Perlukah
sasterawan negara diletak di atas takhta? Katalah sasterawan negara itu berbisa
seperti ular tedung: bertambahkah bisanya jika diletak di atas takhta? Menurut Mana Sikana, sasterawan negara layak
didudukkan di atas takhta keunggulan kerana gelaran sasterawan negara itu
sendiri melayakkannya diletak di atas takhta.
Tetapi logik takhta Mana Sikana
tidak dapat mengubah nilai karya para sasterawan negara yang kedudukannya hanya
ditentukan oleh kualiti karya mereka, bukan takhta yang disediakan oleh Mana
Sikana berasaskan empat tiang teksdealisme yang diperbuat daripada agar-agar
yang keras bila sejuk tetapi hancur bila panas. Kita perlukan tiang yang tetap kuat teguh baik
ketika sejuk mahu pun ketika panas; dan tiang ini hanya dapat disediakan dengan
campuran ramuan yang diambil daripada falsafah seni berasasksn konsep ilmu yang
benar. Kontradiksi yang terdapat dalam
buku Mana Sikana, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan,
perlu diberi perhatian kerana ada persamaan dengan laporan Panel Anugerah
Sastera Negara sendiri, yang juga kaya dengan kontradiksi yang tidak sepatutnya
ada jika laporan itu ditulis lebih cermat, hati-hati dan mementingkan kualiti
akademik sesuai dengan kedudukan ahli Panel dan kepakaran mereka. Saya telah
menulis banyak tentang perkara ini, jadi tidak perlu diulang di sini. Sesiapa
yang berminat bolehlah teliti sendiri hujah-hujah saya dalam tulisan-tulisan itu. Yang ingin saya
bangkitkan di sini dua perkara: (1) adakah kita berpuas hati dengan penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah
Sastera Negara dan sarjana seperti Mana Sikana? Adakah penilaian mereka
benar-benar menggambarkan kualiti sebenar karya para sasterawan negara
ini? (2) Jika terdapat kesangsian dalam
penilaian mereka, adakah ini bermakna pemilihan Kementerian Pendidikan untuk
mengambil novel sasterawan negara sebagai teks sastera satu pilihan yang wajar?
(Contoh: Naratif Ogonshoto telah
dipilih untuk dijadikan teks. Perlukah ditarik balik jika penilaiannya
menimbulkan masalah akademik?). Jika
keputusan ini ingin diteruskan, pendekatan yang digunakan untuk membaca dan
menganalisis novel itu harus dapat menentukan kualiti sebenar novel itu
berasaskan ukuran yang objektif. Dalam hal ini, pendekatan yang ditawarkan oleh
gagasan Persuratan Baru boleh digunakan untuk membolehkan para pelajar melihat
kekuatan sebenar novel itu dan tafsirannya yang tepat atau sekurang-kurangnya
berasaskan hujah yang mantap. Pendedahan
begitu akan menyediakan pelajar berfikir dengan aktif, dan dapat membaca karya
dengan kreatif dan kritis, yang akan mendorong mereka membuat penilaian yang
diasaskan kepada hujah yang padat. Sekarang cara lama yang digunakan tidak
mendorong pelajar berfikir dan membuat penilaian yang objektif. Sudah tiba masanya pelajar diperkenalkan
pendekatan baru berasaskan ilmu.
Apakah
kerosakan yang telah dilakukan oleh teksdealisme dalam sastera Melayu?
Kerosakan paling utama ialah dalam memahami konsep teori. Mana Sikana
menegaskan teksdealisme sebuah teori, tetapi dia tidak memberikan apa-apa
prinsip atau ciri utama yang boleh dijadikan ukuran dalam membuat analisis dan
penilaian. Empat perkara yang ditonjolkannya itu bukan ukuran yang boleh
digunakan untuk menilai dan menganalisis sesebuah karya; hanya barangkali
berguna untuk memperihalkan proses
penulisan seseorang sasterawan, tetapi tidak
dapat digunakan untuk menilai karya mereka. Apa yang disebut sebagai
“kehadiran” terlalu kabur dan keliru: Apa sangkut pautnya dengan karya
seseorang sasterawan? Lionel Trilling
menulis hanya sebuah novel, yang diberi pengiktirafan tinggi oleh pengkritik
dan sarjana Amerika Syarikat; tetapi beliau lebih tertonjol sebagai seorang
pengkritik sastera. Demikian juga apa
yang disebut “pelanggaran”, juga tidak mempunyai kaitan dengan nilai karya,
kerana untuk menilai karya yang terhasil daripada pelanggaran itu kita perlukan
ukuran lain. Saya beri contoh sajak Muhammad Haji Salleh, “Pulang Si Tenggang”.
