Laporan
Awal Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah dibentang pada 10 September
2012, sekali gus Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah dilancarkan secara
rasmi oleh tuan punya kerajaan sekarang.
Komen saya berasaskan laporan akhbar, saya harap apa yang dilaporkan
tepat dan tiada unsur pembohongan, seperti yang biasa didapati dalam akhbar
sekarang. Kesan awal saya, rosak
binasalah cucu cicit aku, bila mereka berjaya dididik menjadi musang jinak yang
pintar, musang liberal dunia pascamoden, yang dijadikan barang dagangan dalam
ekonomi kapitalis yang tamak dan rasuah. PPSMI dihidupkan dengan lebih bergaya
dan meyakinkan melalui subjek Kesusasteraan Inggeris. Nantilah kita akan tengok
pelajar sastera Inggeris akan jauh lebih cerdik dan “berjiwa sastera” daripada
pelajar yang ambil sastera Melayu. Bila
sudah ada sastera Inggeris, apa perlunya sastera Melayu? Dalam sastera Melayu
pun yang diguna ialah pendekatan dan teori Barat, sama saja dengan yang
digunakan dalam sastera Inggeris. Lebih baik sastera Melayu diajar dalam bahasa
Inggeris, lebih mudah difahami dan mutu karya yang digunakan pun akan lebih
mudah dikenal bermutu tidaknya. Dalam
sistem baru ini, pelajar akan fasih
berbahasa Inggeris, tetapi tahu bahasa Melayu yang jenis bahasa pasar saja.
Tidak pedulikan agamanya, tetapi sangat bergaya memperagakan hidup mewah dalam
budaya hedonistik yang diimport dari Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka akan
jadi manusia itu. Lalu saya teringat cerita pendek sasterawan negara (waktu dia
tulis dia masih muda, belum lagi diberi gelaran itu) Anwar Ridhwan yang
mendapat pujian tinggi dari Panel Anugerah Sastera Negara, “Dunia Adalah Sebuah
Apartment” (disiar dalam Dewan Sastera,
Mac 1973, dengan ulasan buih pujian
meninggi oleh Prof. Hashim Awang dalam keluaran sama yang menegaskan, “Anwar
berjaya kemukakan teknik baru”. Isinya baru jugakah?). Kata hati kecil saya, “Wah, bagus betul Si
Anwar Ridhwan ini, boleh baca apa yang terjadi kepada bangsanya begitu
awal!” Kalau begitu, betullah kesimpulan
Panel Anugerah Sastera Negara yang memuji Anwar Ridhwan telah mencipta jalur
baru dalam cerita pendek Malaysia. Kata hati kecil saya lagi, “Wah, hebat betul
mereka ini! Tahu saja bagaimana bangsa mereka akan hancur runtuh!!” Kalau begitu, adalah gunanya juga Panel
Anugerah Sastera Negara dan sasterawan negara yang mereka pilih! (Tapi saya tak perlu tarik balik kritikan
saya.)
Sampai
juga hajat bahasa Inggeris untuk ditegakkan sebagai bahasa utama di sekolah-sekolah
Malaysia. Siapa sangka “perjuangan suci UMNO dan para pemimpinnya” untuk
memperkasa bahasa Inggris tercapai juga, dan tercapai dengan lebih bergaya
pula, dengan kerelaan orang Melayu sendiri yang tersenyum simpul melihat bahasa
Melayu dipinggirkan. Kalau anda baca laporan akhbar, belum lagi baca laporan
betul, anda sudah tahu dengan pasti betapa bahasa Melayu itu dipinggirkan “ke
tengah” untuk ditonton dengan kagum sebagai bahasa kebangsaan yang duduk
setaraf dengan bahasa-bahasa Malaysia yang lain, yang kini sudah diberi tempat
yang memang mereka perjuangkan sejak sekian lama. Kini multilingualism dan multiculturalism
diiktiraf secara rasmi dalam pelan transformasi sistem pendidikan Malaysia ini.
