Apakah yang sedang difikirkan oleh persatuan penulis
di Malaysia? Apakah pula perancangan institusi yang bercorak sastera seperti
Dewan Bahasa dan Pustaka, Utusan Melayu (dimasukkan dalam senarai ini kerana
syarikat ini mengadakan peraduan kreatif setiap tahun), Institut Terjemahan dan
Buku Malaysia (ITBM; nama baru ini tidak
berapa jelas maksudnya seolah-olah ada pertindihan fungsi dengan DBP, oleh itu
agak mengelirukan dan tidak berapa glamour!),
Petronas (belum berminat dalam sastera tapi sudah berani keluarkan banyak wang
untuk Anugerah itu-ini), dan stesen TV yang kini banyak menayangkan cerita
hantu, cerita cinta murahan, drama keluarga yang tidak bermutu? Apa yang mereka sedang rancang? GAPENA, sebagai badan induk penulis,
nampaknya tidak berapa berminat lagi menganjurkan peraduan menulis cerita pendek,
novel dan sebagainya. Hasil peraduan nampaknya tidaklah sebaik karya yang tidak
menang apa-apa peraduan. Karya-karya yang menang peraduan itu pun ada yang
picisan saja dari segi mutunya (kita akan bincang aspek ini nanti). Baru-baru ini PENA dapat durian runtuh,
kononnya (?) dianugerah RM5 juta oleh Kerajaan Barisan Nasional (tetapi wang
ini diletakkan di dalam poket ITBM mungkin kerana PENA dianggap tidak layak memegang wang begitu
banyak), dengan tambahan RM1 juta lagi untuk membaiki (?) Rumah PENA. Banyakkah sedikit wang anugerah itu? Ada
desas-desus mengatakan beberapa peraduan menulis sedang dirancang sebagai cara
terbaik untuk menghabiskan wang itu
bagi kepentingan penulis/sasterawan.
Jika betul desas-desus ini, PENA di bawah kepemimpinan muda yang terdiri
daripada satu kelompok yang erat persaudaraannya, tidak berbeza daripada GAPENA
yang nampaknya sudah jemu dengan peraduan itu (mungkin kerana susah hendak
dapatkan penaja sekarang). Jika itulah
cara berbelanja terbaik bila banyak wang, kita tidak boleh kata apa. Seperti
biasa, peneraju apa-apa juga badan/organisasi adalah yang terbaik dan paling
terpuji tindakannya. Sebagai pemerhati, kita tunggu sajalah berapa hebatnya
program kumpulan peneraju terbaik ini.
Perlukah kita tahu apakah perancangan mereka? Bagi
badan-badan ini, mereka lebih tahu dan mereka tidak perlukan apa-apa nasihat
atau cadangan daripada sesiapa pun, hatta daripada mana-mana ahli sekali
pun. Itulah budaya yang sudah
diinstitusikan, yang tidak wajar dipersoalkan. Tetapi adakah ini yang kita
mahu? Adakah budaya ini yang akan melahirkan pemikiran bernas, yang akan
melahirkan golongan pemikir, golongan intelektual? Nampaknya golongan ini tidak
diperlukan, kerana dalam budaya yang sudah diinstitusikan itu, apa juga
pandangan berbeza adalah penentangan dan mesti diganyang habis-habisan. Biasanya mereka akan berkata, jika cadangan
itu dilontarkan (ini ucapan retorika
yang biasa dipakai di Malaysia) dengan bersopan dan menggunakan bahasa yang
halus berhemah, tentu akan diterima atau paling tidak akan diberi pertimbangan
yang paling wajar dan paling saksama dan paling adil. Ini satu klise yang sudah menjadi satu humor
yang unik di Malaysia: bila anda tidak mahu dengar pendapat orang lain, anda
akan tuduh orang itu biadab, kasar, tidak bersopan dan lain-lain. Hanya andalah
saja yang beradab sopan, yang halus budi bahasa dan berhemah tinggi.
Kepura-puraan begini pun sudah diinstitusikan dengan baik sekali, dan sudah
diterima sebagai standard yang tidak boleh dipersoalkan. Di sini, kekurang-ajaran
dan kebiadaban dilindungi dengan baik oleh budaya pandirisme yang sudah
diterima umum sebagai yang terbaik untuk dipertahankan oleh para sasterawan dan
sarjana. Jika ada di antara anda yang tidak bersetuju dengan budaya ini, anda
tidak perlu memprotes, kerana perbuatan itu sendiri adalah biadab dan berniat
jahat. Tidaklah biadab dan amatlah jujur untuk mereka melemparkan tuduhan sedemikian kerana mereka dari kumpulan majoriti
yang satu haluan. Anda boleh lihat dengan jelas betapa kuatnya pengaruh negatif
dalam sistem politik kita yang kini ditiru oleh para sasterawan dan sarjana
sendiri. Lagi pula dari dahulu pun dua kumpulan ini memang bersahabat baik,
lebih-lebih lagi pada waktu ini jika kemurahan hati kerajaan kepada PENA boleh dijadikan ukuran.
Satu lagi klise dalam aktiviti persatuan penulis ini
ialah mengadakan peraduan menulis. Adakah ini satu kerja mudah dan sangat
berfaedah? Dalam tahun 2006, Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan satu seminar
khusus untuk membincangkan perkara ini: “Seminar Impak Anugerah dan Hadiah
Sastera ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan” (25 Mei 2006). Hasilnya tidak
berapa menggalakkan. Terdapat keraguan tentang “impak” yang dimaksudkan; tetapi
kerana orang Melayu sangat bersopan santun dan cukup menjaga adab mengikut
kefahaman mereka (kerana kefahaman mereka tentang konsep adab ini masih perlu diperhalusi, apatah lagi jika dilihat dari
perspektif yang dikemukakan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Atas yang mengaitkan adab dengan ilmu), maka
mereka tidak mahu berterus-terang untuk mengatakan “impaknya” tidaklah sebesar
mana, kalau tidak pun sering kali agak negatif. Perkara ini telah dibincangkan
antara lain oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika membicarakan novel Harga Sebuah Maruah, salah sebuah pemenang
utama sayembara anjuran DBP sendiri yang
merayakan Jubli Emas 50 tahun kewujudan DBP. Kita akan lihat kemudian. Walaupun sudah ada perbincangan, tetapi
nampaknya kesannya tidak ada langsung dari segi kegiatan bersifat peraduan ini.
Kini sedang diuruskan satu peraduan yang dianjurkan bersama oleh
ITBM-PENA-Utusan Melayu (yang sudah menguasai sektor penerbitaan DBP setelah
DAWAMA gagal menjalankan tugas walaupun badan itu diwujudkan khusus untuk
menjalankan tugas penerbitan dan pemasaran buku-buku DBP), dalam bidang novel,
cerita pendek dan sajak dengan jumlah hadiah yang biasa-biasa saja (maksudnya
agak kecil jika dibandingkan dengan yang pernah diberikan). Tetapi “peraduan”
ini agak istimewa, kerana dikhususkan untuk disertai oleh “penulis muda” yang lahir
tahun 1966 ke bawah, tidak melebihi 45 tahun. Kalau sudah lebih umur tidak
layak menyertai “peraduan” ini. Menurut analisis yang didengar, pembatasan umur
ini perlu untuk memastikan “penulis muda” mendapat manfaat langsung daripada
sumbangan RM5 juta itu. Dari segi lain, inilah salah satu kesan besar
kepemimpinan baru PENA yang kini berada dalam tangan “penulis muda” sepenuhnya.
