Saturday, April 4, 2015

REVOLUSI PERSURATAN MELAYU: MENANGANI PERUBAHAN ABAD 21 YANG TIDAK DAPAT DIELAKKAN



Persuratan Melayu moden kini berada dalam era perubahan besar, satu revolusi dari egi pemikiran dan perkembangan kreatif, yang tidak dapat dielakkan akan menjadi kenyataan setelah cabaran intelektual dan kreatif tidak dapat dikekang oleh para sarjana dan sasterawan walaupun para sarjana dan sasterawan Malaysia cuba menghalang kemaraan gagasan Persuratan Baru dalam perkembangan intelektual Malaysia. Mereka telah mengadakan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, tetapi mereka gagal memberikan jalan keluar kepada krisis nilai yang sedang dihadapi oleh kesusasteran Melayu moden yang kini tersepit di antara pandirisme arus perdana dengan  cabaran intelektual berasaskan konsep ilmu yang benar yang menjadi teras gagasan Persuratan Baru. Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 gagal memberikan arah yang jelas dalam perkembangan kesusasteran Melayu moden walaupun mereka dengan gagahnya mengisytiharkan sastera seharusnya menjadi teras negara bangsa. Bagaimana hal ini boleh terjadi menjadi sangat aneh kerana sastera yang mereka mahu jadikan teras itu bersifat anti-ilmu.  Mereka diberi peluang yang begitu baik dan luas terbuka untuk mengemukakan hujah mereka dengan mantap dengan membicarakan sumbangan para sasterawan negara dari segi pemikiran dan perkembangan ilmu sehingga membolehkan karya sastera mereka benar-benar layak dijadikan teras negara bangsa. Mengapa hal ini tidak mereka lakukan? Sebabnya sangat mudah: mereka tidak mahu membicarakan karya para sasterawan negara ini dari perspektif ilmu kerana mereka cukup sedar bahawa jika itu mereka lakukan maka mereka tidak akan mempunyai hujah untuk meletakkan para sasterawan negara ini sebagai pelopor pemikiran sastera yang melayakkan sastera dijadikan teras negara bangsa. Mereka juga tidak mahu berbicara dengan kontan tentang ilmu sebagai asas negara bangsa kerana mereka tahu jika ini dilakukan, mereka akan dapati para sasterawan negara akan  kelihatan begitu kerdil dan sastera Melayu moden yang digahkan itu pun  akan menjadi begitu kerdil dan miskin dari segi idea dan pemikiran. Apakah yang dapat mereka hujahkan dengan bermakna jika untuk berbuat begitu mereka harus menolak pandangan kritis Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Hingga kini pandangan kritis itu belum disanggah dan tidak mungkin disanggah kerana di depan kita terbentang beribu bukti dari karya kreatif para sasterawan negara dan para sasterawan lain-lain dan karya akademik yang oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dinilai sebagai “cetek meraba-raba”.  Syarahan pengukuhan beliau telah meletakkan standard yang tinggi dari segi akademik dan pemikiran, yang hingga kini belum dapat dicapai oleh para profesor yang mengemukakan syarahan perdana mereka.  Oleh itu, apakah tujuan  para sarjana dan sasterawan ini  mengadakan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 itu? Apakah yang  ingin dicapai oleh mereka?  Jika kita melihat rumusan yang mereka kemukakan, tidak ada yang baru selain pengulangan segala rumusan yang telah dilontar sejak sekian lama, yang pada hakikatnya menjurus kepada mendapat faedah peribadi segolongan mereka yang kononnya telah berjasa dalam dunia penulisan dan akademik. Mereka hanya mengulang apa yang merka lakukan untuk mendapat faedah peribadi ini melalui projek sasterawan negara yang kini menjadi beban mereka kerana tidak dapat dipertahankan secara ilmiah dan kreatif.  Jika anda membaca kesimpulan saya dalam “Keunggulan yang Cacat” anda dapati betapa segala jenis “pretensi intelektual” yang dilakukan oleh golongan Mutual Admiration Club ini hanya berjaya menyerlahkan kegagalan para sasterawan negara dalam memberikan sumbangan yang benar-benar bermakna dari segi pemikiran dan idea bernas serta keaslian dalam karya kreatif mereka. Sesungguhnya mereka semua adalah peniru yang gigih dan tidak bermaruah yang mencedok di sana sini daripada sastera Barat. Inilah yang telah dibuktikan oleh para sarjana sendiri yang membicarakan karya mereka, seperti dalam tesis Ph.D. yang telah diterbitkan yang telah saya sebut berkali-kali dalam blog ini.

Karya Persuratan, Karya Sastera, Karya Picisan

Para sarjana dan sasterawan, termasuk pengkritik sastera, tidak dapat menerima genre  baru dalam persuratan Melayu, karya persuratan.  Menurut mereka, karya persuratan tidak pernah wujud dan tidak perlu wujud. Bagi mereka, yang ada hanya karya sastera yang bermutu dan karya sastera yang picisan tetapi masih bermutu dari segi penonjolan seni dan realisme yang menjadi dasarnya. Inilah pendirian para pengikut feminisme, yang memberi sanjunghan tinggi novel  picisan dan erotik Indonesia, Saman. (Dihuraikan dengan penuh santun dan tepu dengan pujian tinggi dalam tesis Ph. D.  Norhayati Ab. Rahman,  Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM, 2012).  Buku ini bukanlah sebuah buku akademik, tetapi hanya sebuah cerita tentang wanita yang ingin membebaskan  diri mereka dari sebarang sekatan supaya mereka dapat memuaskan nafsu seks mereka dengan seberapa ramai lelaki yang mereka mahu. Inilah yang dipanggil puitika sastera wanita.  Walaupun disebut di situ karya wanita dibaca mengikut ginokritik, pada hakikatnya hanya bacaan biasa saja tetapi diberi pretensi intelektual supaya kelihatan akademik. Satu-satunya maklumat penting yang ditunjukkan dalam buku ini ialah perihal penulis wanita Indonesia yang ingin mencari kebebasan melalui perzinaan; sementara itu penulis wanita Malaysia masih malu-malu untuk berterus terang tentang seks walaupun mereka juga mahu bebas, seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Fatimah Busu dalam novelnya.  Kata sarjana ini, kerana adanya perasaan malu ini, penulis wanita Malaysia tidak menunjukkan apa-apa kemajuan dan masih mahu dikongkong oleh lelaki. Hanya Dr. Fatimah Busu yang dapat dikecualikan, oleh itu beliau jauh lebih maju meninggalkan teman-teman penulis wanita yang lain.  Benarkah inilah yang dikatakan kemajuan? Jawapan Dr. Norhayati begini: “Sebagai sebuah buku ilmiah dalam bidang kesusasteraan dan khususnya yang bersifat teori dan aplikasi, penghasilan buku ini diharap membantu para pelajar dan pengajar kesusasteraan di semua institusi pengajian tinggi ...  Oleh sebab itu, diharap buku ini dapat dimanfaatkan oleh para pelajar ... (dan seterusnya). (hal. viii). Saya akan komen perkara ini kemudian.

