Monday, September 28, 2020

BERJUANG UNTUK AKHIRAT …

 

(1)Tajuk ini agak menggerunkan. Menggerunkan untuk penulisnya; menggerunkan untuk pembacanya. Itulah tajuk sebuah novel yang ditulis special untuk bangsa Melayu dan umat Islam seluruh dunia.

 

(2)Untuk menghasilkan novel agung ini, saya perlukan idea dari anda semua yang berminat untuk bersama saya menulis karya agung ini. Semua pendapat anda dan nama anda akan disenaraikan sebagai hujungan kepada novel ini, supaya anak cucu anda dapat melihat betapa datuk neneknya terlibat dalam penulisan sebuah novel yang akan menjadi peringatan kepada seluruh bangsa Melayu dan umat Islam seluruh dunia hingga ke hari akhirat.

 

(3)Bangsa Melayu perlu digerakkan supaya bangun dari kealpaan berzaman oleh ahli politik yang berbohong dan yang menipu mereka; juga untuk menjadi peringatan bahawa mereka pun tertipu oleh para sasterawan yang memberikan mereka karya picisan tetapi diberi taraf karya besar setelah dinobatkan sebagai sasterawan negara, walaupun karya mereka adalah karya picisan dan cara pemilihan mereka sendiri pun berasaskan ukuran picisan. Perkara ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam buku mengenai sasterawan negara ini.

 

(4)Kalau anda berminat hendak memberikan sumbangan idea anda untuk projek ini, anda terlebih dahulu perlu membaca Pujangga Melayu, Hikayat Salim Adil, dan Hikayat Buyung Lurus. Ketiga-tiga buah novel ini membicarakan beberapa aspek kehidupan bangsa Melayu , dengan memberi penekanan kepada makna ilmu dalam pembinaan tamadun.

 

(5)Saya mahu sumbangan yang kritis. Bagaimana ini boleh dilakukan terpulang kepada kecerdikan dan kebijaksanaan anda sendiri. Kalau anda fikir memaki hamun dan menyindir kasar sebagai cara terbaik untuk menyatakan “pemikiran” dan pendirian ada, teruskan. Saya boleh terima seadanya, yang barangkali menjadi antara pendapat terbaik setelah saya pertimbangkan dan memberi makna saya sendiri berasaskan pandangan anda. Salah satu sebab mengapa saya minta anda membaca dulu tiga buah novel itu ialah kerana anda harus mempunyai asas yang kukuh untuk memberi pendapat bernas yang berguna dalam usaha saya menulis novel baru ini.  Dengan itu hanya orang yang berminat dan ikhlas untuk memberi pendapat bernas berasaskan kritikan terhadap tiga buah novel itu yang mungkin  boleh memberi pandangan yang bernas untuk kegunaan saya nanti. Kalau memang tidak ada orang seperti ini, saya tidak rasa terkilan sedikit pun kerana saya tahu tidaklah senang untuk menghadapi cabaran ini dengan objektif dan rasa tanggungjawab terhadap konsep ilmu yang benar yang saya perjuangkan.

 

(6)Sama ada anda terima atau tidak kaedah yang saya kemukakan ini bukan urusan saya, itu masalah anda sendiri. Saya akan meneruskan usaha ini sehingga terbitnya novel yang dimaksudkan, untuk menjadi satu lagi tanda bahawa keunggulan sesebuah karya kreatif mestilah dinilai daripada kemampuan penulisnya mengemukakan idea baru dan dapat pula mencipta karya yang bermutu dilihat dari perspektif pemikiran dan kemampuan kreatif untuk mencipta karya itu.  Ayat ini agak berbelit-belit, tetapi maksud dan maknanya jelas. Kalau ada yang tidak faham, maka itu bukan urusan saya; andalah sebaliknya yang perlu memberikan kritikan bernas yang mungkin boleh digunakan oleh sesiapa saja yang ingin mencipta karya kreatif yang asasnya konsep ilmu yang benar dan dari segi style pula menggunakan teknik yang saya gelar stylization of ideas, atau dalam bahasa Melayunya siratan makna. Saya gunakan bahasa Inggeris kerana saya mahu orang luar negeri yang biasa dengan bahasa Inggeris tahu maksud saya dan mungkin dapat menerima stylization of ideas seperti yang saya konsepsikan itu sebagai satu teknik penulisan yang belum diketahui oleh para penulis luar negeri. Persoalan pokok di sini ialah siratan makna itu mestilah berasaskan konsep ilmu yang benar, bukan khayalan dan cerita rekaan yang penuh fantasi yang tidak mempunyai kualiti ilmu di dalamnya. Perspektif ini telah banyak saya jelaskan dalam tulisan saya, dengan itu tidak ada sebab anda perlu bertanya seolah-olah ini adalah persoalan baru. Semak dulu dan baca dengan kritis tulisan-tulisan saya, sebelum anda mengemukakan kritikan anda yang tidak berasas.

 

(7)Kita lihat persoalan ini begini. Tidak seperti Aristotle dan Plato, Socrates tidak menulis buku; dia hanya bercakap dan berbahas dengan sesiapa juga yang mahu berbahas dengan beliau.  Percakapan adalah bahasa; demikian juga penulisan. Bagi orang Indonesia, pidato Soekarno menjadi senjata yang sangat tajam dalam Revolusi Indonesia.  Bagaimana dengan Malaysia? Kita berjuang dengan perundingan, oleh itu orang selalu berkata kemerdekaan yang kita dapat daripada British diletak di atas dulang emas.  Ada orang mengejek kita bahawa  kemerdekaan yang kita perolehi bukan kemerdekaan, tetapi penjajahan mental dan budaya yang mengikat kita hingga sekarang. Ingat saja bagaimana Tun Dr Mahathir Mohammad mencuba lagi untuk mengiggeriskan orang Melayu dengan memaksa mereka mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Mahathir tidak tahu sejarah ilmu dalam Islam, oleh itu dia tidak tahu semua penemuan sains dan matematik (algebra) dibina dan diperkenalkan oleh ilmuwan Arab/Islam kepada Barat. Saya sebut perkara ini kerana kita perlu membebaskan diri kita daripada perhambaan intelektual yang bersumber dari Barat. Tetapi inilah perhambaan yang ingin dilanjutkan selama-lamanya oleh Tun Dr. Mahathir Molhammad sebagai PM dua kali. Maka rosaklah orang Melayu, dan dengan itu mereka terus dibelenggu oleh faham kemajuan Barat yang mementingkan kebendaan dan kemewahan. Inilah yang menjadi kebanggaan para sasterawan, sarjana sastera, dan pengkritik sastera yang tetap memperjuangkan perhambaan Barat dalam sastera Melayu.

 

(8)Saya ingin menegaskan bahawa para sasterawan Melayu, para sarjana sastera, dan para pengkritik sastera, kesemuanya masih menjadi hamba intelektual kepada “pemikiran” Barat yang telah membelenggu mereka begitu lama, dan nampaknya mereka ini sangat senang menjadi hamba pemikiran Barat. Mengapa begitu? Sebabnya mudah. Mereka tidak kenal Barat dan yang lebih parah mereka tidak kenal Islam dan keagungan pemikiran tokoh Islam yang telah memberi asas tamadun baru kepada dunia. Mengapa Melayu sebodoh itu? Saya maksudkan, Melayu yang jadi sasterawan, sarjana sastera dan pengkritik sastera. Mengapa mereka sebodoh itu? Dengan bersandarkan kebodohan atau bebalisme (kata seorang pemikir Melayu satu masa dulu), maka digalakkanlah “kemajuan” palsu yang dipanggil karya picisan, pemikiran (??) picisan, dan gerakan picisan melalui badan-badan penulis yang menjadi peminta sedekah kepada kerajaan yang menggunakan mereka untuk mendapat sokongan politik penipuan yang memang menjadi ukuran penting dalam kehidupan seseorang tokoh politik Malaysia. Anda perlu berhenti di sini sekejap untuk memikirkan dengan serius apa yang saya maksudkan dalam kesimpulan di atas. Ini penting, kerana jika anda tidak faham, maka anda akan terus terbelenggu dalam bebalisme yang hanya melahirkan sasterawan picisan, sarjana picisan, dan pengkritik sastera picisan. Kerana saya seorang yang amat pemurah, maka saya cabar anda untuk menolak kesimpulan ini dengan menjadikan karya saya sendiri sebagai sandaran sejauh mana saya telah membawa sastera Melayu jauh ke depan dalam pemikiran dan penerokaan teknik baru dalam penulisan. Sila hadapi cabaran ini sebagai seorang sarjana yang bukan picisan dari segi kefahaman tentang konsep ilmu dan teknik penulisan baru yang dikemukakan dalam karya-karya kreatif saya. Pintu luas terbuka, masuklah untuk duduk bersila dengan kami membentangkan idea picisan anda sambil mempertahankannya bahawa Malaysia perlukan karya picisan untuk maju.

