Thursday, July 26, 2018

Pujangga Melayu SEBAGAI NOVEL MINI ENSIKLOPEDIA YANG MENCABAR KEMAMPUAN INTELEKTUAL PEMBACA



Novel yang tebal ini adalah yang terbaik yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu. Bukan mudah untuk membaca dan memahaminya sekiranya anda menolak konsep ilmu yang benar yang menjadi dasar atau prinsip utama novel ini. Untuk memberi sedikit panduan kepada anda, kedudukannya samalah dengan Gunung Tahan dan Banjaran Titiwangsa di Semenanjung Tanah Melayu.  Kedua-duanya tetap berada di tempatnya, sama ada anda sedar atau tidak. Begitulah kedudukan Pujangga Melayu,  tetap berada di tempatnya yang istimewa sama ada anda sedar atau tidak. 

Demikianlah kedudukan sebuah karya agung dalam persuratan, di mana-mana sekali pun di dunia. Kewujudan War and Peace tidak memerlukan kesedaran anda untuk karya itu berada di tempatnya.  Bolehkah kita membuat kesimpulan yang sama terhadap karya terbaik Malaysia yang berjudul Naratif Ogonshoto?  Saya telah menjawab pertanyaan ini  dalam entri 2017, dengan panjang lebar.  Anda perlu membaca keseluruhan entri itu, seperti sebuah buku yang agak tebal, untuk mendapat jawapan yang tepat dan berwibawa. Kedudukan novel besar sepanjang zaman ini samalah dengan sebatang balak hanyut yang sudah reput, sedang menuju ke Kuala Besar untuk reput di Lautan China Selatan!  Saya membuat perbandingan ini untuk mencabar kemampuan intelektual anda dengan memberi pandangan kritis anda sebagai seorang intelektual yang berwibawa. Saya tidak pasti sama ada anda faham atau tidak analogi ini, tetapi ketepatannya tidak memerlukan kefahaman anda.

Demikianlah kedudukan Pujangga Melayu, tidak memerlukan sarjana dan pengkritik sastera untuk menjadikannya sebagai karya besar yang pernah dihasilkan dalam bahasa Melayu.  Gunung Tahan dan Banjaran Titiwangsa tetap berada di situ, sama ada anda tahu atau tidak. Jika anda faham maksud analogi ini, anda dapat melihat dengan jelas pembohongan penilaian yang dibuat oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad terhadap novel Naratif Ogonshoto.  Kemunculan Gagasan Persuratan Baru menidakkan semua sekali penilaian yang dibuat oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu, dengan itu sudah cukup untuk membuktikan novel yang begitu hebat di mata Dr. Mohamad Salleh Rahamad itu pada hakikatnya adalah sebuah novel picisan jika dinilai berasaskan Persuratan Baru yang menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas.  Sesiapa juga yang ingin mempertahankan novel picisan itu harus berdepan dengan Gagasan Persuratan Baru terlebih dahulu, yakni mereka perlu membuktikan PB satu kaedah palsu yang tidak boleh digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara.  Ini menimbulkan masalah besar yang boleh membuat para sasterawan negara dan para pengampu mereka seperti cacing kepanasan, kerana mereka tidak dapat menolak kedudukan akademik yang kukuh yang ditunjukkan oleh PB. Para sarjana ini, termasuk juga para sasterawan sendiri, boleh berkumpul dalam kumpulan yang besar, malah boleh menganjurkan satu seminar bertaraf kebangsaan (kalau mahu jadikan bertaraf antara bangsa lagi baik) untuk menidakkan PB, yang boleh saja dianjurkan oleh DBP atau ITBM, atau kedua-duanya sekali. Saya yakin tidak akan tampil sesiapa pun juga yang siuman untuk menyahut cabaran ini, kerana mereka akan kelihatan seperti Pak Kaduk atau Lebai Malang di gelanggang nanti. Apakah pilihan mereka? Hanya satu pilihan yang tepat, ia-itu menerima PB sebagai kaedah penilaian yang paling akademik yang membolehkan sesuatu penilaian dibuat dengan tepat. Kalau cabaran ini diterima, para sasterawan negara akan menjadi penulis karya picisan, dan kedudukan mereka sebagai sasterawan negara tidak boleh dipertahankan.  Ke mana mereka mahu lari? Ada jalan keluar yang paling mudah, iaitu menggunakan ukuran teori sastera Barat, seperti yang mereka sudah lakukan dalam semua Seminar Pemikiran Sasterawan Negara yang dianjurkan oleh DBP. Tetapi ini akan menjadi perangkap yang amat berkesan untuk memasukkan mereka semua ke dalam kandang pandirisme. Mahukah mereka berada dalam kandang pandirisme, atau memang sudah pun berada di dalam kandang itu? Jawapannya hanya boleh dibuat oleh para sarjana sastera sendiri. Saya tidak perlu memberi ulasan. Kita tunggu apa kata mereka nanti, jika mereka mahu. Tetapi lebih baik jika mereka mendiamkan diri, untuk mengelak dari berada di dalam kandang pandirisme.

