Thursday, September 3, 2020

MEMBERI MAKNA KEPADA SATU PERJUANGAN YANG KURANG SAMBUTAN

Ada sesuatu yang tidak kena dengan kemunculan Gagasan Persuratan Baru, yang bukan mengenai PB, tetapi mengenai sambutan para sarjana sastera dan sasterawan terhadap PB.  Mereka telah melakukan kesilapan besar dengan melantik sasterawan negara berasaskan ukuran yang tidak berasaskan ilmu, tetapi berasaskan sensasi. Maka dengan itu penentangan terhadap PB terjadi hanya semata untuk melindungi kesilapan besar yang berlaku dalam sastera Melayu dengan pelantikan para sasterawan negara dan wujudnya Panel Anugerah Sastera Negara. Semua ini terjadi untuk mempertahankan gerombolan yang diberi gelaran/nama Mutual Admiration Club. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menafikan bahawa semua sasterawan yang terpilih dan dipilih adalah anggota Mutual Admiration Club itu. Inilah kumpulan yang menentang konsep ilmu yang benar dalam kegiatan sastera dan kritikan sastera. Merekalah yang menjadi pengkhianat kepada perkembangan  sastera berasaskan ilmu yang benar. Itulah kenyataan yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa sekali pun. Itulah hakikatnya.

Bagaimana kita boleh mengatasi masalah pengkhianatan terhadap ilmu ini?  Asas perkembangan ke arah ini telah dimulai oleh sekumpulan anak muda yang menjadikan tanggungjawab utama dalam kehidupan mereka ialah menyebarkan ilmu. Saya adalah antara orang yang beruntung yang karyanya diterbitkan oleh Syarikat Wadi al-Irfan: cetakan baru Pujangga Melayu, lengkap dengan Indeks; Hikayat Salim Adil; dan Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden.  Saya harap mereka juga akan menerbitkan Hikayat Abu Gambol yang sudah lama siap, masih menunggu penerbit.

Membina budaya ilmu yang mantap dalam kegiatan ilmiah dan sastera sentiasa menjadi cita-cita dan pegangan hidup saya, yang ingin saya wariskan kepada Nusantara, supaya kegemilangan Nusantara yang Islam akan kembali lagi. Anak-beranak kita di Indonesia tidak menyokong cita-cita ini, malah mereka meremehkan saja kemunculan PB dalam kegiatan budaya dan sastera, sebagai sejenis kudis gatal dalam budaya ilmu dan budaya peradaban negara. Mereka telah membuat perisytiharan bahawa mereka adalah ahli waris sastera dunia, yang diucapkan sendiri oleh Chairil Anwar. Saya mengerti dan simpati dengan  keangkuhan Indonesia dalam bab ini, tetapi mereka harus sedar pembinaan budaya ilmu tidak diasaskan kepada keangkuhan yang diwariskan oleh Iblis kepada manusia, sejak Iblis menolak untuk menghormati Adam ‘a.s. Oleh itu, adalah wajar dan tepat jika terdapat manusia, di mana saja, yang terpengaruh dengan keangkuhan Iblis yang mengaku dia diciptakan daripada api oleh itu lebih mulia, sedangkan Adam dicipta daripada tanah yang hina, tempat orang berak dan kencing. Sama ada Iblis sedar atau tidak bukan urusan kita, bahawa manusia yang dicipta daripada tanah itu lebih mulia kerana tanahlah yang memberikan kesuburan dan makanan kepada manusia dan seluruh makhluk di dunia, sementara api hanya tahu memusnahkan jika tidak dikawal. Dengan itu, jika peranan api Iblis dalam perkembangan ilmu tidak disedari oleh manusia, maka tepat sekali jika ada di antara mereka yang meremehkan kemunculan PB dalam sastera dan budaya manusia sejagat.  Saya maksudkan manusia sejagat, kerana saya tidak ragu sedikit pun untuk mencabar apa juga sistem ilmu dari Barat dan di mana saja kerana saya tahu dan yakin tidak ada manusia yang dapat menindas dan membunuh kemunculan PB sebagai bahtera ilmu dalam persuratan.  Oleh itu, jika terdapat di Persekutuan Tanah Melayu dan Nusantara kumpulan manggak dan sombong yang mengejek dan menghina PB sebagai satu sistem dalam kegiatan kreatif, maka mereka adalah para pengikut Iblis yang telah dilaknat dan dikutuk oleh Allah SWT.  Tidak ada kompromi sama sekali ketika kita menghadapi makhluk yang bangga menjadi hamba Iblis, sedangkan kita yang mewarisi ilmu yang benar adalah hamba Allah. Saya tidak pasti berapa ramai di antara sasterawan Malaysia yang menjadi hamba Iblis ini, kerana ini bukan urusan kita yang menjadi hamba Allah. Keadaannya samalah dengan penegasan Machiavelli yang pernah menegaskan bahawa dia lebih seronok berada di neraka kerana di situlah dia boleh berbicara dengan ahli falsafah dan pengarang besar dunia; sedangkan syurga adalah tempat orang miskin yang bodoh!  Tidak pasti, berapa orang sasterawan negara dan sasterawan biasa yang menjadi pengikut Machiavelli ini, tetapi ada yang menggunakan idea Machiavelli dalam tulisan kreatif mereka, seperti yang dibuktikan oleh para sarjana sastera yang meneliti karya para sasterawan negara. Kalau anda tidak tahu maka itu urusan anda, tiada kaitan langsung dengan kenyataan ini.  Peluang untuk anda menafikannya terbuka luas; tetapi jika anda tidak tahu mengenai perkara ini, maka itu sudah sepatutnya bagi golongan yang keupayaan intelektualnya agak terbatas.

