Monday, December 5, 2011

Teruskanlah Kekeliruan Itu Jika Anda Selesa Berada Dalam Kekeliruan

Mana yang lebih utama, bentuk atau isi? Bagi seorang pengarang, terutama sekali seorang pengarang yang cerdik dan cukup ilmu (kadang-kadang terjumpa  pengarang bodoh yang berpura-pura cerdik, seperti ada pengkritik bodoh berlagak pandai  sambil memandai-mandai melontar pendapat),  mana satu yang lebih utama tidak membuatnya terhuyung hayang mabuk kognitif kerana belum bersedia untuk menjadi pengarang. Seorang pengarang yang cerdik dan tinggi daya kreatifnya akan mencipta sesuatu yang unik kerana adanya kekuatan daya kreatifnya; dan pada waktu yang sama dia memberikan kebijaksanaan dalam karyanya hasil dari kemampuan inteleknya yang tinggi.  Masalah mana satu yang perlu diutamakan, bentuk atau isi, hanya menjadi masalah di kalangan pengamal pandirisme dalam penulisan dan kritikan sastera, tidak di kalangan pengarang Islam yang dididik dalam epistemologi tauhid dan tanggungjawab taklif.

Katalah anda seorang penulis khat yang sangat handal. Hasil kerja anda sangat cantik dan benar-benar dikagumi. Di antara karya khat anda yang paling terkenal dan banyak disimpan orang salinannya berbunyi: Aku gila, oleh itu aku berjaya. Anda tak mahu jadi gila? Anda tak akan berjaya. Orang gila masuk syurga.  Dia menuliskan kata-kata itu dalam bentuk khat yang amat cantik, tanpa memperdulikan maknanya.  Adakah dia seorang ahli khat yang siuman?  Sekiranya dia hanya ingin membuktikan bahawa kata-kata yang karut dan bodoh masih dihargai dan dipandang cantik jika khatnya cantik, maka dia tentulah seorang penulis khat yang gila. Belum ada lagi penulis khat yang gilakan bentuk tetapi tidak memperdulikan makna. Kemunculan khat itu sendiri sebagai seni kerana matlamatnya untuk memberi dua perkara: kecantikan tulisan, dan kecantikan ucapan. Khat terbentuk kerana manusia sedar kedua-duanya diperlukan oleh manusia yang siuman, kerana itulah sifat tabii dan hakiki seorang manusia.  Dalam dunia penulisan lebih-lebih lagi. Jika teknik anda selekeh, anda tidak mungkin menghasilkan karya kreatif yang bernilai. Itu klise, diketahui oleh penulis yang paling tumpul akalnya sekali pun.  Tetapi jarang orang sedar bahawa teknik dan makna tidak dapat dipisahkan: penulis yang berjaya diukur dari kecanggihan teknik dan kemampuan inteleknya mengolah persoalan yang dikemukakannya dengan cermat dan mendalam. Tetapi hakikat ini tidak disedari oleh Panel Anugerah Sastera Negara sekali pun, jika anda membaca laporan mereka dan meneliti kritikan saya tentang laporan itu.

Betulkah orang gila masuk syurga? Anda akan bertanya soalan ini jika anda seorang yang siuman. Bagaimana jika anda tidak saja  seorang yang siuman, tetapi juga seorang kaya, berilmu, ada firma sendiri (tak kiralah firma apa pun),  dan pada waktu yang sama anda seorang yang amat gemarkan kesenian, sukakan keindahan. Khat tadi memang sangat indah, sesiapa juga yang melihatnya akan terpesona. Kerana anda seorang yang kaya dan berjaya, anda bersedia membayar satu juta atau lebih untuk mendapatkannya. Anda tayang, atau gantung khat itu di tempat paling mulia di dalam rumah anda atau di pejabat anda. Sesiapa juga yang melihatnya akan terpesona dan terus memujinya. Bagaimana jika yang melihat itu tidak tahu membaca jawi? Dia masih boleh menikmati keindahan khat itu tanpa mengetahui ertinya. Dia pun boleh dan masih dianggap siuman jika dia mahu membeli “khat” tulisan China atau tulisan dari bahasa apa sekali pun kerana terpesona melihat keindahannya. Adakah dia seorang yang paling siuman? Atau hanya seorang yang gila-gila seni (kononnya) lalu membeli dengan harga mahal sesuatu hasil seni yang dia sendiri tidak tahu maknanya, kecuali hanya untuk  melihat bentuknya. Selama mana dia akan tergilakan bentuk? Tidakkah dia akan berasa bosan melihat sesuatu seperti tikus melihat besi? Katalah dia terus terpesona ...  Tiba-tiba datanglah seorang cucunya yang boleh bercakap dengan fasih walaupun masih seorang budak berumur tiga empat tahun. Tanya sang cucu: Mengapa datuk gantung benda itu? Datuk yang cerdik dan gemarkan keindahan itu menjawab selamba: Nanti kamu akan faham bila kamu sudah besar.  Kerana budak itu cerdik, dia tidak bertanya lagi, kerana dia pun tahu dia tidak akan diberikan jawapan, hanya helah atau alasan menurut cita rasa datuknya.