Tahniah kepada DAP yang mendapat pengiktirafan itu diberikan oleh UMNO/BN belum
sempat lagi Pakatan Rakyat menduduki Putrajaya. Strategi DAP menakutkan UMNO/BN
yang akan hilang kuasa dengan memberi “sokongan” kepada Pakatan Rakyat mencapai
matlamatnya dengan baik sekali, tanpa menimbulkan kemarahan sesiapa sekali pun.
Cantik sekali strategi ini. Mana ada bangsa yang menyokong dan bangga
kehilangan maruahnya seperti orang Melayu? Tidak mengapa. Bahasa Melayu telah
dinaikkan taraf menjadi bahasa kebangsaan sama seperti bahasa-bahasa lain di
Malaysia yang juga diberi kedudukan itu.
Bahasa Melayu tidak boleh dikembalikan menjadi bahasa Melayu kerana kata
mereka sangat kuat bau tengik sifat perkaumannya. Orang Cina ada bahasa
Mandarin, bukan bahasa Cina; orang India ada bahasa Tamil, bukan bahasa India.
Hanya Melayu yang ada bahasa Melayu, tidakkah itu punca perpecahan dan benih
perkauman yang hangit? Sudah pun terbakar tahun 1969, dan keranda bahasa Melayu
sudah diusung oleh orang Melayu sendiri untuk ditanam. Sudah pun ditanam. Cuma
kuburnya saja tidak diketahui. Pasal tanam memang sudah tanam. Tidak perlu
kubur. Sekarang sudah pasti orang Melayu sudah kehilangan adab; yang masih
kekal ialah adat yang diadatkan, misalnya konsep ketuanan Melayu yang
sebenarnya tidak bererti apa-apa kecuali untuk dijadikan slogan para samseng
Melayu untuk mencederakan Melayu yang tidak sehaluan dengan mereka. Sekarang para samseng ini sudah bernaung
dalam satu persatuan dengan sokongan besar golongan berkuasa yang pada waktu
ini amat memerlukan bantuan para samseng ini. Kini timbul satu soalan yang
dikemukakan oleh orang gila: Ada jugakah samseng dalam kumpulan cerdik pandai
Melayu ini? Sukar juga hendak dijawab,
kerana kini mereka berkumpul di bawah Majlis Profesor Negara, bertindak sebagai
ahli fikir untuk negara, malah ada yang berkata sistem pendidikan baru ini pun
hasil cetusan mereka. Tidak mungkin
suatu keputusan yang begitu besar dibuat tanpa pengetahuan mereka, tanpa
persetujuan mereka. Apa guna ada Majlis Profesor Negara jika mereka tidak
berfungsi? Cerdik pula orang kampung yang menimbulkan persoalan ini. Siapa yang
ajar mereka jadi begitu kurang ajar?
Menidakkan kemampuan cerdik pandai adalah perbuatan kurang ajar; dan
kerajaan yang meletakkan mereka dalam Majlis Profesor Negara sudah pasti
mempunyai matlamat sendiri untuk dicapai, yang disedari dan disokong oleh
anggota Majlis Profesor Negara. Jika
perspektif ini diambil kira, orang Melayu tidak waras untuk menyangsikan
kejujuran para cerdik pandai dalam menjaga kepentingan bangsa Melayu. Tetapi di
sinilah terjadi kecelaruan kognitif (cognitive
dissonance): cerdik pandai yang begitu tinggi patriotismenya, mengapa
membisu apabila berdepan dengan soal bahasa Melayu ini? Mengapa mereka tidak
tegaskan bahasa rasmi Malaysia ialah bahasa Melayu, bukan bahasa kebangsaan? Jangan-jangan cadangan yang berani dan bernas
bukan datangnya dari Majlis Profesor Negara, tetapi dari manusia biasa yang
tidak bernaung di bawah mana-mana majlis.
Saya diperingatkan supaya tidak membangkitkan perkara ini dalam blog
ini, kerana sangat sesitif. Kata mereka, tak pasal-pasal saya kena belasah
nanti, cuba memandai-mandai tak tentu pasal mempersoalkan sesuatu yang tidak
kena mengena dengan Majlis Profesor Negara. Sekali imbas betul juga peringatan
itu; tetapi saya mempunyai pertimbangan lain.