 

(9)“Malaysia memerlukan karya picisan untuk maju …”  Kesimpulan ini boleh dilihat dalam pemilihan para sasterawan negara, ukuran yang digunakan, dan laporan yang dikemukakan terhadap setiap sasterawan negara. Semuanya picisan. (Rujuk buku saya mengenai perkara ini, terbit 2019). Inilah kehebatan sastera Malaysia, meletakkan karya picisan sebagai karya agung yang telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan gerakan picisan dalam sastera.  Penegasan ini saya ulang beratus kali untuk memikat para sarjana memberi makna yang tepat kepada konsep picisan, yang tentulah berbeza daripada yang saya jadikan istilah dalam kritikan sastera Melayu yang asasnya bersifat picisan.  Kalau semua karya para sasterawan negara picisan, tidak adakah sebuah pun karya mereka yang tidak picisan? Pertanyaan ini pun tidak mahu dijawab oleh sesiapa pun yang menyokong sasterawan picisan, kerana sebarang jawapan yang menafikan wujudnya karya picisan itu akan berdepan dengan Pujangga Melayu dan dua buah novel lagi. Adakah ketiga-tiganya karya picisan? Tidak ada seorang pun sarjana sastera Malaysia mahu menjawab soalan ini, kerana jawapan itu akan memaksa mereka menerima Gagasan Persuratan Baru, dan dengan itu menerima hakikat bahawa semua para sasterawan negara adalah sasterawan picisan kerana tidak sebuah pun karya mereka dapat disetarafkan dengan tiga buah novel persuratan itu. Atau, jika mereka cerdik dan jujur, mereka akan membuat kesimpulan bahawa yang picisan itu ialah tiga buah novel itu, dan mereka pun memberi definisi picisan berasaskan pembacaan mereka terhadap tiga buah novel  itu. Inilah jalan mudah yang boleh mereka ambil, tetapi mereka pun tahu jika mereka berbuat demikian mereka akan duduk bersama Pak Pandir sambil meratah dengan rakus keropok pandirisme dalam sastera Melayu. Kalau begitu, apakah pilihan mereka. Mereka tidak ada pilihan kecuali menerima hakikat bahawa karya para sasterawan negara adalah karya picisan dalam konteks Gagasan Persuratan Baru. Mahu tidak mahu, mereka harus memberi hujah yang konkrit mengapa mereka menolak Gagasan Persuratan Baru. Itulah yang kita tunggu.

 

(10)Kegagalan sastera Melayu untuk menghadapi cabaran Gagasan Persuratan Baru membawa kita kepada keadaan huru-hara dalam pendidikan sastera di Malaysia. Keengganan para sarjana menerima karya persuratan sebagai satu alternatif terbaik dalam penulisan kreatif dan dalam kritikan sastera membuat mereka kelihatan sangat bodoh berbicara di hadapan para siswa yang sudah terbuka kepada perubahan, sedangkan guru-guru mereka masih mempertahankan pandirisme dalam sastera Melayu. Tidakkah ini satu pengkhianatan dalam pendidikan sastera?  Soalan ini menjadi satu sergahan yang amat lucu bila kita mengetahui bahawa Menteri Pelajaran/Pendidikan sendiri tidak tahu adanya perubahan dalam persoalan ini, kerana Sang Menteri tidak diberi maklumat yang benar, sehingga beliau sendiri muncul sebagai seorang ahli politik yang jahil dalam perkembangan ilmu dalam kesusasteraan Melayu. Saya nasihatkan, berilah sedikit maklumat kepada Pak Menteri (ini istilah saja, kerana Menteri sekarang seorang wanita) mengenai perkara ini. Jika dia bijak dan jujur, dia mungkin ingin mengetahui lebih mendalam. Walaupun kita tidak pernah mengharapkan perkembangan begini berlaku dalam politik Malaysia, tidak ada salahnya kita berusaha mencerdikkan Pak Menteri kita sendiri.  Halangan terbesar ialah tidak ada seorang pun Menteri yang berminat dalam sesuatu perubahan jika perubahan itu tidak memihak kepadanya. Inilah kejujuran seorang ahli politik yang sejak dahulu perlu diteruskan untuk memastikan mereka mendapat kedudukan politik yang menguntungkan.  Adakah ini sejenis rasuah intelektual yang diizinkan?  Bagi ahli politik, sesuatu hanya dianggap rasuah jika melibatkan wang. Penipuan dalam politik bukan rasuah, padahal dalam al-Quran itulah antara rasuah yang terbesar bagi orang Islam. Kerana itu penipuan dalam politik diizinkan jika dengan penipuan itu rakyat “mendapat” faedah. Walaupun ini suatu konsep gila dan jahat, dalam politik rasuah jenis ini adalah satu keistimewaan yang perlu dilaksanakan oleh ahli politik jika dia mahu karier politiknya berterusan. Rasuah adalah alat politik yang ampuh dan semua ahli politik melakukannya dengan sombong dan angkuh atas nama demi kebajikan rakyat.

 

(11)Bagaimana pula dengan rasuah dalam sastera?  Dalam penelitian saya, keadaannya sama saja dengan yang terdapat dalam politik. Rasuah intelektual memang berleluasa dalam sastera Malaysia, malah sampai begitu berpengaruh sehingga dijadikan satu gerakan besar-besaran untuk menipu dalam penilaian sastera. Dokumen penting dalam sastera Melayu ialah sebuah buku yang diterbitkan oleh ITBM yang memuat kertas kerja satu seminar di Kedah. Saya telah membuat ulasan kritis tentang buku ini. Carilah dalam mana-mana entri dalam blog ini.

 

(12)Sekarang, apakah yang boleh lakukan untuk membaiki dan menghapuskan kesilapan besar dalam perkembangan intelektual kita yang khusus mengenai kegiatan sastera dan penulisan kreatif, serta kritikan sastera yang benar-benar objektif berasaskan konsep ilmu yang benar.  Paling celaka ialah apabila konsep ilmu yang benar itu ditolak hanya untuk mempertahankan karya picisan para sasterawan negara. Inilah kejahatan intelektual yang mesti dihadapi secara kontan, dengan menolak apa juga alasan yang bertentangan dengan konsep ilmu yang benar itu. Sudah banyak tulisan diterbitkan untuk menghadapi kesilapan besar dalam perkembangan ilmu ini, antaranya yang terbaru ialah yang ditulis dan diterbitkan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam rencana terbaru beliau yang diterbitkan di dalam jurnal MANU Bil. 30, 1-45, 2019 (Disember)

E-ISSN 2590-4086© Ungku Maimunah Mohd. Tahir, dengan judul, “Sendeng- Barat Dalam Sastera Melayu Moden: Cabaran Sebuah Cengkaman.”  Anda perlu dapatkan rencana ini dan baca dengan cermat kerana banyak persoalan penting dibangkitkan oleh beliau untuk difikirkan bersama.  Paling penting ialah bagaimana seharusnya kita menghadapi teori sastera Barat. Banyak sekali kekeliruan mengenai persoalan ini; oleh itu saya sendiri telah menegaskan bahawa kita perlu mengetahui seberapa banyak teori yang dicetuskan dalam sastera Barat dan menilai bagaimana kita boleh menggunakannya di mana sesuai.

 

(13)Akhir sekali inilah pesan saya yang saya harap akan dibahaskan dengan kritis sekiranya anda berpendapat sastera moden Malaysia tidak akan lahir tanpa teori sastera Barat. Sejauh mana kesimpulan ini tepat, dan adakah ini merupakan  kesimpulan yang dilontarkan begitu saja tanpa sebarang analisis yang cermat untuk melihat implikasi teori Barat dalam membina sastera Melayu moden. Tidak adanya analisis ini membuktikan tidak adanya sarjana sastera Malaysia yang betul-betul faham apakah yang dikatakan teori sastera Barat itu dan apakah implikasinya jika digunakan dalam kritikan sastera Melayu. Pembohong paling besar dalam persoalan ini terdapat berkeliaran dalam sastera Melayu, yang anda boleh dapat di dalam buku-bukunya yang telah saya kritik tempoh hari. (Rujuk entri blog berkenaan.) Secara membabi buta terdapat sarjana sastera Malaysia menerima semua teori Barat, yang tidak difahaminya dengan mendalam, sebagai pencetus sastera Melayu moden, dengan itu tanpa teori Barat tidak ada sastera Melayu. Pendapat tidak siuman ini nampaknya diterima oleh para sarjana sastera dan tentu saja para sasterawan negara, kerana jika ini diterima sebagai fakta, maka mereka ini bersandar kepada teori sastera Barat untuk mendapat pengiktirafan akademik. Walaupun sikap ini tidak siuman, tidak ada sarjana sastera memberi teguran secara akademik bahawa sikap begitu menghina kemampuan intelektual para sasterawan. Tetapi jika mereka bangga menerimanya, maka betullah rumusan saya selama ini bahawa para sarjana dan sasterawan ini pada hakikatnya adalah lackey kepada teori Barat. Jika sikap ini tidak memalukan, maka bukalah seluar mereka jika anda mahu memalukan mereka yang cetek meraba-raba ini.  The great lackey dalam sastera Malaysia ialah sang tokoh yang naik ke bumbung kilang berkarat untuk menulis sebuah kertas kerja dalam satu seminar sastera yang dihadiri oleh para lackeys dalam sastera Melayu. Sekarang mudahlah bagi anda hendak membandingkan kualiti karya para lackeys ini dengan Karya Persuratan.  Kita tunggu kritikan mereka jika mereka berani menafikan kesimpulan ini.  Saya perlu tegaskan di sini bahawa kesimpulan ini bukan untuk menghina mereka, tetapi menyatakan sesuatu yang benar berasaskan pembacaan yang teliti terhadap karya mereka.  [Catatan:  Saya sudah lama, dan banyak kali, menggunakan perkataan ini. Sehingga ini tidak ada apa-apa bantahan daripada pihak berkenaan. Terima kasih.]

 

(14)Saya menunggu cadangan dan komen anda tentang novel ini dengan menulis terus kepada saya di alamat:

MOHD. Affandi Hassan, 

No. 3 Jalan 19/19, 

Post code 46300 Petaling Jaya.

 

(15)Saya tidak terima komen di entri ini. Anda perlu menulisnya dan mengirimkan kepada saya di alamat di atas. Semua sumbangan akan dikumpul. Jika jumlahnya melebihi 50 halaman, saya akan terbitkan pandangan anda sebagai hujungan kepada novel itu dalam penerbitan tersendiri. Tujuannya supaya anak cucu anda dapat melihat datuk neneknya pernah terlibat dalam penulisan sebuah novel dengan memberikan cadangan, pandangan, dan kritikan. Terima kasih banyak.

