Lucu
juga bila saya ada dengar orang berkata, gagasan Persuratan Baru mahu hapuskan
kesusasteraan Melayu moden. Bagaimana boleh timbul anggapan ini belum lagi
dijelaskan kepada saya. Lagi pula saya pun tidak peduli sangat dengan pandangan
kurang siuman begini. Apakah yang menakutkan mereka? Saya belum lagi membaca di
mana-mana kitab yang menyebut para ulama berseru menghapuskan pelacuran dan
korupsi. Hanya di Malaysia saja seruan lantang itu dijeritkan; hasilnya
pelacuran semakin meluas, demikian juga rasuah. Apakah tindakan kita? Cukup
senang, tetapi amat sukar dilaksanakan: hapuskan saja pemimpin jahat, jangan
biarkan mereka menjadi pemimpin masyarakat. Tetapi demokrasi secara tabii
membiakkan pemimpin jahat ini, oleh itu selagi kita menggunakan demokrasi untuk
mendapat kuasa, kita akan terus dikuasai oleh para pemimpin jahat dan penipu
ini. Itu sudah jadi sifat demokrasi di mana-mana sekali pun. Di Amerika Syarikat,
penipuan dan korupsi sudah dibudayakan begitu rupa sehingga tidak ada lagi
orang peduli sama ada penipuan dan korupsi itu dilakukan atau tidak. Mereka ada institusi yang dipanggil Jewish
Lobby, yang kerjanya untuk memilih Presiden Amerika Syarikat pilihan Yahudi. Yang
penting bagaimana caranya penipuan dan korupsi itu dilakukan: jika melanggar undang-undang,
maka boleh dihukum. Di Malaysia pun begitu. Tetapi jika undang-undang yang
dilanggar itu dilakukan dalam konteks undang-undang untuk melindungi manusia
penipu dan korup ini, maka para pelakunya akan selamat. Mau contoh? Tiap hari
akhbar kita memberitahu, cuma kita saja tidak mahu tahu dan tidak pandai membacanya. Misal yang mudah: Jika anda mau bikin projek
besar, makan belanja bilion ringgit, anda boleh tentukan siapa akan dapat
projek itu. Jika dibuat tender terbuka pun, anda masih boleh mempengaruhi yang
menang tender. Katalah Syarikat Syaitan
Sdn. Berhad (sekarang syaitan yang dikenali lebih baik daripada malaikat yang
tak dikenali, kata Dr. Mahathir Mohamed merujuk kepada UMNO dan para pemimpinnya
sebagai syaitan yang memang dikenali rakyat) menang dengan bida 3 bilion. Dalam
standard practice di Malaysia,
selepas tiga minggu atau paling lama dua bulan tender disahkan, syarikat yang
mendapatnya wajib membuat perincian harga terbaru. Ketika itulahlah kos akan
naik sampai 10-15 bilion, walaupun asalnya 3 bilion saja. Syarikat Syaitan Sdn.
Bhd. dijamin dapat 3 bilion; selebihnya dapat kepada anda untuk kegunaan anda.
Itulah cara paling mudah untuk menjadi kaya, itulah dorongan utama untuk menang
pilihan raya walau dengan cara apa sekali pun. Itulah demokrasi. Seburuk itukah demokrasi? Jika anda ragu-ragu,
anda perlu tahu, sebaik saja pembangkang menang di Terengganu, royalti minyak
ditamatkan dan kerajaan negeri tidak menerimanya tetapi diberikan balik setelah
penyokong kerajaan menang; tetapi para penyokong kerajaan ketika pemerintahan
pembangkang masih menerima wang itu dalam bentuk wang ihsan. Hingga kini
Kelantan belum terima royalti minyak hak rakyat Kelantan, kerana hak itu telah
dirampas oleh kerajaan pusat. Itulah demokrasi, dan itulah masksud memilih
pemimpin jahat menjadi ketua mayarakat. Sekarang korupsi diberi jenama baru
sebagai “pemberian kepada rakyat”. Memang mengikut peraturan sesebuah kerajaan
boleh menggunakan wang dari Perbendaharaan untuk membantu rakyat, oleh itu
tidak timbul penipuan atau korupsi. Kedua-duannya telah dijenamakan semula
untuk memudahkan penipuan dan korupsi itu dilakukan.
