Saturday, September 29, 2012

LAGI TENTANG PEMBAKUAN UKURAN DALAM KRITIKAN SASTERA


Kucing kurus menggaru papan/ Papan digaru si kayu jati;
Adakah kurus kerana tak makan?/ Kurus makan maklumat basi

Masalah pembakuan ukuran dalam penilaian sastera menjadi semakin penting ditangani apabila sudah jelas sekarang bahawa Panel Anugerah Sastera Negara sudah gagal memberikan sekadar isyarat bahawa Panel itu, selepas 40 tahun,  menuju ke arah pembakuan ukuran dalam analisis dan penilaian karya kreatif di Malaysia. Sepatutnya perkembangan  ke arah ini sudah bermula, tetapi yang terjadi adalah sebaliknya.  Laporan panel  Anugerah Sastera Negara untuk tahun 2009 dan 2012 adalah yang paling lekeh dan paling rendah kualitinya, baik dari segi analisis mahu pun dari segi penilaian terhadap karya sasterawan negara yang mereka lapor.  Saya tidak perlu mengulang pandangan saya, cukup jika pembaca merujuk posting bertarikh  (antara lain) 9 November 2011 tentang tiga beban besar dalam sastera Melayu; posting 13 November 2011; posting 14 Disember 2011; posting 18 Julai 2011; posting untuk bulan Julai 2011 yang membicarakan secara khusus peranan Panel Anugerah Sastera Negara sebagai  penilai yang gagal memberi ukuran yang tepat jelas dalam laporan mereka; dan terakhir, posting  19 September 2012 membincangkan persoalan ini sebagai “pembakuan ukuran” dalam kritikan sastera. Posting terakhir ini penting  kerana tulisan yang lepas tidak dapat difahami dengan baik oleh para sarjana, pengkritik dan pembaca umum, oleh itu mereka tidak berasa perlu Panel Anugerah  Sastera Negara dikritik, kerana bagi mereka Panel itu telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang dan sangat ilmiah (tinggi kualiti akademiknya). Tetapi yang anehnya, saya belum lagi bertemu sebuah tulisan yang cerdik dan akademik yang membela Panel Anugerah Sastera Negara; cerita-cerita yang saya dengar masih berupa gosip sastera yang dibincangkan secara iseng-iseng ketika para penggosip ini ingin mengumpat sesama mereka.

Mengapa kita tidak boleh kritik Panel Anugerah Sastera Negara? Bagus juga jika ada orang yang bersedia membincangkan perkara ini, supaya kita boleh lihat kekuatan Panel Anugerah Sastera Negara dari segi analisis, penghujahan, dan penilaian yang mereka lakukan terhadap karya kreatif yang mereka nilai. Saya sendiri tidak bertemu dengan kekuatan itu, mungkin kerana saya melihat dari sudut lain yang tidak terfikir oleh Panel, atau memang sebenarnya laporan itu tidak menyerlahkan apa-apa pandangan yang bernas tentang kritikan sastera Melayu. Itulah sebabnya saya  pernah mencadangkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka supaya bermurah hati memberi  bantuan kewangan secukupnya kepada seorang (atau lebih) yang ingin menulis tesis Ph.D. tentang sumbangan Panel  Anugerah Sastera Negara dalam bidang kritikan sastera dan dalam menentukan ukuran yang agak baku yang boleh diterima untuk menjadi panduan  sepanjang zaman dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden. Lekeh sangatkah para calon sarjana kita sehingga tidak seorang pun tampil menyahut cabaran ini? Saya tidak fikir Dewan Bahasa dan Pustaka terlaku lokek untuk memberi bantuan kewangan yang diperlukan oleh calon berkenaan. Saya harap calon yang berminat akan tampil.

Masalah pembakuan ukuran ini amat perlu dibincangkan dengan mendalam oleh para sarjana kita kerana kita mahu lihat apakah ukuran yang telah dibakukan dalam kritikan sastera Melayu.   Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir telah banyak menulis tentang perkara ini, dalam konteks perkembangan konsep realisme dalam kesusasteraan Melayu moden.  Secara umumnya sastera Melayu telah menjadikan realisme yang dipraktikkan  dan difahami di Barat sebagai falsafah (?)  sastera Melayu, yang menjadi nilai teras dalam kritikan sastera Melayu.  Panel Anugerah Sastera Negara  menerima realisme sebagai dasar penulisan kreatif di kalangan sasterawan; dan berasaskan penerinaan itu, maka atas nama realisme para sasterawan diberi kebebasan yang luas untuk menjadikan realisme itu sebagai teras penulisan mereka. Dalam pembelaan para sasterawan  ketika dikritik mengapa mereka menulis hanya keburukan sahaja, mereka menjawab, semua itu memang ada dan terjadi dalam masyarakat. Mereka tidak terasa jawapan ini sangat lemah dan terlalu cetek untuk diterima, kerana bagi mereka, asal saja sesuatu itu terjadi dan memang didapati berlaku dalam masyarakat, maka itulah realisme dan sasterawan berhak menulis tentangnya. Demikianlah lahirnya novel Shit, TIVI, Terdedah, Kuala Lumpur Kita Punya, Langit Petang, Salina, dan novel-novel erotik/lucah karya Azizi Hj. Abdullah.  Adakah ini idea tentang realisme yang sebenarnya? Memang benar, itulah realisme, kata Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.  Kesimpulan mereka diterima oleh hampir semua para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera.  Shahnon Ahmad ketika mempertahankan TIVI tidak lucah, menegaskan bahawa apa yang ditulisnya di dalam novel itu adalah benar-benar berlaku dalam masyarakat Melayu, dan itulah realiti yang tidak boleh dinafikan, yang mesti diterima kewujudannya. Pendapat beginilah yang memberinya laluan untuk menulis karya-karya lucah sebagai karya realistik yang mencerminkan masalah masyarakat. Pandangan begini pada umumnya menjadi pegangan para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, dengan Panel Anugerah Sastera Negara menjadi pelindungnya. Itulah aliran perdana yang ditakdiskan dalam sastera Melayu moden. Sejauh mana aliran perdana ini merupakan penyelewengan sistem nilai yang sudah dibakukan dalam peradaban Melayu? Pertanyaan ini hanya boleh dijawab sekiranya masalah pembakuan ukuran ini dibahaskan terlebih dahulu, terutama sekali dalam konteks kedudukan apa yang dinamakan aliran perdana itu.

Punca yang melahirkan kekeliruan besar tentang apa yang disebut aliran perdana ini ialah konsep sastera yang dipegang oleh para sasterawan dan disokong oleh para sarjana dan pengkritik sastera. Pertama sekali harus diakui konsep sastera yang menjadi pegangan para sasterawan ini adalah konsep sekular yang diterima dari Barat, yang menjadikan kebebasan imaginasi sebagai asas utama dalam bidang kreatif.   Dari perspektif ini, maka lahirlah karya-karya eksperimen yang dengan cepat dan mudah diisytiharkan membawa perkembangan baru dan kemajuan yang menakjubkan dalam kesusasteraan Melayu. Antara contoh yang dibanggakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ialah cerita pendek Anwar Ridhwan, “Dunia Adalah Sebuah Apartment”, sebuah karya yang “filosofikal” dan membawa jalur baru yang tersendiri dalam penulisan cerita pendek di Malaysia.  (Lihat Laporan 2009). Saya mengatakan (posting 29/8/2012) tema cerita pendek ini sudah jadi klise dalam sastera Melayu moden, ditulis oleh seorang sasterawan yang belum dewasa yang masih kuat terpengaruh dengan  karya Umar Kayam misalnya (penulis “Seribu Kunang-kunang di Manhattan”).  Dalam posting itu saya memberi contoh sebuah cerita pendek A. Samad Ismail tentang pelacuran dan perzinaan (tema agung sastera Melayu yang juga menjadi tema utama karya ulung Anwar Ridhwan) yang jauh lebih matang dari segi pengolahan daripada cerita pendek Anwar Ridhwan tadi.  Tetapi kematangan seorang pengarang atau sasterawan tidak dijadikan ukuran penting oleh Panel Anugerah Sastera Negara. A. Samad Said yang menulis Salina dalam umur awal duapuluhan  tidak menampakkan kematangan dalam karya terkenal beliau itu, meskipun dari segi kreatif beliau telah menunjukkan kebolehannya hasil dari peniruannya terhadap teknik novel Barat; tetapi dari segi “pemikiran” beliau belum lagi dapat mengolah masalah masyarakat bawahan yang dipilihnya selain dari bercerita tentang mereka dan merakamkan perbualan mereka (aspek ini yang menarik perhatian dan minat Prof. A. Teeuw yang memuji karya ini).   Kelemahan ini dapat dilihat jika kita bandingkan karya beliau Hujan Pagi yang ditulisnya setelah sekian lama beliau bergelar sasterawan negara.  Tetapi karya ini pun masih dalam lingkungan peniruan teknik, khususnya teknik realisme magis yang dipakai agak luas dalam Hujan Pagi.  Bolehkah kita berkata “kematangan” A. Samad Said adalah “kematangan” dari segi peniruan teknik dari Barat, yang memperlihatkan kesugguhannya untuk meletakkan karyanya dalam lingkungan karya-karya Barat dengan harapan beliau juga akan diberi kesempatan untuk dipertimbangkan untuk memenangi Hadiah Nobel.  Adakah ini cita-cita dan matlamat yang baik? Untuk dirinya mungkin itulah yang terbaik, tetapi untuk negara  tidak ada apa-apa yang dapat dibanggakan. 

Beralih kepada seorang tokoh lagi, Shahnon Ahmad.   Adakah beliau dilantik menjadi sasterawan negara kerana “kematangan” karyanya? Jika kita dapat jadikan laporan tentang dirinya yang hanya berjumlah 21 halaman, paling pendek di antara laporan Panel Anugerah Sastera Negara, maka sukar untuk kita berkata beliau dipilih, ketika itu, untuk dijadikan sasterawan negara kerana kematangan karyanya. Tentulah ada sebab-sebab lain yang tersembunyi. Antara faktor yang sering disebut ialah kegiatan politiknya dalam UMNO ketika itu. Faktor kedua mengenai peranan Asas 50 dalam pemilihan. Setelah Keris Mas terpilih, calon kedua yang “layak” ialah Usman Awang; tetapi dari segi strategi pemilihan ini tidak bagus kerana akan terdapat rungutan apabila kedua-dua tokoh Dewan Bahasa dan Pustaka keturunan Asas 50 dipilih berturut-turut; maka tampillah Shahnon Ahmad, aktivis politik UMNO di Kedah ketika itu. Masa terlalu suntuk untuk menulis laporan tentang beliau dengan terperinci; atau lebih tepat ketika itu tiada banyak yang dapat ditulis tentang sasterawan ini kerana karyanya masih terbatas, dan itu pun tidak semuanya bermutu. Tetapi sebagai satu strategi, pilihan terhadap Shahnon Ahmad adalah tepat, kerana apabila tiba giliran Usman Awang, laporan tentang diri dan karyanya adalah yang terpanjang di antara semua laporan yang pernah ditulis dan diterbitkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Laporan itu mungkin telah wujud, telah siap, ketika Shahnon Ahmad diputuskan untuk menjadi sasterawan kedua menduduki takhta sasterawan negara. Jika anda masih ingat ucapan penerimaan Keris Mas yang bercakap tentang politik sastera dan sastera politik, maka tentulah anda akan mengerti bahawa pemilihan Shahnon Ahmad adalah hasil dari politik sastera (untuk mudah difahami, bandingkan dengan politik pentadbiran, politik bahasa, politik akademik, politik kenaikan pangkat, dan yang semacam dengannya).  Beliau tidak dipilih kerana kematangan karyanya, sama seperti A. Samad Said tidak terpilih kerana kematangan karyanya.  Tetapi adakah pilihan itu tidak tepat? Soalan ini tidak timbul ketika itu, kerana Shahnon Ahmad seorang penulis popular dan seorang aktivis politik UMNO pula. Soalan itu hanya timbul waktu ini, dibawa oleh Shahnon Ahmad sendiri yang menetapkan kematangan itulah faktor utama dalam pemilihan dan perlantikan seorang sasterawan negara. Beliau sentuh (hanya sentuh, bukan menganalisisnya dengan tuntas) persoalan ini dalam tulisan terbaru beliau dalam Dewan Sastera, September 2012, berjudul “Kematangan”. Terima kasih kepada seorang teman kerana menunjukkan tulisan itu kepada saya, kerana katanya persoalan ini berkaitan dengan idea pembakuan ukuran dalam kritikan yang saya bincangkan dalam blog ini.  

Soalan: Bolehkah kita jadikan kematangan sebagai ukuran yang baku dalam pemilihan seorang sasterawan negara?  Maksudnya, hanya seorang sasterawan yang betul-betul matang dalam penghasilan karyanya dan matang pula sebagai seorang sasterawan, yang layak dipilih untuk dilantik menjadi sasterawan negara. Jika kita membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara dengan kritis, dan mengemukakan dua contoh yang baru saya sebut, maka nampaknya kematangan tidak pernah dijadikan ukuran oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Apabila Shahnon Ahmad mencadangkan kematangan sebagai ukuran yang baku dalam pemilihan seorang sasterawan negara, adakah beliau mengemkukakan sesuatu yang penting dan patut diterima? Sebenarnya ukuran yang beliau utarakan itu telah ditolak mentah-mentah oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Jika kematangan itulah yang menjadi penentu layak tidaknya seorang sasterawan diberi kedudukan sebagai sasterawan negara, maka sudah tentu yang pertama layak diberi kedudukan itu ialah Ishak Hj. Muhammad, diikuti oleh A. Samad Ismail, dan seterusnya Kassim Ahmad sebagai seorang pensajak yang mantap dan satu-satunya sasterawan intelektual yang tepat dengan gelaran “sasterawan intelektual” itu. Selepas itu barulah Keris Mas dan seterusnya. Tetapi mengapa tiga orang sasterawan ini terlepas  peluang itu? Sebenarnya mereka dinafikan peluang itu kerana adanya politik sastera dan kuatnya pengaruh politik sastera itu di Malaysia di kalangan orang sastera. Ketiga-tiga mereka adalah tokoh politik kiri yang sangat terkenal di Malaysia, walaupun A. Samad Ismail sudah diterima oleh Tun Razak ketika beliau menjadi Perdana Menteri.  Ketika beliau masih hidup, Bung Karim selalu memberitahu saya, dengan kesal dan terkilan, bahawa dia sudah berkali-kali mengemukakan nama Ishak Hj. Muhammad untuk diabadikan namanya di sebuah sekolah menengah. Bung Karim memberitahu, Pak Sako (gelaran mesra Ishak yang diberikan oleh Jepun) dituduh seorang komunis, oleh itu tidak layak dijadikan nama sebuah sekolah. Bagaimana pun, saya ada dengar kabar, sudah ada sebuah sekolah di Pahang yang memakai nama beliau. Di mana sekolah itu saya tidak pasti, mungkin orang Pahang boleh memberitahunya.   Lagi pula beliau sudah diberi gelaran “Dato’”, oleh itu bukan lagi seorang komunis. Saya tidak pernah dengar seorang komunis diberi gelaran “Dato’”!        