Sajak itu tetap tidak bermutu jika dinilai daripada perspektif ilmu dan
pemikiran, walaupun telah membuat “pelanggaran” yang hebat dengan menjadikan Si
Tenggang seorang intelektual. Yang menerima pilihan Muhammad Haji Salleh hanya
kawan-kawan terdekat beliau dan pembaca yang tidak diberi maklumat yang betul.
Apakah aspek “pengukuhan” untuk dapat dijadikan ukuran tentang keunggulan
seseorang sasterawan? Jika dimaksudkan berkaitan dengan eksperimen, pembaharuan
dan lain-lain yang biasa disebut-sebut, maka bagaimana kita boleh berkata
setiap eksperimen itu mempunyai nilai tinggi atau menaikkan kualiti sesuatu
karya. Contoh yang saya beri: novel Naratif
Ogonshoto tidak dapat diterima sebagai sebuah novel intelektual, seperti
yang dibuktikan oleh Nur Fatiha Fadila dalam tesis sarjana beliau. Katalah anda ingin mempertahankan novel itu sebagai
sebuah novel intelektual, anda harus mengemukakan hujah-hujah baru kerana
hujah-hujah lama telah ditolak dengan tuntas. Anda hanya membuang masa jika
anda cuba melakukannya kerana memang tidak diperlukan. Novel itu sendiri
menjadi bukti bukan sebuah novel intelektual, hanya sebuah novel sensasi
berlatarkan penglipur lara. Semua peristiwa
yang dijadikan bumbu cerita adalah berlatar belakang kisah-kisah berciri
penglipur lara. Kalau begitu, di mana aspek intelektualnya, di mana pula
pembaharuannya, eskperimennya? Adakah mencipta sebuah pulau khayalan satu
eksperimen? Disebut watak utama seorang yang zalim, tiada belas kasihan. Tetapi
kerana berlaku dalam khayalan, maka watak ini terpisah dari realiti masyarakat,
oleh itu tidak bermakna apa-apa. Mesti diletak dalam masyarakat yang sebenar,
jika mahu bercakap tentang kuasa dan korupsi. Kalau anda berkata keseluruhan novel
itu merupakan satu simbolisme tentang kezaliman dan sebagainya, maka apakah simbolisme
zakar yang tercacak keras ketika tuannya sudah mati dan dipotong oleh sang gadis
diberi makan kepada burung hering? Adakah zakar itu sebesar bangkai rusa atau paling
tidak napuh? Ini bukan simbolisme, yang begitu
naif dan terlalu dibuat-buat. Inilah jenis sensasi murahan yang tidak mempunyai
erti apa-apa jika dinilai dari perspektif intelektual, jika betullah novel ini sebuah
novel intelektual. Pendeknya, kesimpulan saya bahawa kelemahan besar karya
Anwar Ridhwan adalah perwatakan yang tidak relevan dan tidak ditempatkan dalam
keadaan yang biasa dialami oleh semua manusia, bukan dalam mimpi, adalah tepat. Berasaskan kesimpulan ini, sebagai penglipur
lara pun novel ini tidak meninggalkan kesan emosi, apatah lagi kesan intelektual.
Kalau begitu, mengapa novel ini diberi pujian tinggi oleh para sarjana seperti
Umar Junus, Dr. Saleeh Rahamad, Mawar Shafie dan lain-lain? Jawapan paling mudah dan tepat ialah kerana
kekeliruan mereka dalam konsep ilmu, di samping ceteknya pengalaman pembacaan
ke atas karya besar dunia, dan kefahaman yang cetek tentang teori sastera
Barat. Mereka menilai sebagai peniru, bukan sebagai sarjana yang mendalam dan
luas pengalaman intelektualnya. Para penilai ini hanya sekadar kenal beberapa
nama dan serba sedikit tentang pemikiran mereka, itulah yang dijadikan modal. Sekadar recipe
knowledge. Ini jelas dalam buku Mana Sikana Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan. Teguran K. B. Tan yang saya salin adalah
tepat. (Tulisan asal beliau dalam Dewan
Sastera, Mei 1997, hal.56).
