Kesusasteraan
Malaysia mesti berubah jika mahu maju dan mempunyai identiti sendiri. Dua
perkara ini disepakati oleh hampir semua sasterawan dan sarjana sastera. Mesti
berubah untuk maju, kata mereka. Satu ketika dulu mereka bercakap tentang
perlunya perubahan paradigma. Kini suara itu sudah hilang. Adakah ini bererti paradigma baru itu sudah
ditemui dan sedang dipraktikkan? Sebenarnya tidak. Yang dikatakan paradigma
baru itu lesap entah ke mana, dan perubahan yang diseru dengan lantang itu
lesap bersama keengganan untuk berubah supaya satu kemajuan yang benar-benar
dapat dipanggil kemajuan boleh dimulai, atau diteruskan dengan
bersungguh-sungguh jika sudah dimulai.
Adakah ini
satu teka-teki? Tidak juga satu teka-teki. Lebih tepat jika kita berkata satu
perubahan telah terjadi untuk menolak apa juga perubahan jika perubahan itu
tidak dalam konteks status-quo yang ada sekarang. Para sasterawan dan sarjana
sastera bercakap tentang perubahan dan kemajuan dalam konteks peniruan dalam pendekatan yang dimajukan
dalam teori dan praktik sastera Barat.
Mereka tidak bercakap tentang perubahan dari segi pemikiran berasaskan sistem
falsafah penulisan yang boleh kita tegaskan sebagai milik kita, yang lahir dari
pemikiran dan kekuatan daya kreatif kita sendiri. Kemungkinan ini menakutkan para sasterawan
dan sarjana kita, kerana mereka sangat yakin bahawa mereka belum dan tidak mahu
berubah jika dengan berbuat begitu mereka harus mempelajari sesuatu yang baru, yang tidak mereka temui
dalam keghairahan mereka mempelajari sistem sastera Barat. Ketakutan ini amat real, kerana mereka anggap mereka akan
kehilangan semua milik mereka yang mereka tiru dan ambil dari Barat. Mereka
akan bangkrap, bisu dan benar-benar tergamam kerana tidak dapat berbicara
tentang sastera jika milik mereka yang ada sekarang diusik dan dicuba untuk
dipindah. Inilah keadaan pergolakan intelektual
di kalangan para sasterawan dan sarjana apabila mereka dicabar untuk
meninggalkan sastera (kesusasteraan) untuk kembali kepada warisan mereka
sendiri yang membina tamadun persuratan yang kukuh dan boleh dibanggakan, yang
sepatutnya diwarisi oleh mereka.
Mereka
enggan dan menolak perubahan yang benar-benar membawa kemajuan berfikir dan
mencipta dengan kembali kepada persuratan, kerana mereka sudah terputus dari
tradisi tamadun mereka sendiri. Walaupun mereka ini masih bercakap tentang
perlunya tradisi dan tamadun Melayu diberi tempat sewajarnya, malah tempat
utama, dalam pembinaan “tamadun” moden, namun mereka enggan berbuat demikian
kerana wujudnya ketakutan akan menjadi bisu sekiranya pendekatan dan teori
sastera Barat yang melahirkan kesusasteraan Melayu moden itu diganti dengan
persuratan, dengan alasan yang paling tidak masuk akal, iaitu tamadun
persuratan itu sukar dan tidak dapat dilaksanakan dalam zaman moden kerana
untuk melakukannya orang harus kembali ke zaman silam yang sudah berlalu.
Mereka tidak menegaskan bahawa mereka menolak konsep ilmu yang benar, yang
menjadi asas tamadun persuratan itu. Sebenarnya itulah dasar penolakan mereka,
iaitu mereka tidak mahu persuratan Melayu diasaskan kepada konsep ilmu yang
benar kerana selain akan menyukarkan kegiatan mereka, konsep ilmu yang benar
itu tidak wujud dalam sastera Barat, oleh itu tidak wajar dijadikan asas penulisan kreatif selagi teori dan pendekatan
Barat itu masih dijadikan arus perdana dalam kegiatan sastera dan kegiatan
akademik di Malaysia. Inilah hakikat sebenar, yang telah dibayangkan dalam
posting yang lepas (bertarikh 29/8/2012).
