Dengan munculnya Kuliah Perdana PB
membicarakan peranan pandirisme dalam perkembangan budaya ilmu di Malaysia,
maka kritikan sastera kini menghadapi masalah kredibiliti yang serius. Selepas
ini, semua kritikan dan kerja akademik dalam kesusaseraan akan dinilai sama ada
hasilnya hanya mencerminkan pandirisme atau mengemukakan analisis, hujah dan
penilaian yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Kini para pelajar universiti yang memahami
kedudukan pandirisme dalam perkembangan intelektual di Malaysia mempunyai
ukuran yang pasti yang boleh diuji kebenarannya dan kredibilitinya apabila mereka
membaca sebarang tulisan kritikan, tulisan akademik atau hasil kreatif para
sasterawan. Mereka boleh bertanya:
Adakah ini hanya gambaran pandirisme, atau benar-benar hasil akademik yang
bermutu berasaskan analisis dan penghujahan yang objektif? Adakah karya ini menggambarkan keupayaan
kreatif yang tinggi berasaskan ilmu atau hanya mencerminkan pandirisme? Pertanyaan seperti ini disedari pentingnya
kerana sudah sekian lama kita dilamun ombak pandirisme tanpa kita sedar. Sekarang kita boleh mambaca dengan kreatif
dan kritis untuk menilai kualati intelektualnya, supaya tidak membuang masa
membaca sesuatu yang picisan dan dangkal tetapi diberi pujian tinggi oleh
mereka yang mengamalkan pandirisme dengan berselindung di ketiak teori Barat.
Kesimpulan di atas telah ditunjukkan oleh Nur
Fatiha Fadila Abu Bakar dalam tesis sarjana beliau. Tesis itu berjaya
memperlihatkan dengan jelas bagaimana membaca dengan kreatif dan kritis
berasaskan konsep ilmu yang benar memberi kesempatan untuknya menilai
karya-karya Anwar Ridhwan dengan objektif, yang boleh dihujahkan dengan jelas
kerana adanya konsep-konsep yang boleh mambantu seseorang membuat penilaian itu
dengan menggunakan pendekatan yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru. Kesilapan para sarjana dalam penilaian mereka
terjadi kerana mereka bertindak persis seperti yang dilakukan oleh Pak Pandir,
iaitu terpesona melihat padi hampa yang bertimbun. Demikianlah para sarjana ini
sering kali menggunakan teori Barat yang tidak pun dikuasai dengan baik untuk
dijadikan asas penilaian mereka, dengan itu gagal membaca dan menilai karya
secara kreatif dan kritis. Kegagalan ini dicatat dengan teperinci oleh Nur
Fatiha Fadila dalam tesis sarjananya, diikuti dengan sanggahan yang lunak
tetapi tepat memperlihatkan kesilapan penilaian yang tidak berasaskan konsep
ilmu yang benar. Semua sarjana yang membicarakan karya Anwar Ridhwan menilainya
daripada perspektif “intelektual,” tetapi gagal membuktikan unsur intelektual dan
unsur Islam yang diklaim oleh Anwar Ridhwan sendiri wujud dalam novel-novel
yang dinilai mereka. Penjelasan saya dalam “Keunggulan yang Cacat” mungkin
boleh dirujuk sebagai perbandingan.
Seterusnya, tulisan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang dijadikan
Pendahuluan dalam buku Gagasan Persuratan
Baru, edisi kedua, memberikan hujah yang mantap mengapa kita perlukan
pendekatan yang berbeza dari yang biasa kita gunakan selama ini. Perhatikan
pendapat ini, yang cukup relevan dengan persoalan yang dibangkitkan di sini.
“Theorizing can lead us into lines of inquiry
that challenge received notions of entrenched understanding that may no longer
be productive; it can create new vocabularies for talking about a subject and
thus new ways of perceiving it”. (Gary Olson, dikutip oleh Thomas Kent dalam
eseinya, “The Consequences of Theory for the Practice of Writing”, dalam Publishing in Rhetoric and Composition,
ed. by Gary A. Olson, Tod W. Taylor; State University of New York, 1997, hal.
