Wednesday, September 19, 2012

MEMBAKUKAN UKURAN DALAM KRITIKAN SASTERA


Ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka tidak menjurus kepada pembakuan ukuran (atau standard) dalam kritikan sastera. Setiap laporan ditulis mengikut cita rasa Panel yang menilai seseorang sasterawan negara yang mereka pilih berasaskan “common sense” (bukan teori tertentu), oleh itu terdapat perbezaan dari segi ukuran yang dipakai.  Misalnya, untuk laporan Muhammad Haji Salleh, peranan beliau sebagai “sasterawan intelektual” lebih diberi perhatian, tetapi tidak terhadap A. Samad Said, yang lebih diberi tumpuan kepada peniruan beliau dalam teknik dan gaya dan dalam memadankan karyanya kepada aliran tertentu (realisme, naturalisme, realisme baru antara yang disebut dalam laporan); manakala untuk Shahnon Ahmad lebih ditekankan kepada bahasa daerah Kedah, dengan tumpuan kepada masalah kemiskinan dan kepercayaan takhayul watak-watak dalam novel beliau. Berasaskan kaedah ini, setiap karya seseorang sasterawan negara adalah unik (unique, dalam maksud istimewa) yang membezakan kedudukan mereka sebagai sasterawan negara yang tidak semestinya setaraf. Misalnya, melalui laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita mendapat kesan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh adalah yang paling tinggi kedudukannya di antara para sasterawan negara kerana aspek “intelektual” yang ada padanya; manakala Anwar Ridhwan pula mempunyai keistimewaan lain dalam konteks persembahan (presentation) karyanya, yang boleh dikatakan hampir menyerupai dan menyamai karya Barat moden. Anda boleh lihat perbezaan kedudukan ini jika anda meneliti laporan yang telah diterbitkan.

Bagaimana kita boleh pastikan ukuran yang dipakai itu benar-benar mencungkil “keistimewaan” seseorang sasterawan negara di atas yang lain? Bagaimana konsep “sasterawan intelektual” itu ditakrif dan difahami? Adakah penggunaan bahasa daerah semestinya satu keistimewaan yang mesti diberi sanjungan dan pujian tinggi? Adakah eksperimen dalam simbolisme yang dikatakan digunakan oleh seorang sasterawan negara tertentu berbeza sifatnya daripada yang digunakan oleh penulis lain? Misalnya, eksperimen Anwar Ridhwan dikatakan amat istimewa sehingga membentuk satu jalur tersendiri dalam perkembangan cerita pendek Malaysia. Eksperimen yang bagaimana dan simbolisme tentang apa yang benar-benar boleh melonjakkan seseorang penulis menjadi penulis istimewa?  Apabila persoalan-persoalan ini ditanyakan dan diminta penjelasannya, maka kita dapati ukuran (kriteria) yang dikatakan “mengistimewakan” seseorang sasteraswan daripada yang lain, ukuran umum yang boleh digunakan dengan selamat dan tepat  apabila kita pakai ukuran itu kepada seseorang sasterawan, memerlukan landasan yang setara supaya sebaik saja kita gunakan ukuran itu kita dapat melihat kehebatan seorang sasterawan negara dibandingkan dengan yang lain. Sekiranya kita menggunakan istilah biasa yang sudah menjadi klise, seperti plot, latar belakang, sudut pandangan, gaya dan sebagainya, kita masih perlukan “tapak” yang akan menjadi asas kepada istilah-istilah itu. Misalnya, jika kita berkata plot A sangat kemas dan tersusun, berbanding dengan plot B, kita mesti menghuraikan apakah yang kita maksudkan dengan “plot yang kemas” dan “plot yang longgar”.  Dalam sistem kritikan yang ada sekarang, penjelasan itu tidak jelas, terlalu kabur dan oleh itu sebenarnya tidak dapat dijadikan ukuran yang pasti dan sah.  Kita masih boleh pertikaikan sanjungan dan pujian yang diberikan kepada sasterawan dengan menggunakan ukuran tadi, dan kita akan dapati ukuran itu terlalu longgar dan relatif, boleh dikenakan terhadap sesiapa saja, sehingga dengan itu saterawan negara tidaklah istimewa seperti yang didakwa.   Terdapat sasterawan negara yang sedar akan hal ini, dengan itu memberi amaran kepada para pengkritik mereka supaya hanya menulis tentang “kebaikan” dan “keistimewaan” mereka dengan melambakkan gugusan pujian yang tidak diiringi analisis dan pembuktian.  Ini bererti sasterawan negara sendiri sedar bahawa mereka bukan golongan “istimewa”, tetapi sekadar “diistimewakan” oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam satu pembinaan mitos palsu yang disenangi oleh para sasterawan negara ini dan para peminat mereka. Dalam dunia ilmu, perbuatan ini adalah sejenis pengkhianatan ilmiah yang tidak boleh diterima, oleh itu kaedah terbaik perlu dimajukan supaya apa juga sanjungan dan pujian yang dilemparkan terhadap para sasterawan negara ini benar-benar berasaskan ukuran yang tepat, objektif dan jitu. Pendeknya, kita perlu menuju ke arah pembakuan ukuran berasaskan prinsip tertentu yang boleh saja digunakan untuk semua sasterawan, penulis dan manusia yang sejenis dengan mereka.

