(Kuliah Perdana Tahunan (2015), Gagasan Persuratan
Baru)
[Catatan: Mulai 2015, setiap tahun akan diadakan
Kuliah Perdana Gagasan Persuratan Baru, terbuka kepada sesiapa saja yang
berminat untuk menyiarkannya dalam blog ini. Boleh dalam bahasa Melayu atau
bahasa Inggeris. Panjang lebih kurang 20 halaman. Tajuk boleh apa saja yang
sesuai. Kekerapan bergantung pada sambutan.]
Epilog
Epilog ini mendahului prolog untuk
menegaskan kesimpulan saya bahawa pandirisme akan kekal dalam budaya
ilmu Malaysia diteruskan oleh para sasterawan dan sarjana serta pengkritik
sastera. Kehadiran Pak Pandir dalam
sastera rakyat memberi kemungkinan untuk diwacanakan dalam konsep pandirisme,
yang membolehkan kita memahami perilaku para sarjana, sasterawan dan pengkritik
sastera yang terus bercerita dalam tulisan mereka, menolak wacana berasaskan
ilmu yang benar sebagai asas analisis
yang mendalam. Kemampuan akademik mereka berada pada peringkat recipe knowledge saja, maka mereka hanya
dapat bercerita, bukan menganalisis dan mengemukakan pemikiran baru. Tulisan mereka dalam Seminar Pemikiran
Sasterawan Negara dan kebanyakan tesis Ph.D. mereka adalah gambaran pandirisme
ini. Semua ini hanya dapat dikesan
apabila gagasan Persuratan Baru muncul dengan kekuatan prinsipnya yang utama
bersandarkan konsep ilmu yang benar.
Pandirisme menolak kenyataan ini dan meneruskan kelangsungan mereka
sebagai hamba intelektual teori sastera Barat. Semua ini disokong dengan kuat
oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan sasterawan negara yang mereka lantik. Mereka adalah ahli kumpulan Mutual Admiration
Club. Tidak mungkin terjadi perubahan selagi mereka berlegar di kincir air
perhambaan intelektual Barat.
Pendahuluan
Kehadiran Pak Pandir sebagai tokoh teragung dalam
cerita jenaka Melayu, memberi makna yang besar dan penting dalam memahami
perilaku manusia intelektual, terutama sekali di Malaysia, tempat lahir Pak
Pandir. Sesuai dengan namanya, Pak
Pandir adalah tokoh paling bodoh dalam jenaka Melayu, totok berjiwa dan
berwatak Melayu, jujur dan penuh jenaka yang bersahaja. Walaupun bodoh dari
segi ceritanya, tetapi sangat tajam sindirannya dan bijaksana dari segi makna. Dari segi sindiran, perbuatan Pak Pandir
memilih padi hampa tentulah amat menghairankan: apakah pertimbangan Pak Pandir
ketika membuat pilihan itu? Jika
sindiran ini dilihat dari perspektif pandirisme, perbuatan itu amat tajam
sindirannya. Ini akan dijelaskan nanti. Dari segi makna pula, perbuatan Pak
Pandir adalah sia-sia dan membuang masa, tetapi mengapa diteruskannya?
Kedua-dua keadaan ini hanya dapat difahami jika dibaca dengan kreatif dan
kritis. Kalau kita membaca sejarah falsafah dunia, sebijak-bijak dan seteliti
Descartes pun bagi Husserl telah membuat kesilapan ketika merumuskan dualisme
dalam falsafah Barat, kerana baginya tidak realistik akibat terlampau percaya
kepada pemikiran peribadinya yang subjektif.
Tetapi Descartes dikatakan telah memulai era baru dalam falsafah Barat,
dan kesannya dari falsafah dualisme itu ialah wujudnya gerakan mencipta Artificial Intelligence
setelah sains kognitif Barat percaya bahawa jasmani yang berbentuk seolah-olah
sebuah jentera dapat ditiru untuk mencipta Artificial Intelligence yang jika
berhasil akan dapat mencipta cip komputer, seperti yang diangan-angankan oleh
Dr. Polan Cupan. Adakah Pak Pandir juga berada dalam situasi itu, terlalu
percayakan pilihan peribadinya bahawa itulah yang terbaik? Kita hanya dapat
memahami keadaan ini jika kita melihat tingkah-laku para sarjana sastera dan
para sasterawan, yang dari segi membuat pilihan persis seperti yang dilakukan
oleh Pak Pandir. Seperti Pak Pandir yang tahu padi berat, tetapi memilih padi
hampa, maka begitu jugalah para sarjana dan sasterawan yang tahu kelemahan
teori sastera Barat, masih terus bergantung pada teori Barat dan menolak konsep
ilmu yang benar walaupun mereka tahu itulah pilihan terbaik dan cocok dengan
kepercayaan agama mereka. Andai mereka menafikannya, sekurang-kurangnya mereka
harus menyatakan pendirian mereka berasaskan penelitian mereka yang teliti dan
teratur, yang membuat mereka menolak konsep ilmu yang benar itu dan masih terus
bergantung pada kepalsuan teori Barat
jika dibaca daripada perspektif konsep ilmu yang benar tadi. Dalam konteks
inilah saya mengemukakan pendapat Heidegger, Max Black dan Harry Farnkfurt,
yang akan dibahaskan nanti. Saya membawa
Husserl dan Descartes untuk menunjukkan walau betapa pun kuatnya pengaruh
Descartes dalam falsafah Barat, masih terdapat ruang yang luas untuk Husserl
mengemukakan falsafah fenomenologinya. [1] Demikianlah juga walau betapa
mendalam sekali pun pengaruh teori sastera Barat, masih terdapat kelemahan besar yang jika tidak dibahaskan
dengan mendalam, akan hanya berakhir dengan pandirisme. Walaupun para sarjana dan sasterawan Malaysia
tahu kepalsuan teori sastera Barat, dan perlu digunakan dengan amat
berhati-hati dengan kesedaran ilmu yang mendalam, namun mereka masih memilih
dan menggunakannya dalam kerja-kerja akademik mereka. Perbuatan ini, dalam
perkembangan intelektual Malaysia, dinamakan pandirisme. Seperti yang dapat
kita lihat, Pak Pandir adalah seorang tokoh empiris, yang mempunyai pengalaman
tersendiri dalam membuat pilihan, dan dia pun tahu membezakan padi hampa dengan
padi berat, sekurang-kurangnya dia diberitahu dan mendengar peringatan pesawah,
tetapi dia masih mengambil padi hampa. Apakah yang mendorongnya berbuat begitu?
Dia hanya ingin menyelesaikan masalah dan amanah Mak Andeh, yang menyuruhnya
membeli padi. Yang penting dia dapat padi itu, percuma pula, dan dengan itu dia
dapat membawanya pulang dan menyelesaikan masalahnya. Itulah keistimewaan Pak
Pandir, yang masih diteruskan oleh para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia
dalam konteks moden.
Beberapa
Aspek Padirisme dalam Penilaian Karya
Contoh dalam kekeliruan membuat pilihan ini sangat
banyak dalam penilaian karya sastera Melayu, termasuk dalam sayembara atau
penilaian tahunan untuk memilih karya untuk diberi hadiah. Antara
kajian yang menarik dalam aspek ini ialah makalah Prof. Ungku Maimunah, membicarakan
novel Azizi Haji Abdullah, Harga Sebuah
Maruah, yang memenangi sayembara menulis novel Dewan Bahasa dan Pustaka. Kalau dalam memilih padi hampa Pak Pandir melakukannya
untuk memenuhi permintaan Mak Andeh, maka dalam membuat pilihan terhadap karya
kreatif yang akan diberi hadiah, Panel yang ditugaskan untuk menilai
karya yang akan diberi hadiah, Panel berkenaan melaksanakan tugas mereka
persis seperti yang dilakukan oleh Pak Pandir: asal tercapai matlamat, sudah
cukup, tanpa mengambil kira sama ada penilaian itu tepat atau tidak dengan
syarat-syarat yang diberikan. Inilah aspek yang dibincang oleh Prof. Ungku
Maimunah Mohd. Tahir dalam makalahnya, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian
Sebuah Pemenang Sayembara”[2]. Dalam makalah itu, Prof. Ungku Maimunah
menganalisis ukuran yang dijadikan syarat sesuatu karya itu layak diberi hadiah
atau tidak. Antara ukuran yang ditetapkan, “panel telah meneliti 14 buah
manuskrip berdasarkan tiga kriteria iaitu adanya pemikiran, etika dan visi
hidup positif dalam persoalan, penampilan perwatakan positif serta dinamik, dan
kemampuan pengarang menggunakan teknik penulisan baharu yang berdaya kreatif
dengan gaya dan kebahasaan yang menarik.” (hal. 9 kertas). Dalam analisisnya, Prof. Ungku Maimunah tidak
mendapati ukuran yang ditetapkan itu menjadi ciri novel, tetapi panel penilai
sebaliknya menegaskan layak mendapat
hadiah kedua kerana memenuhi semua ciri yang ditetapkan. Inilah kesimpulan
Prof. Ungku Maimunah:
“Analisis
di atas menunjukkan wujudnya kepincangan yang amat ketara dalam penilaian dan
pengiktirafan novel Harga Sebuah Maruah.
Ternyata, kepakaran mantap dan mendalam tentang sastera yang semestinya ada bagi urusan penilaian dan
pengiktirafan, jelas tidak ketara. Malah kekeliruan dan kecetekan fahaman yang
terserlah, yang seterusnya dijadikan panduan penilaian. Analisis kritis dengan
mudah dapat mendedahkan bahawa dakwaan tentang kekuatan dan keistimewaan novel
itu sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh, yang boleh
dipertanggungjawabkan secara ilmiah. Malah dalam banyak hal, dakwaan yang
dibuat terang-terangan bercanggah dengan bukti dalaman novel yang dinilai.
Berdepan dengan keadaan seperti ini, adalah munasabah dan bertanggungjawab
sekiranya kepakaran yang mantap dan mendalam disyaratkan sebagai asas
penilaian, sementara laporan yang terhasil daripada penilaian tersebut
dipastikan lebih mantap dan bertanggungjawab, bukan dakwaan atau hujah yang
bersifat umum, jauh sekali retorik yang gah semata.
Kepincangan
penilaian yang diperlihatkan dalam analisis di atas menarik perhatian kepada
perkara yang lebih penting lagi iaitu kriteria penilaian yang tertumpu kepada
kefahaman prioriti cerita. Adakah
kriteria penilaian seperti ini yang terbaik bagi kita dan dapat menjamin akan
terhasilnya karya yang bermutu tinggi untuk diwariskan sebagai khazanah bangsa
yang boleh dibanggakan? Ternyata kefahaman tersebut mengetepikan ilmu iaitu
teras sebuah tamadun yang berjaya. Tentu
sekali mengekalkan kefahaman yang dingin terhadap ilmu bukanlah satu pilihan
yang bijak, lebih-lebih lagi apabila ada pilihan lain, yang bertunjangkan
keyakinan yang murni dan kefahaman yang utuh terhadap keutamaan ilmu dan
kerelevanannya dalam penulisan kreatif.
PB
menyediakan satu gagasan yang jelas tentang peri pentingnya ilmu itu
diutamakan, di samping peka pula terhadap kedudukan, fungsi dan bentuk
kehadiran cerita, dan dengan itu
memastikan karya kreatif dihasilkan dan dinilai dengan penuh wibawa, bebas dari kekeliruan dan
kekaburan di samping peka kepada seni. Ini adalah anjakan yang dinamik, yang
menjanjikan hasil persuratan yang tinggi ilmunya dan halus pula seninya. Dalam
konteks kesusasteraan Melayu, inilah sebenarnya anjakan yang diperlukan.” (hal.
30-31.)
Kesimpulan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir adalah
satu peringatan yang baik untuk difikirkan oleh para sarjana dan pengkritik
sastera, terutama yang selalu dijadikan anggota panel untuk memilih karya yang
akan diberi hadiah, termasuk Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Yang paling
menarik ialah semua sarjana dan pengkritik sastera yang menolak gagasan
Persuratan Baru menegaskan dengan berani, tanpa sebarang hujah dan analisis,
bahawa gagasan Persuratan Baru tidak sesuai dan tidak layak dijadikan kaedah
untuk menilai karya sastera Melayu, kerana sastera Melayu tidak ditulis
berpandukan gagasan Persuratan Baru, sebaliknya meniru dan berpandukan teori
dan kaedah penulisan sastera Barat.
Pendapat ini menarik kerana konsep “perhambaan ilmu”, atau jika kita
mahu lebih mentereng (smart, fine), boleh saja dipanggil “perhambaan
intelektual,” sudah diterima menjadi
budaya dalam kesusasteraan Melayu, oleh itu dari segi status amat
membanggakan. Walau apa pun namanya,
statusnya tetap hamba. “Perhambaan
intelektual” (untuk lebih mentereng) ini menjadi pegangan yang dipertahankan
dengan gigih oleh kumpulan Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu. Jikalau
anda membaca dengan teliti kesimpulan Prof. Ungku Maimunah di atas, anda akan
dapat melihat bagaimana pengaruh kognitif Pak Pandir (yang mengambil padi
hampa) menjadi ikutan anggota Mutual Admiration Club yang dari kumpulan
merekalah dilantik menjadi anggota panel untuk memilih karya untuk diberi hadiah. Sekarang anda dapat
melihat dengan lebih jelas bagaimana
aspek pandirisme ini menguasai para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera.
Sesiapa juga yang membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara dengan kritis
dan dengan kesedaran ilmu, akan melihat unsur pandirisme ini menjadi dasar
penilaian Panel. Kesimpulan ini tidak perlu dibuktikan, kerana laporan itu
sendiri menjadi bukti pandirisme itu.
Bagusnya ialah perkara ini tidak dijadikan isu ilmiah
di kalangan sarjana dan pengkritik sastera, oleh itu bagi mereka tidak ada isu
yang perlu diselesaikan. Kata mereka, satu-satunya isu ialah yang mereka
panggil “salakan anjing” yang bising yang sedang menggigit tulang palsu dan
tidak sedar tulang itu palsu. Maksud
mereka, gagasan Persuratan Baru hanya sejenis salakan anjing dalam dunia
akademik Malaysia untuk mengganggu ketenteraman kesusasteraan Melayu yang sudah
sekian lama berjasa dan kini telah melahirkan 12 orang sasterawan negara yang
telah dikenal-pasti dan dibuktikan memang sasterawan paling unggul di Malaysia
dan layak diberi gelaran sasterawan negara itu. Agak aneh, pandangan begini
disuarakan oleh golongan yang amat memelihara ketertiban dan kesopanan dalam
kritikan dan dalam penulisan. Mereka tahu, gagasan Persuratan Baru tidak
boleh ditolak secara akademik, oleh itu cara terbaik untuk menolaknya ialah
dengan melontarkan segala jenis kata-kata kesat sesama mereka untuk
menyenangkan hati mereka, tetapi tidak sedikit pun menggugat gagasan Persuratan
Baru. Inilah yang ditegaskan oleh Dr.
Fatimah Busu dalam bukunya, Nyanyi Sunyi Salam Maria vs Sarjana Nasi
Dingin: “Benar seperti kata
Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji Salleh, situasi seumpama ini samalah
seperti kita dikerkah oleh seekor anjing
kurap (huruf condong ditambah).
Justeru kita tidak mungkin dapat menendang anjing itu kerana kulitnya yang
berkurap” (hal. 162). Bagi seorang yang sangat bersopan dan beradab, seperti
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh,
kata-kata seperti ini memang wajar dijadikan bukti kesopanan dan ketertiban
beliau. Tidak sia-sia ahli falsafah Amerika, Max Black, menulis tentang golongan
humbug dalam masyarakat intelektual.
