Mengapa
Novel Teragung Malaysia Sangat Pelik?
Yang
dimaksudkan novel teragung itu ialah Naratif
Ogonshoto, oleh sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Yang memperakukan novel ini sebagai novel
teragung sepanjang zaman ialah para sarjana yang menulis atau mengupas novel
ini. Nama-nama mereka disenaraikan dalam tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu
Bakar, “Intelektualisme Dalam Lima Novel Anwar Ridhwan dari Sudut Persuratan Baru”
(UPM 2014). Anda boleh rujuk di sana jika anda hendak tahu siapa mereka. Prof.
Solehah Ishak yang menterjemahkan novel ini ke dalam bahasa Inggeris memberi
pengakuan yang sama seperti para sarjana itu.
Kesimpulannya, novel ini mestilah sangat hebat dan layak diberi jolokan
sebagai novel terbaik sastera Melayu sepanjang zaman, yang tidak mungkin dapat
diatasi oleh sesiapa pun pada waktu ini dan akan datang. Kesimpulan ini
diterima oleh para sarjana ini, malah merekalah yang memberi pujian tinggi
itu, walaupun saya sendiri menganggapnya
sebagai satu kesimpulan yang tidak siuman. Maksud tidak siuman di sini ialah
kesimpulan itu tidak berasaskan ukuran yang jelas yang boleh diukur dan diuji
kesahihannya. Tidak seorang pun di antara sarjana yang memberi pujian tinggi
itu menjelaskan perkara ini, kecuali hanya berkata secara rambang dan kabur
bahawa novel ini mempunyai makna yang berlapis-lapis. Tetapi tidak seorang pun
memberikan contoh apa yang mereka maksudkan dengan makna yang berlapis-lapis
itu dalam tulisan mereka. Saya namakan ini sebagai kritikan jenis hogwash, yang anda boleh dapatkan
maknanya dalam kamus bahasa Inggeris, rujukan yang amat mudah dan senang.
Apakah unsur
yang menjadikan novel ini sangat pelik dan tidak masuk akal? Novel ini
mempunyai tiga unsur penting yang menjadi asasnya. Pertama sensasi yang berlebihan. Kedua sifat sadisme yang amat memeranjatkan manusia yang mempunyai akal sihat.
Ketiga, keseluruhan novel ini menyerlahkan faham nihilisme yang menolak semua nilai murni manusia beragama. Ketiga-tiga aspek ini telah dibicarakan
dengan jelas dalam beberapa entri blog ini.
Yang masih menjadi pertanyaan ialah mengapa sarjana dan pengkritik
sastera Melayu menganggap novel ini sangat bermutu tinggi. Mereka tidak
memberikan penjelasan sedikit pun, hanya meletakkan pujian yang tidak diimbangi
dengan analisis dan hujah yang berasaskan ukuran yang boleh dipastikan
kesahihannya. Mengapa mereka mengelak dari memberi ukuran itu sukar hendak
ditentukan, melainkan andaian umum
bahawa mereka sebenarnya telah
disihir oleh puaka Naratif Ogonshoto
yang memuliakan dua orang resi. Satu resi sang sasterawan sendiri yang
menjadikan novel ini sebuah mantra dengan mengemukakan cerita yang penuh dengan
unsur penglipur lara. Satu lagi resi yang menjadi watak dalam novel ini yang
memberi ramalan sesuatu yang akan berlaku, seolah-olah seperti dibisikkan oleh
Sang Iblis untuk membuat ramalan berasaskan tanda-tanda yang direka-reka, yang
dijadikan realiti magis oleh Sang Resi asal, pengarang novel ini. Akhirnya muncul resi sebenar di akhir cerita,
bernama Noor yang berasal dari Sungai Besar, yang di dalam novel disebut Kali
Besar. Kali bahasa Sanskrit (Jawa,
terpakai di Indonesia). Sungai dipakai oleh orang Melayu. Siapakah Si Noor ini?
