Pandangan
saya yang kritis (terlalu kritis, rungut seorang teman) dalam entri yang lepas
bertarikh 4 April 2015, menimbulkan reaksi yang agak menarik. Ada yang
mencadangkan supaya kritikan saya terhadap panel Hadiah Sastera Perdana
Malaysia yang mengiktiraf karya Dr. Norhayati Ab. Rahman yang saya
tegaskan dari segi akademiknya sebagai
karya picisan saja, tidak boleh dibiarkan kerana mengelirukan masyarakat. Siapa
mengelirukan siapa? Yang keliru ialah panel yang membuat pilihan yang salah itu, bukan
saya. Kritikan saya boleh disanggah dengan mudah kerana kita sudah mempunyai
beribu orang sarjana yang “qualified” dalam bidang sastera, malah mereka
menggelarkan diri mereka sebagai pakar dan semua pendapat mereka adalah
betul. Tetapi mereka ini “lack”
kejujuran ilmiah dan integriti akademik, oleh itu tidak mungkin sama sekali
mereka akan tampil membahaskan isu yang mereka anggap akan merendahkan
kedudukan mereka sebagai sarjana. Memang ada cadangan supaya persoalan ini
dibincang oleh PENA dalam satu seminar khusus. Saya hanya tertawa sinis, sambil
berkata, Tak mungkin PM Najib mengadakan seminar untuk membincangkan
penyelewengan dalam projek 1MDB! Mana
boleh Ketua Satu PENA yang menjadi anggota juri membenarkan PENA membincangkan
kesilapan panel yang dia sendiri jadi anggota. Dalam politik Malaysia, sesiapa
juga yang memegang kuasa, tidak perah melakukan kesilapan, apalagi korup.
Begitu juga dalam gerakan intelektual (?) di Malaysia, dalam badan-badan
penulis misalnya. Para pemimpin persatuan penulis tidak mungkin membuat
kesilapan kerana kedudukan mereka tidak membenarkan mereka berbuat silap. Dalam
ingatan saya, hanya Prof. Ismail Hussein seorang saja yang mengaku kesilapannya
mengkritik Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas mengenai kedudukan Hamzah
Fansuri. Dr. Talib Samad telah menulis
dalam Utusan Zaman memberitahu kita
tentang perkara ini. Berani Ketua Satu
PENA berbuat begitu jika beliau silap dalam membuat pilihan yang salah sebagai
juri Hadiah Perdana Sastera Malaysia yang memilih Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokriktik?
It needs a truly great man to do that,
seperti yang dilakukan oleh Sayidina Umar yang mengaku kesilapannya apabila
ditegur oleh seorang perempuan tua tentang soal mas kahwin. Give due credits to Prof. Ismail Hussein
yang juga mengaku kesilapannya. Ada contoh dalam tamadun Islam; ada juga contoh
dalam gerakan sastera di Malaysia. So
what? Teruskan saja kesilapan kerana itu lebih penting daripada sikap jujur
dan keberanian mempertahanan kejujuran itu. Memang begitu budaya sastera
Malaysia. Kejujuran dan harga diri tidak
penting, yang penting kepentingan diri, apa pun juga.
Satu
perkara yang amat tidak disenangi ialah pandangan kritis saya terhadap
kedudukan sasterawan negara dan laporan yang ditulis oleh Panel Anugerah
Sastera Negara. Tidak dapat disangkal
bahawa bagi para penyokong projek sasterawan negara dan kaum kerabat ahli Panel
tetap mempertahankan Panel dan kejujuran intelektual mereka walaupun semua
laporan mereka tidak bermutu dari segi akademik dan tidak menilai dengan
objektif karya para sasterawan negara ini. Dalam entri terbaru saya singgung
sedikit tentang perkara ini; dalam “Keunggulan yang Cacat” terdapat
perbincangan mengenai perkara ini.
Bahawa Panel juri boleh membuat kesilapan besar telah saya bincangkan
dengan terperinci dalam tulisan saya 2003 untuk Seminar Jenaka Nusantara. Prof.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir telah menganalisis dengan terperinci keputusan
sebuah sayembara DBP yang memilih karya Azizi Abdullah, Harga Sebuah Maruah, padahal penilaian yang dibuat melanggar semua
syarat yang ditetapkan. Mengapa anggota Panel Anugerah Sastera Negara mesti
dikecualikan? Mereka telah melakukan kesilapan besar dalam penilaian mereka
terhadap karya Anwar Ridhwan yang penuh dengan kontradiksi dan ungkapan palsu.