Saya sendiri amat kritis ketika membicarakan tokoh besar Malaysia ini, kerana
beliau adalah seorang tokoh terpenting dalam budaya pandirisme yang menjadi,
atau dijadikan, arus perdana dalam perkembangan intelektual kita. Itu saja yang
mendorong saya mengkritik tokoh besar ini, tidak ada motif yang lain seperti
yang sering dituduhkan oleh para penyokong beliau. Kedudukan beliau yang begitu
penting dalam kesusasteraan Melayu moden mengundang pandangan kritis supaya
murid beliau yang begitu ramai, 4000-5000 (mengikut anggaran beliau sendiri),
akan tampil untuk menolak semua kritikan ke atas mahaguru mereka. Tidak
mungkikn daripada jumlah yang begitu ramai tidak ada seorang pun yang lebih
ulung daripada mahaguru mereka.
Mereka perlu dimaafkan kerana kehadiran mereka tidak
dapat diremehkan. Mereka perlu terus dikritik dan kepalsuan mereka akan mereka
dedahkan sendiri. Sebenarnya inilah isu yang ingin mereka tutup dengan
menggunakan retorik Mephistopheles yang menjadi ikutan. Sebagai penutup dan kesimpulan bahagian ini,
saya ingin mengutip pandangan Dr. Muhammad Haji Salleh yang dirakamkannya dalam
kertas kerja Seminar Kritik Sastera Malaysia, Johor Baru 1973. Inilah pandangan
bernas beliau yang saya fikir perlu mendapat perhatian kita semua:[3]
“Sebagai seorang pengadil, seorang kritikus itu bukan
manusia yang mudah bertolak ansur di dalam hal nilai-nilai sastera – yang
mungkin dilonggarkan untuk kawan-kawannya dan diperketatkan untuk
musuhnya. Tulisan begini sebenarnya
bukanlah kritikan tapi propaganda: dan
ini leluasa sekali pada hari ini. Ada kumpulan-kumpulan penulis yang saling
memuji antara satu sama lain sebagai ahli-ahli suatu mutual admiration club. Di
dalam kumpulan-kumpulan begini penulis-penulis yang terlalu sederhana
kebolehannya dan daya kreatifnya ataupun fikirannya dipuji tinggi-tinggi dan
dibandingkan dengan pujangga yang besar di Barat. Ataupun dicarinya saja
sifat-sifat yang baik dan dibesar-besarkannya, dan dibutakannya mata penilainya
kepada keburukannya. Kepentingan
kritikan adalah kepentingan sastera dan bukan untuk kritikus itu sendiri atau
teman-temannya. Kita dan generasi yang akan datanglah akan rugi jikalau
kepentingan perseorangan atau kumpulan-kumpulan kecil ditempatkan di atas kepentingan sastera dan
kebudayaan. Dan ini tidak lebih dari
rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang rakus dan mencuri wang
rakyat. Kita tau apa yang akan jadi
kepada negeri yang ditulari oleh rasuah, dan kita pun tahu apa yang akan
terjadi kepada sastera yang korupsi,
kerana kita sendiri sedang mengalami akibat-akibatnya. Pengarang-pengarang begini bukan saja tidak
tenang dan adil di dalam tulisannya, tetapi sudah melanggar tatatertib dan
nilai-nilai sastera. Seorang kritikus itu harus mempunyai harga diri yang dia
tidak akan jualkan untuk sesiapa saja atau tujuan apa-apa pun.”
Kutipan ini menarik kerana inilah gambaran paling
tepat dalam projek sasterawan negara. Siapakah yang mendapat dan diberikan
gelaran itu kalau bukan dari kumpulan Mutual Admiration Club? Dalam tahun 1985,
A. Samad Said pernah memberitahu saya dia menerima anugerah itu setelah tawaran
terdahulu ditolaknya. Kata beliau, dia menerimanya kali ini atas desakan kawan-kawan.
Satu pengakuan yang jujur. Tetapi satu peristiwa yang cukup dramatik ialah
pemilihan Baha Zain, yang dikritik hebat oleh Shahnon Ahmad kerana tidak layak
dari segi hasil karya. Beliau ada hujah, kerana semua sasterawan bersetuju
bahawa Baha Zain diberikan gelaran itu sekurang-kurangnya kerana beliau antara
yang terawal menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara dan diulang beberapa
kali pula. Bagaimana dengan pemilihan Shahnon Ahmad sendiri, sebagai calon
kedua sebelum Usman Awang? Tentulah
cerita sebenarnya paling dramatik. Mengapa laporan tentangnya paling pendek dan seolah-olah
ditulis tergesa-gesa, tidak lengkap, meraba-raba mencari alasan untuk
membenarkan pemilihannya. Kita tidak akan tahu cerita sebenarnya, kerana
kejujuran bukanlah nilai utama di kalangan para sasterawan, walaupun mereka
selalu menuduh orang lain yang mereka tidak suka sebagai tidak jujur. Dalam hal ini A. Samad Said berbeza dari yang
lain-lain itu. Tahniah kepada beliau. Dalam
Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh
menghina para pengkritik sastera supaya
meniru dan belajar daripada Baha Zain. Satu-satunya pelajaran yang boleh
didapati daripada Baha Zain ialah pujian tinggi beliau terhadap sang profesor;
seperti sang profesor sendiri telah ditegur oleh Dr. Ramli Isin terlalu memuji
Baha Zain tidak pada tempatnya.[4]. Penghinaan paling besar oleh sang pensajak
ini ialah saranannya supaya sasterawan Malaysia meniru dan belajar daripada
Salman Rushdie, yang menulis The Satanic
Verses yang menghina Nabi SAW dan keluarga baginda, supaya karya mereka
bergemerlapan seperti novel itu. Mengingat profesor ini sendiri terpesona
dengan Mephistopheles ketika melawat Muzium Goethe, maka saranan ini tidaklah
aneh.[5]. Tetapi adakah ini pilihan
terbaik? Pertanyaan ini hanya boleh dijawab jika anda mempunyai ilmu yang benar
dan pengalaman intelektual yang luas dalam tamadun Islam dan juga tamadun
Barat. Anda juga perlu mengenal dengan
mendalam tradisi budaya Melayu sendiri, terutama dari segi prinsip dan teras
tamadun itu. Anda juga perlu mengenal tokoh-tokoh persuratan Melayu dan tahu
jasa-jasa mereka, dan anda juga membuat perbandingan adakah jasa para
sasterawan negara lebih besar dan lebih cemerlang daripada jasa-jasa tokoh
besar persuratan Melayu. Siapakah tokoh-tokoh itu? Yang boleh menjawab soalan
ini ialah para sarjana, para penyelidik dan pengkaji persuratan Melayu. Adakah
mereka wujud di negara kita? Soalan ini mungkin boleh dijawab oleh para sarjana
kita sendiri, yang memang mengetahui banyak maklumat tentang sastera Barat,
terutama tentang teori sastera Barat.
Mereka harus tampil ke depan untuk menjelaskan keraguan ini, supaya apa yang
dicadangkan oleh sasterawan negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh itu
boleh dipertahankan dan dijadikan pilihan terbaik untuk menjadi asas pembinaan
tamadun bangsa Melayu, bangsa Malaysia. Tidakkah persoalan ini dibincang dalam
Sidang Kemuncak Penulis Malaysia?
Menentukan bidang apa yang perlu dijadikan tajuk
perbincangan mungkin tidak sesulit yang ditunjukkan oleh para peserta Sidang
Kemuncak itu, andainya mereka menerima kedudukan ilmu dalam pembinaan tamadun.
Adakah mereka telah menolak peranan ilmu, lalu menggantikannya dengan konsep
sastera yang menurut mereka seharusnya menjadi teras negara bangsa? Apakah
fahaman sastera mereka? Adakah fahaman itu betul dan boleh dipertahankan secara
intelektual dan secara akademik? Tidak satu pun soalan ini boleh dijawab oleh
mereka sendiri, sebaliknya jikalau kita membaca buku yang mereka terbitkan,
yang mengandungi kertas kerja mereka, kita akan dapati mereka hanyut dalam idle talk sebagai satu kumpulan yang
dihuraikan oleh Prof. Max Black sebagai kumpulan humbug. [6]. Siapakah mereka
ini? Dalam definisinya, Prof. Max Black berpendapat begini:
“It would be satisfying to be able to end with some
concise and accurate definition. The best I can now provide is the following
formula:
HAMBUG: deceptive misrepresentation, short of lying,
especially by pretentious word or deed,
of somebody’s own thoughts, feelings, or attitudes.
This definition covers only first-degree humbug. For
second-degree humbug, produced by a
self-deluded speaker or thinker, the unsatisfactory reference to thoughts and
so on would need to be replaced by something like “thoughts … that might be
revealed by candid and rational self-examination.” I must leave the problems concealed in this
all too brief formulation for another occasion.”
Yang menarik dalam definisi ini ialah perkataan
“pretentious,” yang saya pakai bentuk Melayunya pretensi untuk dijadikan
istilah “pretensi intelektual” ketika menghuraikan tabiat berfikir yang sama.
Ketika istilah itu saya kemukakan, saya belum lagi membaca tulisan Prof. Max
Black. Saya jelaskan lagi bagaimana pretensi intelektual ini dikemukakan untuk
jualan murah dengan menggunakan ungkapan “fatamorgana bahasa”. Dalam konteks
ini, istilah “humbug” yang dihuraikan oleh Prof. Max Black merangkum kedua-dua
aspek yang saya bincangkan. Lihat entri bertarikh 10 Oktober 2014. Esei Max Black saya akses pada 21 Januari
2015. Bolehkah kita membuat kesimpulan
masalah ini adalah universal? Oleh itu, sasterawan dan sarjana Malaysia tidak
perlu berasa gusar. Mereka mempunyai ramai teman satu kelab di seluruh dunia.
Bezanya ialah, kerana taraf intelektual dan pendidikan yang masih rendah di
Malaysia, kumpulan “humbug” ini boleh berlagak dengan senang tanpa dikesan! Saya harap sekarang tidak lagi. Saya harap
sekarang kita sudah boleh dan bersedia untuk menentukan mana yang “humbug” mana
yang “genuine” di antara sarjana dan para sasterawan ini. Para sasterawan negara tidak termasuk, kerana
mereka semua adalah “genuine” dalam konteks masing-masing. Sebagai kumpulan yang ditonjolkan berada
dalam lingkungan pretensi intelektual, yang segar gemerlapan dalam fatamorgana
bahasa, mereka adalah yang paling “genuine” dalam kumpulan yang sejenis dan
setaraf dengan mereka. Dalam menghuraikan contoh ini, saya menggunakan langgam
yang dipakai dalam teknik stylization of ideas untuk menyampaikan makna
tersirat yang paling tepat dan objektif,
sesuai dengan kedudukan sebenar objek yang dibincang. Saya tidak perlu memanjat bumbung kilang
berkarat untuk bermimpi sambil menyampaikan maksud saya.
Tidak sia-sia Rumi berkata: If
your thought is a rose/ you are a
rose garden;/ if it is a thorn/ you are
fuel for the bath stove.
Pandirisme
Dalam Komuniti Dunia
Persoalan yang saya kemukakan di sini tidak pernah
dibincang dalam kesusasteraan Melayu, kerana kita tidak mempunyai pemikir yang
handal, apatah lagi seorang ahli falsafah. Tetapi di Barat perkara ini menjadi
penelitian mereka, seperti yang dapat kita lihat dalam makalah Max Black.
Martin Heidegger, ahli falsafah yang dikatakan failasuf terbesar Abad 20,
memberikan perhatian khusus dan serius terhadap masalah yang dipanggilnya “idle talk”. [7]. Konsep ini merujuk kepada kefahaman yang
keliru dan “cetek meraba-raba” di kalangan para intelektual terutamanya, yang
mereka utarakan atau perkenalkan kepada masyarakat sebagai sesuatu yang sudah
difikirkan dengan mendalam dan merupakan kefahaman mereka yang asli, bukan
bertenggek di atas pendapat orang lain yang tidak pun difahami dengan mendalam
dan kritis. Contoh paling baik telah diberikan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad
Haji Salleh ketika beliau mempersoalkan kesahihan teori sastera Barat untuk
menilai karya sastera Melayu [8], dan yang terbaru apabila beliau mengajak dan
mendesak para sasterawan Malaysia meniru Salman Rushdie [9]. Selepas membuat kejutan tentang teori sastera
Barat, beliau mendiamkan diri, buntu akal tidak dapat menjelaskan secara akademik mengapa beliau membuat pengakuan
seperti itu. Kalau Martin Heidegger masih hidup, saya tentu akan menulis kepada
beliau memberi contoh klasik ini, tentang “idle
talk” itu, supaya dapat dijadikan contoh di dalam buku beliau, dengan itu
kita dapat membantu membawa sasterawan negara kita ke peringkat antarabangsa.
Tetapi contoh ini mungkin akan muncul dalam tulisan dalam bahasa Jerman, jika
maklumat yang saya dapat yang mengatakan blog ini diikuti juga oleh pembaca
Jerman. Jadi saya telah dapat menumpang kemasyhuran seorang sasterawan negara
untuk bertenggek di bahunya dan menjadikan diri saya seorang pengkritik sastera
yang sudah mencapai taraf internasional!
Tetapi tentulah saya tidak termasuk ke dalam kumpulan yang keliru dan
“yang cetek meraba-raba” itu.
Selain idle talk,
terdapat satu lagi adik-beradiknya yang mendiami Amerika Syarikat, tetapi
berkeluarga dengan idle talk. Saya merujuk kepada konsep bullshit
yang dipopularkan oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit. [10]. Di Malaysia pula, bullshit akrab dengan pandirisme, yang diilhamkan oleh Pak Pandir,
ahli falsafah Melayu yang pertama yang cucunya Dr. Polan Cupan adalah seorang
genius dalam bidang nanotechnology,
yang belajar di Jerman. Baru-baru ini
cerita tentang Polan Cupan ini telah menarik perhatian anggota panel Hadiah
Sastera Perdana Malaysia dan telah diberi hadiah sastera.[11].
Pentingnya falsafah pandirisme ini akan dapat difahami
jika dilihat dalam konteks konsep bullshit.
Inilah pendapat Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya:
“One of the most salient features of our culture is
that there is so much bullshit. Everyone knows this. Each of us contribute his
share. But we tend to take the situation for granted. Most people are rather
confident of their ability to recognize bullshit and to avoid being taken in by
it. So the phenomenon has not aroused much deliberate concern, nor attracted
much sustained inquiry.” (Pendahuluan, perenggan pertama bukunya, hal. 1).
Sangat menarik, kerana inilah persis yang berlaku di
Malaysia di kalangan para sasterawan dan sarjana sastera. Contohnya mudah
didapati dalam tulisan dan dalam buku-buku mereka. Ini termasuk buku terbitan
ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa,
yang mengandungi kertas kerja para sarjana dan sasterawan yang mereka bincang
dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Inilah kali pertama para
sasterawan dan sarjana mengadakan “sidang kemuncak” membincangkan persoalan
sastera dan kedudukan mereka sebagai sasterawan. Biasanya paling mewah pun
mereka namakan “seminar kebangsaan” saja, tidak sampai ke tahap “sidang
kemuncak”. Apakah yang mendorong mereka untuk naik ke puncak persidangan itu?