Apakah yang dimaksudkan dengan pembakuan ukuran itu? Dalam dunia ilmiah/akademik, pembakuan ini telah diwujudkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas melalui syarahan pengukuhan beliau yang disampaikan pada tahun 1972, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.  Walaupun banyak terdapat “sungutan” daripada para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera tentang beberapa pendapat beliau yang mengejutkan mereka, namun hingga sekarang masih belum terdapat sebarang sanggahan daripada mana-mana profesor atau ahli akademik yang tidak puas hati itu. Demikianlah proses pembakuan akademik itu berlaku dalam kebisuan bantahan para sarjana yang “mati akal” kerana tiada hujah untuk menyanggah  rumusan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya itu. Dengan terbinanya ISTAC, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas mengukuhkan pembakuan ilmiah dalam bidang akademik di Malaysia dan diperingkat antarabangsa dengan melahirkan para siswazah yang boleh menulis dan berhujah dengan cekap, seperti yang mereka buktikan dalam tesis sarjana dan kedoktoran mereka. Dalam konteks ini, mereka telah meletakkan standard yang tinggi dalam tulisan mereka, sehingga layak dijadikan ukuran dalam perbandingan untuk menilai karya akademik di luar lingkungan mereka: Adakah mereka yang di luar itu telah sampai atau mengatasi standard yang telah ditunjukkan oleh para siswazah ISTAC ini? Pertanyaan ini terbuka untuk disanggah oleh sesiapa saja yang mahu menyanggahnya.

Dalam dunia kritikan sastera, pembakuan itu mustahil dapat dilakukan oleh ahli akademik yang berada dalam bidang kritikan ini. Mereka tidak dapat melakukannya kerana adanya kecelaruan kognitif (cognitive dissonance) dan kekeliruan estetik (aesthetic confusion) yang menjangkiti mereka akibat terlalu banyak menelan dadah teori sastera Barat yang seringkali memabukkan mereka.  Contoh kemabukan teori dan pendekatan kritikan sastera Barat ini telah banyak dibicarakan dalam beberapa buah tulisan saya, yang sampai ke kemuncaknya dalam analisis saya tentang keindahan bahasa berdasarkan kosep ihsan (lihat Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan Untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, 2012).  Dalam analisis itu, saya menunjukkan, dengan bukti, betapa kelirunya konsep “keindahan bahasa” dalam kesusasteraan yang difahami dan dipraktikkan dalam sastera Melayu, sedangkan berdasarkan konsep yang keliru inilah para sarjana dan sasterawan mempertahankan kedudukan istimewa (menurut pandangan mereka) karya sastera. Seluruh analisis mereka yang dibuat selama ini adalah berasaskan konsep keindahan bahasa yang palsu, dengan konsep inilah karya para sasterawan negara dinilai. Anda boleh fikirkan sendiri betapa segala keriuhan tentang keindahan bahasa ini telah gagal untuk meletakkan karya sastera sebagai karya seni yang indah dan bermakna,  dengan kelemahannya yang utama ialah tiadanya ukuran yang boleh digunakan untuk membezakan penggunaan bahasa yang benar-benar indah dengan yang bersifat picisan, sehingga segala sampah sarap sastera picisan itu diangkat menjadi bahasa sastera yang indah, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 1985 dan  Laporan 1996 (untuk memberi dua contoh yang paling menonjol) dan laporan sebuah panel lain, Laporan Hadiah Sako II.  

