Wednesday, August 29, 2012

Kubur, sasterawan, dan kesudahan hidup manusia


Apabila seorang sasterawan meninggal dunia, ke manakah perginya karyanya?  Sudah pasti bukan dikuburkan bersamanya. Tetapi pasti ada sesuatu dari hasil karyanya yang akan mengikutnya. Apakah sesuatu itu? Mungkin Salina yang akan membawa bersamanya TIVI yang bercerita tentang Kuala Lumpur Kita Punya dengan bangunan apartmen yang banyak dan mewah pula, kerana Dunia Adalah Sebuah Apartmen.  Dapatkah kita berkata Laporan Anugerah Sastera Negara menjadi jaminan kehidupan bahagia seorang sasterawan negara ketika berada di dalam kubur? Semua persoalan ini tidak timbul dalam kritikan sastera dari pendekatan Barat, kerana realisme yang menjadi dasar dan prinsip utama teori sastera Barat  tidak pernah dan tidak mungkin membicarakan dengan serius peri hidup seorang sasterawan di dalam kubur dan selepasnya. Bagi teori sastera Barat, persoalan begini hanya timbul dalam kepala seorang penulis gila yang tidak siuman dan tidak berbakat. Tetapi tidak demikian bagi Panel Anugerah Sastera Negara. Ini komen mereka terhadap sebuah karya Anwar Ridhwan: “Cerpen ‘Hati’ pula meneroka kejujuran manusia yang langka. Watak narator yang mati dibunuh diberikan keupayaan menelah bagaimana hati tunangnya boleh berubah setelah kematiannya, dan ibu bapanya tidak lagi bersedih. Cerpen ini cuba meneropong kehidupan manusia dari alam roh, yang barangkali lebih jujur dan tepat dalam penilaiannya berbanding dengan alam dunia yang palsu, seperti yang dibisikkan oleh protagonis ini: ‘Perjalanan rohku malam ini tak ketentuan. Di sana ada cahaya terang, barangkali Yang Esa’” (Laporan 2009, hal. 9).

Apa yang anda dapat dari komen Panel dan dari cerita pendek ‘Hati’ itu? Ini pandangan Dr. Zulkarnain dalam sebuah tulisannya: “Al-Quran menegah akal  untuk bertanya tentang roh pada ayat (17: 85), menegahnya bertanya tentang masa berlaku hari Kiamat (7: 187) dan lain-lain lagi. Ini dengan jelas menunjukkan keterbatasan akal, secara khusus akal terbatas daripada meneroka alam ghaib, seperti zat Tuhan, roh, hari kiamat, ... dan juga soal malaikat, jin dan sebagainya. Adalah penting keterbatasan ini difahami dan diakui. Dalam konteks karya fiksyen, penerokaan dan gambaran dimensi ghaib ini boleh bercanggah dengan akidah Islamiah. ... Perbuatan itu boleh menafikan hakikat sebenar alam ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Umpamanya, gambaran alam Barzakh yang berdasarkan kepada khayalan semata-mata tidak menepati hakikat sebenar, dan dengan itu ia mempermainkan, menempelak dan menolak pengetahuan Allah Ta’ala”.  (Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, hal. 127). 