Kematangan mungkin boleh dijadikan ukuran dalam kritikan, tetapi tidak dalam konteks Shahnon Ahmad. Dalam tulisan yang dirujuk, kita melihat egotisme (keangkuhan dan kesombongan melampau)   seorang sasterawan negara yang memandang rendah para sasterawan yang tidak setaraf dengannya, walaupun sasterawan itu mempunyai kualiti tertentu.  Mari kita lihat bagaimana egotisme itu dilonjakkan dengan angkuh:   “Seorang sasterawan dari Sungai Petani beria-ia benar  dengan nama calonnya [untuk dijadikan sasterawan negara] dan meminta pendapat saya. ... Saya berdiam diri saja. Calon ini memang seorang sasterawan yang agak lama, begitu prolifik, lantang suaranya dalam sebarang aktiviti sastera. Memang layaklah sasterawan ini dicalonkan, tetapi saya terus membisu.  Seorang teman dari Kuala Lumpur meminta pandangan saya dengan pencalonan seorang sasterawan yang agak ulung dan terkenal. Karyanya banyak. Sering menang hadiah sastera. Sering menang sayembara novel. Seorang Sarjana dengan gelaran Doktor. Seorang yang benar-benar komited dengan sastera. Saya membisu sahaja.  Seorang teman lagi mencalonkan wanita. Beberapa nama calon wanita dikemukakan. Semuanya sasterawan besar juga. Banyak karya. Terkenal seluruh negara. Sajaknya banyak. Cerpennya pun banyak. Novelnya pun banyak. Apakah pandangan saya dengan calon-calon wanitanya itu? Saya terus berdiam diri bagaikan seketul tunggul gerigis.  Kalau diperhitungkan dari segi kuantiti karya, memang banyak calon yang boleh dikekmukakan; malah senarainya berjela-jela. Banyak yang menang sayembara novel yang sering diadakan. Banyak sajak yang dimilikinya dalam antologi puisi dan jumlah puisi ecerannya berjumlah ratusan. ... Seperti yang saya tegaskan, bukan itu saja yang menjadi faktor ukuran penilaian untuk dinobatkan sebagai sasterawan negara. Satu faktor yang utama dan sering dilupakan oleh orang adalah kematangan karya dan kematangan sasterawan.”   

Adakah dengan kata-kata itu Shahnon Ahmad memperlihatkan beliau seorang yang tegas dalam menentukan ukuran penilaian? Tidak. Itulah suara seorang yang amat tinggi daya egotismenya. Beliau sudah lupa bahawa ketika beliau dipilih, bukan ukuran yang ditetapkannya kepada orang lain yang dipakai. Ukuran yang dipakai ialah ukuran dari segi politik sastera yang menyebelahinya. Tidak sedikit pun kelihatan apa yang beliau sebut sebagai “kematangan” itu yang ditonjolkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Laporan yang ditulis untuk beliau pendek, ditulis tergesa-gesa, mencerminkan kelemahan Panel dan sekali gus mengheret Shahnon Ahmad  ke dalam politik sastera yang tidak bersangkut-paut dengan “kematangan” karya dan beliau sendiri sebagai seorang sasterawan. Sebagai contoh, novel yang mendapat pujian tinggi Panel, Ranjau Sepanjang Jalan, adalah sebuah karya tentang kebodohan petani Melayu yang ditulis secara sensasi untuk membangkitkan rasa simpati pembaca, yang pada hakikatnya berasaskan konsep tragedi yang bertentangan dengan Islam.  (Lihat penjelasan terperinci tentang tragedi dalam Adab dan Peradaban ... , bab 10). Jika anda membaca novel ini dengan kritis, anda akan dapati novel ini pada hakikatnya menghina prinsip-prinsip Islam, tetapi mengangkat kepercayaan Hindu-Budha berasaskan fatalisme, yang bertentangan dengan worldview Islam.   Novel ini bukanlah sebuah novel yang matang dari segi pengolahan, tidak juga matang dari segi idea yang cuba diketengahkan,  lebih-lebih lagi tidak matang  jika potret perwatakan di dalam novel ini dianalisis dari segi psikologi  manusia berakal yang berpegang kepada ajaran Islam.  Semua kesimpulan ini boleh diuji ketepatannya dengan melihat bagaimana pengarang menggunakan ruang naratif untuk membina novelnya dan sekali gus menyerlahkan “pemikiran” pengarang melalui penggunaan wacana dari perspektif stylization of ideas, ia itu “pemikiran” tadi diberi bentuk yang konkrit melalui perwatakan  yang menolak sebarang unsur tragedi, sebaliknya menggunakan akal dan ikhtiar berasaskan kefahaman yang betul tentang Islam. Ini semua tidak ada, oleh itu apa yang disebut sebagai “kematangan” itu tidak muncul. Yang muncul ialah tragedi bercorak sensasi  berlebihan  (misal: “penderitaan” ditusuk nibung, yang boleh diuruskan dengan mudah dan cepat  jika watak itu seorang yang cerdik dan tahu menggunakan kemudahan kesihatan yang memang boleh didapati dengan mudah hatta oleh orang ulu yang paling ulu sekali pun!).  Jalan mudah yang diambil oleh Shahnon Ahmad untuk membina wataknya hanya berjaya membina karikatur yang lebih lemah daripada patung wayang kulit (yang sebenarnya mempunyai peribadi dan maruah), yang tidak langsung mencerminkan kehidupan petani yang susah, tetapi tahu menyelesaikan masalah mereka. Novel ini barangkali akan menjadi lebih baik jika dijadikan komek untuk bacaan budak-budak sekolah, dengan syarat bahasanya ialah bahasa Melayu standard.  “Kematangan” yang disebut oleh Shahnon Ahmad boleh dilihat dan boleh dikesan dengan mudah jika novel ini dibaca dalam mod bacaan intelektual yang mementingkan ilmu dan pemikiran; sebaliknya jika dibaca dalam mod bacaan cerita, maka semua kelemahan novel ini boleh ditutup dan aspek ceritanya tidak dilihat secara kritis, malah dibiarkan hanyut dalam fantasi seperti yang disogokkan oleh pengarang. Cara ini tidak sesuai jika kita benar-benar mahu menilai kematangan seseorang pengarang.    

 Shahnon Ahmad berulang kali menegaskan “kematangan” adalah ukuran yang subjektif; beliau tidak memberitahu bagaimana boleh dijadikan suatu ukuran yang objektif.  Suatu ukuran yang subjektif, walaupun boleh dipakai, kegunaannya amat terbatas, mungkin dalam lingkungan 25-30 peratus, ertinya agak kecil dari segi keberkesanannya.  Oleh itu bukan ukuran utama, hanya ukuran sampingan. Kematangan akan hanya menjadi ukuran utama jika dijadikan ukuran yang objektif dengan meletakkan kematangan itu dalam konteks tertentu. Misalnya, kita boleh mengukur kematangan seseorang sasterawan dengan melihat bagaimana dia menggunakan wacana dalam ruang naratif yang dibinanya, dibandingkan dengan isian cerita yang mengiringi isian wacana tadi. Jika yang diutamakan ialah isian cerita dalam ruang naratif itu, maka kematangan sukar dinilai dengan objektif; oleh itu diperlukan perbandingan dengan melihat isian wacana yang bersifat intelektual, atau yang bersifat pemikiran. Jika pemikiran itu lebih diutamakan dalam ruang naratif tadi, maka besar kemungkinan kematangan sang penulis boleh diukur dengan menganalisis bagaimana dia bermain dengan idea yang dikemukakannya, yakni bagaimana dia mantakrif idea itu dalam konteks cerita yang dikisahkannya. Jadi cerita tidak dibiarkan hanyut, seperti yang berlaku dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan.    Kalau anda tidak faham penjelasan ini, bacalah sampai anda faham, tidak rugi.       

 Persoalan pembakuan ukuran ini penting dalam kritikan sastera Malaysia, yang sudah sekian lama hanyut dalam penilaian umum berasaskan common sense   seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.  Kesahihan laporan ini perlu dicabar, jika kita benar-benar ingin meningkatkan pemikiran dalam kritikan sastera dan dalam bidang kreatif.  Pandangan umum yang berdolak-dalik yang diutarakan oleh Shahnon Ahmad, seorang Profesor Emeritus yang dihormati dan seorang sasterawan negara, juga perlu dicabar dengan tuntas  supaya khayalan akademik tidak lagi menjadi ocehan isengan para sarjana dan sasterawan kita. Ocehan atau idle talk ini sudah lama berlegar dalam sastera Melayu,  jadi sudah patut ditamatkan riwayatnya dengan sanggahan akademik yang benar-benar berpijak pada konsep ilmu yang benar.    Tidak ada kompromi untuk itu, supaya kita tidak sentiasa riuh rendah dalam idle talk  setelah sastera menjadi subjek tersendiri dan mempunyai disiplin tertentu. Disiplin ilmiah atau disiplin akademik tidak dibina di atas lumpur idle talk   seperti yang dilakukan oleh Prof. Emeritus Shahnon Ahmad, sang sasterawan negara, dan rakan-rakannya yang kita tahu siapa mereka.   Kita perlu menuju ke arah pembakuan akademik seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas; dan ini termasuk juga dalam pembakuan ukuran dalam kritikan sastera.           

 

Mohd. Affandi Hassan,

28/9/2012.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                    








Wednesday, September 19, 2012

MEMBAKUKAN UKURAN DALAM KRITIKAN SASTERA


Ukuran yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka tidak menjurus kepada pembakuan ukuran (atau standard) dalam kritikan sastera. Setiap laporan ditulis mengikut cita rasa Panel yang menilai seseorang sasterawan negara yang mereka pilih berasaskan “common sense” (bukan teori tertentu), oleh itu terdapat perbezaan dari segi ukuran yang dipakai.  Misalnya, untuk laporan Muhammad Haji Salleh, peranan beliau sebagai “sasterawan intelektual” lebih diberi perhatian, tetapi tidak terhadap A. Samad Said, yang lebih diberi tumpuan kepada peniruan beliau dalam teknik dan gaya dan dalam memadankan karyanya kepada aliran tertentu (realisme, naturalisme, realisme baru antara yang disebut dalam laporan); manakala untuk Shahnon Ahmad lebih ditekankan kepada bahasa daerah Kedah, dengan tumpuan kepada masalah kemiskinan dan kepercayaan takhayul watak-watak dalam novel beliau. Berasaskan kaedah ini, setiap karya seseorang sasterawan negara adalah unik (unique, dalam maksud istimewa) yang membezakan kedudukan mereka sebagai sasterawan negara yang tidak semestinya setaraf. Misalnya, melalui laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita mendapat kesan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh adalah yang paling tinggi kedudukannya di antara para sasterawan negara kerana aspek “intelektual” yang ada padanya; manakala Anwar Ridhwan pula mempunyai keistimewaan lain dalam konteks persembahan (presentation) karyanya, yang boleh dikatakan hampir menyerupai dan menyamai karya Barat moden. Anda boleh lihat perbezaan kedudukan ini jika anda meneliti laporan yang telah diterbitkan.

