Terdapatnya tiga kategori karya itu sudah diterima
kewujudannya oleh sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, walaupun ada yang
tidak bersetuju dengan kategori karya persuratan kerana menurut mereka karya
sastera akan menduduki tempat kedua. Apa salahnya? Apakah yang istimewa tentang
karya sastera sehingga perlu diutamakan? Dahulu pun kita sudah wujudkan karya
picisan sebagai satu kategori; tetapi ini tidak menyekat penulis karya picisan
dan erotik daripada dipilih sebagai sasterawan negara. Walaupun memang terdapat
sasterawan negara yang menulis karya picisan sebelum dan selepas diangkat
menjadi sasterawan negara, namun institusi itu bukanlah suatu institusi yang
picisan. Kerajaan telah berbelanja banyak wang, berpuluh juta, untuk
melaksanakannya. Panel Anugerah Sastera Negara diberi kebebasan tersendiri
dalam penilaian mereka, dan salah satu kebebasan itu ialah menerima karya
picisan sebagai sebahagian daripada karya yang layak diberi kedudukan yang akan
menentukan boleh tidaknya seorang sasterawan diangkat menjadi sasterawan
negara. Pada mulanya hanya tiga atau empat kategori dikenal pasti: karya sastera, karya picisan,
karya popular, karya erotik dan pornografi. Dalam sastera Melayu moden, karya
erotik dan pornografi itu biasa dipanggil karya lucah; tetapi pada umumnya
sebuah novel erotik seperti novel-novel Yahya Samah lebih tepat dipanggil novel
erotik, bukan pornografi. Sebaliknya novel SN Shahnon Ahmad TIVI adalah karya lucah, yakni sebuah
karya pornografi totok. Tetapi mengapakah SN Shahnon Ahmad bermati-matian
mempertahankan novel lucah porno itu sebuah karya “Mithali Islam”? Dia
menganggap novel lucahnya itu sebuah
karya sastera Islam yang tertinggi tarafnya, iaitu karya mithali (sama tarafnya
dengan gelaran Ibu Mithali yang dianugerahkan oleh kerajaan kepada ibu-ibu
Melayu yang menyokong atau bersimpati dengan UMNO dan telah berjaya melahirkan
anak dan mendidik mereka hingga berjaya dalam pelajaran). Malah ada sarjana (tentu saja termasuk SN
Shahnon Ahmad sendiri) yang meletakkan novel lucah/pornografi itu sebagai karya
sufi, atau sekurang-kurangnya sebuah karya yang kaya dengan unsur sufi. Kesimpulan
ini berasaskan ajaran Hindu yang melihat persetubuhan itu sebagai penjelmaan
kepuasan syahwat (seks) tertinggi yang menjadi matlamat kehidupan manusia,
seperti yang ditegaskan oleh Freud dan diberi tafsiran “falsafah” dalam teori
dekonstruksi ajaran Derrida (sang mulhid) yang dipanggil “jouissance” (puncak kepuasan syahwat).
Istilah jouissance
ini digunakan pada mulanya oleh Roland Barthes, yang membezakan antara
“plaisir” (pleasure) dengan “jouissance” (bliss) yang didapati daripada sebuah
teks yang sama ada bercorak readerly
atau writerly. Teks yang readerly
ialah yang mesra pembaca, yang boleh
difahami dan diberi makna kerana ditulis dalam acuan yang sedia ada. Inilah
barangkali ciri utama karya para sasterawan negara, yang disanjung kerana
“pandai” meniru teknik Barat dan cekap pula melakukan “eksperimen” yang juga
diilhamkan daripada perkenalan dengan karya Barat. Inilah jenis karya orang
yang “pandai menulis”, tetapi tidak pandai mengarang. Pandangan ini telah saya kemukakan sejak tahun
1970-an lagi, dan saya masih berpegang kepada kesimpulan itu kerana bukti-bukti
yang dapat dilihat terlalu banyak sehingga tidak mungkin saya mengubah
kesimpulan saya yang tidak popular itu.
Para sasterawan memang pandai menulis, kerana matlamat
mereka ialah bercerita. Segala-galanya tertumpu pada cerita; dan sebuah novel
hanya menjadi sebuah novel kerana keutamaan cerita itu. Kata E. M. Forster,
“novel adalah cerita”; lalu tanpa ragu-ragu sedikit pun semua sasterawan
Malaysia menerima pendapat E. M. Forster itu sebagai satu-satunya prinsip dan
ukuran yang akan menentukan sesebuah novel itu sebuah novel atau tidak. Sikap
tidak rasional ini akhirnya berakhir dengan sikap tidak siuman apabila “cerita”
itu dipertahankan begitu rupa dengan memberi hujah bahawa al-Quran sendiri
menggunakan cerita dan menjadikan cerita sebagai cara berdakwah dan tarbiah.
