Saturday, December 17, 2011

Komen Cetek dan Dangkal Sama Penting Dengan Yang Bernas Untuk Mengukur Kemampuan Intelektual Seseorang

Tidak semua komentar yang saya terima dalam blog ini bernas, menggambarkan ketangkasan berfikir orang yang membuat komentar. Tetapi ini tidak bererti tidak ada yang bernas dan tinggi nilai intelektualnya.  Golongan kedua itu tidak selalunya muncul, tetapi ada sekali sekala memberikan pendapat mereka yang bernas. Kita harus berterima kasih kepada mereka kerana sanggup meluangkan masa untuk menuliskan sesuatu yang berfaedah dan bernas dalam komentar kritis mereka. Tetapi jarang kita dapat. Tak mengapa. Kata Spinoza: “All things excellent are as difficult as they are rare.” (Dikutip oleh George Steiner dalam bukunya, Martin Heidegger (The University of Chicago Press, 1987; cetakan awal 1978). George Steiner mengambil kutipan itu untuk memberi amaran kepada pembaca bahawa pemikiran Heidegger amat sukar difahami, oleh itu pembaca harus bersedia untuk bertindak sabar mengikutinya. Yang berharga itu sukar didapati dan mungkin sukar difahami. Tetapi Martin Heidegger telah dianggap sebagai ahli falsafah terbesar Abad 20 di Eropah dan dalam dunia Barat (ini telah menimbulkan kemarahan ahli falsafah Inggeris yang menuduh Heidegger hanya talking nonsense. Biasalah orang Inggeris cemburu dan hasad seperti itu! Berlaku di mana-mana dalam dunia ilmu, tetapi tidak di Malaysia!!).

Adakah komentar yang bodoh, cetek, keliru dan sebagainya itu tidak berguna?  Sebenarnya sangat berguna, iaitu dari segi bukti yang ditonjolkan oleh komentar demikian yang boleh kita pakai untuk mengukur kemampuan intelek para sasterawan, pengkritik, sarjana, dan terutama sekali pembaca blog (termasuk, tentunya, penulis blog sendiri). Semakin banyak kita terima komentar yang bodoh, cetek dan keliru, semakin baik bagi kita untuk dijadikan sandaran bahawa tahap pemikiran mereka dalam persuratan dan bidang kreatif masih jauh dari memuaskan, oleh itu kita perlu menjelaskan bertubi-tubi tanpa jemu perkara-perkara yang boleh mencerdikkan bangsa kita. Ini memang sukar dilakukan, lebih-lebih lagi dalam era serba benda serba wang yang melanda masyarakat dunia dan kini menjadi pegangan masyarakat kita sendiri. Perhatikan bagaimana PTS menggunakan Teknik Surah Yusuf untuk menulis novel-novel picisan tentang cinta yang diberi wajah Islam, lalu dipanggil novel Islami (kini diberi nama baru, sastera hasanah). Novel-novel picisan ini menjadikan cinta muda-mudi sebagai tema yang paling mudah dijadikan novel dan boleh memikat pembaca remaja. Novel-novel ini tidak murah (asalnya novel picisan itu dirujuk kepada novel yang murah harganya, harganya sekupang atau lebih; kini harganya mahal, tetapi kualitinya masih murah dan masih berharga sekupang saja!). Dalam buku Panduan Menulis Novel: Teknik Surah Yusuf (PTS, 2011), syarikat penerbitan ini “mengklaim” (saya sengaja menggunakan perkataan Indonesia ini untuk keperluan retorik!) sesiapa yang menggunakan teknik Surah Yusuf untuk menulis novel, kualitinya dan keindahan karya itu terjamin, secara aotomatis karya itu sebuah karya sastera yang bermutu tinggi.  Kualiti sebenar novel-novel picisan ini telah dianalisis dengan baik  dan objektif oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam kertas kerjanya, “Materialisme, Islam dan Nilai Kesasteraan: Satu Penilaian Terhadap Novel-novel Popular Islami Terbitan PTS Sdn. Bhd. Berdasarkan Persuratan Baru” (Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) ke-3 dengan tema ‘Pengukuhan Makna Diri Pengarang Muda’, Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur, 16-18 Disember 2011). Kertas kerja itu menganalisis dua buah novel picisan Islami  yang laris, karya Zaid Akhtar (Salju Sakinah) dan A. Ubaidillah Alias (Cinta Berbau Syurga). Penerbitnya, PTS Sdn. Bhd., mendakwa novel yang dikatakan ditulis menggunakan Teknik Surah Yusuf, adalah dua buah novel paling popular dan bermutu tinggi.  Cukup laris dijual dan penulisnya sudah kaya raya!  Tahniah.