Jika
anda membaca laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, anda
akan dapat melihat betapa kuatnya pengaruh nilai-nilai sastera Barat dalam cara
berfikir, cara menganalisis dan cara menilai karya kreatif berbahasa Melayu.
Anda akan berasa hairan, apakah sebenarnya yang mendorong mereka begitu jauh
tenggelam dalam sistem sastera Barat, sehingga semuanya mesti ditentukan oleh
nilai-nilai Barat. Seperti yang diperlihatkan dalam posting 29/8/2012, pengaruh
itu, yang mendatangkan kesan yang begitu besar, adalah pengaruh yang merugikan
jika dilihat dari perspektif Islam. Seperti yang telah ditunjukkan di dalam
posting itu, karya khayal Anwar Ridhwan yang kononnya berbicara tentang “roh”,
mendapat sanjungan daripada Panel Anugerah Sastera Negara, demikian juga cerita
pendek beliau tentang perzinaan manusia moden dalam “Dunia Adalah Sebuah
Apartmen” dianggap telah melahirkan jalur besar dalam cerita pendek Melayu. Semua
kesimpulan ini bertentangan dengan konsep ilmu yang benar yang cuba dihidupkan
kembali dalam gagasan Persuratan Baru. Apakah yang mendorong Panel Anugerah
Sastera Negara membuat kesalahan dan kesilapan begitu besar, yang begitu
menonjol? Semuanya terjadi kerana dalam
sistem yang mereka guna tidak terdapat definisi ilmu dan peranan ilmu dalam
pemikiran manusia, apatah lagi jika mereka meletakkan semuanya dalam konteks
teknik dan struktur, yang bagi mereka tidak ada kaitannya dengan konsep ilmu.
Kerana itu anda boleh menulis tentang “alam roh” dengan selesa, walaupun anda
tidak langsung mempunyai pengetahuan tentangnya, apatah lagi pengalaman
kerohanian tulen yang sekira-kira membolehkan anda hanya mengimbas sepintas
lalu pengalaman kerohanian anda sendiri. Sekiranya Anwar Ridhwan mempunyai
pengalaman kerohanian seumpama itu, bagaimana dia hanya berupaya menulis sebuah
cerita pendek yang begitu crude?
Sekiranya Panel Anugerah Sastera Negara mempunyai pengetahuan tentang
pengalaman kerohanian ahli sufi tulen (bukan sufi mainan atau sufi palsu), dan
memahami kedudukan persoalannya dalam konteks Islam, tentulah mereka tidak akan
begitu terpesona dengan sebuah cerita pendek yang begitu crude! Semua ini menunjukkan
betapa palsunya ukuran yang mereka gunakan dalam menilai karya berkenaan. Contoh ini boleh dijadikan hujah untuk
menunjukkan betapa hebatnya kesilapan Panel Anugerah Sastera Negara yang
dibiarkan berlalu begitu saja,
berleluasa mencengkam para sasterawan dan sarjana yang tidak sedikit pun
melihat apa-apa kesilapan dan kesalahan kerana mereka tidak mempunyai ukuran
yang boleh digunakan untuk menilai kesilapan dan kesalahan itu. Andainya mereka mempunyai hujah, kita
bersedia mendengarnya dan memberi perhatian serius kepada hujah-hujah itu. Anda
mempunyai tanggungjawab intelektual yang besar untuk membetulkan kesilapan
orang lain jika kesalahan dan kesilapan yang anda lakukan bukanlah kesilapan
dan kesalahan, hanya anggapan tidak berasas semata-mata. Anda harus tampil
menjelaskannya. Kesalahan begini dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara
dan seorang sasterawan negara, bukan satu kesalahan kecil yang boleh dibiarkan
berlalu tanpa penjelasan.