Maka lahirlah apa yang kini sedang giat dipromosikan sebagai Teknik Surah Yusuf
yang kononnya meniru “cerita” al-Quran, dengan matalamat untuk mendapat
keuntungan material dengan menulis kisah-kisah cinta murahan atas nama Islam.
Begitu murah harga “cerita” al-Quran itu bagi mereka,
boleh dijadikan iklan dalam perdagangan penerbitan dan penjualan cerita
picisan. Tentulah tidak siuman jika pandangan E. M. Forster dalam bukunya Aspects of the Novel (berasal dari
sebuah syarahan, 1927) dijadikan hujah untuk membuat kesimpulan bahawa cerita
juga salah satu unsur penting dalam al-Quran. Inilah jawapan Dr. Zulkarnain
Mohamed dalam makalahnya (memetik pendapat Sayid Sayid Abd al-Razik dalam
bukunya, Kaedah Islam dalam Kritikan
Sastera): “Abd al-Razik mengemukakan tiga saranan yang jelas, iaitu pertama
cerita al-Quran tidak boleh dikaji dengan pengukuran genre sastera yang
bersifat insani. Seterusnya, kajian cerita dalam al-Quran tidak boleh
dicampuradukkan dengan karya sastera insani walaupun kedua-duanya disentuh
dalam satu kajian. Selain itu, cerita dalam al-Quran tidak wajar ditiru. Sebaliknya, ia hanya
perlu dijadikan panduan atau metode kajian” (dalam makalahnya, “Pendekatan
Ta’amul-Taklif dalam Kajian Sastera”, SARI 29 (1)(2011), hal. 142). Penegasan ini sudah cukup untuk mengembalikan
sifat rasional seorang sasterawan atau sarjana sastera yang cuba menggunakan
al-Quran untuk berhujah bahawa cerita adalah salah satu aspek penting dalam
al-Quran, dikemukan secara simplistic
tanpa memahami konsep “cerita” dalam al-Quran seperti yang ditegaskan dalam
kutipan di atas. Fahaman ini jelas
sekali mempunyai hubungan perdagangan cerita dalam bentuk novel, dengan
misalnya menggunakan surah-surah tertentu dalam al-Quran untuk mengabui dan
mengaburi pembaca yang cetek pengetahuan agamanya bahawa “cerita” yang mereka
hidangkan itu berunsur Islam, meskipun dari segi ilmu bertentangan dengan
ajaran Islam. Pertentangan itu terlihat misalnya dalam keutamaan yang diberikan
kepada emosi dalam pembinaan cerita, dengan misalnya menjadikan cinta muda mudi
sebagai landasan untuk bercerita; padahal dalam Islam yang lebih utama ialah
ilmu, dan bukan sebarang ilmu, tetapi ilmu yang benar. Yang terjadi adalah
sebaliknya: cerita cinta berasaskan teknik jempulan tadi disensasikan hingga
kepada kulit buku yang menonjolkan wajah wanita yang diberi celak yang tebal
dan solekan yang berlebihan. Isinya pun begitu juga, hanya tak lebih daripada
sejenis solekan yang disensasikan dengan memakai judul yang membuat pembaca
yang tahu sedikit tentang agama berasa amat tidak selesa. Kerana kedudukan ilmu
yang benar itu begitu penting, maka seharusnya cerita tunduk kepada keutamaan
ilmu itu, dengan memberi ruang yang lebih besar untuk wacana yang bersifat
keilmuan. (Untuk memahami persoalan ini, sila rujuk makalah Prof. Madya Dr.
Mohd. Zariat Abdul Rani, “Materialisme, Islam dan Nilai Kesasteraan: Satu
Penilaian Terhadap Novel-novel Popular Islami Terbitan PTS Sdn. Bhd.
Berdasarkan Persuratan Baru”, dibentangkan di Perhimpunan Penulis Muda Nasional
ke-3, anjuran PENA, Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur, 16-18 Disember 2011.
Dalam kertasnya itu Dr. Zariat membuat kesimpulan, novel-novel yang dikajinya
itu tidak pun sampai ke taraf karya sastera, hanya layak dipanggil karya
popular yang tidak bermutu dari segi pemikiran dan tidak pula mencapai standard
yang diharapkan dari segi tekniknya.)