Inilah kesimpulan analisis Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat dalam kertasnya:  “Sebagaimana yang terserlah dalam analisis, kedua-dua teks yang dikaji didapati tidak memperlihatkan usaha yang serius untuk membina wacana, atau mengutarakan hujahan-hujahan ilmiah. Justeru, wacana dan hujahan ilmiah menjadi isian yang asing dalam kedua-dua teks yang dikaji. Keasingan inilah yang menyukarkan kedua-dua teks yang dikaji mencapai mutu yang membolehkannya layak dianggap sebagai sebuah ‘karya persuratan’, atau karya ilmu yang bermutu tinggi. Sehubungan itu, analisis ini juga mendapati bahawa kedua-dua teks yang dikaji memperlihatkan kelemahan dari aspek pembikinan cerita. Sebagai sebuah novel, kelemahan dalam aspek pembikinan cerita merupakan sesuatu yang sukar diterima, dan secara serius menjejaskan mutu kesasteraan. Dengan kata lain, kedua-dua teks yang dikaji tidak mencapai mutu yang melayakkannya dianggap sebagai sebuah ‘karya sastera’.  Lanjutan itu, analisis juga mendapati bahawa ramuan utama yang mengisi kedua-dua teks yang dikaji ialah kisah cinta dan unsur-unsur luaran Islam.”

Sekarang timbul persoalan: Adakah dakwaan Teknik Surah Yusuf  oleh Ainun Mohammed tidak benar, atau analisis Prof. Madya Dr. Zariat yang menggunakan gagasan Persuratan Baru tidak sesuai dan tidak tepat dan tidak boleh digunakan untuk menganalisis dan menilai novel-novel bercap Surah Yusuf keluaran PTS? Secara kasar  bolehkah kita berkata: Novel-novel Islami berdasarkan teknik surah Yusuf  adalah novel-novel istimewa yang hanya boleh dinilai dengan menggunakan prinsip-prinsip Teknik Surah Yusuf, tidak boleh dipakai prinsip selain dari itu. Jika itulah pendirian rasmi PTS untuk mempertahankan Teknik Surah Yusuf, bolehkah kita bertanya:
Apakah alasan anda untuk mengatakan gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai untuk menganalisis dan menilai novel-novel picisan Islami terbitan syarikat anda?  Menarik juga untuk dinyatakan di sini, Teknik Surah Yusuf menolak bulat-bulat sebarang teori selain dari “teori” sastera PTS yang bernama Teknik Surah Yusuf.  Inilah nasnya (antara lain), (secara khusus lihat halaman 34-38):  “Teori-teori sastera konventional adalah ciptaan para ilmuwan Barat. Mereka juga mencipta definisi-definisi sastera, dan dengan menggunakan teori-teori itu  mereka menentukan novel mana yang dikatakan bermutu sastera dan yang mana tidak. Jadi, sesebuah novel dikatakan karya sastera yang bermutu kerana ada individu-individu yang mengatakan begitu, dan mereka menggunakan teori-teori yang mereka cipta itu sebagai kayu ukur bagi menilai karya itu. Salah satu kekurangan teori sastera Barat  adalah disebabkan teori-teori mereka tidak menerangkan ciri-ciri cerita yang indah. Ini adalah salah satu faktor mengapa meskipun penulis itu sudah mempelajari teori-teori sastera Barat sehingga mendapat ijazah, namun dia belum tentu dapat menghasilkan novel yang ceritanya indah” (hal. 35).  Kesimpulan ini amat menarik kerana Ainun Mohammed mendakwa hanya Teknik Surah Yusuf yang dirumus oleh beliau saja yang dapat menulis novel yang indah dan bermutu dan dapat dijual dengan laris.  Tetapi adakah itu teknik beliau sendiri atau teknik al-Quran?  Tak mungkin saya menjawab soalan ini  kerana saya tidak mempunyai ilmu yang mencukupi untuk memberikan jawapan yang munasabah.  Mungkin Ainun Mohammed yang lebih mendalam ilmunya dan lebih teliti dan dengan itu lebih berhak untuk memberikan penjelasan berasaskan ... (katalah) al-Quran boleh memberikan jawapannya. Jawapan itu penting untuk menolak kesimpulan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat, sekiranya kesimpulan beliau tidak betul dan tidak tepat.  [Catatan kecil: Dalam entri PTS 6/3/2006,  “Prinsip Menulis Dialog: Teori Surah Yusuf”, disebut Bunyamin abang Nabi Yusuf ‘a.s. Adakah ini fakta yang diberikan oleh al-Quran dalam Surah Yusuf?  Muhammad Asad, dalam Tafsirnya, hal. 346, nota 59, berkata Bunyamin anak bungsu Nabi Ya’kub ‘a.s. Dalam Tafsir al-Rahman (Melayu Jawi), hal. 450, nota 404, Bunyamin disebut adik Nabi Yusuf ‘a.s.]

