Tuesday, November 29, 2011

Membina Institusi Sastera Melalui Pembinaan Mitos

Penulis blog Lutfi Ishak dalam entri bertajuk, “Pengalaman Berpersatuan” (bertarikh 26/11/2011), mengemukakan satu pandangan yang bagi saya cukup menarik untuk dibahaskan. Kata beliau:  Realiti di negara kita, kita tahu, bahawa penulis secara individu sukar untuk menjadi satu institusi. Tidak seperti di negara-negara maju, yang mana, seorang penulis menjadi satu institusi.” Tidak adakah di Malaysia tokoh yang telah diinstitusikan? Misalnya di kalangan para sasterawan negara. Saya diberitahu, VC USM pernah berkata bahawa SN Negara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sudah menjadi institusi dalam tamadun Melayu, terutama dalam bidang sastera Melayu.  Saya diberitahu, anggota akademik dan pelajar USM telah menerima kenyataan VC mereka tanpa bantahan, dengan itu sekurang-kurangnya bagi USM, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sudah mencapai tahap institusi itu.  Soal sama ada pandangan VC USM ini betul atau salah boleh kita pertikaikan, oleh itu bukan satu persoalan besar. Yang pentingnya ialah seorang tokoh telah diajukan sebagai layak menduduki tempat tertinggi sebagai satu institusi. Di Indonesia tokoh yang mencapai taraf itu sudah ramai,  misalnya untuk dunia sastera Amir Hamzah, Sutan Takdir Ali Shahbana, Hamka, H.B. Jassin dalam kritikan dan lain-lain (boleh tambah sendiri) sudah boleh diterima sebagai satu institusi tersendiri. Dalam bidang agama pula, Haji Agus Salim adalah satu institusi, seperti juga Hamka, Hassan Bandung, dan ramai lagi. Dalam politik tak perlu disenaraikan di sini, sudah diketahui. Di Malaysia, dalam bidang politik, Dr. Burhanuddin Helmi dan Ishak Hj. Muhammad adalah dua orang tokoh yang sudah mencapai taraf institusi itu. Dalam bidang bahasa dan bidang intelektual secara umum, siapa dapat menafikan Za’ba itu adalah satu institusi dan akan kekal di situ selagi ada bulan dan matahari! Bagaimana dalam bidang ekonomi? Anda semua tentu tahu Prof. Diraja Ungku Aziz. Tidak layakkah beliau menduduki tempat yang kita berikan kepada Pendeta Za’ba?  Saya sengaja menyebut agama sebagai bidang terakhir, sebab di sinilah kita mempunyai tokoh-tokoh ulama besar yang mencapai taraf institusi yang kita maksudkan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat menafikan kedudukan Tok Kenali sebagai satu insitusi yang menjadi kebanggaan kita. Siapa lagi di antara para ulama yang setaraf dengan beliau? Biarlah anda senaraikan sendiri.

Jika anda ingin berbicara tentang sastera Indonesia, tidak lengkap dan amat cacat jika nama-nama yang disebut tadi tidak disebut dan dibicarakan. Mereka tidak boleh ditinggalkan.  Di Malaysia bagaimana? Katalah kita meninggalkan nama Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam pembicaraan kita tentang sastera moden, besar mana cacatnya tulisan itu jika nama beliau tidak disebut? Ini telah dilakukan sendiri oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam syarahan perdananya. Beliau menyebut dan berbicara tentang  syair, tetapi beliau meninggalkan nama dan sumbangan Prof. Syed Muhammad Naguib al-Attas yang telah diterima umum bahawa bentuk syair itu bermula dari syair-syair Hamzah Fansuri (lihat bukunya, The Origin of the Malay Syair, DBP). Adakah perbuatan ini membuat syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sangat cacat, yakni amat besar cacatnya?  Bagaimana pun,  Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sedar Pendeta Za’ba tidak boleh ditinggalkan, oleh itu beliau mengutip pendapat Za’ba tentang “persuratan Melayu”; malah dalam hal ini, beliau lebih berani lagi dengan meletakkan penglipur lara dari Perlis, Mahmud Wahid sebagai gurunya yang beliau sanggup duduk bersimpuh untuk mendapatkan “ilmu” tentang sastera lisan yang baginya sangat penting itu.  Dalam tahun 1973, sebagai sebahagian dari tugas saya di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika itu, saya menemui Pak Mahmud Wahid di rumahnya. Saya bertanya beliau, apakah pandangan masyarakat terhadap kegiatannya. Terus terang dia menjawab, masyarakat tidak suka penglipur lara, malah menganggap kegiatan itu satu maksiat. Pak Mahmud mula terkenal selepas Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971, malah beliau dijemput oleh Prof. Taib Osman untuk membawa batilnya dan bercerita di Kongres itu di Universiti Malaya. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang ketika itu sedang mencari tokoh dan guru, mendapati Pak Mahmud seorang yang serasi dengan mimpinya tentang sastera lisan dan tentang estetika Melayu yang asli menurut anggapannya. Ketika itu dia baru berkenalan dengan tamadun Melayu. Maka dia pun “berguru” dengan penglipur lara itu. Tetapi  dalam pandangan beliau, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tidak layak disetarafkan dengan penglipur lara Mahmud Wahid! Kerana itu beliau tidak merujuk pandangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang syair, mungkin juga beliau tidak pernah membaca karya Prof. Naquib atau jika membacanya tidak menarik hatinya seperti beliau tertarik kepada keunggulan Pak Mahmud Wahid Sang Penglipur Lara itu.

