[Catatan: Prof.
Dr. Zawiah Yahya dalam bukunya, Reading
Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making, memperkenalkan Mana Sikana
begini: “Abdul Rahman Napiah (a.k.a. and henceforth, Sikana)”, hal. 75). “Mana” tertinggal. Dalam tulisan ini saya ikut stail beliau,
tanpa meninggalkan Mana].
Penulis
sejarah sastera Malaysia akan mendapati tahun-tahun 1980 hingga 2000 adalah era
“teori” dalam sastera Melayu. Begitu banyaknya “teori” dicetuskan, hingga
sastera Melayu menjadi mandul dan mundur serta keliru (confused) tidak tahu mana satu yang akan dipilih di antara sekian
banyak “pisang goreng” teori sastera
itu. Penjelasan tentang “teori” itu begitu miskin dan cetek, tidak mungkin
memberi perangsang (motivation)
kepada pembaca, terutama sekali para pelajar universiti yang meraba-raba
mencuba memahaminya. Penggunaan istilah “teori” dalam sastera Melayu adalah
satu penyelewengan istilah yang tidak sepatutnya berlaku ketika kita sudah
mempunyai beribu profesor sastera dan puluhan ribu sarjana sastera. Perkara ini telah saya sentuh dalam beberapa
tulisan saya dalam blog ini, oleh itu tidak perlu diulang lagi dalam tulisan
ini. Berapa banyakkah tesis sarjana dan kedoktoran telah ditulis berasaskan
“teori” palsu ini? Anggaran saya, hingga
sekarang tidak kurang dari 300 buah tesis sarjana dan kedoktoran telah ditulis
beradasarkan “teori” palsu yang sebenarnya bukan teori ini, dengan itu kesan
negatifnya terhadap kualiti akademik tentulah sangat besar. Antaranya,
berasaskan “teori” palsu itu, beberapa dapatan yang tidak tepat dan tidak
konkrit telah diajukan sebagai dapatan ilmiah. misalnya, sebuah tesis
kedoktoran yang telah dicetak membicarakan kemunculan sajak-sajak Islam dalam
kesusasteraan Melayu, dilihat dari segi simbolisme yang dipakai. Banyak sekali maklumat yang dikumpul oleh
penulis ini, namun tidak muncul seorang atau dua orang “penyair” (lebih tepat
pensajak) Islam secara khusus, walaupun disebut berpuluh nama penulis sajak
yang semuanya dipanggil “penyair Islam” kerana terdapat beberapa kata bersifat
keagamaan dalam sajak-sajak mereka. Mengapa tidak muncul tokoh yang kita tunggu-tunggu
itu? Inilah masalah metodologi dan “teori” yang digunakan, seolah-olah mata
jaring (atau pukat) yang terlalu kecil, sehingga sekecil-kecil ikan pun tidak
dapat lari. Siapakah yang akan menulis sebuah tesis yang lebih khusus,
menggunakan teori yang berupaya menangkap ikan besar ke dalam jaring atau
pukatnya, sehingga kita dapat membaca dengan meyakinkan analisis yang mendalam
tentang tiga empat orang pensajak kita yang boleh dipanggil “penyair Islam”.
Jika teksdealisme boleh melakukannya, tentu saja boleh dipakai, tetapi khusus
untuk tesis ini nampaknya digunakan takmilah (lawan teksdealisme).
Di
tengah-tengah kekeliruan dan keadaan kucar kacir inilah timbul rungutan seperti
yang disuarakan oleh Prof. Dr. Abd. Rahman Napiah aka Mana Sikana yang diluahkannya
dalam Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia (UPSI, Tanjung Malim, 28-29
September 2012). Rungutan dan keluhan beliau wajar diturunkan di sini kerana perkara
yang beliau timbulkan itu telah saya bincang sejak tahun 1970-an lagi dalam
tulisan saya dekad itu. Inilah rungutan dan keluhan Dr. Mana Sikana (kutipan
ini agak panjang, harap bersabar membacanya):
“Kita selalu
mengharapkan para mahasiswa yang akan menjadi pelapis baik sebagai pengkritik
juga penulis. Tetapi rupa-rupanya, seperti yang diketahui umum, meskipun banyak
institusi yang menyediaka kursus
penulisan kreatif dan deskriptif, mengajar teori-teori sastera moden dan
pascamoden, sayangnya sangat sedikit bilangan yang menceburkan diri dalam
kegiatan sastera; lebih-lebih lagi dalam bidang kritikan. Dunia sastera
mengalami kehilangan atau ketidak-pedulian lagi di kalangan para siswazah itu,
dan ini terjadi tahun demi tahun. Seolah-olah tugas mereka terhadap dunia
sastera tamat setelah bekerja dan membiarkan segala teori kritikan dan kajian
lusuh begitu sahaja di kertas ijazah. Harapan kita untuk melihat di kalangan
mereka muncul sebagai pengkritik nampaknya tidak terkabul.
Melahirkan pengkritik yang cukup
iltizam kini hampir-hampir begitu mendesak.
Kita sangat kekurangan pengkritik. Sesungguhnya sekian lama kita gagal
melahirkan kritikawan yang baru dan berwibawa. Di manakah silapnya?
Meletakkannya kesalahan semata-mata kepada universiti tidak cukup alasan juga,
kerana selama ini pun terutamanya di tahun 1970-an para penulis dan pengkritik
muda adalah hasilan daripada universiti. Kita sedar yang ketara kemerosotannya
ialah masa terkini. Dilihat daripada konteks perkuliahan dan kerja kursus, mahasiswa
terkini lebih baik daripada yang silam. Daripada pengalaman berani dinyatakan pelajar sekarang mendapat
pengetahuan yang luas dalam penteorian sastera” (Prosiding Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia, 2012,
hal.139).
Apa
sebenarnya yang terjadi? Bodoh sangatkah pelajar yang ambil sastera itu? Atau
guru-guru mereka ada masalah kognitif?
Saya akan komen sedikit tentang perkara ini. Sebelum itu, sedikit lagi maklumat
yang lebih mengejutkan (?): Prof. Dr.
