Apakah yang ingin dicapai oleh Mana Sikana dalam
kritikan sastera dengan menjadikan bullshit
sebagai asas teksdealisme? Supaya anda
boleh memahami dengan lebih mudah dan jelas maksud saya, perhatikan kesimpulan
Mana Sikana tentang Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad: “... aliran sastera
Islam Shahnon Ahmad selari dengan dunia pascamoden terkini. ... sastera Islam Shahnon Ahmad sempurna dari
segi teoretisnya dan selari dengan suasana masyarat pascamoden dan hipermoden. Maka di situlah kekuatan dan keistimewaan
sastera Islamnya justeru selari dengan zamannya yang gemerlap dengan
tanda-tanda ...” (hal. 39, Sasterawan
Negara di Takhta Keunggulan.) Soalan
pertama: untuk sempurna dan istimewa, Islam mesti ikut zaman pascamoden? Soalan kedua: apakah yang sempurna dan
istimewa zaman pascamoden itu? Apabila
saya tanya dua soalan ini kepada seorang yang kurang siuman tetapi masih pandai
bercakap, dia menjerkah saya dengan soalan ketiga: “Kamu gilakah? Siapa kata
Islam itu mesti ikut zaman?” Bila saya
beritahu dia, yang berkata itu sasterawan negara Shahnon Ahmad dan pengkritik
sastera Mana Sikana, dia tersengih agak kemaluan, sambil berkata perlahan,
“Kalau begitu mestilah betul. Aku ingat tadi kamu yang kata!” Dia terus tertawa
kuat sambil melambai tangan masuk longkang mengambil sesuatu! Saya terperanjat melihatnya begitu gembira
mengambil sesuatu dari dalam longkang, tetapi selepas saya sedar dia tidak
siuman, maka saya hanya menggeleng kepala.
Sebenarnya dia seorang terpelajar dan pernah menjadi guru sastera, itu
yang membuat saya terus bertanya beliau.
Sekarang saya harus membuat pilihan, Mana Sikana atau bekas guru yang
dalam longkang itu? Nampaknya
kedua-duanya betul, lebih-lebih lagi Mana Sikana kerana beliau seorang peneliti
sastera yang popular yang telah melantik Shahnon Ahmad menjadi Raja Novelis
Malaysia. Tentu saja beliau mempunyai
hujah yang kuat, berasaskan penelitiannya yang cermat. Tetapi kesimpulan beliau tentang Mazhab
Sastera Shahnon Ahmad dan kedudukan Shahnon Ahmad sebagai Raja Novelis Malaysia
memerlukan penjelasan, untuk memahami mengapa beliau bertindak demikian.
Penjelasan itu diberinya dalam suatu seminar penting di Dewan Bahasa dan
Pustaka, “Nadwah Kesusasteraan Islam 1414 H., 1-3 Disember 1993.” Kertas kerja nadwah ini diterbitkan dengan
judul, Nadwah Ketakwaan Melalui
Kreativiti, diselenggarakan oleh S. Jaafar Husin (Dewan Bahasa dan Pustaka,
1995). Mana Sikana membentang sebuah kertas kerja bertajuk, “Teori Sastera
Moden daripada Perspektif Islam” (hal. 221-245). Kertas itu tidak langsung berbincang teori
moden daripada perspektif Islam, kecuali beberapa singgungan yang ringkas dan
kabur. Kertas itu sebenarnya mengiklankan teksdealisme, sebagai satu “teori”
sastera. Menarik juga peringatan Mana Sikana: “Membina jejak di atas bekas-bekas
langkah orang lain, mungkin merupakan suatu cara yang mudah untuk menghasilkan
teori sendiri; tetapi tanpa jaringan
keislaman, kadang-kadang ini boleh menyesatkan, justeru dalam teks dan
falsafah teori tersebut sering tersembunyi akar kepercayaan tradisi sesuatu
bangsa itu” (hal. 226). Seterusnya beliau berbicara tentang teksdealisme: “Idea
teksdealisme ialah hasil pergomolan dengan pelbagai teori sastera moden dan
pascamodenisme yang saya kuasai sedikit demi sedikit, serta melalui penyaringan Islam yang saya lakukan sendiri. Melalui
beberapa orang tokoh, terutama Lacan, Derrida dan Kristeva, saya pelajari
bagaimana kaedah mereka membina teori sastera.” (hal. 228). Demikianlah cerita Mana Sikana. [Huruf condong
dalam kutipan di atas ditambah.]
