Kegagalan Panel Anugerah Sastera Negara menyediakan arah yang betul dalam kritikan dan penilaian sastera di Malaysia perlu diperbetulkan, oleh itu menjadi tanggungjawab setiap sarjana dan pengkritik sastera di Malaysia untuk membina kembali kerosakan yang telah dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam masa lebih dari 30 tahun ini. Dalam usaha untuk membaiki kerosakan ini, Dewan Bahasa dan Pustaka harus memainkan peranan yang lebih aktif dalam membina persuratan Melayu moden yang bertunjangkan nilai-nilai Islam, tanpa meninggalkan langsung penggunaan teori Barat dalam kritikan. Dalam hal ini, kita tidak perlukan perimbangan, seolah-olah kedudukan teori Barat itu disetarafkan dengan nilai-nilai Islam atau diletakkan lebih tinggi daripada nilai-nilai Islam. Kita harus membuat pilihan yang bijak, bukan saja untuk memajukan karya kreatif kita yang bersumberkan ilmu yang benar yang difahami dalam Islam, tetapi juga untuk memilih yang terbaik daripada teori dan pemikiran Barat dengan diberi rujukan dan pertimbangan akademik daripada perspektif Islam. Dengan itu kita boleh menerima apa saja pengalaman ilmiah manusia seluruh dunia, tidak hanya terbatas yang bersumber dari Barat saja, untuk memperkaya pengalaman kita dalam dunia persuratan Melayu moden. Kini yang terjadi adalah sebaliknya, apabila kita terlalu terikat kepada pengalaman intelektual dari Barat, dengan meninggalkan langsung tradisi keilmuan Islam yang amat kaya itu. Inilah yang telah dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang amat dikesali dan sungguh merugikan kita. Sikap berat sebelah ini tidak wajar diteruskan, apatah lagi diteruskan dengan segala kedegilan dan kebencian kepada perubahan untuk membaiki kedudukan ilmiah dalam seni mengarang di negara kita. Untuk kemabli ke tradisi Islam kita perlukan sekumpulan sarjana yang tidak saja mendalam penguasaannya dalam ilmu-ilmu Islam yang berkaitan dengan persuratan, tetapi juga luas pengalaman ilmiahnya dalam alam fikiran Barat dan lain-lain tradisi besar dunia seperti China, India dan lain-lain (termasuk Jepun, Eropah Timur, Korea dan sebagainya). Ini memerlukan pembelajaran khusus dalam bidang-bidang ini.
Dalam masa 10 tahun ini, kita harus menyediakan sarjana dalam kumpulan ini, yang asas ilmunya daripada warisan Islam, tetapi mempunyai kefahaman yang agak mendalam dalam tradisi Barat dan lain-lain. Dilihat dari perspektif ini, Panel Anugerah Sastera Negara adalah amat ketinggalan zaman, gagal menyediakan arah yang sepatutnya bagi masyarakat yang masih lagi (?) berpegang teguh kepada ajaran Islam. Mereka menolak unsur Islam dalam penilaian mereka kerana mereka berpendirian karya kreatif tidak harus terikat kepada unsur-unsur Islam oleh sebab karya sastera untuk semua manusia, bukan untuk orang Islam saja. Logik yang cetek, dangkal, dan salah ini (hampir-hampir saya mengatakan bodoh!) lupa bahawa selama lebih dari 30 tahun orang yang berkata tidak diperlukan nilai Islam itu menggunakan nilai-nilai teori Barat untuk menentukan mana karya yang berjaya, mana yang gagal. Tidakkah itu dengan jelas memperlihatkan bahawa mereka, yang diwakili oleh Panel Anugerah Sastera Negara, menggunakan nilai-nilai dalam teori sastera Barat untuk menjadi asas penilaian mereka. Mengapa dalam hal ini diadakan pengecualian? Pendirian songsang ini tidak boleh dipertahankan lagi, apalagi jika hasilnya tidaklah sebaik yang kita mahu. Jika kita membaca laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita akan berasa kecewa sekali diberikan laporan yang tidak dihujahkan dengan pembuktian yang boleh diterima secara objektif. Saya telah banyak kali membangkitkan perkara ini dalam blog ini terutamanya, oleh itu