Muhammad Hj. Salleh pernah klaim sejak tahun 1984 lagi muridnya ketika itu
kira-kira 4000, kini sudah melebihi 12,000, dan semua mereka, kata beliau,
lebih tahu sastera daripada Mohd. Affandi Hassan “si pengkritik” penghuni gua
batu! (Itu kata-kata beliau sendiri. Semak Berita
Minggu, Disember 1983 dan 1 Januari 1984). Yang kita tahu, satu-satunya
murid Prof. Dr Muhammad Hj. Salleh yang jempulan sebagai sarjana dan pengkritik
ialah Maka Sikana aka Abd. Rahman Napiah sendiri. Sekarang sudah berapa ribu
murid Mana Sikana pula? Katalah 20,000 (atau mungkin lebih), tentu pelik jika
tidak ada seorang pun daripada sejumlah itu yang menonjol sebagai pengkritik.
Sekiranya kita hitung beratus lagi profesor sastera yang ada di Malaysia,
hampir jutaan murid mereka sudah diajar “ilmu” sastera. Tidak masuk akal jika
tidak muncul seorang dua yang dapat menandingi Mohd. Affandi Hassan itu. Sayangnya
Mohd. Affandi Hassan tak boleh klaim berapa ramai muridnya, kerana dia bukan
guru di universiti, hingga Prof. Rahman Shaari dengan rasa simpati dan sedih
berkata kenalah Prof. Ungku Maimunah kasi inaugural
lecture (kini diterjemahkan sebagai syarahan perdana) on behalf of Mohd. Affandi Hassan. (Anda boleh baca rintihan Prof.
Rahman Shaari ini dalam Mingguan Malaysia,
16/12/2007, yang antara lain berkata: “Sukar sekali untuk kita menemukan pandangan
Ungku Maimunah sendiri, malah kelihatannya Ungku Maimunah memang berhasrat
membiarkan ketiadaan pandangannya. Mungkin beliau berpendapat, eloklah beliau
menyampaikan pandangan Mohd. Affandi Hassan melalui satu syarahan perdana,
kerana Mohd. Affandi tidak mempunyai kedudukan untuk berbuat demikian”. Prof. Rahman Shaari adalah murid Prof. Dr.
Mana Si Kana kerana beliau menyelia tesis sarjana Rahman Shaari yang diterbitkan oleh DBP dan yang Mohd.
Affandi Hassan ulas dengan kritis dalam Dewan
Sastera, diterbitkan semula dalam Kesusasteraan
Melayu: Mitos dan Realiti (Esei/Kritikan Hadiah Sastera Malaysia 1988/89)
(DBP, 1994). Prof. Dr. Mana Sikana patut berasa bangga kerana
sekurang-kurangnya beliau mempunyai seorang murid yang tidak saja seorang
profesor, tetapi juga pakar sajak dan pembaca sajak terbilang di Malaysia. Syarahan perdana Prof. Rahman Shaari berjudul,
Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu
Tinjauan (2004) telah juga diulas oleh Mohd. Affandi Hassan dalam blognya
di sana sini. Sekarang kita tunggu syarahan perdana Prof. Dr. Abd. Rahman
Napiah aka Mana Sikana pula, mudah-mudahan dalam masa terdekat, dengan tajuk
khusus mengenai “teori” sastera Malaysia. Ini peluang baik untuk beliau
memperkatakan apa juga yang beliau mahu tentang “teori” sastera Malaysia, yang
menurut Dr. Faisal Tehrani dalam bukunya Wacana
Sastera Islam di Malaysia dan Indonesia (UPM, 2012): (merujuk kepada PB) “Gagasan ini dapat diterima dan dirujuk
sebagai sebuah teori memandangkan telah ada satu metodologi tertentu untuk
membaca, dan merungkaikan teks sastera. Kedudukan ini menjadikan Persuratan
Baru berbeza berbanding dengan wacana sastera Islam yang lain” (hal. 151.)
Sebelum saya
komen pandangan Prof. Dr. Mana Si Kana aka Dr. Abd. Rahman Napiah, saya mahu
rujuk makalah Prof. Ugku Maimunah dalam seminar itu. Panjang juga beliau huraikan tentang
kekeliruan sarjana dalam memahami Persuratan Baru. Kerana kertas itu tidak
sempat dimasukkan ke dalam Prosiding, baiklah saya sebut apakah kekeliruan itu. Kekeliruan itu disebut oleh Prof. Ungku
Maimunah di bawah tajuk, “Siratan Makna (Stylization
of Ideas) dan Teknik Bercerita” (hal. 35-40 makalah). Sebelum itu sedikit penjelasan tentang stylization of ideas. Ada orang kurang senang mengapa saya guna bahasa Inggeris.
Mudah saja: saya sudah agak Persuratan Baru akan dibicarakan dalam banyak bahasa,
terutama dalam bahasa Inggeris. Saya tolong penulis/pembicara itu dengan
menterjemahkan maksud saya, supaya istilahnya tidak berubah dan maknanya
jelas. Demikian juga istilah “genuine literature” untuk Persuratan
Baru, lebih dulu saya terjemahkan kerana saya tidak boleh biarkan sesiapa yang
ingin menulis dalam bahasa Inggeris pandai-pandai sendiri menterjemahkan
Persuratan Baru sesuka hati mereka; tidak adil kepada saya dan lebih-lebih lagi
tidak adil bagi si penulis yang sudah keliru dan menulis berasaskan kekeliruan
itu. “Genuine literature” merujuk
kepada konsep ilmu yang benar dalam epistemologi Islam, supaya konsep taklif
boleh difahami dengan betul mengikut worldview
Islam. Anda tidak perlu menganut Islam untuk memahaminya; seperti juga para
sarjana kita tidak perlu jadi Kristian atau Yahudi untuk menggunakan istilah
dan teori Barat. Tentang perkara ini saya akan sebut lagi kemudian nanti kerana
penting untuk melihat hipokrasi manusia akademik dalam sikap mereka tentang
ilmu. Tunggu sedikit lagi.
Kekeliruan
pertama dari segi konsep, mengapa idea perlu di-“stylize”? Mudah saja: idea
perlu dikonkritkan, supaya boleh dilihat bentuknya. Inilah sifat seni yang
universal. Perhatikan bagaimana Basho menulis haikunya. Ada pendapat yang
berkata, haiku tidak perlu distylize, terus saja diberi imej yang dikehendaki:
seperti katak melompat ke dalam kolam dan terdengar percikan air, dalam haiku
Basho yang paling terkenal. Katak, perbuatan melompat, kolam yang sunyi,
percikan air, disirat begitu teliti untuk memberi makna tertentu mengikut Zen
Buddhism. Jadi terdapat siratan makna di situ. Waktu saya sendiri menulis
“haiku”, saya perlu jelaskan bahawa “haiku” yang saya tulis tiga baris, tidak
ditentukan oleh suku kata atau perkataan yang berkaitan dengan musim dan
lain-lain. Jadi saya mulai buku saya begini: Lima-tujuh-lima/ Itukah haiku?/
Nih, kacang goreng (Five-seven-five/ Is
that haiku?/ No, peanuts!). Saya beri versi saya begini: Apakah haiku?/
Bonsai intelektual/ Hablur cermin dunia (What
is a haiku?/ An intellectual bonsai/ Shimmering crystals of radiance).