Kita
lihat satu lagi kes, tentang Shahnon Ahmad. Inilah pengakuan beliau:
“...
saya berkesimpulan bahawa amat perlunya perjalanan kreativiti itu berlandaskan
juga alam di luar alam syahadah iaitu alam metafizik, alam roh ataupun yang
dikatakan alam malakut. Persoalan alam metafizik ini sebenarnya menuntut
cabaran yang lebih khusus lagi luas dan tidaklah niat saya untuk
menghuraikannya di sini. Mungkin akan saya huraikannya dalam suasana yang lain.
Namun setakat ini dalam perjalanan kreativiti hingga kini, saya telah
melahirkan cerpen bertajuk ‘Tumbuh Lagi Tunggu Lagi’ (dalam Unting Kasih, Majlis Kebudayaan Kedah
1997). Cerpen ini keseluruhannya berlatarbelakangkan alam malakut; khususnya
alam Hari Kiamat yang banyak saya kutip dalam kitab suci al-Quran. Dan sekarang saya sedang mengarang sebuah
novel yang khusus berlandaskan alam roh yang setakat ini masih bertajuk Pararuhi (The Souls). ...” (Dewan
Sastera, Oktober 1998, hal. 98).
Kutipan
ini perlu dibaca bersama kutipan daripada Dr. Zulkarnain Mohamed dalam posting
29/8/2012 yang memberitahu kita, “Dalam
konteks karya fiksyen, penerokaan dan gambaran dimensi ghaib ini boleh
bercanggah dengan akidah Islamiah. ... Perbuatan itu boleh menafikan hakikat
sebenar alam ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT.” [Sila baca kutipan penuh di sana.]
Perkara
ini menjadi lebih menarik jika kita membaca komen A. Samad Said ini. Satu
ketika dahulu Shahnon Ahmad dilaporkan oleh A. Samad Said sebagai berikut,
“Empat lima tahun dahulu, kerana Realisme
Magis, Shahnon Ahmad pernah menegur Hujan
Pagi sebagai karya yang tergelincir dari landasan akidah” (Dewan Sastera, Julai 1997, hal. 51). Isunya
ialah, bagi Shahnon Ahmad, menulis tentang perkara ghaib tidak menggelincir
akidah (seperti yang ditegaskan oleh Dr. Zulkarnain), tetapi menggunakan teknik
realisme magis boleh menggelincirkan akidah.
Adakah pendirian Shahnon Ahmad ini hanya berdasarkan fikiran peribadi
beliau, tidak disandarkan kepada Islam?
Inilah bentuk perubahan dan kemajuan yang sangat disanjung oleh Panel
Anugerah Sastera Negara dan dijadikan prinsip kreatif oleh para sasterawan.
Jika prinsip ini betul-betul diyakini dan dipraktikkan (contoh dari Shahnon
Ahmad dan Anwar Ridhwan boleh dijadikan bukti), maka bukan kemajuan dan
perubahan yang mereka capai, tetapi kesesatan arah yang membahayakan mereka dan
pembaca mereka. Ini satu isu besar yang perlu dibahaskan dengan mendalam,
supaya para sasterawan tidak lagi berlagak pandai dengan menulis tentang
perkara ghaib yang mereka tidak tahu. Menggunakan al-Quran sebagai hujah,
seperti yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad (dalam kutipan itu), tidak boleh
diterima kerana caranya bertentangan dengan maksud al-Quran. Al-Quran
memberitahu tentang syurga dan neraka, tentang kiamat dan mahsyar, tentang
perhitungan amal dan lain-lain, bukan untuk dijadikan bahan kreatif, tetapi
diambil iktibar sebagai satu peringatan bahawa terdapat realiti hakiki yang
tidak boleh dijangkau oleh akal manusia, tetapi penting sebagai maklumat agama untuk mereka imani. (Lihat posting
29/8/2012 untuk melihat mengapa persoalan ini penting dalam kehidupan manusia
berakal). Sekali lagi peringatan dan amaran Ustaz Dr. Zulkarnain Mohamed dalam
makalahnya perlu diberi perhatian serius.