Selama ini para cerdik pandai kitalah yang mepertahankan maruah bahasa
dan budaya kita, malah merekalah yang mencetus dan mewujudkan Universiti
Kebangsaan Malaysia walaupun satu ketika ada orang kuat GAPENA yang meragui
pentingnya sebuah universiti baru di tengah-tengah rimba pula. Ketika itu,
tahun 1968, saya baru jadi ADO di Temerloh. Apabila rombongan dari Kuala Lumpur
tiba di Temerloh, yang meminta pertolongan saya mencari tempat untuk
memperjuangkan penubuhan universiti baru itu, saya sangat bangga kerana pernah
terlibat dalam perjuangan kebangsaan itu, walaupun sangat kecil, tak perlu
sebut pun. Tapi saya masih ingat kata seorang pengemuka Melayu yang datang,
ketika bersalam dengan saya waktu hendak pulang, “Terima kasih Encik Affandi,
mencarikan kami tempat untuk pertemuan ini.” Wah, kata hati saya. Rupanya aku
pun seorang pejuang juga!!
Saya
bukan pejuang apa-apa, dan tak mahu dikenang sebagai pejuang, apatah lagi
sebagai pejuang yang sekerat sekerat.
Tapi saya seorang yang taksub bahasa Melayu. Apabila dalam tahun 1977,
sebaik saja saya balik dari luar negeri untuk buat postdegree saya, saya terima
surat daripada Prof. Bakar Hamid memberitahu cerita pendek saya “Angin Dari
Gunung” (1972) telah diterjemahkan oleh beliau bersama Prof. Loyd Fernando dan
sedia untuk diterbitkan jika saya setuju, saya tidak setuju kerana saya mahu
semua karya saya dibaca dalam bahasa asal oleh rakyat Malaysia sendiri,
terutama orang Melayu. Sejauh mana mereka tersinggung saya tidak tahu, tetapi
selepas itu tiada lagi apa-apa cerita tentang terjemahan karya saya, hinggalah
dalam tahun 2004 apa bila Prof. Ungku Maimunah yang ketika itu berada di New
Zealand minta kebenaran saya untuk menterjemahkan cerita pendek “Masih Murid
Lagi”. Saya masih keberatan, hinggalah
Prof. Wan Mohd. Nor dan kawan-kawan lain minta saya fikir semula dan tidak
terlalu keras dengan keputusan itu. Sebagai menghormati kawan-kawan, saya
setuju, dan itulah kali pertama karya saya diterjemahkan dan diterbitkan di luar
negeri. Saya bangga kerana di dalam pengenalannya disebut gagasan Persuratan
Baru, hasil usaha Prof. Ungku Maimunah memperkenalkannya. Terima kasih prof. Cerita
pendek itu adalah lanjutan kepada cerita pendek “Angin Dari Gunung” tentang
seorang guru yang pintar; manakala “Masih Murid Lagi” pula tentang seorang guru
yang bodoh. Cerita pendek itu adalah reaksi saya kepada satu kenyataan akhbar
sahabat saya, Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, yang meluahkan rasa hampanya
tentang pelajar universiti tidak tahu berfikir. Isunya bukan itu, tetapi mereka tidak
dibenarkan meluahkan fikiran dan pandangan mereka kerana mereka amat kritis
dengan tindak tanduk kerajaan yang merugikan rakyat. Isunya ialah kerajaan
tidak boleh dan tidak mahu menerima kritikan. Sesiapa juga yang mengkritik
kerajaan mesti dihukum dengan cara apa sekali pun. Isunya: kerajaan mesti
sentiasa menang dalam keadaan yang bagaimana sekali pun. Kerajaan tidak boleh
kalah. Hanya bukan kerajaan saja yang boleh kalah dan mesti dikalahkan. Itulah
isunya. Anda fikir mahasiswa boleh terima ini? Kalau lembu boleh bercakap,
lembu pun tidak boleh terima, sebab lembu pun mahu masuk universiti juga kerana
dalam kawasan universiti rumputnya hijau subur. Adakah keadaan ini akan
berubah? Tidak. Di bawah pelan baru ini, sekatan akan lebih diperketat, dan
hukuman ke atas yang menentangnya akan lebih keras. Antara prinsip penting yang
dipakai ialah “perpaduan”, satu prinsip yang implikasinya amat besar. Kritikan
dan berlaku kritis adalah punca perpecahan, oleh itu boleh dihukum. Kerana
semua orang mahu bersatu padu, mahasiswa yang mengkritik adalah golongan yang
tidak mahu perpaduan, oleh itu mesti dihukum seberat mungkin. Pelan ini akan lebih
mengikat kebebasan pelajar, untuk memastikan mereka terus akur dengan kerajaan
dan kekal menyokong kerajaan. Mahukah
anda melihat mayat pelajar dari kampung bergelimpangan di kampus dan di jalan
raya, seperti pernah berlaku di Thailand beberapa lama dahulu? Kerajaan itu
telah ditumbangkan, tetapi penekanan terhadap pelajar terus berlangsung.
