbahasa tentu
lebih baik, tetapi ini hendaklah dibuat dengan sungguh-sungguh, untuk
melahirkan hasil yang berkualiti. Janganlah kualiti yang ditunjukkan oleh Umm
Kulthum dan mutu penerbitan sirinya itu kita persetankan, jika andainya kita
mahu bikin sari kata atau alihbahasa terhadap siri ini. Saya fikir sesuatu
harus dilakukan, untuk dipelajari oleh para seniman kita. Saya serahkan tugas
ini kepada Utusan Melayu dan ASTRO.
Petaling Jaya,
4 Mei 2002.
Nota tambhan:
Banyak perkara yang perlu kita bereskan, terutrama ketika sedang menggila dalam politik dengan slogan baru ciptaan Pakatan Harapan bahawa kita harus membina Malaysia Baru. Sehingga catatan ini dibuat, belum lagi nampak gerakan intelektual yang menjadi asas apa yang disebut Malaysia Baru itu. Sikap anti ilmu terlalu mendalam dalam Kerajaan sendiri pun. Dalam konteks ini, Menteri Pendidikan dari Pakatan Harapan, seorang ahli akademik, mempersetankan saja Gagasan Persuratan Baru sebagai sampah intelektual yang perlu dibuang di Sungai Kelang, yang kini sedang dibersihkan. Berapa ratus tahun lagi kita harus menunggu untuk mendapat pemimpin yang hebat seperti yang dididik oleh Rasulullah SAW di kalangan sahabat Baginda, yang kemudiannya menjadi Khalifah al-Rashidin? Dalam politik sastera, kita membawa masuk sampah dengan memberi gelaran "sasterawan negara"; dan kerana terlalu gila mempertahankan kepentingan sampah itu, kita menolak peranan ilmu dalam seni mengarang. Semua isu ini perlu dibincangkan. Saya sedang menulis satu rencana mengenai perkara ini yang saya harap akan dapat disiarkan sedikit waktu lagi. Bacalah dulu tulisan ini sebagai pendahuluan kepada tulisan yang akan menyusul.
Mohd. Affandi Hassan, PJ 13 Januari 2019.
No comments:
Post a Comment