Apa
bezanya dalam kesusasteraan Melayu moden? Kata Laporan 2009: “Cerpen-cerpen
Anwar Ridhwan beralih angin kepada bentuk eskperimen dengan menggunakan
pendekatan simbolik, yang berteraskan lambang seperti dalam cerpen ‘Dunia
Adalah Sebuah Apartmen’ ... Cubaan
bereksperimen ini sudah mula maju ke arah yang matang. ‘Dunia Adalah Sebuah
Apartmen’ mengemukakan apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia. Apartmen adalah dunia yang sempit, panas,
seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan
ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai Barat seperti seks bebas
dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan
semata-mata”. (hal. 10).
Penjelasan
itu belum menarik. Lebih menarik ialah kesimpulan ini: “Cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ mengemukakan persoalan filosofikal. Cerpen
ini mengisahkan Azwar yang wujud hanya untuk berseronok dengan wanita dan arak.
Janji yang dibuat oleh Azwar hanyalah janji untuk dimungkiri, seperti janjinya
kepada Agnes. ...” (hal. 10). Pembaca yang paling tumpul akalnya masih dapat
melihat bagaimana penjenaam baru itu digunakan dalam ulasan ini. Mau saya
tunjukkan satu persatu? Anda tentulah tidak sebodoh itu untuk tidak melihatnya.
Apakah yang filosofikal itu? Pembaca yang paling tumpul akalnya pun akan tahu
inilah contoh kecelaruan kognitif dan
kekeliruan estetik yang sudah saya jelaskan dalam posting yang lalu. Tetapi
mungkin sukar untuk melihat bagaimana rapatnya sastera Melayu moden dengan
pembohongan dan penipuan dalam politik Melayu moden. Jika anda baca dengan
kritis dan berhati-hati, anda akan lihat aspek filosofikal yang disebut oleh
Panel Anugerah Sastera Negara dalam
laporannya merujuk kepada janji palsu oleh Azwar, watak utama. Tidakkah ini
disalin dari kehidupan para pemimpin politik sendiri? Jadi apakah yang
filosofikalnya? Jika dalam politik kita
mendapat penjenamaan semula yang membenarkan korupsi dan penipuan, maka dalam
sastera Melayu yang sukakan eskperimen dan penggunaan simbolisme pun turut
menggunakan penjenamaan semula untuk menjadikan perzinaan tema agung sastera
Melayu moden. Apakah yang filosofikalnya? Jika politik demokrasi meniru politik
Barat, maka demikian juga sastera Melayu moden meniru dan mempraktikkan teori
dan nilai-nilai Barat. Apakah yang
filosofikalnya? “Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan
semata-mata”, kata Panel. Tidakkah ini menggambarkan kehidupan para sasterawan
sendiri yang seronok dengan teori dan nilai-nilai Barat dalam
kesusasteraan?
Itulah
kesusasteraaan yang kita kenal, yang kini sudah disahkan oleh Panel Anugerah
Sastera Negara sendiri. Mahukah anda meneruskan kesusasteraan seperti itu? Katalah gagasan Persuratan Baru betul-betul
mahu menghapuskan kesusasteraan Melayu moden, maka tidakkah itu satu pilihan
yang munasabah dan bijak jika itulah sifat dan ciri kesusasteraan Melayu moden? Anda tidak boleh berkata hal ini hanya secara
kebetulan, dalam contoh-contoh tertentu saja.
Tidak salah jika ada orang berkata anda seorang yang bodoh dan degil
mempertahankan kejahatan sebagai ekspresi seni, kerana berasaskan penilaian
itulah para sasterawan negara dilantik dan itulah jenis penghujahan yang
dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang boleh kita baca dalam laporan
mereka.