Dialah watak sebenar, dan terpenting dalam novel ini. Istimewanya watak ini
ialah kerana cerita yang diselerakkan dalam novel ini adalah angan-angan beliau
sebagai seorang gila, atau paling baik seorang yang tidak siuman. Saya menunggu
para sarjana dan pengkritik sastera menafikan tafsiran ini, yang saya lakukan
dengan senang hati untuk membuktikan novel ini mempunyai makna yang
berlapis-lapis, dan salah satunya ialah perihal orang gila yang menceritakan
kisah sensasi, sadis, dan cukup kaya dengan usur-unsur nihilisme. Pencerita ini
tenggelam dalam dunia syirik yang amat jelas diilhamkan oleh Iblis, yang tidak
disebut, tetapi memakai nama resi yang kata-katanya berlapis-lapis maknanya.
Tafsiran ini tepat, kerana inilah salah satu makna yang berlapis-lapis yang
disebut oleh Anwar Ridhwan dan disokong oleh sarjana yang memuji beliau. Sekali
lagi, anda perlu tolak tafsiran saya dengan berkata yang berlapis-lapis itu
tidak termasuk lapis yang saya temui. Apakah lapis-lapis makna yang hebat
itu? Tidak seorang pun sarjana yang
membaca novel ini pasti. Tetapi mereka pasti mereka menerima kata-kata penulis
novel ini sebagai suatu ciri yang penting. Apakah lapis-lapis itu tidak perlu diketahui,
kerana novel ini amat berahsia dengan makna. Yang tahu maknanya hanya watak
yang bernama Noor, orang gila yang tiba-tiba muncul di akhir cerita.
Bila kita
rumuskan semua ini, kita akan dapati novel ini adalah sebuah novel picisan yang
paling hebat dalam sastera Melayu, yang tidak dapat difahami oleh penulisnya
dan para sarjana yang membacanya. Yang mengetahui kepalsuan novel ini hanya
Gagasan Persuratan Baru. Barangkali di situlah kehebatan sebenar novel picisan
agung ini.
Mengapa Pujangga Melayu Ditakuti?
Kesimpulan
di atas terjawab dalam pertanyaan yang menjadi tajuk bahagian ini. Pujangga
Melayu dibenci dan ditakuti kerana apabila dua buah novel ini dibaca
bersama, anda akan melihat kepalsuan para sarjana dan pengkritik sastera yang
memuji Naratif Ogonshoto. Anda juga akan melihat betapa karutnya novel
yang diberi judul Naratif Ogonshoto
itu, yang keseluruhannya bergantung pada nama-nama rekaan yang menarik
imaginasi para sarjana dan pengkritik sastera yang masih lagi berada dalam
dunia penglipur lara, yang kini mereka beri nama baru sebagai realisme
magis. Kalau mereka ini membaca Quran
dan membaca tafsirannya, mereka akan dapati cerita tongkat Nabi Musa ‘a.s. yang
dilemparkan menjadi ular sebenar, bukan realisme magis seperti yang dipercayai
oleh para sarjana dan pengkritik sastera, tetapi ular sebenar yang muncul dari
perintah Allah Ta’ala “kun, fayakun”.
Jadi, maka jadilah. Yang menarik, Anwar Ridhwan sering menyebut Perintah Maha
Agung ini (beliau ada menulis tentang ini dalam novelnya Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, lihat perbahasan Nur Fatiha Fadila tentang ini dalam tesis sarjananya, hlm. 138), tanpa mengetahui maknanya, oleh itu dipersendakan beliau seolah-olah
beliau mempunyai kuasa itu ketika menulis novelnya. Sekali lagi, kita perlukan penjelasan
(daripada sesiapa sekali pun tak mengapa). Mengapa Anwar Ridhwan bermuka-muka menyebut
Perintah Maha Agung ini dan dalam
konteks yang bagaimana perlukan penjelasan, kerana jelas sekali beliau ingin
membuktikan karyanya mengandungi unsur Islam!!
Kalau betul, bukan begitu caranya. Kalau tidak betul, anda perlu memberi
penjelasan yang betul. Karya sastera yang murni tidak boleh mengandungi unsur
kekeliruan yang boleh membawa pembaca yang tidak cermat dan jahil ke jurang
syirik, menjadikan manusia sebagai asas nilai.
Lebih celaka lagi (bahasa Inggeris, disaster)
apabila yang salah itu dijadikan hujah memuji sesebuah karya, seperti yang
dilakukan terhadap Naratif Ogonshoto. Untuk makluman, yang menyebut “kun fa yakun” (seperti tertulis dalam
novel Hari2 Terakhir Seorang Seniman)
disebut oleh Pak Hassan, seorang “seniman” paling bodoh dan keliru.