Sejauh mana Panel dan sasterawan negara yang dipuji mereka “melanggar” keterbatasan akal itu?  Jawapan yang diberikan oleh Laporan 2009 adalah menarik: “Cerpen-cerpen Anwar Ridhwan beralih angin kepada bentuk eskperimen dengan menggunakan pendekatan simbolik, yang berteraskan lambang seperti dalam cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ ...  Cubaan bereksperimen  ini sudah mula maju ke arah yang matang. ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’  mengemukakan apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia. Apartmen adalah dunia yang sempit, panas, seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata” (hal. 10). Lalu Panel membuat kesimpulan ini: “Cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ mengemukakan persoalan filosofikal” (hal. 10).  Apakah jenis “keterbatasan” yang ditonjolkan dalam cerita pendek ini dan pujian Panel terhadapnya? Inilah tahap kekeliruan tentang konsep ilmu yang sampai ke kemuncaknya, yang akibatnya hanya memperlihatkan kecelaruan estetik (aesthetic confusion) penulis cerita pendek dan Panel yang tenggelam dalam dunia bombastik akibat dari kecelaruan kognitif (cognitive dissonance) kerana kedua-duanya, penulis dan penilai, berada dalam keadaan yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai keadaan yang “cetek meraba-raba”, oleh itu tanpa disedari, mereka telah menempelak kreativiti dan kekuasaan Allah Ta’ala yang mencipta dunia dalam bentuk sebuah apartmen yang panas dan sebagainya itu!. Kalau itulah falsafahnya, maka kesusasteraan Melayu tidak perlukan falsafah. Inilah jenis karya sastera yang dilahirkan oleh teori dan pendekatan sastera Barat yang ditiru dan dipraktikkan dengan gigih oleh para sasterawan dan penilai mereka (Panel Anugerah Sastera Negara).  Betapa megahnya sasterawan dan Panel diberi kesimpulan begini dalam Laporan 2009:  “Pencapaian kreativiti Anwar Ridhwan dalam menghasilkan cerpen meletakkannya sebagai satu jalur besar dalam sejarah perkembangan cerpen” (hal. 17). Kesimpulan ini tidak mempunyai makna sama sekali, bertentangan dengan bukti yang diberikan oleh cerita pendek sasterawan ini yang tidak memperlihatkan apa-apa jenis jalur, jika ada. Sebaliknya, inilah contoh kekeliruan estetik yang menjadi ciri utama laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Kekeliruan begini sampai ke kemuncaknya dalam Laporan 2012, yang cukup kaya dengan pujian bombastik, tetapi tidak dibuktikan melalui contoh yang konkrit.

“Anwar Ridhwan satu jalur besar dalam sejarah perkembangan cerpen”?  Kenyataan ini sangat penting dalam kritikan sastera, dan perlukan penjelasan terperinci dengan membandingkannya dengan “jalur-jalur lain” yang sudah ada dalam perkembangan cerita pendek Malaysia. “Jalur besar” dari segi apa? Dari segi tema, “jalur pelacur” dan perzinaan dalam “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” tidak dapat mengatasi “jalur agung” yang telah dijadikan “jalur gemilang” dalam tema pelacuran dan perzinaan oleh A. Samad Said melalui Salina dan Langit Petang, dua buah novel yang mendapat sanjungan Panel Anugerah Sastera Negara (anda perlu baca laporannya). Tanpa sebarang perbandingan dengan meletakkannya dalam konteks sejarah perkembangan cerita pendek di Malaysia, maka pujian tidak bertanggungjawab begini mesti ditolak, tidak boleh dipakai. Dalam perkara seperti ini kita harus berhati-hati dan tegas, supaya penilaian songsang begini tidak terus dijadikan rujukan oleh sarjana dan sasterawan yang malas membaca dan yang tidak mempunyai maklumat yang tepat.  Jika anda membaca cerita pendek A. Samad Ismail, “Rumah Kedai di Jalan Seladang” (Dewan Sastera, September 1988; dimuat semula dalam kumpulan Ingin Jadi Pujangga: Kumpulan Cerpen 1944-1991 (DBP, 1995) oleh A. Samad Ismail), dan membandingkannya dengan “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, anda akan dapat melihat kedewasaan kreatif dalam karya A. Samad Ismail yang juga memperihalkan tentang pelacuran dan perzinaan wanita Melayu di zaman perang, tetapi para “pelacur” itu masih menyebut nama Allah dengan rasa takut. Adakah “jalur besar” Anwar Ridhwan ini telah mengatasi “jalur lebar” A. Samad Ismail dalam cerita-cerita pendeknya? Jika anda membuat perbandingan begini, anda akan lebih berhati-hati membuat penilaian dan lebih-lebih lagi berhati-hati menggunakan istilah yang boleh mengelirukan seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporannya. Sebagai satu catatan kecil, A. Samad Ismail cukup sedar penilaian songsang begini dalam permainan politik sastera, lalu mengkritik golongan ini sebagai Mafia Sastera! (dalam suratnya kepada Leo AWS, yang menyebutnya dalam salah sebuah kumpulan sajaknya, 2003).

