Saturday, January 19, 2019

BACALAH … BACA APA?



Nota: Tajuk dan perbincangan kali ini sesuai dengan persoalan menggunakan akal yang disentuh dalam entri lepas. Perhatikan peringatan di akhir entri ini mengenai 'iwajan.


Tajuk kali ini ringkas dan agak aneh. Apa yang hendak dibaca? Mengapa mesti dibaca?

Sesiapa juga yang mengikuti blog ini dengan teliti dan bersikap terbuka, walaupun entri blog ini selalunya kritis, malah kadang-kadang terlalu kritis menghiris, mungkin boleh menangkap makna tajuk kali ini dan mengapa perlu ditulis. Entri kali ini saya tuju khusus kepada Pertemuan Sasterawan 16 November 2018 di UKM, yang akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan dan akan mendengar ucaputama daripada Baha Zain, si sasterawan negara yang tidak direstui oleh Shahnon Ahmad itu, tetapi disanjung oleh sahabat karibnya Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sebagai pengkritik sastera paling utama di Malaysia yang tajam analisisnya (?) dan teliti (?) penghujahannya. Kalau kita bertanya dengan nakal dan menyindir, Apa yang ditulisnya? Ada tidak dia bincang tentang paradigma baru yang dikemukakan oleh Gagasan Persuratan Baru?  Anda tentu akan kecewa, dan berasa amat tertipu. Stop, tunggu dulu!  Yang tertipu dan menipu bukan mereka berdua, kedua-duanya sasterawan negara; sebaliknya yang dimaksudkan ialah pencetus Gagasan Persuratan Baru.  Ke mana pun anda bawa perbincangan tentang sastera Melayu, yang terkena bahang panas ialah pencetus Gagasan Persuratan Baru, yang diputuskan sebagai penceroboh sastera Melayu yang menghina semua sasterawan negara yang telah dipilih khusus oleh negara untuk bertenggek di takhta keunggulan tersendiri, tidak boleh disentuh lagi kewajarannya, apatah lagi menolak kehadiran mereka sebagai … (anda perlu tambah sendiri mengikut cita rasa anda!)

Dalam konteks inilah entri ini ditulis, untuk mendapat reaksi anda yang paling kritis … dan cerdik.  Perkataan “cerdik” itu selalu saja timbul dalam perbincangan tentang PB, kerana tujuan dan matlamat PB ialah mencerdikkan bangsa Melayu. Ini tentunya termasuk juga para sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera. Sama ada mereka terima atau tidak, itu adalah masalah mereka. Masalah kita ialah mereka tidak dapat, atau gagal, mencerdikkan bangsa Melayu, atau para pembaca mereka. Inilah juga konteks Seminar Sastera UKM November 2018 itu. Adakah tujuan dan matlamat seminar ini untuk mencerdikkan atau sebaliknya, mengelirukan lagi keadaan cetek meraba-raba yang terjadi sekarang di kalangan mereka. 

Apakah pilihan mereka? Inilah pertanyaan yang perlu ditanyakan dan perlu dijawab dengan tuntas. Tetapi kedua-duanya ingin dielakkan daripada diberi perhatian, apatah lagi untuk dijawab. Kita akan cuba fahami mengapa hal ini terjadi dan cuba menilai apa makna dan kesannya dalam perkembangan ilmu dalam kesusasteraan.

Sebenarnya sudah sering kita dengar betapa para sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera menggesa rakyat Malaysia supaya membaca karya para sasterawan negara; tetapi menolak karya yang tidak serasi dengan karya para sasterawan negara. Mengapa diperlukan pembahagian ini? Terakhir kita diberitahu akan adanya gesaan daripada A.  Samad Said. Kerana isunya sangat penting, saya salin beritanya yang diambil daripada Malaysiakini. Inilah dia:

Kementerian Pendidikan digesa agar mengambil langkah lebih proaktif untuk menjadikan karya-karya sasterawan negara sebagai buku teks di semua peringkat sekolah.

Sasterawan Negara Datuk Seri A.Samad Said berkata banyak karya-karya yang bagus dihasilkan sasterawan negara dan ia wajar dijadikan teks dalam silibus pembelajaran sekarang.

"Kita harus bimbing mereka ini melalui karya yang bagus untuk menceritakan tentang dunia sekarang secara realiti agar pelajar ini berada di tempat yang betul," katanya kepada pemberita selepas Program Pembicaraan Kalam Karyawan Siri 2 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Kuala Lumpur hari ini.