Bagaimana kita boleh pastikan ukuran yang dipakai itu benar-benar mencungkil “keistimewaan” seseorang sasterawan negara di atas yang lain? Bagaimana konsep “sasterawan intelektual” itu ditakrif dan difahami? Adakah penggunaan bahasa daerah semestinya satu keistimewaan yang mesti diberi sanjungan dan pujian tinggi? Adakah eksperimen dalam simbolisme yang dikatakan digunakan oleh seorang sasterawan negara tertentu berbeza sifatnya daripada yang digunakan oleh penulis lain? Misalnya, eksperimen Anwar Ridhwan dikatakan amat istimewa sehingga membentuk satu jalur tersendiri dalam perkembangan cerita pendek Malaysia. Eksperimen yang bagaimana dan simbolisme tentang apa yang benar-benar boleh melonjakkan seseorang penulis menjadi penulis istimewa?  Apabila persoalan-persoalan ini ditanyakan dan diminta penjelasannya, maka kita dapati ukuran (kriteria) yang dikatakan “mengistimewakan” seseorang sasteraswan daripada yang lain, ukuran umum yang boleh digunakan dengan selamat dan tepat  apabila kita pakai ukuran itu kepada seseorang sasterawan, memerlukan landasan yang setara supaya sebaik saja kita gunakan ukuran itu kita dapat melihat kehebatan seorang sasterawan negara dibandingkan dengan yang lain. Sekiranya kita menggunakan istilah biasa yang sudah menjadi klise, seperti plot, latar belakang, sudut pandangan, gaya dan sebagainya, kita masih perlukan “tapak” yang akan menjadi asas kepada istilah-istilah itu. Misalnya, jika kita berkata plot A sangat kemas dan tersusun, berbanding dengan plot B, kita mesti menghuraikan apakah yang kita maksudkan dengan “plot yang kemas” dan “plot yang longgar”.  Dalam sistem kritikan yang ada sekarang, penjelasan itu tidak jelas, terlalu kabur dan oleh itu sebenarnya tidak dapat dijadikan ukuran yang pasti dan sah.  Kita masih boleh pertikaikan sanjungan dan pujian yang diberikan kepada sasterawan dengan menggunakan ukuran tadi, dan kita akan dapati ukuran itu terlalu longgar dan relatif, boleh dikenakan terhadap sesiapa saja, sehingga dengan itu saterawan negara tidaklah istimewa seperti yang didakwa.   Terdapat sasterawan negara yang sedar akan hal ini, dengan itu memberi amaran kepada para pengkritik mereka supaya hanya menulis tentang “kebaikan” dan “keistimewaan” mereka dengan melambakkan gugusan pujian yang tidak diiringi analisis dan pembuktian.  Ini bererti sasterawan negara sendiri sedar bahawa mereka bukan golongan “istimewa”, tetapi sekadar “diistimewakan” oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam satu pembinaan mitos palsu yang disenangi oleh para sasterawan negara ini dan para peminat mereka. Dalam dunia ilmu, perbuatan ini adalah sejenis pengkhianatan ilmiah yang tidak boleh diterima, oleh itu kaedah terbaik perlu dimajukan supaya apa juga sanjungan dan pujian yang dilemparkan terhadap para sasterawan negara ini benar-benar berasaskan ukuran yang tepat, objektif dan jitu. Pendeknya, kita perlu menuju ke arah pembakuan ukuran berasaskan prinsip tertentu yang boleh saja digunakan untuk semua sasterawan, penulis dan manusia yang sejenis dengan mereka.

Apakah yang dimaksudkan dengan pembakuan ukuran itu? Dalam dunia ilmiah/akademik, pembakuan ini telah diwujudkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas melalui syarahan pengukuhan beliau yang disampaikan pada tahun 1972, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.  Walaupun banyak terdapat “sungutan” daripada para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera tentang beberapa pendapat beliau yang mengejutkan mereka, namun hingga sekarang masih belum terdapat sebarang sanggahan daripada mana-mana profesor atau ahli akademik yang tidak puas hati itu. Demikianlah proses pembakuan akademik itu berlaku dalam kebisuan bantahan para sarjana yang “mati akal” kerana tiada hujah untuk menyanggah  rumusan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya itu. Dengan terbinanya ISTAC, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas mengukuhkan pembakuan ilmiah dalam bidang akademik di Malaysia dan diperingkat antarabangsa dengan melahirkan para siswazah yang boleh menulis dan berhujah dengan cekap, seperti yang mereka buktikan dalam tesis sarjana dan kedoktoran mereka. Dalam konteks ini, mereka telah meletakkan standard yang tinggi dalam tulisan mereka, sehingga layak dijadikan ukuran dalam perbandingan untuk menilai karya akademik di luar lingkungan mereka: Adakah mereka yang di luar itu telah sampai atau mengatasi standard yang telah ditunjukkan oleh para siswazah ISTAC ini? Pertanyaan ini terbuka untuk disanggah oleh sesiapa saja yang mahu menyanggahnya.

Dalam dunia kritikan sastera, pembakuan itu mustahil dapat dilakukan oleh ahli akademik yang berada dalam bidang kritikan ini. Mereka tidak dapat melakukannya kerana adanya kecelaruan kognitif (cognitive dissonance) dan kekeliruan estetik (aesthetic confusion) yang menjangkiti mereka akibat terlalu banyak menelan dadah teori sastera Barat yang seringkali memabukkan mereka.  Contoh kemabukan teori dan pendekatan kritikan sastera Barat ini telah banyak dibicarakan dalam beberapa buah tulisan saya, yang sampai ke kemuncaknya dalam analisis saya tentang keindahan bahasa berdasarkan kosep ihsan (lihat Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan Untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, 2012).  Dalam analisis itu, saya menunjukkan, dengan bukti, betapa kelirunya konsep “keindahan bahasa” dalam kesusasteraan yang difahami dan dipraktikkan dalam sastera Melayu, sedangkan berdasarkan konsep yang keliru inilah para sarjana dan sasterawan mempertahankan kedudukan istimewa (menurut pandangan mereka) karya sastera. Seluruh analisis mereka yang dibuat selama ini adalah berasaskan konsep keindahan bahasa yang palsu, dengan konsep inilah karya para sasterawan negara dinilai. Anda boleh fikirkan sendiri betapa segala keriuhan tentang keindahan bahasa ini telah gagal untuk meletakkan karya sastera sebagai karya seni yang indah dan bermakna,  dengan kelemahannya yang utama ialah tiadanya ukuran yang boleh digunakan untuk membezakan penggunaan bahasa yang benar-benar indah dengan yang bersifat picisan, sehingga segala sampah sarap sastera picisan itu diangkat menjadi bahasa sastera yang indah, seperti yang ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam Laporan 1985 dan  Laporan 1996 (untuk memberi dua contoh yang paling menonjol) dan laporan sebuah panel lain, Laporan Hadiah Sako II.  

Pembakuan ukuran tidak dapat, malah mustahil, dilakukan oleh para sarjana dan pengkritik sastera kerana mereka begantung sepenuhnya kepada pendekatan dan teori Barat, oleh itu mereka berdepan dengan kontradiksi yang amat membingungkan.  Bayangkan mereka harus berdepan dengan tidak kurang dari 22 pendekatan dalam teori sastera Barat yang saling bertentangan satu sama lain kerana setiap satunya memberikan penekanan yang berbeza untuk mencapai matlamat yang berbeza. (Angka 22 ini saya ambil dari penjelasan Prof. Ungku Maimunah dalam buku beliau, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan.)  Paling mengusutkan, setiap pendekatan itu ialah tiadanya huraian tentang konsep ilmu dalam konteks epistemologi Barat sekali pun. Kita hanya dapat mengagak bahawa semua teori dan pendekatan Barat itu menolak konsep ilmu seperti yang kita fahami dalam Islam, dengan itu semua penilaian adalah relatif, berasaskan pandangan peribadi pencetus teori atau pendekatan tadi, walaupun ada di antara teori itu bersumber dari falsafah Plato dan Aristotle. Tanpa huraian yang mendalam tentang epistemologi, maka ukuran yang digunakan oleh pendekatan dan teori Barat tidak dapat disangkutkan kepada worldview yang jelas, dengan itu setiap ukuran tadi boleh saja merayau-rayau dari satu pendekatan atau teori kepada pendekatan dan teori yang lain, dengan penekanan yang berbeza. Jika anda ambil contoh antara dekonstruksi dengan Kritikan Baru, anda akan dapati persamaan ciri antara keduanya ialah yang dinamakan “close reading” terhadap teks; tetapi dari segi makna kedua-duanya saling bertentangan, dengan dekonstruksi tidak percaya sebuah teks mempunyai makna seperti yang diberikan oleh pembaca dan peneliti, manakala dalam Kritikan Baru, sebuah teks adalah autonomous, mempunyai makna tersendiri, bebas dari pengaruh luaran yang tidak berada dalam teks berkenaan.  Jadi di mana anda berdiri?  Jika anda seorang penganut dekonstruksi, anda hanya bermain dengan makna, kerana anda tidak dibenarkan untuk berkata sebuah teks mempunyai makna seperti yang anda berikan kepadanya, kerana teks tadi boleh saja diberi makna yang saling bertentangan, oleh itu sebenarnya tidak bermakna. Jadi apakah yang ingin dicapai oleh dekonstruksi? Hanya bertanyakan soalan yang tidak boleh dijawab dengan pasti. Inilah teori keldai yang berjalan berpusing-pusing di kincir air, tetapi tidak kemana-mana walaupun sudah beribu batu berjalan; seperti juga sudah beribu buah buku ditulis tentang dekonstruksi, tetapi tiada satu pun yang pasti. Bagaimana anda boleh membakukan ukuran dalam teori itu? Paling baik anda hanya boleh membekukan semua jenis penilaian dan ukuran yang pasti dan terus bermain dengan makna yang anda sendiri yakin tidak ada. Sekiranya orang gila itu siuman, mereka pun tidak mahu bermain dengan makna yang tidak bermakna.

Anda mungkin berkata, pembakuan boleh diwujudkan dalam teori atau pendekatan tertentu, dengan itu jika terdapat 100 teori, maka terdapat seratus pembakuan ukuran dalam kritikan sastera, masing-masing untuk satu teori tertentu. Adakah itu pembakuan ukuran atau pembekuan ukuran? Dalam tangan Panel Anugerah Sastera Negara, persoalan tentang pembakuan ukuran ini tidak penting, malah tidak pernah disebut. Sebabnya cukup mudah: Panel tidak mempunyai ukuran; yang ada pada mereka hanyalah sekumpulan konsep berasaskan “common sense” mereka sendiri.  Jika anda membaca laporan mereka, terutama tentang A. Samad Said,  Shahnon Ahmad, Muhammad Hj. Salleh,  Anwar Ridhwan dan terbaru Kemala, anda akan dapati penilaian berasaskan “common sense” hanya melahirkan apa yang saya namakan kekeliruan estetik (aesthetic confusion)  apabila pujian yang diberi berbeza daripada kualiti karya yang dipuji, yakni pujian tadi terapung-apung dalam kata-kata bombastik yang akhirnya luruh bergelimpangan  di paya akademik bila digegar dengan sanggahan yang objektif dan tajam, berguguran semua hujahnya untuk menjadi sampah sarap dalam kritikan sastera. Ini kata-kata yang amat pedas, malah anda pun boleh katakan agak kasar. Tetapi saya menjelaskan maksud saya dalam beberapa tulisan yang anda boleh periksa dan sanggah jika anda mahu. Saya hanya ingin menegaskan, penilaian berasaskan ukuran yang diambil dari “common sense” tidak ke mana, tidak berupaya menambah pengetahuan kita tentang sastera, terutama dalam kritikan sastera. Itulah sebabnya sekumpulan penulis yang diberi gran oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menulis sejarah kritikan sastera, tidak menyebut sumbangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau, tidak juga memberikan walau sedikit komen terhadap laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Mereka tidak menyebut sumbangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas kerana mereka tidak terima syarahan pengukuhan itu sebagai satu dokumen penting dalam kritikan kerana konsep sastera dan konsep kritikan yang mereka pelajari dari Barat tidak menganggap karya itu sebagai sumbangan pemikiran yang penting dalam kritikan; manakala untuk laporan Panel Anugerah Sastera Negara pula, mereka tidak anggap laporan itu penting dalam bidang kritikan walaupun laporan itu meletakkan ukuran tertentu, berasaskan “common sense”, yang membolehkan seseorang sasterawan layak diangkat menjadi sasterawan negara.  Jadi tidak saja terdapat kekeliruan estetik, tetapi juga kecelaruan kognitif. Dalam konteks inilah kita perlukan pembakuan ukuran dalam kritikan sastera.

Pembakuan ukuran ini terdapat dalam gagasan Persuratan Baru. Lihat beberapa contoh untuk menjadi landasan kepada anda memahaminya. Oleh sebab saya telah membincangkan perkara ini dalam banyak tulisan, saya tidak akan menulis lebih lanjut kerana yang telah ditulis lebih dari mencukupi untuk memahami maksud pembakuan ukuran itu. Tetapi beberapa contoh masih perlu.  Lihat misalnya penggunaan ruang naratif, seperti yang dihuraikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam banyak tulisan beliau. Jika anda ingin melihat ketangkasan berfikir seorang pengarang, anda boleh mengesannya melalui penggunaan ruang naratif dalam karyanya. Dia akan menyerlahkan pemikirannya melalui wacana ilmu yang dijadikan landasan karyanya. Bagaimana ketangkasan pemikiran itu dinilai? Melalui penggunaan ruang naratif yang cekap, penulis dapat mewacanakan pemikirannya dengan jelas dengan mengisi ruang naratif dengan isian ilmu; tetapi pada waktu yang sama dia menyerlahkan keupayaan kreatifnya melalui isian cerita yang mengiringi isian ilmu tadi. Apa yang dibinanya ialah satu kesatuan yang harmoni antara pemikirannya dan cerita yang mengiringinya melalui kebolehan kreatifnya. Isian ilmu dan isian cerita dalam ruang naratif itu seimbang, yang tidak dapat dilakukannya jika dia hanya menggunakan konsep plot seperti dalam pendekatan lama, dengan itu dia tidak akan hanyut dalam cerita yang berlebihan diperpanjangkan, atau leka dalam wacana sekadar untuk menunjuk-nunjuk kebolehannya padahal tidak perlu untuk membina struktur karyanya.  Anda boleh memahami aspek ini dengan lebih mendalam dengan membaca beberapa tulisan Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat mengenai penggunaan ruang naratif ini.  Jika anda menilai sesebuah karya kreatif dengan melihat bagaimana pengarang menggunakan ruang naratifnya, anda akan dapat melihat kecekapan pengarang bermain dengan idea dan sekali gus bermain dengan kakuatan kreatifnya. Anda boleh menggunakan penggunaan ruang naratif ini sebagai ukuran yang tepat untuk melihat ketangkasan pengarang berfikir dan mencipta sekali gus. Itulah yang dimaksudkan dengan pembakuan ukuran. Anda boleh menggunakan konsep ruang naratif ini untuk menilai apa juga jenis karya, sama ada karya persuratan, karya sastera, mahu pun karya picisan. Mudah saja anda dapat membezakannya. Dan dari situ anda dapat meletakkan kedudukan karya tadi pada tempatnya yang sesuai. Ini tidak dapat dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, kerana tidak adanya pembakuan ukuran, dengan itu Panel membiarkan “common sense”nya hanyut dalam huraian yang terputus-putus, tidak lengkap melengkapi, sebaliknya penuh dengan kontradiksi. (Contoh: Laporan 1985).  Melalui pembakuan ukuran ini, gagasan Persuratan Baru dapat membantu anda menikmati pembacaan anda dengan menggunakan mod bacaan intelektual atau mod bacaan cerita, yang anda boleh tentukan dengan cepat mana satu yang sesuai anda gunakan sebaik saja anda dapat melihat kecekapan pengarang menggunakan ruang naratifnya. Kini anda boleh menjadi seorang penilai yang baik, kerana anda tahu apa yang anda nilai dan bagaimana pula membuat penilaian itu. Dengan begitu, karya kreatif menjadi hidup dan boleh menyeronokkan. Sebab itulah sekiranya gagasan Persuratan Baru dipakai dalam pendidikan sastera, para pelajar akan menjadi ghairah setelah mereka dapat melihat mutu karya itu melalui penggunaan ruang naratif dan mod bacaan intelektual atau mod bacaan cerita. Cukuplah contoh ini untuk membawa anda ke dunia analisis dan penilaian yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru.