Pilihan terbaik bagi pelajar ialah belajar, terus membisu, dan ikut saja apa
kemahuan kerajaan. Natijahnya ialah kita akan terus menerima pemimpin yang
bodoh, yang suka mengibarkan bendera seperti budak-budak sekolah menyambut
keberangkatan raja-raja ke sekolah mereka.
Inilah
masyarakat tidak beradab, yang kehilangan adab. Yang akan bangkit berkuasa
ialah para pemimpin palsu, yang akan disokong dengan kuat oleh sekumpulan guru
yang mendapat faedah besar dari pelan ini, seperti yang ditunjukkan dalam
berita akhbar. Untuk guru-guru ini diadakan projek khas, rancangan khas, di
bawah matlamat utama (pertama) untuk memertabatkan profesion perguruan.
Sekarang guru-guru sudah diikat untuk memastikan mereka terus menyokong
kerajaan, tetapi masih ada yang bolos dan menentang kerajaan. Di bawah sistem
baru, perkara itu tidak akan dibenarkan berlaku lagi apa bila semua guru akan
diukur berasaskan prestasi paling minimum, dan sesiapa juga yang berada di
peringkat itu akan dikenal pasti sebagai kumpulan guru yang tidak profesional
dan mesti dihukum dalam beberapa cara yang akan ditentukan. Isunya ialah: guru
tidak dibolehkan bersikap kritis, kerana itu adalah punca yang menyebabkan
prestasi mereka berada di peringkat minimum. Tapisan untuk menjadi guru akan
lebih ketat, oleh itu gaji dan kedudukan mereka akan lebih baik dari segi
teorinya. Saya fikir aspek ini perlu dibincang lebih panjang, lebih terperinci,
supaya guru diberi kedudukan yang wajar, di samping itu murid-murid pula diajar
untuk menjadi lebih vokal dan bersedia memberi pandangan kritis, supaya
terdapat perhubungan saling memberi antara guru dan para pelajar. Kita perlukan
sikap terbuka ini jika kita betul-betul ingin menjadikan pelajar kita cerdik
dan guru-guru pula dipastikan mempunyai pengetahuan yang luas, baik dari segi
pengalaman intelektual mahu pun dari segi pengalaman fizikal (misalnya dengan
membawa guru-guru ini berinteraksi dengan kumpulan mereka di luar negeri).
Belanja lebih, tapi faedahnya besar jika dikendalikan dengan baik dan cekap.
Inilah caranya membentuk masyarakat beradab.
Membentuk
masyarakat beradab ini mesti bermula dari konsep ilmu. Inilah subjek yang tidak
pernah terfikir untuk dibincangkan dalam pembinaan peribadi manusia moden di
Malaysia, walaupun sebelum itu menjadi asas pembinaan manusia Melayu melalui
pendidikan berteraskan Islam. Persuratan
Melayu dibina di atas asas ini, tetapi tidak kesusasteraan Melayu moden.
