Tuesday, September 8, 2020

BERITA BAIK UNTUK PENYOKONG PERSURATAN BARU


Pelik, tapi benar. Saya diberi maklum, dan semacam amaran, supaya berhenti bercakap tentang Persuratan Baru. Sastera Melayu sudah jauh maju, dan kita pun sudah mempunyai 14 orang Sasterawan Negara. Apa lagi bukti yang kita mahu? Ada yang menyebut bahawa satu ketika dulu saya pernah menyatakan sastera Melayu mandul, tidak maju-maju kerana tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Bagus juga pertanyaan sinis yang ditujukan kepada saya: Mana dia penulis atau sasterawan yang menulis dalam model PB? Hanya pencetus idea itu seorang saja yang menulis karya yang dia sendiri panggil karya persuratan. Tak ada sasterawan yang berminat menggunakan model PB kerana terlalu ketat, tiada kompromi dari segi teknik dan  tema. Sasterawan diikat kaki tangan, kemudian diseranah dengan kasar bahawa mereka hanya pandai menulis karya picisan.  Akibatnya, sastera Melayu menjadi mandul, tidak berkembang kerana imaginasi sasterawan ditutup dengan konsep ilmu yang benar. Dan macam-macam lagi kritikan tajam. Ada sesuatu yang tidak kena di sini, bila PB dijadikan “kambing hitam” dalam sastera Melayu.

Ini satu perkembangan yang menarik. Sekarang saya kena tanggung dosa sasterawan Melayu yang hanya pandai menulis, tetapi tidak pandai mengarang. Saya memang membezakan konsep menulis dengan mengarang. Budak sekolah kelas satu pada mulanya belajar menulis, bila dalam Kelas 3 baru mula diajar menulis karangan. Dan seterusnya.  Bila agaknya para sasterawan negara dapat melepaskan diri mereka daripada kedudukan budak sekolah itu? Ini bukan sindiran atau cacian terhadap para sasterawan negara, sebaliknya satu cabaran daripada perspektif ilmiah supaya karya para sasterawan negara itu boleh dilepaskan daripada kandang picisan, tempat mereka berada sekarang.

Kata pengkritik PB: sastera Melayu yang sudah jauh maju dan sudah pun mempunyai 14 orang sasterawan negara, dihina dengan kata-kata kesat seperti misalnya mereka yang bergelar sasterawan negara itu menulis karya picisan; yang menulis karya bermutu hanya seorang saja di Malaysia (dan mereka menyebut nama saya). Dengan pengakuan ini, apa yang saya kritik sejak tahun 1981 ketika Anugerah Sastera diperkenalkan, menjadi kenyataan apabila sudah ada penulis yang jujur mengaku tentang kesukaran menulis karya persuratan, berbanding karya sastera.  Menurut mereka, saya harus menerima hakikat bahawa karya sastera dengan karya persuratan adalah satu jenis saja, tetapi diberi nama berbeza oleh pencetus PB untuk kepentingan peribadi beliau sendiri! 

Rumusan ini akan menjadi lebih bagus lagi jika terdapat sarjana sastera yang mahu, dan berani menghuraikan secara ilmiah bahawa karya sastera sama saja dengan karya persuratan, kedua-duanya berasaskan imaginasi penulisnya. Nama berbeza kerana kita ada orang yang bernama Affandi dan ada yang bernama Anwar, kedua-duanya penulis kreatif. Yang satu lebih hebat kerana mendapat gelaran Sasterawan Negara; yang seorang lagi apa gelaran yang dia dapat?  Oleh itu, kata mereka, karya sastera pun karya persuratan juga, tiada beza dengan  karya persuratan yang digembar-gemburkan oleh Mohd. Affandi Hassan!

Perbincangan seumpama ini samalah dengan kucing yang diikat ekornya dengan tali, berpusing-pusing cuba hendak melepaskan diri daripada ikatan itu. Itulah kedudukan para sasterawan.  Mereka ibarat kucing yang diikat ekornya, berpusing-pusing cuba melepaskan diri daripada kritikan yang ditujukan kepada mereka.  Perlukah saya menyahut cabaran mereka? Tidak perlu. Sebaliknya mereka perlu membuktikan karya sastera lebih bermutu daripada karya persuratan, dengan kajian terperinci semua karya para sasterawan negara dibandingkan dengan karya persuratan Mohd. Affandi Hasaan.  Dengan kajian perbandingan seperti ini, kita pasti dapat melihat betapa mandulnya karya sastera dari segi wacana dan cerita jika dibandingkan dengan karya persuratan. Kecuali, jika anda dapat buktikan konsep wacana itu sama dengan konsep cerita, oleh itu Persuratan Baru tidak menonjolkan apa-apa pembaharuan pun! Moga-moga akan tampil seorang sarjana sastera yang cerdik dan pantas berfikir untuk menulis tentang perbandingan antara karya sastera dengan karya persuratan. Kalau sama, buktikan dari perspektif apa kedua-duanya sama, hanya berbeza pada nama saja. Saya telah cuba membantu anda untuk menafikan tiadanya perbezaan antara dua jenis karya ini. Boleh buktikan seterusnya?