Kembali
kepada soal sastera Melayu moden yang hendak dihapuskan oleh gagasan Persuratan
Baru. Tak mungkin, seperti tak mungkin pelacuran dihapuskan. Bagaimana mungkin,
para sasterawan dan kesusasteraan Melayu moden sendiri sudah mengangkat pelacur
dan pelacuran sebagai tema besar sastera Melayu moden. Tak percaya? Baca Laporan 1985, atau Laporan 2009. Panel Anugerah
Sastera Negara telah menerima hakikat itu dan mempertahankannya, misalnya
dengan berkata kemajuan dan perubahan telah terjadi dengan wujudnya simbolisme
dalam eksperimen para sasterawan yang menjadikan perzinaan sebagai tema agung
sastera Melayu. Kalau anda tidak
percaya, maknanya anda tidak membaca. Jika anda baca sekalipun, dan anda masih
menolak hakikat ini, anda sudah disihir oleh kepercayaan karut anda untuk
menolak kebenaran. Misalnya, jika anda berkata, bukan pelacur atau pelacuran
yang menjadi tema, tetapi kezaliman dan penindasan dalam masyarakat yang
melahirkan pelacur. Sekali lagi anda salah, tidak tahu menahu tentang
perkembangan masyarakat anda. Sekarang pelacuran tidak lagi terjadi kerana
kezaliman dan penindasan yang anda maksudkan, tetapi menjadi pilihan yang
digemari kerana senang mendapat wang dan dapat pula perlindungan melalui
berbagai jenama perniagaan. Untuk membela pelacuran, anda akan berhujah,
pelacur dalam sastera moden adalah gambaran hilangnya kemanusiaan dalam
masyarakat yang menindas dan zalim selepas terjadinya peperangan. Bagaimana
dengan cerita pendek Anwar Ridhwan yang settingnya di luar negeri di zaman
moden? Soal kemanusiaan lagi? Bagaimana
pun anda memutar-belitkan hujah anda, pelacuran tetap sudah dijadikan tema
agung dalam sastera Melayu moden dan sudah pun dirasmikan kedudukannya dalam
laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Oleh itu anda tidak perlu takut tema
agung anda itu akan terhapus sekiranya gagasan Persuratan Baru mengambil
tempatnya yang sah dalam persuratan Melayu moden. Seperti suburnya pelacuran,
demikianlah akan terus subur para sasterawan yang menulis tentang mereka.
Tetapi ini tidak bermakna sastera itu sejenis pelacuran. Mungkin ada cara lain
atau nama lain yang lebih tepat, yang diketahui oleh anda. Atau anda memang bersetuju kesusasteraan itu
sejenis pelacuran idea? Kalau dibahas
dalam bahasa sastera, mungkin tepat.
Lihat
satu contoh yang sering dibicarakan: tentang keindahan bahasa dalam
sastera. Jika anda membaca karya para
sasterawan negara seperti Shahnon Ahmad, Abdullah Hussein, Arena Wati dan
lain-lain (anda boleh tambah sendiri jika nama-nama ini tidak cukup), anda akan
terkejut bila mendapati apa yang disebut keindahan bahasa itu sebenarnya
pelacuran bahasa. Shahnon Ahmad amat
terkenal dalam aspek ini, seperti yang anda boleh baca dalam Shit, TIVI, Terdedah dan banyak
lagi. Abdullah Hussein pula sudah terkenal di seluruh dunia dengan Kuala Lumpur Kita Punya. Ada orang
membantah karya-karya ini tidak boleh dimasukkira, tetapi bagaimana hendak
menolaknya kerana memang diterima oleh Panel Anugerah Sastera Negara sebagai
karya sastera yang indah. Hatta novel Tunggul-tunggul
Gerigis yang memuntahkan Prof. A. Wahab Ali (beliau mengakuinya sendiri)
bagi Dewan Bahasa dan Pustaka adalah karya agung Abad 20. Demikianlah pelacuran
bahasa dalam sastera diterima dengan baik sekali, hatta oleh satu institusi
terkenal seperti Dewan Bahasa dan Pustaka sekali pun. Kerana itu ada alasan
jika ada orang berkata kesusasteraan Melayu itu lebih cenderung untuk
menghidangkan pelacuran idea, akibat sudah keliru besar dalam konsep ilmu, atau
kerana tidak meperdulikan sama sekali tentang konsep ilmu yang mempunyai