Pembakuan ukuran penting dalam bidang akademik, untuk dijadikan rujukan dalam menentukan standard yang ingin dicapai dalam analisis dan penilaian yang banyak dilakukan dalam kritikan sastera atau dalam peraduan/sayembara kreatif, juga dalam membuat pilihan untuk penerbitan.  Bagi maksud penulisan tesis, sarjana mahu pun kedoktoran, pembakuan ukuran boleh membantu dalam membuat pilihan pendekatan atau teori yang ingin digunakan, juga dalam memilih bahan. Sekiranya anda berminat dalam perkembangan idea dalam kritikan sastera, dan anda ingin membuat kajian mendalam terhadap semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara supaya sumbangan pemikiran Panel, jika ada, dapat diberi kedudukan dan tempat yang wajar dalam perkembangan kritikan di Malaysia, anda perlu memahami terlebih dahulu konsep pembakuan ukuran supaya analisis dan penilaian anda nanti tidak terjebak dalam kecelaruan kognitif dan kekeliruan estetik seperti yang dialami oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika menulis laporan mereka.  Jika aspek penting ini tidak diberi perhatian, anda mungkin menulis sebuah tesis yang panjang dan tebal, tetapi dari segi analisis dan penilaian terhadap teori/pedekatan yang anda pilih dan bahan yang anda gunakan, mungkin tidak terserlah kerana anda hanya mampu memerikan (describe) bahan anda, tetapi amat lemah dari segi analisis dan penilaian kerana anda sendiri tidak memberi perhatian kepada standard yang ingin dicapai dalam penyelidikan anda. Akhirnya yang terjadi ialah lambakan tesis dan penyelidikan yang tidak atau kurang dari segi kualiti akademik dan dari segi memberi sumbangan ilmu, atau pencapaian akademik yang tinggi, walaupun tajuknya begitu aneka ragam dan barangkali amat menarik.  Di sinilah pembakuan ukuran seperti yang ditunjukkan oleh ISTAC dapat membantu anda untuk mencapai kecemerlangan akademik yang tidak boleh diragui kualitinya, meskipun barangkali anda tidak bersetuju dengan kesimpulan yang terdapat di dalam tesis itu. Bayangkan anda seorang Imam Ghazali yang menulis Tahafut al-Falasifah, atau seorang Ibn Rushd yang kemudiannya menulis Tahafut al-Tahafut, ketika itu anda akan dapat merasakan gempuran perbahasan tentang ilmu dari dua orang ulama dan ahli ilmu dalam Islam, dan anda mendapat faedah dari kedua-duanya walaupun mereka bertentangan pendapat. Itulah pembakuan ukuran yang tertinggi yang telah disediakan kepada kita semua yang mencintai ilmu dan ingin memberi sumbangan besar dalam perkembangan ilmu. Dengan kesedaran itu, para ahli akademik, atau sarjana, atau pengkritik sastera, tentulah akan menjaga standard mereka dalam bidang ilmiah ini, supaya tidak kelihatan terlalu lekeh padahal telah menulis tesis atau buku yang tebal-tebal. Buku atau tesis boleh saja tebal, tetapi anda sendiri tidak patut bermuka tebal melahirkan buku atau tesis yang amat kerdil dari segi sumbangan terhadap ilmu atau bidang pilihan anda.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 19/9/2012.





Saturday, September 15, 2012

ANJAKAN SISTEM PENDIDIKAN ... ? ANJAKAN KE ARAH MANA?


Laporan Awal Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah dibentang pada 10 September 2012, sekali gus Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah dilancarkan secara rasmi oleh tuan punya kerajaan sekarang.  Komen saya berasaskan laporan akhbar, saya harap apa yang dilaporkan tepat dan tiada unsur pembohongan, seperti yang biasa didapati dalam akhbar sekarang.  Kesan awal saya, rosak binasalah cucu cicit aku, bila mereka berjaya dididik menjadi musang jinak yang pintar, musang liberal dunia pascamoden, yang dijadikan barang dagangan dalam ekonomi kapitalis yang tamak dan rasuah. PPSMI dihidupkan dengan lebih bergaya dan meyakinkan melalui subjek Kesusasteraan Inggeris. Nantilah kita akan tengok pelajar sastera Inggeris akan jauh lebih cerdik dan “berjiwa sastera” daripada pelajar yang ambil sastera Melayu.  Bila sudah ada sastera Inggeris, apa perlunya sastera Melayu? Dalam sastera Melayu pun yang diguna ialah pendekatan dan teori Barat, sama saja dengan yang digunakan dalam sastera Inggeris. Lebih baik sastera Melayu diajar dalam bahasa Inggeris, lebih mudah difahami dan mutu karya yang digunakan pun akan lebih mudah dikenal bermutu tidaknya.  Dalam sistem baru ini, pelajar akan  fasih berbahasa Inggeris, tetapi tahu bahasa Melayu yang jenis bahasa pasar saja. Tidak pedulikan agamanya, tetapi sangat bergaya memperagakan hidup mewah dalam budaya hedonistik yang diimport dari Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka akan jadi manusia itu. Lalu saya teringat cerita pendek sasterawan negara (waktu dia tulis dia masih muda, belum lagi diberi gelaran itu) Anwar Ridhwan yang mendapat pujian tinggi dari Panel Anugerah Sastera Negara, “Dunia Adalah Sebuah Apartment” (disiar dalam Dewan Sastera, Mac 1973, dengan ulasan buih pujian meninggi oleh Prof. Hashim Awang dalam keluaran sama yang menegaskan, “Anwar berjaya kemukakan teknik baru”. Isinya baru jugakah?).  Kata hati kecil saya, “Wah, bagus betul Si Anwar Ridhwan ini, boleh baca apa yang terjadi kepada bangsanya begitu awal!”  Kalau begitu, betullah kesimpulan Panel Anugerah Sastera Negara yang memuji Anwar Ridhwan telah mencipta jalur baru dalam cerita pendek Malaysia. Kata hati kecil saya lagi, “Wah, hebat betul mereka ini! Tahu saja bagaimana bangsa mereka akan hancur runtuh!!”  Kalau begitu, adalah gunanya juga Panel Anugerah Sastera Negara dan sasterawan negara yang mereka pilih!  (Tapi saya tak perlu tarik balik kritikan saya.)

Sampai juga hajat bahasa Inggeris untuk ditegakkan sebagai bahasa utama di sekolah-sekolah Malaysia. Siapa sangka “perjuangan suci UMNO dan para pemimpinnya” untuk memperkasa bahasa Inggris tercapai juga, dan tercapai dengan lebih bergaya pula, dengan kerelaan orang Melayu sendiri yang tersenyum simpul melihat bahasa Melayu dipinggirkan. Kalau anda baca laporan akhbar, belum lagi baca laporan betul, anda sudah tahu dengan pasti betapa bahasa Melayu itu dipinggirkan “ke tengah” untuk ditonton dengan kagum sebagai bahasa kebangsaan yang duduk setaraf dengan bahasa-bahasa Malaysia yang lain, yang kini sudah diberi tempat yang memang mereka perjuangkan sejak sekian lama. Kini multilingualism dan multiculturalism diiktiraf secara rasmi dalam pelan transformasi sistem pendidikan Malaysia ini. Tahniah kepada DAP yang mendapat pengiktirafan itu diberikan oleh UMNO/BN belum sempat lagi Pakatan Rakyat menduduki Putrajaya. Strategi DAP menakutkan UMNO/BN yang akan hilang kuasa dengan memberi “sokongan” kepada Pakatan Rakyat mencapai matlamatnya dengan baik sekali, tanpa menimbulkan kemarahan sesiapa sekali pun. Cantik sekali strategi ini. Mana ada bangsa yang menyokong dan bangga kehilangan maruahnya seperti orang Melayu? Tidak mengapa. Bahasa Melayu telah dinaikkan taraf menjadi bahasa kebangsaan sama seperti bahasa-bahasa lain di Malaysia yang juga diberi kedudukan itu.  Bahasa Melayu tidak boleh dikembalikan menjadi bahasa Melayu kerana kata mereka sangat kuat bau tengik sifat perkaumannya. Orang Cina ada bahasa Mandarin, bukan bahasa Cina; orang India ada bahasa Tamil, bukan bahasa India. Hanya Melayu yang ada bahasa Melayu, tidakkah itu punca perpecahan dan benih perkauman yang hangit? Sudah pun terbakar tahun 1969, dan keranda bahasa Melayu sudah diusung oleh orang Melayu sendiri untuk ditanam. Sudah pun ditanam. Cuma kuburnya saja tidak diketahui. Pasal tanam memang sudah tanam. Tidak perlu kubur. Sekarang sudah pasti orang Melayu sudah kehilangan adab; yang masih kekal ialah adat yang diadatkan, misalnya konsep ketuanan Melayu yang sebenarnya tidak bererti apa-apa kecuali untuk dijadikan slogan para samseng Melayu untuk mencederakan Melayu yang tidak sehaluan dengan mereka.  Sekarang para samseng ini sudah bernaung dalam satu persatuan dengan sokongan besar golongan berkuasa yang pada waktu ini amat memerlukan bantuan para samseng ini. Kini timbul satu soalan yang dikemukakan oleh orang gila: Ada jugakah samseng dalam kumpulan cerdik pandai Melayu ini?  Sukar juga hendak dijawab, kerana kini mereka berkumpul di bawah Majlis Profesor Negara, bertindak sebagai ahli fikir untuk negara, malah ada yang berkata sistem pendidikan baru ini pun hasil cetusan mereka.  Tidak mungkin suatu keputusan yang begitu besar dibuat tanpa pengetahuan mereka, tanpa persetujuan mereka. Apa guna ada Majlis Profesor Negara jika mereka tidak berfungsi? Cerdik pula orang kampung yang menimbulkan persoalan ini. Siapa yang ajar mereka jadi begitu kurang ajar?  Menidakkan kemampuan cerdik pandai adalah perbuatan kurang ajar; dan kerajaan yang meletakkan mereka dalam Majlis Profesor Negara sudah pasti mempunyai matlamat sendiri untuk dicapai, yang disedari dan disokong oleh anggota Majlis Profesor Negara.  Jika perspektif ini diambil kira, orang Melayu tidak waras untuk menyangsikan kejujuran para cerdik pandai dalam menjaga kepentingan bangsa Melayu. Tetapi di sinilah terjadi kecelaruan kognitif (cognitive dissonance): cerdik pandai yang begitu tinggi patriotismenya, mengapa membisu apabila berdepan dengan soal bahasa Melayu ini? Mengapa mereka tidak tegaskan bahasa rasmi Malaysia ialah bahasa Melayu, bukan bahasa kebangsaan?  Jangan-jangan cadangan yang berani dan bernas bukan datangnya dari Majlis Profesor Negara, tetapi dari manusia biasa yang tidak bernaung di bawah mana-mana majlis.  Saya diperingatkan supaya tidak membangkitkan perkara ini dalam blog ini, kerana sangat sesitif. Kata mereka, tak pasal-pasal saya kena belasah nanti, cuba memandai-mandai tak tentu pasal mempersoalkan sesuatu yang tidak kena mengena dengan Majlis Profesor Negara. Sekali imbas betul juga peringatan itu; tetapi saya mempunyai pertimbangan lain.  Selama ini para cerdik pandai kitalah yang mepertahankan maruah bahasa dan budaya kita, malah merekalah yang mencetus dan mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia walaupun satu ketika ada orang kuat GAPENA yang meragui pentingnya sebuah universiti baru di tengah-tengah rimba pula. Ketika itu, tahun 1968, saya baru jadi ADO di Temerloh. Apabila rombongan dari Kuala Lumpur tiba di Temerloh, yang meminta pertolongan saya mencari tempat untuk memperjuangkan penubuhan universiti baru itu, saya sangat bangga kerana pernah terlibat dalam perjuangan kebangsaan itu, walaupun sangat kecil, tak perlu sebut pun. Tapi saya masih ingat kata seorang pengemuka Melayu yang datang, ketika bersalam dengan saya waktu hendak pulang, “Terima kasih Encik Affandi, mencarikan kami tempat untuk pertemuan ini.” Wah, kata hati saya. Rupanya aku pun seorang pejuang juga!!