Hal ini dibayangkan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, seorang
sasterawan negara, yang menulis kertas kerja “kontot” (untuk menggunakan
istilah Shahnon Ahmad ketika mengkritik Baha Zain yang menulis sajak-sajak
kontot, oleh itu tidak layak diberi gelaran sasterawan negara.) Kertas kerja
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menggunakan tajuk yang membayangkan
semangat “sidang kemuncak” itu: “Mimpi Sastera di Atas Bumbung Kilang yang
Berkarat”. Sayangnya sidang kemuncak itu
diadakan di Kedah, tidak di Johor, di pinggir Gunung Ledang. Tentulah tajuk ini
akan menjadi, “Mimpi Sastera di Atas Gunung Ledang yang Bersejarah”, kerana di situlah
Raja Melaka diminta oleh Puteri Gunung Ledang supaya menyediakan satu jambatan
emas dan satu perak dari Melaka ke Gunung Ledang; hati nyamuk tujuh dulang;
hati kuman tujuh dulang; air mata satu tempayan; air pinang muda satu tempayan;
darah Raja Ahmad satu mangkuk. Boleh
buat dan boleh diadakan, kata baginda, cuma tak sampai hati beta nak perah
darah anakanda beta sendiri. Saya tidak pasti adakah tidak peristiwa ini
dijadikan sajak oleh para sasterawan negara. Cerita lucu ini sangat penting,
jika kita ingat kembali amaran Rumi dalam mathnawinya tentang “joking is
teaching” yang terkenal itu. Jenaka Puteri Gunung Ledang hingga kini masih
tidak disedari oleh para sasterawan Malaysia, hatta di kalangan para sasterawan
negara sekali pun. Padahal inilah jenaka yang paling tajam dan paling lucu jika
anda lihat dalam konteks pandirisme yang menjadi teras kebudayaan para
sasterawan ini. Rupanya pandirisme ini sudah ada sejak zaman Melaka lagi. Bukan baru, oleh itu cocok sekali diwarisi
oleh para sasterawan, termasuk sasterawan negara. Sayang mereka tidak naik ke Gunung Ledang
untuk bermimpi di atas kemuncaknya dan turun lagi ke bawah untuk berada dalam
Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.
Apakah nanti yang akan terjadi? Mungkin ketika turun dari gunung itu
mereka membaca seratus sajak Puteri Gunung Ledang memujanya sebagai the first feminist in Malaysian history?
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh
akan minta kerajaan Malaysia mewujudkan Kerusi Puteri Gunung Ledang di
Universiti Penglipur Lara di Johor Bahru yang akan dibina sebagai menghormati
tokoh feminist pertama Malaysia itu. Tentu semua wanita Malaysia sangat gembira
apabila feminisme diberi taraf di raja.
Perhatikan beberapa kutipan daripada On Bullshit.
“Is the bullshitter by his very nature a mindless
slob? Is his product necessarily messy or unrefined? The word shit does, to be sure, suggest this.
Excrement is not designed or crafted at all; it is merely emitted, or dumped.
It may have a more or less coherent shape, or it may not, but it is in any case
certainly not wrought.” (italics in original, hal. 21-22).
Sebelum itu Prof. Frankfurt menjelaskan: “It does seem fitting to construe carelessly
made, shoddy goods as in some way analogues of bullshit. But in what way? Is the resemblance that
bullshit itself is invariably produced in a careless or self-indulgent manner,
that it is never finely crafted, that in the making of it there is never the
meticulously attentive concern with detail …?”
Anda akan faham maksud Prof. Frankfurt jika anda
membaca dengan teliti kertas kerja yang diterbitkan dalam Sastera Teras Negara Bangsa itu. Komen daripada beliau timbul
sebagai reaksi kepada satu keratan sajak Longfellow yang dikatakan oleh
Wittgenstein akan dijadikannya sebagai motto kerjanya. [12]. Apakah yang membuat seorang ahli falsafah
seperti Wittgenstein tertarik kepada sajak Longfellow? Sajak itu menyatakan
ketelitian seniman, atau sesiapa juga yang menggunakan akal atau kemampuan
inteleknya untuk berfikir dan menulis, akan memastikan hasilnya tidak saja
kemas dan cantik, tetapi juga menepati tujuannya. Inilah dua baris daripada
Longfellow: Builders wrought with
greatest care/ Each minute and unseen part.
Inilah penjelasan Prof.
Frankfurt:
“The point of these lines is clear. In the old days, craftsmen did not cut
corners. They worked carefully, and they took care with every aspect of their
work. Every part of the product was considered, and each was designed and made
to be exactly as it should be. These craftsmen did not relax their thoughtful
self-discipline even with respect to features of their work that would
ordinarily not be visible. Although no one would notice if those features were not
quite right, the craftsmen would be bothered by their consciences. So nothing was
swept under the rug. Or, one might perhaps also say, there was no bullshit.”
(hal. 20-21).
Bolehkan kita ambil
pemerhatian “profesor of bullshit” ini sebagai panduan untuk menilai kertas
kerja yang termuat dalam buku Sastera
Teras Negara Bangsa? Tidak ada salahnya jika kita cuba membuat perhitungan
agaknya berapa banyak bullshit di dalam buku itu. Yang paling jelas ialah
kertas kerja kontot Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tidak menepati
ukuran yang dicadangkan oleh Longfellow dalam sajaknya. Bagaimana dengan kertas
kerja seorang sasterawan negara lain yang menulis tentang “Pengarang Dengan
Dunia Sekitarnya”? Awal-awal lagi dia telah menimbulkan masalah apabila menggunakan istilah “magnum opus” untuk
mencirikan Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Kedua-dua hikayat ini memberi fokus yang
berbeza: Hikayat Hang Tuah tentang
pahlawan Melayu, sebuah hikayat feudal yang menceritakan perihal rakyat Melayu
yang menjadi hamba raja. Sejarah Melayu pula menceritakan jalur keturunan raja-raja
Melayu yang berasal dari Benua Keling yang membawa segala macam peralatan untuk
pertabalan raja-raja Melayu. Cerita asal
usul raja-raja Melayu dalam Sejarah
Melayu dimulai dengan satu kisah yang aneh dan amat menghairankan: perihal
anak raja (?) keturunan India berwaad setia
dengan pembesar Melayu. Selepas itu raja yang baru dilantik merogol “kurang esa
empat puluh” puteri Melayu kononnya melalui perkahwinan, semuanya tidak layak
menjadi isterinya, semuanya kedal lepas ditiduri satu malam. Sesenang itukah
golongan yang mengaku raja ini melakukan kejahatan atas nama daulat? Begitu
hebat daulat raja India Selatan ini, membuat Demang Lebar Daun, Penghulu orang
Melayu Palembang, menjadi takut, lalu menyerahkan anak perempuannya yang cantik
untuk menjadi isteri raja yang baru dilantik itu. Dalam perjanjian (waad)
antara raja dan Demang Lebar Daun, Raja memerintahkan keturunan mereka tidak
boleh diderhakai; manakala Demang Lebar Daun memohon rakyat tidak boleh
dimalukan, kalau bersalah terus bunuh saja. Sejak terbinanya kerajaan Melaka,
entah berapa ribu rakyat telah dibunuh hasil perjanjian ini, tetapi
pemberontakan hanya berlaku sekali, ketika Hang Jebat membela Hang Tuah. Dalam
politik Melayu, hanya rakyat yang perlu taat setia kepada raja; manakala raja
tidak perlu taat setia kepada rakyat kerana konsep itu tidak ada dalam sistem
politik perajaan. Oleh itu ketika
British membentuk Malayan Union, raja-raja Melayu semuanya menurunkan tanda
tangan mereka, bersetuju dengan projek British itu. Adakah ini cara menunjukkan
kesetiaan kepada rakyat? Mereka tidak tahu pun raja-raja ini telah setuju,
tanpa memberitahu mereka (yakni rakyat). Inilah Sejarah Melayu. Adakah hikayat ini layak diangkat menjadi magnum
opus bangsa Melayu? Di zaman Melaka,
raja sangat setia kepada perjanjian yang dicapai, oleh itu tidak seorang pun
rakyat yang tidak disukai raja dibiarkan menanggung malu, melainkan dibunuh
terus. Walaupun Melaka dikatakan negara Islam dan menjalankan undang-undang
Islam, tetapi dalam hukuman yang dilaksanakan raja, dipakai undang-undang
Hindu. Sejarah Melayu tidak menyebut
ini sebagai satu perkara pelik, apatah lagi dianggap zalim. Dalam aspek ini, Sejarah Melayu telah bercerita benar;
tetapi dari segi makna dan keadilan, semua ini adalah bullshit saja. Oleh itu gelaran magnum opus untuk hikayat ini tidak
mencerminkan kebijaksanaan sarjana moden, malah sebaliknya. Paling baik, dan
amat sesuai, hikayat ini bolehlah kita gelar karya warisan feudal saja, kerana
di dalam hikayat itu itulah saja ceritanya. Orang Melayu yang diajar menjadi
hamba sejak sekian lama, menerima saja perhambaan itu walaupun bertentangan
dengan hukum Islam. Ketakutan Melayu terhadap raja-raja mengatasi ketakutan
mereka kepada Allah SWT. Inilah kemuncak pandirisme dalam kebudayaan Melayu.
Dalam kes yang menarik
ini, kita rujuk pandangan penyusun buku Dictionary
of Literary Terms and Literary Theory (1051 halaman), J. A. Cuddon.
Magnum opus: A major literary work,
perhaps a writer’s masterpiece. These
days the term is often used ironically.
Menurut Collins
Cobuild Learner’s Dictionary: “When
you make an ironic remark, you say something that you do not mean, as a joke.”
Para sarjana dan
sasterawan Malaysia sangat suka menggunakan perkataan Latin ini, kerana ada
prestij, konon. Oleh itu semua sasterawan negara mempunyai magnum opus mereka
masing-masing. Contoh: Shahnon Ahmad saja ada dua tiga buah, terutama sekali Ranjau Sepanjang Jalan. Demikian juga A.
Samad Said, bermula dengan Salina
sebagai novel Melayu pertama yang dinaikkan taraf ke peringkat antarabangsa
oleh sarjana Belanda, diikuti Langit
Petang dan Hujan Pagi, termasuk juga sajaknya Al-Amin.
Semua ini menjadi keliru dan masuk ke dalam kumpulan bullshit apabila Ranjau Sepanjang Jalan dan Salina dianggap sebagai magnum opus
sastera Melayu moden, padahal kedua-dua novel ini hanya novel picisan saja.
Sekiranya anda mahu memasukkan novel-novel ini sebagai magnum opus
masing-masing penulisnya, itu pilihan anda berasaskan cita rasa anda sendiri;
tetapi anda tidak boleh dengan sewenang-wenang mengangkat novel-novel ini
sebagai magnum opus sastera Melayu moden.
Anda harus membacanya dengan kritis dari mod bacaan intelektual, bukan
hanya mod bacaan cerita semata-mata. Kalau ini pun anda tidak tahu
membezakannya, bagaimana pula anda boleh menentukan kedua-dua novel ini magnum
opus sastera Melayu moden? Apa ukuran anda? Kedua-dua buah novel ini kebetulan
mendapat pujian daripada dua sarjana Barat. Adakah itu ukuran anda? Kalau anda
tanyakan pada Prof. G. Frankfurt, dia akan menempelak anda dengan sepatah perkataan
saja, Bullshit! Sekarang anda tahu
apa maksudnya menjadi hamba intelektual Barat. Perhambaan intelektual kepada
Barat, dan perhambaan kesetiaan kepada raja-raja Melayu, adalah dua prinsip
penting dalam ukuran yang dipakai oleh para sarjana dan sasterawan Melayu.
Itulah sifat-sifat bullshitter!
Contoh Waad Sejarah Melayu penting kerana
inilah dasar politik Melayu yang telah dilembagakan. Selepas
Malayan Union, muncul Waad
Malayan Union dengan tambahan pelakon baru, penjajah British. Raja-raja dan
Demang Lebar Daun moden yang mewakili orang Melayu UMNO bersetuju dengan
Malayan Union yang diberi nama baru Perjanjian Persekutuan dengan sedikit
pindaan yang pada umumnya merugikan rakyat, iaitu persetujuan raja-raja dan
wakil Demang Lebar Daun untuk menerima secara terus semua penduduk Malaysia
menjadi rakyat. Ini dinamakan persetujuan bersama, satu social
contract dengan pelakon baru yang bukan berasal dari Tanah Melayu tetapi
dibawa masuk oleh British untuk mengerjakan kebun getah dan bijih timah mereka. Tidak saja Melayu kehilangan hasil bumi,
tetapi juga kehilangan kuasa politik untuk kemudiannya mendapat kuasa politik yang telah disesuaikan
dengan keperluan British yang dijamin kukuh dalam semua sistem, termasuk
pentadbiran agama Islam. Cukup lama golongan Waad Malayan Union ini berkuasa Malaysia/Malaya, sehingga dengan
cara mengejutkan, muncul Anwar Ibrahim sebagai pencabar. Tetapi Anwar Ibrahim dipenjarakan 9 tahun kerana rasuah dan salah laku seks
dengan pemandunya. Pada 10 Februari
sekali lagi dia dihantar ke penjara 5 tahun kerana melakukan seks di luar
tabii. Dalam politik Malaysia, Anwar Ibrahim muncul sebagai pencabar terkuat
dan paling berpengaruh ke atas Waad Malayan Union. Usahanya supaya dibicarakan di Mahkamah
Syariah, ditolak kerana tidak ada hukum hudud di Malaysia kerana hukum hudud bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia yang
satu-satunya sumber hukum yang menyeluruh, oleh itu sebarang undang-undang yang
bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia tidak sah. Waktu Anwar Ibrahim dihantar
ke penjara, pada hari dia dijatuhkan hukuman, Perdana Menteri Malaysia
mengumumkan Indeks Maqasid Syariah dalam lapan perkara, termasuk indeks untuk
melindungi nasab dan keturunan dan kemuliaan maruah manusia. Dengan membuat pengumuman pada hari itu, Perdana Menteri telah membuktikan sikap
prihatinnya terhadap pelaksanaan undang-undang Islam dan telah berjaya
menghantar pengkhianat perjuangan Islam ke penjara. Anwar Ibrahim tidak boleh
dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana tidak ada saksi, kecuali yang menuduh. Dalam setiap kes mengenai Anwar Ibrahim,
motifnya ditetapkan terlebih dahulu oleh para perancang, selepas itu disiapkan
skrip dan jenis-jenis undang-undang atau
peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk memastikan Anwar Ibrahim dipenjarakan dan
dihancurkan kewibawaannya sebagai seorang pejuang Islam. Begitu kuat pengaruh
skrip politik (ada orang panggil konspirasi) ke atas kawan-kawan Anwar Ibrahim
sendiri sehingga ramai yang bertukar menjadi musuhnya. Kita lihat bagaimana
perbicaraannya disensasikan, hatta pada satu ketika dibawa tilam yang melekat
air maninya, padahal ketika itu tempat berlakunya kejadian itu belum lagi
terbina. Tidak mengapa, kata hakim, kerana yang penting buktinya ada. Jadi
Anwar Ibrahim boleh dijadikan contoh bagaimana Indeks Maqasid Syariah
ditafsirkan oleh para ulama dan ahli akademik yang bekerja untuk UMNO, bukan
untuk Islam. Kita lihat bagaimana undang-undang dan Perlembagaan hasil Waad Malayan Union telah menyelamatkan
UMNO, bikinan British sendiri. Ahli sejarah J. de V. Allen dalam bukunya, The Malayan Union (Yale University
Press, 1967), memberitahu: “UMNO was not only allowed to meet and organize
itself openly during 1946 but was apparently encouraged to do so by the
permission granted to Malay civil servants to join it”. (hal. 25)
Seterusnya Prof. G.
Frankfurt menegaskan lagi:
“Why is there so much
bullshit? Of course it is impossible to be sure that there is relatively more
of it nowadays than at other time. There is more communication of all kinds in
our time than ever before, but the proportion that is bullshit may not have
increased. Without assuming that the incidence of bullshit is actually greater
now, I will mention a few considerations that help to account for the fact that
it is currently so great.