Jika anda hitung semua hujah yang diberikan di sini dengan kritis, anda akan dapat melihat dengan lebih jelas kualiti kreatif dan pemikiran yang terdapat dalam Pujangga Melayu.  Sukar untuk anda menolak kesimpulan bahawa Pujangga Melayu adalah sebuah novel yang paling hebat pernah ditulis dalam bahasa Melayu, sehingga dapat diberi gelaran sebagai sebuah novel mini ensiklopedia. Tidak ada novel lain yang dapat digelar novel mini ensiklopedia selain dari Pujangga Melayu. Novel terbaik sepanjang zaman yang diberi pujian tinggi oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu pun gagal mencapai taraf sebuah novel pemikiran, apatah lagi sebagai sebuah novel mini ensiklopedia. Tidak mungkin sebuah novel picisan seperti Naratif Ogonshoto menjadi sebuah novel mini  ensiklopedia.  Oleh itu, tegas semua sarjana dan sasterawan, sebuah novel tidak perlu bertaraf sebuah novel mini ensiklopedia untuk muncul sebagai sebuah novel besar.  Hujah ini termasuk dalam kategori hujah berasaskan pandirisme, kerana tujuan para sarjana mengemukakan hujah ini bertujuan untuk menafikan Pujangga Melayu sebagai sebuah novel istimewa.  Saya sudah pun memberi bayangan, jika anda berkata Gunung Tahan dan Banjaran Titiwangsa tidak kena mengena dengan kemajuan Persekutuan Tanah Melayu, saya hanya ingin membawa perhatian anda kepada peristiwa banjir besar 2014, sekiranya anda tahu membaca tanda-tanda alam dan cakerawala.  Saya berhenti setakat ini sahaja, tidak perlukan penjelasan apa-apa, hanya dengan membawa perhatian anda kepada banjir besar 2014 dan mengapa terjadi dan begitu besar kerosakannya. Bagaimana boleh dikaitkan dengan penilaian Pujangga Melayu memerlukan sedikit kecerdikan anda berfikir!

Demikianlah istimewanya Pujangga Melayu dalam perkembangan intelektual Malaysia. Hanya jauhari yang mengenal manikam!

Saya tidak bermaksud memuji diri sendiri dengan kenyataan di atas. Saya tidak memerlukan apa-apa pujian daripada sesiapa pun; saya hanya perlukan sifat kritis anda untuk menilai Pujangga Melayu sebagai sebuah karya istimewa Malaysia. Mengapa ini penting?  Hanya dengan membaca kritikan anda yang kritis saja saya dapat mengukur kecerdikan anda, dan seterusnya kecerdikan masyarakat Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu. Ini bermaksud bahawa Pujangga Melayu boleh dijadikan ukuran untuk melihat kemajuan intelektual pembaca Malaysia, dan seterusnya kecerdikan para sarjana sastera, termasuk para profesor sastera. Saya tidak menyatakan kejujuran mereka sebagai sarjana, kerana kejujuran tidak diperlukan dalam kritikan sastera seperti perlunya para pendakwah bersikap jujur dalam dakwah mereka. Dari para sarjana ini kita hanya perlukan keterampilan akademik mereka sebagai penyampai ilmu kepada para pelajar mereka. Tetapi dalam bidang inilah kita dapati mereka amat lemah, hasil dari sikap malas membaca, oleh itu tidak peka kepada perubahan dalam dunia akademik.  Apa bila ditanya, mereka sangat bangga memberitahu mereka tidak tahu menahu tentang Gagasan Persuratan Baru, tidak pernah membaca tentangnya, oleh itu bagi mereka tidak perlu diketahui.  Walaupun lucu dan aneh untuk mengaku bodoh dan cetek, tetapi bagi mereka itulah kelebihan mereka yang mereka banggakan. Dengan sikap “tidak kisah” ini mereka mengajar pelajar mereka menjadi bodoh, perkara yang telah saya bangkitkan sekitar akhir 1970-an lagi, masih kekal hingga sekarang. Cubalah hitung sudah berapa lama. Keadaan inilah yang mendorong saya menulis tentang aspek pandirisme dalam dunia akademik Malaysia. Penganut padirisme ini termasuk para profesor yang berada dalam Mutual Admiration Club, yang dipelopori dan diketuai oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, seorang sasterawan negara yang pernah juga menjadi ahli panel yang memilih para sasterawan negara. Anda boleh bayangkan hasilnya dan  kesannya!