Perkara ini disebut di sini kerana dalam seminar 2006
itu saya pernah mencadangkan dalam kertas kerja saya dua perkara: mewujudkan
Hadiah Persuratan PETRONAS, dan Peraduan Menulis Novel Persuratan. Kedua-dua
cadangan ini, sesuai dengan adab sopan dan sikap berhemah yang diamalkan dalam
kebudayaan Melayu, dengan halus ditolak bulat-bulat kerana tidak sesuai dengan
iklim yang ada di Malaysia yang tidak mengkhususkan kegiatan kepada satu corak
atau bentuk saja. Sekarang nampaknya iklim itu sudah berubah, maka itulah
diadakan peraduan menulis khusus untuk para “penulis muda”. Tetapi iklim itu
sudah wujud sebelum ini lagi, hanya tidak sesuai untuk menampung dua cadangan
yang dikemukakan, kerana cadangan itu bertujuan mendaulatkan ilmu dalam
kegiatan ilmiah dan kreatif yang tujuannya untuk mendaulatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu. Dalam kebudayaan yang
mendaulatkan pandirisme, cadangan itu kedengaran agak asing dan sukar, oleh itu
perlu ditolak secara berhemah dan bersopan santun dengan tidak membicarakannya.
Tetapi saya masih anggap cadangan itu baik dan wajar dipertimbangkan kerana
matlamatnya untuk mendaulatkan ilmu yang benar dan penggunaan bahasa Melayu
dalam bidang akademik dan kreatif, maka saya fikir ada gunanya jika cadangan
itu disebut semula dalam tulisan ini. Tuduhan bahawa cadangan itu terlalu berat
sebelah dan memihak kepada matlamat tertentu, tidak boleh digunakan lagi, dengan
wujudnya “pengkhususan istimewa” kepada para penulis muda dalam peraduan yang
ditaja oleh tiga serangkai itu. Saya
petik bahagian berkenaan:
“Hadiah Persuratan
Petronas
Pada waktu ini perancangan program
kesusasteraan memberi tumpuan berlebihan kepada para sasterawan negara saja,
seolah-olah di Malaysia sekarang hanya terdapat sembilan orang sasterawan yang
berkualiti. (Catatan: Sekarang sudah berjumlah 10 orang). Bagaimana dengan
penulis lain? Mahu juga kita dengar program untuk mereka, dengan misalnya
diadakan seminar membicarakan tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam sebagai
sasterawan, atau Dr. Burhanuddin sebagai seorang ahli fikir Melayu dalam agama
dan politik dengan membicarakan bagaimana dua orang tokoh ini menggunakan
bahasa Melayu yang baik untuk menyampaikan idea mereka. Kita juga ingin tahu
pemikiran Abdul Rahim Kajai tentang masalah sosial dan politik di zamannya,
juga pemikiran Syed Sheikh al-Hadi tentang peranan media dalam dakwah di
zamannya; atau tentang Ahmad Bakhtiar, Harun Muhammad Amin dan lain-lain
pengarang Melayu yang terkenal.
Dari
memberi tumpuan kepada sastera dalam pengertiannya yang sempit, DBP harus
meluaskan skopnya dengan memberi tumpuan kepada persuratan Melayu, dengan
mengadakan program terancang untuk memajukan persuratan Melayu. Karya
persuratan daripada para pengarang dan pemikir Melayu dan Nusantara, seperti
Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Amir Hamzah, Sutan Takdir Ali Sjahbana,
Za’ba, Hj. Agus Salim, Muhammad Hatta, Soekarno, Syed Muhammad Naquib al-Attas,
Dr. Burhanuddin dan lain-lain pengarang/pemikir terkenal seharusnya dipilih
untuk dijadikan teks dalam mata pelajaran persuratan Melayu di sekolah-sekolah;
tidak dibataskan kepada karya sastera yang bercorak kreatif saja. Hanya yang
betul-betul terbaik daripada karya kreatif itu dipilih, tidak termasuk
karya-karya baru daripada sasterawan yang belum teruji lagi. Dicadangkan supaya
DBP berusaha mendapatkan kerjasama Petronas dalam program membangunkan
persuratan Melayu ini. Petronas wajar dilibatkan dalam kegiatan yang bersifat
intelektual dan budaya tanpa mengganggu program yang sedia ada. DBP wajar
mencadangkan kepada Petronas untuk mewujudkan satu hadiah untuk menggalakkan
perkembangan persuratan Melayu dalam semua bidang dengan mewujudkan Hadiah Persuratan Petronas setiap tahun, diberikan kepada sesiapa juga yang menulis
dalam bahasa Melayu dalam bidang ilmu yang terpilih. Hadiah itu hendaknya tidak
kurang daripada RM100,000/- setiap satu, dikeluarkan setiap tahun untuk (1) bidang matematik dan sains (ini termasuk
perubatan, pergigian, kimia, fizik dll), (2) bidang sosiologi dan kemanusiaan
(termasuk perundangan), dan (3) bidang
bahasa (linguistik) dan cereka (novel, cerita pendek, drama dll). Tiap-tiap
tahun kita berikan hadiah kepada tiga orang tokoh yang berjasa dalam
bidang-bidang ini. Pemberian hadiah kepada para ilmuwan akan mendatangkan
faedah yang sangat besar dalam memajukan pemikiran dan memartabatkan lagi
bahasa Melayu. Penghargaan seperti ini
kita berikan kepada para penyelidik perubatan, pertanian, kimia dan lain-lain,
di samping sumbangan bermakna para sarjana kemasyarakatan dan lain-lain. Kita
dengan itu mendemokrasikan ilmu, tidak hanya mengehadkan kepada penulis kreatif
saja. Ini bermakna kita berpindah dari sastera kepada persuratan.
Maksud kesimpulan ini perlu difahami dengan jelas supaya sebarang kekeliruan
yang akan timbul dari tafsiran yang salah tidak dijadikan pegangan.
Peraduan Menulis Novel
Persuratan
Cabaran Abad 21, menurut pandangan
saya, ialah memulai satu janru (istilah Jepun untuk genre) baru dalam penulisan kreatif. Saya telah mencadangkan dalam
banyak tulisan betapa pentingnya kita membahagikan karya kreatif itu dalam tiga
kategori besar: (1) karya persuratan;
(2) karya sastera; dan (3) karya picisan/erotik/lucah. Pembahagian
ini akan memudahkan kita membuat penilaian yang tepat, dengan itu kita dapat
mengukur sejauh mana kita telah maju dalam bidang kreatif ini. Pada waktu ini
pembahagian itu tidak jelas, oleh itu panel anugerah sastera negara sendiri
mencampuradukkan antara karya “bermutu” dalam kategori karya sastera dengan
karya “picisan” dalam kategori karya picisan/erotik/lucah. Ketika membicarakan
sastera Islam pun para sasterawan dan sarjana tidak dapat membezakan dua
kategori ini, lantas sebuah karya picisan dan lucah seperti TIVI diterima sebagai sebuah karya Islam
mithali kerana penulisnya melabelkan demikian, padahal dari segi “sastera”nya
lebih tepat dikategorikan sebagai karya picisan dan lucah.
