Prolog:
Cobuild
Learner’s Dictionary:
rambling. (2) If you describe a speech or piece
of writing as rambling, you are criticizing
it for being too long and confused.
Ramblings: If you describe a speech or
piece of writing as someone’s ramblings,
you mean it is meaningless or unimportant
because the person who said or
wrote it was confused or perhaps even slightly insane.
Kamus
Inggeris-Melayu Dewan:
rambling adj. (1) (of thought,
expression, etc) wandering, disconnected,
merewang. (2) sprawling, tidak tentu
arah.
R. O.
Winstedt: An Undabridged Malay-English Dictionary:
rewang/merewang, act at random.
Pendahuluan
Antara
“sarjana sastera” Melayu yang paling rajin menulis dan menerbitkan buku ialah
Dr. Abd. Rahman Napiah aka Mana Sikana. Kini ITBM menerbitkan buku terbaru
beliau, Sasterawan Negara di Takhta
Keunggulan (2015), memuat tulisan lama beliau yang dikitar semula
membicarakan kesemua sasterawan negara yang sudah diberi gelaran itu. Walaupun beliau telah banyak menulis,
nampaknya belum ada lagi buku beliau yang benar-benar “scholarly” dan mempunyai
nilai akademik yang tinggi. Kebanyakan buku itu ditulis dalam bentuk retorik
Mana Sikana yang bombastik, memperagakan diri beliau adalah “sarjana” paling
banyak membaca dan up-to-date, serta menguasai semua teori sastera Barat dengan
mendalam. Kegemarannya memperaga diri mencacatkan tulisan beliau kerana terlalu
tepu dengan istilah dan nama-nama teori yang hanya disebut, tetapi tidak
relevan dengan persoalan yang dibawanya. Buku beliau ini cukup kaya dengan
istilah yang tidak relevan itu, dan kerana beliau terlalu ghairah ingin
memperagakan dirinya, maka beliau menghanyutkan dirinya dalam retorik Mana
Sikana, melupakan tugas utama beliau untuk membicarakan semua sasterawan negara
daripada aspek yang benar-benar menonjolkan keistimewaan sasterawan negara.
Hasilnya tidak seberapa, terlalu biasa, malah lebih mirip kepada hanya sejenis
“ramblings”, bukan satu analisis akademik yang ditulis dengan teliti. Hal ini terjadi kerana dia tidak mempunyai
fokus akademik berasaskan teori tertentu. Maksud saya, dengan fokus akademik,
saya maksudkan tumpuan yang membolehkan sasterawan negara dinaik ke atas takhta
keunggulan yang dimaksudkan oleh Mana Sikana, yang benar-benar outstanding dan memukau kita, sebagai
pembaca, untuk menerima tanpa ragu akan keistimewaan mereka sebagai sasterawan
yang layak diangkat dan diberi gelaran sasterawan negara. Mana Sikana gagal melakukannya; kerana
sasterawan negara itu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa keistimewaan yang
membolehkan mereka berada di tempat yang istimewa itu. Kegagalan ini terjadi kerana beliau memilih
“Teori Teksdealisme” ciptaan beliau sendiri, yang sebenarnya bukan sebuah
teori, hanya tidak lebih daripada satu rumusan yang agak kelamkabut yang
diambil daripada karya Harold Bloom dalam buku-buku kritikan beliau, umpamanya The Anxiety of Influence, The Book of J., A Map of Misreading. Tabiat
mengada-ada ini tidak disenangi oleh seorang penulis yang menamakan dirinya
K.B. Tan, yang menulis di ruangan “Reaksi” di Dewan Sastera (Mei, 1997, hal. 56) di bawah tajuk,
“Antara Ilmu dan Retorik Kosong”.
Penulis ini memberi senarai “jargon” yang digunakan oleh Mana Sikana:
analepsis, ikonikal, hipogram, reduksi transdental, hogomolistik, idiogramatik,
diparadiksiti, endeksikal, diparalelisasikan,
konkritisasi, plutonikal, purgasi, disposisi, stikometri, melaforisme,
epigramatik, metahistorikgrafik, gerologi, kutasi, afodesiatik, rational
seminalis, teksdealisme, pasego debola,
gynokritik, doxa, sui generis, per se notum, anatheia.” Hanya satu istilah
tidak termasuk senarai: ebola. Istilah ini penting kerana sastera Melayu
sudah dijangkiti ebola sastera Barat
yang menjadi virus yang merosakkan budaya ilmu Malaysia. Baru kita sedar
rupanya punca virus ebola ini ialah
teksdealisme yang menggalakkan para sasterawan melanggar dan merempuh apa saja
untuk jadi unggul. Andainya Pak Pandir bersama kita, tentulah dia tertawa
melihat kebodohannya sudah menjadi budaya pandirisme yang telah diangkat ke
takhta arus perdana.
Perhatikan
kesimpulan K. B. Tan yang menarik: “Saya
berpendapat bahawa sumbangan beberapa orang sarjana sastera harus dinilai
semula. Kenyataan ini dibuat atas penelitian saya terhadap tulisan mereka yang
jelas memperlihatkan ketidakupayaan untuk menulis dengan jelas dan bernas.” Dengan peringatan ini kita nilai buku Mana
Sikana ini. Peringatan K. B. Tan ini
juga memberi isyarat kepada kita
bahawa Mana Sikana tidak mempunyai kelayakan untuk meletakkan sasterawan ke
takhta keunggulan, jika beliau sendiri hanya berjaya memperagakan kekeliruan,
kecetekan, dan kelemehan kognitif yang begitu ketara di dalam tulisannya,
sehingga boleh membuat para sasterawan negara ini berasa malu dan terganggu
jika mereka sendiri mempunyai maruah, oleh itu tidak dapat menerima pujian yang
melampau daripada seorang yang cetek ilmunya.
Untuk sekadar perbandingan, mungkin berguna jika anda membaca dengan
kreatif dan kritis entri bertarikh 24/10/2014 bertajuk, “Keunggulan yang
Cacat”, yang membicarakan sumbangan para
sasterawan negera ini dengan kreatif dan kritis. Saya bersetuju dengan pandangan Mana Sikana
yang berbunyi, “Saya telah diajarkan oleh teori-teori dan pendekatan-pendekatan
kritikan, tugas mutlak yang dituntut
oleh seorang pengkritik ialah keberaniannya dalam menghukum dan memberikan
kedudukan” (hal. 241). [Huruf condong ditambah]. Cuma di sini saya perlu
melakukan sedikit editing: “dituntut daripada seorang pengkritik”, bukan
seperti yang ditulis oleh Mana Sikana.
Seorang pengkritik sastera tidak boleh menuntut apa-apa daripada sesiapa
pun, kecuali hanya untuk menulis dengan cermat sambil mengemukakan hujah yang
dibuktikan tanpa meragukan pembaca. Yang
diharapkan oleh pembaca daripada pengkritik sastera ialah seperti yang
dibangkitkan oleh K. B. Tan dalam tulisannya, yang tidak dapat diberikan oleh
Mana Sikana dalam buku “terbarunya” ini.
Hanya Tiga Orang Pensajak Malaysia Yang Unggul
Hanya Tiga Orang Pensajak Malaysia Yang Unggul
Menurut
Mana Sikana, di Malaysia hanya terdapat tiga orang “pensajak”, bukan penyair, kerana dalam Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia 2014 telah diperkenalkan istilah “pensyair”; tetapi bagi saya lebih tepat “pensajak”, akronim
daripada “penulis sajak”, seperti “cerpen”daripada “cerita pendek”. Kalau
cerpen boleh diterima dengan lapang dada dan senang hati, maka secara logik dan
kesopanan berbahasa, “pensajak” juga wajar diterima sebagai istilah untuk para
penulis sajak ini. Saya tafsirkan ini
sebagai satu kesimpulan penting daripada beliau bahawa di antara 12 orang
sasterawan negara itu, hanya tiga orang saja yang layak digelar sasterawan
negara: Muhammad Haji Salleh, Kemala, dan Baha Zain. Kita tidak dapat penegasan
seumpama ini apabila beliau menulis
tentang penulis novel, cerita pendek dan drama.