Mari kita lihat celoteh beliau dalam syarahan perdananya tentang perkara ini:  “Seperti Mahmud Wahid, penglipur lara yang bersila di hadapan khalayak penuh dengan tertib tradisi, saya berdiri dalam konteks sebuah universiti, di hadapan suatu khalayak ilmiah yang dihormati, tetapi masih digemakan tradisi Mahmud, yang tercipta oleh waktu, persekitaran dan pengalaman kesenian bangsanya.” (Permulaan syarahan perdana, Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan, UKM 1989. Perhatikan penggunaan istilah ‘tradisi Mahmud’). Kemudian diikuti sederet nama penglipur lara, dalang dan bomoh; seterusnya diikuti sederet nama para sarjana luar dan dalam negeri yang diakuinya sebagai guru beliau.  Selepas itu, mulai halaman 10, bermulalah retorik peragaan hingga ke halaman 34, untuk disudahi dengan sedikit pembicaraan yang terlalu ringkas tentang estetika sastera Melayu, berupa satu senarai yang tidak dibahaskan. Dilihat sebagai penglipur lara akademik sekali pun, syarahan perdana ini membosankan dan gagal berbicara tentang “puitika sastera Melayu”, apatah lagi menemui “sebuah teori dalam bidangnya”.  (Komentar lebih terperinci dalam buku saya, Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, 1994; pertama kali terbit dalam Dewan Sastera, Mac-Julai 1991. Lihat juga posting bertarikh 9 November 2011, “Beban Intelektual, Beban Akademik, dan Beban Moral Dalam Kesusasteraan Melayu Moden”).  Dinilai dengan ukuran akademik yang paling rendah sekali pun, syarahan perdana ini mengecewakan, gagal menemui “sebuah teori” yang cuba diteroka oleh pensyarah ini.  Bolehkah kita membuat kesimpulan ini terhadap seorang tokoh yang telah diinstitusikan oleh VC USM?  Jawapannya diberikan oleh seorang pensyarah dari USM sendiri, Prof. Madya Dr. Siti Hajar binti Che Man yang telah menamakan tokoh ini sebagai “Raja Penyair Malaysia”.  Betulkah pensajak (hanya penulis sajak, bukan penyair) ini layak digelar seperti itu? Dalam usaha untuk menjadikan seseorang tokoh yang dikagumi secara peribadi, orang boleh berkata apa saja, dalam istilah rakyat dipanggil mengarut,  walaupun (menggunakan peribahasa Melayu) “jauh panggang dari api”. 