Bagaimana jika anda yang melihat khat itu dan membaca ayat: Orang gila masuk syurga.  Siapakah yang akan memastikan ucapan atau ungkapa n itu betul? Dari perspektif mana? Katalah anda seorang Islam, dan anda mahu tahu betul tidaknya ucapan itu, kerana anda ada seorang sahabat yang gila, oleh itu anda mahu tahu, adakah sahabat anda akan masuk syurga? Dia gila kerana bangkrap, terlalu tamak waktu siumannya, sehingga kekayaan dan kejayaannya lesap sekelip mata kerana terlalu tamak untuk mendapat lebih banyak lagi. Dia gagal. Terus gila. Adakah betul dia  akan masuk syurga? Untuk menjawab soalan itu, anda perlu bertanya seseorang yang tahu aspek kegilaan yang bagaimana yang akan membawa seseorang gila ke syurga. Ke mana pun anda pergi, dan bagaimana pun anda berdalih, anda akan hanya mendapat jawapan yang betul apabila anda tahu perspektifnya. Jika anda seorang Islam, anda akan mendapat jawapan yang memuaskan daripada seorang yang tahu tentang aspek kegilaan dalam kehidupan manusia, dan gila yang bagaimana yang sekira-kira dapat menjamin anda akan masuk syurga. Pendeknya, anda harus bertanya seorang yang berilmu, tetapi bukan sebarang ilmu. Sebaik saja mendapat kepastian jawapan daripada seorang yang berilmu, dan anda memang jujur ingin tahu betul tidaknya orang gila masuk syurga, maka anda akan membuat keputusan yang tepat:  Perlukah aku simpan khat yang cantik itu di tempat yang istimewa pula? Sekarang anda sudah tahu maknanya, oleh itu lebih mudah anda membuat keputusan. Keputusan itu tidak lagi berasaskan kegemaran anda kepada keindahan semata-mata, tetapi sekarang berasaskan ilmu yang anda dapat. Kini anda berupaya membuat keputusan yang betul dan  adil. Katalah keputusan itu seperti ini:  Anda mahu jual khat itu dengan harga mahal untuk mendapat keuntungan besar. Sebuah galeri sudah bersedia membayarnya kerana galeri itu tahu khat itu hasil seni seorang penulis khat yang amat terkenal. Menyimpan khat itu saja pun satu perbuatan yang amat dikagumi, yang “berprestij”. Katalah anda berjaya menjualnya dengan harga dua juta. Tiba-tiba setahun kemudian anda bertemu dengan orang yang anda kemukakan kemusykilan anda, yang kini bertanya anda: Bagaimana dengan khat itu?  Dengan bangga anda menjawab: Saya sudah jual dengan harga dua juta. Orang yang bijaksana itu terkejut.  Katanya dengan kesal: Tidakkah itu sejenis penipuan dan pembohongan? Anda tahu khat itu sia-sia dan mengelirukan. Mengapa kekeliruan itu dipindahkan kepada orang lain? Tidakkah itu pembohongan dan kekeliruan yang lebih besar? Anda hanya tersenyum, tidak berasa tergugat atau kesal. Dalam hati anda berfikir dengan jelas, Aku dapat dua juta senang-senang. Apa yang kelirunya?

Memang anda seorang yang cerdik dan pintar kerana sekarang anda tidak saja tahu makna sebenar kata-kata yang berbunyi, Orang gila masuk syurga; tetapi anda juga sudah berjaya menjual khat yang istimewa itu dengan harga mahal. Anda untung dalam dua perkara: tahu hakikat sebenar dan makna tulisan khat itu; dan berjaya pula mendapat faedah dari keuntungan perniagaan anda. Tetapi adakah anda  seorang yang bijaksana, jujur, ikhlas, dan insaf serta sudah bertaubat?  Oleh sebab semua itu bukan masalah anda sebenarnya, tetapi masalah orang-orang seperti saya, maka perbuatan anda itu akan tetap menjadi persoalan kepada saya: Mengapa orang seperti anda itu terus wujud dalam kehidupan manusia?  Adakah saya akan mendapat jawapan kepada soalan itu?