Berasaskan definisi itulah saya tulis sajak-sajak tiga baris. Satu contoh:
Belalang melompat/Padang luas kosong/ Helang di gunung (Gasshopers jumping/ wide vacant field/ Eagles on the mountain).
Haiku ini tepat sekali menggambarkan apa yang berlaku dalam Seminar Teori dan
Kritikan Sastera Malaysia, jika anda faham maksud haiku itu. Adakah helang
peduli kepada belalang yang melompat di padang kosong? Inilah contoh siratan
makna, stylization of ideas. Tentulah
anda boleh gunakan istilah perlambangan, kiasan, metafor, dan segala macam yang
anda tahu dan biasa gunakan. Tetapi anda tidak berpijak kepada keseluruhan
makna sebaik saja anda memisahkan haiku
tadi dengan istilah-istilah yang sudah menjadi klise dalam kritikan sastera.
Saya tidak mahu yang klise itu digunakan lagi, kerana melalui stylization of ideas, anda melontar
sebuah hablur (crystal) pemikiran
anda untuk direnung. Adakah anda seorang ahli sihir yang meramal menggunakan
hablur? Tidak. Anda seorang pemikir yang mencantumkan semua maksud anda dalam
siratan yang kemas, yang sebaik saja anda ceraikan (cerakin) melalui istilah
klise tadi, anda tidak lagi mempunyai hablur pemikiran penulis yang anda nilai,
tetapi kecetekan anda sendiri yang terus memakai istilah klise tadi. Itulah
maksud stylization of ideas. Anda
boleh dapat ini dalam Pujangga Melayu,
ketika Prof. Awang sedang berbicara dengan isterinya tentang memberi nama rumah
mereka. Bacalah di situ. (Ini hanya satu
contoh, di antara beratus contoh yang terdapat dalam novel itu). Stylization
of ideas betul-betul menguji kepintaran anda berfikir dan membuat tafsiran,
jika anda seorang pembaca yang cerdik. Tepat sekali istilah yang digunakan oleh
Prof. Ungku Maimunah jenis bacaan ini, iaitu mod bacaan intelektual berbeza
dengan mod bacaan cerita. Dalam contoh yang saya beri, penggunaan klise tadi
adalah bacaan dalam mod bacaan cerita. Bagi seorang penulis kreatif pula, stylization of ideas memberinya kesempatan yang benar-benar mencabar untuk
menyirat makna hasil kreatifnya itu begitu kemas (oleh itu indah dan bermakna)
sehingga sebaik saja diceraikan dengan menggunakan istilah klise tadi, yang dilihat
bukan lagi sebuah hablur yang bersinar dengan makna dan keindahan, tetapi hanya
pecahan kaca seolah-olah hablur tadi dihempaskan dengan marah kerana tidak
dapat dibaca. (Mungkin anda perlu menjadi seorang ahli sihir atau peramal
intelektual untuk membaca hablur di depan anda. Ini bahasa metafor, oleh itu
anda mesti berhati-hati membacanya.) Semoga dengan penjelasan ini, anda sedikit
sebanyak boleh membayangkan apa dia yang dikatakan stylization of ideas itu. Jadi tidak perlu ada kekeliruan lagi.
Kecuali jika anda menghadapi masalah kognitif. Itu soal lain, yang boleh
dibantu oleh seorang psychiatrist.
Sekarang sudah jadi satu cerita berbeza pula!
Prof. Ungku
Maimunah menyebut satu contoh lagi, yang pernah saya dengar, tuduhan yang
mengatakan PB yang menekankan ilmu, akan hanya melahirkan karya yang kaku,
tanpa sebarang emosi yang sihat. Seorang
teman saya, kini seorng profesor, memberitahu bagaimana anaknya begitu terharu,
menitiskan air matanya, ketika membaca episod ibu Prof. Awang sedang membelai
ibunya (nenek Awang) sambil membisikkan sebuah hadis yang terkenal, seorang ibu
menjaga anaknya supaya hidup; seorang anak menjaga ibunya sementara menunggu saat kematian ibunya. Bagaimanakah
dua jenis kasih sayang itu dapat dibandingkan? Kerana itulah Allah Ta’ala
mengharamkan sang anak menderhakai ibunya (tiga kali Rasulullah s.a.w sebut).
Hanya hati yang kering dari iman dan tidak mempunyai perasaan halus saja yang
tidak tersentuh dengan episod ini!
Seterusnya
kekeliruan tentang rumus tertentu, misalnya cerita pendek mesti pendek, novelet
mesti lebih pendek daripada novel biasa; terikat pula kepada pengenalan,
klimaks dan peleraian dari segi teknik; sebaliknya PB yang mengutamakan ilmu
membebaskan dirinya daripada rumus cerita dan membikin-cerita serta kekangannya.
Stylization of ideas memberi
kebebasan sepenuhnya kepada penulis untuk membina karyanya dalam bentuk yang
disenanginya, asal tidak melanggar prinsip-prinsip Persuratan Baru. Salah satu
pelanggaran itu ialah kegemaran penulis tertentu menulis tentang alam ghaib,
seperti alam ruh, syurga dan neraka dan seumpamanya. Larangn Islam bermaksud
untuk menyelamatkan akidah, kerana perbuatan itu seolah-olah mencabar kekuasaan
Allah Ta’ala yang menguasai alam ghaib. Dunia dengan segala peristiwanya dan
segala karenahnya tidak akan habis diteroka oleh penulis yang paling handal
sekali pun. Kerana itu penulis handal ini memilih dengan cermat bahan yang akan
dijadikan tema tulisannya. Bebas sepenuhnya untuk membuat kebaikan; ditegah
sekeras-kerasnya daripada berbuat kejahatan kerana ini merugikan diri sendiri
dan masyarakat.
