Sunday, November 20, 2011

CATATAN HUJUNG


Wujudkan Hadiah Persuratan Petronas Untuk Memartabatkan Bahasa Melayu dan Ilmu

Satu kesilapan besar telah berlaku apabila para sasterawan diberi keistimewaan dengan menubuhkan Sekretariat Anugerah Sastera oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mencari dan menabalkan seorang sasterawan negara. Penubuhan Panel Anugerah Sastera Negara untuk melantik sasterawan negara tidak membawa faedah dari segi ilmu kerana sifat sastera itu sendiri, seperti yang dipraktikkan di Malaysia, tidak mengarah untuk membina budaya ilmu. Kesusasteraan yang dipraktikkan di Malaysia oleh para sasterawan pada umumnya berkisar di sekitar apa yang mereka sebut sebagai “kegiatan kreatif” dengan mencipta novel, sajak, drama, dan cerita pendek yang kebanyakannya untuk memenuhi keperluan hiburan dengan sedikit renjisan (hanya renjisan) pengajaran yang tidak pula jelas dan terputus-putus, tidak berupa satu wacana lengkap berteraskan ilmu yang benar.  Makna dan maksud kreatif itu disempitkan begitu rupa untuk hanya dibataskan kepada  bidang-bidang itu saja sebagai bidang kreatif. Tidak ada “pemikiran kreatif” bagi golongan ini, oleh itu mereka tidak menerima adanya kreativiti dalam penyelidikan dan penulisan bersifat akademik yang membicarakan tentang sesuatu bidang ilmu, baik ilmu bersifat sains mahupun yang bersifat kemasyarakatan.  Pada hal  kreativiti jenis ini jauh lebih tinggi darjatnya daripada apa yang disebut sebagai “penulisan kreatif” yang diberi keistimewaan itu. Dari segi itu, tidakkah analisis dan penilaian karya, seperti yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, memerlukan kreativiti dalam menggunakan konsep dan cara berhujah?  Kita tidak bertemu kreativiti jenis ini dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Laporan mereka hanya sekadar pemerian kembali karya sasterawan yang mereka nilai, bukan memperlihatkan analisis dan penghujahan yang tajam dalam meneroka “pemikiran” yang terdapat dalam karya berkenaan, jika ada. Tentulah aneh dan menghairankan jika karya seseorang sasterawwan yang dianggap layak diberi gelaran sasterawan negara itu dinilai secara terpisah, satu persatu, tidak secara analitis dan kritis dengan mencuba melihat apakah sumbangan pemikiran dalam keseluruhan karya sang sasterawan.  Contoh terbaik ialah cara mereka membicarakan karya A. Samad Said dan Muhammad Haji Salleh. Mereka tidak berjaya menyerlahkan “kejantanan kreatif” dua orang sasterawan ini, malah berbicara meleret-leret tentang “keistimewaan” yang tidak ada, misalnya dengan mengatakan A. Samad Said itu berjaya menjadi peniru teknik Barat dalam menulis karyanya; manakala Prof. Dr.  Muhammad Hj. Salleh pula adalah seorang “penyair intelektual” tanpa memberikan sebarang bukti dan hujah. Apakah yang “intelektual” dalam karya pensajak ini jika sajak “terbaiknya” mengajak orang Melayu menjadi kurang ajar? Untuk memahami jalur hujah seperti ini, anda perlu membaca karya Amir Hamzah, Iqbal, Rumi dan lain-lain penyair sebenar untuk memahami kesimpulan ini. 

Inilah konteks penghujahan yang saya pakai untuk menolak anugerah sastera negara yang saya kemukakan dalam tulisan saya yang sebahagian daripadanya dilampirkan dalam buku ini. Saya mencadangkan jenis anugerah yang lebih bermakna dan lebih bercorak keilmuan dengan mengemukakan idea Hadiah Persuratan Petronas (sila lihat cadangan dalam lampiran) untuk mengiktiraf perkembangan ilmu melalui bahasa Melayu yang diusahakan oleh para ahli akademik dan pemikir kita yang kini sudah ramai mencapai tahap ilmiah yang tinggi, baik dari segi ilmu mahupun dari segi kreativiti mereka menyampaikan ilmu-ilmu dalam bidang mereka masing-masing. Tidakkah mereka ini pernah menarik perhatian Dewan Bahasa dan Pustaka dengan menyediakan senarai karya dan tokoh-tokoh yang dimaksudkan? Adalah mustahil jika kita tidak mempunyai tokoh-tokoh ilmuan yang boleh dibanggakan, padahal kita mempunyai beribu orang sasterawan yang menunggu untuk dinobatkan sebagai “sasterawan negara”.  Tidakkah ini merupakan sejenis lawak-jenaka murahan, melonggokkan para sasterawan tetapi meninggalkan ahli-ahli ilmu yang telah menaikkan darjat bahasa Melayu.  Kita masih boleh menerima yang terbaik di antara sasterawan ini, dengan memberikan mereka Hadiah Persuratan Petronas, sekiranya mereka layak, bersama-sama tokoh akademik dan para pemikir kita yang menulis dalam bahasa Melayu.  Inilah corak anugerah atau hadiah yang perlu kita anjurkan dan berikan kepada yang berhak, dengan mengutamakan ilmu dan bukannya memberi perhatian berlebihan kepada para sasterawan yang belum tentu kreatif jika dianalisis dengan menggunakan kaedah yang mengutamakan pemikiran  dan ilmu. 