Adakah Mana Sikana menunaikan janjinya itu dalam
kesimpulan beliau tentang Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad? Jika anda membaca bukunya, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan,
dengan kreatif dan kritis, anda akan dapati Mana Sikana lebih engrossed malah “menggilai” apa juga
yang difahami beliau dengan modenisme dan postmodenisme, tanpa sedikit pun
memberi perhatian kepada peranan Islam dalam memahami teori sastera moden. Dia
terjun sepenuhnya ke dalam lautan gelita yang bergelora untuk menilai para
sasterawan negara daripada pespektif teksdealisme yang seratus peratus
mendukung idea Barat. Maka tidaklah hairan jika Mana Sikana memuji Shahnon
Ahmad seperti dalam kutipan di atas, pada permulaan tulisan ini. Di atas dasar itulah Shahnon Ahmad
diisytiharkan oleh Mana Sikana sebagai Raja Novelis Malaysia. Tidak ada kaitan
langsung dengan nilai-nilai Islam, tetapi seluruhnya diasaskan kepada
nilai-nilai modenisme dan postmodenisme Barat yang sekular dan anti-agama.
Shahnon Ahmad menjadi Raja Novelis Malaysia kerana serasi dan mencerminkan
nilai-nilai postmodernisme dalam karyanya. Nampaknysa Shahnon Ahmad bangga dan
bersetuju dengan gelaran itu. Tahniah.
Bolehkah kita terima kesimpulan Mana Sikana?
Pertanyaan ini tidak penting bagi para sarjana dan para sasterawan, terutama
sekali dari kalangan para sasterawan negara sendiri. Mereka berterima kasih
kepada Mana Sikana yang bergerak seribu langkah lebih maju daripada Panel
Anugerah Sastera Negara yang hanya
memberi gelaran sasterawan negara, tetapi tidak melantik salah seorang dari
mereka menjadi Raja Novelis Malaysia. Penghormatan ke atas Shahnon Ahmad dan semua
sasterawan negara dengan gelaran itu sangat tinggi prestijnya, membenarkan
kesimpulan kita selama ini bahawa sastera Melayu moden tidak diasaskan kepada
nilai-nilai ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam, sebaliknya menerima
sepenuhnya pengaruh Barat, sehingga seorang pensajak sufi harus menggunakan
alusi Mark Antony dan Cleopatra (Laporan
2012, hal. 20) untuk menjadi ahli sasterawan dunia, seperti yang ditegaskan
oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika membicarakan keistimewaan Kemala
sebagai seorang pensajak yang layak diberi gelaran sasterawan negara yang telah
menulis sajak-sajak yang “semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat
menyuburkan kehidupan insani” (Laporan
2012, hal. 21). Mana Sikana
mendudukkan Kemala sebagai pensajak terbesar Malaysia selepas Muhammad Haji
Salleh dan Baha Zain, tiga orang pensajak utama negara Malaysia. Anda boleh agak dengan mudah siapa di antara
tiga pensajak besar itu yang layak diberi gelaran Raja Pensajak Malaysia. Ramai sasterawan dan sarjana Malaysia yang
cenderung untuk menerima Kemala sebagai pensajak sufi Malaysia yang pertama
selepas Hamzah Fansuri dari Acheh, Abad 16. Bayangkan berapa lama kita harus menunggu
untuk menyaksikan kelahiran pensajak sufi kita sendiri, yang telah memberikan
kepada kita “wangian kerohanian” menerusi sajak-sajak sufinya. Tahniah.
