Wednesday, December 14, 2011

Realisme Sebagai Puaka Intelektual dan Puaka Akademik Dalam Perkembangan Sastera Melayu Moden


            Dalam posting bertarikh 9 November, 2011 saya menulis tentang tiga beban besar dalam sastera Melayu moden. Tiga beban itu ialah beban intelektual, beban akademik, dan beban moral.  Kali ini saya mahu bincang tentang beban intelektual, yang sebenarnya telah saya bincang dalam beberapa buah tulisan saya, atau dalam ceramah dan kertas kerja. Beban intelektual ini adalah beban yang paling berat, tetapi diabaikan; malah pada hakikatnya dipertahankan dengan gigih, sesuatu yang amat ironis. Beban ini sudah mencapai tahap puaka dalam sastera Melayu moden, telah ditakdiskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, dan dipertahankan  dengan bengis oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera.  Puaka intelektual yang saya maksudkan ialah faham realisme dalam sastera Melayu moden, ditakdiskan (bahasa Inggeris sanctify) sebagai satu-satunya warisan sastera Melayu moden yang tidak boleh dipersoalkan, tidak boleh diungkit, tidak boleh dikritik, dan tidak boleh ditolak kerana semua penghormatan yang diberikan kepada para sasterawan, terutama sekali sasterawan negara, berpunca dari penglibatan mereka dalam “memajukan” (?) faham realisme itu dalam karya mereka.  Dalam analisis saya, para sasterawan, sarjana, pengkritik dan institusi penting seperti Anugerah Sastera Negara dan Panel penilainya berusaha bersungguh-sungguh untuk membina dan membangunkan “puaka intelektual dan puaka akademik” dalam sastera Melayu moden dengan mengambil faham realisme Barat sebagai asas.

            Supaya persoalan ini lebih mudah difahami, kita lihat dulu apa makna dan maksud sanctify dalam bahasa Inggeris.  Inilah penjelasan Collins Cobuild English Dictionary:  “(2) If an organization such as the Church sanctifies an activity, they approve of it, support it, and want it to remain exactly as it is.” Definisi ini tepat sekali mencirikan kedudukan realisme dalam sastera Melayu moden. Dewan Bahasa dan Pustaka, melalui institusi yang mereka wujudkan, yang diberi nama Panel Anugerah Sastera Negara, menggunakan laporan Panel untuk mengangkat (yakni mentakdiskan) realisme sebagai faham sastera yang secara rasmi menjadi ikutan dan dukungan para sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera.  Sasterawan diberi pengiktirafan tertinggi negara dalam kesusasteraan dengan gelaran “sasterawan negara” kerana menjadikan realisme Barat sebagai tunjang kreatif mereka dalam melahirkan karya kreatif seperti novel, cerita pendek, sajak dan malah kritikan sastera sendiri. Semua penilaian Panel Anugerah Sastera Negara diasaskan kepada sejauh mana realisme itu menjadi tunjang penulisan kreatif para sasterawan yang akan dilantik menjadi “sasterawan negara”.  Prof Ungku Maimunah Mohd. Tahir telah menganalisis dan menilai dengan objektif peranan Panel Anugerah Sastera Negara dalam bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009), berupa Kuliah MASTERA beliau (2008).  (Seterusnyaa akan dirujuk sebagai Dinamika). Terbaru ialah makalah beliau untuk Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu XI (SAKM XI), anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka, di UKM, Bangi, pada 7-8 Disember, 2011. Makalah beliau bertajuk, “Pemartabatan ‘Realiti’ dan ‘Realisme’ Ke Status Konvensi Sastera Dalam Kesusasteraan Melayu” (seterusnya dirujuk sebagai Makalah). Menurut Collins Cobuild English Dictionary: “(1) A convention is a way of behaving that is considered to be correct or polite by most people in a society.  (2) In art, literature, or the theatre, a convention is a traditional method or style.”

            Dalam analisisnya yang mendalam dan meyakinkan, Prof. Ungku Maimunah membuat kesimpulan, antara lain, seperti berikut: “Ternyata Anugerah Sastera Negara melalui laporannya telah menyediakan mekanisme untuk realisme dan realiti bertapak, untuk memperkukuhkan kedudukannya dengan menjana autoritinya sendiri, di samping memperagakan dirinya sebagai moden, berani dan jujur. Di luar konteks Anugerah Sastera Negara ini tetapi berkait rapat dengannya, iklim sastera yang dibentuk meletakkan kefahaman realisme Barat antara ciri penting penulisan kreatif (dan kritikan) Melayu, yang sopan, hormat serta maju, dan wajar dilestarikan dengan memanfaatkannya tanpa curiga atau segan silu.  ... Bahawa hakikat tersebut menafikan kewujudan realiti hakiki, meminggirkan ilmu dalam wacana, mengesampingkan seni menyirat makna, tidak membekas dalam dunia sastera Melayu. Perkara ini berlaku kerana realisme sudah mempunyai kedudukan kukuh sebagai konvensi sastera, lengkap dengan mantera serba bolehnya:  ‘itulah realiti’.”  (Lihat Makalah, Kata Penutup, hal. 31).  Penjelasan lanjut dan terperinci diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam Dinamika, yang perlu dirujuk dan diteliti oleh sesiapa juga yang ingin memahami kedudukan realisme yang istimewa dalam kesusasteraan Melayu.