Penelitian saya terhadap buku ini meyakinkan saya betapa perlunya kita membahagikan karya kreatif kepada tiga kategori yang dicadangkan itu. Amat jelas Dr. Norhayati Ab. Rahman tidak langsung memberi perhatian kepada aspek nilai karya; tetapi hanya berminat kepada sejauh mana penulis wanita meluahkan perasaan marah mereka terhadap lelaki. Pilihan pengarang wanita Indonesia tidak mengejutkan, kerana bagi mereka sastera itu perlu bebas sebebas-bebasnya. Sastera Indonesia telah menjadi hedonistik sepenuhnya; erti kebebasan itu tiada batasnya lagi. Bukan hanya manusia yang mereka permainkan; malah Tuhan pun mereka kritik dan permainkan dan H.B. Jassin rela dipenjarakan untuk mempertahankan kebebasan itu. Pelik tetapi benar!  Idea inilah yang ingin dijadikan puitika sastera wanita Malaysia pula, setelah berjaya di Indonesia. Inilah yang hendak diajar kepada para pelajar universiti di Malaysia, yang menjadi harapan dan perjuangan Dr. Norhayati Ab. Rahman.  Nampaknya usaha beliau telah berjaya apabila buku beliau diberi hadiah sebagai buku kajian terbaik Hadiah Sastera Perdana Malaysia.  Atau lebih tepat, menurut perhitungan saya, Hadiah Sastera Perdana Malaysia telah diturunkan darjatnya menjadi satu hadiah picisan saja. Perkara ini akan dibincang kemudian.

Pandirisme dalam Arus Perdana

Pujian dan sanjungan tinggi yang dicurahkan ke atas kepala sasterawan negara tidak dapat membantu menaikkan kualiti karya mereka yang tidak berkualiti dari segi pemikiran dan keaslian kreatif. Mereka bukan golongan berfikir, bukan golongan yang mempunyai visi yang jelas untuk persuratan dan untuk mencapai ketinggian darjat intelektual di kalangan bangsa Melayu, yang akan mencerdikkan mereka sehingga dapat mengenal dengan pasti dan meyakinkan mana satu karya yang bermutu dan mana satu pula karya yang penuh dengan “pretensi intelektual” padahal tidak mempunyai isi berupa unsur intelektual di dalamnya.  Pancutan pujian yang tinggi melebihi langit ketujuh  yang disembur dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara menjadikan para sasterawan negara ini badut yang melompat-lompat di pentas kreatif, tetapi bisu dari segi pengucapan bernas. Anda boleh lihat contohnya dalam semua laporan ini, dan  saya telah mengutipnya di sana sini dalam blog ini. Sekadar contoh untuk memperlihatkan bagaimana retorik peragaan digunakan, lihat laporan untuk Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan dan Kemala, tiga orang sasterawan negara yang paling istimewa bagi Panel Anugerah Sastera Negara seperti yang terukir dengan gabah dalam kata-kata bombastik yang diselerakkan dalam laporan mereka. Untuk rujukan cepat, lihat Laporan 2012, hal. 20 (sarat dengan renungan jiwa yang mendalam); hal. 21 (sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum); hal. 19 (menyebarkan wangian kerohanian), dengan mengambil alusi daripada budaya lain dengan rujukan kepada Mark Antony dan Cleopatra (hal. 20) (pasangan ini melakukan persetubuhan sepanjang masa; rujuk Allan Bloom, Love and Friendship, hal. 304).  Kerohanian yang simply sheer bullshit!

Laporan Panel Anugerah Sastera Negara memberikan contoh kepada kita semua bagaimana pandirisme dijadikan dasar semua  laporan Panel, seperti yang sangat jelas dalam contoh kecil yang disebut di atas. Para sasterawan negara tidak mungkin dapat dijulang dengan memberikan contoh-contoh bombastik yang kosong, yang hanya simply sheer bullshit!  Dalam “Keunggulan yang Cacat”, saya menegaskan bagaimana Anwar Ridhwan telah dirasuk semangat penglipur lara sehingga akhirnya dia diseret oleh Pak Hassan untuk menerima semangat animisme penglipur lara Pak Hassan dengan itu hanyut dalam dunia khayal yang penuh sensasi. Anwar Ridhwan akhirnya menjadi Tok Mindok dalam Main Peteri atau Bageh, yang diresapi semangat Dewa Muda untuk bangkit menari bersama Pak Hassan dalam drama penglipur lara.  Inilah karya yang mendapat pujian tinggi Panel Anugerah Sastera Negara. Apakah ciri intelektual yang menjelma dalam karya picisan ini?  Semua pujian yang diberikan oleh para pengulas novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman ini hanya berjaya menyerlahkan betapa ceteknya penilaian mereka, tanpa sebarang asas intelektual, kecuali hanya sangkaan dan andaian yang tidak dibuktikan secara akademik. Hakikat ini telah dihuraikan dengan mendalam dalam tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar yang menganalisis novel-novel Anwar Ridhwan.  Penilaian mereka hanyalah simply sheer bullshit!

Kita tidak boleh bertolak ansur dalam soal penilaian ini, kerana penilaian yang salah akan kekal menjadi warisan pandirisme yang dipertahankan dengan gigih walaupun merugikan kita semua.  Dilihat dari perspektif ini, makalah Anwar Ridhwan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 amat mengecewakan, tidak pantas ditulis oleh seorang sasterawan negara yang juga seorang sarjana.  Beliau memberi gambaran yang salah ketika mengutip pandangan Prof. Syed Muhammad Naquib  al-Attas mengenai peranan manusia sebagai khalifah (Sastera Teras Negara Bangsa, hal. 214) dengan tidak menyebut peranan manusia sebagai hamba Allah, yang dari situ terangkum  makna dan implikasi tauhid yang dijelmakan dalam konsep taklif, yang secara implikasi merangkum peranan manusia sebagaik hamba dan khalifah.  Di situlah menjelma adab dalam semua bidang kehidupan; oleh itu apabila Anwar Ridhwan memuji projek  International Baccalaureate (hal. 216), maka beliau berada dalam huru-hara intelektual menayangkan betapa kelirunya beliau memahami makna khalifah yang disebutnya. Sebarang projek pendidikan yang menolak konsep ilmu yang benar tidak mungkin dapat merealisasikan peranan manusia sebagai khalifah seperti yang difahami dalam Islam.  Kritikan saya mengenai perkara ini telah saya berikan dalam entri yang terdahulu (bertarikh 10 Mac 2015, Kuliah Perdana PB).

