Wednesday, January 30, 2019

ANTARA NAJIB DAN MAHATHIR, SIAPA LEBIH BANYAK DISEBUT?



Kali ini saya mahu bicara tentang beberapa aspek politik Malaysia yang sedang menggila dengan pertarungan antara nagarawan (the mad dragon) dengan pemalu gendang raya. Siapakah nagarawan, dan siapa pula pemalu gendang raya? Kita tidak perlu tahu dengan pasti siapa mereka; tetapi kita pasti nagarawan dan pemalu gendang raya ini memang wujud dalam politik Malaysia. Merekalah yang telah menjahanamkan negara ini dengan kemajuan yang tidak seimbang, dengan terus meninggalkan desa dan orang Melayu dalam kemiskinan yang kini menjadi kebanggaan mereka kerana berasaskan kedudukan mereka itulah mereka menerima bantuan tahunan daripada kerajaan yang pemurah memeras mereka tanpa mereka tahu. Kerana mereka tidak membaca sejarah Eropah yang para petani mereka memulakan revolusi untuk mengubah kerajaan, oleh itu semua kerajaan negara ini berasa selamat dari tindakan keras rakyat yang ketinggalan itu. Jangan melompat terus menuduh ini satu hasutan. Ini fakta sejarah, tak boleh disembunyikan. Kalau kamu mahu tahu, baca sejarah Eropah, terutama sejarah Perancis. Kamu tahu siapa yang hadiahkan Patung Liberty itu? Perancis, untuk memberi sokongan kepada US yang berjaya mengusir British. Tapi, sampai sekarang anak-beranak raja-raja England itu ada darah Perancis?? Itu sebab agaknya Shakespeare tak tinggal Perancis dalam dramanya. Kita berpindah cerita.

Kita baru saja dengar pengumuman Tun Mahathir kerajaan dia punya telah buat NACP (National Anti Corruption Plan). UMNO itu dalam bahasa Inggeris, jadi tidak  hairan jika NACP akan dikenali dalam bahasa Inggeris. Inilah Malaysia yang bahasa rasminya bahasa Melayu.  Seperti Melayu yang miskin dan merempat, begitu juga bahasa Melayu merempat. DBP selalu berkata dia tak ada kuasa nak paksa orang guna bahasa Melayu; tapi DBP boleh jalankan kursus kepada MP yang tidak fasih berbahasa Melayu itu. Itu pun kena beritahu? DBP boleh buat cadangan supaya diadakan satu akta setiap calon Parlimen mesti fasih berbahasa Melayu dan mesti menduduki temu duga dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, semua Cina fasih bercakap bahasa Indonesia. Di Tanah Melayu, orang Melayu sendiri tidak fasih berbahasa Melayu, apatah lagi Cina dan India.  Sebenarnya para pegawai DBP tidak ada idea, atau memang mereka tidak kisah. Peduli apa… tapi mereka sangat peduli untuk tidak menyiarkan tulisan saya dalam majalah mereka!! (Kalau disiarkan, dapat Hadiah Sastera, seperti “Rumah Impian Polan Cupan”.)  Bagi Orang Melayu, menjadi pengkhianat adalah satu kewajipan, untuk memastikan kepentingan tertentu dapat dipelihara. Mahu contoh? Bacalah macam-macam contoh yang telah aku berikan dalam blog ini.  Paling utama kritikan saya ialah pengkhianatan dalam perkembangan intelektual, apabila konsep ilmu yang benar itu ditolak. 

Apa kena mengenanya dengan kisah Najib dan Mahathir yang menjadi tajuk entri ini?  Saya saja bertanya untuk mencabar anda memberi jawapannya.

