Wednesday, April 29, 2015

TEKSDEALISME MANA SIKANA ANTARA BIJAK PANDIR DAN BIJAK PANDAI DALAM BUDAYA PANDIRISME



Pak Pandir, ahli falsafah Melayu terulung, kini mempunyai saingan sengit dengan tokoh besar kritikan sastera Melayu, Mana Sikana yang mencetuskan teksdealisme, satu cara “berfikir” kuno Abad 19 yang sudah lama ditinggalkan di  Eropah, tetapi kini dihidupkan kembali dalam budaya pascamodenisme Malaysia yang dipelopori oleh Mana Sikana, pengarang Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.  Kemunculan buku ini membuktikan istilah bijak pandir menjadi aras tanda yang penting dalam membuat penilaian yang tepat dan saksama ke atas sebarang kegiatan yang bersifat intelektual, tetapi tidak mencapai kualiti sebenar yang dituntut oleh ilmu, sebaliknya yang terhasil hanyalah usaha remeh-temeh dalam bentuk bullshit yang diiklankan sebagai keunggulan pencapaian ilmu, padahal semuanya tidak lebih daripada pretensi intelektual semata-mata.  Kritikan sastera di Malaysia menjadi mandul, naif dan keliru dengan munculnya teksdealisme sebagai sejenis penglipur lara dalam pembicaraan sastera. Sifat penglipur lara ini terbayang dalam dua wajah. Wajah pertama sebagai pembawa obor pandirisme; wajah kedua sebagai pembina mitos palsu di kalangan para sasterawan.  Dalam wajah pertama, teksdealisme tidak dapat membezakan topeng yang dipakainya sendiri mana satu yang membicarakan proses perkembangan kreatif seoranmg pengarang; mana satu pula  mengenai ukuran yang boleh dipakai untuk menilai karya pengarang. Dua topeng ini berbeza tidak saja dari segi fungsi, tetapi dari segi kesannya terhadap hasil kreatif yang diusahaksan oleh pengarang/sasterawan. Topeng pertama memberi corak kepada biografi seseorang sasterawan, menceritakan proses mengarang yang dilaluinya, sama ada dengan meniru teknik orang lain, terutama dari Barat, atau mengambil dari tradisi bercerita dalam budayanya sendiri, yakni budaya penglipur lara. Contoh pertama ialah cara yang diambil oleh A. Samad Said, yang dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Negara kerana kepandaian A. Samad Said menggunakan teori dan teknik pengarang Barat yang dibacanya.  Dalam contoh kedua, kita lihat keghairahan Anwar Ridhwan menggunakan penglipur lara Melayu sebagai asas untuk bercerita dalam novel-novelnya.  Apabila Mana Sikana, ketika membicarakan dua orang sasterawan negara ini, menegaskan kedua-duannya telah “melanggar” konvensi penulisan di Malaysia, maka beliau berkata begitu ketika sedang bermimpi di atas bumbung kilang berkarat, seperti yang dilakukan oleh gurunya Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.  Mana Sikana tanpa disedari atau tidak, telah menolak bulat-bulat dakwaannya bahawa teksdealisme menerima penyaringan ketat dogma Islam untuk mengelak daripada tersesat, seperti yang ditegaskannya dalam kertas kerjanya ketika membicarakan teksdealisme di nadwah sastera Islam di Dewan Bahasa dan Pustaka 1994. Beliau dengan bangganya memuji semua sasterawan negara dalam bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan kerana semua mereka telah membuat “pelanggaran” yang berani untuk meninggalkan nilai-nilai agama dan budaya Melayu untuk memastikan mereka muncul dengan hebat sebagai pembawa nilai-nilai moden dan pascamodern untuk dijadikan nilai baru dalam masyarakat, tanpa perlu membuat apa-apa saringan daripada perspektif Islam.  Saya telah menyalin buktinya yang saya ambil daripada tulisan beliau.  Pendapat beliau sebenarnya disokong oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam semua laporan mereka, yang juga telah saya tunjukkan buktinya yang diambil daripada laporan mereka. Inilah “pelanggaran” yang dimaksudkan oleh Mana Sikana. Semua ini terjadi kerana makna dan maksud kesusasteraan dilihat seluruhnya daripada perspektif Barat yang memang menggalakkan “pelanggaran” seperti yang dimaksudkan oleh Mana Sikana. Lagi pula idea ini diambilnya daripada Harold Bloom, dan beliau mengakuinya. Dalam istilah yang saya pakai, inilah maksud “bijak pandir” yang melahirkan pandirisme dalam sastera Melayu moden.  Penjelasan terperinci tentang “sastera Islami” telah diberikan oleh Dr. Zulkarnain Mohamed dalam tulisanya, “al-Quran, Ilmu, Disiplin Islami dan Sastera,” yang dimuat dalam buku suntingan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (Bangi: ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2010. Edisi kedua dengan judul baru, Ilmu: Teras Persuratan Melayu, sedang dalam peyelenggaraan). Mengenai “bijak pandir” dan persoalan ilmu dalam kesusasteraan Melayu moden boleh dibaca dalam tulisan saya (dimuat dalam buku yang sama), berjudul “Mengembalikan Peranan Ilmu Yang Benar dalam Persuratan Melayu.”
Dengan nada yang angkuh, tetapi naif, tanpa mengemukakan sebarang hujah yang mantap dan bukti yang diperinci dalam analisis akademik yang teratur, buku Mana Sikana Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan memberikan kita contoh terbaik tentang peranan “bijak pandir” dalam kritikan sastera. Semua contoh karya yang diberikan Mana Sikana dalam bukunya ini tidak sedikit pun menujukkan adanya keunggulan dalam karya para sasterawan negara ini. Malah Mana Sikana tidak menjelaskan maksud “keunggulan” yang ditakhtakan itu. Dengan memberi kesimpulan yang naif bahawa Malaysia hanya mempunyai tiga orang pensajak yang unggul, tetapi tidak dapat dibuktikan dalam contoh-contoh yang diberikannya, maka Mana Sikana hanya menunaikan tugasnya sebagai  “bijak pandir” yang cukup seronok bermain dengan istilah kosong tentang modenisme dan pascamodernisme sehingga Islam ditundukkannya kepada keserasian dengan ciri-ciri pascamodernisme tadi. (Rujuk terutamanya hal. 38-39). Satu-satunya keunggulan negatif yang ditunjukkan oleh pensajak Muhammad Haji Salleh ialah ucapannya yang termasyhur seluruh dunia, “aku sudah belajar/jadi kurang ajar” dalam “Pulang Si Tenggang” dan kekaguman beliau terhadap kepintaran mephistopheles (raja Iblis) ketika melawat Muzium Goethe. Ungkapan “kurang ajar” dalam terjemahan Inggeris yang dilakukan oleh penulisnya sendiri diterjemahkan sebagai “I have learned to be critical” setelah belajar di Universiti Michigan.  Tetapi “kurang ajar”  tidak sama dengan “critical”. Semua ulama Islam adalah “critical”, tidak menerima sesuatu pendapat tanpa “demonstration” (pembuktian) dan mereka adalah manusia yang paling tawaduk, bukan yang kurang ajar!  Bagusnya dalam sastera tidak ada ajaran sesat, oleh itu sasterawan yang kurang ajar tidak perlu dihukum; malah diberi pembelaan yang bersungguh-sungguh oleh pengkritik seperti Mana Sikana dalam bukunya ini.  Itulah keistimewaan para sasterawan, terutama sekali para sasterawan negara yang diletak di atas takhta keunggulan oleh Mana Sikana.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29/4/2015

Sunday, April 26, 2015

MANA SIKANA DAN KEBANGKERAPAN KRITIKAN SASTERA MELAYU



Apakah yang ingin dicapai oleh Mana Sikana dalam kritikan sastera dengan menjadikan bullshit sebagai asas teksdealisme?  Supaya anda boleh memahami dengan lebih mudah dan jelas maksud saya, perhatikan kesimpulan Mana Sikana tentang Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad: “... aliran sastera Islam Shahnon Ahmad selari dengan dunia pascamoden terkini.  ... sastera Islam Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan suasana masyarat pascamoden dan hipermoden.  Maka di situlah kekuatan dan keistimewaan sastera Islamnya justeru selari dengan zamannya yang gemerlap dengan tanda-tanda ...” (hal. 39, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.)  Soalan pertama: untuk sempurna dan istimewa, Islam mesti ikut zaman pascamoden?  Soalan kedua: apakah yang sempurna dan istimewa zaman pascamoden itu?  Apabila saya tanya dua soalan ini kepada seorang yang kurang siuman tetapi masih pandai bercakap, dia menjerkah saya dengan soalan ketiga: “Kamu gilakah? Siapa kata Islam itu mesti ikut zaman?”  Bila saya beritahu dia, yang berkata itu sasterawan negara Shahnon Ahmad dan pengkritik sastera Mana Sikana, dia tersengih agak kemaluan, sambil berkata perlahan, “Kalau begitu mestilah betul. Aku ingat tadi kamu yang kata!” Dia terus tertawa kuat sambil melambai tangan masuk longkang mengambil sesuatu!  Saya terperanjat melihatnya begitu gembira mengambil sesuatu dari dalam longkang, tetapi selepas saya sedar dia tidak siuman, maka saya hanya menggeleng kepala.  Sebenarnya dia seorang terpelajar dan pernah menjadi guru sastera, itu yang membuat saya terus bertanya beliau.  Sekarang saya harus membuat pilihan, Mana Sikana atau bekas guru yang dalam longkang itu?  Nampaknya kedua-duanya betul, lebih-lebih lagi Mana Sikana kerana beliau seorang peneliti sastera yang popular yang telah melantik Shahnon Ahmad menjadi Raja Novelis Malaysia.  Tentu saja beliau mempunyai hujah yang kuat, berasaskan penelitiannya yang cermat.  Tetapi kesimpulan beliau tentang Mazhab Sastera Shahnon Ahmad dan kedudukan Shahnon Ahmad sebagai Raja Novelis Malaysia memerlukan penjelasan, untuk memahami mengapa beliau bertindak demikian. Penjelasan itu diberinya dalam suatu seminar penting di Dewan Bahasa dan Pustaka, “Nadwah Kesusasteraan Islam 1414 H., 1-3 Disember 1993.”  Kertas kerja nadwah ini diterbitkan dengan judul, Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti, diselenggarakan oleh S. Jaafar Husin (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995). Mana Sikana membentang sebuah kertas kerja bertajuk, “Teori Sastera Moden daripada Perspektif Islam” (hal. 221-245).  Kertas itu tidak langsung berbincang teori moden daripada perspektif Islam, kecuali beberapa singgungan yang ringkas dan kabur. Kertas itu sebenarnya mengiklankan teksdealisme, sebagai satu “teori” sastera. Menarik juga peringatan Mana Sikana: “Membina jejak di atas bekas-bekas langkah orang lain, mungkin merupakan suatu cara yang mudah untuk menghasilkan teori sendiri; tetapi tanpa jaringan keislaman, kadang-kadang ini boleh menyesatkan, justeru dalam teks dan falsafah teori tersebut sering tersembunyi akar kepercayaan tradisi sesuatu bangsa itu” (hal. 226). Seterusnya beliau berbicara tentang teksdealisme: “Idea teksdealisme ialah hasil pergomolan dengan pelbagai teori sastera moden dan pascamodenisme yang saya kuasai sedikit demi sedikit, serta melalui penyaringan Islam yang saya lakukan sendiri. Melalui beberapa orang tokoh, terutama Lacan, Derrida dan Kristeva, saya pelajari bagaimana kaedah mereka membina teori sastera.” (hal. 228).  Demikianlah cerita Mana Sikana.  [Huruf condong dalam kutipan di atas ditambah.]