 

Selamatlah jiwa yang sempurna!

 

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 15-28 September 2020.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Friday, September 18, 2020

MEMBINA KEMBALI BUDAYA ILMU YANG DIHAPUSKAN

(Bahagian Pertama) 

Dengan hapusnya budaya ilmu apabila tulisan Jawi dihapuskan oleh Menteri Pelajaran Khair Johari, dengan sokongan dan dukungan UMNO, maka hapuslah budaya ilmu di kalangan orang Melayu. Para pemimpin Melayu sangat gembira kerana orang Melayu telah meninggalkan tulisan Jawi, dengan itu keagungan budaya ilmu dalam budaya Melayu dihapuskan dengan bangga oleh para pemimpin UMNO. Inilah kecelakaan terbesar yang dihadapi oleh orang Melayu kerana percayakan para pemimpin UMNO yang telah mengkhianati mereka dan warisan ilmu dalam tulisan Jawi yang sudah dibangunkan beratus tahun oleh para ulama. Kehadiran UMNO dalam politik Melayu adalah satu kecelakaan terbesar dalam sejarah politik Malaysia, hingga ke masa ini. Dalam entri yang lepas, saya menyatakan dengan tegas bahawa bahasa Melayu adalah lebih baik dan lebih indah daripada bahasa Inggeris yang digilai oleh Tun Dr. Mahathir Mohammed dan sekutunya dalam UMNO (jangan lupa dia lama jadi Presiden UMNO; kamu tahu berapa tahun?). 

Mahathir tidak tahu sejarah bahasa Melayu dan sejarah mereka sebagai satu bangsa yang lebih tua daripada bangsa Cina. Terkejut? Pada mulanya aku sendiri pun terkejut, tetapi setelah membaca fakta yang dikemukakan dalam penyelidikan rapi mengenai perkara ini, aku rasa amat bangga kerana Melayu itu jauh lebih tua daripada Cina. Gembar gembur yang mengatakan Melayu berasal dari Yunan, China, adalah cerita dongeng yang karut yang tidak sepatutnya diterima oleh orang Melayu. Hei Melayu, kamu itu 40,000 tahun lebih awal daripada Cina. 

 

Hei pemimpin Melayu yang majoritinya bangang, cubalah anjurkan satu seminar besar tentang Melayu sebagai ras yang tua; dan dalam sidang itu panggil tokoh dari Cambridge yang mengkaji tentang perkara ini. Biar dia bicara di depan rakyat Malaysia seluruhnya di mana sebenarnya duduk Melayu itu dalam sejarah manusia. Apakah sifat utama Melayu yang menjadi kemegahan mereka? Menipu. 

 

Walaupun Melayu bangga memeluk agama Islam, tetapi jika dia berniaga dia tetap menipu. Falsafahnya senang: kalau tidak menipu, sukar mendapat untung. Kesan semangat menipu ini kita selalu baca tentang orang Melayu yang banyak wang ditipu oleh macam-macam jenis manusia setelah dia percaya kepada penipuan para penipu. Hanya manusia yang suka menipu saja yang tertipu, kerana sifat tamaknya. Kesimpulan yang aku buat ini bukan aku punya, tetapi kesimpulan ini menjadi kebanggaan orang Melayu. Orang Melayu sangat bangga jika para pemimpin mereka pandai menipu. Mereka akan memberi sokongan yang begitu hebat. 

 

Tahukah kamu siapa mereka yang mendapat sokongan besar kerana pandai menipu itu? Kalau kamu tidak tahu, maka sahlah kamu akan sentiasa tertipu dan ditipu oleh para pemimpin kamu. Sekarang sangat terkenal ungkapan “kerajaan tebuk atap”. Apa makna dan maksudnya? Tidakkah kamu bangga mempunyai seorang PM yang diberi gelaran itu? Now you can see maksudku, bukan? Orang ini menjual doa untuk diperagakan kepada rakyat bahawa dia adalah manusia yang paling mulia dan paling … paling apa? Kamu tambah sendiri mengikut selera kamu sendiri. 

 

Kalau itulah hakikatnya, bolehkah kamu harapkan para pemimpin kamu akan membela bahasa Melayu dan peranan tulisan Jawi dalam perkembangan bahasa dan perkembangan ilmu yang diajarkan oleh para ulama, yang menulis kitab-kitab mereka menggunakan tulisan Jawi. Tidak ada seorang pun pemimpin politik dan pemimpin jenis lain yang menyokong tulisan Jawi dihidupkan, kerana kata mereka bahasa Melayu akan hanya menjadi bahasa perkauman. Tetapi tidak tulisan Cina atau Tamil, kedua-duanya tulisan rakyat Malaysia yang sah walaupun tidak ada Melayu yang tahu menulis dan bercakap bahasa-bahasa yang dibawa masuk ke Tanah Melayu itu. Asal bahasa itu bukan di Tanah Melayu, tetapi asalnya di negeri China atau dari India. Kini sudah pun diangkat menjadi bahasa dan tulisan kebangsaan, setelah dijadikan bahasa rasmi di BERNAMA. 

 

Masa kerajaan UMNO, BERNAMA hanya menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris. Selepas Pakatan Harapan menang, ada menteri India (keturunan India) yang pandai-pandai masukkan dua bahasa itu di BERNAMA sebagai salah satu bahasa rasmi Malaysia. Melayu diam saja, takut hilang sokongan dalam pilihan raya nanti. Inilah kecelakaan besar yang tidak terjadi di Indonesia. Di negeri itu semua jenis manusia fasih berbahasa Indonesia. 

 

Kata pemimpin Melayu, Malaysia bersikap terbuka. Bawalah bahasa apa pun kita terima dan akan diangkat menjadi bahasa rasmi sekiranya dituturkan oleh lebih dari 10 orang penutur bahasa itu. Maka berkatalah para pemimpin politik, bahasa rasmi Malaysia ialah bahasa Inggeris, yang boleh dituturkan oleh hampir semua rakyat Malaysia; tetapi tidak begitu bagi bahasa Melayu, kerana bahasa Melayu dari segi peratus rakyat adalah setaraf dengan bahasa Tamil dan bahasa China. Tidak perlu dimasukkan dalam Perlembagaan, kerana itulah kehendak rakyat untuk mempunyai tiga bahasa rasmi di Malaysia. 

 

Baru-baru ini timbul keriuhan besar di kalangan Cina dan Tamil apabila tulisan Jawi mahu diperkenalkan di sekolah, semua jenis sekolah. Mana Cina dan Tamil mahu terima cadangan itu, kerana tulisan Jawi hanya tulisan orang Melayu saja, bukan tulisan orang bukan Melayu. Tulisan Jawi adalah tulisan Arab, dan Arab itu simbol Islam, kerana Nabi Islam berbangsa Arab, kata puak Tamil dan Cina. Tun Dr Mahathir Mohammad yang ketika itu PM, pecat Menteri Pendidikan yang menimbulkan kontroversi itu. Demikianlah realiti politik Malaysia. Apa juga yang dibuat Melayu, mestilah mendapat persetujuan Cina dan Tamil dulu. 

 

Sebaliknya, apa juga yang dibuat oleh orang Cina atau Tamil tidak perlu mendapat persetujuan Melayu. Itulah yang terjadi di BERNAMA. Logiknya senang. Yang bodoh tetap Melayu, sekiranya mereka membuat apa juga bantahan tentang kebebasan orang Tamil dan Cina berbuat apa pun juga yang tidak melanggar undang-undang, walaupun melanggar Perlembagaan Malaysia. Kata bukan Melayu, Perlembagaan Malaysia adalah milik Melayu, bukan milik bukan Melayu walaupun mereka diberi hak dalam Perlembagaan itu. Hak asasi bukan Melayu tidak boleh disentuh, walaupun menentang Perlembagaan. 

 

Apakah hak asasi Melayu? Menerima segala-galanya walaupun mungkin bertentangan dengan Perlembagaan. Oleh itu, Jawi tidak sah dibawa masuk ke bilik darjah, kata mereka yang bukan Islam. Bila masuk Islam semua mereka yang Tamil dan Cina mesti ber-Jawi, potong selaput kemaluan mereka jika lelaki. Betul juga! 

 

Bagi orang bukan Islam, tulisan Jawi adalah tulisan Iblis yang mesti dijauhi supaya mereka tidak tertarik kepada Islam. Dari segi ini, tulisan Jawi sangat hebat bagi orang kafir yang memang menentang Islam. Oleh itu, huruf Jawi mestilah diharamkan daripada digunakan dalam bilik darjah, hatta di kalangan murid Islam sekali pun. Bantahan ini sangat hebat dan biadab, oleh itu Melayu yang suka berdamai walaupun dengan Iblis, akur saja kemahuan orang kafir di Malaysia. Adakah ini sikap yang betul? Bagi pemimpin politik Melayu, sikap itu sangat baik dan wajib diikuti. Maka selamatlah orang kafir daripada melihat huruf Jawi, tetapi menjadi satu kecelakaan besar bagi orang Melayu yang mengembangkan ajaran agama di kalangan Melayu sendiri melalui tulisan Jawi, yang kini sudah menjadi tulisan haram kerana kafir Malaysia berkata tulisan itu menyekat kebebasan beragama dan kebebasan hak asasi manusia. 