tidak perlu diulang di sini. Saya juga mengumpulkan tulisan mengenai kritikan saya terhadap Panel Anugerah Sastera Negara, yang saya harap ada tersimpan di universiti dan di Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri. Kita harus bahaskan perkara ini dengan mendalam, melihatnya dari semua sudut supaya kita tidak lagi hanyut dalam teori Barat yang selalu berubah, dan dalam banyak perkara hanyalah agakan atau andaian semata. Tidak ada yang konkrit dalam teori-teori itu. Maksud konkrit di sini ialah pandangan dan pendapat yang boleh dipakai sepanjang masa dengan selamat, tidak ketinggalan zaman kerana sifatnya yang sejagat dalam erti sesuai dengan kejadian manusia seperti yang difahamkan dalam Islam. Ciri-ciri ini tidak wujud dalam teori sastera Barat, oleh yang demikian semua teori itu berubah sepanjang masa, sentiasa dalam pencarian yang tidak pernah ditemui, kerana yang mencarinya tidak percaya adanya kepastian dan keyakinan yang tidak berubah. Inilah sifat jiwa yang ingkar dan pendirian yang bertentangan dengan sifat semula jadi manusia yang memang sentiasa mencari kepastian dan keyakinan, yang hanya didapati melalui ajaran agama dan kepercayaan wujudnya Allah Yang Maha Esa yang menentukan segala kejadian. Adakah Panel Anugerah Sastera Negara termasuk dalam golongan ini? Mereka perlu memberi penjelasan supaya kita semua mengerti mengapa mereka menolak nilai-nilai Islam dalam penilaian mereka. Persoalan ini amat penting kerana dalam penilaian mereka, ditekankan peri pentignnya aspek realisme dalam karya sastera dijadikan ukuran yang menentukan bermutu tidaknya karya berkenaan. Panel Anugerah Sastera Negara tidak memberitahu kita bahawa apa yang disebut sebagai realisme itu hanyalah andaian tentang peranan khayalan dan imaginasi dalam penulisan kreatif, bukan realisme dalam kenyataan kehidupan yang sebenar dilalui manusia. Misalya, apa yang disebut sebagai realisme kemiskinan dalam Ranjau Sepanjang Jalan adalah realisme khayali menurut tafsiran penulisnya, bukan realisme yang dialami para petani yang pada hakikatnya tidak sebodoh para petani dalam novel itu. Tetapi ada lagi aspek realisme yang diketepikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, iaitu mengenai sistem nilai dalam masyarakat Melayu yang melahirkan para penulis yang kononnya membicarakan kehidupan mereka secara realistik dalam karya-karya mereka. Panel Anugerah Sastera Negara tidak menerima realisme tamadun dan sistem nilai masyarakat Melayu ini yang masih kuat berpegang kepada nilai-nilai Islam, oleh itu mereka tidak mengambil-kira aspek ini dalam penilaian mereka. Dari segi ini, mereka tidak realistik sama sekali, kerana dengan sikap tidak bertanggungjawab telah menolak realiti tamadun Melayu yang berteraskan nilai-nilai Islam. Panel Anugerah Sastera Negara terbelenggu begitu kuat oleh fahaman realisme semu yang diketengahkan dalam pemikiran Barat, oleh itu dengan secara langsung membela kebodohan dan pandirisme dalam penulisan kreatif di Malaysia yang dilakukan oleh para sasterawan negara. Aspek ini menjadi persoalan penting dalam analisis berteraskan gagasan Persuratan Baru, yang tidak diiktiraf oleh Panel Anugerah Sasrtera Negara kerana bertentangan dengan nilai-nilai sekular yang mereka pegang, yang bersumber dari teori-teori sastera Barat. Demikianlah betapa tidak realistiknya pendirian Panel Anugerah Sastera Negara ini, oleh itu mereka mesti berubah atau diubah. Tuntutan akademik dan tuntutan intelektual serta tuntutan moral memerlukan mereka berubah atau diubah. Hujah paling kuat untuk membenarkan kesimpulan ini ialah sikap tidak realistik mereka sendiri yang menafikan niliai-nilai Islam dalam analisis dan penilaian mereka.