Adakah Mana Sikana menunaikan janjinya itu dalam kesimpulan beliau tentang Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad?  Jika anda membaca bukunya, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan, dengan kreatif dan kritis, anda akan dapati Mana Sikana lebih engrossed malah “menggilai” apa juga yang difahami beliau dengan modenisme dan postmodenisme, tanpa sedikit pun memberi perhatian kepada peranan Islam dalam memahami teori sastera moden. Dia terjun sepenuhnya ke dalam lautan gelita yang bergelora untuk menilai para sasterawan negara daripada pespektif teksdealisme yang seratus peratus mendukung idea Barat. Maka tidaklah hairan jika Mana Sikana memuji Shahnon Ahmad seperti dalam kutipan di atas, pada permulaan tulisan ini.  Di atas dasar itulah Shahnon Ahmad diisytiharkan oleh Mana Sikana sebagai Raja Novelis Malaysia. Tidak ada kaitan langsung dengan nilai-nilai Islam, tetapi seluruhnya diasaskan kepada nilai-nilai modenisme dan postmodenisme Barat yang sekular dan anti-agama. Shahnon Ahmad menjadi Raja Novelis Malaysia kerana serasi dan mencerminkan nilai-nilai postmodernisme dalam karyanya. Nampaknysa Shahnon Ahmad bangga dan bersetuju dengan gelaran itu. Tahniah.

Bolehkah kita terima kesimpulan Mana Sikana? Pertanyaan ini tidak penting bagi para sarjana dan para sasterawan, terutama sekali dari kalangan para sasterawan negara sendiri. Mereka berterima kasih kepada Mana Sikana yang bergerak seribu langkah lebih maju daripada Panel Anugerah Sastera Negara yang hanya memberi gelaran sasterawan negara, tetapi tidak melantik salah seorang dari mereka  menjadi Raja Novelis Malaysia.  Penghormatan ke atas Shahnon Ahmad dan semua sasterawan negara dengan gelaran itu sangat tinggi prestijnya, membenarkan kesimpulan kita selama ini bahawa sastera Melayu moden tidak diasaskan kepada nilai-nilai ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam, sebaliknya menerima sepenuhnya pengaruh Barat, sehingga seorang pensajak sufi harus menggunakan alusi Mark Antony dan Cleopatra (Laporan 2012, hal. 20) untuk menjadi ahli sasterawan dunia, seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika membicarakan keistimewaan Kemala sebagai seorang pensajak yang layak diberi gelaran sasterawan negara yang telah menulis sajak-sajak yang “semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani” (Laporan 2012, hal. 21).  Mana Sikana mendudukkan Kemala sebagai pensajak terbesar Malaysia selepas Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain, tiga orang pensajak utama negara Malaysia.  Anda boleh agak dengan mudah siapa di antara tiga pensajak besar itu yang layak diberi gelaran Raja Pensajak Malaysia.  Ramai sasterawan dan sarjana Malaysia yang cenderung untuk menerima Kemala sebagai pensajak sufi Malaysia yang pertama selepas Hamzah Fansuri dari Acheh, Abad 16. Bayangkan berapa lama kita harus menunggu untuk menyaksikan kelahiran pensajak sufi kita sendiri, yang telah memberikan kepada kita “wangian kerohanian” menerusi sajak-sajak sufinya. Tahniah.

Ketiga-tiga mereka telah melakukan “pelanggaran” masing-masing, dengan Muhammad Haji Salleh memperkenalkan Si Tenggang sebagai seorng intelektual; Baha Zain yang “menangguhkan kebenaran”, dan Kemala yang menerima Mark Antony dan Cleopatra sebagai ikon kesufian kerana percintaan mereka yang begitu intim.  Jika kita melihat apa yang disebut sebagai “pelanggaran” ini dalam konteks budaya ilmu dalam kebudayaan Melayu, kita dapati ketiga-tiga pensajak ini tidak sedikit pun menggambarkan keunggulan ilmu sebagai asas dan teras penulisan, malah sebaliknya ketiga-tiga mereka adalah individualis yang lebih mengutamakan pencapaian peribadi daripada menyerlahkan keunggulan pemikiran Islam mereka dalam persajakan. Dari segi ini, kedudukan mereka sebagai sasterawan negara tidak mencerminkan kecemerlangan berfikir dan mencipta karya yang asli seperti yang kita dapat ketika membaca karya-karya Iqbal misalnya. Sebenarnya mereka tidak mahu dibuat perbandingan dengan Iqbal atau mana-mana penyair Islam, kerana menurut mereka perbuatan itu tidak wajar dan tidak adil kerana mereka sendiri pun sedar di mana kedudukan sebenar mereka dalam dunia puisi yang berasaskan pemikiran filsafat. Kalau begitu, bagaimana mereka layak diberi gelaran sebagai sasterawan negara Malaysia jika mereka tidak layak berada setaraf dengan seorang penyair Islam seperti Iqbal? Apa maknanya menjadi seorang sasterawan negara jika mereka hanya berasa selesa bercanda sesama sendiri di dalam kolam pandirisme? Ternyata teksdealisme dan pencetusnya Mana Sikana telah memberikan mereka gambaran palsu menggunakan kata-kata yang kaya dengan fatamorgana bahasa dalam retorik yang penuh pretensi intelektual, tetapi sebenarnya berada dalam dunia mitos yang nampak gemerlapan, tetapi “api” yang nampak gemerlapan itu hanya cahaya yang dipancarkan untuk tontonan, tidak berupaya merebus segenggam beras sekali pun. Itulah hakikat sasterawan negara ini yang sebenarnya.

Semua ini menimbulkan persoalan besar yang perlu diberi penjelasan oleh Mana Sikana: Apakah ukuran yang digunakannya untuk meletakkan para sasterawan negara ini di atas takhta keunggulan? Apakah makna keunggulan di situ? Keunggulan yang bercirikan ukuran yang berasaskan nilai-nilai moden dan posmodenisme? Atas dasar apa ukuran itu sesuai untuk digunakan bagi menilai keunggulan sasterawan negara? Beliau telah menjawabnya ketika melantik Shahnon Ahmad sebagai pencetus Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad, tetapi adakah “mazhab” itu satu mazhab sastera Islam yang mencerminkan konsep ilmu yang difahami dalam Islam?  Ini yang tidak jelas, malah dapat dikatakan bahawa Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad itu bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.  Mana Sikana tidak mungkin dapat memberi penjelasan yang diperlukan sekiranya beliau mengasaskannya kepada teksdealisme yang menjadi kekasihnya dalam kritikan sastera, kerana teksdeallisme sudah jelas menentang prinsip Islam seperti yang ditunjukkan oleh Mana Sikana ketika memuji Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad yang dikutip di permulaan tulisan ini. Inilah yang menyebabkan kritikan sastera Mana Sikana menghadapi kebangkerapan analisis kerana tidak berupaya melepaskan dirinya daripada kekeliruan dari segi konsep ilmu seperti yang difahamkan dalam Islam.  Semua klaim yang dibuat Mana Sikana bahawa beliau menyaring prinsip-prinsip Islam ditolaknya sendiri ketika memuji Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad.

Jadi, siapakah sebenarnya Mana Sikana? Di manakah kedudukannya dalam bidang kritikan sastera Melayu moden?  Jawapan ini hanya boleh diberikan oleh para sarjana, mungkin juga sasterawan sendiri. Tetapi mereka tidak akan menjawabnya, kerana semua jawapan mereka akan mendedahkan kedudukan sebenar Mana Sikana dalam kritikan sastera Melayu, yang akan membuat para sarjana dan sasterawan sendiri tidak enak.  Mereka sendiri akan terpalit.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 26 April 2015.


Friday, April 24, 2015

TAKHTA TEKSDEALISME MANA SIKANA YANG RAPUH DAN REPUT



Perlukah sasterawan negara diletak di atas takhta? Katalah sasterawan negara itu berbisa seperti ular tedung: bertambahkah bisanya jika diletak di atas takhta?  Menurut Mana Sikana, sasterawan negara layak didudukkan di atas takhta keunggulan kerana gelaran sasterawan negara itu sendiri melayakkannya diletak di atas takhta.  Tetapi logik takhta Mana Sikana tidak dapat mengubah nilai karya para sasterawan negara yang kedudukannya hanya ditentukan oleh kualiti karya mereka, bukan takhta yang disediakan oleh Mana Sikana berasaskan empat tiang teksdealisme yang diperbuat daripada agar-agar yang keras bila sejuk tetapi hancur bila panas.  Kita perlukan tiang yang tetap kuat teguh baik ketika sejuk mahu pun ketika panas; dan tiang ini hanya dapat disediakan dengan campuran ramuan yang diambil daripada falsafah seni berasasksn konsep ilmu yang benar.  Kontradiksi yang terdapat dalam buku Mana Sikana,  Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan, perlu diberi perhatian kerana ada persamaan dengan laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, yang juga kaya dengan kontradiksi yang tidak sepatutnya ada jika laporan itu ditulis lebih cermat, hati-hati dan mementingkan kualiti akademik sesuai dengan kedudukan ahli Panel dan kepakaran mereka. Saya telah menulis banyak tentang perkara ini, jadi tidak perlu diulang di sini. Sesiapa yang berminat bolehlah teliti sendiri hujah-hujah saya  dalam tulisan-tulisan itu. Yang ingin saya bangkitkan di sini dua perkara: (1) adakah kita berpuas hati dengan  penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan sarjana seperti Mana Sikana? Adakah penilaian mereka benar-benar menggambarkan kualiti sebenar karya para sasterawan negara ini?  (2) Jika terdapat kesangsian dalam penilaian mereka, adakah ini bermakna pemilihan Kementerian Pendidikan untuk mengambil novel sasterawan negara sebagai teks sastera satu pilihan yang wajar? (Contoh: Naratif Ogonshoto telah dipilih untuk dijadikan teks. Perlukah ditarik balik jika penilaiannya menimbulkan masalah akademik?).  Jika keputusan ini ingin diteruskan, pendekatan yang digunakan untuk membaca dan menganalisis novel itu harus dapat menentukan kualiti sebenar novel itu berasaskan ukuran yang objektif. Dalam hal ini, pendekatan yang ditawarkan oleh gagasan Persuratan Baru boleh digunakan untuk membolehkan para pelajar melihat kekuatan sebenar novel itu dan tafsirannya yang tepat atau sekurang-kurangnya berasaskan hujah yang mantap.  Pendedahan begitu akan menyediakan pelajar berfikir dengan aktif, dan dapat membaca karya dengan kreatif dan kritis, yang akan mendorong mereka membuat penilaian yang diasaskan kepada hujah yang padat. Sekarang cara lama yang digunakan tidak mendorong pelajar berfikir dan membuat penilaian yang objektif.  Sudah tiba masanya pelajar diperkenalkan pendekatan baru berasaskan ilmu.