            Dalam konteks ini, apabila saya mengatakan realisme sebagai puaka intelektual dalam sastera Melayu, saya maksudkan, dalam bahasa Inggeris (kerana akhirnya persoalan ini akan dibicarakan dalam bahasa Inggeris), realisme itu, yang difahami dan menjadi pegangan dalam sastera Melayu,  adalah “the sanctified intellectual tradition” dalam sastera Melayu, yang disebut oleh Prof. Ungku Maimunah sebagai “konvensi” sastera. Dengan kedudukannya yang istimewa itu, realisme ditakdiskan sebagai satu-satunya faham sastera yang diterima secara rasmi (oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, kerajaan Malaysia, melalui Panel Anugerah Sastera Negara yang diberi hak mutlak untuk memilih sasterawan negara) dan tidak perlu dipersoalkan autoriti dan integritinya sebagai warisan budaya Melayu.  Tetapi di sinilah terjadinya kepincangan yang luar biasa, yang mungkin tidak disedari oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri dan juga Panel Anugerah Sastera Negara. Kepincangan yang dimaksudkan itu ialah mengenai hakikat realiti yang difahami dalam kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam. Dalam posting bertarikh 20 Oktober, 2011, antara lain saya menulis begini (kutipannya agak panjang kerana penting): “Konsep “seni sastera” yang difahami dan ditonjolkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka adalah keliru dan tidak tepat dengan maksud dan matlamat seni sebagai hasil pemikiran seseorang penulis Islam dalam bentuk kreatif. Ditekankan ungkapan “penulis Islam” kerana kesemua sasterawan yang dinilai oleh Panel Anugerah Sastera Negara adalah sasterawan Melayu yang beragama Islam. Adakah hakikat bahawa mereka beragama Islam tidak penting dan tidak relevan? Inilah pandangan rasmi Panel Anugerah Sastera Negara, dan pandangan ini tidak mencerminkan nuilai-nilai yang selama ini menjadi tunjang dalam pembinaan tamadun berbahasa Melayu selepas orang Melayu menerima agama Islam dan dimaktubkan dalam Perlembagaan mereka sebagai agama rasmi negara.  Adakah fakta ini pun tidak relevan dalam penilaian karya sastera di sebuah negara yang menegaskan dalam Perlembagaannya peri pentingnya Islam itu dalam kehidupan rakyatnya? Tentu saja tidak tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa Panel Anugerah Sastera Negara telah melanggar Perlembagaan Negara dengan memperkecilkan peranan agama Islam dalam masyarakat Melayu dan dalam politik Malaysia; yang lebih tepat ialah betapa selekehnya pemahaman para sarjana tentang “seni penulisan kreatif” yang dinamakan kesusasteraan itu. Dengan memisahkan sastera dari nilai-nilai masyarakat yang sejak beratus tahun menjadi asas pembinaan tamadun Melayu, maka Panel menonjolkan kumpulan mereka sebagai satu kumpulan yang amat janggal yang dengan tidak senonoh mengetepikan begitu saja satu tamadun tinggi dalam persuratan Melayu hanya kerana terlalu terpengaruh dengan nilai-nilai dan teori sastera Barat. Inilah konteks yang paling jelas bagi sesiapa yang ingin memahami kesimpulan bahawa Panel dan para sasterawan yang mereka nilai menjadi beban intelektual, beban akademik, dan beban moral dalam kebudayaan Melayu. Jika anda faham maksud yang ingin disampaikan di sini, maka anda akan berasa amat tersinggung sekali apabila asas tamadun anda selama ini diketepikan dengan tidak bertanggungjawab oleh sekumpulan sarjana yang dengan angkuh menolak begitu saja warisan persuratan mereka sendiri”.