Dalam dunia sastera Melayu, inilah masalah yang dihadapi berterusan oleh para sasterawan, pengkritik sastera dan para sarjana yang mengajar dan menulis tentang sastera, mungkin tidak akan ada keputusannya kerana mereka (yakni sasterawan, pengkritik, sarjana) memang tidak mahu menerima keputusan yang mereka anggap merugikan mereka.  Mengapa mereka beranggapan demikian?  Jawapannya mudah: konsep ilmu mereka tidak beres, oleh itu keliru, dan dengan itu tidak dapat dijadikan sandaran untuk membuat keputusan yang tepat dan adil.  Sebenarnya ini bukan masalah nilai atau masalah ilmu. Ini masalah sikap. Anda tahu, sebagai orang Islam, mana satu yang betul mana pula yang tidak. Anda cukup faham, kerana itu anda selalu sebut: amar makruf, nahi mungkar.  Tetapi mengapa anda masih berdegil  dan terus melakukan yang mungkar?  Kerana yang mungkar itu dilakukan oleh orang lain; anda sendiri tidak pernah melakukan kemungkaran itu.  Jadi bagi anda tidak ada masalah; semua masalah adalah kepunyaan orang lain.  Kerana itulah anda membuat keputusan: dalam karya sastera atau apa-apa pun jenis kesenian atau yang boleh dipanggil kesenian, bentuklah yang akan membuat karya itu kekal dinikmati selama-lamanya, bukan isinya, kerana isi akan berubah tafsirannya mengikut masa dan cita rasa pembaca atau penonton atau penikmat hasil seni itu. Inilah relativisme yang memang menjadi persoalan, dan masalah, dalam falsafah seni Barat. Tidak ada yang pasti, yang kekal, kerana menurut mereka hanya orang gila saja yang pasti dan mahu kekal dalam kepastian itu.  Semuanya berubah, dan menjadi tugas penulis dan penilai sastera mendewakan perubahan kerana di situlah terdapat kemajuan.  Dengan itu kejayaan dinilai dari perspektif eksperimen yang dilakukan penulis, bukan isinya. Inilah pandangan dan pendirian  Panel Anugerah Sastera Negara jika anda membaca laporan mereka. Tetapi pendapat ini tidak mempunyai asas  epistemologi sama sekali, apatah lagi asas epistemologi Islam.  Jika hakikat ini disedari, mengapa para sasterawan, pengkritik dan sarjana yang mengaku Islam menerima suatu pendirian yang tidak berasaskan ilmu? Jawapannya mudah: kerana mereka keliru dalam konsep ilmu, dengan itu mereka gagal memberi penilaian yang tepat dan objektif dalam menangani masalah kejahilan mereka.  Mereka adalah golongan ingkar yang amat degil mempertahankan kejahilan mereka, dan berasa sangat selesa berada dalam kejahilan itu dan bangga pula membuat keputusan berasaskan kejahilan dan padirisme.

Salah satu kelebihan gagasan Persuratan Baru ialah kerana PB dapat menyelesaikan masalah kejahilan dan kedegilan pandirisme ini.  Persuratan Baru terbuka untuk dikritik, dan dikritik sehabis kritis.  Boleh saja dibawa masuk beratus (jika ada) teori Barat atau teori dari mana saja untuk menangkis gagasan Persuratan Baru dan membuktikan penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru tidak tepat, tidak objektif dan tidak cocok dengan   “bentuk dan isi” karya yang dinilai. Sila berikan hujah anda supaya pendirian dan penilaian anda boleh difahami oleh orang lain; dan anda juga mesti bersedia untuk dikritik dengan sehabis kritis. Kita perlukan dialog terbuka begini, bukan saja untuk memahami satu sama lain, tetapi juga untuk menolak yang palsu dan selekeh dari segi pemikiran dan penghujahan.   Jika anda belum bersedia untuk dialog itu, anda diberi peluang dan masa yang anda  perlukan, berapa lama pun anda mahu. 