 

Perkataan “haram” yang digunakan di sini bukan dalam konteks agama, oleh itu jangan kamu jadikan isu hanya kerana kamu tidak faham. Sekadar peringatan kepada Melayu yang selalu bertolak ansur itu. Biarkanlah kafir bebas di Tanah Melayu, asalkan mereka tidak melepaskan babi berkeliaran seluruh negara, seperti yang kini berlaku di Kelantan sebagai kutukan kepada pentadbiran PAS di Kelantan. Kelantan kini berkeliaran dengan babi hutan yang hanyut dalam banjir 2014, tingginya separas pinggang. Banjir itu hasil penebangan balak di tepi sungai, menyebabkan air hujan tiada tempat bergantung. Inilah kecelakaan paling besar dan amat menyakitkan hati orang Kelantan, hasil kerakusan manusia beragama menjarah hutan untuk mendapatkan balak yang dikonsesikan kepada saudagar Singapura. Dari dulu pun Kelantan memang dekat dan rapat dengan saudagar Singapura. Bacalah Hikayat Abdullah ketika melawat Kelantan. 

 

(Bahagian Kedua akan menyusul tentang projek raksasa untuk membina budaya ilmu)

 Selamatlah jiwa yang sempurna! 

Petaling Jaya, 17 September 2020. 

 

Nota: DBP buat ejaan baru Jawi, berasaskan linguistik moden yang antiagama. Jawi yang dulunya ringkas dan mudah dipelajari dan senang dibaca, kini jadi ejaan syaitan yang menyesatkan. Pengaruh linguistik memusnahkan tamadun Melayu yang sedia kala selepas Melayu jadi Islam, mereka jadikan Islam pegangan mereka. Kini sudah terdapat kira-kira lebih 5000, 000 Melayu murtad. Angka ini mungkin lebih besar. Kegiatan mereka dilindungi kerajaan supaya Melayu tidak marah hingga sampai merusuh.

Friday, September 11, 2020

KEANGKUHAN TERSEMBUNYI YANG DIPAMERKAN DENGAN SOMBONGNYA

Aku punya tajuk kali ini mungkin kedengaran agak nakal, dan mungkin juga kamu akan berkata satu tajuk yang angkuh, atau apa saja yang kamu mahu kata sekadar untuk memperbodohkan pembaca dengan matlamat utama memperkecil dan meremehkan kemampuan intelektualku.

Bolehkah seseorang menyembunyikan keangkuhannya? Boleh. Jika anda seorang peneliti politik yang cekap, anda akan melihat bagaimana Tun Dr. Mahathir sangat pandai menyembunyikan keangkuhannya. Mulai hari ini cuba anda perhatikan telatah Tun kita (jangan salah sebut, bukan Tong, tapi tun) yang amat disayangi rakyat Malaysia semua bangsa itu (ini bukan penegasan saya, saya pinjam saja; boleh anda teka siapa agaknya yang kata begitu?) menyembunyikan keangkuhannya. Tak perlu cerita panjang, perhatikan saja telatah dan kata-kata Bapa… (saya pun tak tahu, tak pasti Tun kita ni Bapa apa… Tun Razak Bapa Pembangunan, walaupun rakyat terus miskin dan merempat, sekarang tak ada air pula walaupun hujan lebat. Gila!!).  Di tempat yang ada air, air itu kotor dan beracun pula, sungai menjadi tempat pembuangan sampah bahan beracun yang disalurkan dengan selesa oleh Tokeh Cina yang mempunyai operasi sejak lama membuang racun ke dalam sungai. Walaupun kita mempunyai Kementerian Alam Sekitar, tiada siapa pun tahu kejahatan tokeh ini sehinggalah terjadi pencemaran sungai yang begitu besar, dan hebat. Para pegawai dan pekerja di Kementerian Alam Sekitar, termasuk Menterinya sekali, tak tahu apa benda pun masalah pencemaran yang begitu besar. Maka berkatalah orang bijak dalam politik, ini semua bukti yang paling jelas betapa maharajalelanya rasuah dalam pentadbiran dan politik Malaysia. Tiada siapa pun yang berani tegur atau angkat suara, nanti dia akan masuk jil tak fasal-fasal kerana buat fitnah ceritakan perkara yang benar berlaku, sedangkan yang buat kerja jahat senang-senang dapat melepaskan diri. Dikatakan oleh berita, tokoh besar pencemaran sungai itu kini telah ditangkap dan akan dibicarakan. Kerana undang-undang kita sangat adil, orang jahat tidak semestinya masuk penjara; ada kemudahan lain untuk membayar denda. Contoh: Mahkamah telah buat keputusan Datuk Seri Najib Razak yang pernah jadi PM sudah pun didenda 241 bilion dan penjara 72 tahun dicampur semuanya jadi 12 tahun saja. Bahasa undang-undang tak boleh buat main-main, nanti hang pula yang masuk penjara. Di sinilah kita lihat kecekapan Tun Dr. Mahathir Mohamed menyembunyikan benda-benda yang patut diketahui rakyat andainya sikap pemimpin terbuka dan benar-benar honest!  Siapa yang berani dakwa Tun Dr. Mahathir? Bodohlah kalau dia nak buat juga; yang pasti dia itulah yang akan masuk penjara. Tak fasal-fasal cari nahas… Jangan main-main dengan undang-undang buatan manusia!

Sekarang saya mahu cerita kisah diri saya. Bila saya mengkritik begitu keras penipuan dalam sastera Melayu,  maka saya pun dapat gelaran sebagai seorang penulis yang paling jahat kerana membuka maruah orang lain dengan misalnya menuduh karya para sasterawan negara karya picisan. Di Malaysia, bila anda diberi pangkat, atau penghormatan apa jenis sekali pun, anda tidak boleh dikritik kerana pemberian itu adalah ikhlas dan penerimanya juga ikhlas. Mereka sudah ditakdiskan sebagai orang istimewa, atau dalam bahasa sastera dipanggil telah dibrahminkan, maksudnya diangkat menjadi Brahmin Sastera yang tidak boleh dikritik lagi kerana kedudukan seseorang Brahmin sangat mulia, dikecualikan dari sebarang salah silap dalam semua tindakannya, termasuk kata-katanya yang ditunggu oleh pengikutnya.  Khusus mengenai sastera, kita boleh bertanya: Benarkah para penerima anugerah sastera negara itu melahirkan karya yang benar-benar bermutu, tidak ada ruang sama sekali untuk diangkat sebagai karya picisan. Apa maksud picisan? Apakah unsur-unsur yang membolehkan seseorang sasterawan digelar sasterawan picisan? Kebetulan saya sudah membahaskan perkara ini sudah lama, dan sudah pun memberikan ukuran yang tepat, berasaskan konsep ilmu yang benar. Anda telah diberi kemudahan yang amat baik yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri anda jika anda termasuk dalam kumpulan tokoh-tokoh picisan dalam sastera, berasaskan karya anda sendiri. Apa yang anda boleh buat, jika anda mempunyai kejujuran intelektual, ialah mengkritik ukuran yang digunakan untuk menentukan sesebuah karya itu karya picisan atau tidak.  Sehingga sekarang belum ada lagi yang berani tampil membela karya picisan itu, dengan itu membuktikan karya picisan itu memang wujud dan ditulis pula oleh sasterawan negara. Bagaimana keputusan ini boleh dibuat? Untuk menjawabnya, anda harus mengkritik konsep PB dan buktikan PB adalah mengarut, manakala yang anda pakai dan megahkan itu maka itulah yang benar. Bila anda sudah hunus pedang pembelaan anda, anda mestilah bersedia masuk gelanggang untuk membuktikan anda adalah pemain pedang yang unggul. Yang jadi masalah sekarang ialah tiada siapa pun di antara pakar sastera berani tampil di gelanggang kerana dia pun tahu dia tidak mempunyai hujah yang boleh mematahkan hujah-hujah PB. Korpus mengenai PB sudah begitu lengkap dan utuh, termasuk dari perspektif karya kreatif yang dilahirkan daripada konsep PB.

Kalau anda boleh terima penghujahan ini, apa yang anda boleh buat?  Pertama, anda menerima PB sebagai alternatif terbaik dalam bidang kreatif, yang menjamin keunggulan karya anda jika anda benar-benar mempunyai bakat besar dan  kemampuan intelektual yang tinggi untuk melahirkan karya kreatif yang betul-betul bermutu dari segi tekniknya dan hebat dari segi pengolahan temanya. Kalau anda siuman, dan tahu pula kemampuan kreatif dan kemampuan intelektual anda, saya yakin anda pun mahu melahirkan karya kreatif yang hebat, yang menonjolkan wacana pemikiran anda dan sekali gus kemampuan kreatif anda yang tinggi dari segi membina cerita yang menarik. Siapa yang tidak mahu melahirkan karya bermutu tentulah orang itu bodoh dan tidak punya bakat. Jangan salahkan sistem jika anda hanya penjaga pintu saja, bukan pemain tangkas dalam gelanggang kreatif. Maafkan saya kerana menggunakan bahasa sastera, untuk mudah difahami.

Dalam tradisi kesusasteraan Barat, tidak ada karya lucah atau tidak bermoral. Semua karya adalah sama, semuanya karya sastera. Anda tentu ingat bagaimana terjadi perbahasan hangat dari segi moral dan undang-undang mengenai sebuah novel D.H. Lawrence, yang kini telah diberi taraf sebagai sebuah karya besar, sebuah Maha Karya (Masterpiece). Di Malaysia pun ada, ditulis oleh SN Shahnon Ahmad. Semua orang tahu maka tak perlulah disebut dalam tulisan picisan ini!

Tetapi keputusan bodoh dan tidak bermoral ini ditolak bulat-bulat oleh PB.

