Saturday, January 26, 2019

KEWAJIPAN YANG TIDAK BOLEH DIABAIKAN …



Tiga perkara penting yang perlu dilakukan dalam sastera Melayu: (1) Membina kembali persuratan Melayu; (2) Membawa konsep ilmu yang benar dalam karya kreatif dan penilaian karya; (3) Mencabar teori sastera Barat berpandukan konsep ilmu yang benar.  Inilah yang kita mahu tuju dengan memperkenalkan Gagasan Persuratan Baru, untuk memastikan kita tidak lagi “sesat Barat” dalam kegiatan intelektual dan kreatif.  Perkaranya mudah saja, tetapi menjadi sulit kerana golongan sasterawan dan sarjana tidak mempunyai pengalaman intelektual berasaskan konsep ilmu yang diajarkan oleh al-Quran.  Beberapa aspek persoalan ini ada saya bincangkan dalam kumpulan tulisan berjudul Tiga Beban Besar Sastera Melayu dan Anugerah Sastera Negara. Kedua-dua kumpulan tulisan ini sedang diusahakan untuk diterbitkan. Sekiranya ITBM dan DBP tidak anti ilmu dan menyokong usaha untuk memajukan pemikiran dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera, kedua-dua kumpulan tulisan ini sepatutnya diterbitkan oleh mereka.  Nampaknya dalam budaya Melayu sikap meremehkan usaha seseorang masih lagi menjadi unsur penting dalam budaya Melayu. Bagi saya, inilah tinggalan sejarah yang penting yang dihasilkan oleh gerakan Asas 50 yang menentang apa saja yang bercorak ilmu yang dianjurkan oleh Islam, kerana kuatnya pengaruh Marxisme dan realisme sosialis dalam perkembangan sastera Melayu yang mereka anjurkan.  Semua karya para sasterawan negara mencerminkan aspek ini dalam karya mereka.  Inilah yang hendak dipertahankan sepanjang masa walaupun bertentangan dengan akal sihat yang berteraskan konsep ilmu yang benar. Mari kita bincang satu persatu tiga aspek yang menjadi cabaran para penulis sekarang.  Bagi para penulis muda yang tidak terdedah kepada penipuan Asas 50, jika mereka pelajar universiti, boleh tanya pensyarah mereka tentang polemik antara Hamzah dan Asraf yang mewakili Asas 50. Tentu mereka tahu kes penting ini yang cuba ditutup oleh Asas 50 dan para pengikut mereka.

Untuk membina kembali persuratan Melayu, kita hanya perlukan dua perkara. Pertama, memahami konsep ilmu seperti yang diajarkan oleh al-Quran. Kedua, memahami konsep taklif dan maknanya yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah. Mudah, tetapi inilah yang ditolak mentah-mentah oleh para sasterawan dan sarjana sastera.   Mengapa mereka menolak kaedah yang mudah ini? Hanya kerana satu sebab yang mudah, tetapi amat mengelirukan kehidupan manusia yang bergelar sasterawan dan sarjana ini. Anda tentu boleh menekanya dengan tepat jika anda tahu apakah yang dimaksudkan itu. Saya telah bincangkan perkara ini banyak kali dalam blog ini, oleh itu malas hendak mengulangnya lagi. Sekadar memberi sedikit gambaran, jika konsep ilmu dan peranan taklif itu diterima oleh para sasterawan dan sarjana, maka mereka tidak ada pilihan lain, melainkan menolak karya para sasterawan negara dan amatlah memalukan melantik kumpulan manusia yang jahil ini sebagai ikon dalam penulisan kreatif. Mudah, tetapi memedihkan kerana anda sudah tertipu sekian lama, dan amat selesa berada dalam penipuan itu. Hanya melalui kefahaman yang sejujur dan seikhlasnya tentang konsep wacana dan cerita yang dibincangkan dalam PB, barulah anda akan sedar betapa perlunya kekeliruan ini ditolak dan diberi tempat selayaknya kepada ilmu dan peranan taklif dalam persuratan. Tidak pantas untuk sesiapa pun terus menjadi bodoh, ketika anda telah diberi jalan keluar untuk menjadi cerdik.

Jika perkembangan ini difahami, anda tentulah sukar hendak  menerima “teori” kerancuan sastera, kerana anda tentu sudah tahu makna kerancuan seperti yang telah dijelaskan dalam Kamus Dewan.  Kalau sudah begitu, anda akan berfikir dengan mendalam mengapa kita mempunyai sarjana ciritan dan sasterawan picisan,  dua kumpulan yang diberi kedudukan tinggi walaupun mereka tidak layak berada di situ. Siapakah yang layak berada di situ? Inilah pertanyaan yang hanya boleh diberi jawapan dan penjelasan sekiranya anda memahami konsep ilmu yang benar dan kedudukan al-Quran dalam pemikiran seluruh manusia, bukan hanya untuk orang Islam saja. Sama ada anda menolak al-Quran atau menerimanya sebagai seorang penganut Islam, anda tidak boleh lari daripada persoalan besar dalam kehidupan manusia, iaitu memahami kewujudan manusia. Mengapa manusia dijadikan? Jika anda jelas mengenai persoalan ini, dan dapat menjawabnya dengan tepat, anda akan sedar mengapa anda perlu menulis karya kreatif. Semua ini adalah persoalan penting yang tidak pernah diberi perhatian serius oleh para penulis kreatif sebelum munculnya Gagasan Persuratan Baru.