Kekeliruan yang
dibicaraka oleh Prof. Ungku Mimunah timbul kerana pembicara belum menguasai
Persuratan Baru, tetapi sudah bersedia untuk mencabarnya berasaskan kekeliruan
kefahamannya. PB mudah difahami, jika anda tidak menghadapi masalah kognitif
dan jika pengalaman intelektual anda agak luas, terutama sekali dalam sejarah
pemikiran Islam, dalam ilmu falsafah, dan tentu sekali dalam kritikan sastera
Barat. Satu aspek yag sering dilupakan, iaitu anda mestilah mempunyai
pengalaman membaca karya dunia yang sudah diakui umum memang bernilai tinggi.
Siapa mereka (pengarang atau penulis yang dimaksudkan) tidak perlu disenaraikan
di sini, kerana anda perlu mengetahuinya berasaskan pengetahuan anda dalam
kritikan sastera Barat, kerana semua tokoh itu memang menjadi bahan kajian
mendalam dalam teori-teori Barat. Tetapi jangan lupa tradisi kebudayaan anda
sendiri, yang mesti dikuasai terlebih dahulu. Rujukan paling penting untuk
memahami kebudayaan dan sejarah tamadun Melayu ialah buku Prof. Syed Muhammad
Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan
Kebudayaan Melayu, syarahan
pengukuhan beliau 1972. Buku ini sepatutnya menjadi bacaan wajib semua pelajar
sastera dari tahun pertama hingga seterusnya. Dua perkaa mengapa buku ini perlu
dijadikan bacaan wajib. Pertama, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah
meletakkan standard yang tinggi dalam bidang akademik Malaysia, yang seharusnya
dijadikan panduan, rujukan dan sandaran apabila kita ingin membuat
perbandingan. Kedua, metodologi yang digunakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas wajar dicontohi oleh semua sarjana Malaysia, supaya mereka tidak
terjerumus dalam keadaan “cetek meraba-raba” ketika membicarakan aspek akademik
ini. PB dapat difahami dengan mudah jika faktor di atas diberi perhatian.
Mengapakah anda perlu memahami PB? Sekarang kita akan lihat dengan kritis
sungutan Dr. Mana Sikana yang dikutip di atas.
Saya kira
jawapan kepada sungutan Dr. Mana Sikana aka Dr. Abd. Rahman Napiah itu telah
diberikan oleh seorang penulis yang memakai nama K. B. Tan, yang menulis satu
nota yang saya fikir amat penting diberi perhatian jika kita mahu, betul-betul
mahu, menjawab kemusykilan Dr. Abd. Rahman Napiah aka Dr. Mana Sikana itu.
Saudara K. B. Tan menulis dalam ruangan “Reaksi” dalam Dewan Sastera 1997 (sayangnya bulan terbit tidak tercetak dalam
dokumen yang diberikan kepada saya oleh seorang teman). Saudara K. B. Tan memberi judul tulisan (atau nota reaksinya),
“Antara Ilmu dan Retorik Kosong”. Saya
tertarik membaca ayat pertama beliau: “Sastera Melayu masih ditukangi penukang
sastera yang lemah pemikirannya.” Menurut K. B. Tan, pandangan itu diberikan
oleh Azizi Hj. Abdullah (Berita Minggu,
30 Mac 1997). Lalu beliau memberi pendapat beliau: “Saya juga berpendapat
bahawa sumbangan beberapa orang sarjana sastera harus dinilai semula. Kenyataan
ini dibuat atas penelitian saya terhadap tulisan mereka yang jelas
memperlihatkan ketidakupayaan untuk menulis dengan jelas dan bernas.”
Seterusnya beliau menyambung: “Izinkanlah saya mengenengahkan hasil tulisan
salah seorang sarjana sastera yang jarang-jarang memperlihatkan ciri-ciri
penulisan yang dapat dipertanggungjawabkan. Untuk tujuan ini dua kritikan yang
tersiar di dalam Dewan Sastera
(Februari dan Mac 1997) dengan tajuk “Lantai
T. Pinkie A. Samad Said: Nostalgia Tragis”, serta satu siri rencana yang
tersiar di dalam Utusan Malaysia pada tahun 1994 akan dirujuk”. Yang
menarik ialah siri tulisan dalam Utusan
Malaysia itu ditulis oleh Dr. Mana Sikana aka Dr. Abd. Rahman Napiah,
seperti yang diakuinya dalam buku Prosiding,
hal. 118, cuma tahunnya September dan Oktober 1993, membicarakan teksdealisme,
yang memang disebut oleh K. B. Tan dalam notanya. Tulisan dalam Dewan Sastera itu pun memang punyanya Dr. Mana Sikana. Jadi saudara K. B. Tan mengkhususkan
komentarnya terhadap kegiatan akademik Dr. Mana Sikana aka Abdul Rahman Napiah.