Apakah kerosakan yang telah dilakukan oleh teksdealisme dalam sastera Melayu? Kerosakan paling utama ialah dalam memahami konsep teori. Mana Sikana menegaskan teksdealisme sebuah teori, tetapi dia tidak memberikan apa-apa prinsip atau ciri utama yang boleh dijadikan ukuran dalam membuat analisis dan penilaian. Empat perkara yang ditonjolkannya itu bukan ukuran yang boleh digunakan untuk menilai dan menganalisis sesebuah karya; hanya barangkali berguna untuk memperihalkan proses penulisan seseorang sasterawan, tetapi tidak dapat digunakan untuk menilai karya mereka. Apa yang disebut sebagai “kehadiran” terlalu kabur dan keliru: Apa sangkut pautnya dengan karya seseorang sasterawan?  Lionel Trilling menulis hanya sebuah novel, yang diberi pengiktirafan tinggi oleh pengkritik dan sarjana Amerika Syarikat; tetapi beliau lebih tertonjol sebagai seorang pengkritik sastera.  Demikian juga apa yang disebut “pelanggaran”, juga tidak mempunyai kaitan dengan nilai karya, kerana untuk menilai karya yang terhasil daripada pelanggaran itu kita perlukan ukuran lain. Saya beri contoh sajak Muhammad Haji Salleh, “Pulang Si Tenggang”. Sajak itu tetap tidak bermutu jika dinilai daripada perspektif ilmu dan pemikiran, walaupun telah membuat “pelanggaran” yang hebat dengan menjadikan Si Tenggang seorang intelektual. Yang menerima pilihan Muhammad Haji Salleh hanya kawan-kawan terdekat beliau dan pembaca yang tidak diberi maklumat yang betul. Apakah aspek “pengukuhan” untuk dapat dijadikan ukuran tentang keunggulan seseorang sasterawan? Jika dimaksudkan berkaitan dengan eksperimen, pembaharuan dan lain-lain yang biasa disebut-sebut, maka bagaimana kita boleh berkata setiap eksperimen itu mempunyai nilai tinggi atau menaikkan kualiti sesuatu karya. Contoh yang saya beri: novel Naratif Ogonshoto tidak dapat diterima sebagai sebuah novel intelektual, seperti yang dibuktikan oleh Nur Fatiha Fadila dalam tesis sarjana beliau.  Katalah anda ingin mempertahankan novel itu sebagai sebuah novel intelektual, anda harus mengemukakan hujah-hujah baru kerana hujah-hujah lama telah ditolak dengan tuntas. Anda hanya membuang masa jika anda cuba melakukannya kerana memang tidak diperlukan. Novel itu sendiri menjadi bukti bukan sebuah novel intelektual, hanya sebuah novel sensasi berlatarkan penglipur lara.  Semua peristiwa yang dijadikan bumbu cerita adalah berlatar belakang kisah-kisah berciri penglipur lara. Kalau begitu, di mana aspek intelektualnya, di mana pula pembaharuannya, eskperimennya? Adakah mencipta sebuah pulau khayalan satu eksperimen? Disebut watak utama seorang yang zalim, tiada belas kasihan. Tetapi kerana berlaku dalam khayalan, maka watak ini terpisah dari realiti masyarakat, oleh itu tidak bermakna apa-apa. Mesti diletak dalam masyarakat yang sebenar, jika mahu bercakap tentang kuasa dan korupsi. Kalau anda berkata keseluruhan novel itu merupakan satu simbolisme tentang kezaliman dan sebagainya, maka apakah simbolisme zakar yang tercacak keras ketika tuannya sudah mati dan dipotong oleh sang gadis diberi makan kepada burung hering? Adakah zakar itu sebesar bangkai rusa atau paling tidak napuh?  Ini bukan simbolisme, yang begitu naif dan terlalu dibuat-buat. Inilah jenis sensasi murahan yang tidak mempunyai erti apa-apa jika dinilai dari perspektif intelektual, jika betullah novel ini sebuah novel intelektual. Pendeknya, kesimpulan saya bahawa kelemahan besar karya Anwar Ridhwan adalah perwatakan yang tidak relevan dan tidak ditempatkan dalam keadaan yang biasa dialami oleh semua manusia, bukan dalam mimpi, adalah tepat.  Berasaskan kesimpulan ini, sebagai penglipur lara pun novel ini tidak meninggalkan kesan emosi, apatah lagi kesan intelektual. Kalau begitu, mengapa novel ini diberi pujian tinggi oleh para sarjana seperti Umar Junus, Dr. Saleeh Rahamad, Mawar Shafie dan lain-lain?  Jawapan paling mudah dan tepat ialah kerana kekeliruan mereka dalam konsep ilmu, di samping ceteknya pengalaman pembacaan ke atas karya besar dunia, dan kefahaman yang cetek tentang teori sastera Barat. Mereka menilai sebagai peniru, bukan sebagai sarjana yang mendalam dan luas pengalaman intelektualnya. Para penilai ini hanya sekadar kenal beberapa nama dan serba sedikit tentang pemikiran mereka, itulah yang dijadikan modal.  Sekadar recipe knowledge. Ini jelas dalam buku Mana Sikana Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.  Teguran K. B. Tan yang saya salin adalah tepat. (Tulisan asal beliau dalam Dewan Sastera, Mei 1997, hal.56).

Kehadiran teksdealisme dalam kritikan sastera Melayu adalah satu malapetaka yang besar, yang mengusut dan mengelirukan kefahaman tentang kritikan sastera di kalangan para sarjana dan pelajar universiti yang mengambil  mata pelajaran sastera.  Dengan menggunakan “pendekatan” (ini pun tidak tepat, apatah lagi jika dipanggil ‘teori’) teksdealisme, karya-karaya tidak bermutu yang ditulis oleh para sasterawan diberi kedudukan tinggi kerana disangka penulis karya-karya itu memenuhi tuntutan empat faktor kejayaan seseorang sasterwan menurut teksdealisme. Ini menimbulkan salah faham apabila kesahihan “pendekatan” itu dicabar, dan cabaran itu tidak dapat diatasi. Demikianlah yang terjadi pada Mana Sikana sendiri, yang menulis tentang para sasterawan negara, dengan itu lebih tertumpu membicarakan proses yang dilalui oleh seseorang pengarang, bukan kualiti karyanya yang tidak disentuh secara akademik. Apabila seorang sarjana memberi gambaran palsu terhadap seseorang sasterawan dan hasil karyanya, seperti yang dilakukan olehj Mana Sikana dalam bukunya, maka akibatnya pencapaian pengkritik dan ahli akademik sendiri sangat rendah dan amat mengelirukan. Kekeliruan ini telah saya bincang dalam entri yang lepas, ketika membicarakan buku Mana Sikana ini.  Sesiapa juga yang meragui analisis saya, sila tampil ke depan membentangkan hujah anda dan dengan itu sekali gus menolak hujah yang saya kemukakan. Inilah caranya kita mengukur perkembangan ilmu dalam bidang akademik, dan ini mesti dilakukan secara tuntas supaya apa juga kekeliruan yang timbul dapat diperbetulkan.  Jika ini tidak diberi perhatian serius, maka para sarjana kita akan terus memperagakan bullshit yang mereka hasilkan sebagai kritikan sastera yang berkualiti.  Kritikan yang bercorak bullshit ini telah ditolak dengan tuntas dalam analisis Nur Fatiha Fadila ketika membicarakan  novel-novel Anwar Ridhwan dalam tesis sarjana beliau.

Apakah pilihan kita?  Kita harus melihat bidang kritikan ini  sebagai satu bidang akademik yang mementingkan disiplin ilmu yang khusus yang memberi perhatian kepada karya kreatif dalam konteks pembinaan karya itu sendiri, sama ada bersumber sepenuhnya kepada apa yang disebut “daya imaginasi” yang menjadikan khayalan sebagai wahana untuk bercerita; atau sebaliknya menjadikan wacana sebagai asas untuk menyerlahkan kemampuan intelektual dan kemampuan kreatif sekali gus ketika membina karya mereka.  Teksdealisme tidak dapat memberikan dua keperluan ini kerana teksdealisme tidak dibina berasaskan prinsip yang memblehkannya menghalusi sebarang karya kreatif daripada perspektif ilmu. Untuk melakukan ini diperlukan ukuran tertentu yang membolehkan teksdealisme menghuraikan dengan tuntas mengapa sesebuah karya kreatif ditulis dan diberi bentuk seperti yang terdapat dalam karya itu. Semua ini tidak dapat dilakukan oleh teksdealisme, oleh itu penggunaannya untuk menilai karya sastera adalah palsu dan terlalu longgar, hanya berasaskan agakan semata-mata, tidak berasaskan ukuran yang boleh diuji ketepatannya. Inilah yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru, oleh itu penilaian yang dilakukan dengan menggunakan ukuran yang dikemukakan oleh Persuratan Baru boleh dilihat dengan jelas membicarakan kualiti kreatif sesebuah karya dan juga kualiti pemikiran yang terkandung dalam karya itu.  Untuk melihat bagaimana ini dilakukan, sila rujuk Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua (2014).  Ini juga merupakan cabaran kepada kepalsuan teksdealisme yang gagal memberikan analisis yang mantap kerana tiadanya ukuran yang jelas.  Sehingga cabaran Persuratan Baru ini dibuktikan salah, maka teksdealisme akan kekal sebagai ocehan (idle talk) yang bercorak bullshit sahaja.  Dua konsep ini (idle talk dan bullshit) perlu difahami dengan mendalam sebelum sebarang sanggahan dikemukakan.  Dalam bahasa yang mudah, teksdealisme perlu membuktikan dirinya bukan idle talk dan tidak termasuk dalam kategori bullshit seperti yang dimaksudkan oleh dua konsep ini.  Saya telah memberikan rujukannya yang agak lengkap untuk memahami dua konsep ini dalam entri bertajuk, “Pandirisme dalam komuniti dunia”.

Sebagai kesimpulan ringkas, saya ingin menegaskan bahawa teksdealisme tidak dapat menilai kualiti sebenar sesebuah karya kreatif kerana tidak ada ukuran untuk berbuat demikian; sebaliknya yang boleh dibuat oleh teksdealisme hanyalah menyerlahkan penilaian palsu yang bertentangan dengan kualiti sebenar yang ada pada karya berkenaan. Kedudukannya samalah dengan mimpi sastera Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang bermimpi di atas bumbung kilang berkarat, yang melontarkan idea berkarat yang tidak berfaedah dalam konteks perkembangan ilmu.  Itukah wajah sebenar sastera Melayu yang  telah melahirkan sasterawan negara dan teksdealisme?

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 23 April 2015.


Sunday, April 19, 2015

Mana Sikana Penulis Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan: Kegagalan Teksdealisme Memahami Makna Keunggulan Sejati



Prolog:

Cobuild Learner’s Dictionary:   rambling.   (2) If you describe a speech or piece of  writing as rambling,  you are criticizing it for being too long and confused.

Ramblings:  If you describe a speech or piece of writing as someone’s ramblings, you mean it is meaningless or unimportant  because the person who  said or wrote it was confused or perhaps even slightly insane.

Kamus Inggeris-Melayu Dewan:  rambling adj. (1) (of thought, expression, etc) wandering, disconnected, merewang. (2) sprawling, tidak tentu arah.