Dalam konteks inilah Pujangga Melayu muncul sebagai penentu kemajuan dalam sastera Melayu.  Tentulah amat baik jika ada sarjana yang menentang dan menolak kesimpulan ini.  Kita mahu dengar hujah mereka.  Masalahnya mereka terlalu meremehkan PB, tidak bersedia untuk memahaminya. Sebagai sarjana, sikap negatif begini tidak sepatutnya menjadi kebanggaan seseorang sarjana yang dihormati.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 25/7/2018.












Sunday, July 22, 2018

MENYEDIAKAN KELAHIRAN GENERASI MASA DEPAN YANG CERDIK DAN BIJAK



Sejak  zaman remaja lagi saya telah mengusahakan, melalui tulisan, untuk memberi persediaan kepada generasi masa depan muncul gagah menjadi cerdik dan bijak.  Bayangkan, sejak tahun 1957, dan dua tiga tahun sebelum itu yang saya paparkan dalam sajak, membicarakan aspek ini dalam kehidupan bangsa Melayu.  Apakah kesan dari perjuangan yang lama ini? Berapa besar kesan itu saya tidak dapat bayangkan, malah bagi saya bukan masalah pun kepada saya. Saya tidak mengukur kejayaan saya dari pengaruh yang lahir dari perjuangan itu. Yang lebih penting, adakah saya sendiri telah menjadi dewasa dan bersedia untuk meninggalkan khazanah ilmu yang berharga kepada bangsa Melayu dan umat Islam? Ini hanya boleh ditentukan oleh sejarah dan penilaian masyarakat berilmu terhadap sumbangan itu.  Impian yang begitu besar mendesak saya melihat perkembangan intelektual dalam sastera dengan amat kritis dan agak keras dari segi penilaian saya terhadap sumbangan para sasterawan negara yang diberi hak istimewa untuk tidak boleh dikritik itu.  Boleh dikritik, tetapi kritiklah dengan adil, kata para penyokong mereka. Ini satu pendirian yang menarik, jika yang berkata itu faham dan jujur dengan maksud tersirat yang mereka pendam. Saya pun boleh bertanya mereka, adakah mereka sendiri melakukan hal yang sama kepada Gagasan Persuratan Baru yang mereka benci itu? Mereka menafikan ini, malah menurut mereka tiada sesiapa pun yang “membenci” PB. Mereka hanya tidak suka cara saya menulis yang menurut mereka amat kasar dan tidak ada kebijaksanaan langsung. Saya tidak perlu memberi pandangan kritis pula terhadap tuduhan ini, kerana dalam apa juga dialog yang bersifat intelektual, kita dituntut untuk menyatakan pendirian kita dengan jelas dan diiringi dengan memberikan hujah-hujah yang mantap, yang tersusun rapi dalam rangkaian bukti yang tidak dapat digugat, kecuali untuk tidak dipersetujui, dengan itu anda akan berpeluang memberikan alternatif anda sendiri. Semua ini tidak berlaku dalam dialog intelektual kita, malah apa yang disebut sebagai dialog intelektual itu sebenarnya tidak wujud. Kalau ini satu kenyataan akademik, maka apakah yang dibuat oleh para ahli akademik kita ketika menghadapi kemunculan Gagasan Persuratan Baru? 

Dalam ramalan saya, mereka ini, yang cetek meraba-raba, akan dikutuk oleh generasi masa depan kerana menghalang kemajuan berfikir dalam masyarakat, atau paling tidak bersikap degil dalam kejahilan yang tidak sepatutnya dijadikan hujah.  Di sinilah duduknya kegagalan karya para sasterawan negara, dan kegagalan para sasterawan negara sendiri yang tidak mampu berfikir, sekadar terikut-ikut dengan pengaruh Barat yang tidak pun difahami kelemahannya dari perspektif ilmu. Inilah “warisan” para sasterawan negara dan para penyokong mereka, yang saya kritik dengan keras dan lantang, yang mereka tidak berdaya menangkisnya kerana mereka memang tidak mempunyai hujah. 

