Sunday, January 1, 2012

DURIAN RUNTUH UNTUK PENA. DURIAN RUNTUH UNTUK KESUSASTERAAN MELAYU

PENA benar-benar mendapat durian runtuh akhir tahun 2011. Perdana Menteri Malaysia sendiri telah memberi bantuan RM5 juta untuk penerbitan PENA dan satu juta lagi untuk membaiki Rumah PENA. Satu sejarah yang tak pernah terjadi. Tahniah kepada Dr. Saleeh Rahamad yang berjaya memujuk seorang Perdana Menteri (orang senegeri beliau) memberi kepercayaan kepada beliau dan AJK PENA untuk memajukan persuratan Melayu dalam wajah yang diingini oleh beliau dan PENA sendiri.  Sungguh baik jika penerbitan pertama menggunakan peruntukan itu ialah menerbitkan kumpulan makalah untuk Perhimpunan Penulis Muda Nasional Malaysia (PPMNM) III yang diadakan baru-baru ini. Saya juga cadang dicari seorang editor yang akan memperkenalkan buku itu dalam analisis yang kritis, menumpukan analisisnya kepada “pemikiran” para penulis muda. Saya cadangkan orangnya sama ada Sdr. Baha Zain (bekas Ketua I PENA); atau Prof. Zawiah Yahya yang terkenal keperihatinannya kepada kualiti akademik yang tinggi; atau Prof. Salleh Yaapar sendiri yang memberi ucaputama pada pertemuan itu. Saya harap cadangan ini dipertimbangkan oleh AJK PENA, terutama oleh Ketua I PENA,  Dr. Saleeh Rahamad sendiri.

Kira-kira 15 tahun dulu, dalam satu mesyuarat PENA, seseorang telah mencadangkan dalam perbualan sesama kita supaya diterbitkan sebuah buku yang khusus membicarakan tokoh-tokoh pilihan PENA.  Tidak semestinya yang pernah menjadi Ketua I PENA, tetapi anggota biasa yang banyak berjasa kepada kegiatan kesusasteraan Melayu pun layak dipilih. Antara contoh yang diberikan ialah Zakri Abadi, penulis, wartawan, penerbit dan penggiat sastera yang kini sudah dilupakan (?). Saya tidak pasti adakah ketika cadangan itu dibuat Zakri Abadi masih hidup atau sudah meninggal. Buku itu secara khusus menulis biografi sang tokoh yang agak lengkap dan analitikal, diikuti dengan senarai lengkap (atau selengkap yang boleh) karyanya dan tulisan tentang sumbangan beliau, diikuti dengan sebuah tulisannya (framen novel, cerita pendek, drama, makalah, interview dan lain-lain). Kalau perlu, disediakan lebih dari satu jilid. Kita mahu penerbitan ini menjadi kebanggaan kita semua, tidak hanya untuk ahli-ahli PENA. Untuk melaksanakan kerja ini, diperlukan satu Editorial Board yang cekap (sorry: mereka perlu cekap) dan rajin bekerja (sorry: banyak kerja tak siap kerana yang ditugaskan tak berapa rajin). Akhirnya, buku ini di “dedicated” untuk Hassan Ahmad. Beliau wajar diperingati kerana jasa-jasanya. (Sebenarnya saya  mengharapkan DBP terbitkan sebuah buku khusus untuk beliau (mungkin sudah dibuat), memuat tulisan bermutu daripada para penyumbang berwibawa. Kita jarang ada buku seperti ini di Malaysia.)

Perlukah PENA, mewakili penulis nasional, meletakkan satu standard yang boleh dijadikan rujukan? Untuk itu, dicadangkan PENA memilih 10 buah novel yang betul-betul bermutu menurut standard yang ditetapkan oleh PENA sendiri, sebagai karya terbaik di Malaysia. Jika dapat  diterbitkan 10 buah novel itu yang diedit dan diberi pengantar/pengenalan oleh 10 orang sarjana, tentulah amat baik. Saya pun mahu simpan di perpustakaan peribadi saya. Tetapi untuk keperluan sekarang, cukup diterbitkan dahulu pengantar/pengenalan itu dalam bentuk buku bersekali dengan bibliografi (termasuk tulisan mengenai beliau) dan biografi pengarang. Kalau dapat diikuti dengan cerita pendek dan sajak tentulah lebih baik. Harap-harapnya Dr. Saleeh Rahamad dan AJK PENA bersetuju dengan cadangan ini.