157).
Kemunculan gagasan Persuratan Baru persis
untuk memenuhi pemerhatian Gary Olson yang dikutip di atas, yang dibuktikan
kebenarannya dalam tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar yang disebut di
atas. Dengan adanya beberapa konsep baru
dan penekanan kepada wacana dan cerita dalam konteks ilmu yang benar, maka
penilaian terhadap novel-novel Melayu boleh dibuat dengan lebih mudah dan lebih
tepat. Ini mengejutkan sasterawan
sendiri, yang tidak dapat menerima pendapat baru yang lebih tepat kerana bagi
mereka kualiti novel-novel mereka, yang sebenarnya tidak berkualiti, akan menurun dengan mendadak sehingga mereka
tidak dapat menerimanya. Inilah pengalaman Fatimah Busu yang menulis sebuah penafian
(Nyanyi Sunyi Salam Maria Vs. Sarjana Nasi Dingin,
2007) yang pada hakikatnya membuktikan kebenaran penilaian yang dibuat oleh
Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir apabila beliau menilai dengan kritis novel
Fatimah Busu yang amat disayangi oleh penulisnya, Salam Maria. Sebagai sebuah
novel yang diklaim oleh penulisnya membawa mesej Islam, Salam Maria telah mensensasikan Islam dengan pelbagai cerita
sensasi untuk menarik minat pembaca, tetapi jelas telah gagal kerana pembaca
juga tahu cerita-cerita sensasi itu tidak menggambarkan Islam dengan
positif. Misalnya, keberatan mereka yang
paling utama ialah mengapa Islam harus dibawa ke dalam hutan. Sekiranya ini
satu kaedah dakwah baru untuk mengajak rusa, kijang, harimau, gajah, biawak dan
sebagainya masuk Islam, mereka sudah pun Islam sebagai makhluk yang tidak
menanggung tanggungjawab taklif. Ini
hanya satu contoh, banyak lagi yang lain yang anda boleh kesan dengan
mudah. Kritikan Fatimah
Busu terhadap Persuratan Baru ini dijadikan bacaan dan kajian di Universiti
Malaya; tetapi pelajar tidak didedahkan kepada PB secara formal dengan membaca
dan mengkaji Gagasan Persuratan Baru,
edisi kedua. Saya yakin jika buku tentang PB itu dikaji dan dibahaskan dengan
mendalam, para pelajar akan lebih tertarik kepada Gagasan Persuratan Baru dan
ini akan membolehkan mereka membaca buku Fatimah Busu itu dengan lebih kreatif
dan kritis. Pelajar universiti harus
diberi peluang ini; mereka wajar diberi maklumat baru dalam perkembangan
kritikan sastera, apatah lagi perkembangan terbaru itu dicetuskan di negara ini
sendiri. Dengan membiarkan para pelajar ini ketinggalan zaman, para pensyarah
yang terlibat dalam pengajaran sastera boleh dituduh tidak menjalankan tugas
mereka dengan jujur dan dengan penuh semangat cintakan ilmu. Ertinya, mereka
tidak profesional. Pelajar sendiri pula
mestilah bersikap pro-aktif, mencari sendiri jika pensyarah mereka tidak mahu
mendedahkan mereka dengan maklumat terbaru.
Walaupun terdapat profesor yang mendakwa beliau mempunyai 4000-5000
pelajar, tetapi jika pelajar itu didedahkan kepada recipe knowledge saja,
mereka tidak akan dapat memberi sumbangan yang bererti dalam perkembangan
sastera, terutama dalam bidang akademik dan kritikan. Tidak saja diperlukan kejujuran intelektual,
tetapi diperlukan juga integriti akademik yang tinggi. Nampaknya kedua-duanya tidak dipraktikkan,
walaupun kita sering mendengar mereka selalu berkata betapa perlunya adab dan
etika dalam penulisan. Untuk orang lain,
bukan untuk mereka. Barangkali inilah
bentuk ajaran sesat dalam bidang akademik.