Bullshit is unavoidable whenever circumstances
require someone to talk without knowing what he is talking about. Thus the
production of bullshit is stimulated whenever a person’s obligations or
opportunities to speak about some topic exceeds his knowledge of the facts that
are relevant to that topic. This
discrepancy is common in public life, where people are frequently impelled –
whether by their own propensities or by the demand of others – to speak
extensively about matters of which they are to some degree ignorant. Closely
related instances arise from widespread conviction that it is the
responsibility of a citizen to have opinions about everything, or at least
everything that pertains to the conduct of his country’s affairs. The lack of
any significant connection between a person’s opinions and his apprehension of
reality will be even more severe, needless to say, for someone who believes it
his responsibility, as a conscientious moral agent, to evaluate events and
conditions in all parts of the world.
The contemporary
proliferation of bullshit also has deeper sources, in various forms of
skepticism which deny that we can have any reliable access to an objective
reality, and which therefore reject the possibility of knowing how things
truly are. These “antirealist” doctrine undermine confidence in the value of
disinterested efforts to determine what is true and what is false, and even in
the intelligibility of the notion of objective inquiry. One response to this loss of confidence has
been a retreat from the discipline required by dedication to the ideal of correctness to a quite different sort of discipline,
which is imposed by pursuit of an alternative ideal of sincerity. Rather than
seeing primarily to arrive at accurate
representations of a common world, the individual turns toward trying to
provide honest representations of himself. Convinced that reality has no
inherent nature, which he might hope to identify as the truth about things, he
devotes himself to being true to his own nature. It is as though he decides that since it
makes no sense to try to be true to the facts, he must therefore try instead to
be true to himself.
But it is preposterous
to imagine that ourselves are determinate, and hence susceptible both to
correct and to incorrect descriptions,
while supposing that the ascription of determinacy to anything else has been exposed as a
mistake. As conscious beings, we exist only in response to other things, and we
cannot know ourselves at all without knowing them. Moreover, there is nothing in theory, and
certainly nothing in experience, to support the extraordinary judgment that it
is the truth about himself that is the
easiest for a person to know. Facts about ourselves are not peculiarly solid
and resistant to skeptical dissolution. Our natures are, indeed, elusively insubstantial –
notoriously less able and less inherent
than the nature of other things. And insofar as this is the case, sincerity
itself is bullshit.” (hal. 62-67; italics in original.)
Satu kutipan yang
panjang, tetapi perlu, supaya anda faham apa maksud bullshit dan mengapa saya anggap kutipan panjang ini penting dalam
konteks untuk memahami falsafah pandirisme. Kata-kata terakhir Prof. Frankfurt,
“And insofar as this is the case, sincerity itself is bullshit.” Sincerity
dalam konteks beliau tidak sama dengan ikhlas dalam Islam. Di situ maksud
beliau ialah true to his nature,
seperti yang ditunjukkan oleh Pak Pandir yang memilih padi hampa walaupun telah
diberitahu bukan padi berat. Cara berfikir dan bertindak yang dicontohkan oleh
Pak Pandir adalah teras semua perilaku yang bercorak bullshit. Dalam konteks inilah saya membuat kesimpulan, buku Sastera Teras Negara Bangsa adalah
contoh terbaik apa yang dimaksudkan dengan bullshit
dalam kebudayaan dan kesusasteraan Melayu moden. Sekarang saya akan jelaskan
kesimpulan saya.
Sesuai dengan sifat
dan sikap anggota Mutual Admiration Club, Anwar Ridhwan, seorang sasterawan
negara, memetik pendapat seorang sasterawan negara lain, Prof. Emeritus Dr.
Muhammad Haji Salleh tentang makna genius kononnya sang profesor telah memberi
definisinya. Apa yang dibuat oleh sang
profesor bukanlah definisi, tetapi sekadar melaporkan hasil bacaannya yang tidak
mendalam tentang makna dan maksud
genius: “seorang genius itu harus memperlihatkan keaslian, keupayaan berfikir
secara kreatif, meneroka idea dan teknik baru, yang belum diterokai sebelumnya,
dan dengan cara yang demikian menyumbang ilmu baru kepada masyarakat manusia.”
Sekali imbas kelihatan sangat bagus, tetapi bila anda lihat satu persatu
ciri-cirinya anda akan dapati inilah contoh idle
talk, yang dihuraikan dengan mendalam oleh Max Black sebagai humbug, yang di dalam analisis Prof.
Frankfurt, adalah bullshit. Anda
harus membaca semula berkali-kali kutipan yang saya berikan untuk melihat mengapa
saya mengatakan “definisi” yang dirumuskan oleh sang profesor itu hanya idle talk dan seterusnya. Kita lihat ini
dalam konteks magnum opus yang digunakan untuk mencirikan dua buah hikayat
Melayu yang terkenal itu. Apakah yang
asli dalam hikayat itu atau dalam cara pengarangnya mempersembahkan
hikayatnya? Hikayat itu sendiri penuh
dengan ambilan dari luar, terutama dalam Sejarah
Melayu. Semua orang yang pernah membaca kritikan tentang karya ini tahu
inilah ciri utama hikayat Melayu ini.
Dengan itu yang asli itu apanya? Semua hikayat Melayu mengandungi unsur
“pencurian teks”, yang kini disebut “pengaruh luar”, atau lebih seronok lagi
didengar sebagai “kesan intertekstual”. Sekarang yang dikatakan asli itu ialah
kepandaian mencedok pemikiran orang lain, yang sangat jelas diperlihatkan dalam
karya para sasterawan negara kita sendiri. Ambil saja karya Prof. Emeritus Dr.
Muhammad Haji Salleh, apakah yang asli? Panel Anugerah Sastera Negara sendiri menyatakan, melalui pengakuan Muhammad
Haji Salleh sendiri, bahawa beliau mengambil idea beberapa penulis Barat, yang menulis sajak
atau yang menulis kritikan sastera. Contoh: dengan menggunakan idea Roland Barthes,
apakah idea baru yang bernas yang ditemui oleh Prof. Muhammad Haji Salleh
ketika membicarakan sastera Melayu tradisional? Lihat sanggahan saya tentang
hal ini [13 ]. Adakah dengan
menterbalikkan makna legenda Si Tanggang, pensajak Muhammad Haji Salleh telah
menunjukkan keaslian tafsiran atau sebaliknya, hanya kesongsangan bacaan yang
jelas sekali bertentangan dengan makna dan maksudnya dalam kebudayaan Melayu?
Perkara ini dibangkitkan di sini untuk menunjukkan bahawa konsep “asli atau
keaslian” itu perlukan penjelasan, jika mahu dipakai untuk mencirikan sesuatu.
Adakah setiap perkara perlukan ciri “asli” itu? Pasti tidak. Contoh yang “asli”
itu ialah dalam konsep pandirisme, yang mencirikan kesusasteraan Melayu moden
sekarang. Dengan menggunakan konsep ini, anda boleh membantu pembaca dan
penyelidik memahami mengapa kita menghadapi masalah yang disebut idle talk, bullshit dan humbug itu.
Tetapi pandirisme bukanlah suatu yang boleh dikatakan asli, kerana puncanya
hanya tafsiran tentang empirisisme Pak Pandir
yang dijadikan cabaran
intelektual supaya sasterawan dan sarjana Melayu dapat melihat di mana mereka
sedang berada sekarang dan sedang bersedia hendak ke mana mereka sebenarnya. Dalam
cerita Si Tanggang (Malaysia), Nakhoda Manis (Brunei) dan Malin Kundang
(Sumatra), kita dapati polanya sama saja, tentang jahatnya sifat menderhaka
kepada ibu dan betapa manusia tenggelam punca setelah menjadi kaya raya dan
terhormat. Itu yang menjadi asas dongeng ini, dan ajaran itu serasi dengan
ajaran Islam. Mengapa mesti diubah dengan nilai palsu dan yang menyesatkan
dengan melontarkan idea “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar” ketika bercerita
tentang Tanggang moden? Kalau itulah maksud asli, maka “keaslian” demikian
sangat cetek dan mengelirukan, hasil dari kegagalan memahami kebudayaan
sendiri, keliru dan cetek meraba-raba dari segi ilmu. Sekarang konsep asli ini
sudah tidak dipakai lagi di Barat dalam kritikan sastera mereka diganti dengan
konsep baru “intertekstualiti” dan ini digunakan oleh Dr. Mawar Shafie untuk
menghuraikan “keaslian” Anwar Ridhwan dalam novel-novelnya. Kalau anda baca
semua ini sebagai seorang pembaca yang matang dan luas sedikit ujana ilmunya,
anda akan berasa kasihan kepada “budak- budak akademik” ini yang terlalu
seronok menggunakan istilah dan kaedah yang tidak memberi apa-apa makna dalam
kehidupan manusia yang ingin mencari ilmu yang benar. Itulah kuncinya. Dengan
menggunakan konsep dan kaedah intertekstualiti, anda boleh mencuri apa saja dan
akan diberi pujian pula. Baca buku Dr. Mawar Shafie, Intertekstualiti dalam Novel Melayu. Buku ini berasal daripada tesis
Ph.D. beliau, khusus untuk membicarakan Anwar Ridhwan dan seorang penulis
Indonesia.
Lain –lain ciri yang
disebut untuk mencirikan sang genius, “berfikir secara kreatif”, yakni boleh meneroka
idea dan teknik baru, menyumbang ilmu
baru kepada masyarakat manusia, maka semua ciri ini perlukan penjelasan dan
penjelasan itu terkandung dalam konsep ilmu yang benar bagi seorang sarjana
Islam. Ambil saja teknik baru, misalnya “stream
of consciousness” yang digemari itu, maka anda dengan mudah akan
tergelincir ke gaung erotik yang berlebihan, menjadi penulis yang membenarkan
yang biadab dan kurang ajar dilihat sebagai teknik baru. Kalau kita faham apa
maksud pembinaan tamadun dan peradaban, yang sering disebut dalam Sastera Teras Negara Bangsa, maka menjadi
biadab dan kurang ajar bukanlah cara membina tamadun dan peradaban, oleh itu
jika anda mahu menggunakan apa juga teknik, maka teknik dan apa-apa pun yang
anda panggil harus akhirnya kembali kepada hakikat insan dalam Islam. Jika anda
keliru dan sesat dalam persoalan ini, maka anda bukan seorang genius, tetapi
seorang Salman Rushdie yang amat disanjung
oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh itu. Adakah Mephistopheles seorang
genius? Penulis Faust, kata Annemarie
Schimmel, hanya seorang pemain guli jika dibandingkan dengan Rumi. Jadi genius
ada taraf tertentu. Mana satu pilihan anda? Untuk menjawabnya, anda
mestilah tidak keliru dalam memahami
konsep ilmu. Kalau tidak, maka jadilah anda menggunakan sincerity dalam konteks bullshit,
seperti yang disebut oleh Prof. Frankfurt. Saya telah menurunkan satu kutipan
daripada buku Fazlur Rahman, Major Themes
of the Quran, dalam tulisan saya yang lalu, dan diulang-ulang supaya ahli
akademik Melayu lebih berhati-hati.
Inilah kutipan itu untuk peringatan: “Given the depth of human self-deception, how important it is that man
be “awakened” to his real nature, to be responsible before God, to think
thoughts and do deeds that would be consequential, for upon this depends the whole destiny of
man and of God’s purposes for man.” (hal. 33).
Jika anda membaca dengan berhati-hati kutipan panjang
daripada Prof. Frankfurt di atas, anda akan dapati “the depth of human self-deception” itulah yang melahirkan segala
macam bullshit yang dihuraikan oleh
beliau. Bermegah dengan idle talk
sebagai seorang humbug saja. Oleh itu apabila Dr. Anwar Ridhwan mengutip
pendapat Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam tulisannya (hal. 214)
tentang konsep khalifah, maka kutipan itu tergantung tidak bertali, seperti
belon sedang terbang, kerana tidak dikaitkan
oleh beliau dengan aspek lain daripada konsep khalifah itu, yakni manusia sebagai hamba Allah SWT. Itu yang
mesti didahulukan, bukan kedudukannya sebagai khalifah tanpa menerima kedudukan
pertama itu. Kekeliruan ini boleh dielak
dengan mudah jika beliau menerima dan menggunakan konsep taklif. Kita tidak faham
mengapa beliau menolak taklif, padahal dalam taklif itu terangkum konsep
manusia sebagai hamba Allah dan khalifah Nya di dunia. Dan yang lebih penting lagi, konsep taklif itu
begitu lengkap dengan tiga rahsia taklif: ilmu pengetahuan, keadilan, usaha
ikhtiar. Hanya pendekatan bullshit saja yang boleh membawa seseorang sarjana
Muslim kepada kekeliruan yang tidak perlu ini. Dan kekeliruan ini terlihat
dengan jelas ketika beliau memuji projek International Baccalaureate (BI) yang
menjadi kegilaan baru di Malaysia sekarang, seolah-olah inilah program yang
boleh mencerdikkan sasterawan dan pelajar Melayu. [14]. Bagaimana dengan para
sarjana? Mereka harus dicerdikkan terlebih dulu kerana merekalah yang akan
mengajar pelajar mereka menjadi cerdik. Keterpegunan
sasterawan negara ini tidak bertempat,
mengelirukan dan menampakkan sikap tidak peduli beliau kepada pemikiran Prof.
Syed Muhammad Naquib a-Attas yang telah menulis begitu banyak risalah dan buku
membicarakan masalah pendidikan ini menurut pandangan Islam. [15]. Definisi pendidikan dalam Islam diberikan oleh
beliau dalam Islam and Secularism
yang dirujuk oleh Anwar Ridhwan.
Sekiranya beliau baca buku yang beliau rujuk, dan tidak terkesan sedikit
pun tentang aspek pendidikan ini, maka jelaslah beliau meletakkan rujukan itu
hanya sebagai sejenis pretensi intelektual yang tidak bermakna apa-apa. Beliau begitu terpesona dengan International
Baccalaureate (IB) ini. Katanya: “Program ini memberatkan pembelajaran teori
ilmu pengetahuan, atau Theory of
Knowledge (TOK) kepada semua pelajar diplomanya. Tujuannya adalah agar
pelajar memperoleh pemahaman serta interaksi yang lebih luas tentang
subjek-subjek yang dipelajari, di samping melakar keterbukaan minda pelajar
seluas-luasnya, dengan cara menawarkan subjek-subjek yang lain yang sesuai.” Bagi
yang tidak tahu implikasinya, nampak seolah-olah ucapan ini cerdik, padahal
hanya sejenis bullshit. Apakah jenis ilmu yang diajar? Bolehkah diyakini akan
membuat pelajar lebih terbuka pemikirannya?