Terhadap soalan Dr. Mana Sikana mengapa sukar mendapat pengkritik baru,
jawapannya berada di dalam sikapnya terhadap ilmu, yang pada umumnya
kontra-akademik, yakni sejenis kepura-puraan akademik yang nampaknya secara
lahiriah seolah-olah menyokong perkembangan akademik, tetapi pada hakikatnya
cuba menghalang perkembangan itu sekiranya perkembangan tadi dikira boleh
mencabar kedudukannya sendiri. Inilah sikap beliau yang sebenar seperti tertera
dalam ucapannya dan sikapnya: (komen Mana Si Kana terhadap gagasan Persuratan
Baru)“Masyarakat sastera, terutamanya pelajar institusi pengajian tinggi kurang
berminat mendekati dan mengaplikasi
teori ini, akhirnya ia hanya hidup di atas kertas sahaja. Meski kita sedar, ada
usaha daripada beberapa pengkaji sastera yang cuba mengetengahkannya, tetapi ia
tetap kurang menarik perhatian.” (hal. 119-120). Pandangan Mana Si Kana ini
cocok dengan maklumat yang saya terima tentang sikap beliau terhadap gagasan
Persuratan Baru. Mana Sikana sangat
terkilan dengan kelahiran gagasan Persuratan Baru yang begitu kemas, berupa
satu sistem pemikiran tentang “sastera Islam” yang boleh diikuti dan difahami
dengan mudah oleh sesiapa saja yang ingin memahaminya. Mana Sikana menganggap
PB adalah saingan kepada “taabudiyyah” yang beliau lakar beberapa tahun lebih
awal, sehingga beliau dengan bangga mendakwa bahawa beliaulah pelopor dan
pecetus “teori” sastera Islam paling awal (rujuk klaim beliau dalam Prosiding, hal. 116: “Taabudiyyah
merupakan teori sastera Malaysia kali pertamanya dicipta di tanah air” iaitu
tahun 1984 lagi, dicetak 1986 dalam bukunya, Teori dan Kritikan Sastera: Kaedah dan Aplikasi). Kini tiada siapa pun tahu apa bendanya
“taabudiyyah” itu, malah Mana Si Kana sendiri meninggalkannya, lalu “mencipta”
teksdealisme, sebuah teori sastera Islam juga katanya, padahal bukan teori
sastera dan tidak juga mengenai sastera Islam. Kini beliau mempunyai dua buah
“teori” sastera Islam; satu sudah mati, satu lagi sudah terhuyung hayang
menunggu tersungkur kerana didapati bukanlah “teori” sastera Islam, tetapi
“teori” sastera sekular totok. Ini kesimpulan Prof. Zawiah Yahya: “Teksdealisme
can be described as the secular version of Takmilah. The basic idea of
achieving the perfect and the ideal is the same, but the route taken and the
compass used are naturally quite different” (hal. 81, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making, UKM
2010). Prof. Zawiah menyenaraikan
Derrida, Lacan, Kristeva, Bakhtin sebagai sumber ambilan Mana Si Kana. Sangat
aneh mengapa beliau tidak menyebut Harold Bloom, sarjana Amerika yang
menggunakan idea Kabbala Yahudi untuk membina teori sasteranya, malah menulis
sebuah buku, Kabbalah and Criticism
yang menjadi sebahagian daripada tiga serangkai buku kritikan beliau yang terkenal;
dua buah lagi ialah The Anxiety of
Influence dan A Map of Misreading. Seluruh idea tentang teksdealisme diambil
secara totok daripada buku-buku tersebut, terutama sekali dua buah yang disebut
kemudian. Istilah yang digunakannya pun diambil bulat-bulat daripada buku-buku
Harold Bloom, seperti tertulis dalam rencana beliau yang disiarkan dalam Utusan/Mingguan Malaysia. Tetapi yang
paling aneh ialah mengapa Mana Si Kana mengemukakan dua “teori” sastera Islam:
yang pertama nampaknya sudah pupus, ditinggalkan terus oleh Mana Sikana
sendiri. Bolehkah sebuah “teori” ditinggalkan begitu saja, seperti orang
meninggalkan kucing tua di rumah ibadat untuk memastikan ada penjaganya. Satu
lagi, yang tidak kurang pula menghairankan:
Bagaimana pula teksdealisme tiba-tiba menjadi Islam? Sudahkah masuk Jawi
atau bersunat? Mana Sikana mengaku sendiri sumber “teorinya” daripada Derrida,
Lacan, Kristeva, Bakhtin dan lain-lain. Bila pula orang-orang ini masuk Islam
sehingga layak menjadi sumber sebuah teori sastera Islam yang dirumus oleh Dr.
Mana Sikana aka Dr. Abdul Rahman Napiah. Kalau mereka kafir dan atheis,
bagaimana mereka boleh dijadikan sumber sebuah teori sastera Islam? Nampaknya
ahli sihir Firaun lebih baik daripada mereka kerana para ahli sihir ini percayakan wujudnya Allah Ta’ala,
sedangkan tokoh-tokoh yang menjadi sumber teori sastera Islam Dr. Mana Sikana
itu tidak peduli pun ada tidaknya tuhan, malah sebagai atheis mereka menolak
kewujudan Tuhan. Ini kes berat, kata orang Kelantan yang cakna terhadap persoalan
begini. Teori sastera Islam bersumber daripada atheis? Kata lagi orang Kelantan
yang bijaksana, sekarang kucing sudah bertanduk, tetapi sudah hilang ekornya,
oleh itu kepalanya berpusing-pusing mencari ekornya yang hilang. Kelakar orang
Kelantan ini sangat dalam maknanya, tetapi sayang hanya diketahui oleh
orang-orang Kelantan saja.
Kata Dr.
Mana Sikana menegaskan teksdealisme itu “teori” sastera Islam bersumber
daripada sarjana mulhid: “Idea
teksdealisme ialah hasil pergomolan pelbagai teori sastera moden dan
pascamodenisme yang saya kuasai sedikit demi sedikit, serta melalui penyaringan
Islam yang saya lakukan sendiri. Melalui beberapa orang tokoh, terutama Lacan,
Derrida dan Kristeva, saya mempelajari bagaimana kaedah mereka membina teori
sastera.” (daripada makalah, “Teori sastera moden daripada perspektif Islam”,
oleh Mana Sikana, dimuat dalam Nadwah
Ketakwaan Melalui Kreativiti (DBP 1995), hal. 228.)
Apakah yang
dimaksudkan dengan “penyaringan Islam”
oleh Dr. Mana Sikana aka Dr. Abd. Rahman Napiah? Dalam tulisan yang panjang itu tidak sepatah
pun dijelaskan, kerana seluruh makalah itu membicarakan teksdealisme sebagai
satu huraian bersifat sekular bagaimana apa yang disebut sebagai “teks unggul” itu
boleh dihasilkan oleh seseorang pengarang.
Apakah maksud “keunggulan teks” itu? Apakah ukuran yang menentukan
sesuatu teks itu mencapai taraf “keunggulan” yang dimaksudkan? Tidak diberikan penjelasan sedikit pun
tentang ukuran yang dipakai, sebaliknya yang diceritakan dengan penjang
lebar ialah proses mendapatkan
“keunggulan” itu menurut fahaman umum yang dipakai dalam teori sastera Barat,
bukan dalam acuan Islam. Proses itulah yang ditiru dan disalin bulat-bulat
daripada pemikiran Harold Bloom dalam tiga buah bukunya yang disenaraikan di
atas. Dalam tulisan asal yang tersiar dalam akhbar, Dr. Mana Sikana aka Dr.
Abd. Rahman Napiah menggunakan istilah-istilah yang dipakai oleh Harold Bloom
dalam buku-bukunya. Antaranya yang kerap disebut ialah serangkai konsep yang
diperkenalkan oleh Harold Bloom, paling penting ialah konsep dan istilah clinamen, yang dijadikan prinsip
“pelanggaran” dalam teksdealisme oleh Dr. Mana Sikana aka Dr. Abd. Rahman
Napiah. Lain-lain istilah sila rujuk
buku-buku Harold Bloom yang disenarai di atas.