Dalam politik lain. Seseorang tokoh politik yang menipu, berbohong dan rasuah adalah tokoh besar, seorang tokoh utama dan seorang pemain politik yang cekap kerana semua kejahatannya tidak lahir sebagai kejahatan, tetapi sebagai keampuhan bertindak untuk membela rakyat. Dalam politik Malaysia sekarang terkenal satu istilah baru yang hanya muncul belum sampai empat bulan lagi, iaitu ungkapan “kerajaan tebuk atap”. TS Muhyiddin Yassin digelar oleh musuh politiknya sebagai pencuri jawatan PM melalui tindakan “tebuk atap” itu. Masalahnya ialah, perbuatan ini direstui oleh Agong, yang melantik TS Muhyiddin Yassin sebagai PM setelah baginda diyakinkan PM sekarang punya suara majoriti. Saya belum lagi menemui huraian dan penjelasan yang masuk akal, yang jujur dan penuh takzim, yang membicarakan peristiwa ini dalam politik Malaysia. Menurut akhbar dan sumber-sumber lain, pada waktu ini kedudukan TS Muhyiddin Yassin sangat selesa, sebagai pembela rakyat yang sangat jujur untuk melihat rakyat diberi pembelaan dengan bermacam-macam habuan istimewa untuk mereka diberikan oleh Kerajaan Tebuk Atap itu. Mesti ada sesuatu penjelasan yang belum lagi diberikan kerana masih lagi berada dalam kegembiraan baru mendapat Kerajaan Tebuk Atap yang menjadi pembela rakyat yang tidak pernah berlaku dalam politik Malaysia sebelum ini, dengan sokongan Istana pula. Satu perkembangan baru dalam politik Malaysia yang amat istimewa, tetapi perlukan penjelasan dan analisis yang munasabah, jika tidak jujur pun tidak mengapa kerana dalam politik kejujuran akan membawa padah, seperti yang kita lihat di mana-mana negara pun di dunia. Kes terbaru di US adalah contoh terbaik untuk diberi perhatian oleh tokoh politik Malaysia.  Kalau anda menonton CNN, anda mungkin berasa pelik apabila muncul para pembela Presiden US sekarang yang mereka sebut amat cekap menipu rakyat Amerika sehingga diberi sokongan besar, walaupun ada ramalan mengatakan Presiden sekarang akan ditumbangkan.

Kembali kepada persoalan dalam sastera Malaysia. Jika benarlah para sasterawan negara itu sasterawan picisan, mengapa mereka dipilih? Bodoh sangatkah para pemilih itu? Tentu ada penjelasan lain yang lebih masuk akal yang seolah-olah cuba disembunyikan. Mengapa begitu? Saya pernah mencadangkan supaya para ahli meneliti ukuran yang dipakai dalam membuat pemilihan; tetapi saya diberitahu supaya diam sahaja kerana jika benar terdapat kesilapan besar dalam kriteria ukuran pemilihan, kita patut biarkan saja supaya kerajaan tidak malu telah ditipu oleh segolongan pemilih yang berada dalam kumpulan Mutual Admiration Club, yang pernah disebut oleh salah seorang SN dalam tahun 1973 lagi dalam kertasnya yang dibentangkan dalam Seminar Kritik Sastera. Ada bukunya yang dicetak oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia. Mudah didapati di mana-mana perpustakaan, termasuk di universiti. Boleh buat rujukan kalau anda seorang yang cintakan kebenaran dan tidak main-main saja bercakap tentang kebenaran tetapi bacul untuk mengaku kesilapan, jika ada.

Kalau kita lihat tokoh-tokoh yang diangkat sebagai sasterawan negara itu, semua mereka berada dalam kumpulan yang disebut Prof. Muhammad Haji Salleh sejak tahun 1973 lagi. Kita boleh terima jika ada pengakuan bahawa terdapat kesilapan ketika itu dan kesilapan itu dibetulkan dalam pemilihan para sasterawan negara sekarang. Manusia memang tidak sunyi dari membuat silap; cuma kesilapan itu ada yang disengajakan dan ada pula yang terjadi kerana sudah ditakdirkan! Atau yang memang dirancang. Persoalan sekarang: Adakah semua sasterawan negara telah dipilih dengan wajar, dan semua karya mereka adalah masterpiece belaka, sehingga melayakkan mereka diberi kedudukan tertinggi dalam sastera Melayu. Bagaimana dengan kedudukan Mohd. Affandi Haassan yang mendakwa karya beliau jauh lebih bermutu daripada semua karya sasterawan negara, yang disebutnya sebagai karya picisan jika dibandingkan dengan karya beliau. Ini satu cabaran besar yang mesti diselesaikan secara ilmiah. Caranya mudah saja. Mengaku saja kesilapan itu. Atau, yang lebih mudah lagi, minta DBP yang melantik sasterawan negara bagi pihak kerajaan meminta (atau lebih tepat mengarahkan) para sarjana sastera membuat kajian mendalam benarkah karya para sasterawan negara itu karya picisan atau hanya mendekati karya picisan, bukan betul-betul picisan, jika dibandingkan dengan Pujangga Melayu dan lain-lain karya Mohd. Affandi Hassan. Tetapi mereka tidak mahu kerana mereka tahu mereka akan … (anda penuhkan sendiri!). Oleh itu, persoalan ini tidak akan selesai. Adalah menjadi tugas para pensyarah sastera untuk mengajak para pelajar mereka membahaskan persoalan ini dan melihat bagaimana pandangan kritis mereka. Inilah cara terbaik untuk membela kedudukan para sasterawan negara. Boleh laksanakan sekarang juga, dengan bantuan DBP jika diperlukan.  Para sarjana sastera jangan lagi duduk di kandang sastera, tidak mengetahui bahawa sekarang kedudukan karya sastera telah dicabar dengan munculnya karya persuratan yang berasaskan ilmu yang benar. Kini kita mempunyai sekurang-kurangnya tiga jenis karya: karya persuratan, karya sastera, karya picisan dan lucah. Hal ini menjadi masalah apabila karya lucah juga layak dijadikan ukuran dalam memilih para sasterawan negara. Oleh itu, seperti telah saya tegaskan, terima sajalah karya lucah itu sebagai karya sastera yang sama tarafnya dengan karya sastera biasa dan layak diajarkan di universiti dan juga di sekolah.  Satu kajian tentang perkara ini telah diterbitkan dan telah pun diberi hadiah dan pengiktirafan, yakni tesis Ph.D. seorang profesor madya di Universiti Malaya. Tidak manis bagi saya menyebut namanya sebagai pakar karya lucah, yang bukunya kini diajar di universiti tempat beliau mengajar. Penyelidikan ini bagusnya membawa kepada kemunculan the aesthetics adultery dalam sastera Melayu dan Indonesia. Ini adalah kemajuan baru yang mendapat sanjungan dan penghormatan tinggi dari universiti Malaysia dan Indonesia.

Nampaknya jalan ke arah kesesatan dalam pengajian sastera telah diteroka dengan penuh semangat oleh para sarjana picisan yang konsep ilmunya berteraskan hawa nafsu kebinatangan manusia. Dalam keadaan tidak siuman ini, kita perlu menggiatkan lagi usaha memperkenalkan Gagasan Persuratan Baru sekurang-kurangnya sebagai satu kesedaran baru dalam pengajian sastera, jika tidak pun sebagai alternatif kepada sistem yang menyesatkan yang dipugar di  universiti pada waktu ini.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
9 September 2020.






Wednesday, September 9, 2020

MENGULIT MEDIOCRITY DALAM SASTERA MELAYU

Siapakah seorang yang mediocre? Anda perlu semak maknanya dalam Kamus Inggeris, atau boleh juga lihat dalam Kamus Inggeris – Melayu oleh DBP.  Dalam bahasa Melayu diberi erti sederhana, tak berapa baik. Wah, ini sudah melampau! Islam adalah agama yang sederhana, tidak extreme dalam segala perbuatan dan tindakan penganutnya. Kalau ikut makna yang diberikan, maka Islam adalah agama mediocre, untuk penganut yang mediocre, dan lain-lain. Ini tentu saja gila, tidak siuman, dan angkuh. (Saya tertawa bila menulis perkara ini; bukan kerana geli hati, tetapi kerana kebodohan bahasa Inggeris dalam hal-hal begini. Adakah bahasa Inggeris itu pun bahasa yang mediocre juga?)  Kalau bahasa Inggeris dibandingkan dengan bahasa Arab, bahasa al-Quran, maka jelas dan nyata bahasa Inggeris adalah bahasa mediocre jika dibandingkan bahasa Arab, bahasa wahyu. Orang Islam tentu saja boleh berbangga …  Bagaimana dengan bahasa Melayu, adakah satu bahasa yang mediocre kerana pengguna bahasa Melayu ramai yang mediocre? Misalnya, adakah sasterawan negara terdiri daripada kumpulan yang mediocre ilmunya dan talentnya? Kalau mereka betullah sasterawan picisan, maka sahlah mereka kumpulan yang mediocre. Oleh itu, perkataan picisan dalam bahasa Melayu sama ertinya dengan perkataan mediocre dalam bahasa Inggeris. Saya harap pakar bahasa di DBP betulkan saya, supaya  kesilapan saya tidak berterusan, sama seperti sifat mediocrity Asas 50 masih berterusan hingga sekarang, kini menjadi pegangan para sasterawan negara.