Apa yang berlaku dalam usaha menulis dan menerbitkan
novel popular Islami itu ialah ketandusan idea bernas yang boleh mendorong
pembaca berfikir. Ini terjadi, mereka berhujah, ialah kerana pembaca tidak mahu
dibebankan dengan idea yang berat-berat; lagi pula, kata mereka, lebih utama
menarik minat membaca daripada memberikan idea yang berat-berat yang
membebankan pembaca sehingga mereka tidak berminat membaca buku. Pendapat ini
hanya lahir daripada penulis atau sasterawan yang sebenarnya tidak mampu
berfikir dan cetek pula pengetahuannya; lagi pula dorongan mendapat “kejayaan”
dalam bentuk wang ringgit jauh lebih besar daripada usaha jujur dan berterusan
dalam membina ketangkasan berfikir masyarakat.
Jadi persoalan sebenarnya ialah pengaruh materialisme yang kini sudah
menjadi tumpuan para penulis. Semakin kuat pengaruh ini, semakin lesu cara
berfikir para sasterawan, dan kesannya ke atas kesusasteraan Melayu memang
jelas; kesan itu kelihatan juga dalam cara Panel Anugerah Sastera Negara
menilai karya kreatif apabila mereka pun memberi tumpuan kepada aspek
materialisme ini. (Untuk memahami kesimpulan ini anda perlu membaca laporan
Panel dengan kritis.)
Saya menegaskan tadi para sasterawan ini memang pandai
menulis, tetapi tidak pandai mengarang. Termasuk dalam kumpulan ini ialah para
sasterawan negara sendiri, yang memang pandai menulis, terutama menulis karya
picisan dan amat menonjol gaya erotiknya. Mereka bangga menjadi sasterawan yang
pandai menulis itu, kerana mereka dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Negara, walaupun
terhadap karya-karya lucah dan erotik mereka. Ini memang ditegaskan dalam
laporan Panel terhadap sumbangan Abdullah Hussein, Samad Said, Shahnon Ahmad
(sekadar menyebut beberapa nama yang paling menonjol) yang telah menghasilkan
karya picisan, lucah dan erotik. Apakah
maksud pandai mengarang dalam konteks ini? Dalam konteks gagasan Persuratan
Baru, “mengarang” bererti mewacanakan pemikiran dengan penghujahan, analisis,
pembuktian, dan sebagainya yang berkaitan dengan cara mengolah sesuatu idea
dengan jelas dan sistematik untuk menghasilkan sebuah karya kreatif (seperti
novel atau cerita pendek) yang sekali gus indah dan bermakna: indah dari segi gubahan berbentuk cerita
yang disampaikan melalui wacana; bermakna
dari segi persembahan wacana yang disampaikan dalam bentuk cerita yang terkawal
untuk menzahirkan hakikat realiti berasaskan konsep ilmu yang benar. Hasilnya
ialah sebuah karya persuratan, bukan karya sastera seperti yang kita ketahui.
Yang menentukan di mana duduknya sesebuah karya, sama ada karya persuratan atau
karya sastera, ialah konsep taklif yang menjadi asas bagaimana wacana dan
cerita diberi bentuknya dalam karya tersebut. (Huraiannya telah dijelaskan
dalam Pendidikan Estetika Daripada
Pendekatan Tauhid dan Gagasan
Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan).
Mungkin kita tidak sedar betapa Roland Barthes telah memberi sumbangan besar kepada
sastera Melayu dalam mengelirukan para sasterawan dan sarjana sastera. Dalam
sebuah tulisannya berjudul, “Unsur-unsur Teori Dalam Kesusasteraan Melayu dan
Nusantara” (kertas berkala UKM, 1988), yang menjadi bahan syarahan perdananya (1989), Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh berkata begini: “Untuk memulakan perbincangan ini saya ingin
mendapat manfaat dari akal jernih
Barthes (1979) yang banyak memikir dan menulis tentang konsep karya dan teks”
(hal. 38, huruf tebal ditambah).
Seterusnya kata Prof. Dr. Muhammad Hj Salleh lagi: “Dengan bekalan wawasan
Barthes dan Kristeva ini kita mungkin boleh melihat sastera kita, mengambil
manfaat darinya tetapi dengan kritis dan penyesuaian yang perlu.” (hal. 40).