Agenda utama Panel Anugerah Sastera Negara sekarang ialah kembali ke pangkal jalan, kembali kepada asal kejadian anda dan mula bergerak dari kefahaman hakikat insan yang menjadi acuan kejadian dan kehidupan anda sebagai ahli akademik. Anda dituntut menjadi cerdik dan objektif dengan kembali kepada hakikat insan, dan dari situ cuba memahami hakikat ilmu supaya anda tidak lagi tersasar jauh dalam tindakan anda, sehingga mempersiakan kehidupan anda sendiri dan memberi keputusan yang salah kepada masyarakat, padahal pilihan terbaik dan objektif itu sentiasa terbuka sekiranya anda faham hakikat keinsanan anda sendiri. Kembali ke pangkal jalan, itulah sepatutnya keputusan anda yang paling utama. Itulah seharusnya yang menjadi slogan dan matlamat akademik anda. Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri harus membantu Panel Anugerah Sastera Negara kembali ke pangkal jalan dengan membetulkan tindakan DBP sendiri. Sudah jelas bahawa kewujudan Anugerah Sastera Negara menjadi pencetus utama munculnya tiga beban besar dalam kesusasteraan Melayu moden: beban intelektual, beban akademik, dan beban moral (lihat posting bertarikh 9 November 2011). Sesiapa juga yang menyangkal kesimpulan ini, dan tidak mahu menerima hakikat bahawa kita menghadapi tiga beban besar ini, harus mengemukakan hujahnya dan pembuktian yang tidak boleh diragui dalam analisisnya untuk menolak persoalan tentang tiga beban besar ini. Dia harus membuktikan bahawa kemunculan Anugerah Sastera Negara telah meningkatkan kemajuan berfikir masyarakat yang menerima karya para sasterawan negara, dan bahawa Panel Anugerah Sastera Negara telah membuat keputusan yang betul dengan menolak kehadiran unsur-unsur Islam dalam persuratan Melayu, oleh itu mereka telah membuat keputusan yang tepat dengan mengetepikan unsur-unsur Islam itu dalam penilaian mereka dan dalam membuat keputusan ketika memilih para sasterawan negara. Jika Panel Anugerah Sastera Negara tidak melakukan kesalahan besar ini, sehingga melahirkan tiga beban besar dalam kesusasteraan Melayu moden, maka kita perlu diberi analisis berasaskan penelitian objektif laporan Panel Anugerah Sastera Negara bahawa Panel itu sepanjang kewujudannya selama lebih dari 30 tahun ini memang menggalakkan tumbuhnya kesedaran kepada tuntutan ilmu dalam penulisan kreatif dan memberi perhatian kepada pembentukan nilai-nilai penulisan berteraskan taklif. Jika semua ini tidak terdapat, maka apakah yang digalakkan dan ditonjolkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara? Kita perlu tahu semua ini, kerana kita telah diberitahu bahawa kemunculan Panel Anugerah Sastera Negara telah memajukan pemikiran bangsa kita dan telah menjulang kemunculan karya besar dalam kesusasteraan Melayu moden. Apakah ukuran yang digunakan dalam menentukan kemunculan karya besar itu? Kita perlu tahu semua ini kerana kita telah diberitahu bahawa kemunculan Panel Anugerah Sastera Negara telah memulai tahap baru yang amat penting dalam pembinaan tamadun dan kebudayaan Melayu berasaskan bahasa Melayu. Untuk membetulkan semua kesilapan besar Abad 20 dan disambung dalam Abad 21 ini, Dewan Bahasa dan Pustaka harus bertanggungjawab sepenuhnya memberi hujah yang mewajarkan semua kesilapan ini perlu diteruskan untuk mencapai tahap tertinggi dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden.
Andainya Dewan Bahasa dan Pustaka tidak dapat memberikan jawapan yang meyakinkan, maka semua kesilapan ini harus dihentikan dan kewujudan institusi Anugerah Sastera Negara dihapuskan serta merta, diganti dengan hadiah dan anugerah yang berteraskan nilai-nilai sejagat berasaskan Islam untuk meneruskan pembinaan tamadun bangsa kita yang memang dibangunkan di atas nilai-nilai Islam menggunakan bahasa Melayu. Semua ini boleh dilakukan kerana caranya telah dibahaskan dalam satu seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri dalam tahun 2006, iaitu “Seminar: Impak Anugerah dan Hadiah Sastera Ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaaan”, 25 Mei 2006.
Mohd. Affandi Hassan, 11/11/2011.
Jawapan kepada komen melalui telefon dan e-mail.
ReplyDeletePanel Anugerah Sastera Negara sudah berusia lebih dari 30 tahun. Kajian semula diperlukan untuk melihat keberkesanannya dan sejauh mana telah mencapai matlamat. Patutkah Panel dibiarkan terus menggunakan ukuran Barat dalam penilaian mereka? Apakah keistimewaan teori dan nilai-nilai Barat itu? Adakah ini yang kita mahukan, atau kita sudah ada alternatif yang lebih baik? Mengenai Hadiah Persuratan Petronas: Cadangan ini wajar dikaji serius. Jika kita betul-betul ingin mendaulatkan bahasa Melayu, inilah yang perlu kita lakukan. Kita harus beri pengiktirafan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ilmu, bukan bidang kreatif yang sempit seperti sekarang. Kerajaan cakap besar tentang perlunya perubahan untuk kebaikan; mengapa pula orang sastera membisu? Kewarasan bererti keberanian membuat perubahan untuk kebaikan.
assalamualaikum..Tuan
ReplyDeleteSaya pelajar bahasa Melayu yang mangambil subjek minor Teori dan Kesusasteraan Melayu.Saya telah membaca sedikit mengenai gagasan persuratan baru dan masih banyak yang ingin saya tahu. Sekiranya Tuan boleh meluangkan masa, saya ingin menemubual Tuan melalui telefon.Terlebih dahulu, maafkan saya sekiranya permintaan saya menggenggu Tuan.