Inilah sifat budaya pandirisme yang telah diinstitusikan dalam kesusasteraan Melayu moden. Perlukah sarjana jujur dalam tulisannya? Dalam budaya pandirisme, kejujuran intelektual tidak diperlukan.  Walaupun sikap jujur dalam tulisan disebut setiap masa dalam tulisan sarjana dan ahli akademik di Malaysia, tetapi tidak disebut “kejujuran” terhadap subjek mereka. Misalnya, apabila seorang sarjana menulis tentang sesuatu perkara, bagaimanakah kita boleh tahu dia berlaku jujur terhadap subjeknya? Adakah dia bertujuan ingin mempertahankan seseorang yang dikaguminya atau disokongnya, dengan itu cuba sedaya upaya untuk melindungi kelemahan tokoh itu dengan menulis secara tidak jujur kerana terlalu memuji tokoh itu padahal tokoh itu diketahui tidaklah sehebat pujian yang ditampal ke atas dirinya. Sebaliknya, seseorang yang tidak disukai akan dikenakan berbagai-bagai tuduhan, tanpa membincangkan idea atau pemikiran orang yang dituduh itu. Dalam budaya pandirisme yang telah menjadi institusi dalam kegiatan intelektual di Malaysia, aspek “kejujuran” ini sering ditimbulkan apabila seseorang tidak dapat menangkis sesuatu hujah yang ditujukan ke arahnya ketika orang yang dituduh itu mempersoalkan kejituan pendapatnya. Dalam keadaan begini, apakah yang ingin kita pertahankan: mitos yang mahu dibina terhadap seseorang tokoh, atau kebenaran yang cuba dilindungi (dilindungi bermaksud disembunyikan)?  Soalan ini penting dalam membina institusi, kerana kita tidak dapat menolak kedua-duanya; atau menerima kedua-duanya. Kita harus membuat pilihan. Tetapi dalam budaya pandirisme yang menjadi arus pedana waktu ini, persoalannya lain sama sekali: bukan soal mitos, tidak juga soal kebenaran.  Soalnya ialah sejauh mana pembinaan mitos itu boleh dipertahankan secara logik supaya kebenaran yang dilindungi itu tidak menjadi halangan dalam pembinaan mitos itu. Inilah kejayaan Panel Anugerah Sastera Negara: Mereka berjaya membina mitos di sekitar sasterawan negara yang mereka pilih dan tulis laporan tentangnya; dan pada waktu yang sama mereka juga berjaya menyerlahkan “kebenaran” dalam konteks yang mereka bina.  Dengan itu setiap sasterawan negara yang mereka pilih adalah layak dan wajar untuk diinstitusikan dalam kesusasteraan Melayu moden. Inilah yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ketika mengadakan seminar mengenai pemikiran para sasterawan negara. Oleh itu apa yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man terhadap Prof.  Dr.  Muhammad Hj. Salleh adalah wajar dalam konteks budaya pandirisme yang menjadi budaya arus perdana waktu ini. Hanya jika perkara ini dilihat dari perspektif gagasan Persuratan Baru saja kita akan mendapat kesimpulan yang berbeza sama sekali.  Tetapi adakah jawapan yang diberikan oleh gagasan Persuratan Baru itu wajar diterima?  Inilah cabaran yang mesti dihadapi secara ilmiah, secara akademik, dalam suatu dialog besar yang tidak semestinya layak dicampuri (baca: disertai) oleh semua orang.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 27/11/2011.

3 comments:

  1. As-salam Tn Hj Affandi, sekadar inginkan pandangan, apakah penilaian Tn Hj mengenai Hadiah Sastera Kumpulan Utusan?

    ReplyDelete
  2. Saudara,

    Bagusnya sdr. perkenalkan diri. Tapi kerana soalan itu nampaknya jujur, saya layan jugalah. Saya kira penulis muda telah menyerlahkan kemampuan mereka dan diberi penghargaan oleh Utusan. Saya lihat Utusan tidak anti gagasan PB (mungkin saya salah) kerana menerima karya yang terdapat unsur ilmu. Kesedaran itu bagus, kerana pada akhirnya kita harus kembali kepada persuratan dan ini bermakna kita utamakan ilmu. Tidakkah itu bagus? Kita bangsa yang cerdik oleh itu tidak harus terus hanyut dalam khayalan sastera. Kalau Utusan komited kepada aspirasi ini, bila-bila pun Utusan dapat tewaskan DBP yang kini tak tentu arah. Saya harap kedua organisasi ini tidak sampai hati menghanyutkan orang Melayu dan bahasa Melayu.

    ReplyDelete