Contoh-contoh dari laporan Panel Anugerah Sastera Negara membuktikan betapa
terasingnya asas itu dalam penilaian Panel. Kesilapan besar ini akan diteruskan
dalam pelan pendidikan ini, dengan itu tidak mungkin terdapat perubahan dan
kemajuan yang selalu diberi perhatian oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam
laporan mereka. Jika keadaan ini diteruskan, maka pengajaran sastera di
sekolah-sekolah dan universiti tidak akan berubah, malah akan lebih teruk lagi
terjerat dalam lingkaran nilai dan teori Barat. Di sinilah pentingnya kaedah
baru diperkenalkan dalam pengajaran sastera, misalnya dengan memperkenalkan
gagasan Persuratan Baru. Guru dan para pelajar akan berada dalam horison baru,
dan akan lebih mudah mempelajari sastera. Di samping itu mereka akan dapat melihat dengan lebih jelas mutu
sesebuah karya kreatif dan dapat pula melihat bagaimana analisis dan penilaian
dibuat ke atas karya berkenaan. Mereka akan cepat belajar mengenal pasti karya
bermutu dan analisis yang bertaraf ilmiah, yang boleh diukur dengan mudah
ketepatannya. Tetapi untuk melakukan perubahan ini, diperlukan perubahan sikap
dari terlalu memihak dan terikat kepada teori dan pendekatan Barat kepada
keberanian ilmiah untuk meneliti dan menggunakan kaedah baru yang disediakan
oleh gagasan Persuratan Baru. Itulah yang menjadi persoalan, kerana pada
asasnya sifat terbuka itu tidak ada di kalangan kelompok yang sepatutnya
terbuka kepada pemikiran baru. Akibatnya ialah teori-teori dan pendekatan lama
dari Barat yang sudah lapok akan terus digunakan, dan pengajaran sastera di
Malaysia akan terus membosankan para pelajar dan guru-guru sastera sendiri.
Saya tidak fikir Majlis Profesor Negara boleh mambantu dalam hal ini, kerana
mereka juga perlu berubah untuk lebih terbuka dan menerima pemikiran baru dalam
bidang ini. Walaupun saya bersikap
optimis, namun saya harus realistik untuk menerima hakikat bahawa perubahan itu
tidak akan berlaku dalam masa seratus tahun ini. Itulah keadaan sukar yang kita
perlu hadapi dengan sabar.
Pendeknya,
Melayu akan terus tinggal bodoh, bergantung sepenuhnya kepada ihsan UMNO dan
para pemimpinnya untuk memberi durian runtuh setiap kali diadakan pilihan
raya. Paling celaka ialah rasuah yang
diberi jenama baru dijadikan dasar kebudayaan kebangsaan, sementara dasar yang
dirumuskan dalam tahun 1971 dihapuskan kerana keadaan politik sekarang tidak
lagi membenarkan dasar itu diteruskan. Akhirnya yang ada hanya kereta api Tanah
Melayu, tidak lagi bahasa Melayu yang telah diturunkan darjatnya menjadi bahasa
kebangsaan setaraf dengan bahasa Cina, Tamil dan lain-lain, lebih rendah kedudukannya
daripada bahasa Inggeris yang diperkasakan. Kambali ke zaman kolonial. Itulah
realiti yang dicipta oleh UMNO dan para pemimpinnya, walaupun mungkin terlalu
jauh menyimpang dari cita-cita asal. Sesuai dengan faham realisme yang dianut
oleh para sasterawan, maka realiti ini harus diterima. Memang pun terjadi,
dalam gaya Shahnon Ahmad, sasterawan negara.
Lain-lain
pandangan akan saya kemukakan dalam posting akan datang.
Mohd.
Affandi Hassan,
15/9/2012.
Terimakasih Tuan Mohd Affandi Hassan..
ReplyDeleteBenar,sistem pendidikan yang berjaya melahirkan insan hebat.
Sebaliknya sistem yang kaku,menyekat kemampuan maka lahirlah mereka yang bekerja,berfikir untuk mengampu.
Jadilah manusia sebenar yang teras kehidupannya adalah ilmu dan amal.
Suatu kupasan terhadap sistem pendidikan dengan gaya,bahasa yang mudah,bersahaja tetapi mendalam maknanya.
Selamatlah umat Melayu.