Jika bahasa Inggeris yang mediocre dibandingkan dengan bahasa Arab, adakah ini bermakna bahasa Melayu, yang kuat dipengaruhi bahasa Arab, lebih superior daripada bahasa Inggeris yang mediocre yang kering daripada unsur spiritual? Mohon pencerahan daripada pakar agama dan pakar bahasa, supaya orang Melayu tidak sesat Barat memuja bahasa Inggeris seperti yang mereka lakukan sekarang. Dan bagi kaum sasterawan, supaya mereka sedar dan tidak lagi sesat Barat menjadi pengikut teori sastera Barat, padahal sudah ada PB untuk menjinakkan mereka kepada ilmu yang benar, supaya dianuti oleh para sasterawan ini, berpindah dari sifat lembap berfikir beralih kepada ketangkasan berfikir yang memang diajarkan oleh Islam.  Jika anda ragu-ragu tentang fakta ini, silalah buat kajian perbandingan yang mendalam antara PB dengan teori sastera Barat yang nyata sekali sifat mediocrenya jika dibandingkan dengan PB yang menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai tapaknya.

Perbincangan kita kali ini sangat menarik, kerana kini kita sudah tahu dengan pasti bahawa para sasterawan negara adalah kumpulan penulis yang mediocre.  Itu sebab saya menegaskan mereka adalah golongan picisan, yang sah mereka adalah sasterawan mediocre yang cetek meraba-raba. Hanya sarjana yang mediocre saja yang akan membela sasterawan negara, dengan itu para sarjana itu sendiri jelas dan sah adalah kumpulan yang mediocre juga.  Kalau anda sendiri tidak mediocre, kini anda akan faham mengapa saya mengatakan para sasterawan negara adalah penulis picisan yang menulis karya picisan. Mereka, golongan yang diberi kedudukan sebagai sasterawan negara, adalah golongan mediocre yang menulis karya yang mediocre dan dilantik oleh Panel yang mediocre. Hanya orang yang mediocre saja yang tidak dapat melihat kejituan kesimpulan ini, kerana mereka sendiri adalah dari kumpulan mediocre.

Sekiranya anda tidak bersetuju dengan analisis ini, anda sah adalah golongan mediocre yang bangga menjadi golongan mediocre hingga tidak tahu bahawa anda adalah kumpulan mediocre yang berlagak seolah-olah anda terlepas dari sifat mediocre  itu.  Sekarang saya akan beri anda cara yang berkesan untuk menilai dengan tegas dan berani bahawa novel Pujangga Melayu dan Hikayat Salim Adil adalah contoh karya mediocre yang dihasilkan oleh penulis mediocre yang memperkenalkan Gagasan Persuratan Baru, satu gagasan yang juga mediocre. Dari segi logik, perhatikan baik-baik jawapan saya ini. Kini anda sudah tahu dan sudah pun mengaku anda adalah dari kumpulan mediocre, maka kesimpulan anda sendiri adalah mediocre, dengan itu Pujangga Melayu dan Hikayat Salim Adil berdiri tegak dan teguh sebagai karya besar Malaysia yang tidak mungkin dapat ditulis oleh sasterawan negara yang mediocre itu. Kalau anda masih tidak faham, maka saya amat bersimpati dengan anda sebagai golongan mediocre dalam sastera Melayu.  Anda membuktikan sifat mediocre anda sendiri dengan cemerlang apabila anda tidak sedar bahawa anda adalah golongan mediocre yang dilantik menjadi sasterawan negara oleh Panel yang mediocre.  Bagaimana anda hendak tahu kesimpulan ini tepat? Baca analisis mengenai perkara ini dalam buku khusus mengenai persoalan ini, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019). Anda boleh buktikan buku ini sebuah buku yang mediocre dengan meneliti penghujahannya. Adakah analisisnya mediocre atau andalah yang mediocre yang tidak dapat melihat dan memahami penghujahan dalam buku itu.  Saya telah cuba membantu anda … tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya anda, setelah membaca buku itu, anda tidak berupaya menyanggahnya kerana anda memang benar-benar dari kumpulan yang mediocre.  Apa yang anda boleh buat? Kekal berada dalam lembah mediocrity sebagai sasterawan negara.  Sebagai sasterawan picisan.  Sebagai sarjana picisan.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan
Petaling Jaya, 9/9/2020.

Catatan:  Apakah yang boleh kita panggil jenis tulisan seperti ini? Sekali imbas nampak macam mengada-ada, sengaja bermain dengan kata-kata, mungkin juga terdapat sedikit ejekan, dengan itu tidak adakah sedikit wisdom di dalamnya? Jika ada pembaca yang ingin memberi pandangan, boleh buat catatan di bahagian “comments”.  Untuk makluman, pengalaman saya memberitahu bukan senang hendak menulis dalam style begini. Saya pernah bertanya Prof. D’Raja Ungku Aziz mengapa dia masih membaca tulisan saya. Dia menjawab, “Tulisan anda adalah jenis satira, kiasan dan sindiran yang sedap dibaca, tetapi terdapat mesej penting di dalamnya.” Benarkah begitu? Sila komen, jika mahu. Saya tak pasti adakah Pak Ungku tahu saya ada blog sejak  2010 lagi.  Perhatikan juga perkataan “mengulit”. Boleh dibaca berasal daripada ulit (anda tahu maknanya?); boleh juga dibaca berasal daripada “kulit”.  Mana satu anda pilih adalah urusan anda sendiri; atau boleh juga pilih kedua-duanya. Faham maksud saya?  Tajuk ini benar-benar menarik perhatian saya. Ada unsur jenaka; ada juga unsur  … apa-apa sajalah!





Tuesday, September 8, 2020

BERITA BAIK UNTUK PENYOKONG PERSURATAN BARU


Pelik, tapi benar. Saya diberi maklum, dan semacam amaran, supaya berhenti bercakap tentang Persuratan Baru. Sastera Melayu sudah jauh maju, dan kita pun sudah mempunyai 14 orang Sasterawan Negara. Apa lagi bukti yang kita mahu? Ada yang menyebut bahawa satu ketika dulu saya pernah menyatakan sastera Melayu mandul, tidak maju-maju kerana tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Bagus juga pertanyaan sinis yang ditujukan kepada saya: Mana dia penulis atau sasterawan yang menulis dalam model PB? Hanya pencetus idea itu seorang saja yang menulis karya yang dia sendiri panggil karya persuratan. Tak ada sasterawan yang berminat menggunakan model PB kerana terlalu ketat, tiada kompromi dari segi teknik dan  tema. Sasterawan diikat kaki tangan, kemudian diseranah dengan kasar bahawa mereka hanya pandai menulis karya picisan.  Akibatnya, sastera Melayu menjadi mandul, tidak berkembang kerana imaginasi sasterawan ditutup dengan konsep ilmu yang benar. Dan macam-macam lagi kritikan tajam. Ada sesuatu yang tidak kena di sini, bila PB dijadikan “kambing hitam” dalam sastera Melayu.

Ini satu perkembangan yang menarik. Sekarang saya kena tanggung dosa sasterawan Melayu yang hanya pandai menulis, tetapi tidak pandai mengarang. Saya memang membezakan konsep menulis dengan mengarang. Budak sekolah kelas satu pada mulanya belajar menulis, bila dalam Kelas 3 baru mula diajar menulis karangan. Dan seterusnya.  Bila agaknya para sasterawan negara dapat melepaskan diri mereka daripada kedudukan budak sekolah itu? Ini bukan sindiran atau cacian terhadap para sasterawan negara, sebaliknya satu cabaran daripada perspektif ilmiah supaya karya para sasterawan negara itu boleh dilepaskan daripada kandang picisan, tempat mereka berada sekarang.

Kata pengkritik PB: sastera Melayu yang sudah jauh maju dan sudah pun mempunyai 14 orang sasterawan negara, dihina dengan kata-kata kesat seperti misalnya mereka yang bergelar sasterawan negara itu menulis karya picisan; yang menulis karya bermutu hanya seorang saja di Malaysia (dan mereka menyebut nama saya). Dengan pengakuan ini, apa yang saya kritik sejak tahun 1981 ketika Anugerah Sastera diperkenalkan, menjadi kenyataan apabila sudah ada penulis yang jujur mengaku tentang kesukaran menulis karya persuratan, berbanding karya sastera.  Menurut mereka, saya harus menerima hakikat bahawa karya sastera dengan karya persuratan adalah satu jenis saja, tetapi diberi nama berbeza oleh pencetus PB untuk kepentingan peribadi beliau sendiri! 

Rumusan ini akan menjadi lebih bagus lagi jika terdapat sarjana sastera yang mahu, dan berani menghuraikan secara ilmiah bahawa karya sastera sama saja dengan karya persuratan, kedua-duanya berasaskan imaginasi penulisnya. Nama berbeza kerana kita ada orang yang bernama Affandi dan ada yang bernama Anwar, kedua-duanya penulis kreatif. Yang satu lebih hebat kerana mendapat gelaran Sasterawan Negara; yang seorang lagi apa gelaran yang dia dapat?  Oleh itu, kata mereka, karya sastera pun karya persuratan juga, tiada beza dengan  karya persuratan yang digembar-gemburkan oleh Mohd. Affandi Hassan!

Perbincangan seumpama ini samalah dengan kucing yang diikat ekornya dengan tali, berpusing-pusing cuba hendak melepaskan diri daripada ikatan itu. Itulah kedudukan para sasterawan.  Mereka ibarat kucing yang diikat ekornya, berpusing-pusing cuba melepaskan diri daripada kritikan yang ditujukan kepada mereka.  Perlukah saya menyahut cabaran mereka? Tidak perlu. Sebaliknya mereka perlu membuktikan karya sastera lebih bermutu daripada karya persuratan, dengan kajian terperinci semua karya para sasterawan negara dibandingkan dengan karya persuratan Mohd. Affandi Hasaan.  Dengan kajian perbandingan seperti ini, kita pasti dapat melihat betapa mandulnya karya sastera dari segi wacana dan cerita jika dibandingkan dengan karya persuratan. Kecuali, jika anda dapat buktikan konsep wacana itu sama dengan konsep cerita, oleh itu Persuratan Baru tidak menonjolkan apa-apa pembaharuan pun! Moga-moga akan tampil seorang sarjana sastera yang cerdik dan pantas berfikir untuk menulis tentang perbandingan antara karya sastera dengan karya persuratan. Kalau sama, buktikan dari perspektif apa kedua-duanya sama, hanya berbeza pada nama saja. Saya telah cuba membantu anda untuk menafikan tiadanya perbezaan antara dua jenis karya ini. Boleh buktikan seterusnya?