Di mana juga dalam negara kita, masalah utama ialah kepemimpinan. Orang yang galak menonjolkan diri menjadi pemimpin semuanya mahu mendapat faedah, bukan memberi faedah. Itulah perbezaannya dengan kepemimpinan dalam Islam. Baca saja kisah para sahabat Nabi SAW; dan baca saja kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang menjadi khalifah selama  dua tahun setengah dapat mewujudkan masyarakat Islam yang tidak ada orang yang layak menerima zakat kerana mereka semua cukup untuk hidup. Berapa ribu tahun kita perlu menunggu untuk melahirkan seorang Umar Abdul Aziz versi Melayu? Yang kita hadapi sekarang ialah, rakyat tidak mahu pemimpin yang tidak korup. Kata mereka, yang tidak korup tidak ada wang, oleh itu tidak berfaedah untuk mereka. Kalau anda mahu penjelasan mengenai perkara ini, anda kena baca Hikayat Buyung Lurus. Baca sebagai pembaca yang cerdik dan kritis. Novel persuratan itu mengenai politik orang Melayu.

Jika kita lihat bagaimana Najib ditayangkan sebagai pemimpin UMNO paling korup, kita tidak dapat melepaskan diri dari bertanya, selama 22 tahun Tun Mahathir jadi PM, betulkah tidak ada kes korupsi ini? Najib adalah anak didik Tun Mahathir. Macam mana Tun kita ni gagal mengajar Abang Jib supaya tidak korup? Itu yang menjadi tanda tanya sekarang.  Sekarang rakyat mulai sedar mengapa Najib begitu korup padahal dia berada di bawah pimpinan Tun Mahathir yang anti-korupsi. Ada sesiapa yang mahu memberi penjelasan? Secerdik saya pun jadi buntu bila mahu menjelaskan rahsia politik Melayu ini. Saya cuba beri analisis dalam Hikayat Buyung Lurus, tapi orang UMNO dan PH tidak baca. Pemimpin PKR yang tidak korup itu pun tidak mahu baca novel persuratan itu. Pertanyaan: Apa jenis manusia yang menjadi pemimpin kita ini?  Akhirnya, kita terpaksa membuat kesimpulan, tidak seorang pun pemimpin politik kita boleh dipercayai. Bagaimana pula dengan “pemimpin” dalam pertubuhan sastera?

Contoh yang diberikan oleh Najib dan Mahathir sangat penting difahami oleh rakyat. Semoga akan tampil seorang sarjana yang dihormati yang berani membuat analisis yang tepat dan adil terhadap dua tokoh ini. Semua kita menunggu untuk mendapat pengajaran dan pelajaran daripada pengalaman politik yang cemerlang dua tokoh ini yang membawa mereka ke taraf Perdana Menteri. Mereka cerdik atau rakyat yang bodoh yang telah mempercayai mereka dan memilih mereka? Kita perlukan jawapan yang cerdik.  Dua orang tokoh dari UMNO ini telah berjaya menjadikan orang Melayu tinggal bodoh di kampung-kampung, tidak terbuka kepada kemajuan dan tidak tahu makna kemajuan yang boleh diwujudkan dengan adanya kekayaan negara Tanah Melayu ini. Kegagalan Mahathir paling besar ialah dia mempersetankan kemajuan orang Melayu di Pantai Timur. Dia pernah diberi nasihat supaya menjadikan Terengganu sebuah negeri moden dengan menjadikan Terengganu pusat pembangunan Pantai Timur, supaya Kelantan dan Pahang dapat menikmati kemajuan itu. Dia menolaknya kerana dia beranggapan jika Pantai Timur maju, mereka akan menolak UMNO dalam pilihan raya, dan akan terus memberi peluang kepada PAS untuk memerintah. Walaupun hasil PETRONAS lebih dari mencukupi untuk memajukan tiga negeri Pantai Timur itu, Mahathir menolak kerana dia beranggapan Melayu mesti dikekalkan dalam kemunduran kerana itu saja caranya undi UMNO akan dapat dikekalkan. Inilah logik Mahathir apabila beliau menolak projek ECRL yang akan membawa kemajuan kebendaan kepada Pantai Timur, kononnya projek itu terlalu mahal sedangkan Malaysia sudah bankrap kerana rasuah besar-besaran ketika UMNO memerintah sebelum dikalahkan 9 Mei 2018.  Sekali lagi beliau mempersetankan Melayu Pantai Timur dengan menolak projek ICRL itu.  Melayu Pantai Timur tidak menyalahkan Mahathir, kerana mereka sendiri tidak mahukan kemajuan kebendaan itu yang akan menghakis nilai-nilai kerohanian di kalangan orang Melayu. Kelantan tidak akan jadi Serambi Mekah lagi, kata orang Kelantan; oleh itu jangan bawa apa-apa pembangunan kebendaan di Kelantan.  Dengan itu Mahathir merasa terbela, tidak berasa berdosa menyisihkan Melayu Pantai Timur dalam pembangunan.