Apakah akal
jernih Barthes itu? Idea Barthes yang terkandung dalam konsep teks (dalam
pemikiran Barthes, baca seks) yang bersifat readerly
(atau readable; daripada bahasa
Perancis lisible yang dalam bahasa
Inggeris bermaksud legible) dan writerly (yakni yang bersifat scriptible dalam bahasa Perancis) menjurus ke arah apa yang dikenal sebagai
“puncak shahwat” dalam persetubuhan, yang ditonjolkan dalam istilah Perancis jouissance (diterjemahkan ke dalam
bahasa Inggeris sebagai enjoyment, bliss).
Inilah ciri utama semua karya sastera, terutama yang bercorak picisan,
erotik dan lucah. Anda tidak boleh membataskan maksud picisan itu hanya dalam
konteks seks saja; kerana lebih banyak yang picisan itu dari segi pemikiran dan
penghujahan dalam kritikan dan penulisan karya kreatif. Anda boleh merujuk
banyak tulisan/makalah yang menghuraikan perkara ini (yakni, tulisan picisan
atau penilaian picisan yang mengaku akademik); antaranya yang terbaru ialah
makalah Prof. Ungku Maimunah dalam kertas yang dibentangkan oleh beliau pada
pertemuan Seminar SKIM XXII di UKM, Bangi, pada 29-30 November 2011, berjudul
“Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi
Hj. Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”. Makalah itu
menjelaskan bagaimana pincangnya penilaian yang dibuat; yakni penilaian yang
picisan. Dari segi pemikiran, sajak
“Pulang Si Tenggang” adalah sebuah sajak picisan yang menonjolkan faham
individualisme yang berlebihan sehingga sanggup menerima nilai-nilai negatif
yang menjadi dasar dongeng “Si Tenggang Anak Derhaka” dalam budaya Melayu. Dari segi pemikiran, ini juga berupa
“kepincangan penilaian” seorang penulis yang hanya “pandai menulis”. Kepincangan dan sifat picisan ini dapat dilihat
dalam makalah akademik (so called academic paper!) yang banyak ditulis dalam seminar
yang kerap diadakan, misalnya yang ditulis oleh A. Rahim Abdullah dari ASWARA
tentang novel Kawin-kawin oleh Azizi
Hj. Abdullah, berjudul “Ideologi dan
Dunia Makar Dalam Novel Kawin-kawin”
(Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu XI, UKM, 7-8 Disember 2011). Novel
itu sendiri adalah sebuah novel picisan; kertas kerja tentangnya juga sebuah
kertas kerja picisan. Penggunaan istilah “ideologi” dalam tajuk itu sendiri membuktikan
sifat picisannya, yang digunakan secara “makar” dalam kertas itu, tidak
terdapat analisis yang boleh dijadikan sandaran sekira-kira agak wajar bahawa
penggunaan istilah “ideologi” itu cocok dengan kandungan novel picisan itu.
(Untuk melihat aspek picisan novel ini, lihat kertas kerja saya, “Unsur Jenaka
Dalam Novel Kawin-kawin: Kegagalan
Intelektual Seorang Sasterawan” (Seminar Jenaka Melayu Nusantara, Akademi
Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 21-23 Ogos 2003).
Inilah faham yang dipakai dan dipertahankan oleh para
sarjana dan sasterawan Malaysia, termasuk sasterawan negara. Inilah hujah, atau
jenis hujah yang digunakan oleh Shahnon Ahmad apabila beliau mempertahankan
novel lucahnya TIVI sebagai novel
Islam yang mithali, yang wajib
dicontohi dan dihargai, dipandang tinggi sebagai hasil realisme yang menjadi
dasar semua karya para sasterawan Malaysia.
Tepat sekali kesimpulan Pascale Casanova dalam bukunya, The World Republic of Letters (2004)
yang menegaskan bahawa semua prinsip dan ukuran yang terpakai dalam sastera
ditetapkan sama ada di Paris atau London. Walaupun Shahnon Ahmad menegaskan
karya lucahnya bercorak Islami (bukan itu saja, tetapi yang mithali pula!), namun beliau menggunakan
ukuran yang ditetapkan di Paris, bukan ukuran yang ditetapkan dalam Islam,
seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Zulkarnain Mohamed dalam makalah beliau
bagaimana karya bercorak itu dinilai. Jika anda membaca laporan Panel Anugerah
Sastera Negara, anda akan melihat dengan terang seperti anda melihat cahaya
matahari terik waktu siang yang panas bagaimana mereka menggunakan ukuran dari
Paris dan London untuk menilai karya para sasterawan negara. Anda mungkin
bertanya: So what? Apa salahnya?