Sekarang sudah sampai masanya kita
mula menulis karya persuratan yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Caranya
masih samar-samar, masih tidak jelas kepada para penulis dan masih dianggap
terlalu ideal oleh para sarjana dan pengkritik sastera. Oleh hal yang demikian,
kita harus melaksanakan sejenis
“eksperimen kreatif” untuk menggalakkan lahirnya karya persuratan itu.
Dengan itu dicadangkan semacam peraduan menulis novel persuratan yang
dikendalikan dengan cermat untuk memastikan hasilnya benar-benar tepat dengan
kategori yang dimaksudkan. Cara yang dicadangkan di sini boleh digunakan oleh
mana-mana organisasi yang berminat melaksanakannya.
Pada
peringkat awal, para penulis diberitahu melalui siaran akhbar dan elektronik
maklumat tentang peraduan itu. Para penulis kemudiannya diminta mendaftarkan
nama mereka untuk menyertai peraduan itu, selepas diadakan pilihan awal
berasaskan profil yang mereka kemukakan kepada urus setia. Hanya 30 orang yang
memenuhi syarat awal saja dijemput menghadiri taklimat terperinci mengenai
konsep “novel persuratan”. Satu majlis dialog dan perbincangan terbuka diadakan
bersama peserta. Tujuan pertemuan ini ialah untuk memberitahu peserta peraduan
beberapa konsep penting mengenai novel persuratan, terutama konsep wacana dan
cerita dan konsep stylization of ideas,
dan peranan konsep taklif dalam seni mengarang. Kefahaman itu penting bagi
penulis supaya mereka tidak terus menulis novel sastera atau novel picisan yang
sudah biasa mereka buat atau akan buat. Tujuan penjelasan ini dan eksperimen
peraduan menulis novel persuratan ini bukan untuk menyekat kebebasan para
penulis; tetapi hanya untuk memberi kefahaman kepada mereka apakah novel
persuratan itu. Seterusnya urus setia akan menyediakan beberapa orang pakar
runding yang boleh memberi nasihat setiap masa kepada sesiapa juga yang
memintanya ketika mereka menulis novel itu. Ini untuk menjamin penulisan novel
itu benar-benar berdasarkan konsep taklif dan konsep ilmu yang benar. Dalam
penilaian nanti, hanya lima (5) buah dipilih untuk diberi hadiah yang sama
jumlahnya, dicadangkan RM20,000 ke atas, mengikut budi bicara penganjur. Semua
karya yang terpilih akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Organisasi
mana yang akan menganjurkan peraduan ini dan siapa pula yang akan menyediakan
hadiah dan ongkos penyelenggaraannya terbuka untuk dipilih oleh pihak yang
berminat. Sekadar satu bayangan, jika
Dewan Bahasa dan Pustaka tidak berminat kerana terlalu sibuk dengan program
yang lebih penting, maka sebuah organisasi penulis seperti PENA boleh
mempelopori projek ini (tentu saja dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka
juga). Cadangan ini dikemukakan supaya harapan kita diadakan “anjakan
paradigma” dalam bidang kreatif dan akademik yang sudah lama kita bicarakan,
dapat diberi peluang dengan terlaksananya cadanban ini.
Penutup
Jalan
keluar yang disarankan oleh kertas ini untuk mewujudkan Hadiah Persuratan Petronas dan Peraduan Menulis Novel Persuratan akan
tertumpu ke arah perkembangan ilmu yang dihidangkan dalam bahasa Melayu yang
bermutu tinggi, oleh para ilmuwan dan kalangan profesional di negara kita, di
samping tulisan-tulisan kreatif yang tidak lagi berdolak-dalik tentang bahasa
dan tema, tetapi terus mencerminkan ketinggian bakat, kedalaman ilmu pengarangnya
yang menulis dalam konteks konsep ilmu yang benar.”
Itulah cadangan saya dalam
kertas kerja bertajuk, “Hadiah dan Anugerah Sastera Malaysia: Satu Penilaian
Kritis”, yang dibentangkan dalam seminar 2006 itu. Cadangan itu masih relevan dan saya kira
sesuai dengan iklim yang ada sekarang, jika kita dapat jadikan peraduan yang
dikhususkan kepada “penulis muda” itu sebagai bukti. Atau adakah iklim akan
berubah serta-merta apabila dirasa memihak kepada Persuratan Baru? Saya kira
kita harus mengelak daripada meneruskan kegiatan bersifat klise yang masih
diteruskan, padahal tidak membawa perubahan bermakna dalam pembinaan budaya
ilmu di negara kita. Saya akan bincangkan beberapa contoh.
Contoh pertama diberikan oleh
Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam kertas kerjanya, yang menganalisis
dengan kritis Harga Sebuah Maruah
yang ditinjau berasaskan matlamat sayembara diadakan dan meneliti bagaimana
matlamat itu tercapai dalam novel berkenaan. Seperti yang dicatat oleh Prof.
Ungku Maimunah, matlamat dan hasilnya saling bertentangan: pengadilan dan
penilaian juri tidak tepat dengan matlamat sayembara; oleh itu novel yang
diberi hadiah kedua itu menyimpang jauh dari matlamat sayembara yang
dinyatakan. Inilah kesimpulan Prof. Ungku Maimunah:
“Analisis di atas menunjukkan
wujudnya kepincangan yang amat ketara dalam penilaian dan pengiktirafan
novel Harga Sebuah Maruah.
Ternyata, kepakaran mantap dan mendalam tentang sastera yang semestinya ada bagi urusan penilaian dan
pengiktirafan, jelas tidak ketara. Malah
kekeliruan dan kecetekan fahaman yang terserlah, yang seterusnya dijadikan
panduan penilaian. Analisis kritis
dengan mudah dapat mendedahkan bahawa dakwaan tentang kekuatan dan keistimewaan
novel itu sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh, yang boleh
dipertanggungjawabkan secara ilmiah.
Malah dalam banyak hal, dakwaan yang dibuat terang-terangan bercanggah
dengan bukti dalaman novel yang dinilai.
Berdepan dengan keadaan seperti ini, adalah munasabah dan
bertanggungjawab sekiranya kepakaran yang mantap dan mendalam disyaratkan
sebagai asas penilaian, sementara laporan yang terhasil daripada penilaian tersebut dipastikan lebih mantap dan
bertanggungjawab, bukan dakwaan atau hujah yang bersifat umum, jauh sekali
retorik yang gah semata.