Pandangan begini tidak membuktikan karya sastera itu lebih baik daripada karya persuratan, tetapi kita mungkin dapat melihat perbezaan ukuran itu boleh menentukan kedudukan karya sastera dengan karya persuratan berasaskan konsep wacana dan cerita yang dipakai dalam kedua jenis karya itu.

Sastera Melayu mandul? Saya dituduh menjadikan sastera Melayu mandul dengan kemunculan PB sebagai alternatif kepada konsep sastera yang anti-ilmu kerana menolak konsep wacana dan cerita dengan hanya menerima cerita sebagai asas penulisan kreatif.  Saya berharap sesiapa juga yang mengajukan kesimpulan ini tampil dengan gagah berani menafikannya dan menyertakan contoh-contoh karya sastera yang jauh lebih berkualiti daripada Pujangga Melayu, Hikayat Salim Adil dan lain-lain karya saya.  Dalam bidang kritikan pun begitu, berilah contoh karya tentang kritikan sastera yang jauh lebih bermutu daripada karya yang berasaskan PB.  Kini tidak dapat dielakkan untuk menerima pertembungan konsep dan praktik dalam seni mengarang yang dipakai oleh para sasterawan dan kaedah baru yang dipakai oleh pengamal (kalau ada) PB. Dengan cara ini, kelebihan PB akan lebih jelas terserlah dibandingkan dengan kedudukan karya sastera yang dihasilkan oleh para sasterawan negara.  Kajian perbandingan perlu dilakukan untuk membuktikan penilaian Panel Anugerah Sastera adalah tepat setelah diteliti dengan cermat setiap ukuran yang mereka gunakan, berbanding dengan ukuran yang digunakan oleh PB yang menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas penilaian yang dijelaskan melalui konsep wacana dan cerita. Saya memberi laluan yang amat jelas untuk anda menafikan kewujudan PB dari perspektif kreatif dan unsur-unsur ilmiah yang menjadi dasarnya.  Kerja ini mudah jika anda tahu melakukannya, tetapi anda akan terkejut apabila hasilnya tidak memihak kepada anda, sebaliknya membuktikan dengan jelas kedudukan PB sebagai pilihan yang lebih siuman dan berpijak kepada ilmu dalam kerja-kerja kreatif dan kritikan kerana ukurannya lebih tepat dan dapat diukur dengan lebih mantap sehingga kelihatan dengan jelas sifat-sifat picisan karya sastera para sasterawan negara.

Apa lagi yang anda mahu? Saya dengan murah hati membantu anda, para penulis dan sarjana, untuk  memahami kedudukan sebenar anda sebagai penulis dan sarjana yang menjadi hamba teori sastera Barat, yang telah diterima dengan baik oleh para sasterawan dan sarjana sastera bahawa pengaruh Barat itulah yang menjadi pencetus kepada sastera Melayu moden yang telah melahirkan para sasterawan negara.  Jika itulah pilihan anda, maka anda harus bersedia untuk dikritik dan mungkin dikutuk kerana pendirian itu telah menentang perkembangan ilmu dalam kebudayaan Melayu yang berasaskan konsep ilmu dalam Islam, dan dari situ berkembanglah kegiatan ilmiah dalam dunia penulisan dan dalam bidang-bidang lain.  Saya lihat perkembangan baru ini sebagai pengkhianatan kepada kebudayaan Melayu dan kepada perkembangan ilmu yang diajarkan oleh Islam.  Jika itulah pilihan anda sebagai sasterawan dan sarjana sastera, maka anda harus bersedia untuk dikritik dan dikutuk kerana perkembangan songsang ini telah meresap dengan mendalam dalam bidang pendidikan, mulai dari sekolah rendah hingga ke universiti.  Pilihan anda tetap salah jika dilihat daripada perspektif ilmu dalam Islam, walaupun anda berjaya melahirkan beratus malah beribu sarjana seperti yang pernah didakwa oleh seorang profesor yang berpengaruh, yang anda semua tahu siapa orangnya.  Berbangga melahirkan sarjana yang keliru dalam persuratan Melayu bukan suatu kejayaan, malah itulah pengkhianatan kepada budaya Melayu.

Pengkhianatan ini telah dimulai dan diperkembangkan oleh golongan Asas 50, yang hingga kini masih mempunyai pengaruh dalam kesusasteraan Melayu.  Baik sekali jika anda membuat renungan sejauh mana para sasterawan negara ini telah meninggalkan kegiatan Asas 50 yang menolak tradisi Islam dalam masyarakat Melayu, dan bagaimana ini diserlahkan dalam kegiatan dan karya mereka. Orang-orang ini selalu bercakap tentang kejujuran, maka wajarlah jika kejujuran itu mereka amalkan dengan ikhlas, dan ini termasuk mengaku kesilapan yang telah dibuat dengan azam untuk tidak meneruskannya. Sejauh mana para sasterawan negara menggambarkan kehendak amar makruf dan nahi mungkar ini dalam karya mereka dan dalam sikap mereka terhadap perkara yang mungkar dan yang makruf.  Persoalan ini penting, kerana jika anda tidak jelas anda sebenarnya mengajak kepada kemungkaran dan menolak kebaikan dalam karya anda. Sejauh mana kesimpulan ini benar dapat dilihat dari sikap mereka yang menolak konsep ilmu yang benar, hanya kerana mereka benci dan tidak mahu terima Gagasan Persuratan Baru. Sekiranya kesimpulan ini tidak benar, mereka harus memperlihatkan buktinya dalam karya mereka.

Sepanjang yang saya dapat lihat dari gelagat mereka, amat jelas mereka keliru tentang maksud dan matlamat yang terkandung dalam ungkapan amar makruf nahi mungkar itu. Silalah anda buktikan dari karya anda, satu perkara yang tidak susah dilakukan jika anda jujur, seperti yang anda selalu sebut tetapi tidak melaksanakannya.  Tetapi jika anda menggunakan kaedah yang dianjurkan oleh PB, anda akan dapat melihat dengan jelas di mana sebenarnya kumpulan ini berada, para sasterawan negara ini, di mana mereka berada dalam konteks amar makruf dan nahi mungkar itu.  Dengan mengetahui di mana tempat para sasterawan negara ini dalam pembinaan tamadun negara berasaskan konsep ilmu yang benar tadi, yang dilaksanakan melalui wacana dan cerita yang diasaskan daripada konsep ilmu tadi, kita boleh dengan mudah meletakkan kedudukan sebenar para sasterawan negara ini dalam pembangunan tamadun berasaskan konsep ilmu yang benar itu.  Dengan itu kita boleh menilai sumbangan mereka secara objektif, tidak lagi berasaskan retorik palsu seperti yang ada sekarang, yang boleh kita lihat dengan jelas dalam laporan yang ditulis tentang mereka oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Supaya anda lebih jelas, bacalah dengan kritis buku mengenai persoalan ini, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019). 

Semua penilaian mesti berasaskan ukuran yang tepat dan objektif, tidak hanya berlandaskan retorik palsu seperti yang berlaku sekarang.  Kesimpulan ini perlu didebat dan dibincang dengan sikap terbuka, untuk mengelak sebarang prasangka  terhadap bidang kritikan sastera di Malaysia.

Tidak wajar bagi para penulis Malaysia untuk menghalang kemajuan berfikir dalam seni mengarang melalui PB, atau menghalang kemaraan PB sendiri dalam arena persuratan Malaysia seperti yang dilakukan oleh para sarjana sastera yang mengharamkan PB daripada memasuki mana-mana universiti yang menawarkan mata pelajaran sastera dan kritikan sastera, kecuali dalam dua buah universiti. Barangkali yang paling gigih menghalang kemajuan atau kemaraan PB ialah badan-badan penulis, yang dipelopori oleh PENA dan GAPENA. Walaupun saya anggota PENA antara yang paling awal menjadi ahli, badan itu tidak menerima PB kerana kononnya, tidak ada sasterawan yang menerima kehadiran PB dalam dunia penulisan Malaysia. Itulah berita baik yang saya maksudkan dalam tajuk tulisan ini.  Bagaimana pula sikap DBP? 

Demikianlah hal dunia.

Telah berkata Tok Mindok: Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7 September 2020.