Pandangan begini tidak membuktikan karya sastera itu lebih baik daripada karya persuratan, tetapi kita mungkin dapat melihat perbezaan ukuran itu boleh menentukan kedudukan karya sastera dengan karya persuratan berasaskan konsep wacana dan cerita yang dipakai dalam kedua jenis karya itu.

Sastera Melayu mandul? Saya dituduh menjadikan sastera Melayu mandul dengan kemunculan PB sebagai alternatif kepada konsep sastera yang anti-ilmu kerana menolak konsep wacana dan cerita dengan hanya menerima cerita sebagai asas penulisan kreatif.  Saya berharap sesiapa juga yang mengajukan kesimpulan ini tampil dengan gagah berani menafikannya dan menyertakan contoh-contoh karya sastera yang jauh lebih berkualiti daripada Pujangga Melayu, Hikayat Salim Adil dan lain-lain karya saya.  Dalam bidang kritikan pun begitu, berilah contoh karya tentang kritikan sastera yang jauh lebih bermutu daripada karya yang berasaskan PB.  Kini tidak dapat dielakkan untuk menerima pertembungan konsep dan praktik dalam seni mengarang yang dipakai oleh para sasterawan dan kaedah baru yang dipakai oleh pengamal (kalau ada) PB. Dengan cara ini, kelebihan PB akan lebih jelas terserlah dibandingkan dengan kedudukan karya sastera yang dihasilkan oleh para sasterawan negara.  Kajian perbandingan perlu dilakukan untuk membuktikan penilaian Panel Anugerah Sastera adalah tepat setelah diteliti dengan cermat setiap ukuran yang mereka gunakan, berbanding dengan ukuran yang digunakan oleh PB yang menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas penilaian yang dijelaskan melalui konsep wacana dan cerita. Saya memberi laluan yang amat jelas untuk anda menafikan kewujudan PB dari perspektif kreatif dan unsur-unsur ilmiah yang menjadi dasarnya.  Kerja ini mudah jika anda tahu melakukannya, tetapi anda akan terkejut apabila hasilnya tidak memihak kepada anda, sebaliknya membuktikan dengan jelas kedudukan PB sebagai pilihan yang lebih siuman dan berpijak kepada ilmu dalam kerja-kerja kreatif dan kritikan kerana ukurannya lebih tepat dan dapat diukur dengan lebih mantap sehingga kelihatan dengan jelas sifat-sifat picisan karya sastera para sasterawan negara.

Apa lagi yang anda mahu? Saya dengan murah hati membantu anda, para penulis dan sarjana, untuk  memahami kedudukan sebenar anda sebagai penulis dan sarjana yang menjadi hamba teori sastera Barat, yang telah diterima dengan baik oleh para sasterawan dan sarjana sastera bahawa pengaruh Barat itulah yang menjadi pencetus kepada sastera Melayu moden yang telah melahirkan para sasterawan negara.  Jika itulah pilihan anda, maka anda harus bersedia untuk dikritik dan mungkin dikutuk kerana pendirian itu telah menentang perkembangan ilmu dalam kebudayaan Melayu yang berasaskan konsep ilmu dalam Islam, dan dari situ berkembanglah kegiatan ilmiah dalam dunia penulisan dan dalam bidang-bidang lain.  Saya lihat perkembangan baru ini sebagai pengkhianatan kepada kebudayaan Melayu dan kepada perkembangan ilmu yang diajarkan oleh Islam.  Jika itulah pilihan anda sebagai sasterawan dan sarjana sastera, maka anda harus bersedia untuk dikritik dan dikutuk kerana perkembangan songsang ini telah meresap dengan mendalam dalam bidang pendidikan, mulai dari sekolah rendah hingga ke universiti.  Pilihan anda tetap salah jika dilihat daripada perspektif ilmu dalam Islam, walaupun anda berjaya melahirkan beratus malah beribu sarjana seperti yang pernah didakwa oleh seorang profesor yang berpengaruh, yang anda semua tahu siapa orangnya.  Berbangga melahirkan sarjana yang keliru dalam persuratan Melayu bukan suatu kejayaan, malah itulah pengkhianatan kepada budaya Melayu.

