Saturday, September 8, 2012

MENGHADAPI KERUGIAN YANG SENGAJA DIUSAHAKAN


Para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera akan terus berada dalam kerugian besar jika mereka terus meremehkan pentingnya peranan ilmu yang benar dalam penulisan yang bersifat kreatif mahupun yang bersifat akademik.  Dalam beberapa posting yang lalu, persoalan ini telah dibahaskan dengan memberi penekanan kepada kesan negatif dan merugikan jika aspek ilmu ini tidak diberi perhatian utama. Kesan pertama ialah kecelaruan kognitif (cognitive dissonance); yang kemudiannya melahirkan kekeliruan estetik (aesthetic confusion). Contoh kecelaruan kognitif ini dapat dilihat dengan jelas dalam kontradiksi penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dengan contoh terbaik dapat dibaca dalam Laporan 1985, Laporan 1991, Laporan 2009, dan Laporan 2012. Contoh-contoh kecelaruan kognitif telah diberi dan dibincangkan dalam beberapa posting yang lepas. Lihat terutama sekali posting bertarikh 21/2/2011 dan 12/3/2011; lihat juga posting bertarikh 14 Jun, 2012; 19 Mei, 2012; dan 8 Julai, 2012.

Laporan 2012 adalah contoh terbaik, paling jelas, tentang kekeliruan estetik. Perhatikan contoh ini: “Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu puisi yang indah, mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam” (Laporan 2012, hal. 20). Satu lagi: “Kemala ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa kini. Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani” (hal. 21). Seterusnya satu lagi: “Wajar dicatatkan bahawa kejayaan Kemala dalam menghasilkan puisi yang bernafaskan cinta dan kerinduan mistikal mungkin tidak direka-reka. Ia mungkin banyak disebabkasn oleh kecenderungan kerohanian penyair sendiri dan oleh upaya pembersihan jiwa yang dijalankannya. ... Ini semua menjadikan puisinya tulen, sesuatu yang sukar dicapai pada zaman moden yang amat cemburukan amalan kerohanian” (hal. 17). Tentu saja pujian ini sangat hebat dan benar-benar menjentik keinginan kita untuk mengetahui betul tidaknya, tepat tidaknya pujian yang tinggi ini dengan karya pensajak istimewa ini. Hampir tidak ada contoh yang “menyeronokkan” yang diberikan di dalam laporan, kecuali dua buah sajak di halaman 16 dan 17. Sekiranya anda membaca sajak-sajak ini dengan kritis, anda tidak bertemu apa-apa yang istimewa, kecuali permainan kata yang bersifat egois yang bombastik. Misalnya: “Akulah laut/ Gadis cantik tidur di peraduannya/ Sisik-sisik riak di tubuhku/ Lukisan detik dan tarian angin/ Bersatu di gemersik  ingin/ Saujana ketenangan ini. ... Apakah yang mistikal dan spiritual dalam gambaran bombastik ini? Bandingkan dengan gambaran waktu senja dalam sanjak Amir Hamzah, “Berdiri Aku.” Pasti anda akan melihat kekerdilan sajak Kemala ini dibandingkan dengan sanjak Amir Hamzah. Contoh di halaman 16 laporan pun biasa saja, tidak lebih dari permainan kata-kata yang amat ketara dibuat-buat, bukan lahir dari tekanan kerohanian tulen yang memerlukan ekspresi khusus seperti dalam sajak “Doa” oleh Chairil Anwar.  Inilah kekeliruan (dan seterusnya kecelaruan) estetik yang dimaksudkan: pujian dari segi estetik amat tinggi; tetapi buktinya tidak terdapat dalam sajak yang dipilih. Sudah jelas para penilai ini menghadapi kecelaruan kognitif yang teruk, tidak dapat memadankan pujian dengan bukti yang dikemukakan (lebih-lebih lagi buktinya amat kurang dan tidak bermutu pula).