Barangkali sangat ironik apabila pandirisme yang muncul sebagai arus perdana dalam sastera Melayu moden itu, pada waktu yang sama menjadi standard dalam penilaian kreatif dan akademik. Sekarang orang boleh bertanya dengan mudah: Adakah ini karya kreatif yang kaya pemikiran dan jelas visinya? Saya pernah mencadangkan supaya sajak “Al-Andalus” dibaca bersama sajak “Pulang Si Tenggang” untuk cuba menjawab pertanyaan itu. Demikian juga, cerita pendek terkenal dan terindah di Malaysia, menurut Panel Anugerah Sastera Negara, ciptaan sasterawan negara Anwar Ridhwan, “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, bagaimana akan kelihatan jika dianalisis bersama “Rumah Impian Polan Cupan”(karya Anwar Ridhwan ditegaskan oleh Panel sebagai sebuah karya “filosofikal”, tetapi tidak dijelaskan maksudnya dengan hujah; oleh itu penilaian itu menjadi contoh terbaik aspek pandirsime dalam penilaian sastera?).  Antara keduanya, mana satu yang muncul sebagai sebuah karya falsafah yang mengemukakan seorang tokoh sebagai uswatun hasanah?  Seterusnya, mana satu yang lebih objektif dan tepat menganalisis dan  menilai novel-novel Anwar Ridhwan: tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar atau tesis Ph.D. (telah diterbitkan) oleh Dr. Mawar Shafie?  Semua ujian ini penting untuk melihat bagaimana pandirisme dan intelektualiti diberi wajah yang sebenar dalam karya akademik tersebut.  Tidak dapat dielakkan, inilah pendekatan perbandingan yang terbaik untuk menguji keberkesanan dan ketepatan penilaian yang berasaskan pendekatan/teori Barat dibandingkan dengan pendekatan Persuratan Baru.  Semua ujian ini penting, sesuai dengan kedudukan para sasterawan negara yang istimewa melebihi kedudukan para ulama dan cendekiawan Melayu: kita perlu melihat kehebatan mereka dalam konteks yang betul menggunakan konsep ilmu yang benar kerana mereka sendiri mengklaim diri mereka sebagai sasterawan intelektual yang menyerlahkan nilai-nilai Islam. Sasterawan negara perlu dinilai sehabis kritis, menggunakan pendekatan yang objektif dan tepat untuk meneroka nilai sebenar (yang intrinsik) dalam karya mereka.  Tetapi jika anda mempunyai hujah yang lebih baik, kita bersedia mendengar hujah anda.

Dengan mempertahankan pandirisme melalui retorik peragaan (ungkapan ini kini sudah menjadi ciri penting dalam kritikan sastera, menggambarkan dengan tepat tata cara kritikan para sarjana, oleh itu telah menjadi satu istilah penting), menggunakan fatamorgana bahasa dalam pretensi intelektual, maka kritikan sastera Malaysia menjadi seperti kaldai yang ditutup matanya untuk berpusing di kincir air. Inilah yang terjadi di kalangan para sarjana dan pengkritik, yang melengking bercakap tentang perubahan, tetapi hanya berpusing di tempat yang sama untuk mempertahankan klise yang tidak lagi berfungsi.  Keadaan ini tepat sekali dengan pandangan Terry Eagleton (Literary Theory: An Intoduction, hal. 212):

“On other occasions what might prove more useful will not be the criticism or enjoyment of other people’s discourse but the production of one’s own. ... studyibg what other people have done may help. You may want to stage your own signifying practices to enrich, combat, modify or transform the effects which others’ practices produce.” 

Pandangan ini mirip dengan yang diucapkan oleh Gary Olson:

“Theorizing can lead us into lines of inquiry that challenge received notions of entrenched understanding that may no longer be productive; it can create new vocabularies for talking about a subject and thus new ways of perceiving it”.   (Gary Olson, dikutip oleh Thomas Kent dalam eseinya, “The Consequences of Theory for  the Practice of Writing”, dalam Publishing in Rhetoric and Composition, ed. by Gary A. Olson, Tod W. Taylor; State University of New York, 1997, hal. 157). 

Apa yang disebut oleh Gary Olson adalah keadaan yang dialami oleh kesusasteraan Melayu pada waktu ini, yang sedang lumpuh dan mengalami krisis nilai yang teruk. Kehadiran gagasan Persuratan Baru bertujuan untuk menyelamatkan dunia akademik dan kreatif Malaysia dari terjerumus lebih teruk ke dalam gaung pandirisme yang kini sedang dipertahankan dengan gigih oleh kumpulan Mutual Admiration Club yang berpayung di bawah Panel Anugerah Sastera Negara yang telah melahirkan 12 orang sasterawan negara daripada kumpulan Mutual Admiration Club itu.  Kumpulan Mutual Admiration Club ini telah meletakkan diri mereka lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu, dengan mewujudkan sasterawan negara walaupun kesemua mereka tidak layak dari segi ilmu dan juga kemampuan kreatif, satu kumpulan pinggiran dalam kebudayaan Melayu yang berteraskan  Islam, sebagai golongan yang keliru dan cetek meraba-raba. Karya mereka sendiri menyerlahkan dengan jelas kualiti sumbangan mereka yang penuh dengan pretensi intelektual, padahal mereka adalah pendukung budaya pandirisme, seperti yang dibicarakan dengan terperinci dalam Kuliah Perdana PB 2015.  Sehingga sekarang tidak ada seorang pun dari mereka tampil menyanggah kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengkukuhannya, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972) yang menegaskan bahawa golongan sasterawan adalah kumpulan pinggiran dalam budaya Melayu yang “cetek meraba-raba”. Kecetekan para sarjana sastera dapat pula dilihat dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 seperti yang termuat dalam penerbiatan mereka, Sastera Teras Budaya Bangsa.  Kumpulan tulisan ini tidak sepatah pun berbicara tentang konsep ilmu, dengan itu membuktikan betapa masih benarnya kesimpulan 1972 tentang keadaan para sasterawan dan sarjana sastera yang masih terus berada di pinggiran dalam budaya Melayu yang tidak dikenali mereka dengan mendalam, dan juga tidak memahami budaya Barat yang mereka tiru, dengan itu hingga sekarang mereka masih lagi berada dalam keadaan cetek meraba-raba itu.  Inilah kumpulan Mutual Admiration Club yang kini meletakkan diri mereka lebih mulia daripada para ulama dan cendekiawan Melayu, suatu klaim yang tidak berasas dan yang hanya berjaya meletakkan pandirisme dalam arus perdana yang palsu.  Mereka mendakwa, inilah hegemoni yang telah dicapai oleh sastera Melayu moden, dengan itu, menurut logik pandirisme mereka, maka sastera wajar dijadikan teras budaya bangsa.  Semua tulisan yang berbentuk sanjungan dan pujian terhadap para sasterawan negara adalah contoh pandirisme dalam bidang akademik dan kritikan sastera, yang telah ditolak dengan tuntas oleh gagasan Persuratan Baru sebagai tidak lebih daripada sejenis pretensi intelektual yang diperkuat dengan retorik peragaan menggunakan fatamorgana bahasa yang bombastik. Contoh paling baik, seperti yang telah ditunjukkan, ialah laporan Panel Anugerah Sastera Negara. 