Kehadiran teksdealisme dalam kritikan
sastera Melayu adalah satu malapetaka yang besar, yang mengusut dan mengelirukan
kefahaman tentang kritikan sastera di kalangan para sarjana dan pelajar
universiti yang mengambil mata pelajaran
sastera. Dengan menggunakan “pendekatan”
(ini pun tidak tepat, apatah lagi jika dipanggil ‘teori’) teksdealisme,
karya-karaya tidak bermutu yang ditulis oleh para sasterawan diberi kedudukan
tinggi kerana disangka penulis karya-karya itu memenuhi tuntutan empat faktor
kejayaan seseorang sasterwan menurut teksdealisme. Ini menimbulkan salah faham
apabila kesahihan “pendekatan” itu dicabar, dan cabaran itu tidak dapat
diatasi. Demikianlah yang terjadi pada Mana Sikana sendiri, yang menulis
tentang para sasterawan negara, dengan itu lebih tertumpu membicarakan proses
yang dilalui oleh seseorang pengarang, bukan kualiti karyanya yang tidak
disentuh secara akademik. Apabila seorang sarjana memberi gambaran palsu
terhadap seseorang sasterawan dan hasil karyanya, seperti yang dilakukan olehj
Mana Sikana dalam bukunya, maka akibatnya pencapaian pengkritik dan ahli
akademik sendiri sangat rendah dan amat mengelirukan. Kekeliruan ini telah saya
bincang dalam entri yang lepas, ketika membicarakan buku Mana Sikana ini. Sesiapa juga yang meragui analisis saya, sila
tampil ke depan membentangkan hujah anda dan dengan itu sekali gus menolak
hujah yang saya kemukakan. Inilah caranya kita mengukur perkembangan ilmu dalam
bidang akademik, dan ini mesti dilakukan secara tuntas supaya apa juga kekeliruan
yang timbul dapat diperbetulkan. Jika
ini tidak diberi perhatian serius, maka para sarjana kita akan terus
memperagakan bullshit yang mereka
hasilkan sebagai kritikan sastera yang berkualiti. Kritikan yang bercorak bullshit ini telah ditolak dengan tuntas dalam analisis Nur Fatiha
Fadila ketika membicarakan novel-novel
Anwar Ridhwan dalam tesis sarjana beliau.
Apakah
pilihan kita? Kita harus melihat bidang
kritikan ini sebagai satu bidang
akademik yang mementingkan disiplin ilmu yang khusus yang memberi perhatian
kepada karya kreatif dalam konteks pembinaan karya itu sendiri, sama ada
bersumber sepenuhnya kepada apa yang disebut “daya imaginasi” yang menjadikan
khayalan sebagai wahana untuk bercerita; atau sebaliknya menjadikan wacana
sebagai asas untuk menyerlahkan kemampuan intelektual dan kemampuan kreatif
sekali gus ketika membina karya mereka.
Teksdealisme tidak dapat memberikan dua keperluan ini kerana
teksdealisme tidak dibina berasaskan prinsip yang memblehkannya menghalusi
sebarang karya kreatif daripada perspektif ilmu. Untuk melakukan ini diperlukan
ukuran tertentu yang membolehkan teksdealisme menghuraikan dengan tuntas
mengapa sesebuah karya kreatif ditulis dan diberi bentuk seperti yang terdapat
dalam karya itu. Semua ini tidak dapat dilakukan oleh teksdealisme, oleh itu
penggunaannya untuk menilai karya sastera adalah palsu dan terlalu longgar,
hanya berasaskan agakan semata-mata, tidak berasaskan ukuran yang boleh diuji
ketepatannya. Inilah yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru, oleh itu penilaian
yang dilakukan dengan menggunakan ukuran yang dikemukakan oleh Persuratan Baru
boleh dilihat dengan jelas membicarakan kualiti kreatif sesebuah karya dan juga
kualiti pemikiran yang terkandung dalam karya itu. Untuk melihat bagaimana ini dilakukan, sila
rujuk Gagasan Persuratan Baru, edisi
kedua (2014). Ini juga merupakan cabaran
kepada kepalsuan teksdealisme yang gagal memberikan analisis yang mantap kerana
tiadanya ukuran yang jelas. Sehingga
cabaran Persuratan Baru ini dibuktikan salah, maka teksdealisme akan kekal
sebagai ocehan (idle talk) yang
bercorak bullshit sahaja. Dua konsep ini (idle talk dan bullshit)
perlu difahami dengan mendalam sebelum sebarang sanggahan dikemukakan. Dalam bahasa yang mudah, teksdealisme perlu
membuktikan dirinya bukan idle talk
dan tidak termasuk dalam kategori bullshit
seperti yang dimaksudkan oleh dua konsep ini.