Bolehkah manusia yang tidak percayakan undang-undang yang adil hanya dapat dirumus dan dilaksanakan melalui ajaran al-Quran?  Tidak mungkin, jika manusia jenis ini tahu dan kenal konsep fasad  yang diberi penekanan begitu besar di dalam al-Quran.  Persoalan ini diberi penekanan di dalam karya persuratan, Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu (2014), yang memang tidak dibaca oleh ahli politik mana-mana parti kerana mereka hanya menerima sesuatu yang datang daripada mereka sendiri sebagai sesuatu pandangan yang bernilai walaupun pada hakikatnya adalah penampilan konsep fasad yang tulen. Inilah yang menjadi dasar NACP seperti yang dijelaskan oleh Tun Mahathir dalam ucapannya ketika memperkenalkan benda ini.  NACP tetap akan gagal dan akan menjadi pendorong kepada tindakan fasad kerana yang disebut NACP itu dicipta untuk menjaga kepentingan parti pemerintah. Mari kita bincang dengan kritis kesimpulan ini, kerana aku percaya kamu sebenarnya tidak faham maksud korupsi yang sepatutnya dilihat secara menyeluruh seperti yang terkandung dalam konsep fasad itu.  Dalam keadaan sekarang, manusia yang dituduh korup itu ialah musuh politik atau musuh peribadi pemimpin politik yang berkuasa. Kenyataan ini tidak boleh ditolak kerana inilah juga yang berlaku sewaktu UMNO berkuasa ketika Tun Mahathir menjadi ketua parti itu.  Fasad di atas fasad dilemparkan kepada rakyat untuk menutup perbuatan fasad mereka sendiri. Para ulama yang bijak pandai dan yang mengaku mereka saja yang bercakap benar perlu tampil ke depan untuk menghuraikan maksud fasad ini seperti yang maksudkan oleh al-Quran. Adakah parti Islam terlepas daripada perbuatan fasad ini? Biarlah mereka sendiri memberitahu kita semua supaya kita dapat membuat penilaian yang saksama terhadap “perjuangan” politik Islam mereka. Adakah mereka terlepas dari perbuatan fasad?