Satu sifat utama mereka ialah kegilaan kepada aspek sensasi dalam karya kreatif, yang boleh kita lihat dengan jelas dalam karya Anwar Ridhwan dan Azizi Hj. Abdullah. Karya mereka cetek, sangat cetek, sebab itulah mereka gunakan sensasi kerana itu saja teknik yang boleh mereka gunakan. Mereka tidak berupaya berfikir, walaupun orang seperti Anwar Ridhwan itu punya gelaran “doktor”, sebagai pemegang ijazah  Ph.D.!  Bagusnya pula, kita boleh lihat betapa ijazah tinggi tidak boleh menjamin seseorang sasterawan muncul sebagai seorang pemikir.  Malah seorang sarjana yang bergelar doktor dalam bidangnya belum tentu mempunyai daya intelek yang tinggi, seperti yang dibuktikan oleh Prof. Madya Dr. Mawar Shafie, yang boleh kita lihat dalam bukunya tentang Anwar Ridhwan.  Saya jemput anda pertikai kesimpulan ini secara akademik, tunjukkan di mana saya silap!  Senang nanti saya patahkan hujah anda satu persatu, berasaskan buku Dr. Mawar Shafie sendiri.  Saya sudah melakukan ini sepintas lalu dalam  beberapa entri dalam blog ini. Yang membacanya tentu masih ingat.  Tujuan saya membangkitkan perkara ini untuk membuat anda lebih bersedia untuk menepis hujah saya, jika anda rasa perlu. Perkara ini boleh membatu generasi masa hadapan melihat ketangkasan berfikir para sarjana ini, untuk mereka contohi!  (Nota: perhatikan sindiran tajam dalam ungkapan “untuk mereka contohi!”).

Era 1950-an yang diklaim oleh Asas 50 sebagai permulaan era gemilang dalam sastera Melayu hanya satu impian yang gagal dijayakan oleh mereka. Sebabnya amat mudah: mereka membawa idea yang bertentangan dengan tradisi persuratan Melayu yang berasaskan ajaran Islam; sebaliknya mereka membawa idea Marx dalam slogan dan gerakan mereka yang menegaskan sastera harus berdiri di atas prinsip-prinsip realisme sosialis, yang diambil daripada ajaran Marx. Apakah yang mendorong Asas 50 menolak nilai-nilai Islam dalam penulisan kreatif, sebaliknya menerima ajaran Marx yang mereka gelar realisme sosialis? Sampai sekarang para penyokong Asas 50, yang berupa kerak-kerak Asas 50, tidak berupaya memberikan penjelasan yang berasaskan realiti sebenar dalam perkembangan sastera moden. Bagi Anwar Ridhwan, yang mendakwa beliau membawa idea Islam dalam karyanya, penerimaan terhadap realisme sosialis dengan tegas menafikan klaim beliau tentang peranan Islam dalam penulisan kreatif, yang seharusnya berasaskan konsep ilmu yang benar. Seperti yang saya perincikan dalam beberapa entri dalam blog ini, tidak sebuah pun karya Anwar Ridhwan mencerminkan dakwaan beliau, malah yang berlaku adalah sebaliknya.  Penelitian yang objektif terhadap karya kreatif beliau menyatakan/menunjukkan sebaliknya, yakni menerima seluruhnya idea Asas 50 yang menolak konsep ilmu yang benar itu. Sila rujuk beberapa entri mengenai persoalan ini, terutama yang saya tulis dalam tahun 2017.  Penjelasan ini perlu kerana di sinilah terletak bukti bahawa para sasterawan negara menolak konsep ilmu yang benar itu, dengan itu karya mereka akan bertaburan seperti rantai manik yang putus tali, sekiranya karya para sasterawan negara ini dinilai dari perspektif ilmu yang benar. Inilah kunci mengapa mereka menolak konsep ilmu yang benar, dan dengan itu menolak Gagasan Persuratan Baru sebagai anti-realisme dan dengan itu tidak boleh dijadikan asas penulisan kreatif.  Hakikat ini pada dasarnya meletakkan semua sasterawan negara dalam keadaan cacing kepanasan. Mereka tidak boleh menerima Gagasan Persuratan Baru kerana penerimaan itu akan menolak karya mereka; sebaliknya, mereka juga tidak dapat mempertahankan kedudukan karya mereka dalam konteks yang ditegaskan oleh PB berasaskan konsep ilmu yang benar tadi. Saya yakin para penulis muda yang lebih terbuka kepada ilmu dan peranannya dalam penulisan kreatif dapat melihat kedudukan sebenar para sasterawan negara dalam dunia kreatif yang telah berubah fokusnya dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru.  Berbeza dengan para sarjana, pengkritik sastera, dan para sasterawan yang menolak PB untuk menyelamatkan karya mereka yang tidak berteraskan ilmu, saya dapati penulis muda lebih terbuka dan bersedia untuk meneliti PB sebagai alternatif dalam kritikan sastera dan sebagai panduan dari segi penulisan kreatif. Tidak semua mempunyai pendirian seperti ini, tetapi saya kira mereka bersikap lebih terbuka kepada perubahan. Sikap itu sudah cukup baik, untuk mendorong mereka memahami dengan lebih objektif prinsip-prinsip yang dikemukakan oleh PB. Cuma yang menjadi persoalan ialah saya dapati amat jarang guru sastera yang boleh membicarakan PB, kerana konsep sastera yang mereka terima ketika menjadi pelajar seluruhnya berkiblat kepada teori Barat, yang sebenarnya tidak mereka fahami dengan mendalam. Bilakah  keadaan ini akan berubah nampaknya sukar dibuat ramalan, apatah lagi Menteri Pendidikan baru dari Pakatan Rakyat tidak melihat persoalan ilmu ini penting dalam pendidikan. Jika perlu, saya akan bincang persoalan ini pada kesempatan lain.  Tidak wajar bagi seorang penulis seperti saya untuk memberitahu seorang menteri tentang peranan ilmu dalam pendidikan. Ahli politik sangat sensitif, dan mereka beranggapan mereka tahu segala-galanya; oleh itu kita tidak perlu ganggu keselesaan mereka dalam persoalan ini. Yang perlu belajar bukan menteri pendidikan, tetapi para guru dan pelajar. Bunyinya agak negatif, tetapi itulah kedudukan ahli politik di mana-mana saja. Saya dapati yang lebih terbuka ialah para ulama tulen, yang sanggup mendengar pendapat untuk dibuat koreksi di mana perlu. Seorang ahli akademik tidak begitu sikapnya, kerana kedudukan mereka tidak membenarkan mereka dikritik.  Dalam penelitian saya, keadaan ini mendorong kepada budaya pandirisme.  Masalahnya ialah budaya pandirisme ini memberi keselesaan kepada mereka.