            Saya sudah sering kali menyebut (malah dibayangkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kesimpulan beliau yang saya kutip) bahawa peristiwa pertemuan Ratu Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. memberi kita, sebagai orang Islam, pengertian yang mendalam tentang hakikat realiti yang mempunyai dua wajah: realiti semu, yang menjadi pegangan Panel Anugerah Sastera Negara, para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera; dan realiti hakiki yang ditunjukkan oleh al-Quran dalam peristiwa Ratu Balqis dan peristiwa tersungkurnya ahli sihir Firaun apabila mereka melihat sendiri hakikat realiti dalam peristiwa Nabi Musa ‘a.s. bersama ahli sihir Firaun. Dalam peristiwa perempuan Mesir, kita lihat bagaimana realiti semu memukau perempuan Mesir yang melihat Nabi Yusuf ‘a.s. sebagai malaikat, lantas menghiris tangan mereka kerana tenggelam dalam nafsu berahi yang tidak terkawal. Ketiga-tiga peristiwa ini tidak dapat disangkal oleh orang yang tidak percayakan agama sekali pun, kerana inilah peristiwa sejarah yang dinukilkan oleh al-Quran yang kebenarannya disaksikan oleh sejarah peristiwa itu sendiri. Apakah hujah yang boleh dikemukaksan oleh Panel Anugerah Sastera Negara untuk menolak wujudnya realiti hakiki itu sendiri?  Sama ada mereka menolak atau menerimanya, kewujudan realiti hakiki itu mencorakkan perilaku manusia beriman (lihat bagaimana ahli sihir Firaun tunduk menyerah kepada hakikat realiti dan beriman) yang terpancar dalam kehidupan seharian mereka yang mereka pamerkan dalam cara berfikir, cara bertindak dan menilai sesuatu, dan cara mereka menentukan nilai-nilai moral mereka, yang terpancar dalam konsep taklif yang menurut Shah Wali Allah mempunyai tiga rahsia itu.

Apakah yang membuat Panel Anugerah Sastera Negara bergantung pada fahaman sempit bahawa realisme hanya mempunyai sebelah muka, iaitu realisme semu? Ini adalah akibat kedegilan mereka tidak mahu menerima epistemologi Islam dalam memahami masalah realisme ini, oleh itu secara total mereka menolak realisme hakiki yang dicontohkan dalam peristiwa yang disebut di atas. Mereka tidak menerimanya kerana penerimaan itu akan mendedahkan mereka kepada kejahilan yang mengaibkan, yang akan memaksa mereka menerima gagasan Persuratan Baru sebagai asas analisis dan penilaian karya kreatif. Inilah yang dipanggil budaya pandirisme, dengan mentaliti pandirisme yang menolak adanya realisme semu (yang menjadi pegangan mereka) dan realisme hakiki. Sedikit penjelasan tentang pandirisme diperlukan di sini.  Istilah baru, “pandirisme”, yang hampir sama  maksudnya dengan mediorce, tetapi lebih luas dari itu, telah diperkenalkan sejak tahun 2004 dalam syarahan DAMAI yang saya berikan. Pandirisme tidak sama dengan konsep bebalisma. Istilah bebalisma yang diperkenalkan oleh Prof. Syed Hussein al-Attas mungkin mencerminkan beberapa sifat mediocre yang dimaksudkan, tetapi kurang tepat untuk digunakan dalam analisis sastera. Pandirisme, yang berasal daripada watak Pak Pandir, lebih tepat mencerminkan sifat dan sikap mental yang dimaksudkan di sini. Pandirisme merujuk kepada keadaan kedegilan mempertahankan sesuatu yang disedari atau diketahui mencerminkan kesederhanaan yang negatif, bukan mencerminkan kepintaran dan kecerdikan pada peringkat tinggi. Kesederhanaan yang negatif itu, seperti dalam cerita-cerita Pak Pandir, menyerlahkan keupayaan intelektual yang terbatas untuk mengenal dan menyelesaikan masalah, misalnya perbuatan Pak Pandir menjadikan kambing berjanggut sebagai lebai (kerana Mak Andeh memberitahu lebai itu biasanya berjanggut), haji pula berketayap putih (oleh itu burung pipit uban adalah Pak Haji bagi Pak Pandir), dan lain-lain cerita jenaka di sekitar tokoh ini yang diketahui umum. Pandirisme mencerminkan cara berfikir dan bertindak yang berada di peringkat  pemerhatian yang diasaskan kepada pengalaman yang sangat terbatas. Keterbatasan itu dijadikan ukuran untuk menilai sesuatu, seperti Pak Pandir menyamakan sekam dengan padi, menggunakan logik yang dari segi pemerhatian sekilas memang munasabah apabila beribu ekor semut boleh meniti sebatang ranting atau dahan kayu, oleh itu Pak Pandir yang sendirian tentulah tidak berat jika dibandingkan dengan beribu ekor semut yang ramai itu. Pandirisme banyak berlaku dalam sastera Melayu, sama ada dalam pengolahan tema, pemilihan tema, pembinaan watak, penggunaan wacana dalam karya kreatif, pemahaman yang cetek tentang konsep-konsep, penggunaan bahasa yang tidak dapat membezakan antara retorik dan style. Salah faham dan salah guna konsep style dalam penulisan kreatif, penggunaan bahasa yang terlalu lebat dengan bunga tetapi tidak kelihatan buahnya, dan dalam banyak bidang lagi yang akan dibahaskan nanti.