Sesiapa yang membaca novel dan cerita pendek sasterawan negara ini tahu sejauh
mana kualiti karyanya, yang tidak dibaca dengan objektif, kritis dan kreatif
oleh Panel. Kritikan saya tentang projek
sasterawan negara ini bermula sejak 1981 lagi, ketika sasterawan negara pertama
ditelurkan oleh kerajaan Malaysia. Apa
yang saya ramal benar-benar terjadi, dan kita begitu toleran menerima kepalsuan
penilaian ini seolah-olah tidak ada seorang pun di antara kita yang dapat
melihat dengan jelas kepalsuan ini. Shahnon Ahmad pemenang kedua dan pernah
menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara menyuarakan “kemarahan” (?) atau
“kekecewaannya” (?) apabila Baharuddin Zainal aka Baha Zain dipilih menjadi
sasterawan negara, yang baginya tidak layak diberi gelaran itu. Sekurang-kurangnya terdapat di kalangan para
sasterawan negara sendiri yang dapat melihat kepalsuan projek sasterawan negara
ini. Bagaimana kita boleh pertahankan
para sasterawan negara ini yang diiktiraf lebih tinggi dan lebih mulia daripada
para ulama dan cendekiawan kita? Kalau
bukan begitu, mengapa mereka mesti disebut-sebut sebagai sasterawan negara, dan
mereka sendiri sangat marah jika tidak disebut gelaran itu ketika berbicara
dengan mereka. Semua ini memberi isyarat bahawa mereka telah ditempatkan lebih
tinggi daripada para ulama dan cendekiawan kita yang tidak dapat diragui
ilmunya dan laku perangainya yang terpuji.
Kepalsuan nilai yang mereka paparkan dalam karya mereka boleh diperiksa
dengan mudah, dan saya telah menjelaskan perkara ini dalam beberapa tulisan. Cara
yang paling baik dan adil untuk menilai para sasterawan negara ini ialah dengan
menganalisis dan menilai karya mereka berasaskan konsep ilmu yang benar. Jika
mereka gagal dalam ujian penilaian itu, gelaran mereka tidak gugur, seperti
ayam bapak yang kalah di gelanggang masih lagi ayam bapak dan masih terus
berkokok dengan megahnya di atas pagar!
Para
sasterawan negara telah dinilai dari semua pendekatan yang terdapat dalam teori
sastera Barat, ketika para sarjana membicarakan perihal “pemikiran” mereka. Teori
dan pendekatan sastera Barat begitu istimewa, diberi kedudukan tinggi di
kalangan para sarjana dan sasterawan.
Mereka seolah-olah telah disihir oleh teori Barat, seolah-olah seluruh
kesedaran intelektual mereka telah dibelenggu malin genie (istilah Descartes untuk evil spirit) sehingga mereka tidak nampak alternatif lain, atau
jika nampak pun tidaklah menarik seperti teori Barat yang bagi mereka memberi
prestij. Tahu sebut nama pun sudah dianggap hebat. Mereka sangat takut kepada
konsep ilmu yang benar, oleh itu mereka anggap konsep itu tidak wujud dalam
mana-mana teori dunia sekali pun. Kata mereka, mungkin wujud dalam teori Islam,
tetapi sastera tidak perlukan teori bercorak Islam kerana sastera tidak ada
kaitan langsung dengan teologi Islam.
Oleh itu, kata mereka, penolakan mereka terhadap penilaian berasaskan konsep
ilmu yang benar itu tidak perlu dipertahankan, apatah lagi jika yang akan
berlaku ialah dengan menggunakan prinsip-prinsip gagasan Persuratan Baru, yang
menurut mereka belum tentu bercorak Islam.
Di Malaysia belum ada teori sastera yang lengkap dan menyeluruh, menurut
pendapatg mereka, oleh itu teori Barat sahaja yang boleh membaca karya Melayu
dan menilainya dengan tepat dan objektif.
Berasaskan pendirian inilah maka karya akademik yang picisan seperti Puitika Sastera Wanita Indonesia dan
Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik dipilih untuk mendapat Hadiah Sastera Perdana
Malaysia 2012 kerana sesuai dengan feminisme yang dikembangkan di Amerika
Syarikat.