Konsep Ilmu yang Benar

Revolusi persuratan Melayu Abad 21 yang dimulai oleh gagasan Persuratan Baru bertujuan untuk mengembalikan seni persuratan, yang bersifat ilmu dan kreatif, kepada tradisi yang diwarisi daripada tamadun Islam yang berteraskan konsep ilmu yang benar.  Para penulis muda dan lain-lain (sarjana, sasterawan, pengkritik sastera, guru sastera) seharusnya sudah dapat membezakan konsep persuratan dan kesusasteraan, dan sudah dapat mengenal ciri-ciri karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan/erotik, dan faham mengapa pembahagian kepada tiga kategori ini penting dalam perkembangan persuratan Melayu.  Semua aspek ini telah dibincangkan dengan agak mendalam dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua. Sesiapa juga yang ingin menjadi penulis dan sarjana sastera di Malaysia tidak dapat mengelak daripada membaca buku ini. Sama ada anda bersetuju atau tidak, adalah masalah peribadi anda dan tiada kaitan dengan isi kandungan buku itu; yang penting anda harus mengetahui isinya untuk tidak terlalu jauh ketinggalan zaman.  Perbezaan konsep persuratan dan kesusasteraan adalah penting kerana ada kaitannya dengan konsep ilmu yang benar.  Dalam tulisan yang biasa kita baca, contohnya dalam makalah yang diterbitkan oleh ITBM dengan judul Sastera Teras Negara Bangsa, kita dapati perbincangan tentang ilmu dalam kesusasteraan amat cetek dan sedikit sekali disebut, tidak jelas apakah definisi ilmu dalam kesusasteraan. Kekeliruan ini menjadi kemegahan dalam sastera Melayu moden, oleh buku “akademik” yang picisan dan cetek serta kabur sistem nilainya, seperti buku Dr. Norhayati Ab. Rahman, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik, diberi hadiah utama Hadiah Perdana Sastera Malaysia sebagai hasil kajian dan penyelidikan yang bermutu tinggi.  Apakah sumbanga dari segi ilmu, sesuai dengan buku ini hasil kajian untuk tesis Ph.D? Tidak ada, malah apa yang disebut sebagai “bacaan ginokritik” itu hanya permainan istilah yang tidak sedikit pun membantu kita mengenal  hasil sastera yang bermutu atau yang picisan; malah soal nilai ini tidak penting, oleh itu novel pornografi  Indonesia diterima sebagai satu hujah dalam puitika sastera wanita, tentang hawa nafsu mereka yang bersifat kebinatangan. Apa jenis puitika yang mahu ditonjolkan oleh sarjana ini? Sangat pelik apabila beliau mendakwa bukunya itu membawa idea baru yang sangat penting diketahui oleh para pelajar universiti. Para sarjana tidak saja perlu menjaga maruah akademik mereka; tetapi juga maruah moral dan akhlak mereka. Kedua-duanya sama penting.  Buku ini melemparkan kedua-duanya, oleh itu apabila diberi hadiah istimewa, maka tidak syak lagi sastera Melayu tidak siuman lagi!  Inilah krisis nilai dan krisis akademik yang seolah-olah digalakkan.  Inilah akibat budaya pandirisme yang dijadikan arus perdana dalam kegiatan akademik Malaysia.

Sikap anti-ilmu ini melahirkan begitu ramai sarjana hambug yang berkeliaran dalam dunia akademik melemparkan hasil bullshit  yang mendapat pengiktirafan di kalangan mereka, dengan itu tokoh-tokoh bullshit ini diberi kedudukan dan penghormatan yang luar biasa.  Saya kembali lagi kepada buku Dr. Norhayati Ab. Rahman.  Saya tidak ragu untuk mengatakan buku ini sebuah karya picisan, tidak ada kualiti akademik sama sekali. Saya petik sedikit saja untuk menjelaskan maksud saya:  “Pengarang secara terbuka menyatakan bahawa keinginan seks wanita tidak perlu disembunyikan, tidak memalukan atau bukan suatu bentuk perhambaan diri kepada lelaki. Pengarang sengaja mengungkapkan tema seks sebagai satu bentuk pernyataan hak wanita bagi mengungkap kehendak diri, penegasan terhadap identiti dan melambangkan kekuasaan wanita. Pengarang menyarankan naluri seks sebagai sebahagian daripada hak dan kebebasan wanita yang sepatutnya dikperolehi dan dinikmati tanpa rasa bersalah. ... Gaya naratif Saman ialah suatu perubahan radikal dan berani dalam menyuarakan keinginan seks wanita. ... Dalam hal ini, Ayu Utami telah mencipta penggayaan dengan menampilkan makna berlapis-lapis yang perlu ditanggapi secara mendalam  terhadap hal yang tersurat dan tersirat. Beliau menerokai sesuatu yang amat peribadi dalam kehidupan wanita dan menjadikannya sebagai ‘printis’ kepada pembaharuan dalam penulisan novel di Indonesia.” (hal. 109).

Bullshit! Inilah dia contoh terbaik. Di mana kualiti akademiknya? Di mana analisisnya? Inilah contoh sarjana ciritan yang saya selokakan dalam Balai Maqamat.  Kalau beliau mahu, carilah makna berlapis-lapis dalam Balai Maqamat atau anda boleh gunakan feminisme untuk mengkritik watak wanita dalam karya itu. Dalam falsafah Descartes, beliau gunakan satu istilah, malin genie (evil spirit) untuk menegaskan bahawa hatta dalam ilmu matematik (beliau pencipta calculus) pun malin genie itu boleh mempengaruhi ahli matematik untuk memesongkan pemikiran ahli matematik. Sekarang bolehkah kita berkata Dr. Norhayati bebas dari pengaruh malin genie ini dalam menujlis tesisi Ph.D. beliau, dan ahli panel yang memilih karya beliau juga tidak dipengaruhi oleh malin genie itu? Kalau anda masih ingat, saya menurunkan satu kutipan penting dari huraian Prof. Fazlur Rahman tentang sifat tabiat manusia, yang sentiasa berada dalam  “self-deception”. Adakah penulis buku tentang feminisme ini terlepas dari self- deception itu? Semua ini perlu dijelaskan, kerana beliau mengulang banyak kali karya Ayu Utami mempunyai makna berlapis-lapis. Apakah makna berlapis-lapis itu? Sebenarnya tidak ada pun makna yang boleh dipakai dalam kehidupan bertamadun manusia yang ditonjolkan oleh penulis novel picisan ini.  Semuanya hanya bullshit semata.  Bagaimanakah buku Dr. Norhayati ini dinilai oleh panel penilai? Tiga orang penilai berpendapat: “Hasilnya puitika sastera dibentuk berasaskan pemilikan fitrah wanita. ... Kekuatan karya dapat dikenal pasti dari segi perbandingan yang menyeluruh terhadap tokoh-tokoh pengarang wanita di Malaysia dan Indonesia. Pengaplikasian teori ginokritik telah menghasilkan perbincangan yang teoretikal dan seimbang antara dua pihak tersebut. Ketelitian perbincangan terbukti melalui paparan data dan analisis yang setara dalam semua aspek dan bagi setiap pengarang. Dengan perbincangan sedemikian, bacaan terhadap kajian ini menimbujlkan kesan dari segi keilmiahannya. (Dinilai oleh Prof. Madya Dr. Jelani Harun; Prof. Madya Dr. Hashim Ismail; Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.)