Kepincangan penilaian yang
diperlihatkan dalam analisis di atas menarik perhatian kepada perkara yang
lebih penting lagi iaitu kriteria penilaian yang tertumpu kepada kefahaman
prioriti cerita. Adakah kriteria penilaian seperti ini yang terbaik bagi kita
dan dapat menjamin akan terhasilnya karya yang bermutu tinggi untuk diwariskan
sebagai khazanah bangsa yang boleh dibanggakan?
Ternyata kefahaman tersebut mengetepikan ilmu iaitu teras sebuah tamadun
yang berjaya. Tentu sekali mengekalkan kefahaman yang dingin terhadap ilmu
bukanlah satu pilihan yang bijak, lebih-lebih lagi apabila ada pilihan lain,
yang bertunjangkan keyakinan yang murni dan kefahaman yang utuh terhadap
keutamaan ilmu dan kerelevanannya dalam penulisan kreatif.” (Huruf condong dalam asal).
Katalah anda tidak boleh dan
tidak mahu terima kesimpulan di atas, dengan alasan bahawa ukuran yang
digunakan oleh juri berbeza daripada ukuran yang dipegang oleh Prof. Ungku
Maimunah, maka amat wajar jika hujah Prof. Ungku Maimunah kita teliti satu
persatu supaya anda diberi peluang untuk memahami mengapa kesimpulan itu tidak
saja wajar dan tepat, tetapi mengundang perbincangan mendalam tentang kepuraan ilmiah (yang saya istilahkan
sebagai pandirisme) yang kita hadapi
sekarang. Sebenarnya kesimpulan itu
adalah hasil analisis berasaskan kriteria penganjur sayembara dan ukuran yang
dipakai oleh panel penilai sendiri. Dari segi itu, kesimpulan Prof. Ungku
Maimunah hanya boleh ditolak dengan menafikan semua kriteria yang memang
menjadi panduan sayembara. Iklan sayembara disiarkan dalam Dewan Sastera, Mac 2005. Keputusan panel disiarkan dalam Dewan Sastera, Mac 2007 (hal. 19-21).
Menurut iklan itu, tujuan
sayembara ialah untuk menggalakkan golongan sasterawan tanah air mengarang
novel yang menggarap persoalan masyarakat Malaysia yang membangun dan berdaya
saing, liberal, progresif, aman damai dan dipandang tinggi oleh negara luar.
Tema novel adalah bebas, tetapi haruslah berupaya menggambarkan sebuah
masyarakat yang kaya dengan budaya dan adat resam masyarakat Malaysia yang
mempunyai nilai-nilai moral dan etika yang tinggi. Dalam laporannya, panel penilai menggariskan
kriteria seperti berikut: “Pada peringkat akhir, panel telah meneliti 14 buah
manuskrip berdasarkan tiga kriteria iaitu adanya pemikiran, etika dan visi hidup positif dalam persoalan, penampilan
perwatakan positif serta dinamik, dan kemampuan pengarang menggunakan teknik penulisan yang berdaya kreatif dengan gaya dan
kebahasaan yang menarik” (Dewan Sastera,
hal. 20). Panel mendapati “beberapa
perkara yang terserlah secara jelas:
penerokaan teknik penulisan baharu,
pemilihan persoalan semasa yang masih
segar pada ingatan kita, pemertabatan
watak ke dunia antarabangsa dalam dunia dagang dan intelektual, dan gaya
bahasa yang turut menjadi kebanggaan” (hal. 22). Berasaskan pandangan panel,
Prof. Ungku Maimunah menganalisis novel Harga
Sebuah Maruah untuk melihat sejauh mana kriteria itu dipatuhi oleh juri dan
terdapat dalam novel itu.
Prof. Ungku Maimunah menegaskan,
tidak ada apa-apa pembaharuan dari segi teknik, malah pengarang masih
menggunakan teknik lama yang sudah lusuh, mundur dan ketinggalan zaman. Dari segi
plot, pengarang menggunakan plot linear yang mendatar, yang dari segi teknik
adalah plot yang paling mudah, yang konvensional. Pilihan ini dibuat untuk
lebih mudah mengendalikan cerita yang bercorak peristiwa demi peristiwa
berturutan dalam satu rangkaian seperti budak-budak sekolah berbaris sambil
meletakkan tangan di bahu teman yang di hadapannya. Kriteria yang menyebut
“kemampuan pengarang menggunakan teknik penulisan baharu yang berdaya saing”
tidak diikuti, malah tidak ada sebarang percubaan untuk memperkenalkan teknik
baru. Walaupun kriteria ini dijadikan kriteria wajib, namun panel penilai tidak
memperdulikannya dengan menerima Harga
Sebuah Maruah sebagai novel yang berjaya dari segi teknik. Kita juga tidak
dapat mengatakan teknik sensasi yang kerap digunakan oleh penulis sebagai
teknik baru, kerana penulis ini memang gemarkan sensasi dalam kesemua karyanya
yang telah diterbitkan dan yang menang hadiah peraduan menulis. Pembaca yang peka dapat mengesan sifat
sensasi ini dengan mudah dalam Seorang
Tua di Kaki Gunung, Kawin-kawin
(untuk menyebut dua contoh yang menang besar dalam peraduan menulis
novel). Kegemaran kepada aspek sensasi
ini sebenarnya terdapat di kalangan ahli Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, jadi bukan satu perkara baru atau yang
aneh. Tetapi yang aneh di sini ialah bagaimana penilai Malaysia boleh menerima
aspek sensasi ini sebagai kriteria penting dalam penulisan novel. Saya kira
sebabnya ialah kerana para penilai kita menganggap sesuatu cerita hanya akan
menarik jika diiringi dengan sifat sensasi, suatu pilihan yang tepat jika kita
ingat betapa sensasinya cerita-cerita jenaka Melayu seperti Pak Pandir. Inilah
kesan dari pandirisme yang saya
maksudkan. Andaian ini saya kira tepat
kerana para sasterawan dan pengkritik sastera, serta para sarjana sastera
sendiri, memang gemarkan gaya sensasi, malah dalam tulisan yang dikira bercorak
akademik pun kita lihat kegemaran kepada sensasi ini sangat popular. Prof.
Ungku Maimunah dalam makalahnya yang sama memberikan contoh yang baik, walaupun
beliau tidak menyebutnya sebagai contoh retorik sensasi dalam tulisan akademik.
Saya akan sentuh perkara ini kemudian.
