Wednesday, January 4, 2012

Memahami Gagasan Persuratan Baru: Komentar Untuk Para Penulis Komentar (Dialog Akhir Tahun)

Terima kasih kepada para penulis komentar. Saya mendapat faedah membacanya seperti anda mendapat kepuasan menulisnya, walau apa pun yang anda tulis dan walau apa pun perasaan anda ketika menulisnya.

Nampaknya  sukar juga untuk memahami gagasan Persuatan Baru, kerana yang ingin memahaminya tidak membaca mengenainya, meskipun korpus tentang PB telah mencukupi untuk dijadikan rujukan. Rujukan itu mudah pula didapati.  Saya baru saja membaca sebuah makalah yang amat baik ditelaah oleh kita semua, terutama yang berminat dalam apa yang dinamakan “sastera Islami”.  Saya rujuk kepada makalah Dr. Zulkarnain Mohamed, “Pendekatan Ta’amul-Taklif dalam Kajian Sastera”, SARI 29(1) 2011, hal. 137-152. Silalah dapatkan Jurnal itu dari UKM.

Mengapa PB membahagikan karya kreatif Malaysia dalam tiga kategori? (1) Karya persuratan; (2)  karya sastera; (3) karya picisan/popular/erotik. Sudah dijelaskan dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (2008). Tak ada pilihan, anda harus membacanya sendiri  dalam buku itu.

Tetapi saya akan cuba  membantu anda memahaminya. Anda tidak perlu bersetuju dengan saya, anda hanya perlu memahaminya, tetapi ini memerlukan sedikit kesabaran dan perasaan “cool” (menurut slanga Internet yang popular).  Kita gunakan analogi yang mudah. Untuk karya persuratan itu kita lambangkan dengan laut; untuk karya sastera kita lambangkan dengan sungai; untuk karya picisan/popular/erotik kita lambangkan dengan air bendang (atau air kolam). Dulu air sungai dan air bendang sangat jernih. Kami budak-budak Kg. Seberang Pasir Mas yang duduk di tepi Sungai Kelantan, mandi dan bermain di sungai yang airnya amat jernih itu. Sebagai budak kampung yang miskin, kami gunakan ranting yang kami cocok di sungai untuk menjemur kain baju kami yang dibasuh. Sambil menunggu kering, kami bermain “tur” sambil menyelam dan berenang. Kerana air itu bersih dan jernih, kami celikkan mata kami melihat ikan sungai yang jinak berenang mudik. Air bendang pun sama, bersih dan jernih. Banyak ikan puyu, sepat, haruan dan keli. Kami dapat melihat ikan-ikan itu berenang-renang di bendang. Kami dapat mendengar ikan haruan dan puyu melompat, meninggalkan kocak air. Sungguh seronok. Masa itu belum ada orang jahat mengeruhkan sungai membuang sisa toksid atau sampah sarap atau kotoran lain, atau membuang racun di bendang. Masa itu orang tidak ghairah melakukan perbuatan fasad. Kini, atas nama pembangunan, mereka keruhkan sungai kami; racun bendang kami; susahkan hidup kami dalam pembangunan itu.  Mereka begitu megah dan berleluasa melakukan perbuatan fasad atas nama pembangunan. Orang yang terlibat menjadi kaya raya kerana perbuatan fasad mereka. Masa budak-budak dulu kami suka mendengar orang baca kitab di surau atau masjid; atau mendengar orang bersyair dan berpantun. Tidak ada yang tidak senonoh dalam hikayat yang dibacakan kepada kami, atau dalam syair dan pantun yang diperdengarkan kepada kami. Sekarang tidak ada lagi orang membaca kitab, tetapi kerap sekali diadakan majlis menjeritkan sajak di pentas untuk disorak-sorak. Sekarang orang sangat bangga menggunakan bahasa yang kesat, mencarut, menyumpah seranah dan sebagainya sebagai ekspresi sastera yang bermutu dalam karya-karya mereka, para sasterawan ini.  Itulah keindahan bahasa, kata mereka.  Mereka diberi hadiah kerana itu; diberi kedudukan dan gelaran. Bacalah dengan baik dan hati-hati laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang menilai karya para sasterawan negara, baca dengan kritis, nescaya anda akan dapat melihat logik yang disembunyikan di sebalik mitos yang dibina. Demikianlah, seperti sungai dan bendang kami dicemari dengan racun dan sisa toksid, maka begitulah juga “sastera” kami dicemari atas nama realisme. Itulah penjelasan yang paling ringkas. Penjelasan yang terperinci terdapat dalam buku-buku rujukan yang senang didapat. Cari dan baca sumber itu. Untuk memahaminya, anda perlu membaca dengan mendalam sumber yang sesuai, memikirkannya, membahaskannya, mengkritiknya dengan jujur. Anda perlu tidak kurang dari tiga bulan untuk melakukannya dengan berkesan. Setelah itu, setelah anda benar-benar berusaha memahaminya, maka pada ketika itulah anda akan melihat dimensi lain melalui kaca mata gagasan Persuratan Baru. Jika anda tidak sabar, dan tidak bersedia untuk membuat kajian dan pembacaan yang kritis, anda tidak akan faham dan anda akan terus menilai perkara yang anda tidak faham itu berasaskan maklumat yang terlalu sedikit atau hampir tidak ada. Untuk lebih mudah, saya cadangkan anda baca tesis MA Puan R. Sharatha a/p Ramasamy (Universiti Malaya, 2007) yang membicarakan Pujangga Melayu.  Tidak mengapa jika anda tidak mahu membaca novel yang tebal itu; cukup hanya mengetahui buku itu dengan membaca tesis itu. Mungkin kefahaman anda tidak menyeluruh; tetapi sekurang-kurangnya anda dapat melihat bagaimana analisis berasaskan PB dilakukan. Di bawah saya senaraikan beberapa bahan bacaan yang boleh membantu anda.