Pandirisme tidak saja membantut kemajuan berfikir, tetapi juga melahirkan kedegilan intelektual berasaskan kejahilan, bukan kerana keyakinan ilmu dan kesahihan sesuatu prinsip yang telah diuji kebenarannya. Pandirisme menjadi penghalang kepada perkembangan ilmu, kerana kedegilan intelek tadi membutakan mata seseorang sarjana sehingga membuatnya terus berpegang kepada pendirian ilmiah yang cetek dan silap, keliru dan menentang kebenaran. Bahayanya sangat besar terutama sekali dalam penilaian karya sastera, kerana penilaian yang silap, berasaskan persepsi yang silap, akan mengangkat karya picisan menjadi karya penting yang dibanggakan.  Pandirisme mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan konsep “bullshit” yang dipopularkan oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya, On Bullshit (diedarkan semula 2005 daripada naskhah 1982).  Bolehkah kita bertanya: Tidak adakah sedikit pun unsur pandirisme dalam karya para sasterawan negara? Pertanyaan ini penting kerana ia menentukan bagaimana karya mereka dinilai dan sejauh mana ukuran yang dipakai/gunakan itu mencerminkan hakikat sebenar kualiti karya itu? Prof. Ungku Maimunah menyebut satu contoh, diberikan oleh Dr. Saleeh Rahamad, yang membicarakan novel Abdullah Hussein, Kuala Lumpur Kita Punya, sebuah novel picisan. Dalam penilaiannya, Dr. Saleeh Rahamad “membela” karya picisan itu dengan mengemukakan aspek “kejujuran” Abdullah Hussein memperihalkan keruntuhan moral di bandar besar seperti Kuala Lumpur, sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana pada waktu itu belum lagi terjadi kebangkitan Islam yang mungkin boleh dijadikan halangan untuk tertulisnya novel picisan dan pornografik ini. Tetapi yang lebih penting daripada andaian ini ialah betapa kuatnya puaka realisme itu dalam sastera Melayu, sehingga karya yang picisan dan pornografik pun boleh “terangkat” sedikit nilai sasteranya, seperti keputusan Laporan 1996 (hal. 17) yang menerima dengan penuh simpatik dan “penuh pengertian” bahawa karya itu adalah hasil eksperimen Abdullah Hussein, untuk memperagakan persoalan yang serius iaitu mengenai kehidupan di Kuala Lumpur yang penuh pancaroba (diserlahkan dalam novel itu melalui kelakuan lucah penuh pancaraba, pancutriba dan yang sejenis dengannya!).  Laporan 1996 membela kelucahan novel itu dengan “memuji” penyelesaian novel dengan tertangkapnya “pencabul wanita dan penjenayah seks”, watak utama novel itu. Seolah-olah untuk membetulkan kesimpulan Panel yang silap (?), Dr. Saleeh Rahamad memberi kesimpulan yang agak berbeza, dengan mengatakan “penyelesaian” itu terjadi kerana salah faham orang ramai yang menangkap lelaki yang menceroboh wanita,  dan wanita itu pula salah faham seolah-olah dia mahu dicerobohi, manakala lelaki itu pula berniat baik untuk menenangkan perempuan yang terkejut itu. Sebenarnya tidak ada apa-apa perbuatan maksiat pun yang terjadi, hanya kerana salah faham sahaja. Sungguh cantik “penyelesaian” yang diberikan oleh Abdullah Hussein, yang telah menyelamatkannya daripada menjadi penulis murahan cerita-cerita picisan yang kaya dengan episod keliaran seksual para watak pilihannya. Itulah realiti; dan itulah juga gambaran paling jelas tentang puaka intelektual dalam realisme yang difahami oleh penilai dan sasterawan Malaysia. Sebenarnya puaka intelektual inilah yang telah menyelamatkan Abdullah Hussein, tetapi mencelakakan kita semua yang harus menerima karya picisan sebagai karya bermutu kerana ditulis berasaskan desakan zaman yang kononnya perlu merakamkan kejahatan masyarakat kota Kuala Lumpur!  Dan di sinilah juga kita dapat melihat betapa palsunya konsep realisme yang difahami dan dipraktikkan oleh para sasterawan dan penilai karya, oleh Panel Anugerah Sastera Negara.

Al-Quran menggunakan istilah taghut untuk menggambarkan keadaan begini. Elsaid M. Badawi dan Muhammad Abdel Haleem, dalam kamus susunan mereka, Arabic-English Dictionary of Qur’anic Usage (Brill, 2008), hal. 567, memberi definisi taghut begini: (2) [generic for] evil powers; variously named by the interpreters as: the Devil, diviners, enchanters, any head or leader in error ... Perhatikan contoh terakhir itu: any head or leader in error.  Siapakah orangnya (tentu saja termasuk institusinya)?  Jawapan terbaik ialah dengan tidak memberi jawapan kepada pertanyaan ini, cukup dengan memahami maksud “puaka intelektual dan puaka akademik” dalam faham realisme yang dipraktikkan di Malaysia.