Pembakuan ukuran tidak dapat, malah mustahil, dilakukan oleh para sarjana dan pengkritik sastera kerana mereka begantung sepenuhnya kepada pendekatan dan teori Barat, oleh itu mereka berdepan dengan kontradiksi yang amat membingungkan.  Bayangkan mereka harus berdepan dengan tidak kurang dari 22 pendekatan dalam teori sastera Barat yang saling bertentangan satu sama lain kerana setiap satunya memberikan penekanan yang berbeza untuk mencapai matlamat yang berbeza. (Angka 22 ini saya ambil dari penjelasan Prof. Ungku Maimunah dalam buku beliau, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan.)  Paling mengusutkan, setiap pendekatan itu ialah tiadanya huraian tentang konsep ilmu dalam konteks epistemologi Barat sekali pun. Kita hanya dapat mengagak bahawa semua teori dan pendekatan Barat itu menolak konsep ilmu seperti yang kita fahami dalam Islam, dengan itu semua penilaian adalah relatif, berasaskan pandangan peribadi pencetus teori atau pendekatan tadi, walaupun ada di antara teori itu bersumber dari falsafah Plato dan Aristotle. Tanpa huraian yang mendalam tentang epistemologi, maka ukuran yang digunakan oleh pendekatan dan teori Barat tidak dapat disangkutkan kepada worldview yang jelas, dengan itu setiap ukuran tadi boleh saja merayau-rayau dari satu pendekatan atau teori kepada pendekatan dan teori yang lain, dengan penekanan yang berbeza. Jika anda ambil contoh antara dekonstruksi dengan Kritikan Baru, anda akan dapati persamaan ciri antara keduanya ialah yang dinamakan “close reading” terhadap teks; tetapi dari segi makna kedua-duanya saling bertentangan, dengan dekonstruksi tidak percaya sebuah teks mempunyai makna seperti yang diberikan oleh pembaca dan peneliti, manakala dalam Kritikan Baru, sebuah teks adalah autonomous, mempunyai makna tersendiri, bebas dari pengaruh luaran yang tidak berada dalam teks berkenaan.  Jadi di mana anda berdiri?  Jika anda seorang penganut dekonstruksi, anda hanya bermain dengan makna, kerana anda tidak dibenarkan untuk berkata sebuah teks mempunyai makna seperti yang anda berikan kepadanya, kerana teks tadi boleh saja diberi makna yang saling bertentangan, oleh itu sebenarnya tidak bermakna. Jadi apakah yang ingin dicapai oleh dekonstruksi? Hanya bertanyakan soalan yang tidak boleh dijawab dengan pasti. Inilah teori keldai yang berjalan berpusing-pusing di kincir air, tetapi tidak kemana-mana walaupun sudah beribu batu berjalan; seperti juga sudah beribu buah buku ditulis tentang dekonstruksi, tetapi tiada satu pun yang pasti. Bagaimana anda boleh membakukan ukuran dalam teori itu? Paling baik anda hanya boleh membekukan semua jenis penilaian dan ukuran yang pasti dan terus bermain dengan makna yang anda sendiri yakin tidak ada. Sekiranya orang gila itu siuman, mereka pun tidak mahu bermain dengan makna yang tidak bermakna.