Sikap terbuka penting, tetapi lebih penting memahami konsep ilmu yang
betul, yang memang tidak diberikan oleh IB dalam kurikulumnya. Ini tidak
penting bagi mereka, tetapi sangat penting bagi pelajar Islam. Dilihat dari
kurikulum yang disediakan, pelajar Islam akan jadi lebih keliru dan mungkin
akan mudah dipengaruhi oleh cara membicarakan TOK itu, yang menolak sama sekali
sumber dari wahyu. Malah ketika membicarakan soal wahyu dalam salah satu
dokumennya, dipetik pendapat Paderi Montgomery Watt yang terkenal di kalangan
sarjana Malaysia: Watt
notes, "To say that Muhammad was sincere does not imply that he was
correct in his beliefs. A man maybe sincere but mistaken. The modern Westerner
has no difficulty in showing how Muhammad may have been mistaken. What seems to
a man to come from 'outside himself' may actually come from his
unconscious." Perhatikan ayat paderi ini: “A man maybe sincere but mistaken.” Bagi kita yang tahu Islam, inilah bullshit
tertinggi, diucapkan dengan penuh perasaan benci dan sedikit pun tidak
mempunyai nilai akademiknya. Inilah hakikat munafik di kalangan “sarjana”
Barat, yang tidak dapat dikesan jika anda menggunakan metode Pak Pandir,
walaupun anda mungkin boleh mengaku bersikap empiris. Kita yang tahu cerita Pak
Pandir akan terasa sangat marah apabila paderi ini meletakkan “sincere”
seolah-olah dalam konteks Pak Pandir. Memang itu maksudnya. Inilah salah satu
cara yang digunakan oleh IB untuk
menolak Islam, to discredit Islam, di samping menghina Nabi SAW. Cara lain ialah
dengan mendedahkan pelajar kepada “kehebatan” Yahudi dan “kezaliman” Hitler
melalui karya budak Yahudi yang sangat terkenal, Anne Frank yang menulis The Diary of Anne Frank. (Dokumen yang saya baca menyebut digunakan di
sekolah di Florida; tetapi ini tidak penting, yang penting pengaruh Yahudi dan
propaganda mereka menjadi sebahagian daripada projek IB ini.) Bagi saya, IB yang sangat dibanggakan oleh
Kerajaan Malaysia sekarang, adalah satu bentuk perhambaan ilmu hasil dari
kolonisasi ilmu yang giat disebarkan oleh Barat. Pelajar kita akan selesa dalam
kandang baru kelak, dan berasa diri mereka sangat terbuka kepada persoalan
dunia moden, padahal mereka kehilangan diri rohani mereka yang diasak dengan
skeptisisme Barat melalui TOK!! Apakah
yang membuat para sarjana kita bersikap anti-ilmu dan menyokong pemerintah
supaya jangan membenarkan ilmu yang benar masuk di sekolah-sekolah untuk
memastikan para pelajar kita terus menjadi hamba intelektual seperti para
sarjana dan sasterawan negara. Ini bukan lagi pandirisme, tetapi satu
pengkhianatan terhadap ilmu yang benar, yang sekian lama menjadi asas pembinaan
tamadun Islam. Seluruh buku Sastera Teras Negara Bangsa membisu
tentang soal ini, membuktikan sama ada sarjana kita terlalu pakar dalam teori
Barat sehingga tidak tahu sekadarnya tentang peranan ilmu dalam pembinaan
tamadun Islam. Atau mereka sebenarnya bersikap anti-ilmu?
Harapan Anwar Ridhwan
hendak melihat pelajar pewaris dalam bidang kreatif untuk menulis karya bermutu
melalui program IB ini adalah naif dan sia-sia. Hanya satu cara saja untuk
membuat pelajar Melayu menjadi cerdik, bijaksana, terbuka kepada ilmu, dan
mencintai ilmu, iaitu dengan mendedahkan mereka kepada konsep ilmu yang benar.
Cara yang berkesan dan cukup akademik ini ditentang habis-habisan oleh para
sasterawan dan sarjana sastera dan oleh peserta Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia 2014 sendiri, tidak sedikit pun terimbas dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa. Inilah hakikat feudalisme sastera yang melahirkan
perhambaan intelektual yang seratus peratus condong ke Barat dan cukup selesa
berada dalam kandang intelektual yang disediakan Barat. Yang paling memalukan
kita ialah gerakan anti-ilmu ini dipelopori dan disokong kuat oleh sasterawan
negara sendiri, sedangkan mereka sendiri
anti-perubahan. Oleh itu, jika ITBM masih mahu mengadakan Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia masa hadapan, tiga perkara harus dijadikan terms of reference Sidang Kemuncak itu. Pertama, bagaimana peranan
ilmu yang benar boleh dijadikan asas pembinaan tamadun dan pembinaan persuratan
Melayu. Kedua, saya bersetuju dengan Anwar Ridhwan yang mencadangkan supaya
dilakukan rombakan besar-besaran terhadap pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah. Perubahan
itu mestilah berasaskan konsep ilmu yang benar, kalau tidak maka tidak mungkin
ada perubahan jika masih keliru dalam konsep ilmu. Ketiga, kita harus bincang
dengan mendalam peranan teori sastera Barat dalam kritikan sastera. Di sini
saya bersetuju seratus peratus dengan gesaan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji
Salleh supaya kita mula membina teori sastera kita sendiri yang lengkap, kerana
gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai kerana Persuratan Baru bertentangan dengan keaslian
pemikiran Melayu yang asal sebelum
kedatangan Islam. Kembali kepada
“asal” ini ditegaskan dengan gigih oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh
dalam tulisannya dan ucapannya. Kita mahu lihat bagaimana teori sastera Melayu
yang asli dan yang lengkap itu boleh
dibina dengan kembali ke asal usul nilai-nilai Melayu yang terdapat dalam
pantun (tidak termasuk seloka kerana pengaruh Hindu, tidak juga syair kerana
pengaruh Arab) dan gurindam (boleh dibuat kira bicara kerana Raja Ali Haji
telah melahirkan Gurindam 12 yang
terkenal). Satu lagi, sebagai
tambahan penting, kita perlu membina kumpulan editor yang
benar-benar profesional untuk memajukan budaya ilmu kita. Dengan
panduan yang jelas ini, kita boleh mula membina persuratan Melayu dalam
bidang kreatif dan akademik. Dengan ini,
persediaan untuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia dalam masa 10 tahun lagi
bolehlah mula dirancang. Saya kira dalam
masa 10 tahun itu bolehlah dicari penulis yang benar-benar berkualiti dan buku
yang akan terbit nanti benar-benar menggambarkan kemajuan berfikir para sarjana
kita. Ketika itu, para penyumbang muda-muda akan lebih dewasa, yang tua-tua
direhatkan sepenuhnya. Ketika itu kerja persediaan akan lebih mudah kerana
gagasan Persuratan Baru sudah habis tempoh, diganti dengan teori sastera Melayu
tulen seperti yang dibayangkan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.
Kita ucapkan selamat datang kepada teori baru yang lengkap ini, hasil usaha
Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dan pengikut serta pelajarnya yang ramai itu.
Bagi seseorang yang
menggemari ilmu dan hormatkan ilmu, gagasan Persuratan Baru boleh dikatakan
agak lengkap untuk menjadi semacam panduan dalam kritikan sastera, penulisan
kreatif, penilaiannya, dan dalam analisis tentang mutu sesebuah karya kreatif
berasaskan konsep ilmu yang benar. Tetapi bagi para sarjana yang otaknya pekat
dengan bullshit, dalam konteks yang dibicarakan oleh Prof. G. Frankfurt dalam
kutipan panjang di atas, gagasan Persuratan Baru hanya sejenis salakan anjing
dalam budaya ilmu dan dalam kesusasteraan Melayu moden. Dengan anggapan yang
penuh dengan adab dan kesopanan Melayu ini, mereka membenarkan betapa mendalamnya pandirisme dan bullshit dalam kegiatan kreatif dan
akademik mereka sendiri.
Pandirisme dalam Kritikan Sastera
Perbincangan tentang
kritikan sastera di Malaysia terlalu berat sebelah, terlalu ketara kumpulan
Mutual Admiration Club memusuhi sepenuhnya sesiapa juga yang tidak menyokong
mereka. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh muncul sebagai pembuli
pengkritik nombor wahid, seperti yang tertulis dalam kertas kerja kontotnya
dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa.
Bagaimana pun, beliau sendiri tidak dapat mengembangkan beberapa cadangan yang
pernah dilontarkannya, yang jatuh ke dalam lubuk sejarah tanpa sebarang kesan,
malah tidak pun sempat mencelikkan mata pencetusnya sendiri, sudah ditutup
terus dari arena akademik kerana tidak dapat diperkembangkan. Tetapi kita mesti
akui terdapat beberapa cadangannya yang baik-baik, seperti yang telah saya
sebut beberapa kali. Kemarahan kepada pengkritik ini dilanjutkan oleh Anwar
Ridhwan yang melontarkan kata-kata yang juga memeranjatkan pengkritik sastera.
Kata beliau: “Kita memerlukan kritikan sastera yang sihat serta membina, sebagaimana
gelanggang politik juga memerlukan kritikan yang konstruktif demi kemaslahatan
penduduk negara ini.”(hal. 222). Ini sangat aneh, apabila kata-kata tidak bertanggungjawab
begini lahir daripada seorang sasterawan negara yang paling “sober” (lihat Collins Cobuild Dictionary) di Malaysia. Benarkah kritikan sastera
kita tidak sihat dan tidak membina? Betulkah kritikan sastera kita tidak
konstruktif? Kalau ini benar, memang betul-betul menjadi kenyataan dalam
kritikan sastera kita, adakah ini merangkum semua pengkritik sastera, atau
secara khusus ditujukan kepada seseorang atau bebarapa orang yang tidak mahu
disebut namanya? Tuduhan umum seperti ini amat tidak wajar, dan tidak
bertanggungjawab, seolah-olah tidak ada langsung pengkritik yang tidak termasuk
dalam tuduhan umum itu. Pada hemat saya, yang patut ditegur bukanlah pengkritik
sastera, tetapi sejumlah sarjana yang telah gagal menjalankan tugas kritikan
mereka, dengan tidak melupakan memang terdapat sarjana yang tinggi kualiti
akademiknya dan memang telah menunjukkan keunggulan mereka dalam bidang
kritikan ini. Dengan melontarkan tuduhan yang begitu umum, nampaknya tidak
seorang pun di antara para sarjana kita pernah menunjukkan kualiti seorang pengkritik
yang menelurkan kritikan yang sihat,
membina, dan konstruktif. [16]. Sesuatu yang aneh telah terjadi dalam pengajian
Melayu di universiti kita. Apakah yang terjadi dalam kurikulum pengajian
Melayu? Nampaknya sasterawan negara ini terlalu
emotional dan terlalu terpengaruh dengan pandangan sarjana ciritan yang memang
ramai di kalangan kita, tetapi tidaklah sejahat yang digambarkan oleh Anwar
Ridhwan dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Sekiranya dalam hal ini kata-kata yang tidak
wajar ini ditujukan kepada saya, tentu tidak tepat, tuduhan tidak berasas,
didorong oleh perasaan hasad dan niat yang tidak jujur. Saya boleh bertanya: apakah
yang tidak sihat dalam buku saya Gagasan
Persuratan Baru dan Pendidikan
Estetika daripada Pendekatan Tauhid? Apakah yang tidak membina dalam dua
buah buku itu? Apakah yang tidak konstruktif yang saya sebut dalam buku-buku
itu dan dalam tulisan-tulisan saya? Saya sengaja mengemukakan perkara ini
kerana saya fikir sasterawan negara, dan sarjana kita, perlu berani tampil
sebagai seorang ahli akademik yang bertanggungjawab dengan ilmu mereka, tidak
hanya pandai melemparkan tuduhan yang tidak berasas. Satu-satunya yang saya
nampak cocok dengan tuduhan Anwar Ridhwan ini ialah Panel Anugerah Sastera
Negara, yang memang tidak bertanggungjawab dari segi akademik dan moral untuk
mencadangkan sasterawan tidak perlukan ajaran moral, karya tidak perlu
mempunyai matlamat, sasterawan mesti bereksperimen dan seumpama itu, yang penuh
diselerakkan dalam laporan mereka. Saya sendiri telah membicarakan perkara ini,
tetapi tidaklah sampai menuduh mereka yang bukan-bukan. Saya beri reaksi saya
dengan hujah dan pembuktian, bukan hanya menuduh tanpa alasan. Lagi pula, dan
ini sangat penting, tidak wajar dan sama sekali tidak akademik jika pengkritik
dipersalahkan, sesiapa pun mereka, padahal kita dapati cukup ramai sasterawan
yang tulisannya amat lemah, tiada pemikiran, tidak ada sesuatu yang boleh
dianggap bijaksana, sebaliknya kaya dengan unsur yang erotik dan picisan. Semua
ini terkena juga kepada para sasterawan negara
sendiri. Adakah kita akan membiarkan mereka tidak bertanggungjawab,
membiarkan mereka mengelirukan pelajar
dan pembaca dengan karya yang tidak bermutu? Sekali lagi, saya invite anda semua membaca
sekurang-kurangnya “Keunggulan yang Cacat” untuk melihat sejauh mana saya
serius dalam kritikan, atau hanya main-main; dan sejauh mana pula penilaian
para sarjana yang memuji para sasterawan negara ini tepat dengan nilai sebenar
di dalam karya mereka. Karya para sasterawan kita tidaklah sebaik yang mereka
tonjolkan, jika dinilai dengan kritis, objektif dan memakai ukuran yang berasaskan
konsep ilmu yang benar, seperti yang
dibuat oleh para pengamal gagasan Persuratan Baru. Dalam dunia ilmu,
seperti juga dalam bidang lain-lain,
tidak ada tempat untuk sesiapa juga lempar batu sembunyikan tangan. Sebagai
sarjana, dan sasterawan negara yang diletak lebih tinggi dan mulia daripada
para ulama dan cendekiawan dengan gelaran khusus untuk mereka secara eksklusif,
mereka tidak seharusnya menunjukkan kesombongan dan keangkuhan mereka dengan
membuat tuduhan secara umum hanya untuk memburukkan para pengkritik yang tidak
pun dikenali siapa mereka. Tidak ada halangan untuk mereka mengkritik para
pengkritik ini, atau menulis buku-buku kritikan yang lebih baik daripada karya
para pengkritik ini. Berdebat secara ilmiah adalah satu amalan yang digalakkan
dalam dunia akademik. Saya akan pertahankan pendirian saya dengan mudah bila
saya berkata para sasterawan negara tidak layak diberi gelaran sehebat itu,
melebihi para ulama dan cendekiawan Melayu. Panggillah para simpatisan anda
untuk menolak kesimpulan itu, kita nanti akan lihat siapa yang humbug, yang menjadi juara bullshit, dan megah menghamburkan idle talk saja tanpa menghasilkan karya
yang bermutu yang mereka tuntut daripada orang yang mereka lemparkan tuduhan
tidak berasas. Ini bukan cabaran, tidak perlu apa-apa cabaran kerana gagasan
Persuratan Baru adalah satu-satunya usaha dalam kritikan sastera di Malaysia
yang menampakkan hasil dan yang mengasaskan prinsipnya kepada ilmu yang benar.
Namakan mereka yang tidak sihat, tidak
membina, tidak konstruktif itu supaya masyarakat tahu siapakah orang jahat
dalam kritikan sastera Melayu. Kalau orangnya tidak ada, maka tidak ada sebab
sama sekali untuk melemparkan tuduhan tanpa sebarang bukti berupa contoh-contoh
konkrit. Tidak ada alasan dan tidak ada
sebab untuk tidak berlaku jujur ketika anda perlu menunjukkan kejujuran dan
taraf ilmu anda.
Dalam kehidupan
akademiknya, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji
Salleh, seperti yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit itu, kita dapat ini dalam
syarahan perdana beliau, Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan (1989),
dalam kutipan berikut (dari ilham Terry Eagleton, seorang sarjana Marxist dari
Britain yang terkenal, melalui bukunya yang juga sangat berpengaruh, Literary Theory: An Introduction, 1983):
“Tetapi, seperti yang
cuba diperlihatkan oleh Eagleton (1983) semua teori sastera itu adalah hasil
langsung dari zaman, golongan dan keadaan ekonomi, politik dan sosial
kritikawan dan sasteranya. Oleh itu betapa pun pada suatu waktu pendekatan
strukturalisme itu terasa jitu dan
sesuai untuk sesuatu kajian, perubahan zaman dan cara berfikir telah
mengalihkan pandangan ghairah dan rasa benar itu kepada teori-teori lainnya.