Samad yang merupakan Sasterawan Negara ke-4 berkata tidak cukup dengan hanya dua buah hasil sasterawan termasuk dirinya dicetak untuk diperkenalkan kepada generasi sekarang.

"Dah banyak usaha dilakukan dan diperkatakan namun kesudahannya, sastera tidak dipandang termasuklah oleh Kementerian Pendidikan. Sasterawan dijulang tetapi buku hasil karyanya tidak dibeli atau digunakan di sekolah. Ini satu suasana yang aneh” katanya.

"Tidak ketinggalan, ada sasterawan terpaksa mencetak sendiri hasil karya mereka untuk dijual di samping hidup pada musim-musim tertentu sahaja seperti bulan bahasa dan selepas itu hanya tinggal nama," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Datuk Nafisah Ahmad berkata program perpustakaan bergerak adalah antara inisiatif yang diambil PNM untuk mendedahkan masyarakat kepada karya sasterwan negara.

"Kita ada koleksi yang bukan saja dihasilkan sasterawan negara tetapi juga buku-buku yang dibaca mereka untuk dijadikan panduan orang ramai mengenali karya dan corak pemikiran sasterawan ini. Jadi, kita bawa koleksi ini ke semua kawasan termasuk di luar bandar melalui perpustakaan bergerak dan perpustakaan desa agar mereka dapat membaca dan menghargai karya-karya unik ini," katanya.
Menurutnya PNM juga dalam usaha mendigitalkan karya-karya sasterawan ini termasuk mencari mekanisme terbaik untuk menghasilkan dan menyampaikannya kepada pembaca.

"Selain terikat dengan kos, kita juga perlu mendapatkan kebenaran daripada penulis kerana ia melibatkan hak cipta dan pembayaran," katanya.
- Bernama

Malaysiakini bertarikh, 1 November 2018,   dengan tajuk: Pak Samad: Angkat karya sasterawan di sekolah.

Apakah reaksi Menteri Pendidikan kita akan lihat dalam Seminar di UKM nanti. Tetapi sebelum itu Menteri Pendidikan telah menyebut betapa pentingnya para sasterawan negara ini dengan menyebut nama A. Samad Said, diberi penghormatan tinggi dan khusus.  Inilah antara isu yang akan disentuh dalam tajuk entri kali ini.

Sebenarnya saya telah menulis satu monograf khusus untuk membincangkan isu ini dengan kritis. Saya harap dapat diterbitkan tahun 2019 nanti. Tajuknya: “Anugerah Sastera Negara: Menilai Semula Sumbangan Sasterawan Negara”. Kertas ini sudah lama disediakan, tetapi belum lagi diterbitkan secara rasmi. 

Perlukah karya para sasterawan negara dibaca, dan sekiranya perlu, bagaimana membacanya?  Bahagian kedua pertanyaan itu, bagaimana membacanya, tidak pernah ditanyakan, maka itulah ditulis entri ini dengan tajuk yang paling pendek. Tetapi maknanya sangat panjang!

Persoalan penting “bagaimana membaca dengan betul” sudah saya bincang sejak tahun 1970-an lagi, antaranya pernah diterbitkan dalam majalah Widya (sudah berhenti terbit lama dulu)  yang disiarkan antaranya dalam keluaran Mac-April 1982.

Satu masa dulu kita sering dengar perbualan mengenai aspek membaca di kalangan sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera. Lalu mereka sebut  Surah al-‘Alaq (Surah ke 96) sebagai bukti mengenai pentingnya membaca. Semuanya menjadi amat lucu apabila yang dimaksudkan hendaklah dibaca karya sastera tulisan mereka. Siapa yang memberi autoriti itu? Saya sebut perkara ini di sini untuk menegaskan  untuk memberi mereka sedikit kesedaran bahawa mereka harus menerima karya para sasterawan negara adalah karya picisan. Bagaimana penilaian ini dibuat? Cukup mudah. Kini anda mempunyai tiga kategori karya: karya persuratan; karya sastera; karya erotik/picisan.  Hingga kini belum ada sarjana atau sasterawan yang menolak pembahagian ini dengan hujah yang mantap. Mereka tidak terima, mereka juga tidak boleh menolaknya; oleh itu apabila karya para sasterawan negara dinilai dari perspektif PB, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali menerima penilaian itu. Mereka tidak ada hujah untuk menolak penilaian berasaskan ukuran yang diberikan oleh PB. Jika mereka faham, dan jujur terhadap kebuntuan intelektual yang mereka hadapi, mereka seharusnya menerima perintah membaca yang mereka jadikan iklan itu sebenarnya suatu perintah supaya mereka menerima hakikat bahawa kebenaran tidak menyebelahi mereka. Oleh itu, mereka harus kembali menjadi manusia seperti yang diajarkan kepada mereka dalam Surah al-‘Alaq itu.

