Thursday, January 5, 2012

Pendekatan Ta’amul-Taklif Untuk Menilai Karya Kemala: Satu Cadangan Kepada DBP

Dalam Jurnal SARI 29(1) (2011) terdapat sebuah makalah penting yang ditulis oleh Dr. Zulkarnain Mohamed berjudul, “Pendekatan Ta’amul-Taklif Dalam Kajian Sastera”. Makalah ini menghuraikan dengan jelas bagaimana sebuah karya yang dianggap karya sastera Islam perlu dianalisis dan dinilai. Jikalau kita dapat terima seperti diklaim oleh penulisnya, bahawa karya-karya Kemala, sasterawan negara paling baru, adalah karya-karya bercorak Islam (malah ada yang menganggapnya karya sufi, tanpa diketahui maksud istilah sufi itu digunakan dalam konteks itu), maka pendekatan yang dicadangkan oleh Dr. Zulkarnain ini amat sesuai digunakan dalam menulis laporan Anugerah Sastera Negara. Jika pendekatan ini digunakan, kita dapat pastikan, tanpa ragu-ragu, benar tidaknya karya-karya Kemala itu karya bercorak Islam seperti yang dijelaskan oleh Dr. Zulkarnain dalam makalahnya itu. Sekiranya pendekatan ta’amul-taklif itu tidak sesuai, kita berpeluang mendengar pandangan Panel Anugerah Sastera Negara tentang perkara ini,  yakni mengenai bagaimana seharusnya sesebuah karya yang diklaim bercorak Islam itu dianalisis dan dinilai. 

Saya tidak berhajat menghuraikan pendekatan ta’amul-taklif yang dicadangkan oleh penulis makalah, kerana Panel Anugerah Sastera Negara sendirilah yang harus membaca dan menilainya sebagai satu pendekatan yang boleh dipakai. Dewan Bahasa dan Pustaka boleh membantu mereka mendapatkan makalah itu untuk kegunaan ahli Panel. Sudah tiba waktunya laporan Panel Anugerah Sastera Negara diberi wajah baru yang lebih mesra persuratan Melayu yang berteraskan Islam itu. Selama lebih dari 30 tahun Panel Anugerah Sastera Negara, dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka, meminggirkan aspek kebudayaan dan persuratan Melayu ini dari penilaian mereka. Kini pendekatan yang boleh membantu ke arah kembali ke akar persuratan Melayu itu sudah diwujudkan dan wajar dinilai dengan kritis oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Sekiranya Panel masih mahu meneruskan penggunaan teori dan pendekatan Barat dalam laporan mereka, maka pendekatan ta’amul-taklif ini boleh membantu mereka bagaimana teori dan  pendekatan Barat itu boleh dan sesuai digunakan tanpa meminggirkan langsung unsur-unsur Islam dalam persuratan Melayu moden yang diklaim oleh Kemala terdapat dalam karyanya. Saya harap Dewan Bahasa dan Pustaka boleh menimbangkan cadangan ini dengan serius.

Mohd. Affandi Hassan,
5/1/2012.

4 comments:

  1. Semua Dalih Ditolak ...

    DBP dan Panel Anugerah Sastera yang dilantiknya tidak boleh berdalih lagi untuk terus bersikap anti-ilmu dengan menolak pendekatan Islam dalam analisis dan penilaian karya kreatif. Mereka telah memilih seorang sasterawan yang mendakwa menulis sajak-sajak sufi. Pendekatan ta'amul-taklif yang dikemukakan oleh Dr. Zulkarnain Mohamed berupaya menyerlahkan nilai sebenar sesebuah karya kreatif yang diperakukan sebagai karya Islami, berasaskan worldview Islam yang sebenar. Kemala pernah mengaku beliau menghasilkan sajak-sajak sufi; tetapi hingga kini belum lagi diuji kebenaran dakwaannya itu. Inilah masanya ujian itu dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dengan menulis laporan berasaskan pendekatan ta'amul-taklif yang dicadangkan oleh Dr. Zulkarnain. Jika Panel beranggapan pendekatan itu masih mentah, belum diuji, masih perlu dikaji lagi, dan macam-macam alasan lain yang boleh saja dilontarkan, maka menjadi tanggungjawab Panel untuk menilai pendekatan itu dengan menggunakannya dalam menganalisis dan menilai karya-karya Kemala yang sudah dipilih sebagai seorang sasterawan negara. Beliau tidak boleh dikecualikan; beliau juga tidak wajar dinilai dari perspektif pendekatan teori Barat yang memang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Jadi pilihan yang satu-satunya ialah menggunakan pendekatan ta'amul-taklif.

    ReplyDelete
  2. Satu lagi maklumat baharu untuk diri saya. TK.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum.

    Sedikit perkongsian. Perkataan TA'AMUL berasal dari kata akar عمل yang mana kita guna dalam bahasa Melayu: melakukan sesuatu dengan tujuan tertentu. Dalam konteks agama Islam, sepertimana yang digunapakai dalam kitab-kitab agama, ia biasanya digandingkan dengan perbuatan baik (amal ibadah).

    Perkataan ini mempunyai konotasi makna "menyaling". Perkataan تعامل (ta'amul: saling berurusan) sama timbangan (wazan)/pattern dengan perkataan تعارف (ta'aruf: saling berkenalan), تكافل (takaful: saling berbantu) , تسامح (tasamuh: saling bertoleransi) dan beberapa lagi. Maksudnya, penggunaan perkataan yang menggunakan wazan/timbangan/pattern ini melibatkan 2 pihak.

    Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi ada menulis buku yang mengguna judul كيف نتعامل مع القرآن (Bagaimana Kita Berurusan Dengan Al-Qur'an). Buku ini telah diterjemah, namun ia diterjemah sebagai (Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Qur'an). Namun, saya berpendapat perkataan نتعامل itu lebih tepat jika diterjemahkan dengan "Kita Berurusan/Berhubungan". Buku ini mengupas bagaimana kita perlu menghormati Al-Qur'an, cara untuk berdalil dengan ayat Al-Qur'an, hukum-hukum berkaitan bagaimana kita bermu'amalah (berurusan) dengn Al-Qur'an dll. Perkataan معاملة juga daripada rootword yang sama dengan تعامل iaitu daripada عمل. Mu'amalah di sini bukan bermaksud perbankan, tetapi lebih kepada hubungan/cara berurusan. Mungkin kita ada mendengar orang guna perkataan ini...bagaimana kita bermuamalah dengan orang tua/guru/pasangan sah/bukan mahram...dan sebagainya. Oleh itu, bagi saya, perkataan تعامل diterjemah sebagai "berurusan" yang membawa makna urusan yang dipenuhi adab, kesantunan dan etika tertentu. Ini merujuk kepada penggunaan perkataan ini bagi tajuk buku Yusuf al-Qaradawi.

    Wa Allahu a'lam. Sedikit pandangan saya tentang makna TA'AMUL.

    ReplyDelete
  4. Apa pendapat Encik berkenaan sastera ilmi pula?
    http://rausyanfikir.com/2012/01/sastera-ilmi-sebagai-pemangkin-budaya.html

    ReplyDelete