Andalah yang lebih layak menjawabnya, bukan saya atau sesiapa sekali pun,
kecuali anggota Panel Anugerah Sastera Negara dan orang yang sejenis dengan
mereka dan sejenis pula dengan anda yang menyokong mereka.
Sekarang sudah agak jelas mengapa kita perlu
meletakkan karya kreatif dalam tiga kategori. Jika kategori karya persuratan
itu ditolak atau diketepikan, maka kita akan meletakkan semua karya kreatif
kita seperti yang dihuraikan oleh Roland Barthes. Inilah yang terjadi, sama ada kita sedar atau
tidak. Inilah yang mendorong Shahnon Ahmad dan para pengikutnya mendakwa novel
picisan dan pornografi yang berjudul TIVI
sebuah karya Islami kerana realisme yang didakwa Shahnon Ahmad benar-benar
terjadi seperti yang dirakamkannya dalam novelnya adalah satu kenyataan yang
tidak dapat dinafikan kelangsungannya dalam masyarakat Melayu, oleh itu wajar
dijadikan sebuah novel yang realistik. Dari segi pandangan Roland Barthes dan
sistem nilai Barat, pandangan Shahnon Ahmad ini tepat sekali. Tetapi jika dilihat
dan dinilai dari nilai-nilai Islam, kesimpulan beliau itu batil, tidak boleh
dipakai. Jika huraian Dr. Zulkarnain Mohamed dalam makalahnya difahami, anda
akan melihat dengan jelas kepalsuan kesimpulan Shahnon Ahmad, para anggota
Panel Anugerah Sastera Negara, dan para sarjana serta sasterawan yang terpesona
dengan teori dan kaedah Barat.
Dengan memberikan keutamaan kepada karya sastera yang
dikatakan mencerminkan realisme, maka kita diberitahu karya sastera itu bermutu
dan bernilai tinggi kerana cocok dengan realisme, walaupun tidak perlu
mengetengahkan nilai-nilai Islam yang menjadi tunjang tamadun Melayu. Inilah
pandangan Panel Anugerah Sastera Negara, yang menegaskan sastera tidak perlu
didaktik, tidak perlu mempunyai matlamat apa-apa, tidak perlu menegaskan
pendirian moral kerana kebebasan itu lebih penting daripada apa juga sekatan
yang bersifat moral, dan tidak perlu dikaitkan dengan sebarang nilai yang
bersifat keagamaan. Jika anda membaca dengan teliti laporan Panel Anugerah
Sastera Negara, inilah kesimpulan mereka dan inilah yang menjadi panduan para
sasterawan dan menjadi ukuran penilaian di kalangan sarjana dan pengkritik
sastera. Tentu saja pendirian begini tidak wajar dan amat bertentangan dengan
nilai-nilai yang diberi keutamaan dalam tamadun Melayu yang bercorak Islam itu.
Mengapa mesti dipisahkan nilai-nilai Islam dalam karya
sastera? Sekiranya ada yang menolak adanya pemisahan itu, mengapa pula mereka
tidak boleh menerima kehadiran unsur-unsur Islam itu dalam penilaian karya para
sasterawan negara? Lebih tegas lagi, mengapa Panel Anugerah Sastera Negara
menolak nilai-nilai Islam dalam penilaian mereka? Di sini tidak saja berlaku
kontradiksi, tetapi juga penentangan yang amat ketara dan mendapat sokongan dan
dukungan para sasterawan, sarjana dan institusi seperti Dewan Bahasa dan
Pustaka. Dalam keadaan inilah kita perlukan karya persuratan, yang akan menjadi
ukuran kepada kemajuan yang telah dicapai dalam penulisan kreatif di Malaysia.