Saya bukan pejuang apa-apa, dan tak mahu dikenang sebagai pejuang, apatah lagi sebagai pejuang yang sekerat sekerat.  Tapi saya seorang yang taksub bahasa Melayu. Apabila dalam tahun 1977, sebaik saja saya balik dari luar negeri untuk buat postdegree saya, saya terima surat daripada Prof. Bakar Hamid memberitahu cerita pendek saya “Angin Dari Gunung” (1972) telah diterjemahkan oleh beliau bersama Prof. Loyd Fernando dan sedia untuk diterbitkan jika saya setuju, saya tidak setuju kerana saya mahu semua karya saya dibaca dalam bahasa asal oleh rakyat Malaysia sendiri, terutama orang Melayu. Sejauh mana mereka tersinggung saya tidak tahu, tetapi selepas itu tiada lagi apa-apa cerita tentang terjemahan karya saya, hinggalah dalam tahun 2004 apa bila Prof. Ungku Maimunah yang ketika itu berada di New Zealand minta kebenaran saya untuk menterjemahkan cerita pendek “Masih Murid Lagi”.  Saya masih keberatan, hinggalah Prof. Wan Mohd. Nor dan kawan-kawan lain minta saya fikir semula dan tidak terlalu keras dengan keputusan itu. Sebagai menghormati kawan-kawan, saya setuju, dan itulah kali pertama karya saya diterjemahkan dan diterbitkan di luar negeri. Saya bangga kerana di dalam pengenalannya disebut gagasan Persuratan Baru, hasil usaha Prof. Ungku Maimunah memperkenalkannya. Terima kasih prof. Cerita pendek itu adalah lanjutan kepada cerita pendek “Angin Dari Gunung” tentang seorang guru yang pintar; manakala “Masih Murid Lagi” pula tentang seorang guru yang bodoh. Cerita pendek itu adalah reaksi saya kepada satu kenyataan akhbar sahabat saya, Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, yang meluahkan rasa hampanya tentang pelajar universiti tidak tahu berfikir.  Isunya bukan itu, tetapi mereka tidak dibenarkan meluahkan fikiran dan pandangan mereka kerana mereka amat kritis dengan tindak tanduk kerajaan yang merugikan rakyat. Isunya ialah kerajaan tidak boleh dan tidak mahu menerima kritikan. Sesiapa juga yang mengkritik kerajaan mesti dihukum dengan cara apa sekali pun. Isunya: kerajaan mesti sentiasa menang dalam keadaan yang bagaimana sekali pun. Kerajaan tidak boleh kalah. Hanya bukan kerajaan saja yang boleh kalah dan mesti dikalahkan. Itulah isunya. Anda fikir mahasiswa boleh terima ini? Kalau lembu boleh bercakap, lembu pun tidak boleh terima, sebab lembu pun mahu masuk universiti juga kerana dalam kawasan universiti rumputnya hijau subur. Adakah keadaan ini akan berubah? Tidak. Di bawah pelan baru ini, sekatan akan lebih diperketat, dan hukuman ke atas yang menentangnya akan lebih keras. Antara prinsip penting yang dipakai ialah “perpaduan”, satu prinsip yang implikasinya amat besar. Kritikan dan berlaku kritis adalah punca perpecahan, oleh itu boleh dihukum. Kerana semua orang mahu bersatu padu, mahasiswa yang mengkritik adalah golongan yang tidak mahu perpaduan, oleh itu mesti dihukum seberat mungkin. Pelan ini akan lebih mengikat kebebasan pelajar, untuk memastikan mereka terus akur dengan kerajaan dan kekal menyokong kerajaan.  Mahukah anda melihat mayat pelajar dari kampung bergelimpangan di kampus dan di jalan raya, seperti pernah berlaku di Thailand beberapa lama dahulu? Kerajaan itu telah ditumbangkan, tetapi penekanan terhadap pelajar terus berlangsung. Pilihan terbaik bagi pelajar ialah belajar, terus membisu, dan ikut saja apa kemahuan kerajaan. Natijahnya ialah kita akan terus menerima pemimpin yang bodoh, yang suka mengibarkan bendera seperti budak-budak sekolah menyambut keberangkatan raja-raja ke sekolah mereka.

Inilah masyarakat tidak beradab, yang kehilangan adab. Yang akan bangkit berkuasa ialah para pemimpin palsu, yang akan disokong dengan kuat oleh sekumpulan guru yang mendapat faedah besar dari pelan ini, seperti yang ditunjukkan dalam berita akhbar. Untuk guru-guru ini diadakan projek khas, rancangan khas, di bawah matlamat utama (pertama) untuk memertabatkan profesion perguruan. Sekarang guru-guru sudah diikat untuk memastikan mereka terus menyokong kerajaan, tetapi masih ada yang bolos dan menentang kerajaan. Di bawah sistem baru, perkara itu tidak akan dibenarkan berlaku lagi apa bila semua guru akan diukur berasaskan prestasi paling minimum, dan sesiapa juga yang berada di peringkat itu akan dikenal pasti sebagai kumpulan guru yang tidak profesional dan mesti dihukum dalam beberapa cara yang akan ditentukan. Isunya ialah: guru tidak dibolehkan bersikap kritis, kerana itu adalah punca yang menyebabkan prestasi mereka berada di peringkat minimum. Tapisan untuk menjadi guru akan lebih ketat, oleh itu gaji dan kedudukan mereka akan lebih baik dari segi teorinya. Saya fikir aspek ini perlu dibincang lebih panjang, lebih terperinci, supaya guru diberi kedudukan yang wajar, di samping itu murid-murid pula diajar untuk menjadi lebih vokal dan bersedia memberi pandangan kritis, supaya terdapat perhubungan saling memberi antara guru dan para pelajar. Kita perlukan sikap terbuka ini jika kita betul-betul ingin menjadikan pelajar kita cerdik dan guru-guru pula dipastikan mempunyai pengetahuan yang luas, baik dari segi pengalaman intelektual mahu pun dari segi pengalaman fizikal (misalnya dengan membawa guru-guru ini berinteraksi dengan kumpulan mereka di luar negeri). Belanja lebih, tapi faedahnya besar jika dikendalikan dengan baik dan cekap. Inilah caranya membentuk masyarakat beradab.

Membentuk masyarakat beradab ini mesti bermula dari konsep ilmu. Inilah subjek yang tidak pernah terfikir untuk dibincangkan dalam pembinaan peribadi manusia moden di Malaysia, walaupun sebelum itu menjadi asas pembinaan manusia Melayu melalui pendidikan berteraskan Islam.  Persuratan Melayu dibina di atas asas ini, tetapi tidak kesusasteraan Melayu moden. Contoh-contoh dari laporan Panel Anugerah Sastera Negara membuktikan betapa terasingnya asas itu dalam penilaian Panel. Kesilapan besar ini akan diteruskan dalam pelan pendidikan ini, dengan itu tidak mungkin terdapat perubahan dan kemajuan yang selalu diberi perhatian oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Jika keadaan ini diteruskan, maka pengajaran sastera di sekolah-sekolah dan universiti tidak akan berubah, malah akan lebih teruk lagi terjerat dalam lingkaran nilai dan teori Barat. Di sinilah pentingnya kaedah baru diperkenalkan dalam pengajaran sastera, misalnya dengan memperkenalkan gagasan Persuratan Baru. Guru dan para pelajar akan berada dalam horison baru, dan akan lebih mudah mempelajari sastera. Di samping itu mereka  akan dapat melihat dengan lebih jelas mutu sesebuah karya kreatif dan dapat pula melihat bagaimana analisis dan penilaian dibuat ke atas karya berkenaan. Mereka akan cepat belajar mengenal pasti karya bermutu dan analisis yang bertaraf ilmiah, yang boleh diukur dengan mudah ketepatannya. Tetapi untuk melakukan perubahan ini, diperlukan perubahan sikap dari terlalu memihak dan terikat kepada teori dan pendekatan Barat kepada keberanian ilmiah untuk meneliti dan menggunakan kaedah baru yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru. Itulah yang menjadi persoalan, kerana pada asasnya sifat terbuka itu tidak ada di kalangan kelompok yang sepatutnya terbuka kepada pemikiran baru. Akibatnya ialah teori-teori dan pendekatan lama dari Barat yang sudah lapok akan terus digunakan, dan pengajaran sastera di Malaysia akan terus membosankan para pelajar dan guru-guru sastera sendiri. Saya tidak fikir Majlis Profesor Negara boleh mambantu dalam hal ini, kerana mereka juga perlu berubah untuk lebih terbuka dan menerima pemikiran baru dalam bidang ini.  Walaupun saya bersikap optimis, namun saya harus realistik untuk menerima hakikat bahawa perubahan itu tidak akan berlaku dalam masa seratus tahun ini. Itulah keadaan sukar yang kita perlu hadapi dengan sabar. 

Pendeknya, Melayu akan terus tinggal bodoh, bergantung sepenuhnya kepada ihsan UMNO dan para pemimpinnya untuk memberi durian runtuh setiap kali diadakan pilihan raya.  Paling celaka ialah rasuah yang diberi jenama baru dijadikan dasar kebudayaan kebangsaan, sementara dasar yang dirumuskan dalam tahun 1971 dihapuskan kerana keadaan politik sekarang tidak lagi membenarkan dasar itu diteruskan. Akhirnya yang ada hanya kereta api Tanah Melayu, tidak lagi bahasa Melayu yang telah diturunkan darjatnya menjadi bahasa kebangsaan setaraf dengan bahasa Cina, Tamil dan lain-lain, lebih rendah kedudukannya daripada bahasa Inggeris yang diperkasakan. Kambali ke zaman kolonial. Itulah realiti yang dicipta oleh UMNO dan para pemimpinnya, walaupun mungkin terlalu jauh menyimpang dari cita-cita asal. Sesuai dengan faham realisme yang dianut oleh para sasterawan, maka realiti ini harus diterima. Memang pun terjadi, dalam gaya Shahnon Ahmad, sasterawan negara. 

Lain-lain pandangan akan saya kemukakan dalam posting akan datang.

Mohd. Affandi Hassan,
15/9/2012.



Thursday, September 13, 2012

MENGHADAPI CABARAN ATAU LARI DARI CABARAN? ANDA PERLU JELAS DI MANA ANDA BERADA


Lucu juga bila saya ada dengar orang berkata, gagasan Persuratan Baru mahu hapuskan kesusasteraan Melayu moden. Bagaimana boleh timbul anggapan ini belum lagi dijelaskan kepada saya. Lagi pula saya pun tidak peduli sangat dengan pandangan kurang siuman begini. Apakah yang menakutkan mereka? Saya belum lagi membaca di mana-mana kitab yang menyebut para ulama berseru menghapuskan pelacuran dan korupsi. Hanya di Malaysia saja seruan lantang itu dijeritkan; hasilnya pelacuran semakin meluas, demikian juga rasuah. Apakah tindakan kita? Cukup senang, tetapi amat sukar dilaksanakan: hapuskan saja pemimpin jahat, jangan biarkan mereka menjadi pemimpin masyarakat. Tetapi demokrasi secara tabii membiakkan pemimpin jahat ini, oleh itu selagi kita menggunakan demokrasi untuk mendapat kuasa, kita akan terus dikuasai oleh para pemimpin jahat dan penipu ini. Itu sudah jadi sifat demokrasi di mana-mana sekali pun. Di Amerika Syarikat, penipuan dan korupsi sudah dibudayakan begitu rupa sehingga tidak ada lagi orang peduli sama ada penipuan dan korupsi itu dilakukan atau tidak.  Mereka ada institusi yang dipanggil Jewish Lobby, yang kerjanya untuk memilih Presiden Amerika Syarikat pilihan Yahudi. Yang penting bagaimana caranya penipuan dan korupsi itu dilakukan: jika melanggar undang-undang, maka boleh dihukum. Di Malaysia pun begitu. Tetapi jika undang-undang yang dilanggar itu dilakukan dalam konteks undang-undang untuk melindungi manusia penipu dan korup ini, maka para pelakunya akan selamat. Mau contoh? Tiap hari akhbar kita memberitahu, cuma kita saja tidak mahu tahu dan tidak pandai membacanya.  Misal yang mudah: Jika anda mau bikin projek besar, makan belanja bilion ringgit, anda boleh tentukan siapa akan dapat projek itu. Jika dibuat tender terbuka pun, anda masih boleh mempengaruhi yang menang tender.  Katalah Syarikat Syaitan Sdn. Berhad (sekarang syaitan yang dikenali lebih baik daripada malaikat yang tak dikenali, kata Dr. Mahathir Mohamed merujuk kepada UMNO dan para pemimpinnya sebagai syaitan yang memang dikenali rakyat) menang dengan bida 3 bilion. Dalam standard practice di Malaysia, selepas tiga minggu atau paling lama dua bulan tender disahkan, syarikat yang mendapatnya wajib membuat perincian harga terbaru. Ketika itulahlah kos akan naik sampai 10-15 bilion, walaupun asalnya 3 bilion saja. Syarikat Syaitan Sdn. Bhd. dijamin dapat 3 bilion; selebihnya dapat kepada anda untuk kegunaan anda. Itulah cara paling mudah untuk menjadi kaya, itulah dorongan utama untuk menang pilihan raya walau dengan cara apa sekali pun. Itulah demokrasi.  Seburuk itukah demokrasi? Jika anda ragu-ragu, anda perlu tahu, sebaik saja pembangkang menang di Terengganu, royalti minyak ditamatkan dan kerajaan negeri tidak menerimanya tetapi diberikan balik setelah penyokong kerajaan menang; tetapi para penyokong kerajaan ketika pemerintahan pembangkang masih menerima wang itu dalam bentuk wang ihsan. Hingga kini Kelantan belum terima royalti minyak hak rakyat Kelantan, kerana hak itu telah dirampas oleh kerajaan pusat. Itulah demokrasi, dan itulah masksud memilih pemimpin jahat menjadi ketua mayarakat. Sekarang korupsi diberi jenama baru sebagai “pemberian kepada rakyat”. Memang mengikut peraturan sesebuah kerajaan boleh menggunakan wang dari Perbendaharaan untuk membantu rakyat, oleh itu tidak timbul penipuan atau korupsi. Kedua-duannya telah dijenamakan semula untuk memudahkan penipuan dan korupsi itu dilakukan.

Apa bezanya dalam kesusasteraan Melayu moden? Kata Laporan 2009:  “Cerpen-cerpen Anwar Ridhwan beralih angin kepada bentuk eskperimen dengan menggunakan pendekatan simbolik, yang berteraskan lambang seperti dalam cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ ...  Cubaan bereksperimen ini sudah mula maju ke arah yang matang. ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’ mengemukakan apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia.  Apartmen adalah dunia yang sempit, panas, seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata”. (hal. 10). 