Inilah
juga semangat yang mendorong para sarjana menyanjung tinggi para sasterawan
negara, kerana mereka (para sasterawan negara) akan berdiri teguh sebagai tokoh
besar sastera Melayu yang tidak mempunyai apa-apa kecacatan sedikit pun bila
dinilai daripada perspektif teori sastera Barat. Beberapa buah tesis Ph.D yang diterbitkan telah
ditulis untuk mengangkat mereka daripada perspektif Barat seluruhnya. Ini
membuat mereka menjadi tokoh universal, yakni universal dalam konteks Barat,
tetapi bukan dalam konteks Islam yang
memang tidak relevan dengan mereka.
Kalau anda faham dalam konteks ini, maka anda akan dapat menerima segala
pujian dan sanjungan terhadap para sasterawan negara ini kerana semua mereka
dengan selesa boleh berdialog dengan semua tokoh sastera dunia kerana mereka
adalah peniru tokoh-tokoh Barat ini, oleh itu tidak asing dalam dunia yang
sangat asing bagi seorang pengarang yang berpegang kepada konsep ilmu yang
benar. Dalam dunia yang kini menekankan hegemoni mereka ke atas para
penulis kreatif seluruh dunia, maka kedudukan ilmu dalam Islam tidak relevan,
malah akan memalukan para sasterawqn negara jika mereka berbicara (dengan cetek
pula) tentang aspek itu. Seperti yang ditegaskan oleh Pascale Casanova dalam
bukunya, The World Republic of Letters,
semua nilai sastera dunia ditentukan sama ada di Paris atau di England. Hakikat ini telah diterima dengan baik dan
megah oleh para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia, oleh itu perubahan
sukar akan berlaku. Malah mereka tidak pun mahu apa-apa perubahan terjadi,
kerana ini akan meletakkan mereka di anak tangga pertama untuk merangkak naik
ke tempat yang mereka berada sekarang. Siapa yang mahu?
Kalau
itu kenyataannya, adakah kita mesti ikut mereka (Barat) seumur hidup? Sampai
bila? Bila pula kita akan merumuskan ukuran kita sendiri? Kita mempunyai ramai sarjana, yang mengaku
diri mereka sangat mendalam pengetahuannya tentang sastera dan teori sastera.
Tetapi mengapa pemikiran mereka mandul? Lihat kertas kerja mereka dalam Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia 2014 yang diterbitkan dengan judul Sastera Teras Negara Bangsa, apakah yan g istimewa di situ? Di mana
kecerdikan para sarjana ini jika mereka tidak boleh dan tidak mahu berbicara
tentang ilmu sebagai teras pembangunan tamadun?
Mereka begitu ketakutan akan
disisih ke tepi jika mereka berbicara tentang ilmu, kerana bagi mereka
pembicaraan itu tak dapat tidak akan menyentuh gagasan Persuratan Baru. Itu
yang mereka tidak mahu. Ketakutan itu membuat mereka menjadi sarjana ciritan,
naik ke bumbung kilang berkarat untuk berfikir atau bertapa, begitu schizophrenic sekali! Masalah kita ialah para sarjana kita berasa
amat bangga menjadi pengekor teori Barat, sehingga mereka tidak mahu berdialog
sesama sendiri. Mereka hanya pandai membuat tuduhan tanpa mengetahui tentang
gagasan Persuratan Baru misalnya, padahal gagasan itulah yang kini sedang
mencabar mereka supaya keluar dari belenggu Barat ibarat kaldai mengelilingi
kincir air dengan mata tertutup. Rela terus menjadi kaldai di kincir air
daripada menjadi kuda berlari pantas di gelanggang luas. Ini mesti berubah,
jika kita mahu maju. Mengapakah universiti masih menyimpan golongan kaldai di
kincir air ini? Mereka inilah yang telah
mematikan minat pelajar untuk belajar kesusasteraan secara sistematik, dengan
memberi keutamaan kepada pemikiran dan ilmu yang benar. Dengan sikap yang negatif terhadap ilmu,
serta nipisnya kejujuran intelektgual mereka dan besarnya keangkuhan akademik
mereka, maka mereka pada umumnya menggalakkan pandirisme dan karya picisan,
misalnya dengan menjadikan karya picisan Dr. Fatimah Busu, Nyanyi Sunyi Salam Maria Vs. Sarjana Nasi Dingin (2007) yang penuh
dengan bullshit dan ocehan; digadingkan dengan Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik, sebuah karya picisan
dari segi akademik, yang mengajar para pelajar wanita Malaysia bagaimana mahu
membebaskan diri mereka dari lelaki dengan merayakan kehendak nafsu seks mereka
dengan seberapa ramai lelaki. Amatlah aneh apabila universiti sanggup menerima
buku-buku picisan ini hanya untuk menunjukkan terdapat kebebasan akademik di
universiti? Kebebasan akademik
sepatutnya untuk mengembangkan ilmu yang benar, bukan merayakan keonaran
intelektual. Kalau betul mereka ini bukan
ciritan, dan universiti benar-benar bersikap bebas dalam mengembangkan ilmu,
mereka tidak wajar menyekat kemaraan gagasan Persuratan Baru dengan menjadikan buku Gagasan
Persuratan Baru, edisi kedua, sebagai bacaan wajib. Apakah yang menghalang
mereka? Saya harap semua guru sastera
didedahkan kepada buku ini. Saya harap Universiti Pendidikan Sultan Idris di
Tanjung Malim akan lebih terbuka dan bersikap pemurah untuk membebaskan
kebenaran dari belenggu kejahilan dan sikap negatif terhadap ilmu dengan
mendedahkan Gagasan Persuratan Baru
kepada para guru yang menjalani latihan perguruan.