R. O. Winstedt:  An Undabridged Malay-English Dictionary: rewang/merewang, act at random.

Pendahuluan

Antara “sarjana sastera” Melayu yang paling rajin menulis dan menerbitkan buku ialah Dr. Abd. Rahman Napiah aka Mana Sikana. Kini ITBM menerbitkan buku terbaru beliau, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan (2015), memuat tulisan lama beliau yang dikitar semula membicarakan kesemua sasterawan negara yang sudah diberi gelaran itu.  Walaupun beliau telah banyak menulis, nampaknya belum ada lagi buku beliau yang benar-benar “scholarly” dan mempunyai nilai akademik yang tinggi. Kebanyakan buku itu ditulis dalam bentuk retorik Mana Sikana yang bombastik, memperagakan diri beliau adalah “sarjana” paling banyak membaca dan up-to-date, serta menguasai semua teori sastera Barat dengan mendalam. Kegemarannya memperaga diri mencacatkan tulisan beliau kerana terlalu tepu dengan istilah dan nama-nama teori yang hanya disebut, tetapi tidak relevan dengan persoalan yang dibawanya. Buku beliau ini cukup kaya dengan istilah yang tidak relevan itu, dan kerana beliau terlalu ghairah ingin memperagakan dirinya, maka beliau menghanyutkan dirinya dalam retorik Mana Sikana, melupakan tugas utama beliau untuk membicarakan semua sasterawan negara daripada aspek yang benar-benar menonjolkan keistimewaan sasterawan negara. Hasilnya tidak seberapa, terlalu biasa, malah lebih mirip kepada hanya sejenis “ramblings”, bukan satu analisis akademik yang ditulis dengan teliti.  Hal ini terjadi kerana dia tidak mempunyai fokus akademik berasaskan teori tertentu. Maksud saya, dengan fokus akademik, saya maksudkan tumpuan yang membolehkan sasterawan negara dinaik ke atas takhta keunggulan yang dimaksudkan oleh Mana Sikana, yang benar-benar outstanding dan memukau kita, sebagai pembaca, untuk menerima tanpa ragu akan keistimewaan mereka sebagai sasterawan yang layak diangkat dan diberi gelaran sasterawan negara.  Mana Sikana gagal melakukannya; kerana sasterawan negara itu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa keistimewaan yang membolehkan mereka berada di tempat yang istimewa itu.  Kegagalan ini terjadi kerana beliau memilih “Teori Teksdealisme” ciptaan beliau sendiri, yang sebenarnya bukan sebuah teori, hanya tidak lebih daripada satu rumusan yang agak kelamkabut yang diambil daripada karya Harold Bloom dalam buku-buku kritikan beliau, umpamanya The Anxiety of Influence, The Book of J., A Map of Misreading.  Tabiat mengada-ada ini tidak disenangi oleh seorang penulis yang menamakan dirinya K.B. Tan, yang menulis di ruangan “Reaksi” di Dewan Sastera (Mei, 1997, hal. 56) di bawah tajuk, “Antara Ilmu dan Retorik Kosong”.  Penulis ini memberi senarai “jargon” yang digunakan oleh Mana Sikana: analepsis, ikonikal, hipogram, reduksi transdental, hogomolistik, idiogramatik, diparadiksiti, endeksikal, diparalelisasikan,  konkritisasi, plutonikal, purgasi, disposisi, stikometri, melaforisme, epigramatik, metahistorikgrafik, gerologi, kutasi, afodesiatik, rational seminalis, teksdealisme, pasego debola, gynokritik, doxa, sui generis, per se notum, anatheia.” Hanya satu istilah tidak termasuk senarai: ebola.  Istilah ini penting kerana sastera Melayu sudah dijangkiti ebola sastera Barat yang menjadi virus yang merosakkan budaya ilmu Malaysia. Baru kita sedar rupanya punca virus ebola ini ialah teksdealisme yang menggalakkan para sasterawan melanggar dan merempuh apa saja untuk jadi unggul. Andainya Pak Pandir bersama kita, tentulah dia tertawa melihat kebodohannya sudah menjadi budaya pandirisme yang telah diangkat ke takhta arus perdana.

Perhatikan kesimpulan K. B. Tan yang menarik: “Saya berpendapat bahawa sumbangan beberapa orang sarjana sastera harus dinilai semula. Kenyataan ini dibuat atas penelitian saya terhadap tulisan mereka yang jelas memperlihatkan ketidakupayaan untuk menulis dengan jelas dan bernas.”  Dengan peringatan ini kita nilai buku Mana Sikana ini.  Peringatan K. B. Tan ini juga memberi isyarat kepada kita bahawa Mana Sikana tidak mempunyai kelayakan untuk meletakkan sasterawan ke takhta keunggulan, jika beliau sendiri hanya berjaya memperagakan kekeliruan, kecetekan, dan kelemehan kognitif yang begitu ketara di dalam tulisannya, sehingga boleh membuat para sasterawan negara ini berasa malu dan terganggu jika mereka sendiri mempunyai maruah, oleh itu tidak dapat menerima pujian yang melampau daripada seorang yang cetek ilmunya.  Untuk sekadar perbandingan, mungkin berguna jika anda membaca dengan kreatif dan kritis entri bertarikh 24/10/2014 bertajuk, “Keunggulan yang Cacat”,  yang membicarakan sumbangan para sasterawan negera ini dengan kreatif dan kritis.  Saya bersetuju dengan pandangan Mana Sikana yang berbunyi, “Saya telah diajarkan oleh teori-teori dan pendekatan-pendekatan kritikan, tugas mutlak yang dituntut oleh seorang pengkritik ialah keberaniannya dalam menghukum dan memberikan kedudukan” (hal. 241). [Huruf condong ditambah]. Cuma di sini saya perlu melakukan sedikit editing: “dituntut daripada seorang pengkritik”, bukan seperti yang ditulis oleh Mana Sikana.  Seorang pengkritik sastera tidak boleh menuntut apa-apa daripada sesiapa pun, kecuali hanya untuk menulis dengan cermat sambil mengemukakan hujah yang dibuktikan tanpa meragukan pembaca.  Yang diharapkan oleh pembaca daripada pengkritik sastera ialah seperti yang dibangkitkan oleh K. B. Tan dalam tulisannya, yang tidak dapat diberikan oleh Mana Sikana dalam buku “terbarunya” ini.

Hanya Tiga Orang Pensajak Malaysia Yang Unggul
 
Menurut Mana Sikana, di Malaysia hanya terdapat tiga orang “pensajak”,  bukan penyair, kerana dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 telah diperkenalkan istilah “pensyair”; tetapi bagi saya lebih tepat “pensajak”, akronim daripada “penulis sajak”, seperti “cerpen”daripada “cerita pendek”. Kalau cerpen boleh diterima dengan lapang dada dan senang hati, maka secara logik dan kesopanan berbahasa, “pensajak” juga wajar diterima sebagai istilah untuk para penulis sajak ini.  Saya tafsirkan ini sebagai satu kesimpulan penting daripada beliau bahawa di antara 12 orang sasterawan negara itu, hanya tiga orang saja yang layak digelar sasterawan negara: Muhammad Haji Salleh, Kemala, dan Baha Zain. Kita tidak dapat penegasan seumpama ini apabila  beliau menulis tentang penulis novel, cerita pendek dan drama.  Adakah mereka itu tidak setaraf dengan tiga yang terpenting itu?  Tetapi Shahnon Ahmad digelarnya Raja Novelis Malaysia. Siapa pula Raja Pensajak Malaysia? Raja Pengkritik Malaysia tentu saja Mana Sikana sendiri. Kedudukan rendah para novelis dan penulis cerita pendek  terjadi, pada hemat saya, kerana pandangan serong beliau terhadap peranan prosa dalam kesusasteraan, dibandingkan dengan  “puisi” yang lebih tinggi tarafnya. Kata beliau membenarkan anggapan saya: “Ukuran seorang pengkritik itu dapat dilihat dalam kemampuannya mengkaji puisi – pengkritik yang tidak pernah mengkritik puisi belum teruji dan absah sebagai pengkritik yang asli” (240).  Walaupun saya banyak membaca buku-buku teori sastera dan tulisan pengkritik sastera Barat, saya tidak bertemu dengan kesimpulan ini, malah pembacaan saya memberitahu saya bahawa New Criticism, yang memberi tumpuan kepada puisi, ternyata tidak boleh bertahan lama setelah diserang bertubi-tubi oleh peneliti baru yang akhirnya memberi kedudukan tinggi kepada pembaca, dalam konteks keupayaan dan peranan mereka membuat tafsiran. Dalam kritikan  Barat, pada umumnya terdapat tiga jalur yang nyata: peringkat romantisisme memberi perhatian penuh kepada pengarang; kemudian timbul fokus baru dengan memberi perhatian penuh kepada teks sama ada sajak atau apa-apa jenis karya kreatif; dan akhirnya kepada pembaca, dengan teori resepsi. Mana yang lebih tepat membicarakan kritikan ini daripada tiga jalur itu? Ketiga-tiganya berguna, dan apabila Mana Sikana memberi perhatian kepada segala jargon tentang posmodenisme dan sebagainya (termasuk avant-garde etc etc), maka dia sebenarnya berada dalam tiga “benua” kritikan. Ini ditunjukkan oleh beliau sendiri dalam bukunya, oleh itu bagi saya pendapatnya yang saya kutip tadi adalah a sheer  bullshit yang tidak ada landasan akademik sama sekali, jika anda meneliti perkembangan kritikan dunia. Berapa lama kita harus berada dalam dunia kritikan yang bersifat bullshit ini?  Jawapannya jelas, pada faham saya: selagi kita terus menerima karya bullshit daripada para sasterawan, maka selama itulah kita akan menghadapi pengkritik bertaraf bullshit ini.  Kedua-dua golongan ini ibarat keldai yang ditutup mata, berpusing beribu batu menarik kincir air, tetapi tidak ke mana-mana. Bebaskan keldai itu, biar dia menjadi keldai asli yang bebas di padang luas!  Biar dia tahu dunia ini luas atau sempit. 