Satu lagi istilah Harold Bloom yang jadi favourite Dr. Mana Sikana aka Dr. Abd. Rahman Napiah ialah “misprison” atau “misreading”. Selepas penjelasan ini, sesiapa juga yang
ingin berbicara tentang teksdealisme perlu membaca Harold Bloom terlebih
dahulu.
Perihal
Harold Bloom ini penting dalam konteks lain. Kata Dr. Mana Sikana aka Abd.
Rahman Napiah: “Sebuah lagi teori
sastera ialah Hermeneutik Kerohanian, yang berasalkan daripada gagasan Husserl,
Heidegger dan Gadamar yang disaring daripada mekanisme interpretasi Bible; juga
di kalangan orang Greek sebagai menafsir patung-patung kedewaan bagi melihat
siratan fikiran dan kesedaran pengukirnya, teori sastera hermeneutik bertugas
untuk mencari makna kuasa besar pengarang.
Md Salleh Yaafar telah menggunakan kaedah
hermeneutik ini untuk menafsirkan puisi Amir Hamzah.” Mengapa “teori”
Md. Salleh Yaafar diberi perhatian agak
istimewa dengan tempelak itu? Padahal beliau tidak menciplak apa-apa idea
daripada Harold Bloom. Menurut maklumat
yang saya terima, Dr. Mana Sikana mempunyai seorang teman rapat di sebuah
univesiti, ingin memohon jawatan profesor. Sebelum ditemuduga, VC universiti
berkenaan menerima sepucuk surat yang menceritakan perihal permohonan itu
diajukan oleh sarjana berkenaan dengan mengemukakan sokongan akademik, berupa sebuah
tulisan yang diciplak daripada kertas seorang sarjana di sebuah universiti.
Berasaskan maklumat ini, permohonan itu ditolak. Untuk membela temannya itu, Dr. Abd. Rahman Hanafiah
aka Dr. Mana Sikana mengkritik Md.
Salleh Yaafar seolah-olah beliau bersalah membongkar kepalsuan akademik
temannya itu. Padahal Md. Salleh Yaafar hanya bertindak sebagai seorang ahli
akademik yang jujur. Pada mulanya Md.
Salleh Yaafar tidak digambarkan begitu buruk oleh Dr. Mana Sikana aka Abd.
Rahman Napiah. Tetapi selepas kes
sahabat beliau, terdapat perubahan. Kes
ini penting kerana ia berkaitan dengan rungutan Dr. Mana Sikana aka Dr. Abd.
Rahman Napiah. Amat sukar hendak membina
generasi pengkritik sastera yang baru jika para ahli akademik mencontohi cara
Prof. Dr. Mana Sikana (aka Abd. Rahman Napiah) yang bersikap negatif terhadap
ilmu. Beliau tidak menghormati ilmu, malah mengkhianatinya. Lihat judul makalah
beliau tentang teksdealisme, yang mendakwa teksdealisme sebuah “teori” sastera
Islam, padahal tidak sebesar zarah pun terdapat unsur Islam. Lagi pula, teksdealisme
bukan jawapan kepada pembinaan “teori” sastera Islam, kerana tidak jelas apakah
teras “teori” itu. Mudah saja untuk berkata diasaskan kepada konsep tauhid,
tetapi apakah bukti konsep tauhid itu menjadi asasnya? Jika tauhid itulah yang
dijadikan asas, yang akan lahir ialah takmilah seperti yang dibangunkan oleh
Dr. Shafie Abu Bakar. Dalam kes teksdealisme ini, sesuatu karya akan mencapai
keunggulannya jika memenuhi syarat-syarat yang dikemukakan oleh Panel Anugerah
Sastera Negara, iaitu berasaskan eksperimen, tidak mempunyai tema tertentu,
tidak didaktik, dan banyak lagi yang tidak dan ditidakkah dengan tegas oleh
Panel Anugerah Sastera Negara untuk menegaskan pendirian sekular mereka. Dari
segi itu Panel lebih tegas, walaupun ukurannya salah dilihat dari perspektif
Islam. Bagaimana pula teksdealisme dikira tidak bersalah dan tidak bertentangan
dengan Islam, padahal keunggulan teks yang diwar-warkannya itu memang tepat
dengan ukuran Panel Anugerah Sastera Negara.
Lagi pula, dalam kes ini terdapat kontradiksi yang amat memeranjatkan. Kata Dr. Mana Sikana aka Dr.
Abd. Rahman Napiah, dia “menyaring” unsur-unsur Islam ke dalam teksdealisme;
padahal jika teksdealisme itu benar-benar berjiwa Islam, mengapa pula ciri-ciri
Islam “disaring”, ditapis, dipilih-pilih? Apa jenis logik yang dipakai di sini?
Beginikah seorang sarjana Islam bekerja? Yang patut berlaku sebaliknya,
teksdealisme itu “menyaring” beberapa konsep Barat yang tidak bertentangan
dengan Islam, lalu diberi penjelasan mengapa saringan itu diperlukan dalam
teksdealisme, padahal dalam gagasan Persuratan Baru tidak ada pun saringan itu,
namun teori sastera Islam dapat dibina dengan meyakinkan dan dapat pula
mencabar kewarasan teori Barat sendiri. Bagaimana diadakan saringan, bila Dr.
Mana Sikana menerima realisme magis yang ditolak oleh Shahnon Ahmad, untuk
menilai novel Shahnon, Patriach (hal.
233 dalam Nadwah ...). Ini sesuai
dengan pendirian beliau bahawa antara ciri karya unggul ialah terdapat “di dalamnya
unsur-unsur magis dan sihir yang akan segera larut dalam diri khalayak” (Nadwah ..., hal. 241). Apakah maksud beliau dengan ungkapan “segera
larut dalam diri khalayak’ itu? Semua ini, dan banyak lagi, perlu dijelaskan
oleh Dr. Mana Sikana aka Dr. Abd. Rahman Napiah jikalau beliau benar-benar
jujur bahawa teksdealisme itu sebuah “teori” sastera Islam. Kita akan patahkan
hujah-hujah beliau, jika ada, satu persatu untuk membuktikan sebaliknya.
Jika kita
membaca laporan Shamsuddin Jaafar tentang Nadwah Sastera Islam (Dewan Sastera, Januari 1994, mulai hal.
18-19) kita akan dapati teksdealisme telah ditolak oleh peserta nadwah itu,
sebaliknya mereka menerima Pendidikan
Estetika Daripada Pendekatan Tauhid sebagai model. Inilah kesimpulan
Shamsuddin Jaafar yang mencerminkan pandangan peserta nadwah: “... buku Mohd.