Seperti biasa, para penilai kita hanya bercerita tentang buku yang dinilai mereka, kemudian memberi sedikit pandangan umum yang tidak kritis dan jauh sekali dari  sikap kreatif membaca buku “ilmiah”. Mereka tidak dapat melepaskan diri dari retorik peragaan, yang penuh pretensi intelektual, menggunakan fatamorgana bahasa yang sedap di dengar tetapi terapung-apung seperti buih, kind of bombastic language.  Apakah fitrah  wanita? Menurut novel-novel Indonesia yang dikaji, yang dimaksudkan dengan fitrah wanita itu ialah keiginan mendapat kepuasan seks dengan seberapa ramai lelaki. Adakah ini maksud fitrah dalam Islam?  Anda perlu ingat, konsep fitrah itu adalah konsep Islam, tidak boleh digunakan sewenang-wenang seperti yang digunakan oleh penulis buku dan panel penilainya. Kedua, jika memang wanita mahu dipuaskan nafsu seksnya seberapa kerap oleh seberapa ramai lelaki, adakah itu yang dimaksudkan kebebasan wanita seperti yang disebut oleh Dr. Norhayati?  Stop! Fikir dulu. Adakah ini pendapat yang siuman; dan jika tidak siuman, bagaimana kelakuan tidak siuman boleh dijadikan hujah bahawa itulah puitika sastera wanita?  Apakah pula hujah panel penilai untuk menerima pendapat yang tidak siuman ini? Sudah jelas apa yang dikatakan puitika sastera wanita itu tidak diberi definisi yang jelas dan tepat; kerana itulah maka perkara-perkara tidak siuman, biadab, kelakuan yang dipengaruhi syaitan sepenuhnya, dijadikan asas puitika sastrera wanita? Bolehkah orang yang siuman menerimanya? Bolehkah wanita yang siuman dan ada agama menerimanya? Inilah pembohongan akademik yang amat jelas dan terlalu menghina kedudukan wanita, hanya dengan menggunakan beberapa buah tulisan oleh penulis wanita yang sudah tidak bermoral lagi, yang pinggiran, yang dipengaruhi sepenuhnya oleh keinginan nafsu yang diajarkan oleh syaitan, oleh malin genie, menurut Descartes.  Tentulah sangat aneh apabila Dr. Norhayati memuji Dr. Fatimah Busu yang menulis Ombak Bukan Biru dengan penegasan bahawa beliaulah yang menyerlahkan sikap berani dan terbuka dalam penulisan novel. Dr. Norhayati terpesona dengan keberanian Dr. Fatimah Busu mendedahkan naluri romantis wanita yang berpendidikan, dengan itu katanya novel Dr. Fatimah Busu itu menjadi lambang perjuangan wanita merebut kebebasan dan hak bagi merealisasikan keinginan naluri seks wanita. (hal. 96-97).  Nampaknya para penilai tidak membaca buku ini dengan kreatif dan kritis, oleh itu mereka boleh menerima pendapat tidak siuman seumpama ini sebagai asas puitika sastera wanita.  Demikian rendahnya kualiti akademik mereka dan betapa tidak berasasnya penilaian mereka untuk  memilih buku kajian yang picisan ini sebagai layak diberi hadiah sastera.  Buku ini sekarang dijadikan bacaan untuk pelajar universiti, kerana menurut penulisnya inilah satu-satunya buku ilmiah yang membicarakan aspek hawa nafsu wanita dalam konteks puitika sastera wanita Malaysia. Serendah itukah kualiti akademik kita?

Sudah jelas bahawa mereka bersikap tidak hormat kepada ilmu dan pembaca yang serius.  Semua ini memberi isyarat kepada kita bahawa yang diperlukan sekarang ialah satu standard yang boleh dijadikan rujukan apabila kita ingin menulis makalah atau buku akademik, kritikan sastera, dan menilai karya itu bermutu atau tidak.  Anda tidak perlu ikut semua ukuran yang dicadangkan dalam kualiti standard yang dicadangkan; cukup untuk dijadikan panduan supaya karya picisan tidak terpilih untuk diberi hadiah, tidak juga diberi sanjungan yang tidak sepatutnya.  Dalam hal ini, kita harus jelas tentang proses menentukan nilai dalaman (intrinsic value) sesebuah karya, sama ada yang bersifat kreatif atau akademik, untuk mengelak dari membuang masa memberi perhatian kepada sesebuah karya yang tidak sepatutnya diberi perhatian.  Contoh terbaik tentang perkara ini ialah ulasan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika membicarakan novel Harga Sebuah Maruah yang terpilih untuk diberi hadiah dalam satu sayembara, padahal semua syarat sayembara tidak diikuti dalam membuat pilihan itu.  Penilaian panel bertetanggan dengan syarat dan ukuran yang ditetapkan. Mengapa hal ini terjadi?  Sukar menjawabnya, kerana hanya panel yang duduk dalam jawatankuasa pemilihan saja yang dapat memberi sedikit penjelasan. Saya fikir mereka tidak akan memberi apa-apa penjelasan, kerana “keberanian” mereka untuk membuat pilihan yang salah sudah memberi jawapan bahawa mereka tidak berminat untuk menerima sebarang pandangan yang berbeza, kerana bagi mereka semua pilihan tetap subjektif dan bersifat peribadi, oleh itu tidak wajar dipersoalkan.  Kita tidak boleh berkata mereka tidak mempunyai maruah akademik kerana masyarakat sendiri boleh menerima keadaan ini oleh kerana masyarakat tidak mempunyai sikap kritis, oleh itu tidak perlu memberi perhatian walau apa pun pilihan disogokkan kepada mereka. Bagi para penilai pula, tugas mereka hanya untuk membuat pilihan, bukan untuk membuat pilihan terbaik. Semua ini tidak menjadi persoalan kecuali jika terdapat pilihan karya yang tidak sesuai atau tidak serasi dengan kehendak pemerintah sendiri. Terdapat karya yang diberi kemenangan kemudian ditarik balik kerana sebab-sebab tersebut.