Salah satu kesan besar, atau akibat daripada “puaka intelektual dan puaka akademik” ini ialah ketakutan yang tidak perlu, yang tidak “realistik” yang timbul  dari salah faham kerana tidak faham peranan ilmu yang benar dalam penulisan kreatif dan akademik.  Penulis muda telah dikritik kerana kononnya terlalu mementingkan idea dalam karya mereka, sehingga mencacatkan cerita. Padahal cerita itulah yang lebih utama, kata pendapat itu. Kata pendapat itu, kemahiran bercerita akan pupus dalam kesusasteraan Melayu jika kecenderungan ini beterusan, dan karya yang dihasilkan tidak lagi menarik untuk dibaca.  Kata pendapat itu, para sasterawan negara dipilih kerana kepandaian mereka bercerita dan cerita mereka mendatangkan kesan yang mendalam kepada pembaca. Adakah ini bermakna sastera itu memang asasnya cerita?  Menurut faham realisme Barat, andaian ini memang betul dan menjadi asas kesusasteraan mereka.  Disebut bahawa tukang cerita yang baik, misalnya yang menggunakan teknik realisme magis, akan menghasilkan karya cerita yang mengasyikkan sehingga turut mengasyikkan para juri Hadiah Nobel Sastera untuk memilih penulis karya jenis itu sebagai pemenang Hadiah Nobel sastera. Oleh itu, kata pendapat ini, jika sastera Melayu mahu maju dan dikenali di dunia antara bangsa, teknik seperti realisme magis ini perlu ditiru dan digunakan dengan meluas  dalam seni bercerita sastera Melayu moden. Ini hanya satu contoh, di antara banyak-banyak contoh. Boleh juga disebut contoh-contoh lain itu, misalnya betapa bagusnya dipakai teknik interior monologue, teknik imbas kembali, dan sebagainya yang cukup diketahui oleh para penulis Malaysia yang membaca buku-buku Inggeris.    Semua itu digunakan untuk maksud apa? Jawapan paling tepat ialah, supaya terdapat realisme paling sempurna dalam karya cerita itu.    Kesempurnaan realisme, menurut fahaman sasterawan Melayu, yang dipersetujui oleh pengkritik dan sarjana sastera, ialah pendedahan tentang kejahatan manusia rendah, manusia pinggiran seperti pelacur, penarik beca, pelayan, pemandu teksi, pengawal keselamatan di gedung-gedung perniagaan, dan orang-orang seperti itu.  Cerita mereka mesti dikisahkan dengan kata-kata yang kesat, kasar, kotor, mencarut dan seumpama itu, kerana itulah realiti kehidupan mereka yang sebenar. Sasterawan hanya meniru cara hidup mereka yang memang begitu. Kata Shahnon Ahmad, penulis novel TIVI yang lucah itu, dia hanya melukiskan peristiwa yang benar-benar berlaku, tanpa sebarang tambahan. Dia realistik, bukan bermain dengan retorik. Dalam konteks Shahnon Ahmad, realisme sama saja ertinya dengan pornografi dan kelucahan melampau. Itulah realiti. Itulah cerita yang ditunggu-tunggu pembaca yang berminat kepada cerita-cerita erotik, dan mereka sangat bahagia kerana sasterawan negara pun tidak segan menghasilkan novel picisan kerana realiti menghendaki mereka berbuat begitu. Adakah mereka tidak bermoral? Tidak. Yang tidak bermoral ialah mereka yang menolak realiti yang mereka paparkan berterus terang seperti yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad dan teman-temannya. Sebarang usaha hendak “meminda” realiti itu adalah biadab. Alberto Moravia, penulis The Woman of Rome, ketika ditanya mengapa dia memaparkan watak pelacurnya sebagai seorang wanita yang pintar dan pandai berbicara, Moravia menjawab,  dia menjadi jurubicara wataknya yang tertindas dan dizalimi. Kalau bukan sasterawan yang menjadi jurucakap mereka, siapa lagi? Itulah realiti.  Nampaknya Shahnon Ahmad mempunyai pendapat yang sama dengan Alberto Moravia.  Bezanya ialah, Shahnon Ahmad sasterawan yang menulis kerana Allah untuk berbakti kepada manusia sejagat, yang sekali gus termasuk menghasilkan karya picisan bersifat erotik yang mendekati pornografi (malah diakuinya memang pun pornografi, tapi itulah realiti, katanya). (Lihat pendapat dan pengakuan beliau, Dewan Sastera, Oktober 1997, terutama hal. 43). Shahnon Ahmad menegaskan, dia menulis karya-karya lucah dan pornografi hanya untuk memenuhi tuntutan realiti masyarakat, kerana sasterawan perlu menjadi saksi dan membicarakan realiti masyarakat itu. Demikian dalamnya tertanam pengaruh puaka intelektual dalam fahaman tentang realisme yang menjadi panduan dan ikutan para sasterawan ini.