Saya ada beberapa cadangan lain yag dari segi kepentingannya tidak sepenting yang dikemukakan di sini. Insha Allah akan dikemukakan nanti selepas cadangan ini mendapat layanan. Tetapi terlanjur sudah disebutkan cadangan-cadangan di atas, elok juga saya sebut dua cadangan lain yang boleh dipetimbangkan. Pertama, satu usaha meningkatkan aspek penulisan skrip dan pengarahan drama di TV perlu dilakukan sekarang. Biarkanlah cerita-cerita hantu, cerita-cerita cinta-cintaan diteruskan, tetapi perlu kita letakkan satu standard supaya drama kita benar-benar bermutu. Saya pernah menonton karya Misbah Yusa Biran, “Jalan Lain ke Syurga” yang panjang itu. Pada perhintungan saya, drama bersiri itu cukup baik dan wajar dijadikan contoh oleh para pengarah dan penulis skrip kita. Saya juga selalu mencadangkan karya Asrul Sani, pembikin filem Indonesia yang legendary itu, dijadikan ukuran, selain dari karya P. Ramlee sendiri. Untuk melaksanakan projek ini, kerjasama dengan Kementeran Penerangan etc. dan badan yang mewakili penerbit dan penulis skrip perlu diadakan. Saya fikir bidang ini, jika diusahakan berterusan oleh PENA, akan membuahkan hasil yang boleh kita banggakan. Dr. Saleeh Rahamad tentu mudah melakukannya kerana beliau bekerja di pusat yang saya kira terlibat secara langsung dengan perkara ini.

Kedua, tentang masalah editing. Sudahkah kita mempunyai editor handalan seperti Asraf?  Dalam bidang ini, kita amat mundur. Kita terlalu ramai pembaca pruf yang amat rajin membetulkan yang sudah betul menjadi kesalahan yang melucukan (contoh: bila saya pakai perkataan “geger” dalam sebuah karya, si pembaca pruf atau editor majalah menukarnya menjadi “gegar” kerana dia fikir dia tahu sehingga “tergegar” otak saya bila membacanya selepas karya itu diterbitkan; contoh lain banyak lagi, akan saya bilang satu persatu jika diperlukan). Tugas editor bukan untuk membetulkan tulisan yang dieditnya, tetapi membantu penulis memperindahkannya, seperti yang dilakukan oleh seorang interior decorator yang memperindahkan bangunan yang sudah sedia indah bikinan arkitek. Dia mencadangkan sesuatu yang difikirkannya perlu kepada penulis, bukan terus mengubahnya. Itulah adab yang tidak ada di kalangan pembaca pruf dan editor yang ada di Malaysia sekarang. Mereka tidak profesional, dan kering dari segi kreativiti seorang editor. Di Barat, seorang pengarang akan melenting marah jika karyanya diterbitkan tanpa editing. Di  Malaysia, kerana editor berlagak serba tahu dan agak bodoh dari segi ilmu penulisan yang baik, merosakkan manuskrip dan sanggup pula berkelahi dengan penulis. Ini semua praktik yang perlu diubah. Bolehkah PENA terlibat dalam membina perubahan ini, supaya kita benar-benar mempunyai kumpulan editor yang berkualiti, yang otaknya kelas pertama dan keterampilannya sebagai editor amat dihormati oleh penulis? Kita harus bina budaya ini. Pada saya, hanya PENA, lebih-lebih lagi di bawah pimpinan Dr. Saleeh Rahamad sendiri yang terlibat dalam pegajian media, yang boleh melakukan usaha ini. Tolonglah carikan untuk saya seorang editor yang cukup berwibawa dan mahir, supaya karya-karya saya yang dikutuk sebagai biadap dan kurang ajar itu dapat diadabkan dan diajar sebaiknya oleh seorang editor yang benar-benar dihormati kemahirannya dan ketangkasan berfikirnya!

Mohd. Affandi Hassan,
1 Januari 2012.

No comments:

Post a Comment