Kelemahan dan kekurangan yang disebutkan di sini hanya dapat diatasi jika kita bersetuju bahawa semua penilaian seharusnya didasarkan kepada konsep ilmu yang benar; tetapi pendirian ini belum lagi diyakini oleh para penilai sebagai penting atau perlu diberi perhatian. Di kalangan sarjana dan sasterawan sendiri peranan ilmu yang benar ini belum lagi menjadi  pilihan kerana pilihan alternatif yang diberikan teori sastera Barat sentiasa tersedia untuk digunakan dalam analisis dan dijadikan asas untuk membuat penilaian.  Jika kita mengharapkan perubahan, maka kita harus menerima kenyataan bahawa perubahan itu hanya akan terjadi jika terdapat kematangan di kalangan para sarjana dan sasterawan sendiri bahawa konsep ilmu yang benar telah dijadikan tradisi dalam persuratan Melayu. Kesedaran ini belum ada di kalangan mereka.  Tanpa kesedaran ini tidak mungkin berlaku perubahan; dan kita akan terus menerima karya picisan diangkat oleh panel penilai untuk diberi hadiah dan diberi tempat terhormat dalam sastera Melayu.  Hal ini sudah lama terjadi, sampai ke kemuncaknya dengan diwujudkan gelaran sasterawan negara yang kedudukannya lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu.  Gelaran ini merupaka kemuncak kejayaan Asas 50 yang telah berjaya menghapuskan tulisan Jawi dari persuratan Melayu. Penghapusan tulisan Jawi ini menjadikan orang Melayhu buta persuratan, tidak dapat lagi membaca khazanah ilmu mereka yang tertulis dalam tulisan Jawi itu. Dengan diperkenalkan ejaan baru tulisan Jawi, maka yang tinggal pada Jawi itu hanya hurufnya, tidak lagi semangat dan ciri Islamnya. Ejaan baru ini adalah ejaan Inggeris, ejaan Rumi, yang ditulis dengan huruf Jawi. Dengan hilangnya tulisan Jawi dan munculnya  gelaran baru ini, maruah orang Melayu direndahkan serendah-rendahnya apabila mereka tidak lagi menjadikan ulama sebagai ikutan, tetapi sebaliknya meletakkan para sasterawan di tempat yang tidak sepatutnya mereka berada.  Inilah kemuncak kebiadaban dalam kebudayaan Melayu akibat kemunculan konsep sastera dan sasterawan yang menentang konsep ilmu yang benar.

Mengembalikan Maruah Yang Hilang

Kemunculan karya sastera di sekolah-sekolah telah melahirkan pelajar yang terpisah dari tradisi intelektual Melayu yang berada dalam karya persuratan yang tertulis dalam tulisan Jawi.  Oleh sebab pelajar, sekolah menengah mahu pun universiti, tidak lagi boleh membaca Jawi, maka mereka kehilangan khazanah besar tamadun intelektual bangsa Melayu yang ditulis oleh para ulama dan cendekiawan Melayu. Mereka tak mungkin mendapatnya kembali, setelah Asas 50 berjaya melenyapkan kesan –kesan tulisan Jawi. Gantian Jawi baru yang sangat buruk ejaannya tidak memungkinkan sesiapa juga yang boleh “membaca” sambil merangkak-rangkak untuk membaca naskhah Jawi asli yang kini kelihatan seakan-akan tulisan bahasa Urdu atau bahasa Parsi. Sungguh jahat dan terkutuk sesiapa juga yang melenyapkan kekayaan ilmu dalam bahasa Melayu yang ditulis dalam tulisan Jawi itu. Lebih terkutuk lagi apabila karya yang picisan, mediocre, yang ditulis oleh para sasterawan diangkat tinggi tanpa sebarang hujah dan bukti bahawa karya picisan dan dangkal itu layak dijadikan warisan bangsa Melayu. Laporan Panel Anugerah Sastera Negara untuk memitoskan para sasterawan negara telah gagal memberikan hujah dan penilaian yang benar-benar objektif, oleh itu sasterawan negara masih terus dipersoalkan kewibawaannya sebagai pemikir bangsa dan sebagai pencetus kemajuan ilmu.  Malah yang terjadi adalah sebaliknya, iaitu masuknya nilai-nilai palsu dalam masyarakat Melayu melalui karya para sasterawan negara ini. Berkali-kali saya mencadangkan supaya diadakan  penilaian bercorak perbandingan untuk melihat nilai-nilai palsu yang merugikan bangsa kita itu tercokol begitu jelas dalam karya para sasterawan negara ini. Beri peluang kepada masyarakat untuk melihat kehebatan mereka yang sebenar dengan memberikan penilaian berasaskan konsep ilmu yang benar yang menjadi terus perkembangan intelektual di negara kita.  Tidak ada sebab untuk tidak menggunakan ukuran yang sepatutnya, yang boleh menilai sumbangan sebenar para sasterawan negara ini. Tidak ada sebab untuk menjadikan para sasterawan negara ini bahan lelucon dalam budaya pandirisme yang sekarang melindungi mereka dengan bantuan dan sokongan Panel Anugerah Sastera Negara dan para sarjana ciritan yang lebih mengutamakan kepentingan diri mereka daripada kehendak bangsa mereka.  Bangsa Melayu tidak memerlukan sasterawan negara, tetapi memerlukan  ulama besar yang boleh membimbing umat Islam untuk menjadi umat yang berilmu dan teguh berpegang kepada prinsip tauhid dan taklif. Tidak seorang pun di antara sasterawan negara yang memahami keperluan ini, apatah lagi untuk memberi panduan dalam kehidupan beragama kepada bangsa Melayu. Mereka tidak relevan dan tidak akan sampai “ilmu”nya ke tingkat yang dibicarakan oleh Imam Ghazali dan para ulama yang benar-benar menjadi pewaris para Nabi. Adalah suatu kesilapan besar jika para sasterawan negara yang terumbang ambing kesedaran ilmunya dan tidak pula boleh dipercayai kejujuran ilmunya, diberi kedudukan mulia dan tinggi padahal mereka berada dalam keadaan self-deception yang teruk, dengan itu tidak sekali-kali dapat membawa manusia Melayu menjadi manusia beradab dan berilmu.  Maruah tamadun Melayu yang hilang tidak mungkin dapat dikembalikan oleh para sasterawan negara kerana mereka tidak berpegang kepada konsep ilmu yang benar, yang menjadi teras tamadun bangsa Melayu yang dikembangkan dalam persuratan oleh para ulama dan cendekiawan. 