Apakah jenis kehidupan yang menjadi bahan utama para sasterawan ini? Ialah kehidupan yang paling rendah, yang secara total berpusat kepada hawa nafsu manusia, seperti yang dicontohkan oleh Andullah Hussein dalam Kuala Lumpur Kita Punya, oleh Shahnon Ahmad dalam karya-karya lucahnya, oleh Azizi Hj. Abdullah dalam karya beliau yang diberi hadiah dalam petandingan menulis novel atau yang ditulis kerana runtunan puaka intelektual yang mencengkam realisme Barat yang menjadi acuannya. (Masalah ini telah dibicarakan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah dalam beberapa makalah beliau.)  Jika itulah hakikatnya, maka apakah pengajaran yang boleh didapati daripada jenis karya “realistik” itu?  Menurut Panel Anugerah Sastera Negara, pengajaran tidak penting, malah tidak diperlukan; kerana yang lebih utama dan yang lebih wajar ialah pemerian kehidupan yang realistik itu sahaja.  Tujuannya tidak ada, dan tidak penting, kerana yang penting ialah rakaman kehidupan itu sendiri yang “boleh dicontohi” hanya dari segi teknik penulisan, bukan dari perspektif pengajaran yang bersifat didaktik. Sebarang karya yang mempunyai unsur didaktik, kata Panel, adalah tidak bermutu kerana kehidupan yang realistik itu telah dipengaruhi oleh penulis/sasterawan yang memandai-mandai meletakkan nilai peribadinya. Biarlah semuanya ditentukan oleh pembaca sendiri: kamu, para sasterawan, hanya merekodkannya saja dalam gambaran yang sedetail mungkin untuk memastikan realiti itu benar-benar diangkat dengan kata-kata ke dalam karya kreatif.

Jika pandangan Panel Anugerah Sastera Negara ini benar dan betul, maka nyatalah kehidupan manusia itu memang sia-sia, khusran, penuh tipu daya untuk mencari kepuasan hawa nafsu sahaja. Adakah manusia memang dijadikan begitu? Di sinilah pentingya hakikat insan itu difahami oleh para penulis, dan ini tidak mungkin terjadi tanpa memahami terlebih dahulu konsep ilmu yang benar.  Apa yang disebut sebagai realisme itu tidak lebih daripada bikinan Iblis yang memperindahkan kepalsuan dengan nama realisme, pada hal itulah hakikat kezaliman yang sebenarnya.  Dunia realisme Barat yang menjadi ikutan para sasterawan, yang diperakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, diperjuangkan oleh ahli akademik dan pengkritik sastera, adalah sebuah dunia yang gelap, dalam istilah al-Quran, sebuah dunia yang penuh zulumat.  Inilah penjelasan yang diberikan oleh Arabic-English Dictionary of Quranic Usage: “(2) misguidedness, spiritual darkness”.  Itulah hakikat realisme dalam sastera Melayu moden, yang di dalamnya tercokol puaka intelektual dan puaka akademik yang telah menyesatkan masyarakat daripada mengenali hakikat ilmu dan hakikat insan, maka dengan itu bermaharajalelalah para sasterawan dan suku-sakat mereka dalam dunia realisme yang gelap gelita dari segi ilmu. Itulah dunia yang diberikan kepada kita oleh para sasterawan negara, ditegaskan dan diperakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, dijadikan konvensi sastera dalam sastera Melayu moden.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 13/12/2011.

3 comments:

  1. Menjawab Kritikan Jahiliah

    Timbul kekeliruan daripada orang/pembaca yang keliru atau sengaja mengelirukan isu, menuduh saya menolak realiti (dulu orang-orang ini juga berkata saya menolak cerita, dan hanya menerima wacana dalam Persuratan Baru). Bagaimana bisa begitu? Jelas sekali orang ini tidak baca, atau kalau baca tak faham, atau kalau faham memang niatnya jahat. Kita semua hidup dalam realiti kehidupan yang sedia ada, yang kita terima sebaik saja lahir ke dunia. Yang ditolak ialah faham realisme Barat yang menjadi ikutan para sasterawan dan suku-sakat mereka. Pengaruh realisme Barat dalam sastera Melayu sangat buruk dan merosakkan. Lihat hasilnya seperti Salina, TIVI, Kuala Lumpur Kita Punya dan lain-lain karya yang bermodelkan realisme Barat. Apa yang kita dapat dari karya seperti itu? Pembohongan realiti. Memang pelacuran ada, kemiskinan ada, penipuan pun ada, kezaliman ada, pembunuhan dan peperangan ada. Isunya ialah: bagaimana semua realiti itu harus digambarkan dalam karya sastera? Di sinilah kekacauan dan kekeliruan berlaku. Kita dapati dalam karya yang mengutamakan atau berpegang kepada realisme Barat memperagakan penggunaan bahasanya yang kasar, kesat, biadab dan segala macam (baca karya Shahnon Ahmad, Azizi Hj. Abdullah sebagai contoh). Itukah realiti, atau kebiadaban? Sebaik saja realiti difahami dalam konteks realiti semu dan realiti hakiki, maka cara realiti itu digambarkan dalam karya akan berbeza: semua kebiadaban tadi dielakkan; cara dan teknik yang dipakai tidak lagi berbentuk sensasi (kaya dalam karya SN Shahnon Ahmad dan dalam karya Azizi Hj. Abdullah), tetapi menonjolkan adab penulisan yang terkawal dari segi kebiadaban kerana matlamat yang dituju ialah hasil karya yang “indah dan bermakna” yang diukur daripada konsep ilmu yang benar, hakikat taklif, hakikat seni yang bertujuan memaparkan kebaikan untuk manusia. Bagaimana kejahatan dsb.nya itu digambarkan tidak lagi dalam konteks mensensasikannya, seperti yang dibuat oleh SN Abdullah Hussein, SN Shahnon Ahmad, SN A. Samad Said dll; tetapi digambarkan untuk menyatakan realiti semu dan realiti hakiki. Dalam gagasan Persuratan Baru, ini dilakukan dengan menggunakan teknik stylization of ideas supaya wacana dan cerita disepadukan untuk mencapai matlamat karya yang “indah dan bermakna”. [Supaya lebih mudah difahami, sila rujuk Dinamika Pemikiran Sastera Melayu oleh Prof. Ungku Maimunah, hal. 121-125 untuk melihat bagaimana konflik nilai antara materialisme dengan kerohanian Islam diungkap melalui stylization of ideas]. Kalau tak faham baca lagi penjelasan yang sudah banyak dibuat. Insha Allah akan faham. Kalau seorang sarjana bukan Islam seperti R. Sharatha boleh faham dan boleh menghuraikannya dengan baik dan objektif dalam tesis MA beliau, tak ada sebab untuk yang beragama Islam yang seharusnya cerdik dan berhati-hati tidak boleh memahaminya. Sepatutnya orang tidak berbangga memperagakan kekeliruannya atau niat jahatnya. Sepatutnya orang berbangga menunjukkan kefahaman yang betul, bukan mensensasikan yang salah. Sekali lagi saya ingin ulangi contoh yang diberikan oleh R. Sharatha yang jelas membuktikan, dengan meyakinkan pula, bahawa gagasan Persuratan Baru boleh difahami jika ada usaha untuk memahaminya. Penghalangnya ialah perasaan hasad, dengki, cemburu, takabur, sombong, angkuh dan serumpun istilah lain yang menjadi aur dengan tebing dalam perilaku negatif yang berlebihan.