Memperkenalkan PB dalam gelanggang persuratan dan kritikan sastera adalah satu perjuangan yang mesti diteruskan hingga kiamat, satu jangka waktu yang kita tidak tahu tetapi akan sampai masa dan ketikanya. Peringatan ini penting kerana hanya dengan peringatan ini kita dapat menghalang meluasnya karya picisan yang cetek meraba-raba, yang dihasilkan dalam konteks pemberontakan Iblis seperti yang dikisahkan dalam al-Quran. Para pengarang Islam menghadapi dua pihak musuh yang sama-sama menyesatkan pengarang Islam, iaitu pengaruh sumpahan Iblis yang berusaha gigih untuk menyesatkan orang Islam, dan pengaruh dari Barat yang menolak konsep ilmu yang benar. Di Malaysia kesedaran kepada dua musuh intelektual ini agak lemah,  maka terjadilah pemberontakan untuk menyisihkan konsep ilmu yang benar dalam seni mengarang kerana sudah mendalam sekali pengaruh teori sastera Barat dalam korpus ilmiah mereka. Inilah konteks yang mendorong saya menulis Pujangga Melayu.  Bagaimana karya agung ini ditulis telah saya cerita di banyak tempat dalam blog ini, dengan satu penegasan yang penting. Saya telah mengumpul bahan selama kira-kira 20 tahun, tetapi tidak dapat menulisnya. Saya tidak punya teori yang boleh memberi jalan dan arah yang betul. Masalah ini hanya dapat diselesaikan setelah saya dapat membezakan realiti hakiki dengan realiti semu.  Pada ketika yang sama muncul pula konsep siratan makna (stylization of ideas) yang membantu saya bagaimana menyirat makna dalam karya kreatif yang sekali gus menyerlahkan konsep ilmu yang benar sebagai asasnya. Selepas itu, segala-galanya adalah sejarah; dan hasilnya itulah yang saya beri judul Pujangga Melayu, judul yang mencabar seluruh sasterawan dan pengkritik sastera serta para sarjana sastera. Bukan untuk Malaysia saja, tetapi untuk mencabar seluruh praktik yang digunakan pengarang Barat dalam menulis karya mereka. Juga dalam menganalisis karya kreatif.