Affandi Hassan, Pendidikan Estetika
Daripada Pendekatan Tauhid banyak
disebut di dalam nadwah itu sebagai model ...” (hal. 19, kesimpulan). Tentu saja Dr. Mana Sikana bukan sebahagian
daripada mereka. Bagaimanakah Dr. Mana
Sikana aka Dr. Abd. Rahman Napiah boleh mengaku beliau menjana teori sastera
Islam jikalau beliau sendiri meremehkan Pendidikan
Estetika Daripada Pendekatan Tauhid dan Gagasan
Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, dengan kata-kata yang tidak
seharusnya keluar daripada seorang sarjana yang mengaku mencintan ilmu seperti
yang dikehendaki dalam Islam:
“Barangkali kita masih ingat ada sebuah gagasan teori sastera Islam yang
dikemukakan oleh Mohd. Affandi Hassan ... Sebenarnya teori ini adalah hasil
dari pengembangan daripada penulisan pengarangnya dalam bukunya Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan
Tauhid 1992, yang antara lainnya mengherdik sastera Melayu yang keterlaluan
dirasuk oleh sastera Barat. Masyarakat sastera, terutamanya pelajar di
institusi pengajian tinggi kurang berminat mendekati dan mengaplikasi teori
ini, akhirnya ia hanya hidup di atas kertas sahaja. Meski kita sedar ada usaha
daripada beberapa pengkaji sastera yang cuba mengetengahkannya, tetapi ia tetap
kurang menarik perhatian” (hal. 119-120, Prosiding.) Waktu ucapan seangkuh itu diucapkan oleh Dr.
Mana Sikana aka Dr. Abd. Rahman Napiah, Persuratan Baru telah dibincangkan
dengan mendalam dalam syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah (2007, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu) dan dalam bukunya yang
penting, berupa kuliah MASTERA 2008, Dinamika
Pemikiran Sastera Melayu (2009); dan buku yang diselenggarakan oleh beliau,
Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori
dan Praktis (2010), untuk menyebut beberapa contoh yang terlalu mudah
didapati dan memang mendapat sambutan
baik, sehingga dua buah buku yang diterbitkan oleh UKM itu sedang dalam cetakan
kedua, manakala syarahan perdana itu pula sudah habis stok. Alhamdulillah. Apakah kualiti ilmiah,
kualiti akademik Prof. Dr. Mana Sikana aka Prof. Dr. Abd. Rahman Napiah,
apabila beliau menyebut Pendidikan
Estetika Daripada Pendekatan Tauhid “mengherdik sastera Melayu yang
keterlaluan dirasuk oleh sastera Barat”, tanpa menyentuh sepatah kata apakah
isi buku itu, yang kini (sejak 2004) telah diterima sebagai salah sebuah karya
penting Abad 20/21 dalam “The Annotated Bibliography Project” yang dianjurkan
oleh Aga Khan University Institute for the Study of Muslim Civilisations (rujuk
hal. 150 Gagasan Persuratan Baru:
Pengenalan dan Penerapan untuk melihat dokumen tentang projek ini). Jika
anda perhatikan kelakuan sasterawan dan sarjana Melayu terhadap kejadian ini,
anda akan melihat bagaimana sasterawan dan sarjana Melayu melompat dan menjerit
kegembiraan apabila Prof. A. Teeuw mengisytiharkan Salina sebuah novel bertaraf antara bangsa; tetapi para sasterawan
dan sarjana sastera diam membisu apabila Pendidikan
Estetika Daripada Pendekatan Tauhid diangkat sebagai sebuah karya penting
Abad 20/21 dalam pembinaan tamadun Islam. Tidak seorang pun tahu, malah
majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri tidak tahu, padahal yang
mengangkat buku itu ialah Prof. Ulrich Kratz dari School of Oriental &
African Studies, University of London. Prof. Ulrich Kratz, by the way, adalah seorang konsultan kepada Dewan Bahasa dan
Pustaka sendiri. Jadi apabia Dr. Mana Sikana aka Dr. Abd. Rahman Napiah,
seorang profesor di UPSI, menulis kertas kerjanya untuk Seminar Teori dan
Kritikan Sastera Malaysia, beliau terus mengulang kutukannya dan rasa marah dan
benci terhadap buku itu sambil menulis kembali kemarahannya itu dalam kertas
kerjanya yang terbaru: “Pendidikan
Estetika Daripada Pndekatan Tauhid antara lain mengherdik sastera Melayu yang
keterlaluan dirasuk oleh sastera Barat”.
Itu sajakah isinya? Dengan sikap begini, bagaimana kita boleh percaya kata-kata
Prof. Dr. Mana Sikana aka Prof. Dr. Abd. Rahman Napiah yang “meratap” sukarnya
mendapat pengkritik baru/muda dari
sekumpulan 20,000 orang muridnya yang sudah beratus mendapat gelar doktor
falsafah dan sarjana sastera. Sebabnya mudah: jika gurunya mempunyai sikap
negatif terhadap ilmu, menulis karya akademik yang tidak mencapai standard yang
wajar dari segi akademik, dan tidak dapat menerima kelebihan orang lain yang
dianggapnya saingan yang berbahaya terhadapnya dan kumpulannya, maka tidak
mungkin sarjana yang begini perangainya akan mendorong murid-muridnya menjadi
lebih pandai daripadanya.
Bandingkan
pandangan seorang sarjana cerdik yang terlebih dahulu menyelidik sebelum membidik
kesimpulannya: “Gagasan Persuratan Baru yang dipelopori oleh Mohd. Affandi
Hassan ternyata merupakan satu gagasan yang lebih tersusun berbanding dengan
gagasan sastera Islam yang muncul sebelumnya. ... Jika diperhalus, gagasan ini
memperlihatkan beberapa percanggahan yang memerlukan pembaikan. Meskipun
demikian, gagasan ini dapat diterima dan dirujuk sebagai sebuah teori
memandangkan telah ada satu metodologi tertentu untuk membaca, dan merungkaikan
teks sastera. Kedudukan ini menjadikan Persuratan Baru berbeza berbanding
dengan wacana sastera Islam yang lain”. (Dr. Faisal Tehrani aka Faisal Musa
dalam bukunya, Wacana Sastera Islam di
Malaysia dan Indonesia (2012), hal. 150-151.