Mengenai analogi yang dikemukakan di atas, anda tidak perlu bersetuju dengan analogi itu. Anda juga tidak perlu bersetuju dengan pembahagian kepada tiga kategori itu. Tujuan analogi itu ialah untuk membantu anda melihat dimensi setiap kategori. Sebaik saja anda dapat memahami konsep yang menjadi dasar pembahagian kepada tiga kategori itu, anda boleh membahaskannya dengan lebih wajar kerana kini anda  sudah boleh melihat dimensi setiap kategori itu. Dengan membaca rujukan yang saya senaraikan di bawah, anda mungkin dapat memahami PB dengan lebih baik dan mungkin juga bersedia untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengannya. Sama ada anda bersetujnu atau tidak bersetuju, pendekatan yang ditawarkan oleh PB adalah yang terbaik pada waktu ini, sudah dibuktikan dalam beberapa analisis dan penilaian karya kreatif. Anda boleh membacanya dalam senarai rujukan yang diberi.  Jika anda membaca sesebuah karya seperti novel dengan menggunakan pendekatan PB,  anda akan cepat melihat kekuatan novel itu, atau sebaliknya. Anda dapat menghuraikannya dengan meyakinkan, malah lebih menyeronokkan kerana anda kini dapat melihat bagaimana novel berkenaan dibina dengan mantap, menyerlahkan ketajaman pemikiran penulisnya dan kekuatan daya kreatifnya menggunakan wacana dan cerita untuk membina stylization of ideas bagi menghasilkan sebuah karya yang “indah dan bermakna” dalam konteks taklif yang tidak dapat dielak oleh mana-mana manusia sekali pun kerana semua manusia terikat kepada taklif. Penjelasan ini tidak sukar difahami, jika setiap tahap penghujahan diteliti satu persatu dengan menggunakan konsep-konsep yang dipakai dalam PB. Penjelasan tentang perkara ini telah diberikan dengan mencukupi untuk difahami dalam rujukan yang diberi. Bacalah di sana. Maaf kerana tidak ada jalan pintas. Kerana itulah anda memerlukan tiga bulan membuat persediaan.