Sekarang kita lihat pula bagaimana seorang pakar persajakan Melayu melihat Kemala. Prof. Rahman Shaari dalam syarahan perdana beliau (2004) tentang kemantapan sajak-sajak Melayu, tidak melihat apa-apa yang bersifat kerohanian yang harum semerbak dalam karya Kemala, sebaliknya beliau hanya bertemu sebuah sajak patriotik tentang kemerdekaan (ulang tahun hari kemerdekaan).  Prof. Rahman Shaari telah dijadikan seorang profesor sajak (atau kritikan sastera) kerana kepakarannya, oleh itu beliau tidak mungkin berbuat silap dalam menilai Kemala sebagai pensajak. Jika beliau silap, bagaimana universiti tempat beliau bekerja boleh menerima beliau sebagai seorang profesor? Saya lebih cenderung untuk membuat kesimpulan bahawa Prof. Rahman Shaari telah melakukan tinjauan yang agak teliti tentang sajak-sajak Melayu yang dikategorikan beliau sebagai “sajak-sajak mantap”. Jika kesimpulan ini boleh diterima, maka kehadiran pensajak Kemala dalam “persada persajakan Melayu” bukanlah istimewa, seperti yang didakwa dalam Laporan 2012.  Adakah Panel Anugerah Sastera Negara telah tersalah baca? Adakah mereka telah melakukan kesilapan dalam penilaian mereka? Inilah yang “mistikal” yang disebut oleh laporan, bukan sajak-sajak Kemala yang biasa saja tetapi memang kaya dengan kata-kata bombastik terapung-apung di permukaan baris sajak-sajaknya, seperti buih yang kelihatan bergaya di lautan atau di sungai yang baru diserang banjir. Tidak mungkin Panel Anugerah Sastera Negara melakukan kesilapan dalam penilaian mereka, kerana semua mereka adalah profesor yang senior pula kedudukannya. Inilah yang mistikal itu, dan inilah yang dimaksudkan dengan kecelaruan estetik dan kekeliruan kognitif (anda boleh guna kecelaruan dan kekeliruan dalam bentuk yang anda suka: kekeliruan estetik, kecelaruan kognitif ..., tidak jadi masalah!).

Sebenarnya yang terjadi bukanlah sesuatu yang mistikal, tetapi amat logikal.   Baik Prof. Rahman Shaari yang mencari “kemantapan” sajak, mahu pun Panel Anugerah Sastera Negara yang “mencium” kewangian sajak-sajak kerohanian Kemala, kedua-duanya sedang menghadapi masalah yang dinamakan “kekeliruan dalam konsep ilmu”.  Kedua-duanya tidak menilai karya Kemala (dan lain-lain karya) berasaskan konsep ilmu yang benar yang melahirkan pemikiran yang mendalam yang jelas terserlah dalam karya yang mereka nilai.  Anda tidak boleh lari dari hakikat ini, jika anda membaca karya-karya penyair agung dalam Islam (disebut oleh Panel dalam laporan mereka, hal. 18; bandingkan dengan sindiran A. Samad Said ini: “Makanya, kita tahu Jalaluddin Rumi, Hamzah Fansuri atau Syed Naquib tidak bererti kita langsung sahaja sudah menjadi pujangga Islam” (Dewan Sastera, Julai 1997, hal. 52). Kekusutan dalam memahami konsep ilmu ini telah melahirkan kecelaruan kognitif dan kekeliruan estetik yang dihadapi oleh Prof. Rahman Shaari dan Panel Anugerah Sastrera Negara. Inilah golongan yang menghadapi kerugian yang disengajakan dalam kegiatan akademik mereka. Walaupun Laporan 2012 cuba mendekati sajak-sajak Kemala dari perspektif Islam, namun kerana adanya kekeliruan dalam memahami konsep ilmu, menyebabkan mereka tidak dapat memberikan penilaian yang saksama, kecuali hanya melantunkan pujian yang tidak diiringi bukti dan analisis yang mendalam, sesuai dengan kedudukan pensajak yang cuba diangkat itu. Yang ingin diangkat tidak terangkat, kerana karyanya tidak melayakkannya untuk diangkat. Dalam hal ini, kesimpulan Prof. Rahman Shaari lebih boleh diterima dan agak tepat.