A.
Samad Said memperlihatkan kejengkelannya yang agak berlebihan dengan menyindir
dan mengejek Shahnon Ahmad dan seorang lagi sebagai “kritikus agama atau ulama”
yang tidak rasional, sebaliknya hanya menurut emosi (hal. 52) ketika
mempersoalkan penggunaan teknik realisme magis di dalam karyanya yang
menurutnya realisme magis kini sudah diterima sebagai teknik arus perdana dan
dipakai dalam karya para sasterawan dunia, oleh itu apa yang dilakukannya tidak
lebih daripada sejenis “pemindahan teknologi” dalam penulisan. Baginya, itulah
makna dan matlamat pembaharuan dan kemajuan, dengan itu dia tidak menerima
perubahan ke arah kesedaran Islam dalam penulisan, yang dilihatnya tidak lebih
daripada sebagai suatu “trend” sahaja: “Secara berdikit sebenarnya saya sudah
mengesan trend yang menjurus kepada arus kesedaran agama ini. Saya cuba
mengerti, malah cuba berdamai dengannya. Akan tetapi, saya berfikir, ada
ketikanya trend itu terasa seperti sengaja dipaksakan, sesuatu yang mungkin
serasi oleh iklim atau kesedaran agama” (hal. 50).
Jelas
sekali dia tidak melihat apa yang disebutnya sebagai “trend” itu sebagai
perubahan yang akan membawa kemajuan; berbanding dengan peniruan yang
dilakukannya dengan menggunakan realisme magis itu yang dilihatnya sebagai satu
kemajuan yang jelas dalam membawa unsur “teknologi” dalam teknik
penulisan. Menurut A. Samad Said,
kemunculan pengkritik yang “agamais dan ulamais “ (istilah beliau untuk
melonjakkan kejengkelannya) tidak akan membawa perubahan dan kemajuan,
berbanding dengan usahanya membawa “teknologi” baru dalam penulisan dengan
membawa masuk reslisme magis dalam karyanya.
Menarik untuk dibandingkan pandangan dua orang “tokoh besar” sastera
Melayu ini, antara Shahnon Ahmad yang mengembara ke alam roh dengan A. Samad
Said yang merayau di alam realisme magis. Adakah kedua mereka ini pada dasarnya
berada dalam standard yang sama, hanya berbeza dari segi istilah saja? Jika anda membaca dengan teliti teguran dan
amaran Ustaz Dr. Zulkarnain yang saya kutip dalam posting bertarikh 29/8/2012
itu anda akan mendapat jawapannya. Tidakkah kedua-duanya menuju ke satu arah
yang sama dengan menggunakan berlainan jalan?
Jika
anda faham maksud pertanyaan di atas, anda akan melihat betapa hebatnya Panel
Anugerah Sastera Negara dalam membuat penilaian mereka terhadap para sasterawan
negara yang mereka pilih dan ketengahkan dalam laporan mereka. Anda akan
melihat mereka sedang menuju ke satu arah yang sama, iaitu ke arah kekeliruan
kognitif yang kemudiannya melahirkan kekeliruan estetik dalam penilaian mereka
yang amat tempang jika dinilai dari perspektif ilmu yang benar. Jika anda
menilai kesimpulan ini dengan kritis, anda akan dapat menentukan dengan pasti
mengapa kita harus menolak konsep kesusasteraan yang berasaskan pendekatan dan
teori Barat yang begitu kuat mencengkam sasterawan dan sarjana Malaysia, dengan
meletakkan persuratan sebagai alternatif terbaik untuk mencapai cita-cita kita
membina tamadun Melayu/Malaysia yang berteraskan ilmu.