II
Hanyut Dalam Arus Pandirisme
Pandirisme kini diberi kedudulkan yang tinggi
dengan prestij akademik yang dibanggakan dalam pengajaran sastera di Malaysia.
Para pelajar yang tidak diberi kefahaman yang betul dalam teori sastera Barat, tidak
bebas untuk mengemukakan pendapat kritis mereka dengan misalnya menggunakan
pendekatan Persuratan Baru, yang dianggap oleh ahli akademik sebagai terkeluar
dari arus perdana, oleh itu tidak wajar diperkenalkan kepada para pelajar untuk
mengelak daripada terjadinya kekeliruan dalam memahami konsep sastera seperti
yang diajarkan dalam buku-buku kritikan Barat.
Ahli-ahli akademik kita tidak berasa pelik untuk melarang para pelajar
menggunakan pendekatan Persuratan Baru, sedangkan para pelajar ini
diperkenalkan dengan bermacam-macam teori sastera Barat. Sikap ini positif dari segi membantu pelajar
supaya tidak keliru, tetapi dari segi perkembangan ilmu para pelajar ini akan
rugi kerana mereka tidak didedahkan kepada pendekatan yang berbeza. Sebenarnya para pensyarah bebas untuk
memperkenalkan apa juga pendekatan yang mereka senangi, dan menolak sebarang
percubaan tempatan sebagai tidak akademik dan tidak berada dalam arus perdana. Dalam konteks ini, pelajar sendiri harus bersikap terbuka untuk meneroka pandangan
yang berbeza daripada yang mereka biasa temui diperkenalkan oleh para pensyarah
mereka. Gagasan Persuratan Baru akan
memberikan mereka cara membaca dan menganalisis yang jauh berbeza daripada yang
mereka dibiasakan oleh para pensyarah mereka. Inilah cabaran ilmiah yang wajar
ditangani dengan objektif.
Saya ingin mencadangkan supaya para pelajar
sastera digalakkan membaca dengan kritis laporan Paneh Anugerah Sastera Negara untuk melihat
bagaimana teori sastera Barat digunakan dalam membuat penilaian karya-karya
para sasterawan negara. Pengalaman
intelektual begini berguna untuk mendidik para pelajar sastera melihat
bagaimana sekumpulan pakar sastera menilai
karya para sasterawan negara ini secara kreatif dan kritis. Mereka harus didedahkan kepada ciri-ciri
utama yang dipakai oleh Panel untuk membuat penilaian mereka. Antaranya, adakah ukuran yang mereka gunakan itu tepat dengan kualiti karya
yang mereka nilai, sehingga pandangan mereka boleh dikira objektif dan tepat
dengan ukuran yang mereka gunakan.
Misalnya, jika Panel berkara seorang sasterawan negara mempunyai kualiti
intelektual yang jelas dalam karya mereka, adakah penilaian ini cocok dengan
karya yang dipuji itu dan dengan kegiatan keseluruhan seseorang sasterawan
negara. Apakah yang dimaksudkan dengan kualiti intelektual itu? Dengan cara
ini, para pelajar sastera didedahkan kepada ukuran yang digunakan dan bagaimana
ukuran itu memang diserlahkan dalam karya yang dinilai. Terdapat kecenderungan di kalangan pembaca
yang kritis untuk tidak menerima segala pujian dan sanjungan para Panel Anugerah Sastera Negara
dalam laporan mereka sebagai tidak tepat dan boleh dipersoalkan keutuhan
akademiknya. Saya telah menurunkan beberapa contoh, terutama sekali yang mereka
lemparkan dalam Laporan 2012 (lihat
misalnya halaman 18, perenggan 2; hal. 20, perenggan 2; hal. 21 perenggan
3.) Pembaca laporan ini akan lemas dalam
pujian yang tidak setimpal dengan kualiti karya yang dipuji. Sekali lagi saya
persilakan anda membaca dengan kreatif dan kritis “Keunggulan yang Cacat” dalam
blog ini. Di situ anda diberi peluang seluas-luasnya untuk menolak hujah dan
pembuktian yang diberikan untuk anda menyokong laporan Panel Anugerah Sastera
Negara dan pendapat para sarjana yang naif dan tidak tepat ketika menilai karya
para sasterawan negara ini.