Penjelasan itu belum menarik. Lebih menarik ialah kesimpulan ini:  “Cerpen ‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’  mengemukakan persoalan filosofikal. Cerpen ini mengisahkan Azwar yang wujud hanya untuk berseronok dengan wanita dan arak. Janji yang dibuat oleh Azwar hanyalah janji untuk dimungkiri, seperti janjinya kepada Agnes. ...” (hal. 10). Pembaca yang paling tumpul akalnya masih dapat melihat bagaimana penjenaam baru itu digunakan dalam ulasan ini. Mau saya tunjukkan satu persatu? Anda tentulah tidak sebodoh itu untuk tidak melihatnya. Apakah yang filosofikal itu? Pembaca yang paling tumpul akalnya pun akan tahu inilah  contoh kecelaruan kognitif dan kekeliruan estetik yang sudah saya jelaskan dalam posting yang lalu. Tetapi mungkin sukar untuk melihat bagaimana rapatnya sastera Melayu moden dengan pembohongan dan penipuan dalam politik Melayu moden. Jika anda baca dengan kritis dan berhati-hati, anda akan lihat aspek filosofikal yang disebut oleh Panel Anugerah Sastera Negara  dalam laporannya merujuk kepada janji palsu oleh Azwar, watak utama. Tidakkah ini disalin dari kehidupan para pemimpin politik sendiri? Jadi apakah yang filosofikalnya?  Jika dalam politik kita mendapat penjenamaan semula yang membenarkan korupsi dan penipuan, maka dalam sastera Melayu yang sukakan eskperimen dan penggunaan simbolisme pun turut menggunakan penjenamaan semula untuk menjadikan perzinaan tema agung sastera Melayu moden. Apakah yang filosofikalnya? Jika politik demokrasi meniru politik Barat, maka demikian juga sastera Melayu moden meniru dan mempraktikkan teori dan nilai-nilai Barat.  Apakah yang filosofikalnya? “Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata”, kata Panel. Tidakkah ini menggambarkan kehidupan para sasterawan sendiri yang seronok dengan teori dan nilai-nilai Barat dalam kesusasteraan? 

Itulah kesusasteraaan yang kita kenal, yang kini sudah disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Mahukah anda meneruskan kesusasteraan seperti itu?  Katalah gagasan Persuratan Baru betul-betul mahu menghapuskan kesusasteraan Melayu moden, maka tidakkah itu satu pilihan yang munasabah dan bijak jika itulah sifat dan ciri kesusasteraan Melayu moden?  Anda tidak boleh berkata hal ini hanya secara kebetulan, dalam contoh-contoh tertentu saja.  Tidak salah jika ada orang berkata anda seorang yang bodoh dan degil mempertahankan kejahatan sebagai ekspresi seni, kerana berasaskan penilaian itulah para sasterawan negara dilantik dan itulah jenis penghujahan yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang boleh kita baca dalam laporan mereka. 

Kembali kepada soal sastera Melayu moden yang hendak dihapuskan oleh gagasan Persuratan Baru. Tak mungkin, seperti tak mungkin pelacuran dihapuskan. Bagaimana mungkin, para sasterawan dan kesusasteraan Melayu moden sendiri sudah mengangkat pelacur dan pelacuran sebagai tema besar sastera Melayu moden. Tak percaya? Baca Laporan 1985, atau Laporan 2009.  Panel Anugerah Sastera Negara telah menerima hakikat itu dan mempertahankannya, misalnya dengan berkata kemajuan dan perubahan telah terjadi dengan wujudnya simbolisme dalam eksperimen para sasterawan yang menjadikan perzinaan sebagai tema agung sastera Melayu.  Kalau anda tidak percaya, maknanya anda tidak membaca. Jika anda baca sekalipun, dan anda masih menolak hakikat ini, anda sudah disihir oleh kepercayaan karut anda untuk menolak kebenaran. Misalnya, jika anda berkata, bukan pelacur atau pelacuran yang menjadi tema, tetapi kezaliman dan penindasan dalam masyarakat yang melahirkan pelacur. Sekali lagi anda salah, tidak tahu menahu tentang perkembangan masyarakat anda. Sekarang pelacuran tidak lagi terjadi kerana kezaliman dan penindasan yang anda maksudkan, tetapi menjadi pilihan yang digemari kerana senang mendapat wang dan dapat pula perlindungan melalui berbagai jenama perniagaan. Untuk membela pelacuran, anda akan berhujah, pelacur dalam sastera moden adalah gambaran hilangnya kemanusiaan dalam masyarakat yang menindas dan zalim selepas terjadinya peperangan. Bagaimana dengan cerita pendek Anwar Ridhwan yang settingnya di luar negeri di zaman moden? Soal kemanusiaan lagi?  Bagaimana pun anda memutar-belitkan hujah anda, pelacuran tetap sudah dijadikan tema agung dalam sastera Melayu moden dan sudah pun dirasmikan kedudukannya dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Oleh itu anda tidak perlu takut tema agung anda itu akan terhapus sekiranya gagasan Persuratan Baru mengambil tempatnya yang sah dalam persuratan Melayu moden. Seperti suburnya pelacuran, demikianlah akan terus subur para sasterawan yang menulis tentang mereka. Tetapi ini tidak bermakna sastera itu sejenis pelacuran. Mungkin ada cara lain atau nama lain yang lebih tepat, yang diketahui oleh anda.  Atau anda memang bersetuju kesusasteraan itu sejenis pelacuran idea?  Kalau dibahas dalam bahasa sastera, mungkin tepat.

Lihat satu contoh yang sering dibicarakan: tentang keindahan bahasa dalam sastera.  Jika anda membaca karya para sasterawan negara seperti Shahnon Ahmad, Abdullah Hussein, Arena Wati dan lain-lain (anda boleh tambah sendiri jika nama-nama ini tidak cukup), anda akan terkejut bila mendapati apa yang disebut keindahan bahasa itu sebenarnya pelacuran bahasa.  Shahnon Ahmad amat terkenal dalam aspek ini, seperti yang anda boleh baca dalam Shit, TIVI, Terdedah dan banyak lagi. Abdullah Hussein pula sudah terkenal di seluruh dunia dengan Kuala Lumpur Kita Punya. Ada orang membantah karya-karya ini tidak boleh dimasukkira, tetapi bagaimana hendak menolaknya kerana memang diterima oleh Panel Anugerah Sastera Negara sebagai karya sastera yang indah. Hatta novel Tunggul-tunggul Gerigis yang memuntahkan Prof. A. Wahab Ali (beliau mengakuinya sendiri) bagi Dewan Bahasa dan Pustaka adalah karya agung Abad 20. Demikianlah pelacuran bahasa dalam sastera diterima dengan baik sekali, hatta oleh satu institusi terkenal seperti Dewan Bahasa dan Pustaka sekali pun. Kerana itu ada alasan jika ada orang berkata kesusasteraan Melayu itu lebih cenderung untuk menghidangkan pelacuran idea, akibat sudah keliru besar dalam konsep ilmu, atau kerana tidak meperdulikan sama sekali tentang konsep ilmu yang mempunyai peranan utama dalam ciptaan seni yang bertanggungjawab, yang mengutamakan akal bukan emosi.  Tanpa keindahan pemikiran, tidak mungkin wujud keindahan bahasa, seperti yang pernah ditegaskan oleh Pendeta Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu (1938).   Kata Za’ba: (ketika berbicara tentang syair) “Maknanya yang sebenar-benarnya ialah fikiran yang cantik dan tinggi dilafazkan dengan bahasa yang berhias dan indah” (hal. 261, versi Jawi).  Apakah maksud “bahasa yang berhias”? Tentulah bukan jenis bahasa kasar dan kesat yang disukai oleh Azizi Hj. Abdullah, Shahnon Ahmad, S. Othman Kelantan (masih ingat perbandingan beliau yang klasik itu?) dan lain-lain. Menghiasi bahasa bukan hanya dengan kata-kata dan segala jenis retorik bahasa yang anda tahu; tetapi lebih diutamakan pemikiran yang ingin disampaikan. Perhatikan contoh yang diberikan oleh Za’ba ini (hal. 262):  Sepatah pengajaran menambahi akal/ baik daripada emas berbungkal/ adanya lama disimpan kekal/ terimalah dengan hati yang pukal.  Penjelasan terperinci tentang maksud sebenar keindahan bahasa ini terdapat dalam makalah saya yang dimuat di dalam kitab, Adab dan Peradaban: Karya Pengi’tirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas (2012). Sila baca di sana dan berilah penilaian sehabis kritis untuk mendapat manfaat daripada makalah itu.  Jika anda renung syair yang diberikan Za’ba itu, anda akan lihat betapa pentingnya pengajaran yang baik, lebih mahal daripada emas (manusia suka simpan emas), kerana pengajaran itu kekal jika diterima dengan baik dan ikhlas. Itulah maksud “fikiran yang cantik dan tinggi dilafazkan dengan bahasa yang berhias dan indah”. Apakah hiasan bahasa yang terdapat di dalam bait syair ini? Nampaknya anda kena cari sendiri! Jika anda bandingkan pendapat Za’ba ini dengan pendapat Panel Anugerah Sastera Negara, misalnya dalam Laporan 1985, anda akan dapat melihat perbezaan yang nyata dari segi makna (maaf: anda juga harus memikirkannya sendiri!).

Jika keseluruhan hujah dalam makalah ini difahami, anda mungkin akan melihat di mana duduknya gagasan Persuratan Baru dalam konteks kesusasteraan Melayu moden dan mengapa gagasan Persuratan Baru itu penting dikemukakan pada waktu ini. Apakah yang ingin dicapai oleh Persuratan Baru yang telah gagal dicapai oleh kesusasteraan Melayu moden? Apakah yang akan terjadi kepada kesusasteraan Melayu moden jika cara dan kaedah sekarang diteruskan? Adakah cara dan kaedah itu memuaskan kita? Di mana kekuatannya dan di mana pula kelemahannya? Jika gagasan Persuratan Baru mencelah, apakah yang akan terhasil nanti? Adakah itu yang terbaik untuk kita teruskan? Semua soalan ini sudah saya jawab dalam tulisan saya, termasuk buku. Malah beberapa penegasan telah dibuat untuk membuktikan gagasan Perusratan Baru adalah pilihan terbaik sekiranya kita betul-betul ingin membina budaya ilmu dan seni berteraskan ilmu.  Teori dan pendekatan Barat yang digunakan selama ini, kini berjumlah tidak kurang dari 22 buah, tidak berupaya meningkatkan pemikiran dan daya kreatif para penulis seperti yang diharapkan. Kelemahan paling utama ialah tiadanya perbezaan dalam menentukan kualiti sesebuah karya, kerana ukuran yang digunakan boleh juga digunakan untuk menilai karya picisan dan karya lucah, seperti terbukti dari laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Jika itulah kenyataannya,  perlukah kita meneruskan cara dan kaedah yang dipakai dalam kesusasteraan Melayu moden yang ditiru dari Barat itu?  Inilah cabaran yang kita perlu jawab, dan anda tentu saja perlu menyatakan pendirian anda.

Mohd. Affandi Hassan,
13 September 2012.








Saturday, September 8, 2012

MENGHADAPI KERUGIAN YANG SENGAJA DIUSAHAKAN


Para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera akan terus berada dalam kerugian besar jika mereka terus meremehkan pentingnya peranan ilmu yang benar dalam penulisan yang bersifat kreatif mahupun yang bersifat akademik.  Dalam beberapa posting yang lalu, persoalan ini telah dibahaskan dengan memberi penekanan kepada kesan negatif dan merugikan jika aspek ilmu ini tidak diberi perhatian utama. Kesan pertama ialah kecelaruan kognitif (cognitive dissonance); yang kemudiannya melahirkan kekeliruan estetik (aesthetic confusion). Contoh kecelaruan kognitif ini dapat dilihat dengan jelas dalam kontradiksi penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dengan contoh terbaik dapat dibaca dalam Laporan 1985, Laporan 1991, Laporan 2009, dan Laporan 2012. Contoh-contoh kecelaruan kognitif telah diberi dan dibincangkan dalam beberapa posting yang lepas. Lihat terutama sekali posting bertarikh 21/2/2011 dan 12/3/2011; lihat juga posting bertarikh 14 Jun, 2012; 19 Mei, 2012; dan 8 Julai, 2012.

Laporan 2012 adalah contoh terbaik, paling jelas, tentang kekeliruan estetik. Perhatikan contoh ini: “Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu puisi yang indah, mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam” (Laporan 2012, hal. 20). Satu lagi: “Kemala ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa kini. Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani” (hal. 21). Seterusnya satu lagi: “Wajar dicatatkan bahawa kejayaan Kemala dalam menghasilkan puisi yang bernafaskan cinta dan kerinduan mistikal mungkin tidak direka-reka. Ia mungkin banyak disebabkasn oleh kecenderungan kerohanian penyair sendiri dan oleh upaya pembersihan jiwa yang dijalankannya. ... Ini semua menjadikan puisinya tulen, sesuatu yang sukar dicapai pada zaman moden yang amat cemburukan amalan kerohanian” (hal. 17). Tentu saja pujian ini sangat hebat dan benar-benar menjentik keinginan kita untuk mengetahui betul tidaknya, tepat tidaknya pujian yang tinggi ini dengan karya pensajak istimewa ini. Hampir tidak ada contoh yang “menyeronokkan” yang diberikan di dalam laporan, kecuali dua buah sajak di halaman 16 dan 17. Sekiranya anda membaca sajak-sajak ini dengan kritis, anda tidak bertemu apa-apa yang istimewa, kecuali permainan kata yang bersifat egois yang bombastik. Misalnya: “Akulah laut/ Gadis cantik tidur di peraduannya/ Sisik-sisik riak di tubuhku/ Lukisan detik dan tarian angin/ Bersatu di gemersik  ingin/ Saujana ketenangan ini. ... Apakah yang mistikal dan spiritual dalam gambaran bombastik ini? Bandingkan dengan gambaran waktu senja dalam sanjak Amir Hamzah, “Berdiri Aku.” Pasti anda akan melihat kekerdilan sajak Kemala ini dibandingkan dengan sanjak Amir Hamzah. Contoh di halaman 16 laporan pun biasa saja, tidak lebih dari permainan kata-kata yang amat ketara dibuat-buat, bukan lahir dari tekanan kerohanian tulen yang memerlukan ekspresi khusus seperti dalam sajak “Doa” oleh Chairil Anwar.  Inilah kekeliruan (dan seterusnya kecelaruan) estetik yang dimaksudkan: pujian dari segi estetik amat tinggi; tetapi buktinya tidak terdapat dalam sajak yang dipilih. Sudah jelas para penilai ini menghadapi kecelaruan kognitif yang teruk, tidak dapat memadankan pujian dengan bukti yang dikemukakan (lebih-lebih lagi buktinya amat kurang dan tidak bermutu pula).