Kaedah Kritikan Kincir Air

Kaedah kritikan keldai di kincir air yang menjadi amalan para sarjana dan pengkritik Malaysia sudah jauh ketinggalan zaman. Mana Sikana sendiri menegaskan beliaulah yang paling terbuka kepada kritikan Barat yang terbaru, yang dipaparkannya dalam bukunya ini, tetapi beliau sendiri menggunakan kaedah Abad 19 di Barat, Zaman Romantisisme yang memberi perhatian seluruhnya kepada pengarang dan hasrat pengarang menulis karya mereka. Teksdealisme yang dipujinya itu adalah hasil Abad 19 yang memberi tumpuan kepada pengarang. Mana Sikana memberi senarai empat syarat untuk mencapai keunggulan: kehadiran, pelanggaran, pengukuhan, individualisme (kepengarangan).  Dari mana beliau dapat semua ini tidak jelas pada saya; tetapi saya pasti pengaruh Harold Bloom memang kuat, kalaupun tidak Mana Sikana cedok bulat-bulat pemikiran Harold Bloom dengan memberi istilah Melayu. Saya telah menyebut buku-buku Harold  Bloom di atas, dan pembacaan saya meyakinkan saya memang Mana Sikana mencedok daripada Harold Bloom, kerana istilah-istilah Harold Bloom disalin bulat-bulat oleh Mana Sikana dalam tulsan beliau di Utusan Malaysia, yang juga disebut oleh K. B. Tan dalam tulisannya. Terlalu banyak “ramblings” dalam tulisan Mana Sikana ini, berpusing-pusing dalam sejumlah istilah yang tidak relevan sekadar untuk memperagakan kecetekannya dengan mengiklankan segala macam istilah dan nama-nama sarjana Barat.  Sekali kata begitu, sekali kata begini, membuktikan dia sendiri belum lagi menguasai “ilmu kritikan” walaupun sudah bersara dari segi kerja dan menulis begitu banyak buku kritikan.  Kita ambil satu contoh, dari sekian banyak contoh, tentang sifat “ramblings” ini. Telah berkata Mana Skana: “Sebuah wacana sastera, dari sudut teksdealisme, harus pragmatis kepada khalayaknya. Tiada gunannya sebuah karya besar, agung atau kanon, kalau tidak mempunyai impak kepada masyarakat.” (hal. 37).  Adakah wacana sastera itu kritikan sastera? Kalau begitu, mengapa pula tiba-tiba membelasah karya besar, agung dan kanon yang tidak mempunyai impak kepada masyarakat. Itu satu hal, lebih penting ialah kontradiksinya: kalau karya itu sebuah karya besar, agung dan kanon, bagaimana pula  tidak mempunyai impak kepada masyarakat? Kalau begitu, bagaimana karya itu boleh dianggap kanon sekiranya tidak berguna kepada masyarakat? Pendapat songsang ini sebenarnya sangat penting, dalam konteks buku Mana Sikana ini. Dari analisis saya sendiri yang berasaskan daya kreatif dan kritis, saya secara total menolak kehadiran sasterawan negara ini yang diletakkan lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang telah membina budaya ilmu dalam persuratan Melayu. Tanpa beliau ketahui, dan tidak disangka-sangka, hujah dan kesimpulan saya, jika betullah pendapat Mana Sikana tentang impak itu, ternyata tepat dan sukar dihujahkan sebaliknya. Kalau Mana Sikana faham maksud kesimpulan beliau tadi, dia akan menarik balik kerana pendapat beliau itu telah menolak dengan tuntas segala pujian beliau keatas para sasterawan negara. Tidak mungkin beliau berupaya membahaskan secara ilmiah bahawa kehadiran para sasterawan negara ini lebih baik dan lebih unggul daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang telah membina tamadun ilmu melalui persuratan Melayu itu. Sekiranya para sasterawan negara ini amat lekeh jika dibandingkan dengan sumbangan para ulama dan cendekiawan Melayu, dan “impaknya” kepada masyarakat,  maka nyatalah kehadiran para sasterawan negara ini tidak diperlukan. Oleh itu, bagimana Mana Sikana boleh meletakkan mereka di takhta keunggulan jika mereka sebenarnya golongan pinggiran yang cetek meraba-raba, seperti yang ditegaskan  oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang hingga sekarang belum lagi disanggah oleh mana-mana sarjana yang cukup angkuh ketika memperkecilkan orang lain, tetapi tidak berdaya menyerlahkan keunggulan mereka sendiri.  Mana Sikana tidak mungkin dapat menyanggah kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, tetapi sanggahan itu penting untuk membuktikan para sasterawan negara ini bukan golongan pinggiran yang pengetahuannya cetek meraba-raba.  Paling menghairankan ialah mengapa Mana Sikana mengambil sikap hanya bercerita tentang sastrerawan negara, tidak menilai sumbangan mereka secara kritis, sehabis kritis, sesuai dengan kedudukan yang dihempapkan ke atas mereka walaupun mereka tidak layak menerimanya.  Teksdealisme yang dicanang oleh Mana Sikana tidak dapat membuktikan keunggulan sasterawan negara, membisu tentang sumbangan pemikiran para sasterawan negara ini. Ketika berbicara tentang Abdullah Hussein, Mana Sikana hanya bercerita, meringkaskan cerita sebuah kumpulan cerita pendek tanpa sebarang analisis yang kritis. Abdullah Hussein boleh dikatakan menulis banyak novel, termasuk Kuala Lumpur Kita Punya. Adakah semua novel beliau bermutu tinggi? Teksdealisme tidak boleh menjawab soalan mudah ini, kerana tidak mempunyai ukuran untuk digunakan bagi menganalisis karya berkenaan dan menempatkannya dalam keseluruhan sastera Melayu moden. Dengan tidak membicarakan novel-novel Abdullah Hussein secara mendalam, terutama dari segi pemikiran, maka Mana Sikana hanya bermain dengan retorik semata-mata, yang boleh dipangggil sebagai retorik Mana Sikana. Bagaimana Abdullah Hussein boleh ditakhtakan di singgahsana keunggulan itu jika karya beliau hanya biasa-biasa saja, berserabut dengan cerita yang sengaja diperpanjangkan, seperti dalam Imam yang penuh dengan padding itu.  Dia sendiri cukup megah menggelar dirinya “tukang cerita”, bukan seorang pemikir. Jika aspek pemikiran itu penting dalam karya Abdullah Hussein, menjadi tanggungjawab Mana Sikana membincangkannya dengan kritis, tidak hanya bercerita seperti yang dibuatnya dalam bukunya itu.  Semua ini memberi isyarat kepada kita dengan amat jelas bahawa teksdealisme tidak saja bukan sebuah teori yang berguna, malah sebagai ocehan tentang sastera pun teksdealisme hanya berada di tahap penglipur  lara saja, sebagai sejenis penglipur lara kritikan sastera yang hanya terdapat di Malaysia, akibat selekehnya kedudukan akademik para sarjana yang tidak berupaya mengkritik penglipur lara kritikan sastera ini.  Dengan menjadikan tiga orang pensajak ini sebagai pensajak terbaik Malaysia, tanpa sebarang ukuran yang boleh diterima, berasaskan pembacaan dan analisis yang cermat, maka yang dapat dibuat oleh Mana Sikana hanyalah meletakkan tiga orang penglipur lara sajak-sajak Melayu di tempat yang lebih sesuai diduduki oleh Raja Lawak atau para tokoh Akademi Fantasia.  Jika anda membaca Muhammad Haji Salleh dengan kreatif dan kritis, menilainya daripada perspektif ilmu yang benar, anda memang akan menemui beliau telah melanggar dan merempuh budaya ilmu yang diwarisi tamadun bangsa kita, yang meletakkan adab sabagai asasnya, bukan sifat kurang ajar yang diajar oleh Muhammad Haji Salleh dalam sajak-sajaknya, yang menurut Mana Sikana tepat dengan konsep pelanggaran dalam teksdealisme. Kini anda dapat melihat dengan lebih jelas betapa karutnya teksdealisme yang dijadikan ukuran itu, kerana semua pelanggaran yang menjadi kemegahannya hanya membawa warisan ilmu bangsa kita ke dalam gaung pandirisme, dengan memberi sanjungan kepada karya yang dari perspektif ilmu memang tidak bermutu. Inilah isu yang perlu kita bahaskan dengan serius jika kita mahu menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa, seperti yang diminta oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.  Kita akan menemui perkara yang sama jika kita membaca sajak-sajak Baha Zain yang dikatakan berunsur intelektual itu, sekiranya anda melihatnya daripada perspektif ilmu yang benar.  Kemala pula adalah seorang tokoh besar yang bangga dengan sajak-sajak “sufinya”, yang pada hakikatnya setaraf dengan sajak-sajak Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain, belum lagi sampai ke taraf yang membolehkannya “mejentik kecapi kalbu” pembaca yang dapat membezakan “sufi palsu” dengan “sufi sejati/sebenar”.  Seperti yang dicontohkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, pensajak ini telah diangkat menjadi pensajak bertaraf antarabangsa kerana terdapat alusi Mark Antony dan Cleopatra dalam sajaknya, padahal kedua tokoh besar drama tragedi Shakespeare ini, menurut Allen Bloom, adalah dua watak yang “enchanted with each other and unabashedly want to have sexual intercourse with each other as much as possible” (dalam bukunya, Love and Friendship, hal. 304).  Dari perspektif teksdealisme, inilah pelanggaran paling hebat bagi seorang ahli sufi Melayu dalam angan-angan dan imaginasinya.  Dalam peristiwa lain, Kemala pernah menjemput seorang sarjana menyertai satu seminar yang diusahakannya; tetapi dia tidak bersetuju dengan kertas kerja itu dan menolaknya dengan alasan yang tidak mencerminkan kesufian akhlak beliau, dengan mengatakan kertas kerja itu mengulang cerita lama yang tidak benar, padahal penulisnya sudah bersedia untuk menerima kritikan paling keras ketika beliau membentangkanya nanti, dan beliau minta diberi peluang itu. Kertas itu ditolak kerana nama Kemala tidak ada di dalamnya, lalu disiarkan oleh jurnal Pemikir (Oktober-Disember, 2007),  dan dipilih sebagai esei terbaik untuk tahun penilaian. Dalam ulasannya, para juri berpendapat makalah yang ditolak Kemala itu “mempunyai teknik pembuktian yang sesuai sebagai makalah akademik”.  Ini suatu peringatan yang baik untuk para ahli “sufi” supaya lebih bermurah hati dan terbuka kepada pandangan yang berbeza, yang mungkin lebih benar daripada yang menjadi pegangannya.

Peluang Baik Yang Dilepaskan

Mana Sikana mempunyai peluang yang luas terbuka untuk memberikan definisi intelektualisme dalam karya Muhammad Haji Salleh; tetapi dengan memilih hanya sebuah antologi pensajak ini saja, maka beliau telah membataskan dirinya untuk tidak menilai keseluruhan karya  Muhammad Haji Salleh, padahal ini sangat penting untuk meyakinkan kita bahawa sasterawan ini layak berada di atas para ulama dan cendekiawan Melayu yang telah membina budaya ilmu dalam persuratan Melayu.  Kita selalu dengar para sarjana sastera menyatakan “pemikiran” dalam karya sastera adalah natural, terselit dalam karya itu sendiri.  Buku Mana Skana ini telah membuktikan anggapan itu tidak benar, kerana Mana Sikana tidak sedikit pun membicarakan aspek pemikiran ini, yang tidak dapat tidak berkait rapat dengan ilmu, dan ilmu itu sendiri perlu dihuraikan dengan mendalam supaya dapat dibezakan dengan hanya sekadar maklumat yang sering kali tidak benar. Ambil contoh ini, yang sangat terkenal bagi para sarjana Melayu, iaitu tentang sajak Muhammad Haji Salleh, “Pulang Si Tenggang”. Apakah yang intelektual dalam sajak itu? Nampaknya Mana Sikana berpendpat sajak itu sebuah sajak intelektual kerana mengambil Si Tenggang sebagai ikon seorang intelektual, lalu diberi konteks “postmodernisme” atau surealisme atau teksdealisme atau apa-apa yang disukai beliau.  Adakah menjadi seorang nakhoda itu kemuncak seorang intelektual? Sebagai satu kemahiran mungkin boleh diterima, tetapi untuk merumuskan Si Tenggang seorang intelektual yang perlu menjadi ikutan masyarakat keseluruhannya hanya kerana Muhammad Haji Salleh berkata begitu, maka kita dengan mudah saja boleh berkata semua cerita jenaka Melayu adalah lambang intelektualisme Melayu, kerana Pak Pandir dan Si Tenggang adalah dua orang tokoh dalam cerita Melayu yang muncul untuk memainkan peranan tertentu: Pak pandir untuk menghibur; Si Tenggang untuk mendidik anak-anak supaya menghormati dan mentaati ibu.  Masalah kita ialah, Si Tenggang digambarkan oleh Muhammad Haji Salleh sudah belajar menjadi kurang ajar, tidak lagi sebagai Si Tenggang yang menjadi batu kerana menderhaka kepada ibunya.  Walaupun Muhammad Haji Salleh dipuji tinggi sebagai seorang sarjana dan pensajak yang kenal dengan mendalam kebudayaan Melayu, tetapi dalam kes Si Tenggang ini, beliau membuktikan beliau tidak kenal nilai dan budayanya sendiri. Kata Mana Sikana, Muhammad Haji Salleh telah melaksanakan “pelanggaran”menurut teksdealisme, dengan  itu mencipta dan membina seorang watak baru, yang  begitu individualistik dan ini bermakna unggul. Logik apa yang dipakai oleh Mana Sikana dan Muhammad Haji Salleh? Semua nilai yang diungguli oleh Muhammad Haji Salleh dan diberi sokongan oleh Mana Sikana bukanlah nilai asli Melayu yang melahirkan Tun Perak dan Hang Tuah, malah Hang Jebat sendiri. Walaupun Hang Jebat dianggap penderhaka, dia sebenanrya seorng yang sangat setia kepada temannya, Hang Tuah. Kesetiaan itu mungkin bersifat peribadi, tetapi masih tetap kesetiaan yang diikuti dengan  pengorbanan yang begitu besar untuk membela sahabatnya yang dizalimi. Mana Sikana dengan beraninya berkata Hang Jebat adalah seorang intelektual, kerana menurut teksdelisme telah melakukan “pelanggaran”. Ini satu jenaka sejarah yang hanya boleh berlaku bagi sesiapa juga yang menjadi pengikut teksdealisme.  Yang intelektual ialah Tun Perak, sedangkan para pahlawan yang lima orang itu adalah pekerja dan hamba yang taat. Kalau ini pun tidak boleh dibaca oleh Mana Sikana dengan menggunakan teksdealismenya, maka sudah jelas teksdealimse miliknya itu tidak dapat mengesan watak yang benar-benar unggul dalam sejarah politik Melayu, iaitu Tun Perak.  Ini juga yang terjadi ketika Mana Sikana menulis tentang sasterawan negara ini, “teorinya” tidak dapat membaca karya para sasterawan negara sebagai hasil pemikiran yang mendalam, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai tokoh baru yang  melebihi kedudukan para ulama dan cendekiawan Melayu dengan gelaran itu. Tidak juga dapat menerima kedudukan para sasterawan negara ini jauh lebih rendah kedudukannya daripada para ulama, lantas dengan itu mereka tidak layak diberi gelaran itu. Jadi apakah yang boleh dibuat oleh teksdealisme? Hanya merayau-rayau dalam “ramblings” liar tanpa arah tuju yang pasti, kecuali hanya untuk bermain dengan retorik kritikan Mana Sikana yang dari segi akademik samalah dengan padi hampa Pak Pandir. Inilah contoh pandirisme yang mungkin ditolak, tetapi tetap diamalkan dengan megah oleh para sasterawan dan sarjana sastera kerana telah dijadikan arus perdana.