Peringatan (yang juga sebenarnya berupa amaran) Dr. Zulkarnain Mohamed dalam kutipan di atas wajar diberi perhatian serius oleh para sarjana sastera dan para sasterawan, dan tentu saja oleh para penilai karya kreatif seperti Panel Anugerah Sastera Negara. Peringatan (dan amaran) itu meletakkan kedudukan akal pada tempatnya yang wajar, seperti fitrah kejadiannya, oleh itu pengguna akal (jika digunakan dengan wajar) seperti para sasterawan tidak wajar melampaui batas akal hanya kerana hendak berkhayal sebebas-bebasnya hingga terbabas jauh dalam kesesatan berfikir (jika mereka berfikir).  Inilah adab dalam seni mengarang karya kreatif, yang perlu dijaga. Dalam teori sastera Barat, adab ini tidak diperlukan, oleh itu sasterawan boleh menulis tentang apa saja mengikut imaginasi mereka. Ini memudahkan mereka untuk menulis, dan juga memudahkan para penilai menilai karya itu mengikut hawa nafsu mereka. Dalam adab penulisan Islam, imaginasi diletak di bawah kawalan akal sihat yang tahu batas-batasnya dan tidak akan melanggar batas-batas itu kerana karya yang ditulis secara biadab pasti akan gagal, walaupun digemari oleh pembaca yang juga bersikap biadab. Di Malaysia contoh terbaik dalam kes ini ialah novel TIVI  dan Shit oleh Shahnon Ahmad; novel Kuala Lumpur Kita Punya oleh Abdullah Hussein. Ketiga-tiga novel ini adalah novel picisan yang ditulis mengikut teori sastera Barat sepenuhnya, tanpa sebarang tanggungjawab ilmu, tetapi bergantung sepenuhnya kepada kemahuan hawa nafsu manusia yang paling rendah, yakni nafsu kebinatangan yang dikawal oleh pengaruh syaitan. Sasterawan yang menulis seperti ini menulis di bawah kawalan hawa nafsu tadi.  Bagi yang berasa sukar hendak mengikuti penghujahan ini, bolehlah melihat masalah ini dalam konteks pertandingan/pertentangan antara kebaikan dengan kejahatan. Dalam Islam, penulis diberi kebebasan penuh untuk menulis tentang kebaikan, walaupun bahannya tentang kejahatan manusia; sebaliknya, para sasterawan yang menulis mengikut teori sastera Barat, diberi kebebasan sepenuhnya untuk menulis tentang kejahatan, walaupun tema utama dikatakan mengenai kebaikan (misalnya pengakuan Shahnon Ahmad tentang tujuannya menulis TIVI). Dalam konteks inilah gagasan Persuratan Baru dapat membantu para penulis, sarjana, dan penilai sastera mengenal pasti kebaikan dan kejahatan dan bagaimana kedua-duanya diletak pada tempatnya dalam penulisan kreatif, dalam analisis karya, dan dalam penilaian yang dilakukan terhadap karya kreatif. Kekacauan dan kekeliruan dalam aspek ini akan melahirkan penilaian seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang menerima karya picisan sebagai karya bermutu, yang menyanjung karya liar sebagai karya bermutu yang kononnya mencipta jalur baru dalam penulisan. Jika anda tidak dapat menerima penggunaan akal seperti yang dimaksudkan dalam Islam, maka anda bebas berbuat apa saja. Ketika itu anda harus bersedia menerima kritikan keras dari pelbagai sudut. 

Apakah yang akan terjadi ketika anda, sebagai sasterawan, masuk kubur nanti? Soalan ini tidak relevan, seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Zulkarnain dalam kutipan di atas. Tiada siapa pun yang tahu. Tetapi semua sasterawan dan sarjana sastera tahu, penggunaan teori dan pendekatan Barat, tanpa pengetahuan tentang Islam dan kedudukan akal dalam Islam, adalah kerja sia-sia, suatu usaha yang merugikan, kerana secara sedar menolak pendekatan Islam sambil mempertahankan pendekatan Barat yang sia-sia itu.  Adakah ini masalah pilihan? Jika anda percaya alternatif Islam itu lebih baik, malah yang terbaik, maka inilah masalah keyakinan dan komitmen.  Akhirnya anda sendirilah yang menentukan siapa anda, dan jalan mana yang anda ikuti untuk kesudahan kehidupan anda sebagai manusia.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,
28/8/2012.




1 comment:

  1. Buku ADAB DAN PERADABAN: KARYA PENG'IKTIRAFAN UNTUK SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS telah diterbitkan oleh MPH, akan dijual pada sesi kuliah Prof. Naquib di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, KL, jam 10 pagi. Selamat menghadiri kuliah sambil membeli buku tersebut, harga RM69.00. SELAMAT HARI RAYA.

    ReplyDelete