Ketiga-tiga mereka telah melakukan “pelanggaran”
masing-masing, dengan Muhammad Haji Salleh memperkenalkan Si Tenggang sebagai
seorng intelektual; Baha Zain yang “menangguhkan kebenaran”, dan Kemala yang
menerima Mark Antony dan Cleopatra sebagai ikon kesufian kerana percintaan
mereka yang begitu intim. Jika kita
melihat apa yang disebut sebagai “pelanggaran” ini dalam konteks budaya ilmu
dalam kebudayaan Melayu, kita dapati ketiga-tiga pensajak ini tidak sedikit pun
menggambarkan keunggulan ilmu sebagai asas dan teras penulisan, malah
sebaliknya ketiga-tiga mereka adalah individualis yang lebih mengutamakan
pencapaian peribadi daripada menyerlahkan keunggulan pemikiran Islam mereka
dalam persajakan. Dari segi ini, kedudukan mereka sebagai sasterawan negara
tidak mencerminkan kecemerlangan berfikir dan mencipta karya yang asli seperti
yang kita dapat ketika membaca karya-karya Iqbal misalnya. Sebenarnya mereka
tidak mahu dibuat perbandingan dengan Iqbal atau mana-mana penyair Islam,
kerana menurut mereka perbuatan itu tidak wajar dan tidak adil kerana mereka
sendiri pun sedar di mana kedudukan sebenar mereka dalam dunia puisi yang
berasaskan pemikiran filsafat. Kalau begitu, bagaimana mereka layak diberi
gelaran sebagai sasterawan negara Malaysia jika mereka tidak layak berada
setaraf dengan seorang penyair Islam seperti Iqbal? Apa maknanya menjadi
seorang sasterawan negara jika mereka hanya berasa selesa bercanda sesama
sendiri di dalam kolam pandirisme? Ternyata teksdealisme dan pencetusnya Mana
Sikana telah memberikan mereka gambaran palsu menggunakan kata-kata yang kaya
dengan fatamorgana bahasa dalam retorik yang penuh pretensi intelektual, tetapi
sebenarnya berada dalam dunia mitos yang nampak gemerlapan, tetapi “api” yang
nampak gemerlapan itu hanya cahaya yang dipancarkan untuk tontonan, tidak
berupaya merebus segenggam beras sekali pun. Itulah hakikat sasterawan negara
ini yang sebenarnya.
Semua ini menimbulkan persoalan besar yang perlu
diberi penjelasan oleh Mana Sikana: Apakah ukuran yang digunakannya untuk
meletakkan para sasterawan negara ini di atas takhta keunggulan? Apakah makna
keunggulan di situ? Keunggulan yang bercirikan ukuran yang berasaskan
nilai-nilai moden dan posmodenisme? Atas dasar apa ukuran itu sesuai untuk
digunakan bagi menilai keunggulan sasterawan negara? Beliau telah menjawabnya
ketika melantik Shahnon Ahmad sebagai pencetus Mazhab Sastera Islam Shahnon
Ahmad, tetapi adakah “mazhab” itu satu mazhab sastera Islam yang mencerminkan
konsep ilmu yang difahami dalam Islam?
Ini yang tidak jelas, malah dapat dikatakan bahawa Mazhab Sastera Islam
Shahnon Ahmad itu bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam. Mana Sikana tidak mungkin dapat memberi
penjelasan yang diperlukan sekiranya beliau mengasaskannya kepada teksdealisme
yang menjadi kekasihnya dalam kritikan sastera, kerana teksdeallisme sudah
jelas menentang prinsip Islam seperti yang ditunjukkan oleh Mana Sikana ketika
memuji Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad yang dikutip di permulaan tulisan
ini. Inilah yang menyebabkan kritikan sastera Mana Sikana menghadapi
kebangkerapan analisis kerana tidak berupaya melepaskan dirinya daripada
kekeliruan dari segi konsep ilmu seperti yang difahamkan dalam Islam. Semua klaim yang dibuat Mana Sikana bahawa
beliau menyaring prinsip-prinsip Islam ditolaknya sendiri ketika memuji Mazhab
Sastera Islam Shahnon Ahmad.
Jadi, siapakah sebenarnya Mana Sikana? Di manakah kedudukannya
dalam bidang kritikan sastera Melayu moden? Jawapan ini hanya boleh diberikan oleh para sarjana,
mungkin juga sasterawan sendiri. Tetapi mereka tidak akan menjawabnya, kerana semua
jawapan mereka akan mendedahkan kedudukan sebenar Mana Sikana dalam kritikan sastera
Melayu, yang akan membuat para sarjana dan sasterawan sendiri tidak enak. Mereka sendiri akan terpalit.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 26 April 2015.
No comments:
Post a Comment