Kesimpulan:   Revolusi Ilmu yang Lama Tertangguh

Pada mulanya hanya para sasterawan sahaja yang tidak siuman dengan menceburkan diri mereka ke dalam kancah erotik dan picisan, kerana pada faham mereka itulah sifat sastera yang sebenar, seperti yang pernah diakui oleh Azizi Haji Abdullah. Dalam konteks yang lebih berani peragaan “pretensi intelektualnya”, para sasterawan negara bermegah dengan “kelainan” dan  “eksperimen” dalam karya mereka, yang mendapat pujian daripada Panel Anugerah Sastera Negara.  Menurut Panel, tokoh paling berbisa dan paling berjaya dalam dua percubaan ini ialah Anwar Ridhwan, yang sampai ke kemuncaknya dalam Naratif Ogonshoto yang mendapat pujian seluruh dunia itu, dan diterjemahkan dalam bahasa-bahasa utama dunia. Apakah yang istimewa dalam karya ini? Kita lihat pujian Panel Anugerah Sastera Negara yang berikut:  “Keistimewaan novel-novel Anwar Ridhwan bukan sahaja terletak pada pemilihan tema tetapi juga pada cara pengolahannya, yang menggunakan teknik naratif yang dapat dianggap sebagai unik dan luar biasa. (hal. 30). ... kehebatan novel-novel Anwar Ridhwan sebenarnya terletak pada kekuatan gaya dan teknik naratifnya yang bersifat inovatif, eksperimental dan mencabar intelek pembaca, serta kekuatan bahasanya yang puitis, segar dan sarat dengan pelbagai metafora, imejan dan lambang.  Puncak kecemerlangan kepengarangan Anwar Ridhwan  terlukis dalam novelnya yang keempat, Naratif Ogonshoto. Novel ini merupakan karya eksperimen yang matang, dan berjaya menyeberang garis kebiasaan dan klise sastera Melayu. (hal. 31) ... Dalam karya eksperimental ini, plot biasa yang bersifat linear digantikan dengan peristiwa yang tidak mengikut susunan kronologi, sehingga pembaca terpaksa menyusun sendiri babak-babak yang dihasilkan oleh pengarang.  (hal. 31-32)... Kesemua pendekatan yang disebut ini mempunyai beberapa persamaan dengan teknik realisme magis.  ... Dunia Ogonshoto yang padat dengan misteri, ilmu sihir, firasat, mitos dan simbolisme itu masih berakar pada realiti dunia. ... Pendekatan yang bersifat anti-plot dan anti-struktur ini merupakkan usaha pemantapan teknik naratif oleh Anwar Ridhwan ... (hal. 33). ... Akhir kata, novel-novel Anwar Ridhwan, sama ada yang bersifat eksperimental atau konventional, tidak dapat dibaca dan difahami dengan mudah. Karyanya mempunyai sistem makna yang berlapis-lapis. Bahasa yang digunakannya padat dengan irama dan puisi, personifikasi, lambang dan ciri-cici abstrak yang kadang-kadang sukar dikecapi rasa dan difahami akal. Usahanya mencari makna kadang-kadang berdepan dengan bayang-bayang yang teramat asing dan penuh misteri.  Pembaca dibawa melihat permasalahan sosial dan manusiawi  dalam satu pencarian intelektual, secara meluas, mendalam dan melepasi sempadan hal-hal peribadi. Pada akhir pencarian itu, pembaca akan merasa puas, faham dan sedar. (hal. 36-37).

Semua yang ditulis dan disanjung oleh Panel Anugerah Sastera Negara ini hanya omong kosong, bertentangan dengan hakikat yang ada di dalam karya yang dipuji itu. Tentang tema, tidak ada satu pun tema baru yang dikemukakan kepada kita. Semuanya tema lama. Cerita penglipur lara bukan perkara baru; demikian juga tentang keganasan dan penipuan ahli poilitik; juga mengenai korupsi. Apakah yang baru? Novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman adalah sebuah cerita biasa yang penuh sensasi, tentang seorang penglipur lara yang lemah dan bodoh, yang percayakan animisme dan mati dalam kepercayaan itu. Apa yang istimewanya? Kalau benarlah beliau seorang seniman, mengapa beliau begitu bodoh dan lemah semangat, padahal seniman seluruh dunia adalah manusia yang paling kuat peribadinya dan paling degil, yang melayakkannya diberi gelaran seniman. Seorang seniman adalah seorang pemikir, maka apakah pemikiran baru yang diutarakan oleh seniman palsu ini? Dikatakan dia menghadapi perubahan masa yang membuat kerjanya sebagai penglipur lara menghadapi cabaran akan pupus. Kalau beliau seorang seniman, dia tentu sudah berfikir bagaimana hendak menghidupkan seninya. Tukang karut  Dikir Barat di Kelantan, seniman sejati, menggunakan teknologi moden untuk menyampaikan seninya melalui kaset dan lain-lain. Mengapa seniman Anwar Ridhwan ini begitu bodoh? Waktu ceritanya dikisahkan, sudah ada radio. Mengapa Anwar Ridhwan tidak memasukkan ke dalam kepala senimannya untuk menggunakan radio bagi mengembangkan kisah-kisah khayal penglipur lara? Katalah dia ditentang, maka Anwar Ridhwan akan menggunakan kreativitinya untuk bercerita sambil berwacana tentang seni yang sudah mati itu dihidupkan melalui teknologi baru. Dan lain-lain lagi. Barulah timbul tema baru, barulah terserlah sifat seniman penglipur lara yang bodoh dan pesimistik ini. Semua ini terjadi kerana penulisnya terlalu terpengaruh dengan sensasi, dengan itu dia hanya melanjutkan cerita Lahuma dalam bentuk lain, tetapi masih juga tentang kebodohan watak Melayu. Mengapa watak Melayu tidak boleh dijadikan cerdik seperti Dr. Polan  Cupan? Apa yang menghalang Anwar Ridhwan untuk menjadi cerdik?  Dia klaim novelnya ini sebuah novel intelektual, tetapi mengapa tidak muncul sedikit pun aspek intelektual itu? Semuanya mengenai kebodohan watak yang pesimistik. Nyatalah pengarang ini telah dikuasai oleh konsep tragedi dalam sastera Barat. Mana boleh tragedi dikaitkan dengan Islam, seperti yang diakui beliau novel ini bercorak Islam dan mengandungi nilai-nilai Islam. Tidak saja watak beliau keliru dan tidak cerdik; beliau sendiri pun sama kelirunya tentang makna tema dalam penulisan novel, seperti yang dihuraikan dengan ringkas di sini. Begitulah naifnya penilaian Panel Anugerah Sastera Negara.