Cadangan ini telah dikemukakan sejak Mei 2006, secara rasmi dalam satu seminar tentang hadiah dan anugerah sastera yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.  Belum ada reaksi dari mana-mana pihak, seperti  daripada para sasterawan  (yang tentu saja menentangnya kerana mereka anggap merugikan mereka), badan-badan penulis (yang secara tradisi tidak berminat kepada idea atau apa-apa juga perubahan yang mereka anggap akan merosakkan status quo yang ada), malah daripada DBP sendiri  (yang secara tabii lebih tidak inginkan perubahan, seperti juga badan-badan penulis yang disokong olehnya). Jadi adakah terdapat sebarang kemungkinan cadangan ini akan dilaksanakan?  Dalam waktu terdekat, nampaknya tidak ada. Oleh itu saya beri peluang kepada pihak terbabit 30-40 tahun untuk memikirkannya, atau jika diperlukan 100 tahun untuk memikirkannya dan memahaminya,  maka masa satu abad itu rasanya sudah mencukupi untuk mematangkan pemikiran orang Melayu. Ketika itu saya yakin anugerah sastera negara sudah tiada lagi, kerana agak saya, ketika itu akan lebih ramai cerdik-pandai kita sedar kesilapan generasi lalu memberi keistimewaan kepada para sasterawan yang tidak layak menerima keistimewaan itu.  Kalau tidak layak, mengapa mereka diberi gelaran sasterawan negara? Dari segi apa mereka tidak layak?  Dua soalan ini penting dan perlu dilayan dengan saksama; anda akan dapat jawapannya yang saksama dengan memahami terlebih dahulu persoalan di sekitar tiga beban besar dalam sastera Melayu moden. Jika anda tidak memahaminya, selama itulah anda tidak akan mendapat jawapan yang memuaskan, dan jawapan yang memuaskan itu anda harus cari dan berikan sendiri, kerana tidak ada orang lain yang akan dapat memuaskan kemusykilan anda. Pendeknya, anda harus menjadi seorang yang berfikir secara kritis.

Demikian juga, jika anda tidak menerima adanya tiga beban besar itu dan tidak pula memahaminya (seharusnya anda perlu memahaminya terlebih dahulu sebelum menerima atau menolaknya), maka anda tidak akan mengerti mengapa perubahan besar perlu dilakukan, iaitu dengan mewujudkan Hadiah Persuratan Petronas.  Inilah cara terbaik untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan menghargai para penyelidik, ahli akdemik dan para penulis yang mencurahkan kemampuan kognitif dan kreatifnya untuk memberi sumbangan yang bererti dalam perkembangan ilmu melalui penulisan dalam bahasa Melayu. Anda harus dapat melihat logik mengapa memartabatkan bahasa Melayu dan ilmu itu lebih utama daripada memberi gelaran dan kedudukan istimewa kepada seorang sasterawan yang tidak memberikan sumbangan yang asli dari segi pemikiran dan kemajuan teknik penulisan tanpa meniru dari sesiapa, sama ada dari Barat mahu pun dari mana saja. Dari segi ini, para sasterawan negara tidak terserlah sebagai pemikir dan tidak pula sebagai peneroka teknik baru tanpa meniru daripada teknik yang sudah dipopularkan oleh orang lain. Kedua-dua kelemahan ini diakui oleh Panel Anugerah Sastera Negara, jika anda membaca laporan mereka dengan kritis.  Oleh itu, dari segi apa dan dari perspektif yang bagaimana pula mereka itu istimewa dan layak diberi keistimewaan?  Jika anda seorang yang berfikir dan luas pula pengalaman intelektual, anda tidak dapat menerima keistimewaan yang dimitoskan dengan memberi hujah-hujah palsu walaupun hujah-hujah itu istimewa dari segi kepalsuannya. Sekali lagi, anda hanya dapat memahami kesimpulan ini jika anda memahami kedudukan sebenar tiga beban besar dalam sastera Melayu itu di kalangan para sasterawan negara dan juga dikalangan ahli Panel Anugerah Sastera Negara.  Jika anda tidak memahaminya, anda akan terus tertipu dan percaya anda tidak tertipu, seperti yang dialami Ratu Balqis yang percaya lantai berkilat itu sebuah kolam, lalu menyingkap kainnya dan mendedahkan keaibannya. Sudah berapa lama anda berada dalam keaiban intelektual? 

Mohd. Affandi Hassan,
19/11/2011.



1 comment:

  1. Salam,
    Adakah budaya pemikiran kritis bukan sifat yang diberi tempat sewajarnya dalam masyarakat Melayu?.
    Ini hanya sekadar andaian saya semata.
    Wallahu'alam.

    ReplyDelete