Jika dibiarkan sastera bersendirian dan bebas malakukan apa saja, maka kita
akan terus keliru dan akan terus memberi kedudukan tinggi yang tidak wajar,
yang salah, kepada karya picisan dan karya yang mendaulatkan nilai-nilai
relatif dari Barat. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk apabila seorang
sasterawan yang diberi gelaran sasterawan negara menggunakan penghormatan dan
kedudukannya itu untuk menulis karya tidak bermutu, karya picisan, dan diberi
pujian pula kerana kedudukannya, tanpa mengambil kira sejauh mana melesetnya
penilaian yang diberikan dan betapa kelirunya ukuran yang digunakan. Mahu tidak mahu kita harus meletakkan ukuran
yang objektif, tepat dan jitu berasaskan konsep ilmu yang benar, dan hasil
kreatif itu mencerminkan hakikat taklif dalam kehidupan manusia. Pendeknya,
kita perlu mengajar kembali masyarakat kita, terutama para pelajar, bahawa
kedudukan nilai-nilai mutlak dalam kehidupan manusia bukanlah perkara baru;
tetapi diketepikan dan dipandang salah akibat penerimaan melulu nilai-nilai
Barat yang sering dikaitkan dengan kemajuan dan pembangunan, yang asasnya ialah
materialisme dalam kemajuan ekonomi dan hedonisme dalam budaya. Tetapi di Barat
sendiri hal ini sudah lama dipersoalkan. Seorang tokoh kritikan sastera yang
terkenal dari Britain, Terry Eagleton (bukunya diterjemahkan ke bahasa Melayu
oleh Prof. Dr. Muhammad Hj Salleh), seorang pengikut faham Marxism, memberikan
pendapatnya yang tegas menggesa nilai-nilai mutlak itu dijadikan ukuran kembali
dalam kehidupan masa kini. Jika anda berminat, sila rujuk bukunya After Theory (2003) atau pandangan
kritis terhadap buku itu yang boleh dicapai melalui Internet.
Sarjana dan sasterawan Malaysia tidak usah mengarut
mengaku karya dan pemikiran mereka yang berteraskan teori dan faham sastera
Barat itu bersifat universal. Orang Barat sendiri pun tidak mengatakan karya
mereka universal atau teori mereka universal. Hanya kita yang tak kenal
betul-betul pemikiran mereka dan tidak tahu dengan mendalam tradisi bangsa dan
agama sendiri, yang “cetek meraba-raba”,
yang terkinja-kinja mahu diakui kononnya karya mereka universal kerana
ditulis dalam bentuk dan wajah pemikiran Barat. Sebenarnya anda hanya tidak
lebih daripada appendix Barat, yang
mereka sendiri pun tidak mahu terima kerana sebab-sebab yang mereka sendiri
tahu.
Mohd. Affandi Hassan,
20/1/2012.
assalamualaikum tuan,
ReplyDeletesaya masih ingat tentang benih-benih tumbuhan yang ingin saya serahkan kepada tuan. Sebenarnya saya sudah siapkan, cuma kesihatan saya terganggu ketika mengikut kembara GAPENA ke Ranong. Seteruskan disebabkan keletihan yang berpanjangan selama sebulan perjalanan itu, saya batalkan segala pertemuan dengan rakan-rakan termasuk diri tuan.
Saya mohon maaf dan insya-Allah akan terus cuba usahakan niat saya itu.
Semoga tuan sentiasa dalam afiat-Nya, amin.
wassalam.
Salam Puan JahRera.
DeleteTerima kasih kerana masih ingat. Saya baru saja sebut perkara itu ketika berbicara dengan Sdr. Darma. Katanya puan ada datang ke rumahnya baru2 ini. Perkara ini timbul ketika saya tanya Darma dia masih menulis haiku atau tidak dengan bimbingan Puan. Mengenai benih itu, biarlah dulu; Insha Allah bila nanti tiba masa yang sesuai, semuanya akan berlaku secara natural. Terima kasih sekali lagi atas ingatan Puan.
salam pagi Jumaat yang mulia ini,
DeleteTuan,
Saya pernah menziarah keluarga Tuan Darma Mohammad bersama sekumpulan peminat haiku pada tahun 2008. Malangnya percutian yang baru-baru ini, kesihatan saya menghalang niat ke sana lagi, termasuklah pertemuan dengan kawan-kawan lain.
Dengan izin tuan, saya akan dapatkan nomber telefon tuan dari tuan darma.
Semoga sihat selalu, amin.
assalamualaikum tuan,
ReplyDeleteBagaimana saya boleh hubungi Tuan? Boleh tak saya dapatkan emel Tuan?
Sdr. Kunci
DeleteSila lihat respon saya di tempat sdr. mula2 kemukakan soalan sdr.
Salam Pak Affandi. Saya sudah lama menghantar emel kepada Pak Affandi tetapi tidak berbalas, apakah sudah diterima emel tersebut atau belum. Harap dapat penjelasan. Terima kasih.
ReplyDeleteSdr. Hafiz.
DeleteMaaf. Mungkin saya terlepas pandang. Nanti saya semak, Insha Allah.