Adakah mereka itu tidak setaraf dengan tiga yang terpenting itu? Tetapi Shahnon Ahmad digelarnya Raja Novelis
Malaysia. Siapa pula Raja Pensajak Malaysia? Raja Pengkritik Malaysia tentu
saja Mana Sikana sendiri. Kedudukan rendah para novelis dan penulis cerita
pendek terjadi, pada hemat saya, kerana
pandangan serong beliau terhadap peranan prosa dalam kesusasteraan,
dibandingkan dengan “puisi” yang lebih
tinggi tarafnya. Kata beliau membenarkan anggapan saya: “Ukuran seorang
pengkritik itu dapat dilihat dalam kemampuannya mengkaji puisi – pengkritik
yang tidak pernah mengkritik puisi belum teruji dan absah sebagai pengkritik
yang asli” (240). Walaupun saya banyak
membaca buku-buku teori sastera dan tulisan pengkritik sastera Barat, saya
tidak bertemu dengan kesimpulan ini, malah pembacaan saya memberitahu saya
bahawa New Criticism, yang memberi tumpuan kepada puisi, ternyata tidak boleh
bertahan lama setelah diserang bertubi-tubi oleh peneliti baru yang akhirnya
memberi kedudukan tinggi kepada pembaca, dalam konteks keupayaan dan peranan
mereka membuat tafsiran. Dalam kritikan
Barat, pada umumnya terdapat tiga jalur yang nyata: peringkat
romantisisme memberi perhatian penuh kepada pengarang; kemudian timbul fokus
baru dengan memberi perhatian penuh kepada teks sama ada sajak atau apa-apa
jenis karya kreatif; dan akhirnya kepada pembaca, dengan teori resepsi. Mana
yang lebih tepat membicarakan kritikan ini daripada tiga jalur itu?
Ketiga-tiganya berguna, dan apabila Mana Sikana memberi perhatian kepada segala
jargon tentang posmodenisme dan sebagainya (termasuk avant-garde etc etc), maka dia sebenarnya berada dalam tiga “benua”
kritikan. Ini ditunjukkan oleh beliau sendiri dalam bukunya, oleh itu bagi saya
pendapatnya yang saya kutip tadi adalah a
sheer bullshit yang tidak ada
landasan akademik sama sekali, jika anda meneliti perkembangan kritikan dunia.
Berapa lama kita harus berada dalam dunia kritikan yang bersifat bullshit ini? Jawapannya jelas, pada faham saya: selagi
kita terus menerima karya bullshit daripada para sasterawan, maka selama itulah
kita akan menghadapi pengkritik bertaraf bullshit ini. Kedua-dua golongan ini ibarat keldai yang
ditutup mata, berpusing beribu batu menarik kincir air, tetapi tidak ke
mana-mana. Bebaskan keldai itu, biar dia menjadi keldai asli yang bebas di
padang luas! Biar dia tahu dunia ini
luas atau sempit.
Kaedah Kritikan Kincir Air
Kaedah Kritikan Kincir Air
Kaedah
kritikan keldai di kincir air yang menjadi amalan para sarjana dan pengkritik
Malaysia sudah jauh ketinggalan zaman. Mana Sikana sendiri menegaskan beliaulah
yang paling terbuka kepada kritikan Barat yang terbaru, yang dipaparkannya
dalam bukunya ini, tetapi beliau sendiri menggunakan kaedah Abad 19 di Barat,
Zaman Romantisisme yang memberi perhatian seluruhnya kepada pengarang dan
hasrat pengarang menulis karya mereka. Teksdealisme yang dipujinya itu adalah
hasil Abad 19 yang memberi tumpuan kepada pengarang. Mana Sikana memberi
senarai empat syarat untuk mencapai keunggulan: kehadiran, pelanggaran,
pengukuhan, individualisme (kepengarangan).
Dari mana beliau dapat semua ini tidak jelas pada saya; tetapi saya
pasti pengaruh Harold Bloom memang kuat, kalaupun tidak Mana Sikana cedok
bulat-bulat pemikiran Harold Bloom dengan memberi istilah Melayu. Saya telah
menyebut buku-buku Harold Bloom di atas,
dan pembacaan saya meyakinkan saya memang Mana Sikana mencedok daripada Harold
Bloom, kerana istilah-istilah Harold Bloom disalin bulat-bulat oleh Mana Sikana
dalam tulsan beliau di Utusan Malaysia,
yang juga disebut oleh K. B. Tan dalam tulisannya. Terlalu banyak “ramblings”
dalam tulisan Mana Sikana ini, berpusing-pusing dalam sejumlah istilah yang
tidak relevan sekadar untuk memperagakan kecetekannya dengan mengiklankan
segala macam istilah dan nama-nama sarjana Barat. Sekali kata begitu, sekali kata begini,
membuktikan dia sendiri belum lagi menguasai “ilmu kritikan” walaupun sudah
bersara dari segi kerja dan menulis begitu banyak buku kritikan. Kita ambil satu contoh, dari sekian banyak
contoh, tentang sifat “ramblings” ini. Telah berkata Mana Skana: “Sebuah wacana
sastera, dari sudut teksdealisme, harus pragmatis kepada khalayaknya. Tiada
gunannya sebuah karya besar, agung atau kanon, kalau tidak mempunyai impak
kepada masyarakat.” (hal. 37). Adakah wacana
sastera itu kritikan sastera? Kalau begitu, mengapa pula tiba-tiba membelasah
karya besar, agung dan kanon yang tidak mempunyai impak kepada masyarakat. Itu
satu hal, lebih penting ialah kontradiksinya: kalau karya itu sebuah karya
besar, agung dan kanon, bagaimana pula
tidak mempunyai impak kepada masyarakat? Kalau begitu, bagaimana karya
itu boleh dianggap kanon sekiranya tidak berguna kepada masyarakat? Pendapat
songsang ini sebenarnya sangat penting, dalam konteks buku Mana Sikana ini.
Dari analisis saya sendiri yang berasaskan daya kreatif dan kritis, saya secara
total menolak kehadiran sasterawan negara ini yang diletakkan lebih tinggi
daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang telah membina budaya ilmu dalam
persuratan Melayu. Tanpa beliau ketahui, dan tidak disangka-sangka, hujah dan
kesimpulan saya, jika betullah pendapat Mana Sikana tentang impak itu, ternyata
tepat dan sukar dihujahkan sebaliknya. Kalau Mana Sikana faham maksud
kesimpulan beliau tadi, dia akan menarik balik kerana pendapat beliau itu telah
menolak dengan tuntas segala pujian beliau keatas para sasterawan negara. Tidak
mungkin beliau berupaya membahaskan secara ilmiah bahawa kehadiran para
sasterawan negara ini lebih baik dan lebih unggul daripada para ulama dan
cendekiawan Melayu yang telah membina tamadun ilmu melalui persuratan Melayu
itu. Sekiranya para sasterawan negara ini amat lekeh jika dibandingkan dengan
sumbangan para ulama dan cendekiawan Melayu, dan “impaknya” kepada
masyarakat, maka nyatalah kehadiran para
sasterawan negara ini tidak diperlukan. Oleh itu, bagimana Mana Sikana boleh
meletakkan mereka di takhta keunggulan jika mereka sebenarnya golongan
pinggiran yang cetek meraba-raba, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas,
yang hingga sekarang belum lagi disanggah oleh mana-mana sarjana yang cukup
angkuh ketika memperkecilkan orang lain, tetapi tidak berdaya menyerlahkan
keunggulan mereka sendiri. Mana Sikana
tidak mungkin dapat menyanggah kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas,
tetapi sanggahan itu penting untuk membuktikan para sasterawan negara ini bukan
golongan pinggiran yang pengetahuannya cetek meraba-raba. Paling menghairankan ialah mengapa Mana
Sikana mengambil sikap hanya bercerita tentang sastrerawan negara, tidak
menilai sumbangan mereka secara kritis, sehabis kritis, sesuai dengan kedudukan
yang dihempapkan ke atas mereka walaupun mereka tidak layak menerimanya. Teksdealisme yang dicanang oleh Mana Sikana
tidak dapat membuktikan keunggulan sasterawan negara, membisu tentang sumbangan
pemikiran para sasterawan negara ini. Ketika berbicara tentang Abdullah Hussein,
Mana Sikana hanya bercerita, meringkaskan cerita sebuah kumpulan cerita pendek
tanpa sebarang analisis yang kritis. Abdullah Hussein boleh dikatakan menulis
banyak novel, termasuk Kuala Lumpur Kita
Punya. Adakah semua novel beliau bermutu tinggi? Teksdealisme tidak boleh
menjawab soalan mudah ini, kerana tidak mempunyai ukuran untuk digunakan bagi
menganalisis karya berkenaan dan menempatkannya dalam keseluruhan sastera
Melayu moden. Dengan tidak membicarakan novel-novel Abdullah Hussein secara
mendalam, terutama dari segi pemikiran, maka Mana Sikana hanya bermain dengan
retorik semata-mata, yang boleh dipangggil sebagai retorik Mana Sikana.