Kriteria wajib kedua ialah
wujudnya “pemikiran” dalam karya. Apakah makna “pemikiran”? Hingga kini konsep
ini masih lagi menjadi tanda tanya, walaupun Dewan Bahasa dan Pustaka telah
banyak kali mengadakan seminar mengenai “pemikiran” sasterawan negara. Dalam
salah satu seminar yang diadakan, seorang profesor ditanya, apakah pemikiran
tokoh yang diseminarkan itu? Dengan tegas beliau menjawab, tidak ada. Beliau
adalah salah seorang pembentang kertas kerja. Kalau betul sasterawan negara pun
tidak mempunyai “pemikiran”, maka apa faedahnya diadakan seminar mengenai
“pemikiran” mereka? Prof. Ungku
Maimunah dalam analisisnya membuktikan dengan jelas masalah ini menjadi satu
masalah besar dalam sastera Melayu. Oleh sebab aspek ini penting, saya ingin
peturunkan satu kutipan yang agak panjang untuk memberi gambaran “sebenar”
tentang pemikiran ini:
“Apabila Harga Sebuah Maruah memenangi hadiah kedua sayembara ini, adalah
tidak keterlaluan jika diandaikan novel tersebut telah (huruf condong
asal) memenuhi kriteria “adanya pemikiran” seperti yang dituntut itu. Apabila
diteliti bahagian Laporan yang memperkatakan novel Harga Sebuah Maruah secara khusus, ternyata tidak ada langsung
rujukan kepada “pemikiran” tetapi ada rujukan kepada “mesej”, dan satu-satunya
“mesej” yang ditemui ialah “mesej” pembangunan itu tadi. Adakah ini bererti
dalam konteks penggunaannya dalam Laporan, istilah “mesej” dan “pemikiran”
dianggap sinonim? Sekiranya jawapannya
‘tidak’, adalah wajar diajukan soalan: jika demikianlah halnya, maka apakah
sebenarnya “pemikiran” dalam Harga Sebuah
Maruah, yang wajib ada dalam karya tersebut sebagai memenuhi syarat
memenangi sayembara berkenaan. Ternyata,
sekiranya dua istilah ini bukan sinonim, maka Laporan sesungguhnya telah
gagal menjalankan tugasnya yang hakiki iaitu menjelaskan kepada khalayak
sastera bahawa Harga Sebuah Maruah
memang sudah memenuhi kriteria pertama itu, dan seterusnya memperincikan
bagaimana ini (memenuhi kriteria tersebut) telah direalisasikan secara kreatif
oleh Azizi dalam novelnya itu.”
Kemusykilan yang dibangkitkan
oleh Prof. Ungku Maimunah adalah penting dan memang wajar diberi jawapan yang
jelas dalam Laporan, memandang istilah “pemikiran” ini telah digunakan secara
sewenang-wenangnya sudah sekian lama, oleh itu sangat perlu diberi penjelasan.
Tidak wajar suatu istilah digunakan tanpa diberikan definisi yang jelas, kerana
ini akan mengelirukan pengguna istilah sendiri di samping mengaburkan maknanya
dalam penggunaan akademik. Kita telah menggunakan istilah “pemikiran” ini
begitu lama dan begitu kerap, jadi sangat perlu diberi penjelasan. Dalam
gagasan Persuratan Baru, istilah ini tidak menjadi masalah; oleh itu saya
cadangkan pengertian yang diberikan dalam gagasan Persuratan Baru diguna dengan
selesa oleh para pengguna istilah ini dalam tulisan mereka. Tidak perlu
bersusah payah lagi. Inilah kesimpulan
Prof. Ungku Maimunah yang wajar diberi perhatian:
“Analisis di atas menunjukkan betapa
kefahaman Laporan tentang “pemikiran” dan “mesej” adalah kabur dan
mengelirukan; malah, istilah “pemikiran” tersebut digunakan secara arbitrari
tanpa penjelasan yang mantap. Ini adalah sesuatu yang wajar dikesali memandangkan
“pemikiran” digariskan sebagai kriteria untuk urusan penilaian dan pengadilan.”
Dalam keadaan sekarang,
penggunaan istilah “pemikiran” tidak memberi apa-apa manfaat, kecuali untuk
mengelirukan masyarakat supaya menerima karya tidak bermutu atau karya picisan
sebagai karya yang “penuh dengan pemikiran”. Kita lihat pula bagaimana
kekeliruan begini diusahakan dengan gigih oleh sarjana sastera sendiri. Prof. Ungku Maimunah mengambil contoh dari
analisis Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man yang menulis/menilai Harga Sebuah Maruah dengan menggunakan
pendekatan feminisme. Tadi saya menyebut
tentang kegemaran kepada sensasi, kepada ucapan bombastik yang kelihatan cukup
memukau, tetapi hanya tidak lebih dari buih-buih terapung di permukaan air
keruh yang mengalir malas kerana berat membawa sampah. Inilah gambaran yang
dipamerkan oleh makalah Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man ketika membicarakan
novel Harga Sebuah Maruah. (Lihat
makalahnya, “Jiwa
Raga Wanita: Memahami dan Menyelami Pemikiran Azizi Hj. Abdullah Dalam Novel-novel Terpilih” (2010), dan “Keperkasaan Wanita dalam Harga Sebuah Maruah” (2009). Semua kutipan diambil dari makalah Prof. Ungku Maimunah.) Menurut Siti Hajar Che Man, novel Harga Sebuah Maruah dan Sangeetha adalah novel Azizi yang “terhebat dan terhangat”. (Makalah 2010). Penelitian Prof. Ungku Maimunah menolak sama sekali kesimpulan ini, dan inilah yang paling menarik kerana pandangan yang bertentangan ini menyerlahkan beberapa persoalan. Pertama, bolehkah kita berkata bahawa apabila seseorang sarjana terlalu boros dengan pujian, maka sudah pasti karya yang dipujinya itu tidak bermutu. Di sini terdapat korelasi antara pujian melangit dengan mutu karya yang rendah. Kedua, setiap pujian yang berlebihan membuktikan kekeliruan dalam penilaian kerana kelemahan kognitif untuk meletakkan sesuatu konsep penting pada tempatnya yang tepat. Misalnya tentang “pemikiran”: kelemahan kognitif untuk memahami konsep ini melahirkan kekacauan yang luar biasa seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam analisisnya. Ketiga, apabila seseorang sarjana menggunakan teori atau pendekatan tertentu, bolehkah kita membuat andaian bahawa terdapat korelasi yang jelas antara kemampuan menggunakan teori atau pendekatan dengan kefahaman yang naif terhadap karya kerana lemahnya kemampuan memahami teori atau pendekatan tadi. Nampaknya inilah yang terjadi kepada Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man dan baru-baru ini pula oleh A. Rahim Abdullah yang membicarakan novel Kawin-kahwin. (Lihat kertas kerja beliau dalam Seminar SAKM XI, UKM 7-8 Disember 2011. Kertas kerja itu berserabut dengan kenyataan yang saling bertentangan, sungguh malang bagi pelajar ASWARA yang membacanya ...) Sila rujuk posting bertarikh 6 Oktober 2011 untuk melihat pandangan saya tentang novel picisan ini, diringkaskan daripada satu kertas kerja yang agak panjang untuk Seminar Jenaka Nusantara 2003 di Universiti Malaya.