Apa
Kesudahannya?
Tiga
pertanyaan yang belum lagi diberi jawapan yang pasti dan tepat. Sehingga diberi
penjelasan dan analisis yang betul-betul akademik, saya masih terima kedudukan Naratif Ogonshoto sebagai sebuah karya
picisan yang “mempersenda Tuhan” seperti yang diakui oleh Anwar Ridhwan. (Rujuk
penjelasan beliau dalam tulisannya di Dewan
Sastera, Februari 2011). Yang kita sukar hendak faham ialah, mengapa
sasterawan agung ini sanggup “mempersenda Tuhan” untuk menulis novel agungnya
yang tiada tandingannya sepanjang zaman.
Sukar bagi beliau memberi penjelasan, kerana beliau masih beranggapan
novel agungnya itu adalah sebuah karya
intelektual yang mengandungi nilai-nilai Islam. Walaupun penegasan beliau telah
ditolak oleh Nur Fatiha Fadila Abu Bakar dalam tesis sarjana beliau, namun
beliau mendapat dukungan kuat daripada beberapa sarjana hebat (kerana mereka
semuanya telah diberi hadiah berprestij untuk
karya akademik mereka) yang tetap mempertahankan karya beliau sebagai yang
terbaik pernah ditulis dalam sastera Melayu, mengatasi novel mini ensiklopedia Pujangga Melayu yang mereka anggap bukan
novel tetapi hanya sejenis rangkaian makalah yang dijadikan novel. Oleh itu, menurut mereka, Pujangga Melayu bukanlah sebuah novel
seperti yang difahami dan dipraktikkan seluruh dunia sejak beratus tahun yang
lalu. Kata mereka lagi, yang disebut
novel persuratan itu tidak pernah wujud dan tidak akan wujud, kecuali dalam
angan-angan seseorang yang sudah gagal sebagai pengkritik sastera dan gagal
juga dalam penulisan kreatif, yang kononnya menulis novel persuratan untuk
merendahkan sasterawan negara. Walaupun
kesimpulan ini amat lucu dan tidak tepat, namun kesimpulan ini memberi isyarat
bahawa Gagasan Persuratan Baru yang mendukung Pujangga Melayu adalah sesuatu yang asing, dan tidak logik dalam sastera
kerana terlalu mementingkan ilmu, dengan mengetepikan keterampilan kreatif
seseorang sasterawan. Semua ini tidak
menjawab kontradiksi yang kita hadapi. Kalau Anwar Ridhwan sendiri memperakukan
novelnya Naratif Ogonshoto itu
sebagai sebuah novel intelektual yang bernilai Islam, maka bagaimana Pujangga Melayu yang totok ditulis
berasaskan konsep ilmu yang benar tidak boleh diterima sebagai sebuah karya
kreatif? Kesimpulan ini memang tidak siuman, oleh itu perlukan penjelasan. Yang menjadi persoalan ialah, mengapa para
sarjana yang menolak Pujangga Melayu
tidak mahu menjelaskan bagaimana Naratif
Ogonshoto mereka angkat sebagai sebuah karya intelektual yang mencerminkan
nilai-nilai Islam, padahal semua watak dan perilaku mereka dalam novel itu
hanya layak dilakukan oleh syaitan atau pengikut syaitan, bukan layak dilakukan
oleh manusia yang percayakan Tuhan dan mempunyai nilai-nilai kerohanian yang
difahami dalam Islam. Ini semua memerlukan penjelasan. Berapa lama lagi kita mesti tunggu untuk
mendapat penjelasan itu?
Apa
kesudahannya? Kesudahannya amat jelas
betapa para sasterawan ini sedang merayau-rayau di lembah berlumpur untuk
mencari ilham, lalu menulis karya picisan yang penuh dengan lumpur hogwash.
Inilah yang anda dapat dalam Naratif
Ogonshoto. Kalau begitu, sebuah
karya yang penuh dengan lumpur hogwash
itu boleh disetarafkan dengan Pujangga
Melayu? Mereka perlu menjawab
pertanyaan ini, jika mereka benar-benar sarjana atau pengkritik sastera yang
berwibawa.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 26/9/2017.