Oleh
itu: Apakah jenis perubahan dan kemajuan yang kita mahu? Pertama sekali, perlu ditegaskan sekali lagi,
atau beberapa kali, bahawa para sasterawan, sarjana sastera, dan para penilai
seperti Panel Anugerah Sastera Negara tidak mahukan perubahan dan kemajuan
kecuali dalam konteks pendekatan dan teori Barat yang mereka cukup selesa
berada di dalamnya. Ini bermakna,
kumpulan ini menentang sebarang perubahan dan kemajuan yang menyimpang dari
kedudukan yang ada sekarang; dengan itu mereka tidak mahukan persaingan sebab
ini akan menggugat kedudukan selesa mereka; akhirnya mereka menentang sebarang
usaha untuk mewujudkan satu alternatif dalam perkembangan persuratan Melayu.
Oleh itu, sikap meghalang kemajuan dan enggan melihat perubahan ini perlu
ditolak dengan tuntas, untuk memberi isyarat kepada kumpulan ini bahawa mereka
telah melakukan dua kesalahan besar dari segi moral dan akademik. Dari segi
moral, sikap mereka terus mempertahankan teori
Barat dalam kegiatan mereka bertentangan dengan nilai-nilai tamadun
Melayu yang menjadikan nilai-nilai Islam sebagai asas pembinaan tamadun negara
ini. Dari segi akademik pula, pegangan mereka terhadap teori Barat tidak
berasaskan konsep ilmu yang betul, yang dari segi epistemologi adalah
bertentangan dengan pandangan Islam yang menjadi anutan mereka. Ketergantungan
mereka kepada retorik dalam penilaian mereka tidak boleh dijadikan hujah untuk
mempertahankan penilaian mereka, oleh itu semua penilaian mereka tidak dapat
dipertahankan apabila diuji dengan menggunakan konsep ilmu yang benar yang
diajar di dalam Islam. Jika mereka masih mahu meneruskan kekeliruan mereka,
maka menjadi kewajipan kita semua untuk menghalang kekeliruan ini daripada
diteruskan dan kita semua berada dalam keadaan “cetek meraba-raba”
selama-lamanya. Ini adalah satu dosa intelek yang tidak boleh dibiarkan berterusan.
Jadi, apakah pilihan terbaik untuk kita?
Tentu saja bukan meneruskan era sastera yang amat lesu dan terlalu terikat
kepada kiblat Barat dalam cara berfikir, cara menulis, cara mencipta, cara
menganalisis, cara menilai, dan cara
mempromosikan kekeliruan kognitif dan kekeliruan estetik seperti yang sudah
jelas dilakukan dan diteruskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam
keseluruhan laporan yang mereka terbitkan. Di manakah kita berdiri sebenarnya dalam keghairahan para sasterawan
dan sarjana sastera mempertahankan pendekatan dan teori sastera Barat itu? Kita
telah melihat dinamisme yang kita harapkan daripada kumpulan ini tidak ada,
malah yang diberikan kepada kita ialah peniruan dan pemerkasaan teori dan
pendekatan Barat, sehingga dengan secara langsung dinafikan munculnya
pendekatan alternatif yang bersifat mandiri yang boleh kita klaim sebagai milik
kita. Tidakkah inilah perubahan dan
kemajuan yang kita mahu? Sekiranya selepas hampir satu abad kita menjadi
pengekor setia teori sastera Barat, maka kini kita dituntut untuk membebaskan
diri dari belenggu keaiban intelektual ini dengan terus menjadi pengekor Barat.
Kita harus mengemukakan dan mempercayaai alternatif yang kita sendiri wujudkan.
Itulah makna sebenar perubahan dan kemajuan yang selalu dilaungkan oleh Panel
Anugerah Sastera Negara itu.
Agak
ironis kesimpulan tentang masalah ini diberikan oleh A. Samad Said sendiri yang
mengakhiri tulisannya, Dewan Sastera,
Julai 1997 (hal. 52) begini: “Singkatnya
dalam kekacauan pegangan dan teori yang dihebohkan itu kita perlu menjadi
manusia bijaksana dan damai. Sebab, seboleh-bolehnya saya juga tidak mahu masuk
neraka kerana Realisme Magis”.
Mohd.
Affandi Hassan,
5
September 2012.
bodoh
ReplyDelete