Adakah ini bererti kita harus menerima pandirisme sebagai satu warisan untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang?  Inilah posisi yang dipilih oleh para sarjana sastera, yang membuat mereka menolak PB supaya tidak diketahui oleh para pelajar mereka. Kezaliman intelektual seperti ini memang menjadi amalan di Malaysia di kalangan sarjana.  Kerana sikap negatif terhadap ilmu inilah maka para sarjana ini, yang bergelar profesor dan lain-lain, menutup maklumat baru yang mereka anggap boleh mengancam kredibiliti mereka sebagai sarjana.  Kita dapati para sarjana jenis ini berlagak seperti ahli politik yang berselindung di sebalik tabir fatamorgana  seolah-olah mereka “memperjuangkan” keadilan dan kebenaran, padahal matlamatnya untuk mengangkat diri sendiri untuk diterima sebagai “pejuang” tulen yang boleh dipercayai.  Saya harap akan menulis tentang persoalan ini satu masa nanti untuk memperingatkan generasi muda supaya menjadi lebih berhati-hati  dan dapat mengenal golongan munafik intelektual ini dan peranan mereka dalam kegiatan anti-intelektual.

Bagaimana harapan ini boleh dilakukan diberi di dalam Hikayat Salim Adil, sebuah karya paling unik di dunia yang menggabungkan tiga genre: kreatif, kritikan sastera, dan falsafah estetika.  Perkara ini saya sebut dalam entri bertarikh 22 November, 2017: “Hikayat Salim Adil: Sebuah Autobiografi Intelektual.” Sedikit kutipan:  “Dari segi teknik, karya ini membicarakan kritikan sastera dalam bentuk cerita yang diwacanakan melalui perbincangan dan perbahasan.  Sebuah cerita tentang kritikan sastera, dan soal-soal kemasyarakatan termasuk politik, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya. …  Karya ini akan menyerlahkan wajah sebenar sastera Melayu,  yang selama ini tertutup daripada pengetahuan masyarakat. Wajah sebenar sastera Melayu sangat buruk, meskipun diberi  lukisan yang amat indah dengan melantik sekumpulan penulis (sasterawan) untuk digelar sasterawan negara. Pelantikan itu sepatutnya menggalakkan perkembangan ilmu dan memberi penekanan kepada peranan ilmu dalam penulisan; yang terjadi adalah sebaliknya.  Apakah yang mendorong sarjana, pengkritik, dan sasterawan bersikap ingkar ilmu? Hikayat Salim Adil memberi jawapan dan penjelasannya yang terbuka untuk dinafikan dan dikritik jika tidak benar.”  Anda perlu membaca keseluruhan entri ini kerana perbincangannya sangat penting diberi perhatian serius.  Anda juga perlu membaca dengan kritis entri 1 Disember 2017: “Hikayat Salim Adil memberi peluang kepada anda untuk mengkritik Gagasan Persuratan Baru.” Ambillah peluang ini.