Bagaimana Abdullah Hussein boleh ditakhtakan di singgahsana keunggulan itu jika
karya beliau hanya biasa-biasa saja, berserabut dengan cerita yang sengaja
diperpanjangkan, seperti dalam Imam
yang penuh dengan padding itu. Dia sendiri cukup megah menggelar dirinya
“tukang cerita”, bukan seorang pemikir. Jika aspek pemikiran itu penting dalam
karya Abdullah Hussein, menjadi tanggungjawab Mana Sikana membincangkannya
dengan kritis, tidak hanya bercerita seperti yang dibuatnya dalam bukunya
itu. Semua ini memberi isyarat kepada
kita dengan amat jelas bahawa teksdealisme tidak saja bukan sebuah teori yang
berguna, malah sebagai ocehan tentang sastera pun teksdealisme hanya berada di
tahap penglipur lara saja, sebagai sejenis
penglipur lara kritikan sastera yang hanya terdapat di Malaysia, akibat
selekehnya kedudukan akademik para sarjana yang tidak berupaya mengkritik
penglipur lara kritikan sastera ini.
Dengan menjadikan tiga orang pensajak ini sebagai pensajak terbaik Malaysia,
tanpa sebarang ukuran yang boleh diterima, berasaskan pembacaan dan analisis
yang cermat, maka yang dapat dibuat oleh Mana Sikana hanyalah meletakkan tiga
orang penglipur lara sajak-sajak Melayu di tempat yang lebih sesuai diduduki
oleh Raja Lawak atau para tokoh Akademi Fantasia. Jika anda membaca Muhammad Haji Salleh dengan
kreatif dan kritis, menilainya daripada perspektif ilmu yang benar, anda memang
akan menemui beliau telah melanggar dan merempuh budaya ilmu yang diwarisi
tamadun bangsa kita, yang meletakkan adab sabagai asasnya, bukan sifat kurang
ajar yang diajar oleh Muhammad Haji Salleh dalam sajak-sajaknya, yang menurut
Mana Sikana tepat dengan konsep pelanggaran dalam teksdealisme. Kini anda dapat
melihat dengan lebih jelas betapa karutnya teksdealisme yang dijadikan ukuran
itu, kerana semua pelanggaran yang menjadi kemegahannya hanya membawa warisan
ilmu bangsa kita ke dalam gaung pandirisme, dengan memberi sanjungan kepada
karya yang dari perspektif ilmu memang tidak bermutu. Inilah isu yang perlu
kita bahaskan dengan serius jika kita mahu menjadikan sastera sebagai teras
negara bangsa, seperti yang diminta oleh Institut Terjemahan dan Buku
Malaysia. Kita akan menemui perkara yang
sama jika kita membaca sajak-sajak Baha Zain yang dikatakan berunsur
intelektual itu, sekiranya anda melihatnya daripada perspektif ilmu yang
benar. Kemala pula adalah seorang tokoh
besar yang bangga dengan sajak-sajak “sufinya”, yang pada hakikatnya setaraf
dengan sajak-sajak Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain, belum lagi sampai ke
taraf yang membolehkannya “mejentik kecapi kalbu” pembaca yang dapat membezakan
“sufi palsu” dengan “sufi sejati/sebenar”.
Seperti yang dicontohkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam
laporan mereka, pensajak ini telah diangkat menjadi pensajak bertaraf
antarabangsa kerana terdapat alusi Mark Antony dan Cleopatra dalam sajaknya,
padahal kedua tokoh besar drama tragedi Shakespeare ini, menurut Allen Bloom,
adalah dua watak yang “enchanted with
each other and unabashedly want to have sexual intercourse with each other as
much as possible” (dalam bukunya, Love
and Friendship, hal. 304). Dari
perspektif teksdealisme, inilah pelanggaran paling hebat bagi seorang ahli sufi
Melayu dalam angan-angan dan imaginasinya.
Dalam peristiwa lain, Kemala pernah menjemput seorang sarjana menyertai
satu seminar yang diusahakannya; tetapi dia tidak bersetuju dengan kertas kerja
itu dan menolaknya dengan alasan yang tidak mencerminkan kesufian akhlak
beliau, dengan mengatakan kertas kerja itu mengulang cerita lama yang tidak
benar, padahal penulisnya sudah bersedia untuk menerima kritikan paling keras
ketika beliau membentangkanya nanti, dan beliau minta diberi peluang itu.
Kertas itu ditolak kerana nama Kemala tidak ada di dalamnya, lalu disiarkan oleh
jurnal Pemikir (Oktober-Disember,
2007), dan dipilih sebagai esei terbaik
untuk tahun penilaian. Dalam ulasannya, para juri berpendapat makalah yang
ditolak Kemala itu “mempunyai teknik pembuktian yang sesuai sebagai makalah
akademik”. Ini suatu peringatan yang
baik untuk para ahli “sufi” supaya lebih bermurah hati dan terbuka kepada
pandangan yang berbeza, yang mungkin lebih benar daripada yang menjadi
pegangannya.
Peluang Baik Yang Dilepaskan
Peluang Baik Yang Dilepaskan
Mana
Sikana mempunyai peluang yang luas terbuka untuk memberikan definisi
intelektualisme dalam karya Muhammad Haji Salleh; tetapi dengan memilih hanya
sebuah antologi pensajak ini saja, maka beliau telah membataskan dirinya untuk
tidak menilai keseluruhan karya Muhammad
Haji Salleh, padahal ini sangat penting untuk meyakinkan kita bahawa sasterawan
ini layak berada di atas para ulama dan cendekiawan Melayu yang telah membina
budaya ilmu dalam persuratan Melayu.
Kita selalu dengar para sarjana sastera menyatakan “pemikiran” dalam
karya sastera adalah natural,
terselit dalam karya itu sendiri. Buku
Mana Skana ini telah membuktikan anggapan itu tidak benar, kerana Mana Sikana
tidak sedikit pun membicarakan aspek pemikiran ini, yang tidak dapat tidak
berkait rapat dengan ilmu, dan ilmu itu sendiri perlu dihuraikan dengan
mendalam supaya dapat dibezakan dengan hanya sekadar maklumat yang sering kali
tidak benar. Ambil contoh ini, yang sangat terkenal bagi para sarjana Melayu,
iaitu tentang sajak Muhammad Haji Salleh, “Pulang Si Tenggang”. Apakah yang
intelektual dalam sajak itu? Nampaknya Mana Sikana berpendpat sajak itu sebuah
sajak intelektual kerana mengambil Si Tenggang sebagai ikon seorang
intelektual, lalu diberi konteks “postmodernisme” atau surealisme atau
teksdealisme atau apa-apa yang disukai beliau.