Rupanya, usaha ini diremehkan oleh para sasterawan Melayu, sarjana sastera dan pengkritik sastera Melayu. Apakah sumbangan mereka sebenarnya yang mendorong mereka mengejek PB sebagai  omong kosong untuk dijadikan asas penulisan kreatif dan kritikan sastera? Pertanyaan ini mereka lempar dalam tong sampah, tempat yang sesuai untuk karya mereka, seperti yang telah diberi hujah-hujahnya dalam kritikan saya terhadap karya para sasterawan negara. Rujuk buku penting, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden  (Kuala Lumpur: Wadi al-Irfan, 2019).  Lihat juga Hikayat Salim Adil yang unik dan istimewa sebagai karya kreatif yang asasnya teori sastera berasaskan Persuratan Baru, yang merangkai karya kreatif dalam bentuk cerita dengan wacana ilmiah tentang konsep ilmu dalam penulisan kreatif. Saya masih menunggu kritikan serius daripada para sasterawan dan sarjana sastera. Saya fikir mereka pun tahu jika mereka cuba bermain dengan idea kreatif mereka hanya mendedahkan kepandiran mereka sendiri, seperti yang saya telah huraikan dalam Pandirisme Dalam Komuniti Dunia.

Perkembangan terbaru dalam penulisan kreatif berlaku apabila diperkenalkan dua konsep yang saling berkait, iaitu konsep wacana dan cerita.  Manakah yang lebih utama antara dua konsep ini?  Sudah berkurun-kurun cerita diberi keutamaan, dengan meninggalkan konsep wacana. Dalam kritikan sastera di Malaysia, konsep wacana itu diterjemahkan oleh pengkritik dan pengkaji sastera sebagai nasihat, pengajaran, khutbah, dan yang seumpamanya. Khutbah dilarang sama sekali dalam teknik bercerita, kerana kata penulis Melayu (?) khutbah mengganggu kelancaran cerita. Kata mereka, kalau mahu menulis cerita dalam bentuk novel atau cerita pendek, tulislah cerita dan jauhkan dan haramkan terus apa juga khutbah, nasihat, pengajaran dan yang seumpamanya.  Saya telah melanggar nasihat bodoh ini melalui konsep wacana, yang saya terapkan dalam cerita pendek dan novel. Cara terbaik untuk memahami perkembangan ini ialah dengan membaca Pujangga Melayu dengan teliti, supaya anda dapat melihat bagaimana aspek wacana itu dijadikan asas utama dalam penulisan kreatif, tanpa meninggalkan cerita yang diletakkan di tempat kedua dalam penulisan kreatif. Dengan perkembangan terbaru ini, peranan wacana dan cerita diberi tempat dan kedudukan yang sesuai dengan peranan masing-masing dalam penulisan novel. Dengan perkembangan ini, sikap anti khutbah yang menjadi pilihan para penilai karya sastera, ditempelak dengan keras dalam konsep wacana yang tidak boleh berdiri sendiri, dalam erti masih memerlukan cerita untuk menyampaikan idea tertentu dalam karya tersebut. Contoh terbaik akan anda temui dalam Pujangga Melayu, sebuah karya yang mengutamakan wacana, tetapi tidak meninggalkan cerita, malah cerita dalam pengertian asalnya dijadikan teman karib wacana.  Pujangga Melayu memilih poligami sebagai penyelesai masalah seorang tokoh ilmu yang menjadi watak utama dalam karya itu. Untuk membantu anda memahami keadaan yang sensitif ini, anda perlu membaca bahagia akhir novel ketika Fatimah, seorang gadis yang cerdik, berbicara dengan ayahnya mengapa dia perlukan empat orang isteri. Bacalah di sana jika mahu tahu. Saya memilih tajuk yang amat sensitif dalam masyarakat Melayu ini untuk menyampaikan wacana tentang  makna kehidupan yang bahagia dalam masyarakat Islam.