peranan utama dalam ciptaan seni yang bertanggungjawab, yang mengutamakan akal
bukan emosi. Tanpa keindahan pemikiran,
tidak mungkin wujud keindahan bahasa, seperti yang pernah ditegaskan oleh
Pendeta Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu
(1938). Kata Za’ba: (ketika
berbicara tentang syair) “Maknanya yang sebenar-benarnya ialah fikiran yang
cantik dan tinggi dilafazkan dengan bahasa yang berhias dan indah” (hal. 261,
versi Jawi). Apakah maksud “bahasa yang
berhias”? Tentulah bukan jenis bahasa kasar dan kesat yang disukai oleh Azizi
Hj. Abdullah, Shahnon Ahmad, S. Othman Kelantan (masih ingat perbandingan
beliau yang klasik itu?) dan lain-lain. Menghiasi bahasa bukan hanya dengan
kata-kata dan segala jenis retorik bahasa yang anda tahu; tetapi lebih
diutamakan pemikiran yang ingin disampaikan. Perhatikan contoh yang diberikan
oleh Za’ba ini (hal. 262): Sepatah pengajaran menambahi akal/ baik
daripada emas berbungkal/ adanya lama disimpan kekal/ terimalah dengan hati
yang pukal. Penjelasan terperinci
tentang maksud sebenar keindahan bahasa ini terdapat dalam makalah saya yang
dimuat di dalam kitab, Adab dan Peradaban:
Karya Pengi’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas (2012). Sila baca
di sana dan berilah penilaian sehabis kritis untuk mendapat manfaat daripada
makalah itu. Jika anda renung syair yang
diberikan Za’ba itu, anda akan lihat betapa pentingnya pengajaran yang baik, lebih mahal daripada emas (manusia suka
simpan emas), kerana pengajaran itu kekal jika diterima dengan baik dan ikhlas.
Itulah maksud “fikiran yang cantik dan tinggi dilafazkan dengan bahasa yang
berhias dan indah”. Apakah hiasan bahasa yang terdapat di dalam bait syair ini?
Nampaknya anda kena cari sendiri! Jika anda bandingkan pendapat Za’ba ini
dengan pendapat Panel Anugerah Sastera Negara, misalnya dalam Laporan 1985, anda akan dapat melihat
perbezaan yang nyata dari segi makna (maaf: anda juga harus memikirkannya
sendiri!).
Jika
keseluruhan hujah dalam makalah ini difahami, anda mungkin akan melihat di mana
duduknya gagasan Persuratan Baru dalam konteks kesusasteraan Melayu moden dan
mengapa gagasan Persuratan Baru itu penting dikemukakan pada waktu ini. Apakah
yang ingin dicapai oleh Persuratan Baru yang telah gagal dicapai oleh
kesusasteraan Melayu moden? Apakah yang akan terjadi kepada kesusasteraan
Melayu moden jika cara dan kaedah sekarang diteruskan? Adakah cara dan kaedah
itu memuaskan kita? Di mana kekuatannya dan di mana pula kelemahannya? Jika
gagasan Persuratan Baru mencelah, apakah yang akan terhasil nanti? Adakah itu
yang terbaik untuk kita teruskan? Semua soalan ini sudah saya jawab dalam
tulisan saya, termasuk buku. Malah beberapa penegasan telah dibuat untuk
membuktikan gagasan Perusratan Baru adalah pilihan terbaik sekiranya kita
betul-betul ingin membina budaya ilmu dan seni berteraskan ilmu. Teori dan pendekatan Barat yang digunakan
selama ini, kini berjumlah tidak kurang dari 22 buah, tidak berupaya
meningkatkan pemikiran dan daya kreatif para penulis seperti yang diharapkan.
Kelemahan paling utama ialah tiadanya perbezaan dalam menentukan kualiti
sesebuah karya, kerana ukuran yang digunakan boleh juga digunakan untuk menilai
karya picisan dan karya lucah, seperti terbukti dari laporan Panel Anugerah
Sastera Negara. Jika itulah kenyataannya, perlukah kita meneruskan cara dan kaedah yang
dipakai dalam kesusasteraan Melayu moden yang ditiru dari Barat itu? Inilah cabaran yang kita perlu jawab, dan
anda tentu saja perlu menyatakan pendirian anda.
Mohd.
Affandi Hassan,
13
September 2012.
No comments:
Post a Comment