Gagasan Persuratan Baru tidak sukar untuk difahami. Dalam tesis sarjana oleh R. Sharatha a/p Ramasamy, bertarikh 2007 yang dikerjakan di Akademi Pengajian Melayu, Univesiti Malaya, di bawah pengawasan dan bimbingan Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, berjudul “Pujangga Melayu: Dari Sudut Pendekatan Persuratan Baru”, Puan Sharatha telah membuktikan seorang sarjana bukan Islam pun dapat memahami gagasan Persuratan Baru tanpa masalah.  Tahniah, Puan Sharatha kerana telah menunjukkan kemampuan akademik anda  menghuraikan dengan mendalam beberapa aspek Pujangga Melayu dengan menggunakan ukuran Persuratan Baru. Bagus sekali jika anda (yang membaca tulisan ini)  berkata, sesuailah dipakai kerangka analisis dan penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru, kerana novel itu sendiri memang ditulis untuk membuktikan gagasan itu boleh menghasilkan karya yang bermutu. Anda boleh menambah, tentulah sesuai dan tiada apa-apa masalah jika digunakan Persuratan Baru kerana Mohd. Affandi Hassan memang menulis novel itu untuk membuktikan Persuratan Baru boleh menghasilkan karya yang bermutu. Sekarang anda hanya perlu melakukan dua perkara yang mudah: membuktikan PB tidak boleh dipakai dalam analisis dan penilaian karya kreatif, hanya boleh digunakan untuk menilai dan menganalisis Pujangga Melayu sahaja, tidak boleh dipakai untuk menilai karya lain. Anda boleh uji bagaimana selekehnya gagasan Persuratan Baru jika dipakai untuk menilai “karya besar”  dunia pilihan anda yang akan menelan PB  bulat-bulat, dan Mohd. Affandi Hassan akan terkulat-kulat melihat karya gergasi dunia menelan PB lalu melemparnya ke laut, tenggelam tidak timbul-timbul lagi.  Perkara mudah yang kedua ialah anda boleh membuktikan, dengan menggunakan PB sebagai pendekatan dalam menganalisis Pujangga Melayu,  bahawa novel itu bukan hasil sastera yang bermutu, tidak juga sebuah karya persuratan yang dicanangkan, dan PB sendiri yang dipakai untuk menilai karya itu hanyut dalam kekaburan akademik.  Sebaliknya jika anda berjaya membaca Pujangga Melayu menggunakan mod bacaan intelektual yang diajukan oleh Prof. Ungku Maimunah, maka besar kemungkinan  anda boleh menerima analisis dan penilaian yang dibuat oleh Puan Sharatha dalam tesis sarjananya. Saya fikir ini yang lebih mudah dan lebih siuman, untuk menerima hasil penelitian akademik Puan Sharatha dan dengan itu berpuas hati bahawa gagasan PB dan Pujangga Melayu telah dapat mendamaikan masalah “bentuk dan isi” dalam konteks “indah dan bermakna” yang dijadikan matlamat penulisan kreatif dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992) yang menjadi asas kepada gagasan PB. 

Dalam analisis dan penilaiannya, Puan Sharatha banyak menyebut stylization of ideas.  Nampaknya stylization of ideas itu satu teknik yang berjaya difahami beliau walaupun mungkin tidak mendalam, dan teknik itu menghapuskan “masalah” yang dipanggil  masalah “bentuk atau isi” itu.  Betulkah begitu?  Nampaknya teknik stylization of ideas itu berjaya melahirkan karya persuratan, yang diterjemahkan oleh beliau genuine literature.  Kalau analisis Puan Sharatha betul, dan boleh diterima, maka sudah sah kita tidak perlu menjadikan karya sastera itu puncak pencapaian kreatif dan dengan sendirinya kita tidak perlu bersusah payah mencari sasterawan negara baru kalau hanya untuk mengangkat  karya sastera yang berada di bawah karya persuratan, jenis karya  yang menjadi punca masalah “bentuk atau isi” itu, sehingga membingungkan SN Shahnon Ahmad yang  membuatnya menolak karya-karya awalnya yang beliau fikir menyeleweng. Betulkah begitu, Prof. Emeritus Shahnon Ahmad?  Anda tidak perlu menjawabnya, kerana jawapan itu telah diberikan oleh gagasan Persuratan Baru.