Tulisan ini penuh dengan cabaran yang ditujukan secara khusus kepada para sasterawan negara, sarjana sastera yang menjadi penyokong mereka, dan para pengkritik sastera yang dangkal analisisnya (sebagai contoh, anda boleh lihat dalam Syarahan Perdana Prof. Datuk Rahman Shaari yang berbicara tentang sajak. Juga dalam Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Saleh yang mendapat sanjungan tinggi daripada para penyokong beliau, walaupun Syarahan itu jika dinilai dari perspektif PB maka inilah contoh bagaimana idea picisan dijadikan asas syarahan perdana. Saya telah ulas perkara ini lama dulu.)

Walaupun kejujuran intelektual amat penting dalam bidang akademik, tetapi tidak demikian dalam dunia akademik Malaysia. Falsafahnya mudah dan senang: Kalau aku suka sesebuah buku, penulisnya, dan kandungan buku itu, aku beri pujian tidak kira bermutu atau tidak; sebab soal mutu itu amat subjektif, masing-masing ada cita rasa sendiri.  Inilah yang terjadi kepada kedudukan para sasterawan negara dan buku yang mereka hasilkan.  Dalam teori sastera Barat, penulis yang disanjung itulah yang menentukan kualiti karyanya; kemudian diikuti oleh para sarjana.  Ini pun terjadi di Malaysia, dan kata mereka orang yang paling terkenal dengan sikap ini ialah Mohd. Affandi Hassan, yang memuji bukunya sendiri dan memaksa orang lain ikut sama. Dalam kes teori sastera Barat, yang menentukan nilai drama Shakespeare adalah beliau sendiri, para sarjana dan pengkritik drama hanya ikut saja. Oleh itu semua karya Shakespeare adalah bermutu. Maka apabila orang seperti G.B. Shaw, yang juga seorang penulis drama yang ulung, mengkritik Shakespeare, maka beliau tidak beradab dan penilaian beliau  tidak ada kualiti, salah, dan melampau. Inilah juga sikap yang menjadi pegangan sasterawan negara: yang boleh menentukan kualiti karya mereka adalah mereka sendiri, dengan sokongan para sarjana sastera. Lalu saya ditempelak usahlah kritik kami, anda sendiri pun memuji karya anda. Apakah yang lucu di sini? Mereka yang melontarkan pendapat itu tidak berani membicarakan karya saya dengan kritis dan objektif. Pertama, mereka tidak mahu baca. Kedua, mereka kata tidak bermutu, oleh itu tidak perlu membuang masa membacanya, apatah lagi membicarakannya secara ilmiah.  Mereka tidak sedar (?) persoalan in menjadi lebih rumit dan kedudukan mereka sendiri pun tidak ada sandaran ilmiah, satu tuntutan penting dalam kritikan sastera.

Ada beberapa isu peting yang saya sebut dan tonjolkan dalam para di atas. Saya cadangkan anda, sebagai pembaca yang kritis, boleh membantu kami semua memahami dengan lebih mendalam karya para sasterawan negara. Adakah anda setuju bulat-bulat dengan ukuran dan penilaian yang dibuat oleh anggota jawatankuasa pemilihan sasterawan negara? Saya tinggalkan soalan ini untuk anda jawab, jika mahu. Jika tidak mahu pun tidak mengapa. Inilah “normal baru” [norma?] dalam penilaian dan kritikan sastera Malaysia. Dengan sikap dan pendirian ini, tiada lagi karya sastera yang tidak bermutu.

Tidakkah itu merupakan kejayaan teragung dalam kritikan sastera Malaysia? Kita pun mahu tahu, siapakah pelopornya?  Saya yakin tiada seorang pun akan menjawab pertanyaan bodoh ini.  Walaupun bodoh, masalahnya kita semua mahu tahu!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1 September 2020.


1 comment:

  1. PB bahtera ilmu dalam persuratan
    Menunjuk ke jalan yang lurus
    Jalan pulang bertemu Tuhan
    Dalam keadaan yang reda dan diredai
    Inshaa-Allah, selamat dan terus berjuang.

    ReplyDelete