Dalam senarai bacaan yang diberikan, dimasukkan juga sebuah buku terkenal karangan Imam Ghazali mengenai kaedah ilmu yang beliau pakai. Buku itu sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu; versi Inggeris juga sudah ada.  Anda mesti baca buku Imam Ghazali ini, jika tidak masa tiga bulan yang diberikan kepada anda akan dirasa terlalu lama. Tetapi sebaik saja anda mengetahui kaedah ilmu yang dipakai oleh Imam Ghazali, anda akan menambah masa itu secara sendiri, tetapi tidak mengurangkannya. Baca dan teliti al-Munqidh Min al-Dhalal, versi Melayunya Penyelamat Dari Kesesatan (terjemahan oleh Dr.  Abdulfatah Haron Ibrahim, DBP 1983/1985); versi Indonesia, Pembebas Dari Kesesatan (terjemahan Abdullah bin Nuh, Tintamas, Jakarta (1960); versi Inggeris oleh W. Montgomery Watt, Deliverance from Error  (dimuat dalam bukunya, berupa terjemahan dua buah karya Imam Ghazali, The Faith and Practice of al-Ghazali (George Allen & Unwin, London, 1953).  Baca buku ini, nescaya anda akan mengerti mengapa gagasan Persuratan Baru diperlukan.  Anda juga akan mengerti mengapa pembahagian kepada tiga kategori karya itu diperlukan; dan setelah anda memahaminya, anda akan mendapati mudah saja anda meletakkan sesebuah karya yang anda baca dalam kategori mana. Dengan itu anda akan dapat memahami karya itu dengan lebih cepat dan dapat menghargainya dalam konteks yang betul. Semua ini memerlukan kesabaran untuk memahaminya. Kerana itulah saya anjurkan anda membaca beberapa kali, paling kurang tiga kali, sebaik-baiknya lima kali, buku Imam Ghazali itu. Tidak tebal, dan tidak sukar untuk difahami. Tetapi amat besar faedahnya, termasuk untuk membantu anda menulis komentar yang lebih bermutu dan lebih jernih, tidak dicemari dari segi bahasa dan emosi yang dilontarkan. Anda akan menjadi lebih “cool” dan lebih seronok menulis komentar anda yang berguna untuk diri anda dan pembaca anda.  Ada di antara penulis komentar berkata, dia tidak tahu apa dia gagasan Persuratan Baru. Tapi dia beri komentar, dan mengkritik dengan pedas pula. Kata Imam Ghazali dalam bukunya itu: “If a thing is not comprehended how can it be either refuted or accepted?” [versi Inggeris, hal. 32. Versi Melayu berbunyi: “Benda yang tak boleh difaham bagaimana boleh ditolak atau diterima?” (hal. 26, terjemahan Abdul Fatah)].

Ada di antara penulis komentar berkata, mereka perlukan “pencerahan”. Bagaimana akan mendapat “pencerahan” (satu istilah Barat yang sekular daripada konsep sekular yang diketahui umum asalnya, yang berasal dari gerakan penolakan agama di Eropah) jika anda mencari sumber yang salah dan menggunakan istilah yang tidak sesuai, yang juga salah dalam konteks pemikiran Islam.  Istilah “pencerahan” itu memang tidak sesuai digunakan dalam konteks yang anda pakai. Jika anda benar-benar faham maksud Enlightenment yang diterjemahkan sebagai “pencerahan” itu, anda tidak akan menggunakannya.  Apakah istilah yang sesuai dalam falsafah Islam?  Saya fikir tidak ada, kerana ini bukan masalah orang Islam. Adakah tidak orang Islam berusaha menyisihkan agamanya secara sedar untuk mencapai kemajuan seperti yang dilakukan di Eropah?  Konsep Enlightenment itu sendiri dikritik hebat di Barat; jadi apa jenis  “pencerahan” yang anda cari?  Jika anda kembali kepada gagasan Persuatan Baru, anda akan mendapat jawapannya.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,  3/1/2012.