Raga Wanita: Memahami dan Menyelami Pemikiran Azizi Hj. Abdullah Dalam Novel-novel Terpilih” (2010), dan “Keperkasaan Wanita dalam Harga Sebuah Maruah” (2009). Semua kutipan diambil dari makalah Prof. Ungku Maimunah.) Menurut Siti Hajar Che Man, novel Harga Sebuah Maruah dan Sangeetha adalah novel Azizi yang “terhebat dan terhangat”. (Makalah 2010). Penelitian Prof. Ungku Maimunah menolak sama sekali kesimpulan ini, dan inilah yang paling menarik kerana pandangan yang bertentangan ini menyerlahkan beberapa persoalan. Pertama, bolehkah kita berkata bahawa apabila seseorang sarjana terlalu boros dengan pujian, maka sudah pasti karya yang dipujinya itu tidak bermutu. Di sini terdapat korelasi antara pujian melangit dengan mutu karya yang rendah. Kedua, setiap pujian yang berlebihan membuktikan kekeliruan dalam penilaian kerana kelemahan kognitif untuk meletakkan sesuatu konsep penting pada tempatnya yang tepat. Misalnya tentang “pemikiran”: kelemahan kognitif untuk memahami konsep ini melahirkan kekacauan yang luar biasa seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam analisisnya. Ketiga, apabila seseorang sarjana menggunakan teori atau pendekatan tertentu, bolehkah kita membuat andaian bahawa terdapat korelasi yang jelas antara kemampuan menggunakan teori atau pendekatan dengan kefahaman yang naif terhadap karya kerana lemahnya kemampuan memahami teori atau pendekatan tadi. Nampaknya inilah yang terjadi kepada Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man dan baru-baru ini pula oleh A. Rahim Abdullah yang membicarakan novel Kawin-kahwin. (Lihat kertas kerja beliau dalam Seminar SAKM XI, UKM 7-8 Disember 2011. Kertas kerja itu berserabut dengan kenyataan yang saling bertentangan, sungguh malang bagi pelajar ASWARA yang membacanya ...) Sila rujuk posting bertarikh 6 Oktober 2011 untuk melihat pandangan saya tentang novel picisan ini, diringkaskan daripada satu kertas kerja yang agak panjang untuk Seminar Jenaka Nusantara 2003 di Universiti Malaya.
Prof. Ungku Maimunah menunjukkan
penggunaan teori feminisme oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man tidak
membantu kita meneroka “pemikiran” pengarang, tidak juga dapat memastikan karya
yang dianalisis dengan menggunakan feminisme itu sebuah karya yang bermutu atau
tidak. Nampaknya pembacaan berasaskan common
sense lebih tepat kerana tidak terikat kepada syarat-syarat yang ditetapkan
dalam feminisme. Apabila Siti Hajar membuat kesimpulan, bahawa penulis Harga Sebuah Maruah telah keluar dari kepompong patriarki, oleh itu
“pemikirannya selari dengan kehendak ciri-ciri feminis humanisme”, lantas
terjadilah satu anjakan dalam “pemikiran” pengarang, maka beliau membacakan
sesuatu yang tidak ada di dalam teks seolah-olah terdapat di dalam teks. Cara
inilah juga yang dipakai oleh Azizi ketika melukiskan perwatakan wanita yang
kononnya seorang watak istimewa menurut Siti Hajar (saya akan salin mantra beliau
kemudian), iaitu dengan menggunakan teknik “telling and showing” seperti yang
dibangkitkan oleh Prof. Ungku Maimunah. Adakah Azizi telah menggunakan teknik
ini dengan berkesan? Tidak. Dia hanya melaporkan saja, kecuali beberapa
peristiwa yang ditonjolkan untuk sensasi, bukan untuk melukiskan perwatakan
yang istimewa seperti yang dibacakan oleh Siti Hajar dalam mantranya. “Telling
and showing” adalah teknik laporan, yang penggunaannya memerlukan kecekapan
bermain dengan peristiwa yang benar-benar menonjolkan kekuatan dan keistimewaan
seseorang watak. Untuk melihat bagaimana teknik ini digunakan oleh Mohd.
Affandi Hassan dalam novelnya Pujangga
Melayu, sila teliti peristiwa Aishah “meninggalkan” Teratak Desa, dan
bagaimana Awang serta Aishah sendiri menangani “perselisihan” itu. Jika anda
seorang yang berfikir, dan seorang yang berfikir secara positif pula, anda akan
memberikan tafsiran tertentu; atau sebaliknya. Dalam hal ini, anda sama ada
telah membaca dengan baik dan wajar kelakuan watak itu; atau anda hanya
memperlihatkan ketidakmampuan anda memahaminya. Inilah yang ditunjukkan oleh
Siti Hajar, yang kerana terlalu bergantung kepada feminisme, membacakan sesuatu
yang ada di dalam dirinya, yang tidak pun dialami oleh watak yang disanjungnya.
Watak Cah berubah selepas kematian suaminya, dan perubahan ini tidak wajar
dibaca seperti yang dilakukan oleh Siti Hajar. Perubahan itu menunjukkan watak
ini bergantung sepenuhnya kepada suaminya yang tiada lagi; dan dalam hal ini,
dia adalah penjelmaan Jeha yang menjadi gila selepas kematian suaminya. Azizi masih menulis di bawah bayang-bayang
Shahnon Ahmad. Tidak ada apa-apa bacaan feministik
yang boleh dikenakan kepada watak ini, apatah lagi untuk dengan liar pula
mengatakan Azizi telah keluar dari kepompong patriarki. Kasihanilah pengarang
ini yang tidak tahu apa-apa tentang feminisme dan tidak pun berminat untuk
menulis dari perspektif itu, seperti yang telah dibuktikan oleh Prof. Ungku
Maimunah dalam tulisannya yang lain yang membicarakan novel-novel Azizi yang lain.
“Penyelewengan makna” yang
dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man telah melahirkan kritikan mantra dalam sastera Melayu.
Beliau telah menulis satu mantra yang indah dan wajar dirakamkan dalam makalah
ini kerana keistimewaannya sebagai contoh kritikan
mantra yang pertama kali ditemui dalam kritikan sastera Melayu. Inilah
mantra itu (maaf jika agak panjang, tapi mesti diturunkan juga di sini):
“Sememangnya Cah tidak sama
dengan Sangeetha, Cah juga tidak sama dengan Jeha, Cah juga tidak sama dengan
Tijah isteri Dali dalam novel Jalur Sinar
di Celah Daun karya Zaharah Nawawi, Cah juga tidak sama dengan Sofea watak
utama dalam novel Isteri karya
Rosmini Shaari, Cah juga tidak sama dengan watak Athilah dalam Cinta Penyerahan dan Tragedi karya bersama
Hamidah Kamaruddin dan Zaharah Nawawi, Cah juga tidak sama degan watak Jamilah
dalam novel Perempuan di Lereng Bukit
nukilan Siti Hawa Hassan, Cah juga tidak sama dengan watak Datin Zakiyah dalam
novel Menongkah Lumrah karya Azmah
Nordin, Cah juga tidak sama dengan watak Maria menerusi novel Salam Maria karya Fatimah Busu, mahupun
dalam novel Ayat-ayat Cinta nukilan
Habiburrahman El-Sirazy, Cah juga tidak sama dengan Mazni watak utama novel Badai Semalam karya Khadijah Hashim.