Sekarang kita lihat pula bagaimana seorang pakar persajakan Melayu melihat Kemala. Prof. Rahman Shaari dalam syarahan perdana beliau (2004) tentang kemantapan sajak-sajak Melayu, tidak melihat apa-apa yang bersifat kerohanian yang harum semerbak dalam karya Kemala, sebaliknya beliau hanya bertemu sebuah sajak patriotik tentang kemerdekaan (ulang tahun hari kemerdekaan).  Prof. Rahman Shaari telah dijadikan seorang profesor sajak (atau kritikan sastera) kerana kepakarannya, oleh itu beliau tidak mungkin berbuat silap dalam menilai Kemala sebagai pensajak. Jika beliau silap, bagaimana universiti tempat beliau bekerja boleh menerima beliau sebagai seorang profesor? Saya lebih cenderung untuk membuat kesimpulan bahawa Prof. Rahman Shaari telah melakukan tinjauan yang agak teliti tentang sajak-sajak Melayu yang dikategorikan beliau sebagai “sajak-sajak mantap”. Jika kesimpulan ini boleh diterima, maka kehadiran pensajak Kemala dalam “persada persajakan Melayu” bukanlah istimewa, seperti yang didakwa dalam Laporan 2012.  Adakah Panel Anugerah Sastera Negara telah tersalah baca? Adakah mereka telah melakukan kesilapan dalam penilaian mereka? Inilah yang “mistikal” yang disebut oleh laporan, bukan sajak-sajak Kemala yang biasa saja tetapi memang kaya dengan kata-kata bombastik terapung-apung di permukaan baris sajak-sajaknya, seperti buih yang kelihatan bergaya di lautan atau di sungai yang baru diserang banjir. Tidak mungkin Panel Anugerah Sastera Negara melakukan kesilapan dalam penilaian mereka, kerana semua mereka adalah profesor yang senior pula kedudukannya. Inilah yang mistikal itu, dan inilah yang dimaksudkan dengan kecelaruan estetik dan kekeliruan kognitif (anda boleh guna kecelaruan dan kekeliruan dalam bentuk yang anda suka: kekeliruan estetik, kecelaruan kognitif ..., tidak jadi masalah!).

Sebenarnya yang terjadi bukanlah sesuatu yang mistikal, tetapi amat logikal.   Baik Prof. Rahman Shaari yang mencari “kemantapan” sajak, mahu pun Panel Anugerah Sastera Negara yang “mencium” kewangian sajak-sajak kerohanian Kemala, kedua-duanya sedang menghadapi masalah yang dinamakan “kekeliruan dalam konsep ilmu”.  Kedua-duanya tidak menilai karya Kemala (dan lain-lain karya) berasaskan konsep ilmu yang benar yang melahirkan pemikiran yang mendalam yang jelas terserlah dalam karya yang mereka nilai.  Anda tidak boleh lari dari hakikat ini, jika anda membaca karya-karya penyair agung dalam Islam (disebut oleh Panel dalam laporan mereka, hal. 18; bandingkan dengan sindiran A. Samad Said ini: “Makanya, kita tahu Jalaluddin Rumi, Hamzah Fansuri atau Syed Naquib tidak bererti kita langsung sahaja sudah menjadi pujangga Islam” (Dewan Sastera, Julai 1997, hal. 52). Kekusutan dalam memahami konsep ilmu ini telah melahirkan kecelaruan kognitif dan kekeliruan estetik yang dihadapi oleh Prof. Rahman Shaari dan Panel Anugerah Sastrera Negara. Inilah golongan yang menghadapi kerugian yang disengajakan dalam kegiatan akademik mereka. Walaupun Laporan 2012 cuba mendekati sajak-sajak Kemala dari perspektif Islam, namun kerana adanya kekeliruan dalam memahami konsep ilmu, menyebabkan mereka tidak dapat memberikan penilaian yang saksama, kecuali hanya melantunkan pujian yang tidak diiringi bukti dan analisis yang mendalam, sesuai dengan kedudukan pensajak yang cuba diangkat itu. Yang ingin diangkat tidak terangkat, kerana karyanya tidak melayakkannya untuk diangkat. Dalam hal ini, kesimpulan Prof. Rahman Shaari lebih boleh diterima dan agak tepat.

Perkara yang dibincangkan di sini tidak dianggap penting dalam pandangan arus perdana, yang secara langsung meremehkan saja persoalan yang dibincangkan di sini sebagai sengaja di ada-adakan, disalah tafsir dan tidak berkaitan langsung dengan teori kritikan sastera yang diterima di Malaysia dan di seluruh dunia. Bagaimana anggapan begini boleh timbul adalah satu perkara mistikal (meminjam istilah Laporan 2012) yang bertentangan dengan semangat akademik tulen yang juga menjadi amalan seluruh dunia. Dengan meremehkan konsep ilmu sebagai tidak relevan, maka para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera telah meletakkan diri mereka dalam dunia pandirisme yang memang menjadi arus perdana di Malaysia, sepanjang mengenai sastera. Dalam dunia pandirisme itu, semuanya ditentukan mengikut kepentingan peribadi atau puak, maka itulah timbul kekangan tak ketara (?) supaya para sasterawan negara tidak dikritik dan dinilai semula jika dengan berbuat demikian kedudukan mereka akan terancam. Seterusnya kedudukan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri ditakdiskan, tidak boleh disentuh, kecuali untuk memuji. Kritikan adalah hasil perasaan hasad dengki dan permusuhan. Sejahat itukah dunia akademik kita?  Saya tidak fikir begitu, kerana mustahil dunia akademik yang telah melahirkan ramai sarjana dan profesor demikian sifatnya. Lebih tepat dan lebih munasabah untuk kita membuat kesimpulan bahawa semua ini timbul dari salah faham yang berpunca dari keengganan untuk mendebatkan persoalan ini secara tuntas dan ilmiah. Hal ini terjadi kerana kurangnya sifat terbuka di kalangan sarjana kita, akibat tidak meletakkan standard yang tinggi dalam dunia akademik. Standard ini dapat dilihat dengan jelas dalam kalangan ahli akademik yang lahir di ISTAC di bawah bimbingan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang boleh dilihat dengan jelas dalam tesis sarjana dan kedoktoran yang dihasilkan di ISTAC. Jika anda tidak dapat menerima standard yang tinggi yang ditetapkan di ISTAC sewaktu Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menjadi Pengarahnya, yang dapat dibuktikan dari hasil tulisan pelajar yang mendapat pendidikan di sana, maka anda harus membuktikan dari karya anda sendiri bahawa karya dan pemikiran anda adalah jauh lebih canggih dan lebih tinggi kualitinya. Kita harus berlumba untuk mencapai mutu yang tinggi, bukan berlumba untuk mempertahankan pandirisme dalam dunia akademik kita. Termasuk juga di sini ialah piawaian yang kita perlu tetapkan untuk dijadikan ukuran. Misalnya, jika kita ingin menentukan kualiti sebuah syarahan perdana dalam kesusasteraan, maka contoh yang kita ambil ialah Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Jika anda tidak bersetuju, anda harus mengemukakan contoh yang lebih baik untuk dijadikan ukuran. Mana-mana syarahan perdana dalam kesusasteraan yang tidak mencapai standard itu, bukanlah syarahan perdana yang tinggi mutu akademiknya. Dengan adanya garis panduan ini, kita dapat mengukur dengan lebih mudah pencapaian akademik dalam bidang ini. Jika semuanya sama atau lebih tinggi kualiti akademiknya daripada standard yang kita tetapkan, maka itulah yang dinamakan kemajuan dan perubahan yang membanggakan kita dalam bidang akademik ini.  Dengan itu kita boleh mengelak dari berada secara berterusan untuk mengusahakan sesuatu yang sia-sia, yang tidak boleh dibanggakan. Untuk memudahkan anda memahami penghujahan ini, sila baca buku terbaru dalam pasaran sekarang, Adab dan Peradaban: Pengi’tirafan Untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, dan sebuah lagi buku yang diterbitkan lebih awal, dalam bahasa Inggeris: Knowledge, Language, Thought and The Civilization of Islam: Essays in Honor of Syed  Muhammad Naquib al-Attas (2010).






Friday, September 7, 2012

APAKAH JENIS PERUBAHAN DAN KEMAJUAN YANG KITA MAHU?


Kesusasteraan Malaysia mesti berubah jika mahu maju dan mempunyai identiti sendiri. Dua perkara ini disepakati oleh hampir semua sasterawan dan sarjana sastera. Mesti berubah untuk maju, kata mereka. Satu ketika dulu mereka bercakap tentang perlunya perubahan paradigma. Kini suara itu sudah hilang.  Adakah ini bererti paradigma baru itu sudah ditemui dan sedang dipraktikkan? Sebenarnya tidak. Yang dikatakan paradigma baru itu lesap entah ke mana, dan perubahan yang diseru dengan lantang itu lesap bersama keengganan untuk berubah supaya satu kemajuan yang benar-benar dapat dipanggil kemajuan boleh dimulai, atau diteruskan dengan bersungguh-sungguh jika sudah dimulai.

Adakah ini satu teka-teki? Tidak juga satu teka-teki. Lebih tepat jika kita berkata satu perubahan telah terjadi untuk menolak apa juga perubahan jika perubahan itu tidak dalam konteks status-quo yang ada sekarang. Para sasterawan dan sarjana sastera bercakap tentang perubahan dan kemajuan dalam konteks peniruan dalam pendekatan yang dimajukan dalam teori dan praktik sastera Barat.  Mereka tidak bercakap tentang perubahan dari segi pemikiran berasaskan  sistem falsafah penulisan yang boleh kita tegaskan sebagai milik kita, yang lahir dari pemikiran dan kekuatan daya kreatif kita sendiri.  Kemungkinan ini menakutkan para sasterawan dan sarjana kita, kerana mereka sangat yakin bahawa mereka belum dan tidak mahu berubah jika dengan berbuat begitu mereka harus mempelajari  sesuatu yang baru, yang tidak mereka temui dalam keghairahan mereka mempelajari sistem sastera Barat. Ketakutan ini amat real, kerana mereka anggap mereka akan kehilangan semua milik mereka yang mereka tiru dan ambil dari Barat. Mereka akan bangkrap, bisu dan benar-benar tergamam kerana tidak dapat berbicara tentang sastera jika milik mereka yang ada sekarang diusik dan dicuba untuk dipindah. Inilah keadaan pergolakan  intelektual di kalangan para sasterawan dan sarjana apabila mereka dicabar untuk meninggalkan sastera (kesusasteraan) untuk kembali kepada warisan mereka sendiri yang membina tamadun persuratan yang kukuh dan boleh dibanggakan, yang sepatutnya diwarisi oleh mereka.

Mereka enggan dan menolak perubahan yang benar-benar membawa kemajuan berfikir dan mencipta dengan kembali kepada persuratan, kerana mereka sudah terputus dari tradisi tamadun mereka sendiri. Walaupun mereka ini masih bercakap tentang perlunya tradisi dan tamadun Melayu diberi tempat sewajarnya, malah tempat utama, dalam pembinaan “tamadun” moden, namun mereka enggan berbuat demikian kerana wujudnya ketakutan akan menjadi bisu sekiranya pendekatan dan teori sastera Barat yang melahirkan kesusasteraan Melayu moden itu diganti dengan persuratan, dengan alasan yang paling tidak masuk akal, iaitu tamadun persuratan itu sukar dan tidak dapat dilaksanakan dalam zaman moden kerana untuk melakukannya orang harus kembali ke zaman silam yang sudah berlalu. Mereka tidak menegaskan bahawa mereka menolak konsep ilmu yang benar, yang menjadi asas tamadun persuratan itu. Sebenarnya itulah dasar penolakan mereka, iaitu mereka tidak mahu persuratan Melayu diasaskan kepada konsep ilmu yang benar kerana selain akan menyukarkan kegiatan mereka, konsep ilmu yang benar itu tidak wujud dalam sastera Barat, oleh itu tidak wajar dijadikan asas  penulisan kreatif selagi teori dan pendekatan Barat itu masih dijadikan arus perdana dalam kegiatan sastera dan kegiatan akademik di Malaysia. Inilah hakikat sebenar, yang telah dibayangkan dalam posting yang lepas (bertarikh 29/8/2012).