III
Kembali Kepada Konsep Ilmu Yang Benar
Pendekatan dan teori bukan untuk memuji karya
kreatif, sebaliknya digunakan untuk membaca karya itu dan memberi interpretasi
yang munasabah berasaskan teori atau pendekatan yang digunakan. Tetapi di
Malaysia, para sarjana menggunakan pendekatan dan teori sastera untuk memuji
karya para sasterawan negara, seperti yang mereka tunjukkan dalam kertas kerja
mereka ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara ini. Perbuatan ini naif dan salah. Ini bukan kerja ahli akademik atau pengkritik
sastera; ini kerja penjual ubat (sales
man). Majoriti sarjana dan
pengkritik sastera adalah para penjual ubat yang rajin, kerana kerja seperti
itu mudah dan tidak perlukan maklumat yang terkini. Tidak perlukan analisis dan
penghujahan yang mantap, cukup recipe
knowledge saja. Apabila recipe knowledge diberi kedudukan
akademik, maka hasilnya sangat menghampakan, apatah lagi jika ini berlaku dalam
penulisan tesis, hingga sampai ke peringkat Ph.D. sekali pun. Kerana terlalu besar keinginan penulis tesis
untuk mengangkat dan memuji sasterawan yang menjadi pilihannya, maka lahirlah tesis yang berserabut dengan
istilah yang digunakan tanpa sebarang pertimbangan ilmiah yang teliti. Untuk
sekadar penjelasan, rujuk “Keunggulan yang Cacat” dalam blog ini.
Apakah yang menghalang para sarjana dan
sasterawan untuk kembali kepada konsep ilmu yang benar? Alasan yang pernah saya
dengar ialah: Kerana semua ini dimulai oleh Mohd. Affandi Hassan. Kami tidak
suka cara beliau yang kasar dan biadab, tuduh semua orang bodoh dan tidak akademik. Kami sarjana yang terlatih dan ada Ph.D! Dia
ada apa? Yang saya tahu, setelah membaca komennya tentang syarahan perdana
Prof. Ungku Maimunah, ialah pendapat Prof. Rahman Shaari yang berkata PB itu
mudah saja, kalau saya mahu saya boleh tulis karya gaya PB bila-bila masa saja,
beratkan ilmu kurangkan cerita, jadilah karya PB. Cara Prof. Rahman Shaari memperkecilkan PB
bagi saya sangat unik. Beliau sebenarnya tidak membaca dengan mendalam, oleh
itu “beliau sebenarnya tidak tahu apa benda pun tentang PB” (Ini gaya
kampungan, gaya retorik teh tarik!).
Untuk membuat kesimpulan begitu mudah, tanpa sebarang maklumat yang asas
sekali pun tentang PB, diucapkan oleh seorang profesor, membolehkan saya berasa
amat ragu tentang “ilmu” yang dipunyai oleh profesor seperti beliau. Kalau
begitu, apa yang mereka ajarkan kepada para pelajar mereka? Mereka tidak
mendidik pelajar mereka mencintai ilmu,
sebaliknya membenci ilmu dan orang yang cuba membawa konsep ilmu yang
benar dalam persuratan Melayu moden. Bagi mereka perbuatan ini tinggi adabnya
dan bijaksana dari segi akademik. Kalau itulah pandangan anda, teruskanlah.