Demikianlah watak Cah di tangan Azizi Hj. Abdullah, cukup istimewa, unik,
tangkas, cekal, kental, berani, bersemangat waja mempertaruhkan hanya
pengalaman untuk mengerjakan sawah dan mempertahankan tanah bendangnya yang
hanya sekangkang kera”. (Disalin dari kertas kerja Prof. Ungku Maimunah).
Inilah hasil pendekatan
feminisme. Jika Azizi tenggelam dalam sensasi yang menjadi trade mark penulisannya, maka Siti Hajar pula “fana” dalam “dewi
feminisme” yang sedang dipujanya. Supaya anda faham maksud saya, inilah
penjelasan yang tidak perlu tetapi mesti dijelaskan kerana tidak semua orang
mengalami kehidupan berbudaya seperti kami orang Kelantan. Anda barangkali
pernah dengar Main Puteri, atau Berbageh, yang dilakonkan untuk mengubat orang
sakit. Tok Mindok akan membacakan mantra khusus untuk membangkitkan Semangat
Dewa Muda; dan sebaik saja semangat itu menjelma dalam diri orang sakit, dia
akan bangkit menari dan pada waktu yang sama menjawab soalan-soalan yang
ditujukan kepadanya oleh Tok Mindok. Melalui soal jawab itulah Tok Mindok “mengubat”
pesakit: anginnya dikeluarkan dan dia akan berasa lega kembali, dapat menerima
kembali dirinya yang asal setelah asal usulnya dibangkitkan oleh Tok Mindok.
Inilah yang berlaku dalam pendekatan feminisme, apabila Siti Hajar Che Man
“membangkitkan semangat dewi feminisme” untuk mengangkat keistimewaan novel Harga Sebuah Maruah, novel “terhebat dan
terhangat” yang berdiri sebagai “sebuah novel yang lengkap” seperti cerita Dewa
Muda dalam Main Puteri. Jika anda tidak dapat memahami bagaimana terdapat kaitan
yang intim antara Main Puteri dengan feminisme, anda harus menonton sendiri
Main Puteri atau Bageh di Kelantan, dan anda akan insaf betapa hebatnya Main
Puteri itu jika dibandingkan dengan feminisme. (Jika anda masih tidak faham,
anda harus cuba memahaminya dengan menggunakan teknik stylization of ideas untuk mentafsir bahagian ini).
Sekarang anda sudah lihat hasil
sebenar peraduan menulis. Bukan saja tidak menggalakkan, malah lebih teruk lagi
kita diberi penjelasan palsu yang tidak boleh dicabar kesahihannya kerana semua
keputusan adalah muktamad, ditulis oleh tokoh-tokoh yang dianggap berwibawa
pula. Jadi apakah kesudahannya? Kita mewariskan pandirisme melalui karya-karya
tidak bermutu yang keliru, hasil dari penilaian yang keliru dan tidak berasaskan
ilmu yang benar. Walaupun pilihan ini batil,
kita menerimanya kerana kebatilan sudah dibudayakan. Tetapi mesti ada jalan keluar.
Jelaslah cadangan 2006 itu mempunyai
kekuatan tersendiri sebagai jalan keluar dari kemelut yang kita hadapi
sekarang. Melaksanakan cadangan itu
menjadi ujian kepada kejujuran kita menangani masalah yang kita bincangkan ini.
Jalan keluar dari kemelut kekacauan dan kekeliruan yang kita hadapi ini boleh
diatasi dan diselesaikan sekiranya pendekatan yang dikemukakan oleh gagasan
Persuratan Baru dijadikan asas untuk menyelesaikan masalah itu. Jalan
penyelesaian yang diberikan oleh Persuratan Baru adalah yang terbaik pada waktu
ini, sehingga munculnya kaedah lain yang lebih baik. Kekalutan dan kekeliruan
dalam memahami konsep “pemikiran” yang menjadi masalah besar dalam kritikan dan
penilaian karya sastera Melayu itu boleh diselesaikan dengan mudah dan berkesan
jika masalah ini dilihat dari perspektif
Persuratan Baru. Tetapi apakah yang menghalang pelaksanaannya? Jawapannya telah
saya berikan dalam makalah panjang berjudul, “Kesusasteraan Melayu di
Persimpangan Jalan: Anti-intelektualisme, Hasad, Pandirisme.” [Siri Wacana
Ilmiah DAMAI, ATMA, UKM, 21 Disember 2004].
Pakar psikologi berpendapat, adanya perasaan hasad itu akan menghalang
apa juga perubahan ke arah kebaikan; tetapi kehadiran orang-orang yang jujur
dan ikhlas akan mengalahkan perancangan jahat kumpulan hasad tadi.
Golongan hasad ini akan
menghadapi dua kekalahan besar: tiadanya ketenangan jiwa dalam kehidupan mereka
disebabkan perasaan iri yang diiringi kebencian dan dendam melihat kejayaan
orang lain; kekalahan kedua ialah kerana mereka tidak dapat menyembunyikan
kejahatan dan sifat foni mereka yang mereka serlahkan melalui kelakuan mereka
sendiri. Contohnya sangat banyak, cukup kita ambil satu contoh saja kerana
contoh ini amat penting diberi perhatian.
Ada di antara sarjana kita yang mencapai taraf “celebrity” di kalangan
mereka, terutama sekali di kalangan teman-teman rapat yang sealiran dengan
mereka, pernah berkata seolah-olah dengan perasaan kesal yang jujur, bahawa
kita (yakni mereka dan rakan-rakan mereka) sudah lama melakukan kesilapan dan
kesalahan dalam menilai karya kita yang berjiwa Melayu dan berbahasa Melayu
dengan menggunakan ukuran dan teori Barat.
Ada pula yang dengan semangat berkobar-kobar (seakan-akan mencapai kesan
“lupa” seorang Tok Mindok yang menggeleng kepalanya seperti kipas di paras
maksimum) hampir menjeritkan dengan marah bahawa kita (yakni mereka dan
teman-teman sealiran dengan mereka) perlu melemparkan Barat (Eropah, Amerika
dan lain-lain, kecuali England!) dengan menjadikan “diri kita dan teman-teman
sejiran dengan kita” sebagai pusat analisis untuk menilai teks (karya kreatif)
yang kita hasilkan. Tetapi semua jeritan
itu mati di situ saja. Mengapa terjadi
demikian? Mereka terdiam setelah sedar dari “trance” Tok Mindok bahawa mereka
sudah melakukan kesilapan yang lebih besar, iaitu menolak pemikiran orang lain
yang sudah sedia ada hanya kerana perasaan hasad semata-mata, diiringi dengan
perasaan takbur dan ghurur seorang “celebrity” yang foni.
Nampaknya dunia akademik kita
dalam bidang sastera ini amat malap yang menghampiri gelita, walaupun
gemerlapan dari segi gaya bombastik dengan retorik kosong seperti yang
ditunjukkan dalam analisis Prof. Ungku Maimunah yang saya petik dalam tulisan
ini. Sekali lagi saya ulangi, anda yang menentang gagasan Persuratan Baru akan
mati kering dan kalah terguling di medan anda sendiri, bukan kerana ditendang
tersungkur oleh gagasan Persuratan Baru, tetapi kerana permainan anda sendiri
yang belum bersedia berada di gelanggang ilmu. Dalam peperangan, yang kalah
menjadi orang tawanan. Dalam gelanggang
ilmu di Malaysia, yang kalah itulah yang terus berkuasa. Tetapi mereka tidak mempunyai hujah, oleh itu
“kekuasaan” mereka terlalu rapuh dan tidak dapat dipertahankan apabila dibawa
ke tengah gelanggang. Itulah tragedi
sebenar dalam dunia akademik dan dunia
kreatif kita yang menolak konsep ilmu yang benar.