Adakah menjadi seorang nakhoda itu kemuncak seorang intelektual? Sebagai
satu kemahiran mungkin boleh diterima, tetapi untuk merumuskan Si Tenggang
seorang intelektual yang perlu menjadi ikutan masyarakat keseluruhannya hanya
kerana Muhammad Haji Salleh berkata begitu, maka kita dengan mudah saja boleh
berkata semua cerita jenaka Melayu adalah lambang intelektualisme Melayu,
kerana Pak Pandir dan Si Tenggang adalah dua orang tokoh dalam cerita Melayu
yang muncul untuk memainkan peranan tertentu: Pak pandir untuk menghibur; Si
Tenggang untuk mendidik anak-anak supaya menghormati dan mentaati ibu. Masalah kita ialah, Si Tenggang digambarkan
oleh Muhammad Haji Salleh sudah belajar menjadi kurang ajar, tidak lagi sebagai
Si Tenggang yang menjadi batu kerana menderhaka kepada ibunya. Walaupun Muhammad Haji Salleh dipuji tinggi
sebagai seorang sarjana dan pensajak yang kenal dengan mendalam kebudayaan
Melayu, tetapi dalam kes Si Tenggang ini, beliau membuktikan beliau tidak kenal
nilai dan budayanya sendiri. Kata Mana Sikana, Muhammad Haji Salleh telah
melaksanakan “pelanggaran”menurut teksdealisme, dengan itu mencipta dan membina seorang watak baru,
yang begitu individualistik dan ini
bermakna unggul. Logik apa yang dipakai oleh Mana Sikana dan Muhammad Haji
Salleh? Semua nilai yang diungguli oleh Muhammad Haji Salleh dan diberi
sokongan oleh Mana Sikana bukanlah nilai asli Melayu yang melahirkan Tun Perak
dan Hang Tuah, malah Hang Jebat sendiri. Walaupun Hang Jebat dianggap
penderhaka, dia sebenanrya seorng yang sangat setia kepada temannya, Hang Tuah.
Kesetiaan itu mungkin bersifat peribadi, tetapi masih tetap kesetiaan yang
diikuti dengan pengorbanan yang begitu
besar untuk membela sahabatnya yang dizalimi. Mana Sikana dengan beraninya
berkata Hang Jebat adalah seorang intelektual, kerana menurut teksdelisme telah
melakukan “pelanggaran”. Ini satu jenaka sejarah yang hanya boleh berlaku bagi
sesiapa juga yang menjadi pengikut teksdealisme. Yang intelektual ialah Tun Perak, sedangkan
para pahlawan yang lima orang itu adalah pekerja dan hamba yang taat. Kalau ini
pun tidak boleh dibaca oleh Mana Sikana dengan menggunakan teksdealismenya,
maka sudah jelas teksdealimse miliknya itu tidak dapat mengesan watak yang
benar-benar unggul dalam sejarah politik Melayu, iaitu Tun Perak. Ini juga yang terjadi ketika Mana Sikana
menulis tentang sasterawan negara ini, “teorinya” tidak dapat membaca karya
para sasterawan negara sebagai hasil pemikiran yang mendalam, sesuai dengan
kedudukan mereka sebagai tokoh baru yang
melebihi kedudukan para ulama dan cendekiawan Melayu dengan gelaran itu.
Tidak juga dapat menerima kedudukan para sasterawan negara ini jauh lebih
rendah kedudukannya daripada para ulama, lantas dengan itu mereka tidak layak
diberi gelaran itu. Jadi apakah yang boleh dibuat oleh teksdealisme? Hanya
merayau-rayau dalam “ramblings” liar tanpa arah tuju yang pasti, kecuali hanya
untuk bermain dengan retorik kritikan Mana Sikana yang dari segi akademik
samalah dengan padi hampa Pak Pandir. Inilah contoh pandirisme yang mungkin
ditolak, tetapi tetap diamalkan dengan megah oleh para sasterawan dan sarjana
sastera kerana telah dijadikan arus perdana.
Tidak
pasti mengapa Mana Sikana berusaha dan memilih dengan sedar untuk mengecewakan
pembaca dengan menerbitkan sebuah buku yang kononnya tentang keunggulan para
sasterawan negara, tetapi menjadi sebaliknya.
Beliau tidak sedikit pun menunjukkan bukti bahawa sasterawan negara itu
lebih baik daripada para ulama sehingga layak diberi gelaran sasterawan negara.
Sekiranya kedudukan para sasterawan ini lebih rendah daripada para ulama dan
cendekiawan Melayu, maka apakah asas ilmu yang dipakai untuk menjadikan mereka sasterawan negara dengan gelaran rasmi
yang begitu istimewa dan diberi keistimewaan yang begitu besar? Semua kemusykilan ini perlu dihuraikan oleh Mana
Sikana, sebelum beliau menaikkan para sasterawan negara ke atas takhta
keunggulan ciptaan beliau itu. Barangsiapa
yang ingin memahami persoalan ini dengan lebih mudah, baca entri bertajuk
“Keunggulan yang Cacat”.
Cabaran Gagasan Persuratan Baru
Cabaran Gagasan Persuratan Baru
Para
sarjana Malaysia tidak mempunyai pilihan lain untuk menilai para sasterawan
negara ini melainkan menilai mereka berasaskan gagasan Persuratan Baru. Mereka
tidak mempunyai alasan sama sekali untuk
menolak gagasan Persuratan Baru jika
mereka betul-betul jujur ingin meletakkan para sasterawan negara di atas takhta
keunggulan itu. Tidak ada pilihan untuk menjadi Pak Pandir menolak padi berat
dengan memilih padi hampa, walaupun perbuatan itu berciri empiris. Lagi pula, jika anda memakai teksdealisme
ciptaan Mana Sikana, anda akan dapati Pak Pandir telah membuat pelanggaran yang
hebat dengan meletakkan padi hampa lebih bermutu daripada padi berat. Jika anda berkata, perbuatan Pak Pandir itu
sesuai dengan tokoh jenaka yang bodoh seperti beliau, maka bagaimana anda boleh
pastikan sesiapa yang melilih teksdealisme untuk menilai sasterawan negara
terdiri dari golongan yang cerdik dan telah menggunakan akal sihat mereka? Anda
tidak menghadapi kesangsian ini jika anda menggunakan pendekatan Persuratan
Baru, malah itulah pendekatan yang paling sesuai kerana anda diberi peluang
untuk membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa para sasterawan negara ini
lebih tinggi kedudukannya daripada para ulama dan cendekiawan, yang tidak dapat
dilakukan oleh teksdealisme. Di situlah
anda boleh buktikan para sasterawan negara ini mewarisi budaya ilmu yang tinggi
yang telah dipelopori oleh para ulama dan cendekiawan Melayu melalui persuratan
Melayu. Penyelesaiannya cukup mudah, jika anda benar-benar ingin meletakkan
para sasterawan negara ini di takhta keunggulan seperti yang didamba oleh Mana
Sikana. Mereka harus dinilai sehabis
kritis dan sehabis teliti.
Kegagalan
Mana Sikana memberikan penilaian yang kritis itu tidak akan menjamin kedudukan
para sasterawan negara di atas takhta keunggulan itu sebagai kedudukan yang
tepat dengan sumbangan mereka dilihat dari segi perkembangan ilmu. Usaha Mana Sikana untuk menonjolkan mereka
sebagai tukang cerita atau penglipur lara
awal-awal lagi akan menolak mereka daripada diberi tempat istimewa
sebagai sasterawan negara, apatah lagi untuk dinaikkan ke atas takhta
keunggulan yang sejak sekian lama menjadi milik raja-raja dan golongan
bangsawan saja; kecuali jika para sasterawan negara ini telah diangkat menjadi
sebahagian daripada golongan feudal dalam budaya Melayu. Dalam proses untuk mendapat gelaran itu,
semua mereka secara rasmi menerima watikah daripada Yang di Pertuan Agong
sendiri, dengan itu melayakkan mereka untuk menjadi anggota golongan feudal
budaya. Nampaknya mereka sedar akan kedudukan mereka sebagai anggota golongan
feudal ini, apabila mereka berasa sangat terhina jika gelaran mereka tidak
disebut dalam majlis sastera atau apa-apa juga majlis yang dihadiri mereka.
Tetapi adakah ini memberikan mereka hak untuk ditabal di takhta keunggulan
seperti yang dibuat oleh Mana Sikana?