Lambat
atau bangat, dengan bertambahnya kesedaran dan ilmu pengetahuan, para sarjana dan sasterawan akan sedar juga
betapa sia-sianya projek sasterawan negara ini, kerana tidak sedikit pun
membantu perkembangan budaya ilmu yang sihat dalam pembinaan tamadun baru yang
kita ingin bina dalam abad 21 ini. Kepalsuan sekarang akan hapus juga akhirnya
dan mesti dihapuskan kerana tak mungkin kita membina tamadun baru di atas
nilai-nilai palsu. Penerimaan terhadap
gagasan Persuratan Baru semakin baik. Maklum balas yang saya terima tidak saja
menggalakkan, tetapi cukup mengharukan. Ada yang berkata, sejak dia kenal PB,
dia dapat membaca dengan baik dan lebih meyakinkan, dan tahu menilai kualiti
“pemikiran” sesebuah karya kreatif. Dia boleh membaca semua karya tanpa
sebarang prasangka, dan boleh menilainya dengan tepat dan objektif menggunakan
alat-alat analisis yang dipakai dalam PB. Dia dapat melihat dengan jelas
kekuatan dan kelemahan sesebuah karya, yang sebelum ini sukar baginya untuk
membuat kesimpulan. Dia juga dapat membuat
pertimbangan yang wajar dan saksama terhadap penilaian yang dibuat oleh sarjana
atau sasterawan; dan ini katanya memperkaya pengalaman intelektualnya di
samping dapat melihat betapa naifnya kebanyakan penilaian yang dibacanya.
Barangkali maklum balas yang paling menggembirakan ialah yang saya dapat dari
beberapa orang pelajar universiti, yang memberitahu dia kini dapat melihat
“logik” sesuatu teori yang disogokkan kepadanya dan dapat menilai teori itu
daripada perspektif PB. Walaupun tidak ramai, yang sedikit itu sudah mula
nampak betapa pentingnya memahami konsep ilmu yang benar itu. Bagi saya itu sudah
amat bagus. Selamat berjaya kepada mereka semua.
Apakah
yang kita perlu buat terhadap projek sasterawan negara yang sia-sia dan
bertentangan dengan budaya ilmu ini? Saya telah memberi cadangan supaya
diwujudkan Hadiah Persuratan Petronas dalam satu kertas yang dibentang di Dewan
Bahasa dan Pustaka 2006 dahulu. Apa yang
perlu dilakukan ialah memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, di
samping tidak meninggalkan terus kegiatan kreatif dalam semua bidang kreatif
yang biasa. Agak aneh yang kuat menentang ialah para sasterawan dan sarjana
sendiri, yang tidak mahu melihat kemajuan dalam perkembangan bahasa Melayu di
peringkat ilmu. Ini terbukti dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yan g
tidak langsung menyentuh aspek ilmu ini dan tidak ada sebarang resolusi
mengenai perkembangan ilmu. Sungguh malang; tetapi itulah kenyataan yang perlu
kita hadapi. Kini kita tahu bagaimana kepalsuan itu dijadikan “hegemoni”
(pinjam istilah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kertasnya) dalam kegiatan
sastera Malaysia. Semuanya berlegar di sekitar mempertahankan sastera dan
sasterawan negara. Walaupun itulah punca masalah yang kita hadapi sekarang.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 5 April 2015.
No comments:
Post a Comment