Kritikan sastera moden yang diamalkan oleh para sasterawan dan sarjana tidak memberi arah kepada perkembangan masa hadapan, kerana mereka tidak mempunyai idea yang mantap untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang. Inilah yang saya maksudkan sebagai pengkhianatan ilmiah itu, yang nampaknya menjadi kebanggaan mereka yang mereka institusikan dalam Mutual Admiration Club yang diketuai oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.  Kepalsuan dan kedudukan Mutual Admiration Club ini yang menjadi pelindung para sasterawan dan sasterawan negara telah menghalang perkembangan budaya ilmu dalam sastera Melayu; sebaliknya anggota Mutual Admiration Club ini dengan degil dan bangga mempromosi teori sastera Barat yang terputus dari nilai-nilai agama di Barat sendiri.  Penentangan mereka terhadap Gagasan Persuratan Baru bertujuan untuk melindungi kepalsuan faham sastera yang mereka tiru dari teori Barat; dengan itu jelas sekali mereka bersikap anti-ilmu dan anti-akademik.  Inilah sikap yang disokong dan dipelihara oleh DBP dan ITBM. Apakah implikasinya dari segi kewangan? Saya serahkan kepada anda untuk memberikan jawapannya.  Yang  penting dibuat sekarang ialah membatalkan Panel Anugerah Sastera Negara dan memberhentikan pemberian anugerah sasterawan negara seperti yang telah dilakukan terhadap Majlis Profesor Negara.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22 Julai 2018.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      

Wednesday, July 18, 2018

PERINGATAN PENTING TENTANG KEKELIRUAN BESAR DALAM SASTERA MELAYU



Kesimpulan dalam entri bertarikh 9 April 2018 wajar diperhatikan kembali dengan kritis supaya sastera Melayu dapat dikembalikan di landasan yang  betul.  Kemunculan Gagasan Persuratan Baru memberikan mereka, para sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera, satu kejutan yang besar kerana PB mencabar mereka dari segenap aspek pengetahuan mereka tentang sastera. Paling mengejutkan, keselesaan mereka kepada teori dan pendekatan Barat kini dicabar oleh PB dengan mengemukakan konsep ilmu yang benar berasaskan ajaran al-Quran, yang tidak pernah terfikir oleh mereka bahawa konsep ilmu yang benar itu penting dalam penulisan kreatif dan penilaian terhadap hasil tulisan itu. Persoalan ini telah dibincangkan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam tulisan beliau yang panjang, yang tersiar dalam jurnal Asiatic, Vol. 9, No. 1, Jun 2015, berjudul, “Persuratan Baru: An Alternative Paradigm to Western Literary Methodologies.”  Makalah penting ini tidak dikenali oleh para sarjana sastera, sasterawan dan pengkritik sastera. Sekiranya mereka tahu, mereka mengambil sikap “lembu kenyang”, seperti yang diungkapkan orang Kelantan. (Ini pun mereka tidak tahu maknanya, dengan itu mereka telah membuktikan mereka tidak kenal budaya mereka sendiri!)  Inilah antara maksud ungkapan “cetek meraba-raba” yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972, yang tidak diketahui oleh para sarjana dan sasterawan sendiri kewujudannya. Inilah kutipan yang saya maksudkan:


“Walau apa pun pendirian para sarjana sastera dan sasterawan tentang konsep ilmu,  mereka tetap melakukan kesilapan besar dengan menerima kehadiran the poetics of adultery dalam sastera Melayu.  Kesarjanaan anda tidak sepatutnya menipu anda untuk tidak menerima kebenaran.  Inilah kesan yang amat negatif daripada kecetekan anda memahami teori sastera Barat yang amat nyata telah mengelirukan anda tentang konsep ilmu, sehingga anda menjadi amat kagum mendakap kekeliruan anda dengan membawa masuk the poetics of adultery dalam sastera Melayu.  Kesan buruk dari the poetics of adultery ini sangat besar dalam sastera Melayu, yang mendorong para sarjana dan sasterawan sendiri menerima karya picisan sebagai karya agung sepanjang zaman, seperti Naratif Ogonshoto; dan kini mereka menerima pula Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM 2012).  Kedua-duanya adalah karya picisan, dilihat dan dinilai dari perspektif ilmu yang benar. Tetapi kedua-duanya mendapat perlindungan Mutual Admiration Club. Tidak dapat dinafikan lagi Mutual Admiration Club ini membawa keburukan dan memberi perlindungan kepada kejahatan sebagai teras penulisan kreatif dan akademik Malaysia.  Apa yang saya kritik selama ini memang benar, dan anda tidak boleh lari lagi dari menerima kenyataan ini.  Kini sudah jelas, masa depan yang gemilang bagi persuratan Melayu sudah pun dimulai oleh Gagasan Persuratan Baru melalui beberapa penerbitan utama yang anda sendiri memang maklum.”

Mereka amat bangga dengan kejahilan dan sikap negatif mereka terhadap ilmu, dengan mengambil pendirian sikap “lembu kenyang” itu.  Mereka tidak berupaya memberi kritikan tajam paling kritis terhadap Gagasan Persuratan Baru, kerana mereka tidak memahaminya. Mereka tidak mahu mencuba memahaminya kerana takut terpengaruh dengan PB, setelah mereka menjadi lumpuh dari segi akademik untuk menolak PB sebagai alternatif seperti yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir itu.  Apakah pilihan mereka? Terus berada dalam kejahilan dan terus angkuh berpegang kepada kejahilan itu. Mereka bangga berada dalam kejahilan dan itulah yang mereka ajar kepada para pelajar mereka di universiti. Inilah yang melahirkan keadaan yang saya sebut sejak tahun 1970-an lagi, yakni mereka mengajar para pelajar “untuk menjadi bodoh”!  Bagi mereka, menjadi pengkhianat kepada ilmu dan kebenaran adalah satu tindakan akademik yang terpuji, oleh itu mereka tidak berasa malu untuk berada dalam kejahilan akademik. Contoh terbaik sikap negatif ini ialah penilaian mereka terhadap novel picisan yang mereka puji setinggi langit sebagai novel teragung dalam sastera Melayu, tanpa memberikan penghujahan yang mantap, seperti yang boleh kita lihat dengan jelas dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya memuji novel picisan ini. (Dewan Sastera, 2005.)


Kegiatan kritikan sastera Malaysia amat tidak memuaskan, kerana keengganan para sarjana meninggalkan kaedah Barat yang lebih banyak menimbulkan masalah daripada menyelesaikan masalah. Sepanjang tahun 2017 saya telah memberi perhatian kepada masalah ini, dengan itu saya kemukakan seluruh entri 2017 untuk perhatian anda, dan jika boleh anda mengkritiknya dengan objektif.



Rencana Dr. Saleeh Rahamad yang mendapat Hadiah Sastera itu dengan tegas dan jelas menolak al-Quran sebagai sumber ilmu; sebaliknya menjadikan asas penilaiannya kepada konsep postmodernism  yang bersifat nihilisme dan menolak nilai, terutama nilai-nilai agama, sebagai asas kehidupan bertamadun.  Sebaliknya sarjana ini menerima ciri-ciri Mafia (ciri-ciri kemafiaan)  dalam Naratif Ogonshoto yang dianggapnya sebagai novel teragung dalam sastera Melayu, yang melintasi sempadan antara bangsa dengan meletakkan novel itu antara yang terbaik yang pernah ditulis dalam mana-mana sastera dunia. Begitu hebat sekali novel picisan ini!  Apakah ukuran yang digunakan oleh sarjana ini? Saya telah membincangkan aspek ini dalam beberapa entri dalam blog ini, oleh itu tidak akan mengulangnya lagi di sini.  (Sekadar satu contoh, rujuk beberapa entri panjang bertarikh April 2017).