Sebenarnya Malaysia sudah banyak memperkenalkan undang-undang yang kononnya bertujuan membendung korupsi; tetapi semuanya gagal  (hakikat ini disebut oleh Tun Mahathir ketika memperkenalkan undang-undang NACP) kerana undang-undang itu sendiri digubal dalam konteks fasad yang disebut dalam al-Quran. Sekali lagi, para cendekiawan Islam yang jujur perlu tampil ke depan membincangkan tajuk penting ini, kerana jika mereka menolak dan tidak mahu terlibat untuk membimbing rakyat yang jahil, mereka juga melakukan perbuatan fasad itu. Konsep fasad ini perlu diberi penekanan dalam perbincangan yang bersifat politik dan pentadbiran, kerana perbuatan fasad itu terlalu dibiasakan sehingga bagi para pelakunya mereka tidak menerima wujudnya gerakan politik fasad di Malaysia.  Bolehkah Tun Mahathir dan muridnya Dato’ Seri Najib Tun Razak terlepas dari kegiatan fasad dalam politik mereka sendiri? Jika kita boleh membuat hitungan dari segi kekerapan perbuatan fasad itu dilakukan, siapa di antara dua orang tokoh ini yang lebih menonjol, dan siapa pula di antara mereka yang boleh terlepas daripada perbuatan fasad ini? Sekiranya mereka berdua sama naik dalam kegiatan fasad ini, bagaimana salah seorang di antara mereka boleh menghukum yang seorang lagi jika dia sendiri bergelumang dalam kegiatan fasad?  Semua persoalan ini perlukan penjelasan, untuk mengelak dari penipuan politik bertopengkan projek peribadi yang diangkat sebagai keperluan negara, padahal yang mendapat faedah ialah pemimpin tertentu. Sekiranya kamu tidak dapat melihat unsur penipuan politik dalam perkara ini, kamu semua akan forever ditipu oleh pemimpin kamu!

Apabila Tun Mahathir mendedahkan keburukan Dato’ Najib, beliau sebenarnya mendedahkan keburukannya sendiri, kerana dialah yang membentuk Dato’ Najib untuk menjadi seorang pemimpin UMNO yang perlu dikutuk.  Perbuatan mengutuk diri sendiri ini diterima baik oleh masyarakat yang tidak melihat adanya apa-apa kekurangan pada diri peribadi Tun Mahathir. Inilah hakikat kepemimpinan dalam UMNO, dan dalam parti-parti politik lain. PAS sendiri meletakkan pemimpin tertinggi mereka seolah-olah maksum, dengan penyalah-gunaan konsep walak. Berasaskan konsep ini, ramai pemimpin utama PAS disingkirkan, yang kemudiannya membentuk parti baru dan kini menjadi anggota PH.  Beberapa orang dari mereka menjadi menteri, sesuatu yang tidak termimpikan jika berada dalam PAS. Bayangkan, golongan pengkhianat dalam PAS muncul sebagai menteri dalam kerajaan PH.  Betapa kotornya kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir pada pandangan PAS. Demikianlah hebatnya PAS sebagai sebuah parti Islam.  Menurut maklumat yang saya dapat, PAS telah menarik balik keputusan yang paling menakutkan keluarga, yang menegaskan talak tiga akan jatuh sekiranya seseorang meninggalkan PAS. Saya harap maklumat itu betul, dan kita semua dapat menyelamatkan keluarga Islam yang tersalah langkah menjadi anggota PAS.  Sungguh dahsyat apabila Islam dipolitikkan.

Sekarang Islam ditonjolkan dalam TV sebagai rahmatan lil alamin, rahmat seluruh  alam, termasuk yang menolak Islam. Saya diberitahu, setiap ikan di laut dalam tujuh lautan itu akan menyambut setiap zikir yang diucapkan; seperti zikir Nabi Daud ‘a.s. disambut burung-burung dan awan serta langit angkasa. (Betulkan saya jika saya silap.)  Sekarang saya faham mengapa syair Pendeta Za’ba ini sangat hebat:

Buatlah baik ayuhai rakan,
Ke dalam laut kamu campakkan;
Jika tidak dikenal ikan,
Tuhanmu tahu iakah bukan.

Kalau anda mahu contoh bagaimana ilmu yang benar dijadikan panduan kreatif, inilah contohnya.

Mengapa semua ini dimasukkan dalam perbincangan tentang Dato’ Najib dan Tun Mahathir?  Anda sendirilah yang perlu memberi jawapannya.  Tentu anda tahu Pendeta Za’ba adalah Pengerusi pertama UMNO ketika ditubuhkan. Mengapa syair Pendeta Za’ba itu tidak boleh dijadikan slogan kepemimpinan para pemimpin politik? Fikirkanlah.


Mohd. Affandi Hassan,

Petaing Jaya, 30/1/2019.

No comments:

Post a Comment