Biarkan pelajar anda dinafikan dari mendapat ilmu supaya anda semua boleh terus
memperbodohkan mereka. Tentang perkara ini, lama dahulu, dua dekad atau lebih, saya pernah menegaskan
inilah caranya mengajar menjadi bodoh. Masih diteruskan? Nampaknya tidak ada
perubahan, walaupun Panel Anugerah Sastera Negara dan para sasterawan selalu
berkata betapa perlunya perubahan. Inilah hegemoni dalam pengajaran sastera,
yang dibincang dengan geger dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.
Satu-satunya cara memajukan pemikiran dan
penulisan kreatif dalam persuratan Melayu moden ialah dengan mengembalikan
peranan ilmu yang benar dalam pembinaan tamadun bangsa. Menjadikan sastera
sebagai asas tamadun bangsa, seperti yang ditegaskan oleh Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia 2014, adalah satu kesilapan besar yang perlu diperbetulkan
serta-merta. Tidak ada kompromi untuk meneruskan hegemoni pandirisme dalam
pengajaran sastera di Malaysia, kalau kita mahu melihat persuratan Melayu moden
melonjak maju dari segi kreatif dan kritikan. Baca kembali kutipan daripada Gary Olson di
atas. Anda tidak boleh mencapainya dengan memanjat bumbung kilang berkarat
untuk bermimpi tentang kemajuan pemikiran. Bagaimana anda boleh berharap saya
memuji anda jika perbuatan anda memang bodoh?
Untuk memahami kesimpulan ini, baca kembali “Keunggulan yang Cacat”.
Kesimpulan
Saya telah memberi perhatian kepada para
pelajar sastera di sekolah menengah dan universiti kerana mereka telah
dinafikan daripada mendapat pilihan terbaik dalam pendidikan sastera dengan
tidak mendedahkan mereka kepada peranan ilmu dan konsep ilmu yang benar. Dalam hal ini, mereka telah dikhianati oleh
ahli akademik yang bersikap anti-ilmu tetapi taasub kepada teori sastera Barat.
Inilah sikap yang melahirkan pandirisme dalam kritikan sastera dan dalam
pengajaran sastera. Dengan membiarkan para pelajar menjadi pengikut pandirisme,
ketika mereka telah diberi peluang untuk mempelajari sastera dan kritikan
sastera berasaskan konsep ilmu yang benar yang ditekankan oleh gagasan
Persuratan Baru, maka para pelajar ini
terus dibiarkan berada di pinggiran dalam budaya ilmu dan budaya intelektual
kita, dengan hanya dibekalkan dengan recipe
knowledge yang cetek meraba-raba, seperti yang dijelaskan dengan mendalam
oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu
(1972). Inilah sebuah buku ilmiah yang
perlu dijadikan bacaan wajib kepada para pelajar universiti, bukan buku kritikan
yang picisan yang ditulis oleh Dr. Fatimah Busu. Para pelajar sendiri harus
bersikap terbuka untuk meneliti dengan kreatif dan kritis Gagasan Persuratan Baru,
edisi kedua, supaya mereka tidak terus
berada dalam budaya pendirisme yang sudah dijadikan arus perdana oleh para
sarjana dan pengkritik sastera yang bersikap anti-ilmu itu. Pesan saya kepada mereka, jangan biarkan diri
anda diajar menjadi bodoh ketika anda sudah ada pilihan terbaik untuk menjadi
cerdik. Kini anda berada dalam era
naratif kritikan yang dinamik, berasaskan konsep ilmu yang benar. Anda tidak
perlu lagi berada dalam kolam pandirisme yang sudah berlumut airnya. Sebagai pelajar, anda boleh mulai untuk
berubah menjadi cerdik dengan membaca “Rumah Impian Polan Cupan” secara kreatif
dan kritis. Kualiti pemikiran dan tahap
kognitif anda boleh diukur dengan mudah dengan melihat cara anda membicarakan
karya ini.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 17/3/2015.
No comments:
Post a Comment