Dalam
bukunya, Mana Sikana tanpa disedari telah menjatuhkan maruah para sasterawan
negara ini dengan tidak memberi analisis yang mendalam terhadap karya dan sumbangan mereka. Sebagai
contoh, Baha Zain, yang ditabalkan oleh Mana Sikana sebagai salah seorang
pensajak Malaysia terbaik, dibicarakan dengan cetek dan dangkal berasaskan
sebuah buku tentang sajak-sajak perjalanan tokoh utama ini, sehingga yang
tertonjol dalam ulasan Mana Sikana bukanlah keunggulan Baha Zain, tetapi
ketiadaan kemampuannya untuk menulis sajak-sajak yang berkualiti hasil
pemerhatian di perjalanan itu. Yang kita dapat hanyalah catatan dangkal
pemerhatian selintas tentang perkara-perkara yang sebenarnya tidak menarik sama
sekali untuk dijadikan tema sebuah sajak yang di dalamnya terselit pemikiran
yang berguna. Menurut Mana Sikana, Baha Zain adalah seorang pensajak
intelektual yang sangat teliti dalam penulisan sajaknya, tidak membazir
walaupun sepatah kata, setiap ayat dan rangkap kaya dengan pemikiran dan
falsafah yang mendalam. Kesimpulan itu tidak cukup kerana kita tidak diberi
bukti, tidak ada hujah sama sekali, hanya deretan retorik Mana Sikana yang
kosong, yang perlu diisi dengan analisis. Sekali lagi teksdealisme gagal
memberikan kita hasil akademik yang bermutu.
Adakah ini membuktikan Mana Sikana sendiri tidak sampai ke kemuncak
teksdealisme yang direka-rekanya
itu? Jika analisis dan bukti itu
disimpan di tempat lain, maka menjadi
kewajipan Mana Sikana untuk memberi sedikit ringkasan yang padat yang diiringi
dengan rujukan yang jelas. Tetapi ini pun sebenarnya tidak harus dilakukan,
kerana buku ini terang-terang mahu membuktikan semua sasterawan negara adalah
layak diangkat ke atas takhta keunggulan, maka sewajarnyalah analisis setiap
seorang diberi perhatian sehingga sesiapa yang tidak bersetuju diberi kepuasan
untuk mendapat gambaran yang sebenar, bukan retorik peragaan yang penuh dengan
pretensi intelektual, yang hanya wujud dalam fatamorgana bahasa yang
terawang-awang di angkasa. Turunkan bukti anda ke bumi untuk diteliti oleh
pembaca.
Siapakah Mephistopheles?
Siapakah Mephistopheles?
Kecacatan paling besar yang dilakukan oleh Mana Sikana
dalam bukunya ini ialah dengan tidak membicarakan kumpulan sajak Muhammad Haji
Salleh, Sebuah Unggun di Tepi Danau. Kumpulan sajak ini penting kerana di dalamnya
terdapat satu persoalan yang hingga kini cuba dielakkan daripada dibicarakan,
iaitu tentang peranan Mephistopheles dalam kehidupan pensajak Muhammad Haji
Salleh, yang dipaparkannya dalam sajak beliau ketika melawat Muzium Goethe.
Antara lain, beliau menulis begini: “kau juga milik kami, goethe,/... ...
.../ sepertimu aku terlantar/ pada sungai takdir/ sekali murung sebagai
sarjana/ tetapi sering bercermin kaca rusuh/ dan memihak pada pintar
mephistopheles.” Apa maksud pensajak ini
dengan ungkapan “memihak pada pintar mephistopheles”? Jawapannya baru saja diberikan oleh Muhammad
Haji Salleh dalam kertas kerja beliau (ditulis ketika bermimpi di atas bumbung
kilang berkarat) pada Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, dimuat dalam buku
terbitan ITBM, Sastera Teras Negara
Bangsa (2014). Beliau memuji Salman
Rushdie dan Orhan Pamuk yang katanya menggunakan sastera lisan, mitos, hikayat
dan lain-lain untuk menulis novel-novel mereka yang “cukup menarik dan
bergemerlapan”. (hal 204). Salah sebuah karya Salman Rushdie berjudul The Satanic Verses, yang menghina
Rasulullah SAW dan keluarga baginda.
Jadi tidaklah hairan jika Muhammad Haji Saleh “memihak pada pintar Mephistopheles”,
kerana beliau juga admire Salman Rushdie, tidak hanya Goethe. Sasterawan Malaysia digesa mengikut contoh
dua orang sasterawan ini jika mereka mahu karya mereka “bergemerlapan”. Apakah yang membuat Muhammad Haji Salleh
begitu tertarik dengan Mephistopheles? Mungkin juga beliau tidak tahu yang dia admire itu adalah Raja Iblis; sama juga
beliau tidak tahu Salman Rushdie menulis novel The Satanic Verses yang menghina Rasulullah SAW dan keluarga
baginda. Seorang profesor dan sasterawan negara secetek itu? Inilah kegagalan
terbesar Mana Sikana, kerana sudah jelas teksdealisme rekaan beliau yang beliau
gunakan dengan megah dan mewah itu tidak mengenal Raja Iblis, dengan itu Mana
Sikana berasa tidak perlu memberi penjelasan mengapa Muhammad Haji Salleh
bertindak seperti yang dilakukannya. Tetapi kemusykilan kita masih tidak
terjawab: seorang profesor, pensajak dan sasterawan negara, mengagumi Iblis?
Ini bukan satu perkara pelik sebenarnya. Rene Descartes pernah megingatkan
tentang pengaruh malin genie (evil spirit) dalam kehidupan akademik.
Lama sebelum itu, seorang ulama yang masyhur telah menulis sebuah buku tebal berjudul
Talbis Iblis, karya Ibnul Qayyim
al-Jauzi; diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait dengan judul, Belitan Iblis (Singapura: Pustaka
Islamiyah Pte Ltd, 2012). Terjemahan
Inggeris telah diterbitkan dalam satu jurnal sejak 1929.
Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad
Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad
Nampaknya
Shahnon Ahmad, penentang pemilihan Baha Zain seorang penulis sajak kontot
(istilah Shahnon Ahmad) yang tidak layak
diberi gelaran sasterawan negara (hairan bagaimana seorang sasterawan negara
boleh menentang tokoh ini, yang ketika menjadi ahli Panel Anugerah Sastera Negara
memilih Shahnon sebagai sasterawan negara kedua), sehingga menimbulkan
kemarahan Baha Zain yang amat sangat (beliau bukan seorang pensajak sufi, jadi
tak salah marah-marah). Yang menariknya ialah Mana Sikana meletakkan Baha Zain setaraf
dengan Muhammad Haji Salleh (number one) dan Kemala (number three) sebagai
pensajak Malaysia terbaik (number two di bawah Muhammad Haji Salleh); manakala
Sahahnon Ahmad pula bagi Mana Sikana adalah Raja Novelis Malaysia. Mungkin
kerana Shahnon Ahmad benar-benar percaya beliau seorang raja, maka dia telah
menghukum Baha Zain; dan tampillah Mana Sikana menyelamatkan Baha Zain tanpa
menempelak Raja Novelis Malaysia yang beliau lantik itu! Sekiranya Nordin Hassan masih muda dan sihat,
mungkin satu drama yang menarik dan amat
melucukan boleh ditulis beliau dan dipentaskan untuk ditonton oleh para
sasterawan. Anda mungkin tahu, Machiavelli yang jahat itu pernah menulis sebuah
komedi yang masih lagi dipentaskan hingga sekarang. Mana Sikana memberi ruang yang besar untuk
Shahnon Ahmad, sesuai dengan
kedudukannya sebagai seorang raja, dengan itu memberi ruang yang lebih untuk
beliau sendiri merayau dalam belantara “ramblings” retorik Mana Sikana yang
terkenal itu. Paling menarik ialah kesimpulan Mana Sikana yang melihat Shahnon
Ahmad mempunyai mazhab tersendiri dalam “teori sastera Islam”. Inilah kata-kata
Mana Sikana (kutipan agak panjang):
“Dalam
konteks teks-teks keislaman Shahnon Ahmad ini, saya cuba hubungkan dengan
konsumer pascamoden, apabila citraan erotis anutan golongan pascamodenis berupa
umpan
atau daya tarikan. Teks-teks pastik, kitsch, skizofrenia dan novalensik
Barat yang segala-galanya nihilistik, namun percikannya dirasakan bertaburan
dalam masyarakat kita. Dengan
berpandangan demikian, aliran
saster Islam Shahnon Ahmad selari dengan dunia pascamoden terkini. Malah,
jika dilihat dalam kontreks masa, Tivi itu
sendiri mempunyai unsur teks hipermodenisme, iaitu zaman yang sedang menanti
selepas pascamodenisme, sebagai tanda menjelangnya alaf ketiga. Novel tersebut
menyuguhkan gambaran begitu superrealistik atau hiperrealistik, terutama dalam
memberi lukisan tentang bagaimana berlakunya siberseks dalam kalangan keluarga.