Mohd. Affandi Hassan,
1 Februari 2012.
SEKADAR MENCELAH (BUKAN MENCELA,
JANGAN SALAH SANGKA!), BUKAN APA!
Terlanjur kita bicara tentang
“pemikiran” dsb.nya, gatal pula tangan nak komen sikit fasal Laporan Panel
Anugerah Sastera yang terbaru yang khabarnya sudah siap. Tahniah kepada Kemala, anda dikatakan sama standard dengan
Amir Hamzah, Raja Penyair Pujangga Baru. Wah, SN Malaysia terhebat! (untuk mengetahui makna perkataan ini tanya
Dr. Siti Hajar). Laporan ditulis oleh tokoh utama DBP, seorang “celebrity” di
kalangan ulama sastera Malaysia. Khabarnya ramai yang tak suka Laporan itu, tak
berapa cerdik kata mereka, kurang akademik (?). Dikatakan Kemala itu “penyair
sufi”. Tahniah sekali lagi untuk Kemala, inilah pensajak sufi pertama. Betulkah
Kemala menulis sajak-sajak sufi? Apa yang sufi itu? Khabarnya hanya Braginsky
yang bilang Kemala “pensajak sufi”. Dalam syarahan perdana Prof. Rahman Shaari,
Kemala disebut sebagai pensajak patriotik dengan menurunkan sajaknya “Pada
Stiap Kali Kau Tiba, Ogos” sebagai sebuah sajak yang mantap. Mesti ingat, judul
syarahan perdana itu ialah, Kemantapan
Puisi Melayu Moden: Satu Tinjauan
(Disember 2004). Beliau tidak sebut pun sajak-sajak sufi ciptaan Kemala. Adakah
kerana tidak mantap? Tak mungkin ketika itu (2004) sajak-sajak sufi Kemala itu
belum ditulis, hanya sajak-sajak patriotik dan lain-lain sajak yang tidak
semantap sajak patriok tadi. Jika sajak-sajak sufi yang mantap itu sudah wujud,
tetapi tidak disebut oleh Prof. Rahman Shaari, adakah ini bermakna syarahan
perdana beliau itulah yang tidak mantap? Prof. Rahman Shaari begitu tinggi
pujiannya terhadap sajak Kemala itu, hingga dia mencadangkan kepada GAPENA supaya
menerbitkan sebuah antologi sajak-sajak patriotik dengan judul, Pada Setiap
Kali Kau Tiba, Ogos, yang akan dibaca setiap tahun ketika menyambut hari kemerdekaan.
Hanya sanya, tarikh kemerdekaan itu sudah dipinda kepada bulan September; jadi
Kemala terpaksalah edit sajak beliau supaya sesuai dengan keputusan kerajaan
Barisan Nasional itu. Mana-mana pun, kita mesti berhati-hati, supaya orang
“sufi” sebenar tidak direndahkan martabatnya, yang bukan sufi pula tak
fasal-fasal diangkat jadi sufi, dan yang lebih teruk lagi gelaran begini hanya
layak diberi selepas seseorang tokoh diuji selepas meninggal tak kurang dari 30
tahun, bukan semasa hidupnya. Itu pendapat satu pandangan yang tidak mahu
bersufi-sufian tak tentu fasal. Tentang
bandingan dengan Amir Hamzah itu, kalau boleh dipadam, lagi baik, kata pakar
sastera dan pengkritik. Sepatutnya begitulah.
Janganlah Amir Hamzah direndahkan begitu rupa. Kemala mungkin ada tempatnya
tersendiri, biarlah dia duduk di situ, tak payah diangkat-angkat melampau
sangat. Pokoknya, Laporan mesti bagus, kemas penghujahannya, terang jelas
pembuktiannya, siuman kesimpulannya. Sudah sampai, atau memang sudah terlajak,
institusi sasterawan negara ini sudah terjunam kerana Laporan yang selekeh?.
Jangan hendaknya yang jadi begitu kerana Laporan tak cantik, ditulis sambil
lewa macam Laporan sayembara DBP 50 Tahun itu. Takkah amat malang? Kalau kita mahu angkat standard seseorang
penulis, biarlah yang menentukannya karyanya, bukan pembaca yang gopoh. Apa
lagi jika yang gopoh itu Panel Anugerah Sastera Negara. Lagi pula, mana yang lebih tinggi
martabatnya, Raja Penyair Malaysia atau “penyair sufi”? Ini mesti jelas. Prof.
Madya Dr. Siti Hajar Che Man telah kasi gelaran “Raja Penyair Malaysia” kepada
pensajak Muhammad Hj. Salleh. Sekarang Kemala pula diberi gelaran “penyair
sufi”. Siapa yang lebih tinggi martabatnya? Kata orang yang tahu tentang benda
ini, tentulah Kemala yang lebih tinggi darjat dan martabatnya, kerana dia pun
setanding dengan Amir Hamzah menurut Laporan yang belum dipinda. Macam-macam hal dunia ini!
Komen ini timbul selepas terjadi
“perbincangan hangat” dengan seorang teman. Katanya, Anta mahu komen semua
perkara, mahu cari fasal tak fasal-fasal. Biarlah mereka nak tulis laporan
macam mana pun, itu kerja mereka. Apa yang anta nak menyibuk? Nak panggil
Kemala penyair sufikah, penyair sapikah, penyair apa-apalah yang dia suka, itu
dia punya fasal. Apa yang nak menyibuk sangat? Saya tergamam juga dibuatnya.
Kata saya, Mari, ana mahu belanja anta makan capati. Mari kita pergi kedai
mamak. Hairan, waktu makan dan minum
kopi, kami tak banyak bercakap. Bila kami sudah, teman saya kata, Sedap juga
capati piramid kedai mamak ini. Kalau macam ni, ana kena datang lagi. Waktu berpisah, teman saya dengan muka serius
menggengam tangan saya waktu kami bersalam. Katanya, Jangan marah, jangan
terasa hati komen-komen ana tadi. Anta kena berhati-hati. Mengapa anta anti
puisi sufi pula? Mahu puisi sapi pula? Dan dia tertawa ... Saya memandangnya
hairan, apakah yang menggelikan hatinya?. Yang saya tahu, ada orang sufi yang memang suka susu sapi, apa yang
jenakannya? Tak semestinya yang suka minum susu sapi itu seorang sufi!
As-salam Tn Hj Affandi, boleh tn beri sedikit komentar mengenai Hadiah Sako baru-baru ini?
ReplyDeleteBagus. Boleh beli buku2 Utusan.
Delete