Atau
pandangan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang berikut (tentang penglibatan
beliau dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani meneliti Persuratan Baru):
“Seterusnya,
bergelut dengan PB merupakan satu pegalaman akademik yang bagi kami cukup intellectually stimulating, iaitu begitu
menguja dan mengasah ketajaman pemikiran kami. PB benar-benar mencabar daya
intelektual kami, dan memaksa kami untuk bekerja keras meneliti, mendalami
serta memperhalusi masalah sastera Melayu secara tekun, jitu dan menyeluruh. Di
samping itu, ia juga menuntut keberanian dan kesabaran yang tinggi terutamannya
dalam mengharungi liku-liku dunia kesarjanaan sastera Melayu dewasa ini yang
rata-rata hostile dan sedia
berprasangka terhadap PB serta idea-idea seumpamanya, selain cenderung pula
untuk ber’adawah sesama sendiri. Ternyata, penerapan PB sebagai kerangka
analisis menjadikan tulisan kami kritikal dan sering pula menggugah medan
keselesaan (comfort zone) dunia
sastera Melayu dewasa ini iaitu keutamaan cerita. Ini jelas tidak disenangi.
Reaksi sedemikian, yang tidak pula diiringi perbincangan jitu tentang PB atau
analisis-analisis yang kami ketengahkan, malah menyerlahkan dengan lebih jelas
lagi kepada kami betapa perlunya perspektif alternatif yang menyuburkan ilmu
sebagai tunggak tulisan. Ini membuat kami semakin jelas tentang apa yang perlu
kami terus lakukan. Kami perpendirian bahawa usaha yang kami lakukan adalah
didorong dan terbit tidak lain dan tidak bukan melainkan daripada rasa cinta
kami yang mendalam terhadap ilmu, serta keprihatinan kami terhadap masa depan
persuratan dan tamadun Melayu.” (Gagasan
Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, UKM 2008, hal 215).
Sudah jelas
bahawa komen meremehkan oleh Prof. Dr. Mana Sikana aka Prof. Dr. Abd. Rahman
Napiah tentang Persuratan Baru tidak cocok dengan kedudukannya sebagai seorang
ahli akademik yang sewajarnya dihormati, seorang profesor pula, yang
diamanahkan untuk bercakap benar kepada para peserta seminar yang terdiri
daripada ahli-ahli akademik dan para profesor serta para pelajar beliau
sendiri. Katalah beliau memang jujur
ketika membuat komen yang meremehkan itu, adakah beliau melakukannya sebagai
seorang profesor yang berwibawa? Seorang profesor yang berwibawa tentu saja
menyemak maklumatnya terlebih dahulu, dan sekiranya dia tidak pasti dia akan
bertanya atau paling baik mendiamkan diri
(seperti yang dinasihatkan oleh Nabi SAW kepada orang Islam) supaya
tidak terlalu ketara motifnya yang boleh dituduh tidak baik itu. Jika beliau
memang tidak jujur dan tidak amanah, bagaimana beliau akan membina para pelajar
yang jujur dan mencintai ilmu, padahal guru mereka sendiri tidak amanah dan
begitu mudah meremehkan ilmu. Jika kita
kaji semua ini, maka rungutan beliau yang saya salin di atas ternyata hanya
omong kosong, sejenis retorik kosong seperti yang dituduh oleh K. B. Tan dalam
notanya kepada Dewan Sastera. Apakah jenis peribahasa atau bidalan yang
boleh kita gunakan untuk menggambarkan keadaan ini?
Paling dikesali, semua ini terjadi di
Universiti Perguruan Sultan Idris, tempat para guru dididik untuk menjadi
cerdik dan mencintai ilmu, supaya jujur dan amanah dalam mendidik para pelajar
mereka. Dan jika kita benar-benar jujur, Persuratan Baru sangat wajar jika
dijadikan subjek utama dalam pendidikan sastera. Tetapi yang kita perlukan,
sebenarnya, ialah memulai pendidikan estetika daripada pendekatan tauhid,
dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru sebagai landasannya. Beranikah UPSI melakukannya sebagai hasil
seminar yang diadakan itu? Seperti yang diajarkan kepada kita, semuanya hanya
akan terjadi dengan izin Allah, dan tiada sebarang tentangan daripada sesiapa
sekali pun boleh menghalangnya. Peringatan al-Quran: “Wahai orang-orang beriman, mintalah pertolongan daripada Allah dengan
kesabaran dan dengan doa (solat); sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.”
Katalah
teksdealisme itu boleh dipakai untuk menilai seseorang pengarang dari segi
kemajuan kepengarangannya (bukan karyanya), bagaimana pula kita boleh menilai
seorang ahli akademik dan seorang pengkritik sastera yang unggul? Mungkin untuk
para kritikus kita boleh gunakan teori tikusdealisme, yakni kritikus yang
ideal itu mempunyai empat unsur juga seperti dalam teksdealisme. Masalah besar ialah keempat-empat faktor itu
bukan ukuran, hanya pemerian (description)
tentang sesuatu proses yang perlu
dilalui. Ukuran tidak begitu: pengkritik perlu tunjukkan dia faham konsep yang
rumit-rumit, boleh gunakan konsep dengan cekap, tahu batas-batasnya, hujahnya
bernas, buktinya utuh, sistem pemikirannya jelas, dan lain-lain sebagainya yang
berkaitan dengan kecemerlangan akademik. Semua ini, menurut K. B. Tan, tidak ada pada Dr
Mana Sikana aka Abdul Rahman Napiah, sehingga memaksanya menulis satu nota
untuk meluahkan kejengkelannya. Jadi jelaslah teori tikusdealisme tidak boleh dipakai walaupun setaraf dengan
teksdealisme.
Jika anda ingin
tahu dan mahu melihat bagaimana seorang mahaguru tulen mendidik pelajar beliau
mencapai standard yang tinggi, anda bacalah buku Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib
al-Attas (2012).
Dalam tahun
1994, saya terbitkan kumpulan haiku Melayu, berjudul Cendera Kirana, yang saya gunakan untuk kursus pengurusan peringkat
tinggi di INTAN dalam pemikiran kreatif. Dalam buku itu terdapat sebuah haiku
berikut: Belalang melompat/ Padang luas
kosong/ Helang di gunung (hal. 4). Tentu anda masih ingat beberapa
peribahasa Melayu yang bercerita tentang belalang dan helang ini. Helang
dari atas gunung boleh nampak belalang
yang melompat di padang luas kosong; tetapi nampakkah belalang helang yang di
atas gunung? Itulah perbezaannya.
Mohd.
Affandi Hassan,
22 Oktober,
2012.