Rujukan terpilih

Zulkarnain Mohamed, “Pendekatan Ta’amul-Taklif dalam Kajian Sastera”.  SARI  29(1): 137-152.

Rahmah Ahmad H. Osman, Mohd. Shahrizal Nasir, “Sastera Islam: Satu Perbandingan Antara Pandangan Mohd. Affandi Hassan Dengan Abu al-Hasan Ali al-Nadwi”.  Jurnal e-Utama, Vol.3(2011). [Jurnal Elektronik Jabatan Bahasa & Kebudayaan Melayu].

Adli Hj. Yaacob, “Satu Analisis Ringkas Konsep dan Teori Sastera Islam di Malaysia”.  ISLAMIYYAT 29(2007): 3-29.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir, “Pemertabatan ‘Realiti’ dan ‘Realisme’ ke Status Konvensi Sastera Dalam Kesusasteraan Melayu.”  Kertas kerja dibentangkan di Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu XI (SAKM XI), 7-8 Disember 2011, UKM.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”.  Kertas kerja, dibentangkan di Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia XII (SAKIM XII), UKM, 29-30 November, 2011.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir, “Wanita Sebagai Objek Seks: Persepsi dan Pengungkapannya Dalam Novel Bila Hujan Malam oleh Azizi Haji Abdullah.” Kertas kerja, dibentangkan di Seminar SEBUMI 3 2010, UKM 12-13 Oktober 2010.

Mohd. Zariat Abdul Rani, “Materialisme, Islam dan Nilai Kesasteraan: Satu Penelitian Terhadap Novel-novel Popular Islami Terbitan PTS Sdn. Bhd. Berdasarkan Persuratan Baru”.  Kertas kerja, dibentangkan di Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) Ke-3, anjuran PENA. Kuala Lumpur, 16-18 Disember, 2011.

Muhammad Zarif Hassan, “Kepengarangan Muda: Mencari Sinar Tradisi”.  Kertas kerja, dibentangkan di Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) ke-3, anjuran PENA. Kuala Lumpur, 16-18 Disember, 2011.

Mohd. Affandi Hassan,  Ungku Maimunah Mohd. Tahir, dan Mohd. Zariat Abdul Rani. Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (UKM 2008).

Ungku Maimunah Mohd. Tahir ed.  Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori & Praktis (UKM 2010). Lihat terutama sekali makalah Ungku Maimunah, Rahmah Ahmad Osman tentang sejarah konsep adab, Zulkarnain Mohamed, Mohd. Zariat Abdul Rani tentang analisis novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu, dan Mohd. Shahrizal Nasir.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (siri Kuliah MASTERA 2008). Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009.

Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu (syarahan perdana, UKM 2007). UKM, 2007.

Mohd. Affandi Hassan, Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP, 1992/2005).

2 comments:

  1. Asslamualaikum..

    Saya ingin mencari kesemua karya Imam Ghazali terjemahan bahasa Inggeris ataupun Melayu. Boleh tak kongsikan tajuk2 buku kepada saya jika affandi tahulah..

    Dan selain dari karya Imam Ghazali, kalau en.affandi tahu tokoh-tokoh islam yang lain menulis mengenai psikologi islam pun boleh dikongsikan bersama.

    Terima kasih..

    ReplyDelete
  2. Salam Islah Aliya.

    Cuba lihat bibliografi dalam buku saya Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (senarai akhir di atas), terdapat beberapa rujukan penting tentang Imam Ghazali, juga beberapa buah buku tentang ilmu jiwa menurut pandangan Islam.

    ReplyDelete