Ternyata teori-teori strukturalisme yang berakar kepada bahasa sebagai asas
struktur fikiran dan budaya dan membina suatu kesatuan telah digeserkan oleh
ahli-ahli strukturalisme, seperti Barthes sendiri, dalam karya-karya
terakhirnya. Suatu sistem yang begitu mandiri, mampu-diri dan tidak merujuk
kepada konteks masyarakat dan zamannya tidak mungkin dapat menyerlahkan makna
penuh sesuatu sastera yang diciptakan masyarakat. (hal. 11). Pandangan Eagleton adalah pandangan seorang
Marxist yang berpendapat “ilmu” (knowledge)
adalah bikinan manusia yang tidak ada hubungannya dengan hakikat kejadian insan
yang difahami dalam Islam, oleh itu apa saja yang dianggap sebagai “ilmu”
sentiasa didebatkan (forever contested),
tanpa sebarang kepastian untuk mencapai tingkat “keyakinan” yang menjadi
matlamat terakhir pencarian ilmu dalam Islam, seperti yang dihuraikan dengan mendalam
oleh Imam Ghazali. Seterusnya profesor ini menjelaskan lagi, “Konsep-konsep
sastera terjalin ke dalam ayat, larik, mukadimah, cerita atau pun sorot-terang
berbagai-bagai jenis puisi dan kisah. Semua pencipta karya sastera yang baik
adalah manusia perasa yang bukan sedikit melibatkan pemikirannya dalam proses
mengarang itu. Baris, imej, struktur, muzik, bahasa dan maksud yang ingin
disampaikan adalah hasil langsung dari fikiran sedar atau tidak sedarnya,
teknik penulisan dan penyusunannya. Dan jikalau kita tekun kita dapat
mengumpul serta mencantumkannya supaya
terbina konsep-konsep sastera Melayu yang cukup penuh dan cukup menerangi jalan
gelap yang kita lalui dewasa ini.” (hal. 12).
Perhatikan ayat ini: “Semua
pencipta karya sastera yang baik adalah manusia perasa yang bukan sedikit
melibatkan pemikirannya dalam proses mengarang itu.” Ayat ini palsu, tidak sedikit pun mempunyai makna
dalam seni mengarang. Oleh itu, Balai Maqamat membuka perbincangan
penting tentang apakah sebenarnya seni kreatif dalam konteks ilmu yang benar,
dengan itu memberi penjelasan yang mencukupi
tentang perbezaan antara “pandai tulis” untuk bercerita dengan “pandai
mengarang” untuk menyampaikan hakikat ilmu melalui wacana. Perbezaan ini penting kerana kualiti karya
yang dihasilkan bergantung pada kefahaman yang mendalam kepada perlunya
perbezaan ini dijadikan pedoman dalam penulisan kreatif yang nantinya akan
melahirkan karya persuratan atau hanya
karya sastera. Saya tidak fikir Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menerima kesimpulan ini, walaupun beliau
menegaskan, “maksud yang ingin disampaikan adalah hasil langsung dari fikiran
sedar atau tidak sedarnya, teknik penulisan dan penyusunannya.” Dalam dunia bullshit dan idle talk,
semuanya boleh diutarakan, walaupun dari segi isi adalah kosong, tidak bermakna
apa-apa kecuali hanya sejenis fatamorgana bahasa dalam retorik teh tarik
saja. Perhatikan pula pendapat beliau yang ada kaitannya dengan “zaman
gelap” yang beliau sebutkan itu: “Dalam sastera Melayu, kita mengesani bahawa huruf bertulis itu (sekurang-kurangnya
di awal zaman chireographik) lebih mulia, lebih tinggi tarafnya dan lebih
berhikmat. Untuk zaman selepas kedatangan Islam tradisi menyalin dan menulis
itu amat rapat kaitannya dengan dunia Islam. Dengan sendiri hakikat ini membawa
gema dan konotasi pengaruh agama kepada sastera dan mendendangkan kebenaran
agama. Namun begitu dalam penyalinan sering ada perubahan, pembetulan dan
penyesuaian kerana kebenaran itu harus diselaraskan dengan bahasa terbaru,
keadaan dan kuasa pihak yang memerintah supaya ‘kebenaran baru’ harus diberi
tempat.” (hal. 21). Apakah “kebenaran
baru”? Adakah wujud kebenaran baru?
Penggunaan ungkapan ini amat mengelirukan, kerana “kebenaran” dalam Islam
dikaitkan dengan tauhid, yang kekal abadi. Tauhid itu kebenaran hakiki, tidak
ada kebenaran lain. Mungkin profesor ini maksudkan “kefahaman baru”, tetapi ini
pun menjadi masalah. Beliau sendiri tahu makna kebenaran tauhid sebagai seorang
Islam, tetapi beliau tidak dapat menerima “kefahaman baru” yang lebih mendalam
yang cuba dihuraikan oleh gagasan Persuratan Baru dalam konteks teori sastera. Dengan
menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asasnya, Persuratan Baru kembali
kepada kebenaran hakiki dalam Islam, oleh itu tidak timbul sama sekali apa yag
disebut “kebenaran baru” itu. Keraguan pendapat beliau jelas dalam kutipan
seterusnya, “Teks yang sedang kita cari ini tertanam jauh ke dalam tradisi
lisan, ke dalam teks-teks lainnya, pengalaman peribadi dan ajaran guru-guru
penglipur lara ini, serta penemuan dan sumbangan terhadap seni sastera itu
sendiri.” (hal. 17). Barangkali asas
pemikiran beliau yang sebenarnya, ialah “kembali kepada yang asal”, yakni ke
zaman animisme, seperti yang tertulis dalam kutipan di atas. Ini dikuatkan lagi
dengan kutipan ini berikutnya: “Kita
melihat bahawa ke empat-empat ungkapan
ini merujuk kepada pengarang asal (rujuk kutipan pada halaman 20), ‘yang
empunya cerita’, bukan saja sebagai santun menulis tetapi juga sebagai gambaran
jalinan dan siratan hubungan pengarang dan leluhur pada zamannya.” (hal. 20). Cuba
anda baca ini dalam konteks “kembali kepada yang asal.” Adakah kembali kepada
yang asal itu kebenaran baru? Cara berfikir begini amat mengusutkan, oleh itu
beliau sendiri tidak boleh memahaminya. Inilah cara berbicara dalam gaya idle talk yang kusut dan
mengusutkan.
Ungkapan “santun
menulis” yang mendapat pujian beliau, yang menjadi tradisi penulisan Melayu,
nampaknya tidak dilakukan sendiri oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh
ketika berbicara tentang syair, dengan tidak menyebut sumbangan definitif Prof.
Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku-bukunya yang membicarakan tentang
syair Melayu yang berasal daripada karya Hamzah Fansuri. Tidakkah ini sangat
penting? Knowing that Hamzah Fansuri adalah
sorang ahli sufi, tentu kita dapat membuat kesimpulan yang tepat bahawa syair
telah digunakan untuk menyerlahkan falsafah ajaran Islam melalui puisi, seperti
yang telah dilakukan oleh gergasi “sastera” dunia yang sebenar (bukan pemain
guli) dalam diri Rumi dan lain-lain. Dengan mengetepikan sumbangan Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas, maka Prof. Muhammad Haji Salleh menolak tradisi
penulisan Melayu itu. Dalam konteks
tradisinya, “santun menulis” hanya wujud di kalangan orang berilmu dan tidak
angkuh untuk menerima kelebihan orang lain. Dalam teks lama hal ini sangat
jelas, seperti yang kita dapat lihat dalam Sejarah
Melayu dan Hikayat Hang Tuan. Apakah
santun menulis yang diamalkan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh?
Untuk kembali ke zaman
asal dan semua yang dibeberkan oleh profesor ini adalah kerja sia-sia, bukan
kerja seorang ahli akademik yang canggih. Itulah sebabnya sukar bagi orang
seperti ini hendak mendapat maklumat lengkap seperti dalam mimpinya, dengan itu
dia dengan mudah akan berkata, “teori belum siap, belum cukup maklumat”. Jelas
beliau masih perlu belajar lagi bagaimana menggunakan maklumat dengan efektif,
seperti yang diajarkan oleh ulama Islam tentang tingkat-tingkat amal dan ilmu dan halal-haram dalam kehidupan
seorang Muslim. Berapa lama lagi kita perlu menunggu lahirnya “teori sastera
yang lengkap dan menyeluruh” itu? Mencadangkan sesuatu yang tidak terdaya
dibuat, dalam ilmu pengurusan, adalah suatu “idiotic
suggestion” yang boleh difahami
dengan mudah jika kita belajar dari pengalaman Pak Pandir, seorang empiris
pertama dalam tradisi pemikiran Melayu. Kini telah ada ilmu-ilmu baru yang kita
pelajari dan kenal dari Barat, yang boleh membantu kita untuk tidak terjebak
dalam empirisisme Pak Pandir. Ketika
saya merumuskan gagasan Persuratan Baru, ada satu persoalan besar tentang
sastera yang menjadi milik yang amat disayangi oleh sasterawan Malaysia, iaitu
konsep realiti. Apa itu realiti? Saya sudah membaca banyak buku tentang
falsafah seni, estetika, falsafah pemikiran
Barat tentang alam, dan mereka selalu menyebut tentang konsep “ilusi”.
Begitu lama saya mencari rumus yang tepat, hinggalah akal sihat saya diberi
petunjuk oleh wahyu dalam al-Quran tentang cerita Ratu Balqis yang tertipu oleh
ilusi dan tanpa segan lagi menyelak kainnya sehingga ditegur Nabi Sulaiman
‘a.s. Bukan saja Balqis sedar akan kesilapannya; saya pun kini dapat melihat
makna realiti itu. Jadi ada gunanya
pengalaman ilmiah yang kita dapat dari tokoh-tokoh Barat, tetapi kita perlu cerdik,
tidak boleh ikut empirisisme Pak Pandir. Berasaskan pengalaman yang amat
bermakna ini, maka lahirlah gagasan Persuratan Baru. Memikirkannya sangat sukar
kerana keterbatasan ilmu; menghuraikannya menjadi mudah kerana sudah ada
persediaan untuk itu. Alhamdulillah. Mahu teori yang lengkap dan sempurna yang
bagaimana lagi? Kini di tangan anda
sudah ada gagasan Persuratan Baru; paling sedikit yang anda boleh lakukan ialah
menolaknya bulat-bulat, dengan hujah yang konkrit, yang hanya anda akan dapat
jika anda terlebih dahulu mempunyai persediaan ilmiah untuk mengemukakan
alternatif anda sendiri, atau sekurang-kurangnya membuat pembetulan yang wajar. Inilah tuntutan akademik yang cukup jelas,
dan perlu diterima tanpa berdolak-dalik lagi: tampil sebagai seorang ahli ilmu,
atau hanya sebagai seorang pelajar yang berguru kepalang ajar, seperti bunga
kembang tak jadi! Sesuatu keputusan akan menjadi masalah apabila dinilai dari
kejahilan dan kecetekan ilmu, sehingga lampu yang memberi cahaya dikatakan
tidak sebaik jamung yang dipakai oleh orang dulu-dulu. Teruskanlah pakai
jamung, jika anda fikir itulah yang terbaik; tetapi saya memilih lampu kerana lebih
mudah digunakan.
Dalam dunia pandirisme
yang dijadikan arus perdana dalam kesusasteraan Melayu, para sarjana dan
sasterawan harus berusaha keras untuk mencerdikkan masyarakat kita dan
melepaskan mereka dari belenggu perhambaan intelektual yang terkurung dalam
teori sastera Barat. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Dr. Anwar
Ridhwan mampu menulis magnum opus
masing-masing dalam kritikan sastera Malaysia kerana mereka mempunyai keupayaan
akademik dan ramai pengikut. Dr. Anwar Ridhwan sendiri pernah menegaskan dengan
bangga bahawa kaedah ilmu yang dipakai oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji
Salleh adalah kaedah yang digunakan oleh Aristotle, oleh itu tidak menjadi
masalah sama sekali untuk memahami gagasan Persuratan Baru yang menggunakan
kaedah ilmu dalam Islam. Kalau anda pakar penglipur lara dan percaya dengan
berkhayal dalam dunia penglipur lara anda boleh mencerdikkan bangsa Melayu,
anda mesti teruskan. Mudah saja bagi anda melakukannya kerana kedudukan anda
yang begitu terhormat, melebihi para ulama dan cendekiawan Melayu. Peluang
begitu terbuka luas, mengapa tidak disambut? Tetapi kalau dengan bermimpi di
atas bumbung kilang yang berkarat anda dapat mencerdikkan bangsa Melayu,
teruskan dan adakanlah majlis tahlil di atas bumbung yang orang boleh duduk bersila, tidak berkarat
pun tidak mengapa, supaya mereka tidak
terjatuh bersama anda. Jaga keselamatan mereka, di samping keupayaan kreatif
dan keunggulan intelektual anda.
Saya anggap satu
kemajuan yang bermakna apabila terdapat seorang sasterawan negara sanggup
bertapa di atas bumbung kilang berkarat untuk mendapat ilham daripada
tokoh-tokoh penglipur lara dunia, termasuk Pawang Ana yang terkenal itu. Jika
satu masa nanti seorang sasterawan negara tiba-tiba menjadi seorang pawang
seperti Pawang Ana, maka itu satu lagi kemajuan kerana kini kita sudah mula
melihat warisan Pawang Ana dan dunia penglipur lara Pak Mahmud Wahid mendapat
perhatian para sarjana kita yang bijaksana. Ketika itu sudah wajar diwujudkan
Kerusi Pawang Ana di UKM untuk memperingati kejempolan Pawang Ana sebagai
penglipur lara terbesar dalam sastera lisan.
Siapakah yang akan menjadi pelopor Profesor Sastera Lisan menduduki
Kerusi Pawang Ana di UKM?
Kesimpulan Kritis
Benarkah kesusasteraan Melayu moden menghadapi krisis nilai? Membaca dengan kritis kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang diterbitkan oleh ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, cukup jelas krisis nilai itu amat parah. Pemilihan judul itu sendiri menggambarkan kekeliruan fahaman tentang sastera dan peranan sastera dalam pembangunan tamadun bangsa, yang masih jadi mimpi di atas bumbung kilang berkarat, jauh lagi untuk menjadi kenyataan. Oleh itu, untuk menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa adalah satu kesilapan besar. Para sasterawan negara 12 orang itu tidak mungkin sanggup memikul beban itu kerana mereka sendiri sama juga dengan sasterawan lain dan para sarjana, sedang menghadapi krisis nilai yang teruk. Keengganan mereka untuk menerima konsep ilmu yang benar, dan keghairahan mereka untuk menjadikan Salman Rushdie sebagai tokoh ikutan para sasterawan, cukup untuk dijadikan bukti betapa parahnya kumpulan ini menghadapi krisis nilai dan krisis identiti. Mereka tidak berjejak di bumi sendiri, tidak juga di dunia Barat yang mereka peluk dengan kasih sayang sehingga sanggup menjadi hamba intelektual kebudayaan Barat dan teori sastera Barat. Dalam ungkapan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972), mereka adalah “kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba.” Hingga kini mereka masih berada dalam keadaan itu, belum berubah. Lihat saja tulisan mereka dalam buku ini, yang begitu cetek dan tidak kelihatan sama sekali keunggulan mereka sebagai penulis yang layak diberi gelaran sasterawan negara. Apakah yang mendorong mereka untuk melahirkan tulisan bercorak bullshit? Hal ini terjadi kerana mereka tidak menghormati pembaca mereka, yang mereka anggap sangat bodoh dan tidak boleh berfikir. Oleh itu apa saja yang mereka tulis, dengan kedudukan mereka, akan diterima tanpa kritikan untuk menjaga maruah intelektual dan maruah akademik yang sebenarnya tidak ada. Dengan tidak bertanggungjawab dan tiada bukti ilmiah, mereka menegaskan sastera adalah satu ilmu, dengan alasan sastera mempunyai kaedah, prinsip, teori, epistemologi yang harus dipelajari secara sistematik. Semua ini adalah retorik teh tarik yang diucapkan sambil menikmati teh tarik di kedai mamak. Apakah jenis ilmu yang ditawarkan oleh sastera dan karya sastera? Idea bahawa sastera adalah sejenis ilmu adalah tinggalan masyarakat animisme yang percayakan tahyul dan menjadikan cerita dongeng penglipur sebagai rujukan. Supaya lebih mudah difahami, apakah jenis ilmu dan pemikiran yang terkandung dalam karya para sasterawan negara sendiri? Adakah sama “ilmu” itu dengan ilmu yang benar yang diajarkan oleh para ulama dalam persuratan Melayu? Jika tidak sama, di manakah diletakkan “ilmu” sastera itu dalam kerangka persuratan Melayu? Ini persoalan besar, tidak boleh disebut begitu saja dengan penuh pretensi intelektual, dalam retorik teh tarik dengan lagak seorang Sarjana Ciritan. Dilihat daripada perspektif ini maka Sidang Kemuncak Penulis Malaysia dan buku Sastera Teras Negara Bangsa telah gagal memberikan arah yang betul dalam perkembangan kesusasteraan Melayu. Mereka ini masih berada dalam kekeliruan tentang konsep ilmu, tenggelam dalam dunia pinggiran yang ilmunya cetek meraba-raba. Merekalah pembawa obor pandirisme dalam kebudayaan Melayu yang berteraskan ajaran Islam yang ditolak oleh gerakan Asas 50, yang kini menjadi warisan kumpulan Mutual Admiration Club yang berkumpul di bawah payung Panel Anugerah Sastera Negara, dilingkungi para sasterawan negara. Dalam Abad 21 ini, kita tidak perlukan lagi kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba ini. Kita perlu membina kembali budaya ilmu dan Persuratan Melayu berasaskan konsep ilmu yang benar, setelah dirosakkan sepenuhnya oleh kumpulan Mutual Admiration Club ini.