Sekarang kita lihat Naratif Ogonshoto. Pujian Panel terhadap novel ini membingungkan pelajar sekolah, mahasiswa universiti, para sarjana, dan pengkritik sastera.  Ambil saja ungkapan “makna berlapis-lapis” yang digunakan Panel untuk memuji kehebatan novel ini. Panel sendiri tidak tahu apakah yang berlapis-lapis itu, kerana yang kita dapati kesemua peristiwa sensasi dalam novel ini bersifat literal, bukan lateral.  Bayangkan seorang gadis memotong kemaluan pemuda yang dibunuhnya yang tetap keras untuk dijadikan makanan burung. Besar mana agaknya kemaluan itu? Sekiranya kita baca secara lateral, apa yang boleh dianggap sebagai simbolisme (apa-apa juga matlamatnya) tidak timbul kerana pembaca yang cerdik akan berasa diperbodohkan dengan peristiwa yang begitu naif dan penuh sensasi yang tidak diperlukan. Demikian juga peristiwa memotong jari kerana kalah pertaruhan, tidak memberi makna apa-apa dalam konteks keseluruhan cerita, selain hanya untuk menimbulkan rasa sensasi yang murahan. Mengapa guru itu bertindak sebodoh itu? Pertanyaan ini tidak terjawab kerana tidak dijelaskan makna perbuatan itu dalam konteks pembinaan watak yang ingin ditonjolkan  dalam novel ini. Selepas jarinya dipotong, apa yang dia boleh buat? Mati di situ saja; maka tepatlah peristiwa ini diadakan untuk hanya mendapat kesan sensasi murahan sahaja. Sekiranya selepas itu guru ini masuk kelas memberitahu muridnya bahawa jarinya telah dipotong dalam satu pertandingan yang bodoh, apakah reaksi muridnya? Sekiranya mereka bangkit membelanya dan mengadakan tunjuk perasaan, lalu kesemua murid tadi ditembak mati, dan semua ibu bapa bangkit membantah,  sehingga akhirnya Presiden bersetuju minta maaf dan sanggup membayar ganti rugi, tetapi tidak diterima oleh ibu bapa, apakah yang akan terjadi? Dengan tiba-tiba guru yang kudung jarinya itu dijadikan wira dan  dia mengepalai pemberontakan di Ogonshoto. Selepas itu apa? Ketika itulah kita lihat manusia tidak boleh menerima kezaliman berterusan, mesti ditentang dengan berani. Ketika itulah baru lahir rasa kemanusiaan yang langsung tidak ada dalam novel ini. Kita lihat dalam wayang kulit konflik seperti ini dijalin dengan begitu halus, misalnya dalam cerita Pak Dogol dengan nasi dingin, yang dihalau dari istana. Kekuasaan di satu pihak, dan kemanusiaan di satu pihak yang lain, dipertembungkan dalam satu konflik yang meminta pengorbanan kedua belah pihak: Seri Rama memohon maaf; Pak Dogol berperang menghapuskan kezaliman. Kalau anda seorang yang cerdik, anda akan lihat bagaimana kezaliman Seri Rama dimusnahkan oleh Pak Dogol yang menentang kezliman selepas beliau dihalau. Cantik, baru ada seninya. Di manakah dalam Naratif Ogonshoto satu episod yang mengharukan seperti cerita Pak Dogol dengan nasi dingin?  Kecantikannya ada di situ. Satu perkara aneh yang ditekankan oleh Panel ialah Anwar Ridhwan tidak memakai plot kronologi kerana sudah klise. Dalam kajian yang dibuat oleh Nur Fatiha Fadila Abu Bakar untuk tesis sarjananya, beliau dengan tegas membuat kesimpulan Naratif Ogonshoto ditulis dengan struktur plot yang bersifat kronologi, dengan memberikan tiga tahap perkembangan cerita: Tahap Asal Mula Cerita; Tahap Perkembangan Cerita; Tahap Pemantapan Cerita.  Bagi Panel, novel Naratif Ogonshoto ini begitu istimewa sehingga tidak memerlukan susunan peristiwa mengikut kronologi            . Adakah ini bermakna tesis sarjana Nur Fatiha Fadila telah membuat kesimpulan yang tidak tepat; atau laporan Panel itulah yang tidak tepat, malah salah baca sehingga menimbulkan salah faham di kalangan ahli Panel yang kemudiannya  disogok kepada para pembaca dalam laporan mereka. Keghairahan untuk memuji telah membuat Panel membuat kesilapan besar yang tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan,kerana mereka adalah pakar dalam bidang sastera. Ini hanya catatan kecil yang tidak penting!

Dalam tahun 1950-an, waktu singgah di Singapura, Prof. A. Teeuw memberi ceramah tentang sastera Melayu. Komen beliau yang menimbulkan kemarahan sasterawan Asas 50 ialah apabila beliau berkata penulis Asas 50 menulis karya hitam-putih.  Warisan Asas 50 diteruskan oleh Anwar Ridhwan dalam karyanya, yang tidak memaparkan tokoh atau watak yang menarik, tetapi patung-patung yang digerakkan oleh seorang dalang moden yang bernama sasterawan. Watak-watak itu satu dimensi saja, bukan watak yang kompleks yang menyerlahkan psikologi manusia yang mendalam. Hanya sejenis scare-crow, seperti yang digambarkan oleh T. S. Eliot dalam sajaknya, “The Waste Land”. Negara Ogonshoto adalah “negara” “waste land” dalam konteks T. S. Eliot. Oleh itu, semua penilaian yang memuji tinggi oleh para sarjana, dan terutama sekali oleh Panel Anugerh Sastera Negara, adalah bullshit sahaja, tidak berasaskan analisis akademik yang matang. Pendeknya, semua penilaian mereka telah ditolak dengan tuntas oleh Nur Fatiha Fadila Abu Bakar dalam tesis sarjana beliau yang menulis tentang novel-novel Anwar Ridhwan.

Apa yang terjadi ialah semua kepalsuan yang kononnya dibungkus dalam teknik yang “canggih” dan lain-lain yang dipaparkan  oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka tidak lebih dari patung-patung mati yang tidak mungkin dinaikkan taraf sebagai simbol apa-apa sekali pun.  Patung-patung ini, jika dibandingkan dengan patung wayang kulit, adalah patung-patung keras kaku yang tidak menyerlahkan apa-apa nilai yang berguna untuk manusia. Seperti yang diperingatkan  oleh Descartes tentang peranan “malin genie” (evil spirit) dalam perilaku manusia, maka demikianlah “malin genie” itu menyelinap dengan selesa dalam karya sastera Melayu. Semua karya Anwar Ridhwan mengandung unsur malin genie ini, terutama sekali dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto.  Karya-karya begini sebagai peringatan pun tidak berguna, watak-wataknya hanya muncul sebagai watak-watak bisu yang hitam-putih dimainkan oleh sang sasterawan untuk berpura-pura, yang sangat jelas kepalsuannya apabila dinilai berasaskan konsep ilmu yang benar.

Bayangkan Pak Pandir membaca Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto, dia akan tertawa sambil melepaskan kain sarung sambil menjerit: “Beginikah karya sasterawan negara?”.  Kasihan Pak Pandir. Dia tidak tahu dia telah mengajar mereka falsafah pandirisme yang begitu teguh menjadi pegangan mereka – para sasterawan dan sarjana sastera!

Sastera itu adab persuratan,
Pelbagai makna serta tafsiran,
Namun bakat serta indah penulisan,
Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran.
    (Anwar Ridhwan, daripada ucapan penerimaan gelaran SN 2009).


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 3 April 2015.


No comments:

Post a Comment