Jika anda membaca laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, anda akan dapat melihat betapa kuatnya pengaruh nilai-nilai sastera Barat dalam cara berfikir, cara menganalisis dan cara menilai karya kreatif berbahasa Melayu. Anda akan berasa hairan, apakah sebenarnya yang mendorong mereka begitu jauh tenggelam dalam sistem sastera Barat, sehingga semuanya mesti ditentukan oleh nilai-nilai Barat. Seperti yang diperlihatkan dalam posting 29/8/2012, pengaruh itu, yang mendatangkan kesan yang begitu besar, adalah pengaruh yang merugikan jika dilihat dari perspektif Islam. Seperti yang telah ditunjukkan di dalam posting itu, karya khayal Anwar Ridhwan yang kononnya berbicara tentang “roh”, mendapat sanjungan daripada Panel Anugerah Sastera Negara, demikian juga cerita pendek beliau tentang perzinaan manusia moden dalam “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” dianggap telah melahirkan jalur besar dalam cerita pendek Melayu. Semua kesimpulan ini bertentangan dengan konsep ilmu yang benar yang cuba dihidupkan kembali dalam gagasan Persuratan Baru. Apakah yang mendorong Panel Anugerah Sastera Negara membuat kesalahan dan kesilapan begitu besar, yang begitu menonjol?  Semuanya terjadi kerana dalam sistem yang mereka guna tidak terdapat definisi ilmu dan peranan ilmu dalam pemikiran manusia, apatah lagi jika mereka meletakkan semuanya dalam konteks teknik dan struktur, yang bagi mereka tidak ada kaitannya dengan konsep ilmu. Kerana itu anda boleh menulis tentang “alam roh” dengan selesa, walaupun anda tidak langsung mempunyai pengetahuan tentangnya, apatah lagi pengalaman kerohanian tulen yang sekira-kira membolehkan anda hanya mengimbas sepintas lalu pengalaman kerohanian anda sendiri. Sekiranya Anwar Ridhwan mempunyai pengalaman kerohanian seumpama itu, bagaimana dia hanya berupaya menulis sebuah cerita pendek yang begitu crude? Sekiranya Panel Anugerah Sastera Negara mempunyai pengetahuan tentang pengalaman kerohanian ahli sufi tulen (bukan sufi mainan atau sufi palsu), dan memahami kedudukan persoalannya dalam konteks Islam, tentulah mereka tidak akan begitu terpesona dengan sebuah cerita pendek yang begitu crude!  Semua ini menunjukkan betapa palsunya ukuran yang mereka gunakan dalam menilai karya berkenaan.  Contoh ini boleh dijadikan hujah untuk menunjukkan betapa hebatnya kesilapan Panel Anugerah Sastera Negara yang dibiarkan  berlalu begitu saja, berleluasa mencengkam para sasterawan dan sarjana yang tidak sedikit pun melihat apa-apa kesilapan dan kesalahan kerana mereka tidak mempunyai ukuran yang boleh digunakan untuk menilai kesilapan dan kesalahan itu.  Andainya mereka mempunyai hujah, kita bersedia mendengarnya dan memberi perhatian serius kepada hujah-hujah itu. Anda mempunyai tanggungjawab intelektual yang besar untuk membetulkan kesilapan orang lain jika kesalahan dan kesilapan yang anda lakukan bukanlah kesilapan dan kesalahan, hanya anggapan tidak berasas semata-mata. Anda harus tampil menjelaskannya. Kesalahan begini dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan seorang sasterawan negara, bukan satu kesalahan kecil yang boleh dibiarkan berlalu tanpa penjelasan.

Kita lihat satu lagi kes, tentang Shahnon Ahmad. Inilah pengakuan beliau:
“... saya berkesimpulan bahawa amat perlunya perjalanan kreativiti itu berlandaskan juga alam di luar alam syahadah iaitu alam metafizik, alam roh ataupun yang dikatakan alam malakut. Persoalan alam metafizik ini sebenarnya menuntut cabaran yang lebih khusus lagi luas dan tidaklah niat saya untuk menghuraikannya di sini. Mungkin akan saya huraikannya dalam suasana yang lain. Namun setakat ini dalam perjalanan kreativiti hingga kini, saya telah melahirkan cerpen bertajuk ‘Tumbuh Lagi Tunggu Lagi’ (dalam Unting Kasih, Majlis Kebudayaan Kedah 1997). Cerpen ini keseluruhannya berlatarbelakangkan alam malakut; khususnya alam Hari Kiamat yang banyak saya kutip dalam kitab suci al-Quran.  Dan sekarang saya sedang mengarang sebuah novel yang khusus berlandaskan alam roh yang setakat ini masih bertajuk Pararuhi (The Souls). ...” (Dewan Sastera, Oktober 1998, hal. 98).

Kutipan ini perlu dibaca bersama kutipan daripada Dr. Zulkarnain Mohamed dalam posting 29/8/2012 yang memberitahu kita,  “Dalam konteks karya fiksyen, penerokaan dan gambaran dimensi ghaib ini boleh bercanggah dengan akidah Islamiah. ... Perbuatan itu boleh menafikan hakikat sebenar alam ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT.”  [Sila baca kutipan penuh di sana.]

Perkara ini menjadi lebih menarik jika kita membaca komen A. Samad Said ini. Satu ketika dahulu Shahnon Ahmad dilaporkan oleh A. Samad Said sebagai berikut, “Empat lima tahun dahulu, kerana Realisme Magis, Shahnon Ahmad pernah menegur Hujan Pagi sebagai karya yang tergelincir dari landasan akidah” (Dewan Sastera, Julai 1997, hal. 51). Isunya ialah, bagi Shahnon Ahmad, menulis tentang perkara ghaib tidak menggelincir akidah (seperti yang ditegaskan oleh Dr. Zulkarnain), tetapi menggunakan teknik realisme magis boleh menggelincirkan akidah.  Adakah pendirian Shahnon Ahmad ini hanya berdasarkan fikiran peribadi beliau, tidak disandarkan kepada Islam?  Inilah bentuk perubahan dan kemajuan yang sangat disanjung oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan dijadikan prinsip kreatif oleh para sasterawan. Jika prinsip ini betul-betul diyakini dan dipraktikkan (contoh dari Shahnon Ahmad dan Anwar Ridhwan boleh dijadikan bukti), maka bukan kemajuan dan perubahan yang mereka capai, tetapi kesesatan arah yang membahayakan mereka dan pembaca mereka. Ini satu isu besar yang perlu dibahaskan dengan mendalam, supaya para sasterawan tidak lagi berlagak pandai dengan menulis tentang perkara ghaib yang mereka tidak tahu. Menggunakan al-Quran sebagai hujah, seperti yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad (dalam kutipan itu), tidak boleh diterima kerana caranya bertentangan dengan maksud al-Quran. Al-Quran memberitahu tentang syurga dan neraka, tentang kiamat dan mahsyar, tentang perhitungan amal dan lain-lain, bukan untuk dijadikan bahan kreatif, tetapi diambil iktibar sebagai satu peringatan bahawa terdapat realiti hakiki yang tidak boleh dijangkau oleh akal manusia, tetapi penting sebagai maklumat  agama untuk mereka imani. (Lihat posting 29/8/2012 untuk melihat mengapa persoalan ini penting dalam kehidupan manusia berakal). Sekali lagi peringatan dan amaran Ustaz Dr. Zulkarnain Mohamed dalam makalahnya perlu diberi perhatian serius.

A. Samad Said memperlihatkan kejengkelannya yang agak berlebihan dengan menyindir dan mengejek Shahnon Ahmad dan seorang lagi sebagai “kritikus agama atau ulama” yang tidak rasional, sebaliknya hanya menurut emosi (hal. 52) ketika mempersoalkan penggunaan teknik realisme magis di dalam karyanya yang menurutnya realisme magis kini sudah diterima sebagai teknik arus perdana dan dipakai dalam karya para sasterawan dunia, oleh itu apa yang dilakukannya tidak lebih daripada sejenis “pemindahan teknologi” dalam penulisan. Baginya, itulah makna dan matlamat pembaharuan dan kemajuan, dengan itu dia tidak menerima perubahan ke arah kesedaran Islam dalam penulisan, yang dilihatnya tidak lebih daripada sebagai suatu “trend” sahaja: “Secara berdikit sebenarnya saya sudah mengesan trend yang menjurus kepada arus kesedaran agama ini. Saya cuba mengerti, malah cuba berdamai dengannya. Akan tetapi, saya berfikir, ada ketikanya trend itu terasa seperti sengaja dipaksakan, sesuatu yang mungkin serasi oleh iklim atau kesedaran agama” (hal. 50). 

Jelas sekali dia tidak melihat apa yang disebutnya sebagai “trend” itu sebagai perubahan yang akan membawa kemajuan; berbanding dengan peniruan yang dilakukannya dengan menggunakan realisme magis itu yang dilihatnya sebagai satu kemajuan yang jelas dalam membawa unsur “teknologi” dalam teknik penulisan.  Menurut A. Samad Said, kemunculan pengkritik yang “agamais dan ulamais “ (istilah beliau untuk melonjakkan kejengkelannya) tidak akan membawa perubahan dan kemajuan, berbanding dengan usahanya membawa “teknologi” baru dalam penulisan dengan membawa masuk reslisme magis dalam karyanya.  Menarik untuk dibandingkan pandangan dua orang “tokoh besar” sastera Melayu ini, antara Shahnon Ahmad yang mengembara ke alam roh dengan A. Samad Said yang merayau di alam realisme magis. Adakah kedua mereka ini pada dasarnya berada dalam standard yang sama, hanya berbeza dari segi istilah saja?  Jika anda membaca dengan teliti teguran dan amaran Ustaz Dr. Zulkarnain yang saya kutip dalam posting bertarikh 29/8/2012 itu anda akan mendapat jawapannya. Tidakkah kedua-duanya menuju ke satu arah yang sama dengan menggunakan berlainan jalan?

Jika anda faham maksud pertanyaan di atas, anda akan melihat betapa hebatnya Panel Anugerah Sastera Negara dalam membuat penilaian mereka terhadap para sasterawan negara yang mereka pilih dan ketengahkan dalam laporan mereka. Anda akan melihat mereka sedang menuju ke satu arah yang sama, iaitu ke arah kekeliruan kognitif yang kemudiannya melahirkan kekeliruan estetik dalam penilaian mereka yang amat tempang jika dinilai dari perspektif ilmu yang benar. Jika anda menilai kesimpulan ini dengan kritis, anda akan dapat menentukan dengan pasti mengapa kita harus menolak konsep kesusasteraan yang berasaskan pendekatan dan teori Barat yang begitu kuat mencengkam sasterawan dan sarjana Malaysia, dengan meletakkan persuratan sebagai alternatif terbaik untuk mencapai cita-cita kita membina tamadun Melayu/Malaysia yang berteraskan ilmu.

Oleh itu: Apakah jenis perubahan dan kemajuan yang kita mahu?  Pertama sekali, perlu ditegaskan sekali lagi, atau beberapa kali, bahawa para sasterawan, sarjana sastera, dan para penilai seperti Panel Anugerah Sastera Negara tidak mahukan perubahan dan kemajuan kecuali dalam konteks pendekatan dan teori Barat yang mereka cukup selesa berada di dalamnya.  Ini bermakna, kumpulan ini menentang sebarang perubahan dan kemajuan yang menyimpang dari kedudukan yang ada sekarang; dengan itu mereka tidak mahukan persaingan sebab ini akan menggugat kedudukan selesa mereka; akhirnya mereka menentang sebarang usaha untuk mewujudkan satu alternatif dalam perkembangan persuratan Melayu. Oleh itu, sikap meghalang kemajuan dan enggan melihat perubahan ini perlu ditolak dengan tuntas, untuk memberi isyarat kepada kumpulan ini bahawa mereka telah melakukan dua kesalahan besar dari segi moral dan akademik. Dari segi moral, sikap mereka terus mempertahankan teori  Barat dalam kegiatan mereka bertentangan dengan nilai-nilai tamadun Melayu yang menjadikan nilai-nilai Islam sebagai asas pembinaan tamadun negara ini. Dari segi akademik pula, pegangan mereka terhadap teori Barat tidak berasaskan konsep ilmu yang betul, yang dari segi epistemologi adalah bertentangan dengan pandangan Islam yang menjadi anutan mereka. Ketergantungan mereka kepada retorik dalam penilaian mereka tidak boleh dijadikan hujah untuk mempertahankan penilaian mereka, oleh itu semua penilaian mereka tidak dapat dipertahankan apabila diuji dengan menggunakan konsep ilmu yang benar yang diajar di dalam Islam. Jika mereka masih mahu meneruskan kekeliruan mereka, maka menjadi kewajipan kita semua untuk menghalang kekeliruan ini daripada diteruskan dan kita semua berada dalam keadaan “cetek meraba-raba” selama-lamanya. Ini adalah satu dosa intelek yang tidak boleh dibiarkan berterusan.

Jadi, apakah pilihan terbaik untuk kita? Tentu saja bukan meneruskan era sastera yang amat lesu dan terlalu terikat kepada kiblat Barat dalam cara berfikir, cara menulis, cara mencipta, cara menganalisis, cara menilai,  dan cara mempromosikan kekeliruan kognitif dan kekeliruan estetik seperti yang sudah jelas dilakukan dan diteruskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam keseluruhan laporan yang mereka terbitkan. Di manakah kita berdiri sebenarnya dalam keghairahan para sasterawan dan sarjana sastera mempertahankan pendekatan dan teori sastera Barat itu? Kita telah melihat dinamisme yang kita harapkan daripada kumpulan ini tidak ada, malah yang diberikan kepada kita ialah peniruan dan pemerkasaan teori dan pendekatan Barat, sehingga dengan secara langsung dinafikan munculnya pendekatan alternatif yang bersifat mandiri yang boleh kita klaim sebagai milik kita.  Tidakkah inilah perubahan dan kemajuan yang kita mahu? Sekiranya selepas hampir satu abad kita menjadi pengekor setia teori sastera Barat, maka kini kita dituntut untuk membebaskan diri dari belenggu keaiban intelektual ini dengan terus menjadi pengekor Barat. Kita harus mengemukakan dan mempercayaai alternatif yang kita sendiri wujudkan. Itulah makna sebenar perubahan dan kemajuan yang selalu dilaungkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara itu.

Agak ironis kesimpulan tentang masalah ini diberikan oleh A. Samad Said sendiri yang mengakhiri tulisannya, Dewan Sastera, Julai 1997 (hal. 52) begini:  “Singkatnya dalam kekacauan pegangan dan teori yang dihebohkan itu kita perlu menjadi manusia bijaksana dan damai. Sebab, seboleh-bolehnya saya juga tidak mahu masuk neraka kerana Realisme Magis”.

Mohd. Affandi Hassan,
5 September 2012.