Tidak pasti mengapa Mana Sikana berusaha dan memilih dengan sedar untuk mengecewakan pembaca dengan menerbitkan sebuah buku yang kononnya tentang keunggulan para sasterawan negara, tetapi menjadi sebaliknya.  Beliau tidak sedikit pun menunjukkan bukti bahawa sasterawan negara itu lebih baik daripada para ulama sehingga layak diberi gelaran sasterawan negara. Sekiranya kedudukan para sasterawan ini lebih rendah daripada para ulama dan cendekiawan Melayu, maka apakah asas ilmu yang dipakai untuk menjadikan  mereka sasterawan negara dengan gelaran rasmi yang begitu istimewa dan diberi keistimewaan yang begitu besar?  Semua kemusykilan ini perlu dihuraikan oleh Mana Sikana, sebelum beliau menaikkan para sasterawan negara ke atas takhta keunggulan ciptaan beliau itu.  Barangsiapa yang ingin memahami persoalan ini dengan lebih mudah, baca entri bertajuk “Keunggulan yang Cacat”.   

Cabaran Gagasan Persuratan Baru

Para sarjana Malaysia tidak mempunyai pilihan lain untuk menilai para sasterawan negara ini melainkan menilai mereka berasaskan gagasan Persuratan Baru. Mereka tidak mempunyai  alasan sama sekali untuk menolak gagasan Persuratan Baru  jika mereka betul-betul jujur ingin meletakkan para sasterawan negara di atas takhta keunggulan itu.  Tidak ada pilihan  untuk menjadi Pak Pandir menolak padi berat dengan memilih padi hampa, walaupun perbuatan itu berciri empiris.  Lagi pula, jika anda memakai teksdealisme ciptaan Mana Sikana, anda akan dapati Pak Pandir telah membuat pelanggaran yang hebat dengan meletakkan padi hampa lebih bermutu daripada padi berat.   Jika anda berkata, perbuatan Pak Pandir itu sesuai dengan tokoh jenaka yang bodoh seperti beliau, maka bagaimana anda boleh pastikan sesiapa yang melilih teksdealisme untuk menilai sasterawan negara terdiri dari golongan yang cerdik dan telah menggunakan akal sihat mereka? Anda tidak menghadapi kesangsian ini jika anda menggunakan pendekatan Persuratan Baru, malah itulah pendekatan yang paling sesuai kerana anda diberi peluang untuk membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa para sasterawan negara ini lebih tinggi kedudukannya daripada para ulama dan cendekiawan, yang tidak dapat dilakukan oleh teksdealisme.  Di situlah anda boleh buktikan para sasterawan negara ini mewarisi budaya ilmu yang tinggi yang telah dipelopori oleh para ulama dan cendekiawan Melayu melalui persuratan Melayu. Penyelesaiannya cukup mudah, jika anda benar-benar ingin meletakkan para sasterawan negara ini di takhta keunggulan seperti yang didamba oleh Mana Sikana.  Mereka harus dinilai sehabis kritis dan sehabis teliti.  

Kegagalan Mana Sikana memberikan penilaian yang kritis itu tidak akan menjamin kedudukan para sasterawan negara di atas takhta keunggulan itu sebagai kedudukan yang tepat dengan sumbangan mereka dilihat dari segi perkembangan ilmu.  Usaha Mana Sikana untuk menonjolkan mereka sebagai tukang cerita atau penglipur lara  awal-awal lagi akan menolak mereka daripada diberi tempat istimewa sebagai sasterawan negara, apatah lagi untuk dinaikkan ke atas takhta keunggulan yang sejak sekian lama menjadi milik raja-raja dan golongan bangsawan saja; kecuali jika para sasterawan negara ini telah diangkat menjadi sebahagian daripada golongan feudal dalam budaya Melayu.   Dalam proses untuk mendapat gelaran itu, semua mereka secara rasmi menerima watikah daripada Yang di Pertuan Agong sendiri, dengan itu melayakkan mereka untuk menjadi anggota golongan feudal budaya. Nampaknya mereka sedar akan kedudukan mereka sebagai anggota golongan feudal ini, apabila mereka berasa sangat terhina jika gelaran mereka tidak disebut dalam majlis sastera atau apa-apa juga majlis yang dihadiri mereka. Tetapi adakah ini memberikan mereka hak untuk ditabal di takhta keunggulan seperti yang dibuat oleh Mana Sikana? 

Dalam bukunya, Mana Sikana tanpa disedari telah menjatuhkan maruah para sasterawan negara ini dengan tidak memberi analisis yang mendalam   terhadap karya dan sumbangan mereka. Sebagai contoh, Baha Zain, yang ditabalkan oleh Mana Sikana sebagai salah seorang pensajak Malaysia terbaik, dibicarakan dengan cetek dan dangkal berasaskan sebuah buku tentang sajak-sajak perjalanan tokoh utama ini, sehingga yang tertonjol dalam ulasan Mana Sikana bukanlah keunggulan Baha Zain, tetapi ketiadaan kemampuannya untuk menulis sajak-sajak yang berkualiti hasil pemerhatian di perjalanan itu. Yang kita dapat hanyalah catatan dangkal pemerhatian selintas tentang perkara-perkara yang sebenarnya tidak menarik sama sekali untuk dijadikan tema sebuah sajak yang di dalamnya terselit pemikiran yang berguna. Menurut Mana Sikana, Baha Zain adalah seorang pensajak intelektual yang sangat teliti dalam penulisan sajaknya, tidak membazir walaupun sepatah kata, setiap ayat dan rangkap kaya dengan pemikiran dan falsafah yang mendalam. Kesimpulan itu tidak cukup kerana kita tidak diberi bukti, tidak ada hujah sama sekali, hanya deretan retorik Mana Sikana yang kosong, yang perlu diisi dengan analisis. Sekali lagi teksdealisme gagal memberikan kita hasil akademik yang bermutu.  Adakah ini membuktikan Mana Sikana sendiri tidak sampai ke kemuncak teksdealisme yang  direka-rekanya itu?  Jika analisis dan bukti itu disimpan di tempat lain,   maka menjadi kewajipan Mana Sikana untuk memberi sedikit ringkasan yang padat yang diiringi dengan rujukan yang jelas. Tetapi ini pun sebenarnya tidak harus dilakukan, kerana buku ini terang-terang mahu membuktikan semua sasterawan negara adalah layak diangkat ke atas takhta keunggulan, maka sewajarnyalah analisis setiap seorang diberi perhatian sehingga sesiapa yang tidak bersetuju diberi kepuasan untuk mendapat gambaran yang sebenar, bukan retorik peragaan yang penuh dengan pretensi intelektual, yang hanya wujud dalam fatamorgana bahasa yang terawang-awang di angkasa. Turunkan bukti anda ke bumi untuk diteliti oleh pembaca.    

Siapakah Mephistopheles?

Kecacatan  paling besar yang dilakukan oleh Mana Sikana dalam bukunya ini ialah dengan tidak membicarakan kumpulan sajak Muhammad Haji Salleh, Sebuah Unggun di Tepi Danau.  Kumpulan sajak ini penting kerana di dalamnya terdapat satu persoalan yang hingga kini cuba dielakkan daripada dibicarakan, iaitu tentang peranan Mephistopheles dalam kehidupan pensajak Muhammad Haji Salleh, yang dipaparkannya dalam sajak beliau ketika melawat Muzium Goethe. Antara lain, beliau menulis begini: “kau juga milik kami, goethe,/...  ...  .../ sepertimu aku terlantar/ pada sungai takdir/ sekali murung sebagai sarjana/ tetapi sering bercermin kaca rusuh/ dan memihak pada pintar mephistopheles.”  Apa maksud pensajak ini dengan ungkapan “memihak pada pintar mephistopheles”?  Jawapannya baru saja diberikan oleh Muhammad Haji Salleh dalam kertas kerja beliau (ditulis ketika bermimpi di atas bumbung kilang berkarat) pada Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, dimuat dalam buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa (2014).  Beliau memuji Salman Rushdie dan Orhan Pamuk yang katanya menggunakan sastera lisan, mitos, hikayat dan lain-lain untuk menulis novel-novel mereka yang “cukup menarik dan bergemerlapan”. (hal 204). Salah sebuah karya Salman Rushdie berjudul The Satanic Verses, yang menghina Rasulullah SAW dan keluarga baginda.  Jadi tidaklah hairan jika Muhammad Haji Saleh “memihak pada pintar Mephistopheles”, kerana beliau juga admire  Salman Rushdie, tidak hanya Goethe.  Sasterawan Malaysia digesa mengikut contoh dua orang sasterawan ini jika mereka mahu karya mereka “bergemerlapan”.  Apakah yang membuat Muhammad Haji Salleh begitu tertarik dengan Mephistopheles? Mungkin juga beliau tidak tahu yang dia admire itu adalah Raja Iblis; sama juga beliau tidak tahu Salman Rushdie menulis novel The Satanic Verses yang menghina Rasulullah SAW dan keluarga baginda. Seorang profesor dan sasterawan negara secetek itu? Inilah kegagalan terbesar Mana Sikana, kerana sudah jelas teksdealisme rekaan beliau yang beliau gunakan dengan megah dan mewah itu tidak mengenal Raja Iblis, dengan itu Mana Sikana berasa tidak perlu memberi penjelasan mengapa Muhammad Haji Salleh bertindak seperti yang dilakukannya. Tetapi kemusykilan kita masih tidak terjawab: seorang profesor, pensajak dan sasterawan negara, mengagumi Iblis? Ini bukan satu perkara pelik sebenarnya. Rene Descartes pernah megingatkan tentang pengaruh malin genie (evil spirit) dalam kehidupan akademik. Lama sebelum itu, seorang ulama yang masyhur telah menulis sebuah buku tebal berjudul Talbis Iblis, karya Ibnul Qayyim al-Jauzi; diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait dengan judul, Belitan Iblis (Singapura: Pustaka Islamiyah Pte Ltd, 2012). Terjemahan  Inggeris telah diterbitkan dalam satu jurnal sejak 1929.  

Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad


Nampaknya Shahnon Ahmad, penentang pemilihan Baha Zain seorang penulis sajak kontot (istilah Shahnon Ahmad)  yang tidak layak diberi gelaran sasterawan negara (hairan bagaimana seorang sasterawan negara boleh menentang tokoh ini, yang ketika menjadi ahli Panel Anugerah Sastera Negara memilih Shahnon sebagai sasterawan negara kedua), sehingga menimbulkan kemarahan Baha Zain yang amat sangat (beliau bukan seorang pensajak sufi, jadi tak salah marah-marah). Yang menariknya ialah Mana Sikana meletakkan Baha Zain setaraf dengan Muhammad Haji Salleh (number one) dan Kemala (number three) sebagai pensajak Malaysia terbaik (number two di bawah Muhammad Haji Salleh); manakala Sahahnon Ahmad pula bagi Mana Sikana adalah Raja Novelis Malaysia. Mungkin kerana Shahnon Ahmad benar-benar percaya beliau seorang raja, maka dia telah menghukum Baha Zain; dan tampillah Mana Sikana menyelamatkan Baha Zain tanpa menempelak Raja Novelis Malaysia yang beliau lantik itu!  Sekiranya Nordin Hassan masih muda dan sihat, mungkin satu drama  yang menarik dan amat melucukan boleh ditulis beliau dan dipentaskan untuk ditonton oleh para sasterawan. Anda mungkin tahu, Machiavelli yang jahat itu pernah menulis sebuah komedi yang masih lagi dipentaskan hingga sekarang.  Mana Sikana memberi ruang yang besar untuk Shahnon Ahmad,  sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang raja, dengan itu memberi ruang yang lebih untuk beliau sendiri merayau dalam belantara “ramblings” retorik Mana Sikana yang terkenal itu. Paling menarik ialah kesimpulan Mana Sikana yang melihat Shahnon Ahmad mempunyai mazhab tersendiri dalam “teori sastera Islam”. Inilah kata-kata Mana Sikana (kutipan agak panjang):   

“Dalam konteks teks-teks keislaman Shahnon Ahmad ini, saya cuba hubungkan dengan konsumer pascamoden, apabila citraan erotis anutan golongan pascamodenis berupa umpan  atau daya tarikan. Teks-teks pastik, kitsch, skizofrenia dan novalensik Barat yang segala-galanya nihilistik, namun percikannya dirasakan bertaburan dalam masyarakat kita. Dengan  berpandangan demikian, aliran saster Islam Shahnon Ahmad selari dengan dunia pascamoden terkini. Malah, jika dilihat dalam kontreks masa, Tivi itu sendiri mempunyai unsur teks hipermodenisme, iaitu zaman yang sedang menanti selepas pascamodenisme, sebagai tanda menjelangnya alaf ketiga. Novel tersebut menyuguhkan gambaran begitu superrealistik atau hiperrealistik, terutama dalam memberi lukisan tentang bagaimana berlakunya siberseks dalam kalangan keluarga. Ertinya, novel berunsur Islam dalam tanggapan Shahnon Ahmad ditandai oleh transparensi sosial.  

“Dengan keterangan itu, saya melihat bahawa sastera Islam Shahnon Ahmad sempurna dari segi teoretisnya dan selari dengan suasana masyarakat pascamoden  dan hipermoden.  Maka di situlah kekuatan dan keistimewaan sastera Islamnya justeru selari dengan zamannya yang gemerlap dengan tanda-tanda, imej, kejutan, display, prestij, hiperealiti. Bagaimanapun saya bersetuju seandainya Shahnon Ahmad tidak membatasinya, tidak mustahil teks-teksnya akan tergelincir kepada dunia keterpesonaan dan erotisme.” (hal. 38-39). [Kecuali display, semua huruf condong ditambah].

Dalam Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad, segala-galanya relatif dan mesti sesuai dengan perkembangan semasa, oleh itu tidak ada kesalahan dari segi Islam jika karya beliau erotik dan pornografik kerana semuanya ini selari dengan pascamodnisme dan hipermodenisme! Shahnon Ahmad sendiri mengaku segala yang erotik, lucah dan sebagainya itu hanya umpan untuk menarik minat pembaca.   (Dewan Sastera,  Oktober 1997, hal. 40: “unsur-unsur lucah itu perlu wujud kerana itulah realiti pun, ... dan hanya dijadikan semacam umpan dalam babak-babak kehidupan kini yang memang sebenanrya serba lucah..”).  Seperti lain-lain sasterawan negara, Shahnon Ahmad tidak memberi perhatian kepada konsep ilmu yang benar, kecuali menyebutnya secara sambil lewa untuk menggenapkan pendapatnya tentang Mazhab Sastera Islamnya, oleh itu ilmu tidak menjadi tunjang, kerana yang menjadi tunjang ialah “realiti masyarakat yang lucah segal-galanya” (dalam Dewan Sastera).  Untuk menggambarkan “realiti”, kelucahan adalah perlu ditonjolkan, kerana itulah sifat sastera. Pendapat Shahnon Ahmad ini boleh dijadikan hujah untuk menolak sastera dalam pengertian beliau dan para sasterawan, yang disokong oleh para sarjana, dengan mengemukakan alternatif yang memang menjadi warisan ilmu bangsa Melayu, iaitu peranan persuratan dalam pembinaan budaya ilmu. Yang dicita-citakan oleh Shahnon Ahmad dan para sasterawan hanya untuk  bercerita tentang “realiti” masyarakat, seperti yang ditegaskan oleh Asas 50 dalam cita-cita seninya.  Oleh itu adalah tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa kewujudan para sasterawan negara ini merupakan lanjutan kepada cita-cita Asas 50, yang berjaya mensekularisasikan sepenuhnya seni menulis dalam bahasa Melayu untuk menjadi warga antara bangsa!  Mereka adalah golongan Mutual Admiration Club yang kompak, yang sangat kuat mempertahankan hegemoni sekularisasi sastera anutan mereka. Inilah tokoh-tokoh yang diangkat oleh Mana Sikana untuk menduduki takhta keunggulan dalam sastera Melayu.  Mereka inilah yang dijadikan ikutan masyarakat, dijadikan bahan untuk mendidik anak-anak kita menjadi biadab. “Aku sudah belajar/ jadi kurang ajar”, tegas Muhammad Haji Salleh, pensajak number one Malaysia.

Bila kita dihadapkan dengan persoalan yang berat-berat begini, kita tidak dapat mengelak dari bertanya, dengan serius dan jujur, “Apakah sebenarnya yang boleh diajar oleh para sasterawan negara melalui karya mereka?”.  Jika kita hadapkan soalan ini kepada pendidikan negara, kita akan berasa amat pelik apabila soalan sepenting ini tidak pernah ditanya oleh para sarjana, sasterawan, dan terutama sekali pakar-pakar pendidikan negara.  Apakah yang boleh dipelajari oleh para pelajar kita daripada para sasterawan negara ini? Jika kita membaca kembali beberapa persoalan yang saya kemukakan di atas, membaca dengan serius dan jujur, bolehkah kita pasti bahawa para pelajar kita mendapat bahan bacaan yang benar-benar bermutu untuk memperkaya budaya ilmu mereka? Jika kita hadapkan isu-isu ini, dan persoalan yang dibangkitkan ini, kepada Mana Sikana yang mahu meletakkan para sasterwan negara di atas takhta keunggulan itu, maka adakah kita boleh pastikan bahawa mereka benar-benar layak duduk di situ dan yang kedua, yang lebih peting, adakah mereka berupaya mencerdikkan para pelajar  untuk mengenal keindahan pemikiran yang jernih dan berasaskan konsep ilmu yang benar? Semua ini pada akhirnya akan tertumpu pada cara kita mengajar kesusasteraan dan pendekatan yang kita pilih itu benar-benar akan mendidik para pelajar menjadi cerdik dan terpelajar dalam erti lengkap kefahamannya tentang ilmu, hakikat insan, dan peranan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di dunia. Jika karya para sasterawan negara tidak menjamin perkara-perkara ini akan didedahkan kepada para pelajar kita, maka hasilnya ialah mereka, para pelajar itu, tidak dapat berfikir dengan cekap dan tahu apakah yang mereka perkatakan itu dalam konteks perkembangan ilmu. Sudah jelas teksdealisme yang direka-reka oleh Mana Sikana tidak mungkin dapat memberikan semua yang kita harapkan itu, kerana teksdealisme itu sendiri begitu jauh hanyut dalam dunia intelektual dan sudah terbukti dari buku Mana Sikana ini tidak dapat memberikan kita apa-apa panduan yang berguna dan tepat dengan peranan insan dalam mencari ilmu untuk membina budaya ilmu di negara ini.  Yang dicurahkan oleh Mana Sikana hanyalah sejumlah jargon liar dari Barat yang tidak diberi konteks yang betul dalam budaya ilmu yang ingin kita bina, iaitu budaya ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar.  Bagi Mana Sikana, langkah ini bertentangan dengan teksdealisme dan tidak berunsur sastera sama sekali. Ini satu pandangan yang sangat songsang dan anti-ilmu, yang boleh juga dikatakan anti-Islam.

Krisis Nilai Yang Parah

Sastera Malaysia yang sudah keliru dan sedang menghadapi krisis nilai yang parah kerana keliru dalam konsep ilmu, yang akhirnya membawa para sasterawan kehilangan adab setelah menolak konsep ilmu yang benar itu, menghadapi kekeliruan paling besar apabila Mana Sikana muncul dengan teksdealisme yang telah melahirkan beberapa latihan ilmiah dan tesis sarjana dan kedoktoran berasaskan kekeliruan dalam konsep ilmu ini, yang tidak dapat membezakan antara maklumat di satu pihak, dan konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Seluruh buku Mana Sikana ini adalah gambaran sebenar tentang kekeliruan dalam konsep ilmu ini, dengan itu secara sedar Mana Sikana mempromosikan sastera dan kritikan sastera yang sekular sepenuhnya, dengan alasan itulah saja caranya sastera Melayu moden akan sampai ke peringkat keunggulan seperti yang ditetapkan dalam  sastera Barat. Walaupun Mana Sikana menyebut tentang Islam dan Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad, beliau melihat Islam dalam konteks modenisme dan postmodernisme yang menjadi obsesinya, seperti jelas dalam kutipan panjang di atas. Beliau mengaku beliaulah pelopor sastera Islam dengan mengemukakan taabudiyyah sebagai satu “teori” sastera Islam (sebenarnya bukan teori), tetapi ditinggalkannya setelah tidak mendapat perhatian dan beliau sendiri menghadapi jalan buntu tidak dapat menjelaskannya dengan persis dan mantap; sama seperti Muhammad Haji Salleh gagal menjadikan “Puitika Sastera Melayu” yang dianggapnya satu “teori” sastera, kerana profesor ini gagal mengembangkan “idea” beliau ke dalam satu sistem pemikiran yang dapat dianggap sebagai sebuah “teori”. Inilah akibat krisis nilai yang menolak konsep ilmu yang benar dan tidak adanya komitmen untuk membawa Islam ke dalam medan ilmu untuk mencabar teori-teori sastera Barat. Mereka inilah yang berkumpul di bawah payung Mutual Admiration Club, menjadi hamba kepada teori sastera Barat seperti yang dibuktikan dengan  begitu jelas oleh Mana Sikana dalam bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.  Inilah contoh kehilangan adab kerana keliru dalam konsep ilmu, oleh itu berada di pinggiran dengan keadaan cetek meraba-raba dari segi ilmu. Semua ini boleh dilihat dengan jelas di dalam buku Mana Sikana ini, yang nantinya akan diberi pengiktirafan dalam kritikan sastera Melayu dengan memilihnya untuk diberi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, hanya kerana buku ini memuji dan meletakkan para sasterawan negara di puncak keunggulan dalam konteks krisis nilai yang saya maksudkan.  Para juri tidak ada pilihan lain kecuali untuk menabalkan buku ini kerana inilah satu-satunya buku kritikan sastera yang menyanjung kedudukan dan sumbangan para sasterawan negara, walaupun hujah-hujah yang dikemukakan adalah cetek, palsu dan penuh dengan pretensi intelektual yang tidak bertunjangkan hakikat ilmu yang benar. Untuk menolak buku ini adalah satu kesilapan besar bagi para juri, kerana dengan  itu kehadiran para sasterawan negara ini tidak boleh dipertahankan dari segi akademik walaupun Mana Sikana telah berusaha untuk menegakkan para sasterawan negara ini, namun perbahasan beliau memperlihatkan sebaliknya, iaitu keselekehan  karya para sasterawan negara ini yang hanya dapat dihuraikan dengan selekeh juga berasaskan satu cara yang menjadikan keselekehan  itu prinsip-prinsip penilaian yang memang tidak ada ciri-ciri nilai yang unggul. Jika anda teliti semua empat prinsip teksdealisme, anda akan dapati betapa kelirunya sarjana ini, tetapi sangat berani mengemukakan kekeliruan itu kerana yakin para sarjana dan khalayak sastera Malaysia masih bodoh dan cetek sepertinya, sehingga dapat menerima sesuatu yang amat naif dan tidak sedikit pun mempunyai asas akademik yang boleh dijadikan ukuran dalam perkembangan ilmu. Anda akan dapat memahami maksud saya jika anda meneliti perkembanga kritikan Barat, yang selalu berubah kerana itulah kutukan yang mereka harus hadapi kerana menolak konsep ilmu yang benar.  Persoalan yang saya bangkitkan di sini memerlukan satu perbincangan panjang dan serius, yang tidak mungkin berlaku di kalangan sarjana sastera Malaysia yang telah disihir (istilah sihir ini amat digemari oleh Mana Sikana) oleh teori sastera Barat, menyebabkan mereka menjadi buntu dan hanya sanggup membincangkan teori-teori itu pada peringkat recipe knowledge sahaja, sesuai dengan kemampuan intelektual mereka yang terbatas.  Untuk menggambarkan keadaan ini, mungkin kita boleh menggunakan tajuk sebuah sajak terkenal Baha Zain, “Menangguhkan Kebenaran”!