Perkara yang dibincangkan di sini tidak dianggap penting dalam pandangan arus perdana, yang secara langsung meremehkan saja persoalan yang dibincangkan di sini sebagai sengaja di ada-adakan, disalah tafsir dan tidak berkaitan langsung dengan teori kritikan sastera yang diterima di Malaysia dan di seluruh dunia. Bagaimana anggapan begini boleh timbul adalah satu perkara mistikal (meminjam istilah Laporan 2012) yang bertentangan dengan semangat akademik tulen yang juga menjadi amalan seluruh dunia. Dengan meremehkan konsep ilmu sebagai tidak relevan, maka para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera telah meletakkan diri mereka dalam dunia pandirisme yang memang menjadi arus perdana di Malaysia, sepanjang mengenai sastera. Dalam dunia pandirisme itu, semuanya ditentukan mengikut kepentingan peribadi atau puak, maka itulah timbul kekangan tak ketara (?) supaya para sasterawan negara tidak dikritik dan dinilai semula jika dengan berbuat demikian kedudukan mereka akan terancam. Seterusnya kedudukan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri ditakdiskan, tidak boleh disentuh, kecuali untuk memuji. Kritikan adalah hasil perasaan hasad dengki dan permusuhan. Sejahat itukah dunia akademik kita?  Saya tidak fikir begitu, kerana mustahil dunia akademik yang telah melahirkan ramai sarjana dan profesor demikian sifatnya. Lebih tepat dan lebih munasabah untuk kita membuat kesimpulan bahawa semua ini timbul dari salah faham yang berpunca dari keengganan untuk mendebatkan persoalan ini secara tuntas dan ilmiah. Hal ini terjadi kerana kurangnya sifat terbuka di kalangan sarjana kita, akibat tidak meletakkan standard yang tinggi dalam dunia akademik. Standard ini dapat dilihat dengan jelas dalam kalangan ahli akademik yang lahir di ISTAC di bawah bimbingan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang boleh dilihat dengan jelas dalam tesis sarjana dan kedoktoran yang dihasilkan di ISTAC. Jika anda tidak dapat menerima standard yang tinggi yang ditetapkan di ISTAC sewaktu Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menjadi Pengarahnya, yang dapat dibuktikan dari hasil tulisan pelajar yang mendapat pendidikan di sana, maka anda harus membuktikan dari karya anda sendiri bahawa karya dan pemikiran anda adalah jauh lebih canggih dan lebih tinggi kualitinya. Kita harus berlumba untuk mencapai mutu yang tinggi, bukan berlumba untuk mempertahankan pandirisme dalam dunia akademik kita. Termasuk juga di sini ialah piawaian yang kita perlu tetapkan untuk dijadikan ukuran. Misalnya, jika kita ingin menentukan kualiti sebuah syarahan perdana dalam kesusasteraan, maka contoh yang kita ambil ialah Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Jika anda tidak bersetuju, anda harus mengemukakan contoh yang lebih baik untuk dijadikan ukuran. Mana-mana syarahan perdana dalam kesusasteraan yang tidak mencapai standard itu, bukanlah syarahan perdana yang tinggi mutu akademiknya. Dengan adanya garis panduan ini, kita dapat mengukur dengan lebih mudah pencapaian akademik dalam bidang ini. Jika semuanya sama atau lebih tinggi kualiti akademiknya daripada standard yang kita tetapkan, maka itulah yang dinamakan kemajuan dan perubahan yang membanggakan kita dalam bidang akademik ini.  Dengan itu kita boleh mengelak dari berada secara berterusan untuk mengusahakan sesuatu yang sia-sia, yang tidak boleh dibanggakan. Untuk memudahkan anda memahami penghujahan ini, sila baca buku terbaru dalam pasaran sekarang, Adab dan Peradaban: Pengi’tirafan Untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, dan sebuah lagi buku yang diterbitkan lebih awal, dalam bahasa Inggeris: Knowledge, Language, Thought and The Civilization of Islam: Essays in Honor of Syed  Muhammad Naquib al-Attas (2010).






1 comment:

  1. Saya baru saja dengar berita TV tentang Manteri Pengajian Tinggi bilang kerajaan galakkan pembinaan ilmu baru. Apa maksudnya? Tak jelas. Ilmu apa? Tak jelas juga. Samakah kedudukan semua ilmu? Lagilah tak jelas. Bolehkah kesusasteraan dianggap/diterima sebagai sejenis ilmu? Berkaitan itu, adakah termasuk kritikan sastera? Semuanya tidak jelas. Kalau Bahagian Pengajian Tinggi sudi jelaskan, tentulah baik. Mungkin juga ada di kalangan ahli akademik kita yang tahu, jika sudi tolong jelaskan kata-kata Menteri ini. Saya berminat kerana saya mahu tahu adakah gagasan Persuratan Baru goleh diterima sebagai satu ilmu baru dalam kritikan sastera? Kalau diterima, wajarkah dijadikan satu subjek dalam pengajaran sastera? Lebih penting, berkaitan dengan ini, adakah sudah tiba masanya pendidikan estetika daripada pendekatan tauhid dijadikan mata pelajaran penting? Semuanya kabur, walaupun buku tentangnya sudah terbit sejak 1992 dan telah diterima oleh sebuah universiti Islam di UK sebagai salah sebuah sumbangan penting dalam peradaban Islam. Di Malaysia bagaimana? Semua ini perlu penjelasan. Tetapi jika sekiranya tidak diperlukan apa-apa penjelasan kerana tidak termasuk dalam domain yang dimaksudkan oleh Menteri, tidak mengapa. Cuma saya kira kita telah rugi lebih dari 30 tahun kerana idea ini terbiar begitu saja, malah ada di antara ahli akademik yang menentangnya kerana sebab-sebab tertentu yang mereka lebih tahu. Oleh sebab saya berminat tentang perkembangan ilmu, saya tulis catatan kecil ini kalau-kalau ada manfaatnya. Kalau tidak ada pun tak mengapa. Kita tunggu idea yang bermanfaat itu muncul. Atau sudah muncul? Cuma saya saja tidak tahu? ...

    ReplyDelete