Saturday, September 5, 2020

MENCARI PENGERTIAN BARU DALAM KEGIATAN PERSURATAN


Dengan lahirnya Gagasan Persuratan Baru, perbincangan secara lisan dan tulisan tentang kesusasteraan telah diberi dimensi baru yang berbeza daripada kebiasaan lama, apabila diberi keutamaan kepada konsep wacana dan cerita. Perubahan ini tidak difahami oleh para sarjana sastera, para sasterawan, dan para pengkritik sastera. Mereka masih berdegil kepada cara lama yang tidak saja outdated, tetapi lebih penting disedari dan difahami bahawa cara lama itu telah membawa orang sastera (sasterawan, sarjana, pengkritik) ke lembah kekusutan pemikiran tentang seni mengarang, dan pada waktu yang sama  mereka ini menjadi hamba kepada teori sastera Barat yang membawa mereka ke lembah belantara teori yang akhirnya telah menyesatkan mereka. Mereka telah sesat Barat, menurut ungkapan orang Kelantan. Kesesatan ini muncul dengan jelas apabila mereka menolak konsep ilmu yang benar dalam kegiatan penulisan dan kritikan terhadap hasil kegiatan tadi; akibat dari itu ialah mereka meraba-raba mencari makna daripada kepalsuan kegiatan mereka yang sesat meraba-raba itu.  These are strong words, tetapi itulah kenyataannya yang cuba dilindungi oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Mereka tidak boleh menerima “kebiasaan baru” kerana sikap anti-ilmu yang menjadi pegangan mereka. Sebenarnya mereka ini adalah kumpulan anti-ilmu yang berpura-pura tahu tentang seni mengarang dan cara pengolahannya (dalam kritikan sastera).  Bukti terbaik ialah apabila mereka dengan angkuh menolak Gagasan Persuratan Baru sebagai hanya “salakan anjing kurap”, kata tokoh mereka yang bangga menjadi “sarjana” keliru dengan meletakkan penglipur lara setaraf dengan sarjana. Bodoh, tetapi diterima oleh kumpulan yang bangga dengan kebodohan mereka ini.

Untuk memahami kegilaan kepada yang disebut “teori sastera” hasil ciritan para sarjana yang menggila berebut-rebut kononnya menelurkan teori baru dalam kritikan sastera, maka terjadilah seperti yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam makalah beliau yang terbaru. Lihat kutipan penting ini:

“Dalam konteks sastera Melayu, dekad 1990-an dan berikutnya menyaksikan
kemunculan pelbagai ‘teori’ atau ‘kerangka analisis’ tempatan seperti
Takmilah, Pengkaedahan Melayu, Pendekatan Firasat, Kata Kunci,
Teksdealisme, Persuratan Baru dan sebagainya dengan pengertian
‘teori’ yang pelbagai, yang dalam banyak hal tidak pula memperlihatkan
fahaman tentang ‘teori’ serta fungsinya yang tepat dan jitu. Namun,
hakikat kemunculan pelbagai ‘teori’ tempatan ini memberi isyarat betapa
tidak beresnya situasi sastera Melayu dewasa ini terutama situasi kritikan
sastera yang lantas mengundang kemunculan teori-teori tempatan tersebut.
Melatarbelakangi penampilan ‘teori’ tempatan ini ialah pengamatan
bahawa penghasilan sastera dan lebih-lebih lagi kritikan sastera, rata-
rata dilaksanakan dengan menggunakan teori, kerangka dan idea-idea
Barat, sesuatu yang dirasakan amat janggal dan tidak sesuai sama sekali.
Ditegaskan bahawa hal ini kerana teori-teori Barat adalah produk konteks
yang sangat berbeza daripada konteks tempatan sama ada dari segi agama,
budaya, nilai atau pandang hidup, dengan itu tidak dapat berlaku adil kepada
karya tempatan sama ada karya kreatif mahupun kritikan yang rata-rata
merupakan hasil penulis dan pengkritik Melayu yang beragama Islam.”

(Disiarkan dalam MANU Bil. 30, 1-45, 2019 (Disember)
E-ISSN 2590-4086© Ungku Maimunah Mohd. Tahir)    “SENDENG-BARAT DALAM SASTERA MELAYU MODEN: CABARAN SEBUAH CENGKAMAN
Western-bias in Modern Malay Literature:  The Challenge of a Stranglehold )


Dalam entri yang baru lepas (bertarikh 3 September 2020) saya mengajukan satu kesimpulan yang sangat penting, setelah menceritakan/menganalisis perkara-perkara yang berlaku dalam kritikan sastera Melayu, maka berbuatlah saya akan kesimpulan yang nakal dan sinis ini:

“Adakah anda setuju bulat-bulat dengan ukuran dan penilaian yang dibuat oleh anggota jawatankuasa pemilihan sasterawan negara? Saya tinggalkan soalan ini untuk anda jawab, jika mahu. Jika tidak mahu pun tidak mengapa. Inilah “normal baru” [norma?] dalam penilaian dan kritikan sastera Malaysia. Dengan sikap dan pendirian ini, tiada lagi karya sastera yang tidak bermutu.

Tidakkah itu merupakan kejayaan teragung dalam kritikan sastera Malaysia? Kita pun mahu tahu, siapakah pelopornya?  Saya yakin tiada seorang pun akan menjawab pertanyaan bodoh ini.  Walaupun bodoh, masalahnya kita semua mahu tahu!”

Sekiranya anda baca kesimpulan ini dalam konteks makalah Prof. Ungku Maimunah (kena baca keseluruhan makalah), maka anda akan lebih mudah memahami kesimpulan saya. Saya suka, dan kagum, dengan kesimpulan saya yang berbunyi:  “Dengan sikap dan pendirian ini, tiada lagi karya sastera yang tidak bermutu.”  Satu kesimpulan yang amat pintar, walaupun sinis, dan tepat dengan kejadian yang berlaku dalam sastera Melayu selepas 1981, tahun bermulanya dilantik para sasterawan picisan sebagai sasterawan negara.  Untuk berlaku adil kepada para sasterawan negara dan para penyokong mereka, dengan rendah hati saya cabar mereka supaya kemukakan sebuah karya (sebuah pun jadilah) yang dapat menandingi Pujangga Melayu atau Hikayat Salim Adil. Itulah implikasi kesimpulan saya yang berbunyi, “Dengan sikap dan pendirian ini, tiada lagi karya sastera yang tidak bermutu”!  Dengan itu kita selamatkan para sasterawan negara yang karya mereka bertaraf picisan, bahawa penarafan itu tidak perlu lagi, kerana semua karya yang diterbitkan adalah bermutu!

Adakah ini bererti saya memberi jalan kepada para sasterawan negara, sarjana yang menyokong mereka, dan pengkritik sastera yang sibuk memuji teman-teman mereka?  Tentu anda masih ingat bagaimana Prof. Mohammad Saleeh Rahamad memberi kedudukan yang amat istimewa kepada SN Anwar Ridhuan? Ini terdapat dalam satu esei beliau yang mendapat Hadiah Sastera Nasional (?) dalam bidang kritikan, dipilih oleh teman-teman beliau yang menjadi juri.  Dia sendiri mengaku dia terkejut, tetapi itu cara dan gaya kesopanan Melayu yang selalu merendah diri untuk mendapat pujian dan sanjungan.  Dilihat dalam konteks budaya Melayu ini, tidaklah sangat biadab jika saya memberi penghormatan kepada karya sendiri, berupa cabaran kepada sesiapa pun untuk menunjukkan kepada kita semua bahawa saya silap, dan bahawa semua karya para sasterawan negara tiada tandingan dan akan kekal begitu. Walaupun pendapat seumpama ini kurang asam, dan sudah pasti terlalu kaya dengan unsur bodohnya, namun usaha itu berguna juga untuk menggertak dan mengherdik pembaca yang kurang kepintaran memilih. Orang begini ramai, terutama sekali yang menjadi juri pertandingan atau apa-apa juga anugerah. Saya telah buktikan ini dalam sebuah buku khusus mengenai pemilihan sasterawan negara.

Tetapi masih tinggal lagi satu masalah, yang tidak dapat diselesaikan jika kita menolak konsep ilmu yang benar sebagai asas penilaian itu.  Oleh itu, mahu tidak mahu, anda perlu juga mengiktiraf Gagasan Persuratan Baru sebagai teori sastera yang paling canggih yang pernah dikemukakan oleh manusia, yang menjadikan semua teori sastera Barat sebagai teori picisan kerana setiap teori itu berasaskan andaian dan rumusan yang berubah-ubah, seperti yang anda sendiri tahu jika anda membaca dan meneliti teori mereka.  PB membawa manusia bertanya siapa dirinya, mengapa dia berada di dunia ini, ke mana yang hendak ditujunya. Semua ini tidak ada dalam teori sastera Barat, oleh itu bagi mereka prinsip paling utama ialah kebebasan peribadi untuk membuat pilihan dan penilaian. Dalam Islam, kedudukan demikian memang diminta oleh Iblis, dan Iblis diberi kebebasan untuk memusnahkan manusia. Inilah pilihan Barat dan ini terserlah dalam karya sastera mereka dan dalam cara mereka menilai karya kreatif. Supaya anda berpuas hati, anda boleh bertanya soalan ini, dan menjawabnya: Apakah yang istimewa Gagasan Persuratan Baru, dan apa pula yang picisan dalam teori sastera Barat? Saya yakin semua sarjana dan sasterawan Malaysia akan tertawa besar membaca pertanyaan ini, kerana itulah pertanyaan yang paling bodoh daripada seorang pemikir sastera Melayu yang hebat.


Bodoh, tetapi hebat. Itulah Pak Pandir yang melahirkan teori Pandirisme itu. Ada orang berkata, contoh Pandirisme teragung ialah Persuratan Baru. Yang setuju angkat tangan; yang tidak setuju pun angkat tangan juga. Orang Inggeris panggil situasi itu win-win situation.  Orang Melayu yang santun dan bersikap rendah diri memang mengamalkan itu; tetapi tidak saya. Itulah kelebihan saya yang menelurkan Gagasan Persuratan Baru itu untuk menjadi kayu ukur yang tepat ketika membuat penilaian terhadap karya kreatif.  Kesimpulan ini mesti dicabar sewajarnya; sayangnya sasterawan dan sarjana sastera, serta para pengkritik, mengambil sikap “lembu kenyang”.  Mengunyah saja sepanjang masa…  Pastilah lembu tidak mengunyah Gagasan Persuratan Baru, walaupun lembu masuk universiti dalam Pujangga Melayu!


Selamatlah jiwa yang sempurna!


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 5/9/2020.