Satu kesilapan besar
telah kita lakukan dengan melantik sekumpulan sasterawan untuk diberi gelaran
sasterawan negara, padahal dari segi penghasilan karya yang bermutu dan dari
segi pemikiran, mereka telah gagal memberikan sumbangan yang bermakna, malah
sebaliknya kegiatan mereka bersifat anti-ilmu dan anti-intelektual yang sangat
ketara, yang tidak patut dibiarkan berleluasa dengan sokongan yang tidak wajar
diterima dan diberikan kepada golongan yang tidak membantu untuk melahirkan
keunggulan ilmu dan karya yang benar-benar bermutu dilihat dari perspektif ilmu
yang benar. Para sasterawan negara ini hanya berjaya menegakkan budaya mediocrity, budaya pandirisme, oleh itu
mereka cukup takut untuk dinilai berasaskan konsep ilmu yang benar itu. Kesimpulan ini perlu didebatkan dan diuji
benar tidaknya, oleh itu cara yang paling mudah ialah dengan membicarakan karya
saya sendiri sama ada memenuhi maksud kritikan saya tentang peranan ilmu yang
benar itu. Dari segi apa karya saya sendiri tidak kurang sifat mediocrity dan pandirisme itu; dan dari
aspek mana pula karya para sasterawan negara memperlihatkan pemikiran filsafat
yang mendalam tentang masalah manusia dan ilmu? Untuk memberi contoh yang
mudah, Prof. Rahman Shaari menegaskan dalam syarahan perdana beliau (29
Disember 2004) bahawa, “Penekanan terhadap pemikiran dalam sajak-sajak Muhammad
Haji Salleh tidak terlalu mencabar fikiran pembaca, kerana pengutamaannya
bukanlah aspek itu, sebaliknya dia bersajak dengan perasaan yang dinipiskan.
Baginya, sajak-sajak tidak boleh terlalu emosional, kerana ketebalan emosi akan
dengan sendirinya menipiskan pemikiran. Menurut Umar Junus, Muhammad membawa
pembaca ke suasana yang tidak emosional untuk mengarah kepada pemikiran yang
rasional.” (hal 35). Inilah contoh idle talk, kerana sajak “Pulang si
Tanggang” amat kaya dengan emosi dan sentimentaliti, sedangkan sajak inilah
yang paling “intelektual” di antara sajak-sajak pensajak ini. Sajak ini, kata
Prof. Rahman Shaari, telah “menggoncang fikiran” pembaca. Oleh kerana dia tidak
menjelaskan maksudnya, maka perlulah sajak yang menggoncang fikiran ini dibaca
bersama sajak “Al-Andalus” (dalam Pujangga
Melayu, hal. 106-108) untuk melihat “pemikiran” dalam dua buah sajak ini.
Adakah tidak apa-apa perasaan yang tersimpan dalam sajak “Al-Andalus” sehingga
pemikirannya, jika ada, tidak rasional?
Apa pun juga penilaian yang dibuat, wajar dijelaskan dan ditentukan
ukurannya, supaya penilaian itu tidak jatuh ke lembah bullshit saja.
Melalui budaya
khayalan yang cetek dan mengelirukan yang mereka promosikan ini, maka mereka
mencadangkan supaya para penulis menjadikan
faham mulhid Barat (dengan nama mentereng postmodernism) sebagai salah satu cara untuk mencapai keunggulan
dalam penulisan, dengan mencadangkan misalnya untuk mencontohi Salman Rushdie. Dengan
khayalan ini, mereka menjadikan kejahatan sebagai kenyataan yang diagungkan
dalam penulisan kreatif, seperti yang mereka tunjukkan dalam sajak dan
novel-novel mereka. [17]. Bagi mereka tidak lucu untuk duduk bertinggung di
bumbung kilang berkarat untuk mencari ilham. Kata mereka, inilah bahasa puisi
yang penuh dengan keindahan metaforanya, tanpa mempedulikan itulah contoh
pandirisme yang terlalu ketara untuk tidak dijadikan peringatan dan dijadikan
bukti tentang kesia-siaan cara hidup khayal dan hedonistik ini. Kini diperkenalkan pula hedonisme intelek (intellectual hedonism) dalam pemakaian
ungkapan “minda tertawan”, yang dikatakan satu sikap tidak terbuka kepada
perubahan dan masih menjadi pengikut Barat. Penggunaan perkataan “minda” itu
sendiri tidak saja tidak tepat, tetapi dengan tidak disedari telah membawa falsafah
dualisme ajaran Descartes, satu usaha aneh untuk “menawan” lagi akal sarjana
yang telah dijadikan hamba oleh teori sastera Barat. Usaha ini akan mengusutkan
lagi kefahaman sarjana tentang konsep ilmu, kerana dalam konsep “minda” itu
tidak diterima sumber ilmu dari wahyu, dengan itu jika sikap ini diteruskan, sastera
Melayu akan dikikis dari sebarang pengaruh agama Islam. Kalau ini bukan
maksudnya, maka tidak ada alasan sama sekali untuk membawa masuk konsep “minda”
dalam cara berfikir orang Islam di kalangan para sarjana dan sasterawan. Menolak
konsep ilmu yang benar dalam sebuah negara yang telah melahirkan budaya
persuratan sejak beratus tahun untuk diganti dengan budaya hedonistik dan sia-sia
berasaskan khayalan seperti yang diberikan oleh para sasterawan negara, atau
dalam bentuk hedonisme intelek untuk mengaburkan makna kebenaran yang diajar
oleh Islam, adalah suatu pengkhianatan terhadap tamadun Melayu yang berteraskan
ajaran Islam. Semua tulisan yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia tidak sedikit pun menyebut perkara ini, seolah-olah mereka telah
disihir oleh tamadun Barat sehingga tidak dapat melihat kenyataan tentang krisis
nilai yang sedang kita hadapi dalam budaya ilmu kita.
Sidang Kemuncak ini
juga tidak menjurus ke arah pembinaan bahasa Melayu yang bertaraf tinggi dan ilmiah,
dengan melupakan sumbangan para
cendekiawan dan sarjana kita dalam banyak bidang kehidupan manusia yang telah
menulis dalam bahasa Melayu, yang layak diberi penghargaan oleh negara. Maka
itulah dalam satu kertas yang dibentangkan di Dewan Bahasa dan Pustaka 2006
saya mencadangkan supaya kita wujudkan Hadiah Persuratan Petronas untuk
golongan cendekiawan dan para ahli sains tabii dan sains sosial di negara kita,
di samping memberi penghargaan kepada para penulis yang benar-benar layak
mendapat penghargaan itu. Tujuan utama hadiah ini ialah untuk mendaulatkan
bahasa Melayu yang bermutu tinggi dalam perkembangan kebudayaan dan dalam
budaya ilmu kita. Hasilnya nanti akan
berupa koleksi buku-buku ilmiah dan kreatif yang bermutu, dicetak khusus untuk
hadiah ini, untuk dijadikan rujukan dan panduan para sarjana dan bakal sarjana.
Mengapa perkara yang kita perlukan pada waktu ini tidak dibincangkan dan
dilaksanakan?[18].
Melalui Kuliah ini,
anda melihat bagaimana Pak Pandir yang anda anggap bodoh dan tidak berfikiran
itu, adalah jauh lebih cerdik dan lebih
tinggi statusnya sebagai pemikir daripada para sarjana dan sasterawan negara.
Beliau telah mencirikan satu perkembangan penting dalam pemikiran Melayu dalam
konsep pandirisme itu yang kemudiannya
berupaya memberi makna yang tepat kepada karya kreatif dan akademik para
sasterawan dan sarjana dengan meletakkan konsep ilmu yang benar sebagai dasar
dalam membuat penilaian itu. Pak Pandir telah melahirkan seorang tokoh genius
dalam sastera Melayu moden, Dr. Polan Cupan, seorang tokoh yang paling cerdik
di antara watak-watak yang pernah dikemukakan oleh mana-mana sasterawan negara
sekalipun. Dengan kehadiran Dr. Polan Cupan dalam persuratan Melayu, anda kini
mempunyai rujukan yang jelas tentang makna uswatun
hasanah yang menjadi salah satu matlamat penulisan kreatif dalam Persuratan
Baru. Kini anda boleh menilai kembali dengan lebih selesa semua karya para
sasterawan negara, dengan merujuk kepada konsep pandirisme dan kedudukan Dr.
Polan Cupan dalam perwatakan karya kreatif sebagai seorang tokoh yang menepati
matlamat uswatun hasanah yang diajarkan
oleh Rasulullah SAW. Karya ini ditulis
dalam teknik stylization of ideas, yang melihat keindahan bahasa sebagai wacana
(bukan permainan bahasa oleh para sasterawan) untuk mencapai matlamat kreatif
yang indah dan bermakna, dengan perhatian yang teliti dalam penggunaan paksi naratif
dan bagaimana ruang naratif digunakan dalam wacana itu, sehingga perutusan berbentuk
ilmu dapat dicapai melalui cerita yang kemas terjalin dalam siratan makna yang
mendalam mengenai keunggulan seorang manusia yang berusaha memberi keadilan
kepada masyarakatnya. Saya tidak ragu-ragu untuk mengemukan karya ini sebagai
cerita pendek terbaik yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu, dengan visi yang
jelas untuk mencerdikkan bangsa Melayu. Para sarjana dan pengkritik sastera
bolehlah tertawa mengejek membaca penegasan ini, tetapi anda sebenarnya sedang
dicabar untuk mengemukakan hujah anda mempertahankan karya para sasterawan
negara. Namun untuk menolak penegasan ini adalah tidak mungkin, kecuali jika
anda ingin menayangkan komitmen anda kepada budaya pandirisme.
Sekadar Cabaran
Pandirisme kini sudah bertapak dengan kukuh sebagai satu konsep yang mencerminkan keadaan
sebenar dalam sastera Melayu, yang tidak mungkin ditolak tanpa terlebih dulu
memahami konsep ini dan bagaimana konsep ini diasaskan kepada penelitian yang
cermat terhadap penulisan kreatif dan kaedah
analisis dalam penilaian karya kreatif.
Pandirisme adalah hasil penelitian yang objektif terhadap karya dan cara
karya kreatif dianalisis dan dinilai oleh para sarjana sastera.
Adakah pandirisme akan kekal sebagai sumbangan
intelektual yang bermakna dalam kritikan sastera Melayu, malah dalam
kesusasteraan secara umum? Pandirisme adalah kemuncak kegagalan intelektual
dalam kritikan sastera dan penilaiannya. Pentingnya pandirisme kerana ia
membuktikan projek sasterawan negara tidak memberi apa-apa sumbangan positif
dalam budaya ilmu Malaysia. Malah aspek negatifnya yang cuba dilindungi dalam
Mutual Admiration Club semakin terserlah apabila karya para sasterawan negara
ini dinilai dengan kritis berasaskan prinsip-prinsip Persuratan Baru, seperti yang
dibuktikan dengan jelas dalam tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar.
Sekiranya anda telah
meneliti Kuliah ini dengan kritis, mungkin terlintas dalam fikiran anda: Adakah
pandirisme itu sendiri hanya bullshit,
idle talk, dan humbug dalam kritikan sastera Melayu? Ini memberi peluang kepada
anda untuk menolak dengan mudah gagasan Persuratan Baru, yang boleh saja anda
letak sebagai sejenis bullshit
intelektual dalam kritikan sastera Melayu moden. Dengan penolakan ini, jika anda berjaya
melakukannya, maka anda telah melakukan salah satu daripada dua perkara, atau
kedua-duanya: Anda telah membuktikan betapa kuatnya pengaruh pandirisme dalam
kesusasteraan Melayu; atau anda telah membuktikan betapa kukuhnya teori sastera
Barat dalam sastera Melayu dan betapa teori-teori itu diperlukan, sehingga
sastera dalam makna dan praktik sekarang wajib diteruskan dan persuratan Melayu yang
menjadi agenda Persuratan Baru dikuburkan selama-lamanya kerana bertentangan
dengan modenisme dan postmodenisme anutan para sarjana dan sasterawan, oleh itu
yang perlu disuburkan ialah keupayaan emosi dan hawa nafsu manusia Melayu moden
yang hedonistik, bukan keunggulan ilmu yang benar dalam kehidupan manusia
sejagat. Saya fikir tentu ada di antara sarjana dan sasterawan yang boleh melaksanakan
penolakan terhadap pandirisme yang lahir dari keengganan untuk menerima peranan
ilmu yang benar dalam bidang kreatif dan
akademik. Kejayaan ini adalah kejayaan besar kerana dengan itu
tertolaklah gagasan Persuratan Baru yang menjadi duri dalam daging
kesusasteraan Melayu moden dan yang menyakitkan sanubari suci para sarjana dan
sasterawan kerana mereka yang terkongkong di kincir perhambaan intelektual
Barat tidak mahu dibebaskan untuk mengembara di taman-taman ilmu yang indah
untuk menjadi cerdik. Jika anda gagal, tetapi telah berusaha membaca sebanyak
mungkin rujukan untuk dijadikan hujah, maka anda akan mendapat manfaat
sekurang-kurangnya dapat mengenal apa ertinya konsep ilmu yang benar yang anda
tolak sekarang. Dengan itu meneliti beberapa aspek pandirisme ini ada faedahnya
kepada anda, sekurang-kurangnya anda tahu anda tidak berada dalam komuniti itu.
Sekiranya anda lebih senang berada di bumbung kilang berkarat untuk bertapa
atau merenung tentang khayalan sastera, teruskan saja. Pawang Ana akan
menemani anda. Mana pun pilihan anda,
masih tetap beruntung. Kejayaan tetap
berada di pihak anda, walaupun anda berada dalam komuniti pandirisme.
Walaupun begitu, kita
harus berhati-hati dan tegas dalam menolak nilai-nilai palsu dalam kesusasteraan
dan dalam pengajaran sastera di sekolah atau di universiti. Seperti yang telah
saya buktikan dalam banyak tulisan saya, karya para sasterawan negara tidak
boleh dijadikan contoh dalam mengajar nilai-nilai murni dalam bilik darjah atau
dalam masyarakat umum. Kita perlukan kaedah yang tepat untuk mengesan dan
menilai dengan cermat dan kritis nilai-nilai palsu yang terdapat dalam karya
sastera, yang dihasilkan di mana saja oleh sesiapa sekali pun. Kaedah itu sudah
pun terdapat dalam negara kita, dengan munculnya gagasan Persuratan Baru yang
memberi kaedah yang betul dalam membaca karya kreatif dan dalam membuat
penilaiannya. Cabaran paling besar bagi kita sekarang ialah: sejauh mana kita
masih mahu menolak kebenaran yang diajarkan dalam konsep ilmu yang benar dalam
epistemologi Islam? Inilah kesan maksud ayat al-Quran, 4: 115 tentang manusia menyeret diri mereka
sendiri ke arah mana yang mereka mahu. Hingga sanggup bermimpi di atas bumbung
kilang berkarat, walaupun perbuatan itu amat bodoh dan sia-sia.
