Sunday, January 15, 2012

TESIS PH.D. PROF. MADYA DR. MOHD. ZARIAT ABDUL RANI SUDAH TERBIT

Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat  (kini di UPM) menyiapkan tesis Ph.D. beliau di UKM 2004, lulus dengan kategori cemerlang. Tesis beliau diterbitkan oleh Penerbit UKM (http://www.ukm.my/penerbit) 2011, dijual dengan harga sekitar RM50.00 dan boleh didapati dari Penerbit UKM. Judul: Seksualiti Dalam Novel Melayu.  Jumlah halaman 515.

Buku ini penting kerana inilah julung kali pendekatan gagasan Persuratan Baru digunakan secara akademik untuk menganalisis dan menilai novel-novel Melayu terpilih. Dengan itu buku ini meletakkan satu standard yang jelas dalam kritikan sastera di Malaysia. Penulis, sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera kini mempunyai pilihan untuk dijadikan ukuran dalam analisis dan penilaian mereka: Sejauh mana gagasan Persuratan Baru mengemukakan satu alternatif dalam kritikan sastera di Malaysia yang berbeza daripada pendekatan yang digunakan selama ini? Sejauh mana pula gagasan Persuratan Baru mencabar kewibawaan Panel Anugerah Sastera Negara dalam penilaian yang dikemukakan dalam laporan mereka?  Dua soalan besar ini tidak saja menyentuh soal pendekatan yang dipakai, tetapi juga menyentuh soal ukuran mana yang lebih sesuai digunakan dalam kritikan sastera Melayu.  Setelah persoalan itu diselesaikan, kita berdepan pula dengan cabaran yang lebih besar: Ke manakah arah yang kita tuju dalam Abad 21 ini?  Persoalan ini akhirnya harus menjawab dengan jelas satu masalah lain: Perlukah kita membahagikan karya kreatif kita kepada tiga kategori, iaitu karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan/popular/erotik?  Pembahagian kepada tiga kategori ini boleh membantu kita melihat sejauh mana kemajuan yang telah kita capai selama ini dan apakah ukuran yang kita pakai.

Diharap buku Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat ini boleh membantu kita melihat semua persoalan yang disebutkan itu secara menyeluruh, dengan itu menyediakan kita untuk menghadapi cabaran Abad 21 ini dengan persediaan ilmu dan kekuatan daya kreatif yang dituntut oleh era ilmu Abad 21 ini.

Mohd. Affandi Hassan,
15/1/2012.

3 comments:

  1. Assalamu'alaikum,salam hormat buat tuan blog PB,juga pembaca setianya..
    Izinkan saya mencatat secebis ayat..
    Terimakasih memaklumkan info berharga ini.
    Inilah landasan penulis berkarya dan bertaqwa.
    Memenuhi cita-cita dan harapan yang murni.
    Berusaha mengangkat nilai dan sifat kemuliaan kemanusiaan.
    Ilham,impian di dalam pemikiran menunggu detik kelahiran dan menjadi kenyataan.
    Bukan setakat keindahan tetapi lebih mustahak memelihara harga diri,maruah seluruh manusia dan alam.
    Kebenaran risalah sentiasa menjadi teras utama.
    Amanah besar tersedia untuk digalas.
    Sekian,wassalam.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Tuan,
    Memang terlalu kerdil rasanya diri ini apabila membaca semua penulisan Tuan dalam blog ini.Sejak kebelakangan ini saya telah bertekad untuk menghambakan hidup saya dalam bidang penulisan kreatif khasnya berbentuk dakwah. Saya tidak mempunyai asas ilmu sastera namun saya suka menulis dengan niat untuk mendapat ganjaran akhirat.Penulisan saya ada juga yang diterbitkan namun tidak begitu mendapat sambutan namun ia tidak menjadi apa sebab niat saya untuk berdakwah. Kalaulah Tuan ada kesempatan untuk membaca penulisan terbaru saya(kalau boleh dikatakan penulisanlah) dan memberi KOMEN, saya rasa saya sanggup untuk belajar sehingga penulisan saya mencapai sekurang-kurangnya standard minima yang boleh diterima umum. Sekiranya Tuan sudi mengajar saya, saya sertakan emel saya kuncisegalakunci@gmail.com. Terima kasih semoga usaha Tuan selama ini mendapat ganjaran pahala yang besar dari ALLAH SWT.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Sdr. Kunci Segala Kunci.

      Niat sdr. bagus, Insha Allah akan diberi lorongan mudah untuk mencapainya oleh Allah Ta'ala. Menulis bukan kerja susah, yang agak susah dan rumit ialah membuat persediaan. Pertama, banyak membaca karya agung dunia, tak kira dari mana saja. Itulah petua terbaik yang diberikan sejak beribu tahun lagi. Kedua memahami teknik penulisan yang baik. Jika anda boleh membaca Inggeris dengan baik, bahannya mudah didapati dalam buku2 berbahasa Inggeris dan dalam Internet. Sebagai contoh, sila akses tulisan yang bagus ini melalui http://www.whitman.edu/president/cronin/articles/thewritestuff.cfm

      Jika buku saya boleh membantu, silalah baca Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan. Saya harap respon saya tidak menghampakan sdr.

      Delete