Pengkhianatan ini telah dimulai dan diperkembangkan oleh golongan Asas 50, yang hingga kini masih mempunyai pengaruh dalam kesusasteraan Melayu.  Baik sekali jika anda membuat renungan sejauh mana para sasterawan negara ini telah meninggalkan kegiatan Asas 50 yang menolak tradisi Islam dalam masyarakat Melayu, dan bagaimana ini diserlahkan dalam kegiatan dan karya mereka. Orang-orang ini selalu bercakap tentang kejujuran, maka wajarlah jika kejujuran itu mereka amalkan dengan ikhlas, dan ini termasuk mengaku kesilapan yang telah dibuat dengan azam untuk tidak meneruskannya. Sejauh mana para sasterawan negara menggambarkan kehendak amar makruf dan nahi mungkar ini dalam karya mereka dan dalam sikap mereka terhadap perkara yang mungkar dan yang makruf.  Persoalan ini penting, kerana jika anda tidak jelas anda sebenarnya mengajak kepada kemungkaran dan menolak kebaikan dalam karya anda. Sejauh mana kesimpulan ini benar dapat dilihat dari sikap mereka yang menolak konsep ilmu yang benar, hanya kerana mereka benci dan tidak mahu terima Gagasan Persuratan Baru. Sekiranya kesimpulan ini tidak benar, mereka harus memperlihatkan buktinya dalam karya mereka.

Sepanjang yang saya dapat lihat dari gelagat mereka, amat jelas mereka keliru tentang maksud dan matlamat yang terkandung dalam ungkapan amar makruf nahi mungkar itu. Silalah anda buktikan dari karya anda, satu perkara yang tidak susah dilakukan jika anda jujur, seperti yang anda selalu sebut tetapi tidak melaksanakannya.  Tetapi jika anda menggunakan kaedah yang dianjurkan oleh PB, anda akan dapat melihat dengan jelas di mana sebenarnya kumpulan ini berada, para sasterawan negara ini, di mana mereka berada dalam konteks amar makruf dan nahi mungkar itu.  Dengan mengetahui di mana tempat para sasterawan negara ini dalam pembinaan tamadun negara berasaskan konsep ilmu yang benar tadi, yang dilaksanakan melalui wacana dan cerita yang diasaskan daripada konsep ilmu tadi, kita boleh dengan mudah meletakkan kedudukan sebenar para sasterawan negara ini dalam pembangunan tamadun berasaskan konsep ilmu yang benar itu.  Dengan itu kita boleh menilai sumbangan mereka secara objektif, tidak lagi berasaskan retorik palsu seperti yang ada sekarang, yang boleh kita lihat dengan jelas dalam laporan yang ditulis tentang mereka oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Supaya anda lebih jelas, bacalah dengan kritis buku mengenai persoalan ini, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019). 

Semua penilaian mesti berasaskan ukuran yang tepat dan objektif, tidak hanya berlandaskan retorik palsu seperti yang berlaku sekarang.  Kesimpulan ini perlu didebat dan dibincang dengan sikap terbuka, untuk mengelak sebarang prasangka  terhadap bidang kritikan sastera di Malaysia.

Tidak wajar bagi para penulis Malaysia untuk menghalang kemajuan berfikir dalam seni mengarang melalui PB, atau menghalang kemaraan PB sendiri dalam arena persuratan Malaysia seperti yang dilakukan oleh para sarjana sastera yang mengharamkan PB daripada memasuki mana-mana universiti yang menawarkan mata pelajaran sastera dan kritikan sastera, kecuali dalam dua buah universiti. Barangkali yang paling gigih menghalang kemajuan atau kemaraan PB ialah badan-badan penulis, yang dipelopori oleh PENA dan GAPENA. Walaupun saya anggota PENA antara yang paling awal menjadi ahli, badan itu tidak menerima PB kerana kononnya, tidak ada sasterawan yang menerima kehadiran PB dalam dunia penulisan Malaysia. Itulah berita baik yang saya maksudkan dalam tajuk tulisan ini.  Bagaimana pula sikap DBP? 

Demikianlah hal dunia.

Telah berkata Tok Mindok: Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7 September 2020.



1 comment:

  1. Berkibarlah bendera Persuratan Baru
    Menzahirkan keyakinan dan kebenaran
    "Biar putih tulang jangan putih mata".

    ReplyDelete