Bacalah… Baca apa?  Untuk mendapat jawapannya, baca dengan kritis entri ini dari mula hingga akhir. Kalau perlu hendaklah diulang-ulang supaya anda diberi kefahaman yang meyakinkan, seperti yang ditegaskan oleh Imam Ghazali ketika membicarakan konsep ilmu dalam Islam.  Rujukannya telah saya berikan dalam beberapa entri. Carilah sendiri, jangan biarkan diri anda terus berada dalam kesilapan yang boleh dibetulkan dengan mudah andainya anda faham maksud ilmu yang benar yang diajarkan dalam Surah al-‘Alaq itu.

Satu perkara ingin saya tegaskan lagi walaupun sebenarnya tidak perlu sekiranya mereka yang menentang PB tidak berniat jahat menggunakan badan penulis dan kerajaan (Menteri Pendidikan dan institusi seperti ITBM dan DBP) untuk faedah peribadi para sasterawan, sarjana dan para pengikut mereka. Saya maksudkan sikap negatif kumpulan ini kepada perubahan yang diperlukan dalam perkembangan intelektual di negara kita, yang dengan amat jahat ditentang hanya untuk memastikan kedudukan mereka tidak terjejas. Mereka sedar kemunculan PB memaksa mereka memberikan penentangan untuk memastikan kedudukan mereka tidak tercabar dan faedah yang mereka dapat akan berterusan walaupun dengan mengkhianati perkembangan ilmu.  Mereka tidak menyatakan berterus terang, kerana tidak perlu, maka dengan itu tepatlah kritikan saya selama ini bahawa kumpulan cetek meraba-raba yang picisan ini berusaha gigih untuk mengekalkan unsur-unsur kebodohan dalam perkembangan sastera di Malaysia. Ini amat jelas dalam program yang mereka anjurkan di UKM 16 November 2018 itu. Bukti terbaik ialah dengan memberi peluang kepada Baha Zain sekali lagi untuk memberi ucaputama untuk ke sekian kalinya. Ucaputama beliau dalam pertemuan penulis muda 2005 di Johor berbicara tentang persuratan Melayu, agak panjang kerana dipenuhi dengan unsur berputar-purat, tidak secara tegas dan tuntas meletakkan peranan ilmu dalam perkembangan intelektual, yang sebenarnya tidak diketahuinya. (Rujuk ucapan Baha Zain, Memartabatkan Persuratan Melayu, diucapkan dalam perhimpunan Penulis Muda Nasional, Tanjong Piai, Pontian, 2005). Buku ini kaya dengan retorik peragaan, yang boleh mempesonakan sesiapa juga yang sukakan hal-hal begini. Saya amat positif Baha Zain akan meneruskan wacana berputar-purat dalam ucap utama di UKM  nanti, kerana itulah yang terserlah dalam tulisannya, yang dapat kita lihat dengan jelas dalam bukunya Memartabatkan Persuratan Melayu.  Inilah imej biasa dalam sastera Melayu yang masih dikekalkan untuk memberi tempat kepada tokoh-tokoh berputar-purat berceloteh semahu-mahu mereka tanpa sebarang kritikan yang wajar.  Apa yang disebut di dalam ucaputama itu tepat sekali mencerminkan kegiatan bersifat ‘iwajan seperti yang diberi tempelak dalam ayat pertama Surah al-Kahfi.

Mengapa kegiatan seperti ini masih diteruskan? Inilah pengaruh Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu. Inilah juga yang akan diteruskan dalam Seminar Sasterawan Negara di UKM pada 16 November 2018.

Mohd. Affandi Hassan.

Petaling Jaya, 2 November 2018. assan, Petaling Jaya,  2 November 2018.

No comments:

Post a Comment