Apakah kesimpulan perbincangan ringkas yang merumuskan perbincangan panjang yang telah diberikan selama ini?  Jawapannya amat mudah. Kita perlu membuat perubahan besar dalam memahami peranan kreatif menurut pandangan Islam dan peranan kritikan berasaskan konsep wacana dan cerita dan peranan keduanya dalam karya kreatif dan penilaiannya.  Semudah itu, sebenarnya. Tetapi alangkah sukarnya membersihkan lumut kejahilan yang begitu lama berada di badan kesusasteraan yang asasnya faham hedonisme, yang dalam budaya Barat sekali pun ditolak seperti yang dihuraikan oleh Pitirim Sorokin dalam buku-bukunya. Perkara ini telah dibincang dengan panjang lebar dalam tesis Ph.D.  oleh Robert Sinai, The Decadence of the Modern World  (Union Graduate School, 1976). Perhatikan kesimpulan beliau dalam pendahuluannya: “In all cases we are confronted  with man, insecure, anxious and restless, swollen with self-love, driven by the will-to-power and by the inordinate appetites, corrupted by pride, self-intoxication and self-deception, who sooner or later sins against the laws of proportion and harmony and swept along by blind, headstrong and ungovernable impulses into decay or self-destructions.” (hal. 9, Introduction).  Bandingkan ini dengan yang terbaru dari tulisan seorang tokoh terkenal dalam membicarakan persoalan seperti ini,  Jacques Barzun dalam bukunya, From Dawn to Decadence: 1500 to the Present (500 Years of Western Cultural Life). (Harper Perennial, New York etc., 2000). 

Bolehkah kita berkata sastera Melayu menghadapi zaman merosot (decadence) selepas munculnya Asas 50 dan terbitnya karya-karya tidak bermoral seperti Salina, karya-karya lucah Shahnon Ahmad dan lain-lain? Jika kita menjadikan konsep ilmu sebagai dasar penilaian, memang tepat sekali yang dibawa oleh sastera itu ialah nilai-nilai palsu, nilai-nilai decadent yang berasaskan budaya hawa nafsu.  Amatlah bagus jika ada di antara para sarjana sastera menerima dengan senang hati kesimpulan ini, kerana inilah yang dimaksudkan oleh Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sebagai kerancuan dalam sastera, yang melahirkan “teori” kerancuan sastera itu, dengan Naratif Ogonshoto sebagai buktinya.  Satu sebab besar mengapa diwujudkan sasterawan negara ialah sebagai bukti wujudnya dan berakarnya sifat-sifat decadence dalam sastera Melayu. Para sasterawan negara adalah lambang decadence dalam sastera Melayu.  Kesimpulan ini tidak perlu dipertahankan, kerana karya para sasterawan negara sendiri menyerlahkan dengan begitu jelas sifat-sifat decadence yang akar umbinya ialah budaya hawa nafsu  yang menjadi asas karya-karya itu.  Semua ini terjadi kerana semua para sasterawan negara menolak konsep ilmu yang benar yang bersumberkan al-Quran.  Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai bukti yang berbeza, silakanlah beri bukti itu untuk membela kedudukan para sasterawan negara ini.  Sehingga bukti itu dikemukakan, kesimpulan ini adalah yang paling tepat yang belum lagi dibuktikan salah.  Untuk rujukan kepada sesiapa yang berminat, sila buka The Blackwell Dictionary of Twentieth-Century Social Thought, hal. 134-136, oleh Michael Bacharach.  Penjelasan tentang konsep decadence diberi dengan jelas di situ. Baca juga buku Barzun yang dirujuk di atas.

 Entri kali ini merujuk kepada peranan besar para sarjana dan pengkritik sastera untuk menentukan kebobrokan (decadence) dalam sastera Melayu diberi perhatian serius supaya keadaan ini tidak berterusan, lebih-lebih lagi dengan munculnya para sasterawan negara yang anti-ilmu itu akan mempertahankan keadaan ini untuk faedah mereka. Atau, yang lebih baik untuk melahirkan kemantapan kreatif dan kritikan sastera, persoalan decadence dalam sastera ini dibincang dengan sehabis kritis supaya dapat difahami oleh para sasterawan, pengkritik dan sarjana sastera. Timbulnya apa yang dinamakan “teori kerancuan sastera” bikinan Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah hasil dari tiadanya kesedaran kepada kewujudan decadence itu dalam sastera Melayu, walaupun boleh dilihat dengan jelas jika anda melihat persoalan ini daripada perspektif ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran. Inilah maksud tajuk ini tentang kewajipan yang tidak boleh diabaikan itu.  Tulisan dan “teori” kerancuan sastera oleh Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah contoh terbaik tentang maksud dan makna decadence dalam sastera Melayu.  Tulisan itu sendiri adalah contoh decadence terbaik dalam sastera Melayu.

Ini bukan cabaran; hanya sekadar peringatan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 25/1/2019.

No comments:

Post a Comment