Anda mungkin berkata, pembakuan boleh diwujudkan dalam teori atau pendekatan tertentu, dengan itu jika terdapat 100 teori, maka terdapat seratus pembakuan ukuran dalam kritikan sastera, masing-masing untuk satu teori tertentu. Adakah itu pembakuan ukuran atau pembekuan ukuran? Dalam tangan Panel Anugerah Sastera Negara, persoalan tentang pembakuan ukuran ini tidak penting, malah tidak pernah disebut. Sebabnya cukup mudah: Panel tidak mempunyai ukuran; yang ada pada mereka hanyalah sekumpulan konsep berasaskan “common sense” mereka sendiri.  Jika anda membaca laporan mereka, terutama tentang A. Samad Said,  Shahnon Ahmad, Muhammad Hj. Salleh,  Anwar Ridhwan dan terbaru Kemala, anda akan dapati penilaian berasaskan “common sense” hanya melahirkan apa yang saya namakan kekeliruan estetik (aesthetic confusion)  apabila pujian yang diberi berbeza daripada kualiti karya yang dipuji, yakni pujian tadi terapung-apung dalam kata-kata bombastik yang akhirnya luruh bergelimpangan  di paya akademik bila digegar dengan sanggahan yang objektif dan tajam, berguguran semua hujahnya untuk menjadi sampah sarap dalam kritikan sastera. Ini kata-kata yang amat pedas, malah anda pun boleh katakan agak kasar. Tetapi saya menjelaskan maksud saya dalam beberapa tulisan yang anda boleh periksa dan sanggah jika anda mahu. Saya hanya ingin menegaskan, penilaian berasaskan ukuran yang diambil dari “common sense” tidak ke mana, tidak berupaya menambah pengetahuan kita tentang sastera, terutama dalam kritikan sastera. Itulah sebabnya sekumpulan penulis yang diberi gran oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menulis sejarah kritikan sastera, tidak menyebut sumbangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau, tidak juga memberikan walau sedikit komen terhadap laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Mereka tidak menyebut sumbangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas kerana mereka tidak terima syarahan pengukuhan itu sebagai satu dokumen penting dalam kritikan kerana konsep sastera dan konsep kritikan yang mereka pelajari dari Barat tidak menganggap karya itu sebagai sumbangan pemikiran yang penting dalam kritikan; manakala untuk laporan Panel Anugerah Sastera Negara pula, mereka tidak anggap laporan itu penting dalam bidang kritikan walaupun laporan itu meletakkan ukuran tertentu, berasaskan “common sense”, yang membolehkan seseorang sasterawan layak diangkat menjadi sasterawan negara.  Jadi tidak saja terdapat kekeliruan estetik, tetapi juga kecelaruan kognitif. Dalam konteks inilah kita perlukan pembakuan ukuran dalam kritikan sastera.

Pembakuan ukuran ini terdapat dalam gagasan Persuratan Baru. Lihat beberapa contoh untuk menjadi landasan kepada anda memahaminya. Oleh sebab saya telah membincangkan perkara ini dalam banyak tulisan, saya tidak akan menulis lebih lanjut kerana yang telah ditulis lebih dari mencukupi untuk memahami maksud pembakuan ukuran itu. Tetapi beberapa contoh masih perlu.  Lihat misalnya penggunaan ruang naratif, seperti yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam banyak tulisan beliau. Jika anda ingin melihat ketangkasan berfikir seorang pengarang, anda boleh mengesannya melalui penggunaan ruang naratif dalam karyanya. Dia akan menyerlahkan pemikirannya melalui wacana ilmu yang dijadikan landasan karyanya. Bagaimana ketangkasan pemikiran itu dinilai? Melalui penggunaan ruang naratif yang cekap, penulis dapat mewacanakan pemikirannya dengan jelas dengan mengisi ruang naratif dengan isian ilmu; tetapi pada waktu yang sama dia menyerlahkan keupayaan kreatifnya melalui isian cerita yang mengiringi isian ilmu tadi. Apa yang dibinanya ialah satu kesatuan yang harmoni antara pemikirannya dan cerita yang mengiringinya melalui kebolehan kreatifnya. Isian ilmu dan isian cerita dalam ruang naratif itu seimbang, yang tidak dapat dilakukannya jika dia hanya menggunakan konsep plot seperti dalam pendekatan lama, dengan itu dia tidak akan hanyut dalam cerita yang berlebihan diperpanjangkan, atau leka dalam wacana sekadar untuk menunjuk-nunjuk kebolehannya padahal tidak perlu untuk membina struktur karyanya.  Anda boleh memahami aspek ini dengan lebih mendalam dengan membaca beberapa tulisan Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat mengenai penggunaan ruang naratif ini.  Jika anda menilai sesebuah karya kreatif dengan melihat bagaimana pengarang menggunakan ruang naratifnya, anda akan dapat melihat kecekapan pengarang bermain dengan idea dan sekali gus bermain dengan kakuatan kreatifnya. Anda boleh menggunakan penggunaan ruang naratif ini sebagai ukuran yang tepat untuk melihat ketangkasan pengarang berfikir dan mencipta sekali gus. Itulah yang dimaksudkan dengan pembakuan ukuran. Anda boleh menggunakan konsep ruang naratif ini untuk menilai apa juga jenis karya, sama ada karya persuratan, karya sastera, mahu pun karya picisan. Mudah saja anda dapat membezakannya. Dan dari situ anda dapat meletakkan kedudukan karya tadi pada tempatnya yang sesuai. Ini tidak dapat dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, kerana tidak adanya pembakuan ukuran, dengan itu Panel membiarkan “common sense”nya hanyut dalam huraian yang terputus-putus, tidak lengkap melengkapi, sebaliknya penuh dengan kontradiksi. (Contoh: Laporan 1985).  Melalui pembakuan ukuran ini, gagasan Persuratan Baru dapat membantu anda menikmati pembacaan anda dengan menggunakan mod bacaan intelektual atau mod bacaan cerita, yang anda boleh tentukan dengan cepat mana satu yang sesuai anda gunakan sebaik saja anda dapat melihat kecekapan pengarang menggunakan ruang naratifnya. Kini anda boleh menjadi seorang penilai yang baik, kerana anda tahu apa yang anda nilai dan bagaimana pula membuat penilaian itu. Dengan begitu, karya kreatif menjadi hidup dan boleh menyeronokkan. Sebab itulah sekiranya gagasan Persuratan Baru dipakai dalam pendidikan sastera, para pelajar akan menjadi ghairah setelah mereka dapat melihat mutu karya itu melalui penggunaan ruang naratif dan mod bacaan intelektual atau mod bacaan cerita. Cukuplah contoh ini untuk membawa anda ke dunia analisis dan penilaian yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru.