Saya telah memberikan rujukannya yang agak lengkap untuk memahami dua
konsep ini dalam entri bertajuk, “Pandirisme dalam komuniti dunia”.
Sebagai
kesimpulan ringkas, saya ingin menegaskan bahawa teksdealisme tidak dapat
menilai kualiti sebenar sesebuah karya kreatif kerana tidak ada ukuran untuk berbuat
demikian; sebaliknya yang boleh dibuat oleh teksdealisme hanyalah menyerlahkan
penilaian palsu yang bertentangan dengan kualiti sebenar yang ada pada karya
berkenaan. Kedudukannya samalah dengan mimpi sastera Prof. Emeritus Dr.
Muhammad Haji Salleh yang bermimpi di atas bumbung kilang berkarat, yang
melontarkan idea berkarat yang tidak berfaedah dalam konteks perkembangan ilmu. Itukah wajah sebenar sastera Melayu yang telah melahirkan sasterawan negara dan
teksdealisme?
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 23 April 2015.
BUKU MANA SIKANA
ReplyDeleteSekarang pesta buku antarabangsa sedang berlangsung di KL. ITBM ada booth sendiri. Saya anjurkan para sasterawan, sarjana, pengkritik sastera dan pembaca yang serius membeli dan membaca buku Mana Sikana Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan untuk melihat sejauh mana pendapat beliau boleh dipakai/terima dan adakah teksdealisme berupaya menghuraikan kedudukan sebenar para sasterawan negara dari segi memahami kualiti karya mereka (dengan memberi penekanan kepada keaslian, pemikiran, dan kecanggihan perwatakan dalam karya kreatif). Benarkah kesimpulan saya bahawa teksdealisme hanya sejenis bullshit dan idle talk dan tidak layak diberi kedudukan sebagai teori sastera. Kritikan saya tentang buku ini dalam blog ini perlu dibaca dengan sehabis kritis dan kreatif supaya anda sendiri dapat menilainya dengan objektif dan saksama, sama ada saya sendiri menulis bullshit atau idle talk yang sia-sia. Kita telah terlalu lama berada dalam dunia bullshit dan idle talk ini; sekaranglah masanya untuk membahaskan perkara ini dengan tuntas dan objektif. Saya berharap ITBM sendiri boleh menerima kritikan dan jika perlu kritikan itu diterbitkan oleh ITBM, sesuai dengan fungsi ITBM untuk membantu dalam perkembangan ilmu. Saya faham harapan ini tidak mungkin tercapai kerana kuatnya pengaruh pandirisme dalam budaya ilmu di negara kita, yang dicengkam dengan kuatnya oleh Mutual Admiration Club di bawah naungan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, yang tidak membenarkan sebarang kritikan terhadap para sasterawan negara. Kalau kita memang bangga dengan kelahiran gologan Brahmin dalam sastera Melayu, yang hanya boleh dipuji, bukan untuk dikritik (kecuali kritikan untuk memuji dan mengangkat mereka seperti yang dibuat oleh Mana Sikana), maka teruskanlah budaya pandirisme itu jika kita betul-betul berasa selesa dan bangga berada di dalam budaya pandirisme itu, walaupun sikap ini bertentangan dengan intelektualisme yang selalu kita canangkan menjadi matlamat kita. Bagusnya ialah, kita sudah biasa dan dapat menerima pembohongan intelektual sebagai salah satu kejayaan kita. Dengan kata-kata yang penuh hikmah, kita telah membudayakan pembohongan intelektual ini dalam kesusasteraan Melayu. Sebab itulah teksdealisme masih terus terpakai.