Ertinya, novel berunsur Islam dalam
tanggapan Shahnon Ahmad ditandai oleh transparensi sosial.
“Dengan
keterangan itu, saya melihat bahawa
sastera Islam Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan
suasana masyarakat pascamoden dan
hipermoden. Maka di situlah kekuatan
dan keistimewaan sastera Islamnya justeru selari dengan zamannya yang gemerlap
dengan tanda-tanda, imej, kejutan, display,
prestij, hiperealiti. Bagaimanapun saya bersetuju seandainya Shahnon Ahmad
tidak membatasinya, tidak mustahil teks-teksnya akan tergelincir kepada dunia
keterpesonaan dan erotisme.” (hal. 38-39). [Kecuali display, semua huruf condong ditambah].
Dalam
Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad, segala-galanya relatif dan mesti sesuai
dengan perkembangan semasa, oleh itu tidak ada kesalahan dari segi Islam jika
karya beliau erotik dan pornografik kerana semuanya ini selari dengan
pascamodnisme dan hipermodenisme! Shahnon Ahmad sendiri mengaku segala yang
erotik, lucah dan sebagainya itu hanya umpan
untuk menarik minat pembaca. (Dewan Sastera, Oktober 1997, hal. 40: “unsur-unsur lucah itu
perlu wujud kerana itulah realiti pun, ... dan hanya dijadikan semacam umpan
dalam babak-babak kehidupan kini yang memang sebenanrya serba lucah..”). Seperti lain-lain sasterawan negara, Shahnon
Ahmad tidak memberi perhatian kepada konsep ilmu yang benar, kecuali
menyebutnya secara sambil lewa untuk menggenapkan pendapatnya tentang Mazhab
Sastera Islamnya, oleh itu ilmu tidak menjadi tunjang, kerana yang menjadi
tunjang ialah “realiti masyarakat yang lucah segal-galanya” (dalam Dewan Sastera). Untuk menggambarkan “realiti”, kelucahan
adalah perlu ditonjolkan, kerana itulah sifat sastera. Pendapat Shahnon Ahmad
ini boleh dijadikan hujah untuk menolak sastera dalam pengertian beliau dan para
sasterawan, yang disokong oleh para sarjana, dengan mengemukakan alternatif
yang memang menjadi warisan ilmu bangsa Melayu, iaitu peranan persuratan dalam
pembinaan budaya ilmu. Yang dicita-citakan oleh Shahnon Ahmad dan para
sasterawan hanya untuk bercerita tentang “realiti” masyarakat,
seperti yang ditegaskan oleh Asas 50 dalam cita-cita seninya. Oleh itu adalah tepat untuk kita membuat
kesimpulan bahawa kewujudan para sasterawan negara ini merupakan lanjutan
kepada cita-cita Asas 50, yang berjaya mensekularisasikan sepenuhnya seni
menulis dalam bahasa Melayu untuk menjadi warga antara bangsa! Mereka adalah golongan Mutual Admiration Club
yang kompak, yang sangat kuat mempertahankan hegemoni sekularisasi sastera
anutan mereka. Inilah tokoh-tokoh yang diangkat oleh Mana Sikana untuk
menduduki takhta keunggulan dalam sastera Melayu. Mereka inilah yang dijadikan ikutan
masyarakat, dijadikan bahan untuk mendidik anak-anak kita menjadi biadab. “Aku
sudah belajar/ jadi kurang ajar”, tegas Muhammad Haji Salleh, pensajak number one Malaysia.
Bila
kita dihadapkan dengan persoalan yang berat-berat begini, kita tidak dapat
mengelak dari bertanya, dengan serius dan jujur, “Apakah sebenarnya yang boleh diajar oleh para sasterawan negara
melalui karya mereka?”. Jika kita
hadapkan soalan ini kepada pendidikan negara, kita akan berasa amat pelik
apabila soalan sepenting ini tidak pernah ditanya oleh para sarjana,
sasterawan, dan terutama sekali pakar-pakar pendidikan negara. Apakah
yang boleh dipelajari oleh para pelajar kita daripada para sasterawan negara
ini? Jika kita membaca kembali beberapa persoalan yang saya kemukakan di
atas, membaca dengan serius dan jujur, bolehkah kita pasti bahawa para pelajar
kita mendapat bahan bacaan yang benar-benar bermutu untuk memperkaya budaya
ilmu mereka? Jika kita hadapkan isu-isu ini, dan persoalan yang dibangkitkan
ini, kepada Mana Sikana yang mahu meletakkan para sasterwan negara di atas
takhta keunggulan itu, maka adakah kita boleh pastikan bahawa mereka
benar-benar layak duduk di situ dan yang kedua, yang lebih peting, adakah
mereka berupaya mencerdikkan para pelajar
untuk mengenal keindahan pemikiran yang jernih dan berasaskan konsep
ilmu yang benar? Semua ini pada akhirnya akan tertumpu pada cara kita mengajar
kesusasteraan dan pendekatan yang kita pilih itu benar-benar akan mendidik para
pelajar menjadi cerdik dan terpelajar dalam erti lengkap kefahamannya tentang
ilmu, hakikat insan, dan peranan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di
dunia. Jika karya para sasterawan negara tidak menjamin perkara-perkara ini
akan didedahkan kepada para pelajar kita, maka hasilnya ialah mereka, para
pelajar itu, tidak dapat berfikir dengan cekap dan tahu apakah yang mereka
perkatakan itu dalam konteks perkembangan ilmu. Sudah jelas teksdealisme yang
direka-reka oleh Mana Sikana tidak mungkin dapat memberikan semua yang kita
harapkan itu, kerana teksdealisme itu sendiri begitu jauh hanyut dalam dunia
intelektual dan sudah terbukti dari buku Mana Sikana ini tidak dapat memberikan
kita apa-apa panduan yang berguna dan tepat dengan peranan insan dalam mencari
ilmu untuk membina budaya ilmu di negara ini.
Yang dicurahkan oleh Mana Sikana hanyalah sejumlah jargon liar dari
Barat yang tidak diberi konteks yang betul dalam budaya ilmu yang ingin kita
bina, iaitu budaya ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar. Bagi Mana Sikana, langkah ini bertentangan
dengan teksdealisme dan tidak berunsur sastera sama sekali. Ini satu pandangan
yang sangat songsang dan anti-ilmu, yang boleh juga dikatakan anti-Islam.