    Realisme Barat ini sudah menjadi puaka dalam sastera Melayu moden. Kesan yang paling buruk ialah terhadap cara penilaian karya dibuat. Inilah dosa Panel Anugerah Sastera Negara, mengelirukan sasterawan dan pengkritik sastera, juga sarjana sastera, untuk menerima ukuran common sense mereka yang tidak tepat, yang hanya berjaya memitoskan para sasterawan yang mereka lantik sebagai sasterawan negara. Panel adalah contoh terbaik bagaimana penjajahan pemikiran (the captive mind) bertapak kukuh sehingga melahirkan puaka intelektual dan puaka akademik dalam kritikan sastera Malaysia.

    ReplyDelete
  2. Salam Tuan Affandi.

    Merujuk kepada hasil tulisan Prof. Dr Zawiah Yahya bertajuk "Reading Approaches in Malay Literature", saya amat berbesar hati sekiranya Tuan Affandi boleh memberi penjelasan tentang kritikannya terhadap Persuratan Baru yang berbunyi:

    "such a demanding yardstick seems to disqualify almost the entire corpus of contemporary critical and creative writings in Malay literature that had been written from a more secular perspective. If this yardstick is forced on these works, the result wll be a foregone conclusion. It is like fitting a round peg in a square hole. The critic will end up flogging a dead horse. IT then becomes no longer intellectually challenging to sift through details and textual evidence if the conclusion is already writ in stone"

    Di sini saya ingin mendapat penjelasan Tuan Haji terhadap kritikan di atas dalam konteks sastera secara amnya, bukan hanya dalam lingkungan sastera melayu. Bagaimana seseorang ingin mengkritik hasil-hasil nukilan barat, yang sudah tentu tidak mengikut konvensi-konvensi Persuratan Baru.

    Juga ingin meminta pendapat Tuan Haji, di Barat sudah ada penulisan kreatif berbentuk ilmiah dan hasil ini diletakkan sebagai genre karya sastera filosofikal (novel of ideas) contohnya Nietzche's "Thus Spoke Zarathusa" dan Goethe's "Wilhelm Meister's Apprenticeship". Adakah penulisan seperti "Pujangga Melayu" atau "Melati Kota Bharu" juga tergolong di dalam ini? Patutkah ia menjadi genre ataupun sememangnya sastera itu haruslah "filosofikal"

    Saya ada terbaca hasil cerpen fatimah busu di berita harian (tidak silap saya bulan januari/februari 2011?) yang bertajuk (lebih kurang) "Melayu oh Melayu". Saya mendapati beliau menulis betul-betul dalam kerangka Persuratan Baru. Mungkinkah analisis/kritikan tajam persuratan beur terhadap nukilannya yakni "salam maria" di baca olehnya, lantas beliau "tersedar". Ini penting bagi penulisan di tanah air kerana saya rasa sudah terdapat "gelombang" PB di alam penulisan fiksyen bagi penulis-penulis tersohor, seperti fatimah busu.

    Saya benar2x berharap tuan boleh memberi komen sedikit sebanyak. sekian.