Sekali lagi saya ingin mengucap tahniah kepada Puan Sharatha kerana beliau kini muncul sebagai salah seorang yang berupaya membicarakan gagasan Persuratan Baru secara akademik, dengan itu membantu para sasterawan dan sarjana memahami apa maksudnya “bentuk atau isi” dalam konteks “indah dan bermakna” sebuah karya persuratan.   Tesis sarjana anda (2007) kini menjadi rujukan yang penting.  Anda juga telah menyediakan peluang yang luas terbuka dan patut digunakan oleh orang yang masih sangsi bahawa gagasan Persuratan Baru akan menjadi asas perkembangan gemilang persuratan Melayu moden Abad 21 dan seterusnya yang berteraskan ilmu yang benar.  Cabaran bukan lagi terhadap gagasan Persuratan Baru, tetapi tertumpu pada orang yang sangsi itu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 5/11/2011.

3 comments:

  1. Lamunan Cari Makan ...

    Untuk mencari sedikit hiburan intelektual di alam siber, saya berhanyut menyusur beberapa blog, tersangkut di blog Rebecca Ilham. Tertarik betul dengan kutipan dari Edmund Wilson dalam blog itu. Kata hati saya, Inilah yang aku buat selama ini, yang membuat ramai sasterawan dan sarjana jadi sasau kerana marahkan aku entah apa-apa! Saya lihat ada program tentang PPMN III (kalau nak tahu baca blog itu) 16-18 Disember di KL. Untuk orang muda saja, bukan untuk saya yang sudah berusia (bukan tua betul lagi!). Tema: Pengukuhan Makna Diri Pengarang Muda. Bagus sekali, kata hati saya. Malah hebat! Apa juga kesedaran yang akan membuat penulis jadi cerdik dan bijaksana saya sokong penuh. To amuse myself, saya merungut: Agak-agak ada tak dua tiga orang yang pernah dengar gagasan PB? Serta-merta saya ditempelak oleh akal sihat saya: Itu kan tidak penting. Yang penting kau terus memperkenalkan gagasanmu. Bukan urusanmu untuk tahu berapa orang yang tahu atau terima atau tidak. Nabi kita pun ditempelak oleh Allah Ta’ala bila baginda sangat sedih orang yang dikasihinya tidak mahu ikut baginda. Siapa kamu yang bertanya soalan bodoh tadi? Saya minta maaf kepada semua yang tersinggung dengan soalan tadi. Kembali kepada PPMN III: dari program, senarai tajuk perbincangan cukup bagus. Saya harap dapat diterbitkan nanti, tak perlu tuggu lama. Terutama sekali saya ingin baca ucaputama oleh Prof. Salleh Yaapar. Mesti ada yang penting dan memikat dalam ucapan itu, yang akan mendorong perbincangan hebat di kalangan penulis muda nanti. Kini Islam diperdagangkan dengan nekad dan berani, menggunakan Teknik Surah Yusuf, dan telah berjaya melahirkan novel-novel popular best seller ditulis oleh para ustaz muda lulusan agama Timur Tengah. Adakah ini satu gerakan baru? Apa bezanya dengan gerakan Asas 50? Sejauh mana mereka yang ustaz ini berbeza daripada anggota Asas 50? Soalan ini timbul apabila dalam berita saya baca syarikat yang mempromosikan Teknik Surah Yusuf akan menerbitkan secara besar-besaran karya SN Samad Said, termasuk Salina dan Langit Petang. Adakah karya ini, mencapai status Teknik Surah Yusuf? Amat diperlukan penjelasan kerana kedua-dua karya itu saya tidak fikir ... (Sebenarnya pada waktu ini kita tidak perlu berfikir, hanya cari wang dan buku kita laku dan jadi best seller. Oleh itu saya putuskan di sini saja apa yang saya “fikir”). Adakah ini merupakan cabaran yang perlu dipikul oleh penulis muda? Sekiranya Teknik Surah Yusuf boleh melahirkan novel bermutu dan indah pula, saya anjurkan para penulis muda ini menulis dalam gaya Teknik Surah Yusuf. Apa salahnya? Buku anda digerenti jadi best seller, dan anda bisa dapat wang banyak. Saya teringat dialog saya dengan Sapardi Djoko Damono di Singapura 1994 ketika kami jadi tamu S’pore International Writers’ Week. Kata beliau: “Di Indonesia, jika anda novelis, bisa jual 100,000 novel, anda hidup senang”. Tidakkah itu penulis Ayat-ayat Cinta sudah kaya? Bila lagi penulis Malaysia mahu jadi kaya? Teknik Surah Yusuf boleh bantu.

    ReplyDelete
  2. tak sudah sudah lagi

    ReplyDelete
  3. Aik, masih baca blog ini? Terima kasih. Saja nak tunjuk perangai molek ...

    ReplyDelete