Krisis Nilai Yang Parah
Krisis Nilai Yang Parah
Sastera
Malaysia yang sudah keliru dan sedang menghadapi krisis nilai yang parah kerana
keliru dalam konsep ilmu, yang akhirnya membawa para sasterawan kehilangan adab
setelah menolak konsep ilmu yang benar itu, menghadapi kekeliruan paling besar
apabila Mana Sikana muncul dengan teksdealisme yang telah melahirkan beberapa
latihan ilmiah dan tesis sarjana dan kedoktoran berasaskan kekeliruan dalam
konsep ilmu ini, yang tidak dapat membezakan antara maklumat di satu pihak, dan
konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Seluruh buku Mana Sikana ini
adalah gambaran sebenar tentang kekeliruan dalam konsep ilmu ini, dengan itu
secara sedar Mana Sikana mempromosikan sastera dan kritikan sastera yang
sekular sepenuhnya, dengan alasan itulah saja caranya sastera Melayu moden akan
sampai ke peringkat keunggulan seperti yang ditetapkan dalam sastera Barat. Walaupun Mana Sikana menyebut
tentang Islam dan Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad, beliau melihat Islam
dalam konteks modenisme dan postmodernisme yang menjadi obsesinya, seperti
jelas dalam kutipan panjang di atas. Beliau mengaku beliaulah pelopor sastera
Islam dengan mengemukakan taabudiyyah
sebagai satu “teori” sastera Islam (sebenarnya bukan teori), tetapi
ditinggalkannya setelah tidak mendapat perhatian dan beliau sendiri menghadapi
jalan buntu tidak dapat menjelaskannya dengan persis dan mantap; sama seperti Muhammad
Haji Salleh gagal menjadikan “Puitika Sastera Melayu” yang dianggapnya satu
“teori” sastera, kerana profesor ini gagal mengembangkan “idea” beliau ke dalam
satu sistem pemikiran yang dapat dianggap sebagai sebuah “teori”. Inilah akibat
krisis nilai yang menolak konsep ilmu yang benar dan tidak adanya komitmen
untuk membawa Islam ke dalam medan ilmu untuk mencabar teori-teori sastera
Barat. Mereka inilah yang berkumpul di bawah payung Mutual Admiration Club,
menjadi hamba kepada teori sastera Barat seperti yang dibuktikan dengan begitu jelas oleh Mana Sikana dalam bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan. Inilah contoh kehilangan adab kerana keliru
dalam konsep ilmu, oleh itu berada di pinggiran dengan keadaan cetek
meraba-raba dari segi ilmu. Semua ini boleh dilihat dengan jelas di dalam buku
Mana Sikana ini, yang nantinya akan diberi pengiktirafan dalam kritikan sastera
Melayu dengan memilihnya untuk diberi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, hanya
kerana buku ini memuji dan meletakkan para sasterawan negara di puncak
keunggulan dalam konteks krisis nilai yang saya maksudkan. Para juri tidak ada pilihan lain kecuali
untuk menabalkan buku ini kerana inilah satu-satunya buku kritikan sastera yang
menyanjung kedudukan dan sumbangan para sasterawan negara, walaupun hujah-hujah
yang dikemukakan adalah cetek, palsu dan penuh dengan pretensi intelektual yang
tidak bertunjangkan hakikat ilmu yang benar. Untuk menolak buku ini adalah satu
kesilapan besar bagi para juri, kerana dengan
itu kehadiran para sasterawan negara ini tidak boleh dipertahankan dari
segi akademik walaupun Mana Sikana telah berusaha untuk menegakkan para sasterawan
negara ini, namun perbahasan beliau memperlihatkan sebaliknya, iaitu
keselekehan karya para sasterawan negara
ini yang hanya dapat dihuraikan dengan selekeh juga berasaskan satu cara yang
menjadikan keselekehan itu
prinsip-prinsip penilaian yang memang tidak ada ciri-ciri nilai yang unggul.
Jika anda teliti semua empat prinsip teksdealisme, anda akan dapati betapa
kelirunya sarjana ini, tetapi sangat berani mengemukakan kekeliruan itu kerana
yakin para sarjana dan khalayak sastera Malaysia masih bodoh dan cetek sepertinya,
sehingga dapat menerima sesuatu yang amat naif dan tidak sedikit pun mempunyai
asas akademik yang boleh dijadikan ukuran dalam perkembangan ilmu. Anda akan
dapat memahami maksud saya jika anda meneliti perkembanga kritikan Barat, yang
selalu berubah kerana itulah kutukan yang mereka harus hadapi kerana menolak
konsep ilmu yang benar. Persoalan yang
saya bangkitkan di sini memerlukan satu perbincangan panjang dan serius, yang
tidak mungkin berlaku di kalangan sarjana sastera Malaysia yang telah disihir
(istilah sihir ini amat digemari oleh Mana Sikana) oleh teori sastera Barat,
menyebabkan mereka menjadi buntu dan hanya sanggup membincangkan teori-teori
itu pada peringkat recipe knowledge
sahaja, sesuai dengan kemampuan intelektual mereka yang terbatas. Untuk menggambarkan keadaan ini, mungkin kita
boleh menggunakan tajuk sebuah sajak terkenal Baha Zain, “Menangguhkan
Kebenaran”!
Apa Makna Kanon Dalam Sastera Melayu?
Apa Makna Kanon Dalam Sastera Melayu?
Penerimaan
Mana Sikana terhadsap karya A. Samad Said, Salina,
adalah menarik kerana cocok dengan teksdealisme yang tidak bersandar kepada
konsep ilmu itu, oleh itu Salina
adalah kanon sastera Melayu moden, yang telah meletakkan ukuran yang tertinggi
yang menjadi rujukan kepada sesiapa juga yang ingin berbicara tentang sastera
Melayu moden. (hal. 97). Mana Sikana,
yang menolak konsep ilmu yang benar, dan menerima seluruhnya pemikiran Barat,
membuat kesimpulan ini: “Salina, teks pemangkin, yang menjadi
sinonis, dan akhirnya diterima sebagai teks kanon dan idealistik, telah
meletakkan pengarang sebagai novelis penting negara. ... teks Salina merupakan teks kanon A. Samad
Said, dan salah sebuah teks kanon negara.” (hal. 104-105). Hanya dalam masyarakat yang menjadikan
pandirisme sebagai arus perdana yang boleh menerima kesimpulan ini. Sebaiknya
Mana Sikana bermurah hati membincangkan ciri-ciri teks kanon itu, tetapi
seperti biasa beliau tidak berminat menghuraikannya kerana baginya pembacanya adalah kumpulan yang bodoh
yang tidak akan mempersoalkan perkara ini secara terperinci yang memerlukan penjelasan, yang
baginya tidak perlu kerana teksdealisme telah memutuskan begitu. Ini tidak boleh dijadikan bukti kekuatan
teksdealisme, malah sebaliknya, yakni
betapa lemahnya teksdealisme yang secara hakiki tidak dapat melihat
kebenaran daripada perspektif ilmu yang benar. Dengan itu, kesimpulan Mana
Sikana berasaskan teksdealisme hanyalah sejenis bullshit yang memperagakan ocehan atau idle talk saja. Sebuah kanon sastera tidak boleh didirikan
berasaskan idle talk yang bullshit! Oleh itu, saya masih berpegang
kepada pendirian saya, bahawa Salina
adalah sebuah karya picisan yang mensensasikan cerita dan perwatakan yang amat
lemah dan hanya wujud dalam khayalan seorang pengarang yang belum dewasa.
Masalah perwatakan ini menjadi masalah besar dalam karya para sasterawan
negara. Bagi seorang yang menolak adanya konsep ilmu yang benar, seperti Mana
Sikana dan sarjana lain, persoalan ini tidak timbul, oleh itu tidak perlu
dibicarakan. Kalau begitu, bagaimana
Mana Sikana berkeras bahawa teksdealisme adalah sebuah “teori sastera Islam”,
atau sekurang-kurangnya serasi dengan nilai-nilai Islam? (Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti, hal. 228. Banding dengan penegasan
Mana Sikana pentingnya unsur magis dan sihir dalam teks untuk mengasyikkan
pembaca, hal. 241; yang dikira tidak bertentangan dengan Islam.) Dalam Islam terdapat konsep uswatun hasanah (uswah hasanah),
peribadi unggul yang menjadi contoh teladan manusia. Manakah watak yang
mempunyai ciri-ciri uswatun hasanah, peribadi unggul yang sebenarnya yang boleh
dicotohi yang terdapat dalam karya sasterawan negara? Mungkin watak imam ciptaan Abdullah Hussein
dalam novelnya terbayang ciri-ciri yang lemah yang masih jauh untuk sampai
kepada konsep uswatun hasanah itu; tetapi tentu tidak Lahuma, Pak Hassan atau
watak-watak dalam Naratif Ogonshoto. Tentu saja bukan Salina dan watak-watak lain
dalam karya A. Samad Said. Tetapi mengikut
teksdealisme, watak-watak itu tidak penting dan tidak perlu dijadikan
contoh kerana sastera tidak ditulis untuk maksud itu. Shahnon Ahmad juga mempunyai pandangan yang
sama, sangat anti-khutbah, oleh itu watak yang bijak dan cerdik dianggap tidak
sesuai untuk dijadikan watak penting kerana kecenderungannya untuk berkhutbah
sangat kuat. (Boleh dirujuk Dewan Sastera
yang menyebut mengenai kelucahan sebagai
umpan).