Pembakuan ukuran penting dalam bidang akademik, untuk dijadikan rujukan dalam menentukan standard yang ingin dicapai dalam analisis dan penilaian yang banyak dilakukan dalam kritikan sastera atau dalam peraduan/sayembara kreatif, juga dalam membuat pilihan untuk penerbitan.  Bagi maksud penulisan tesis, sarjana mahu pun kedoktoran, pembakuan ukuran boleh membantu dalam membuat pilihan pendekatan atau teori yang ingin digunakan, juga dalam memilih bahan. Sekiranya anda berminat dalam perkembangan idea dalam kritikan sastera, dan anda ingin membuat kajian mendalam terhadap semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara supaya sumbangan pemikiran Panel, jika ada, dapat diberi kedudukan dan tempat yang wajar dalam perkembangan kritikan di Malaysia, anda perlu memahami terlebih dahulu konsep pembakuan ukuran supaya analisis dan penilaian anda nanti tidak terjebak dalam kecelaruan kognitif dan kekeliruan estetik seperti yang dialami oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika menulis laporan mereka.  Jika aspek penting ini tidak diberi perhatian, anda mungkin menulis sebuah tesis yang panjang dan tebal, tetapi dari segi analisis dan penilaian terhadap teori/pedekatan yang anda pilih dan bahan yang anda gunakan, mungkin tidak terserlah kerana anda hanya mampu memerikan (describe) bahan anda, tetapi amat lemah dari segi analisis dan penilaian kerana anda sendiri tidak memberi perhatian kepada standard yang ingin dicapai dalam penyelidikan anda. Akhirnya yang terjadi ialah lambakan tesis dan penyelidikan yang tidak atau kurang dari segi kualiti akademik dan dari segi memberi sumbangan ilmu, atau pencapaian akademik yang tinggi, walaupun tajuknya begitu aneka ragam dan barangkali amat menarik.  Di sinilah pembakuan ukuran seperti yang ditunjukkan oleh ISTAC dapat membantu anda untuk mencapai kecemerlangan akademik yang tidak boleh diragui kualitinya, meskipun barangkali anda tidak bersetuju dengan kesimpulan yang terdapat di dalam tesis itu. Bayangkan anda seorang Imam Ghazali yang menulis Tahafut al-Falasifah, atau seorang Ibn Rushd yang kemudiannya menulis Tahafut al-Tahafut, ketika itu anda akan dapat merasakan gempuran perbahasan tentang ilmu dari dua orang ulama dan ahli ilmu dalam Islam, dan anda mendapat faedah dari kedua-duanya walaupun mereka bertentangan pendapat. Itulah pembakuan ukuran yang tertinggi yang telah disediakan kepada kita semua yang mencintai ilmu dan ingin memberi sumbangan besar dalam perkembangan ilmu. Dengan kesedaran itu, para ahli akademik, atau sarjana, atau pengkritik sastera, tentulah akan menjaga standard mereka dalam bidang ilmiah ini, supaya tidak kelihatan terlalu lekeh padahal telah menulis tesis atau buku yang tebal-tebal. Buku atau tesis boleh saja tebal, tetapi anda sendiri tidak patut bermuka tebal melahirkan buku atau tesis yang amat kerdil dari segi sumbangan terhadap ilmu atau bidang pilihan anda.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 19/9/2012.





No comments:

Post a Comment