    ReplyDelete
  3. Jawapan kepada pertanyaan:

    Tentang kritikan Zawiah Yahya: Dia salah faham, atau tidak faham. PB adalah satu kaedah analisis dan penilaian, sama serperti beratus (?) teori Barat yang dipakai di universiti Malaysia oleh para pensyarah dan profesor. Sebagai alat analisis, teori2 itu boleh saja digunakan. Kalau peggunanya bijak, dia boeh meyakinkan pembaca mengenai sudut tertentu yang diambilnya yang membuatnya menggunakan teori berkenaan. Tak ada masalah sekiranya anda faham dan tahu apa yang anda buat. Zawiah takut sebab dia sendiri belum betul2 faham apa sebenarnya PB itu, dan bagaimana kedudukannya dalam dunia ilmu. Saya sudah tulis di banyak tempat (tak ingat lagi tarikh dan tempat terbit), bahawa jika anda menonton tragedi Shakespeare, dan anda menggunakan prinsip2 PB, anda akan dapat melihat “kehebatan” (atau tidak hebat sebenanya) karya itu sebagai teks atau sebagai drama yang dipentaskan. Misal: to be or not to be, yang sangat terkenal itu, bukan soal Islam. Kerana Islam berpegang kepada taklif, (seterusnya sila rujuk tentang rahsia taklif, yang berakhir dengan membuat pilihan yang tepat dan adil), “konflik” itu bukan konflik, kerana orang Islam tahu apa yang perlu mereka lakukan. Jadi bukan satu persoalan penting: yang penting ialah bertindak adil berasaskan ilmu yang benar, kerana dari situ saja berlakunya keadilan, dan ini bererti tahu membuat pilihan yang tepat. Sekiranya anda faham maksud PB, anda boleh enjoy baca segala karya besar dunia, dan anda akan melihat kebesaran Allah Ta’ala memberi kepandaian/kemahiran kepada sesiapa juga penulis yang diizinkannya untuk menulis karya besar mereka. Satu cerita kecil untuk renungan: Masa saya budak2 dulu, suka sangat tengok wayang kulit; Tok Saudara saya seorang Imam, juga menonton. Saya tanya: tak berdosakah tengok wayang kulit? Dia sebut dilema yang dihadapi oleh Indrajit; memilih taat kepada ayahnya, atau menyebelahi kebenaran (dengan itu menentang ayahnya). Masalah itu dihadapi oleh semua manusia. Kita boleh lihat bagaimana masalah ini diselesaikan dalam cerita wayang kulit ini. Saya masih ingat itu, dan kerana itu saya boleh enjoy membaca semua karya besar dunia yang sampai ke tangan saya. Jadi tidak betul andaian Zawiah bahawa semuanya akan musnah bila digunakan PB. Tidakkah itu satu andaian yang gila? Kalau begitu tentu Allah Ta’ala jadikan semua manusia Islam! Kalau dah jahil macam-macam timbul masalah atau sengaja menimbulkan masalah. Padahal bukan masalah pun (pun itu ikut cara Shahnon menulis!)

    Tentang novel filosofi. Itu satu jenis. Banyak lagi jenis yang ditulis oleh pengarang dunia. Untuk memudahkan orang Malaysia faham, saya kategorikan tiga jenis: karya persuratan, karya sastera, karya picisan/popular etc. Satu soalan yang anda boleh fikirkan: Adakah semua kategori itu terdapat unsur falsafahnya? Menurut Panel Anugerah Sastera Negara, karya picisan pun ada falsafahnya! Anda boleh ukur standard penilaian Panel ... Ahli falsafah Bertrand Russell (The Collected Stories of Bertrand Russell 1972) dan ahli politik Winston Spencer-Churchill diberi Hadiah Nobel Sastera. Terbaru: J.M. Coetzee yang menulis Elizabeth Costello 2003 (banding dengan Pujangga Melayu 1997 dan Manifesto Khalifatullah oleh Achdiat K. Mihardja 2005) diterima baik novel “akademik”nya itu. Hanya orang Malaysia (termasuk pensyarah, perofesor, sarjana dan pengkritik sastera, juga sasterawan) yang tak boleh terima. Tentulah orang Malaysia lebih hebat daripada juri Hadiah Nobel Sastera kerana mereka lebih tahu apakah sebenarnya kesusasteraan!

    Tentang Fatimah Busu: saya tak baca cerita pendek itu. Yang saya tahu dia menentang bermatian PB. Itu pilihan dia, kita harus hormat dan biarkan. Yang penting bagi saya: adakah orang boleh dianggap anti-PB jika dia betul2 faham apa dia PB? Kalau dia betul2 faham, kita patut tahu mengapa dia menolaknya. Kita mahu dengar hujahnya. Berlainan pendapat tidak sama dengan menentang sesuatu yang kita tahu benar. Berlainan pendapat halal; menentang yang benar haram. Orang Islam diajar begitu, sebab itu mereka cerdik.

    ReplyDelete