Mungkin
kerana sikap negatif Mana Sikana tentang perwatakan yang kuat dalam karya
sastera tidak penting dan tidak sesuai dengan kehendak sudut pandang modernisme
dan pascamodenisme, maka beliau mengetepikan sahaja novel Naratif Ogonshoto Anwar Ridhwan yang dianggap oleh para sarjana
sastera sebagai novel terbaik Malaysia selepas merdeka. Novel ini bercerita
tentang kumpulan Mafia yang merampas kuasa di sebuah pulau khayalan, satu karya
yang diasaskan kepada cerita penglipur lara untuk keseronokan dan hiburan yang
didapat daripada kejadian-kejadian yang penuh sensasi yang menjadi tumpuan
dalam cerita novel-novel Anwar Ridhwan ini. Novel ini dinilai oleh hampir semua
sarjana sastera Malaysia sebagai novel terbaik yang pernah dihasilkan di
Malaysia hingga kini, kerana mempunyai “makna yang berlapis-lapis” dan makna
itu mesti digali dengan gigih oleh pembaca kerana menurut para sarjana, inilah
novel intelektual yang paling unggul di Malaysia. Ini juga pandangan
penulisnya. Yang menghairankan, Mana Sikana tidak berminat untuk bercerita
tentang novel agung ini, suatu perkara yang sangat pelik dan tidak masuk akal
apabila dia memilih untuk membicarakan sebuah drama Anwar Ridhwan kerana
pelanggarannya yang hebat, tidak pernah berlaku dalam sastera Melayu. Kerana
meninggalkan novel agung ini, maka Mana Sikana tidak dapat meyakinkan kita
bahawa Anwar Ridhwan layak ditabal di atas takhta keunggulan yang menjadi
obsesinya itu. Apakah yang menghalang Mana Sikana daripada membicarakan
novel-novel Anwar Ridhwan mengikut pertimbangan teksdealisme? Satu keajaiban
yang tidak dapat difahami, oleh itu huraian Mana Sikana tentang sumbangan Anwar
Ridhwan sangat cacat. Seolah-olah Mana Sikana tidak mengiktiraf keagungan novel-novel Anwar Ridhwan yang mendapat
perhatian seluruh dunia itu. Adakah kerana ini maka beliau tidak perlu
dibicarakan lagi oleh Mana Sikana? Perkara ini ditimbulkan kerana novel-novel
Anwar Ridhwan diterima sebagai novel intelektual, yang penuh dengan idea dan
pemikiran yang mendalam tentang persoalan masyarakat, oleh itu yang paling layak, selepas Shahnon
Ahmad, untuk dinobat sebagai Raja Novelis Kedua Malaysia. Tetapi jika anda membaca novel-novel beliau berasaskan gagasan Persuratan Baru,
novel-novel ini tidak boleh diterima sebagai novel intelektual, apatah lagi
untuk meletakkannya sebagai novel terbaik di Malaysia sehigga ini. Pada umumnya
Anwar Ridhwan adalah seorang penglipur lara, oleh itu semua novelnya ditulis
dalam bentuk penglipur lara. Apa salahnya? Salahnya ialah tokoh-tokoh penglipur
lara bukanlah tokoh pemikir, oleh itu sudah tentulah mereka tidak dapat
berbicara tentang aspek intelektual ini. Adakah ini merendahkan darjat
novel-novel ini? Inilah yang perlu dihuraikan oleh Mana Sikana berasaskan
teksdealisme yang ditelurkan oleh beliau itu. Pada hemat saya, teksdealisme sendiri adalah sejenis
penglipur dalam kritikan sastera Melayu, yang memang tidak dapat dipakai
untuk menilai karya kreatif. Tetapi mungkin boleh digunakan untuk membicarakan
proses mengarang para sastrerawan, yang hanya boleh bercerita tentang mereka,
tetapi tidak dapat menganalisis dan menilai dengan objektif karya mereka kerana
memang tidak terdapat ukuran yang boleh dipakai. Anda boleh memahami kesimpulan
ini dengan membuat perbandingan yang kritis dengan gagasan Persuratan Baru,
yang mempunyai ukuran yang mantap untuk menilai karya kreatif dan
tulisan-tulisan akademik juga. Menurut analisis Persuratan Baru, teksdealisme
sendiri adalah sejenis ocehan, idle talk, yang tidak boleh dipakai
untuk menilai pemikiran seseorang pengarang, tidak juga untuk menilai kualiti
akademik seseorang sarjana. Teksdealisme adalah sejenis penglipur lara dalam
kritikan, yang boleh digunakan untuk bersuka-suka, tetapi tidak untuk
membicarakankan dengan serius isu-isu kritikan kerana memang tidak ada ukuran
untuk itu. Empat prinsip yang dibanggakan oleh Mana Sikana hanyalah sejenis
retorik teh tarik berasaskan fatamorgana bahasa yang kosong dari segi makna dan
kualiti yang boleh dijadikan ukuran. Dalam membuat kesimpulan ini, saya amat
berhati-hati supaya anda boleh melihat hujah yang saya kemukakan dan logik yang
mendasarinya; tetapi hujah dan logik itu tidak muncul dalam teksdealisme.
Sekiranya anda menggunakan Persuratan Baru untuk menilai teksdealisme, anda
akan dapati bagaimana pandirisme diberi wajah intelektual, padahal kandungannya
padi hampa, seperti yang dibanggakan oleh Pak Pandir. Tidak mungkin Mana Sikana
setaraf dengan Pak Pandir yang bodoh itu, tetapi dalam kebodohannya telah
melahirkan Dr. Polan Cupan, seorang genius Melayu. Tidakkah itu satu pelanggaran
besar? Dan satu kepalsuan besar juga. Maksud saya, pelanggaran itu sendiri adalah satu konsep yang palsu, yang tidak
mempunyai nilai ilmu dan moralnya. Jika anda mahu contoh, anda boleh lihat
dalam sajak “Pulang Si Tenggang” atau “Baris-baris dari Muzium Goethe”. Renungkan pesan Iqbal ini: Tuangkan nur Ilahi atas gelita amalmu. Fikirkanlah.
Pesan
seorang sufi sejati untuk para sasterawan dan kita semua:
“Tinggalkan kata dan carilah nilai
rohaniyyat
Tuangkan nur Ilahi atas gelita amalmu
Meski mengenakan baju kerajaan, dia
hidup penaka murba
Hiduplah waspada dan renungkan Tuhan!
Apa saja pun kau lakukan, jadikanlah
tujuanmu
Agar setiap ketika kau kian dekat
kepadaNya
Supaya menjelma olehmu kejayaan sifat
Ilahi.”
(Dinukil
daripada Asrar-i-Khudi: Rahasia-rahasia
Peribadi, karya Allama Muhammad Iqbal, terjemahan Bahrum Rangkuti (Bulan-Bintang, 1976; hal.
164-165).
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 17 April 2015.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeleteSalam, tq Anonymous bagi maklumat ini. Di mana saya boleh baca "faktor penolakan" penyair sufi terhadap kk itu? Menarik nak tahu, apa yang sebabkan penyair sufi tolak kertas kerja sarjana itu. Hmmm, baik juga dokumen penolakan penyair sufi tu dimuziumkan dan dijadikan tarikan pelancongan. sasterawan kita pun pernah suarakan idea tentang pelancongan sastera spt yang ada di UK. Dengan adanya dokumen penolakan penyair sufi di muzium kita nanti, dapatlah pengunjung2 dalam dan luar negara memahami Pemikiran penyair sufi Malaysia.
ReplyDeleteKM
Salam tuan . Saya sempat baca maklumat anonymous petang tadi ttg, tapi kenapa tuan padam? bagi saya maklumat tu bagus jugak utk kenal sikap sasterawan yang dijulang Mana Sikana and the gang . Apa2 pun saya nak ucap terima kasih pd tuan haji sebab terus menulis!
ReplyDeleteAnonymous 7:27 pm, idea awak pun menarik juga.
Sdr. Anon. 9:11 pm.
ReplyDeleteSebenarnya saya cuba tarik pembaca supaya dapatkan jurnal itu dan baca sendiri. Saya kira itu lebih baik. Saya beri rujukannya, cuma saya tak ingat buku Utusan yang terbitkan kembali makalah itu. Saya kira ini satu permintaan yang wajar. Bagaimanapun, terima kasih atas sumbangan dan teguran sdr.
Salam, bagi pembaca yang berminat boleh rujuk makalah, Mohd. Zariat Abdul Rani. 2007. "Ke Mana Hala Tuju Sastera Melayu?". PEMIKIR (Oktober-Disember). Hal. 1-30., dan buku bertajuk Di Suatu Tikungan Lorong". 2008. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
ReplyDeleteSelamat membaca
Salam. Nostalgia. Kembalikah aku?
ReplyDelete