Dalam beberapa entri 2017, saya memberi penekanan kepada perwatakan dalam novel-novel Anwar Ridhwan, yang bagi saya sangat lemah. Semua ini mencerminkan kemiskinan sasterawan dalam memahami temanya (rujuk entri 20/8/2014 dan 17/8/2017), dan betapa dangkalnya pengolahan tentang tema itu yang lebih terarah kepada sensasi. Semua novel Anwar Ridhwan berasaskan aspek sensasi itu, yang contoh-contohnya saya berikan dalam entri yang saya maksudkan.  Yang paling sensasi ialah para sarjana sastera tidak dapat melihat aspek ini, walaupun cukup jelas. Sebabnya amat jelas: sarjana sastera ini menerima sensasi sebagai satu kaedah dalam bercerita, dengan itu mengabaikan pemikiran kerana sensasi tidak akan dapat menyerlahkan pemikiran dalam penulisan kreatif.  Walaupun aspek ini elementary dan sepatutnya difahami dengan mudah oleh para sarjana sastera, ternyata tidak dapat dikesan oleh sasterawan dan sarjana yang menilai karya mereka. Hal ini diberi perbahasan yang cukup mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir tentang keselekehan penilaian para Juri satu sayembara anjuran DBP yang memilih sebuah novel sensasi oleh Azizi Hj. Abdullah. (Rujuk tulisan beliau dalam Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan, Bab 10, bertajuk: “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”.)


Bukan saja perwatakan dalam novel-novel sasterawan negara yang lemah; para sasterawan itu sendiri pun sama saja sifat picisannya dengan karya mereka yang amat lemah perwatakannya. Kesimpulan Prof. Ungku Maimunah dalam makalahnya juga tepat sekali jika dikenakan kepada penilaian para anggota Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.  Sehingga bila penipuan intelektual ini ingin diteruskan?  Para anggota Panel terdiri daripada ahli  akademik, nampaknya mereka bangga menjadi ahli akademik yang picisan.  Zaman untuk menipu masyarakat sudah lama berlalu, sebaik saja PB diperkenalkan. Kamu, ahli akademik picisan yang dilantik menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara, adalah jenis manusia tidak bermoral baik dari segi akhlak mahu pun dari segi ilmu.  Para ahli akademik palsu yang menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara ini wajar dikutuk kerana penampilan mereka membawa kecelakaan kepada perkembangan kritikan sastera yang sihat dan yang berteraskan ilmu.  Sesiapa juga boleh mencabar kesimpulan ini dengan membawa kepada kita hujah-hujah mereka untuk membuktikan sebaliknya.  Melihat betapa mudahnya kita menghumban karya terpilih itu ke dalam lumpur picisan, sudah cukup menjadi bukti akan sifat picisan para penilai ini.  Sekali lagi, jika anda mahu menjawab cabaran ini, anda harus tampil memberi pembelaan anda dengan bukti-bukti yang jelas dan penghujahan yang tuntas. Itulah antara lain yang anda boleh lakukan untuk menidakkan keunggulan PB dalam memberikan penilaian yang objektif dan tepat. Semua penegasan yang dipaparkan di sini boleh membantu anda menulis karya kreatif yang indah dan bermakna, dua matlamat yang ingin dicapai oleh PB. Makna ungkapan ini telah dijelaskan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam makalahnya tentang PB yang tersiar dalam jurnal yang dirujuk.


Dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru, para sasterawan, sarjana sastera, dan pengkritik sastera, sudah diberi pilihan secara akademik untuk menerima konsep ilmu yang benar sebagai asas kegiatan mereka. Apa bila mereka menolak perkembangan terbaru ini, jelaslah mereka tidak mempunyai kualiti akademik yang berupaya memberikan mereka pertimbangan ilmiah yang wajar untuk membuat pilihan terbaik untuk dijadikan asas kegiatan mereka. Inilah masalah yang dihadapi oleh mereka, yang tidak boleh nafikan. Sikap mereka yang anti ilmu dan memilih untuk terus berada dalam kejahilan memberikan pengaruh yang amat buruk terhadap perkembangan sastera yang sihat, yang memihak kepada kecemerlangan akademik dan keampuhan untuk memilih konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran. Penderhakaan terhadap ilmu golongan ini menjadikan sastera Melayu berada dalam zaman jahiliah moden, menutup segala kemungkinan baru untuk memulai perkembangan persuratan yang berasaskan ilmu yang benar. Kalau sikap ini bukan pengkhianatan kepada kegiatan kreatif dan akademik, apakah kesimpulan yang tepat yang sesuai dengan sikap negatif mereka terhadap ilmu yang benar?  Soalan ini perlu mereka jawab.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 18 Julai 2018.