Apa Makna Kanon Dalam Sastera Melayu?

Penerimaan Mana Sikana terhadsap karya A. Samad Said, Salina, adalah menarik kerana cocok dengan teksdealisme yang tidak bersandar kepada konsep ilmu itu, oleh itu Salina adalah kanon sastera Melayu moden, yang telah meletakkan ukuran yang tertinggi yang menjadi rujukan kepada sesiapa juga yang ingin berbicara tentang sastera Melayu moden. (hal. 97).  Mana Sikana, yang menolak konsep ilmu yang benar, dan menerima seluruhnya pemikiran Barat, membuat kesimpulan ini:   Salina, teks pemangkin, yang menjadi sinonis, dan akhirnya diterima sebagai teks kanon dan idealistik, telah meletakkan pengarang sebagai novelis penting negara. ... teks Salina merupakan teks kanon A. Samad Said, dan salah sebuah teks kanon negara.” (hal. 104-105).  Hanya dalam masyarakat yang menjadikan pandirisme sebagai arus perdana yang boleh menerima kesimpulan ini. Sebaiknya Mana Sikana bermurah hati membincangkan ciri-ciri teks kanon itu, tetapi seperti biasa beliau tidak berminat menghuraikannya kerana  baginya pembacanya adalah kumpulan yang bodoh yang tidak akan mempersoalkan perkara ini secara  terperinci yang memerlukan penjelasan, yang baginya tidak perlu kerana teksdealisme telah memutuskan begitu.  Ini tidak boleh dijadikan bukti kekuatan teksdealisme, malah sebaliknya, yakni  betapa lemahnya teksdealisme yang secara hakiki tidak dapat melihat kebenaran daripada perspektif ilmu yang benar. Dengan itu, kesimpulan Mana Sikana berasaskan teksdealisme hanyalah sejenis bullshit yang memperagakan ocehan atau idle talk saja. Sebuah kanon sastera tidak boleh didirikan berasaskan idle talk yang bullshit! Oleh itu, saya masih berpegang kepada pendirian saya, bahawa Salina adalah sebuah karya picisan yang mensensasikan cerita dan perwatakan yang amat lemah dan hanya wujud dalam khayalan seorang pengarang yang belum dewasa. Masalah perwatakan ini menjadi masalah besar dalam karya para sasterawan negara. Bagi seorang yang menolak adanya konsep ilmu yang benar, seperti Mana Sikana dan sarjana lain, persoalan ini tidak timbul, oleh itu tidak perlu dibicarakan. Kalau  begitu, bagaimana Mana Sikana berkeras bahawa teksdealisme adalah sebuah “teori sastera Islam”, atau sekurang-kurangnya serasi dengan nilai-nilai Islam? (Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti, hal. 228. Banding dengan penegasan Mana Sikana pentingnya unsur magis dan sihir dalam teks untuk mengasyikkan pembaca, hal. 241; yang dikira tidak bertentangan dengan Islam.)  Dalam Islam terdapat konsep uswatun hasanah (uswah hasanah), peribadi unggul yang menjadi contoh teladan manusia. Manakah watak yang mempunyai ciri-ciri uswatun hasanah, peribadi unggul yang sebenarnya yang boleh dicotohi yang terdapat dalam karya sasterawan negara?  Mungkin watak imam ciptaan Abdullah Hussein dalam novelnya terbayang ciri-ciri yang lemah yang masih jauh untuk sampai kepada konsep uswatun hasanah itu; tetapi tentu tidak Lahuma, Pak Hassan atau watak-watak dalam Naratif Ogonshoto.  Tentu saja bukan Salina dan watak-watak lain dalam karya A. Samad Said. Tetapi mengikut  teksdealisme, watak-watak itu tidak penting dan tidak perlu dijadikan contoh kerana sastera tidak ditulis untuk maksud itu.  Shahnon Ahmad juga mempunyai pandangan yang sama, sangat anti-khutbah, oleh itu watak yang bijak dan cerdik dianggap tidak sesuai untuk dijadikan watak penting kerana kecenderungannya untuk berkhutbah sangat kuat. (Boleh dirujuk Dewan Sastera yang menyebut mengenai  kelucahan sebagai umpan).

Mungkin kerana sikap negatif Mana Sikana tentang perwatakan yang kuat dalam karya sastera tidak penting dan tidak sesuai dengan kehendak sudut pandang modernisme dan pascamodenisme, maka beliau mengetepikan sahaja novel Naratif Ogonshoto Anwar Ridhwan yang dianggap oleh para sarjana sastera sebagai novel terbaik Malaysia selepas merdeka. Novel ini bercerita tentang kumpulan Mafia yang merampas kuasa di sebuah pulau khayalan, satu karya yang diasaskan kepada cerita penglipur lara untuk keseronokan dan hiburan yang didapat daripada kejadian-kejadian yang penuh sensasi yang menjadi tumpuan dalam cerita novel-novel Anwar Ridhwan ini. Novel ini dinilai oleh hampir semua sarjana sastera Malaysia sebagai novel terbaik yang pernah dihasilkan di Malaysia hingga kini, kerana mempunyai “makna yang berlapis-lapis” dan makna itu mesti digali dengan gigih oleh pembaca kerana menurut para sarjana, inilah novel intelektual yang paling unggul di Malaysia. Ini juga pandangan penulisnya. Yang menghairankan, Mana Sikana tidak berminat untuk bercerita tentang novel agung ini, suatu perkara yang sangat pelik dan tidak masuk akal apabila dia memilih untuk membicarakan sebuah drama Anwar Ridhwan kerana pelanggarannya yang hebat, tidak pernah berlaku dalam sastera Melayu. Kerana meninggalkan novel agung ini, maka Mana Sikana tidak dapat meyakinkan kita bahawa Anwar Ridhwan layak ditabal di atas takhta keunggulan yang menjadi obsesinya itu. Apakah yang menghalang Mana Sikana daripada membicarakan novel-novel Anwar Ridhwan mengikut pertimbangan teksdealisme? Satu keajaiban yang tidak dapat difahami, oleh itu huraian Mana Sikana tentang sumbangan Anwar Ridhwan sangat cacat. Seolah-olah Mana Sikana tidak mengiktiraf keagungan  novel-novel Anwar Ridhwan yang mendapat perhatian seluruh dunia itu. Adakah kerana ini maka beliau tidak perlu dibicarakan lagi oleh Mana Sikana? Perkara ini ditimbulkan kerana novel-novel Anwar Ridhwan diterima sebagai novel intelektual, yang penuh dengan idea dan pemikiran yang mendalam tentang persoalan masyarakat,  oleh itu yang paling layak, selepas Shahnon Ahmad, untuk dinobat sebagai Raja Novelis Kedua Malaysia.  Tetapi jika anda membaca novel-novel  beliau berasaskan gagasan Persuratan Baru, novel-novel ini tidak boleh diterima sebagai novel intelektual, apatah lagi untuk meletakkannya sebagai novel terbaik di Malaysia sehigga ini. Pada umumnya Anwar Ridhwan adalah seorang penglipur lara, oleh itu semua novelnya ditulis dalam bentuk penglipur lara. Apa salahnya? Salahnya ialah tokoh-tokoh penglipur lara bukanlah tokoh pemikir, oleh itu sudah tentulah mereka tidak dapat berbicara tentang aspek intelektual ini. Adakah ini merendahkan darjat novel-novel ini? Inilah yang perlu dihuraikan oleh Mana Sikana berasaskan teksdealisme yang ditelurkan oleh beliau itu. Pada hemat saya, teksdealisme sendiri adalah sejenis penglipur dalam kritikan sastera Melayu, yang memang tidak dapat dipakai untuk menilai karya kreatif. Tetapi mungkin boleh digunakan untuk membicarakan proses mengarang para sastrerawan, yang hanya boleh bercerita tentang mereka, tetapi tidak dapat menganalisis dan menilai dengan objektif karya mereka kerana memang tidak terdapat ukuran yang boleh dipakai. Anda boleh memahami kesimpulan ini dengan membuat perbandingan yang kritis dengan gagasan Persuratan Baru, yang mempunyai ukuran yang mantap untuk menilai karya kreatif dan tulisan-tulisan akademik juga. Menurut analisis Persuratan Baru, teksdealisme sendiri  adalah sejenis ocehan, idle talk, yang tidak boleh dipakai untuk menilai pemikiran seseorang pengarang, tidak juga untuk menilai kualiti akademik seseorang sarjana. Teksdealisme adalah sejenis penglipur lara dalam kritikan, yang boleh digunakan untuk bersuka-suka, tetapi tidak untuk membicarakankan dengan serius isu-isu kritikan kerana memang tidak ada ukuran untuk itu. Empat prinsip yang dibanggakan oleh Mana Sikana hanyalah sejenis retorik teh tarik berasaskan fatamorgana bahasa yang kosong dari segi makna dan kualiti yang boleh dijadikan ukuran. Dalam membuat kesimpulan ini, saya amat berhati-hati supaya anda boleh melihat hujah yang saya kemukakan dan logik yang mendasarinya; tetapi hujah dan logik itu tidak muncul dalam teksdealisme. Sekiranya anda menggunakan Persuratan Baru untuk menilai teksdealisme, anda akan dapati bagaimana pandirisme diberi wajah intelektual, padahal kandungannya padi hampa, seperti yang dibanggakan oleh Pak Pandir. Tidak mungkin Mana Sikana setaraf dengan Pak Pandir yang bodoh itu, tetapi dalam kebodohannya telah melahirkan Dr. Polan Cupan, seorang genius Melayu. Tidakkah itu satu pelanggaran besar? Dan satu kepalsuan besar juga.  Maksud saya, pelanggaran itu sendiri adalah satu konsep yang palsu, yang tidak mempunyai nilai ilmu dan moralnya. Jika anda mahu contoh, anda boleh lihat dalam sajak “Pulang Si Tenggang” atau “Baris-baris dari Muzium Goethe”.  Renungkan pesan Iqbal ini: Tuangkan nur Ilahi atas gelita amalmu.  Fikirkanlah.

Pesan seorang sufi sejati untuk para sasterawan dan kita semua:
“Tinggalkan kata dan carilah nilai rohaniyyat
Tuangkan nur Ilahi atas gelita amalmu
Meski mengenakan baju kerajaan, dia hidup penaka murba
Hiduplah waspada dan renungkan Tuhan!
Apa saja pun kau lakukan, jadikanlah tujuanmu
Agar setiap ketika kau kian dekat kepadaNya
Supaya menjelma olehmu kejayaan sifat Ilahi.”

(Dinukil daripada Asrar-i-Khudi: Rahasia-rahasia Peribadi, karya Allama Muhammad Iqbal, terjemahan  Bahrum Rangkuti (Bulan-Bintang, 1976; hal. 164-165).

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 17 April 2015.