*****************************************************************
Aku pembicara lantang seratus tahun ke hadapan
Telinga sasterawan dan sarjana tiada mendengar seruanku
Mereka tenggelam dalam kolam kecil pandirisme sambil
menyeru:
“Kita perlukan perubahan dan kemajuan, paradigma
baru!”
Tetapi mereka sendiri tidak mahu keluar dari kolam
pandirisme
Menambah daki kejahilan terus keliru dalam ilmu
meraba-raba
Menjadi hamba intelektual dunia bukan milik mereka
Sambil menjerit: Ayuh, kita serbu pasar antarabangsa
Tapi terus menaiki kereta lembu yang kurus tak
bermaya.
Bullshit
mereka dijadikan arus perdana
Menilai mutiara persuratan dari gemerlap kaca
Hanyut di laut pandirisme sebagai nakhoda
Menjerit angkuh akulah pelaut semesta dunia.
Sambil menampar air keruh kolam pandirismenya.
Dengarlah azan dengan qalbumu
Saksi tauhid dan taklif dirimu
Di situlah rahsia ilmumu
Yang kau terima di alam alastu.
Chorus Sarjana Ciritan
Aduhai
malang Pak Sarjana
Cakapnya
tinggi ilmunya ciritan
ada
fakta dijeling saja
analisis
awak berciciran
no arguments only statements
umang-umang
di kulit siput
muncullah
badut memakai jubah
menjerit-jerit
di pentas ilmiah
kini
terjongol Sarjana Ciritan
Duduk
bersimpuh mengadap Pawang Ana.
Catatan
hujung
[1] Sedikit penjelasan tentang
fenomenologi dalam Michael Hammond, Jane Howarth, & Russell Keat, Understanding Phenomenology (Balckwell, 1995), Introduction dan bab
1. Di Malaysia telah dicuba oleh Prof.
Sohaimi Aziz yang mengemukakan “rasa fenomenologi” sebagai sebuah teori
sastera. Mati beragan kerana tidak dikembangkan. Beliau duduk sebagai pemilih buku-buku kajian
dan kritikan untuk diberi hadiah; berasaskan “rasa”, buku kajian Ph.D. Mohd.
Zariat Abdul Rani yang berkualiti akademik
diketepikan; tetapi buku tentang feminisme oleh Norhayati Ab. Rahman
yang picisan terpilih mendapat hadiah buku kajian. Pandirisme tetap dipertahankan dalam pemilihan
seperti ini. Juga sebagai contoh bagaimana Mutual Admiration Club dipraktikkan.
[2] “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian
Sebuah Pemenang Sayembara.” Kertas kerja yang dibentangkan di Simposium
Kebudayaan Indonesia – Malaysia XII (SKIM XII) anjuran bersama Universiti
Kebangsaan Malaysia dan Universitas Padjadjaran, Indonesia, di Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi, 29-30 November, 2011. Sedikit gambaran tentang pandirisme dalam feminisme di Malaysia, ada
tercatat dalam makalah Prof. Ungku Maimunah dalam bukunya (bersama Dr.
Zulkarnain Mohamed), bab 6, dalam Islam
Feminisme Barat dan Sastera Melayu (Bangi, UKM 2013).
Dalam bab ini disebut juga beberapa komen tentang novel Azizi.
[3] Lihat Kritik Sastera di Malaysia: Kertas Kerja Seminar Kritik Sastera 1973
(Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1974; hal. 66.)
[4] Teguran Ramli Isin dalam
makalahnya, “Menyeberang Sejarah:
Analisis Pemikiran dan Visi Muhammad
Haji Salleh”, dalam Ranakaian Pemikiran
dalam Karya Sastera, DBP 2006. Antara lain kata Ramli Isin, “Selesai
meneliti kedua-dua esei kritikan tersebut, didapati tiada sesuatu pemikiran
atau visi yang benar-benar istimewa dilontarkan oleh Muhammad Haji Salleh
berbanding dengan penulis-penulis esei kritikan yang semasa dengannya yang juga
membicarakan tokoh dan karya seseorang penyair. Pada dasarnya, Muhammad Haji
Salleh membincangkan dan mentafsirkan pemikiran, isi, dan teknik olahan penyair
dalam kumpulan puisi Baha Zain. ... Walau bagaimanapun, kesan bacaan daripada
kedua-dua esei kritikan Muhammad Haji Salleh terhadap ketokohan Baha Zain dan
karya puisinya itu, ada kalanya visi terhadap penyair tersebut terlalu sempurna
dan, memberikan sanjungan tanpa melihat sebarang kecacatan.” (hal. 21-22). Dalam buku yang sama, Prof. Mohd. Mokhtar Abu
Hassan menegur Muhammad Haji Salleh yang tidak teliti dan banyak melakukan
kesalahan. Bandingkan dengan pendapat saya dalam Medan-Medan dalam Kesusaseraan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan
Perdana Muhammad Haji Salleh...”.
Saranan Muhammad Haji Salleh terdapat
dalam nota kecil beliau, “Mimpi Sastera di Atas Bumbung Kilang yang Berkarat”, kertas kerja beliau untuk Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia 2014, dimuat dalam Sastera
Teras Negara Bangsa (Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Negara,
2014, hal. 204).
[5] Lihat sajak Muhammad Haji
Salleh dalam Sebuah Unggun di Tepi Danau
(Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, hal. 5). Keratan baris yang
masyhur itu berbunyi: sepertimu aku terlantar/ pada sungai takdir/
sekali murung sebagai sarjana/ tetapi sering bercermin kaca lusuh/ dan memihak
pada pintar mephistopheles. Dalam drama Goethe, Faust, Mephistopheles ialah
Raja Iblis. Soalan yang tak dapat
dielakkan: Adakah pensajak ini tahu siapa Mephistopheles? Sangkaan saya berat mengatakan dia tidak
tahu. Sajak ini ditulis September 1986, diedit 1992, jadi ada peluang yang
panjang untuk membuat suntingan. Sekarang
dia tahu, adakah dia terkejut? Tidak, seperti dengan innocent saja dia menyuruh sasterawan Melayu meniru Salman Rushdie! Tak mungkin dia tak pernah dengar The Satanic Verses. Apabila membuat
cadangan itu, saya fikir beliau serius, kerana kedudukannya sebagai seorang
sasterawan negara tidak mungkin diremehkan oleh beliau sendiri dengan membuat
gurauan seperti ini. Mungkin juga inilah
bukti beliau benar-benar “memihak pada pintar
mephistopheles”!
[6] Boleh google tajuk esei, “The
Prevalence of Humbug”, untuk membacanya di Internet. Lengkap. Kamus
Dewan English –Malay memberi makna “humbug” sebagai “karut”, mengada-ada,
pura-pura.
[7] Lihat bukunya, Being and Time (terjemahan Joan Satmbaugh: Satate Universikty of New York Press,
1996). Huraian oleh Hubert L. Dreyfus
saya kira yang terbaik, terdapat dalam bukunya, Being-in-the World: A Commentary on Heidegger’s Being and Time, Division 1. (The MIT Press, Cambridge,
Mass., 6th Printing, 1995.)
Saya salin sedikit penjelasan oleh Dreyfus, hal. 231:
(Kata Heidegger): Because this telling has lost its primary relationship-of-being
towards the entity talked about … it does not communicate in such a way as to
let this entity be appropriated in a primordial manner, but communicates rather
by following the rout of gossiping
and passing the word along. … Idle
talk is constituted by just such gossiping and passing the word along – a
process by which its initial lack of grounds to stand on becomes aggravated to
complete groundlessness.
The fact that something has been said groundlessly, and then gets pass
along in further retelling, amounts to preventing the act of disclosing into an
act of closing off. (italics in
original)
Komen daripada Dreyfus: “We thus arrive at the kind of fallenness called
uprootedness:
(Heidegger): Idle talk, which closes things off in the way we have designated, is the kind of
being which belongs to Dasein’s understanding when that understanding has been uprooted. (italics oleh Dreyfus).
(Komen Dreyfus): “Note that in
the above quotation “idle talk” is
being used in a “disparaging signification” and no longer “signifies a positive
phenomenon which constitutes the kind of being of everyday Dasein’s
understanding”. Idle talk closes off
genuine and even average understanding.
One must then ask, what leads Dasein to make the move from the positive
generality necessary for average intelligibility to the privative use of
language to close off understanding? Heidegger’s name for this movement seems
to be curiosity. When he is being
carefully structural, he holds that curiosity as he understands it is a tendency
not a temptation and thus not a psychological state.”
Lihat juga Gagasan Persuratan Baru,
edisi ke-2, untuk penjelasan selanjutnya
daripada kutipan panjang oleh Heidegger dan keterangannya oleh Stephen Mulhall,
halaman 125-128.
[8] Lihat, Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, pada halaman
14.) Di situ beliau menegaskan teori
sastera Barat itu telah digunakan sudah puluhan tahun, padahal tidak sesuai
bagi menilai karya Melayu. Oleh itu, kata beliau, “kita sudah lama telah
melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya
sendiri.” Pengakuan ini penting kerana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh adalah di
antara anggota Panel Penilai Anugerah Sastera Negara yang duduk sebagai anggota
beberapa kali. Dengan pengakuan ini, beliau secara sedar mengaku penilaian yang
dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara adalah salah, dan tidak tepat.
[9] Seperti yang beliau tegaskan
dalam Sastera Teras Negara Bangsa,
hal. 204. Lihat catatan [5] di atas.
[10] Diterbitkan oleh Princeton
University Press, 2005 (ISBN
0-691-12294-6). Key words: truthfulness and falsehood. Semua rujukan pada
edisi ini. Beberapa ahli falsafah dan
sarjana Amerika telah sama ada menulis
resensi atau pandangan kritis mereka tentang buku ini. Buku ini menjadi bestseller, habis dijual 200,000 naskhah dalam masa 2 minggu. Ramai
peminat bullshit di Amerika Syarikat
rupanya.
[11] Ishak Haji Muhammad, Pak
Sako, pernah menggunakan nama samaran Pak Pandir Moden dalam beberapa
tulisannya. Penulis-penulis Melayu yang lain juga kerap menggunakan nama
samaran Pak Pandir Moden, menunjukkan Pak Pandir adalah seorang tokoh jenaka
dan ahli falsafah Melayu yang amat popular dan berpengaruh dalam kebudayaan
Melayu. Kini pandirisme yang diilhamkan oleh Pak Pandir telah diterima sebagai
aliran arus perdana di kalangan sasterawan dan sarjana sastera Malaysia. Dengan itu Pak Pandir kini duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan para sasterawan negara sendiri,
sudah setaraf dengan mereka. Semua
kemajuan ini dimulai oleh Pak Sako sendiri yang sangat tajam sindirannya
itu. Pak Sako telah diberi anugerah Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya
1973, tetapi tidak layak untuk dilantik sebagai sasterawan negara. Beliau hanya
diberi Anugerah Pejuang Sastera oleh kerajaan Malaysia 1976.
Lain-lain yang menerima anugerah itu ialah Keris Mas, Usman Awang, Shahnon
Ahmad dan A. Samad Said (Sastera Teras
Negara Bangsa, hal. 3). A. Samad Ismail pun dapat juga.
[12] Inilah keratan sajak itu: In the elder days of art/ Builders
wrought with greatest care/ Each minute
and unseen part,/ For the Gods are everywhere (ibid., hal. 20). Perhatikan betapa cermatnya seorang penyair,
dan anda akan faham mengapa Rumi menulis tentang mawar dan durinya. Kalau anda
tidak dapat tangkap maksud saya, baca lagi hingga anda faham. Ketika itulah
anda akan tertawa gembira kerana telah dapat membaca rahsia tersembunyi dalam
stylization of ideas. Ada perkara yang
saya cakap terus terang; ada pula yang saya sembunyikan dalam teka teki, tetapi
dapat dicari maknanya, dan ketika itu anda akan terkejut gembira, atau
sebaliknya.
[13] Mohd. Affandi Hassan, Medan-medan
dalam Sistem Persuratan Melayu (1994). Tulisan ini disiarkan terlebih
dahulu dalam Dewan Sastera, Mac – Julai, 1991.
[14] Semua maklumat tentang
International Baccalaureate diambil
daripada Wikipedia, dicapai pada 5 Februari 2015.
[15] Senarai karya beliau dalam
entri 31/12/2014. Pemikiran pendidikan beliau telah dianalisis dengan mendalam
oleh Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud dalam buku beliau, The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas
(ISTAC, 1998). Terjemahan bahasa Indonesia,
Filsafat dan Praktik Pendidikan
Islam Syed M. Naquib al-Attas (Mizan,
2003). Bagi Kerajaan Malaysia dan sarjana Malaysia
buku ini dan pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas tidak cukup baik jika
dibandingkan dengan IB yang kini menjadi kegilaan Kerajaan Malaysia.
[16] Peribahasa Melayu: seperti
ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. Perkataan menelurkan tepat sekali dengan kelakuan dan usaha mereka. Bila diram, tidak menetas. Contoh terbaik
telur tidak menetas ini ialah pandangan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh
tentang teori Barat yang tidak sesuai
digunakan untuk menilai karya kreatif Melayu. Mati begitu saja, mati beragan. Beliau buntu, kawan-kawan dan
muridnya seramai 4000 – 5000 (anggaran beliau
sendiri) tiada yang peduli. Bagi para sarjana, saranan itu hanya sejenis bullshit saja. Syarahan perdana beliau
sendiri juga mati beragan, tidak mampu melonjakkan diri dari lembah intelektual
kerana terlalu kaya dengan pretensi intelektual yang sesuai dengan konsep
bullshit yang dihuraikan oleh Prof. G. Frankfurt. Beliau menggunakan recipe knowledge yang dicedok daripada beberapa rumusan orang lain
yang tidak dapat dirangkaikan secara akademik ke dalam suatu teori sastera yang
bermakna. Dari segi akademik, inilah contoh idle
talk seperti yang dimaksudkan oleh Martin Heidegger. Tentang recipe knowledge, lihat Peter L. Berger
& Thomas Luckmann, The Social
Construction of Reality (Penguin, 1966). Berger mengambilnya daripada
ungkapan yang digunakan oleh Alfred Schutz, cooking
knowledge. Adakah makalah dalam Sastera
Teras Negara Bangsa berupa
kumpulan tulisan recipe knowledge?
[17] Ini masalah realisme dan
pengertiannya di kalangan sasterawan Malaysia. Prof. Ungku Maimunah dalam
Kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran
Sastera Melayu (DBP, 2009), telah membincangkan persoalan ini dengan
mendalam dalam buku tersebut. Lihat juga tulisannya dalam rujukan [1].
[18] Cadangan ini dikemukakan
dalam kertas kerja yang dibentang di “Seminar: Impak Anugerah dan Hadiah Sastera ke Atas Pembangunan Sastera Kebangsaan”, DBP
25 Mei 2006. Judul kertas kerja: “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu
Penilaian Kritis.” (91 halaman).
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 14/2/2015
Tuan yang bijaksana. Untuk membetulkan Firaun, pun Nabi Musa disuruh menggunakan kata-kata yang lembut dan elok. Rujuk al-Quran, 20:43-44
ReplyDeleteTerima kasih Sdr. Komen gegini sangat saya hargai, menyedarkan saya akan kelemahan saya. Semoga Sdr. sentiasa di bawah lindungan Allah dan terus membetulkan kesilapan saudara se Islam. amin.
ReplyDelete