Jika gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai untuk dijadikan kaedah menganalisis dan menilai “karya Islami (?)” PTS, maka percubaan beberapa orang dari PTS sendiri yang berkata Teknik Surah Yusuf dan gagasan Persuratan Baru adalah sama, dengan sendirinya tertolak. Memang saya sendiri pun tidak menerima andaian itu. Teknik Surah Yusuf adalah strategi perniagaan untuk menjual apa yang “diklaim” (istilah Indonesia lagi!) sebagai “novel Islami atau novel hasanah” yang bermutu tinggi terbitan PTS; manakala gagasan Persuratan Baru pula adalah kaedah yang boleh digunakan untuk maksud akademik (menganalisis dan menilai karya) dan juga menjadi panduan dalam menulis karya kreatif. Gagasan PB menekankan ilmu yang benar yang diwacanakan dalam karya untuk mencapai tahap karya yang “indah dan bermakna” (lihat Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid) dilihat dari perspektif taklif yang menjadi tunjang karya kreatif berbentuk cerita.  Teknik Surah Yusuf PTS mengutamakan cerita (hal. 35: “Cerita yang indah adalah begitu penting kerana selepas selesai membaca sesebuah novel, ‘cerita’ adalah unsur yang tinggal berbekas dan kekal dalam memori”); manakala gagasan Persuratan Baru mengutamakan ilmu yang benar, oleh itu cerita harus tunduk kepada wacana. Walaupun PTS “mengklaim” Teknik Surah Yusuf bukan kaedah konvensional, tetapi pengertian cerita dan proses bercerita yang diakuinya adalah konventional dan sesuai dengn definisi misalnya, oleh E. M. Forster dalam bukunya yang terkenal di Malaysia, Aspects of the Novel yang hampir seratus tahun usianya. (Buku ini berasal dari syarahan Forster di Trinity College, Cambridge, 1927, jadi sudah berusia 84 tahun). Jadi Teknik Surah Yusuf ciptaan PTS adalah teknik konvensional yang diberi ramuan Islam secara luaran yang tidak jelas, artinya tidak menegaskan penekanan kepada konsep tauhid dan taklif dalam kehidupan manusia. Dari segi praktiknya PTS menggalakkan penulisan karya tidak bermutu dalam wajah sekular yang ditampal imej Islam yang artificial dan superficial bersifat luaran dengan menggunakan Teknik Surah Yusuf bikinan Ainun Mohammed. Itulah imej karya-karya laris itu, yang pada hakikatnya mendorong muda-mudi berkhayal dalam cinta-cintaan yang dangkal penuh melodrama yang dibuat-buat. Apa gunanya karya itu laris jika pada akhirnya tidak mencerdikkan pembaca, menggalak dan menampilkan mediocrity dan pandirisme, malah menggalakkan muda-mudi terus berkhayal.  Itulah sebabnya Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat sampai kepada kesimpulan beliau yang saya salin di atas. Dari segi itu, beliau betul; dan PTS dengan Teknik Surah Yusufnya masih mencari-cari kaedah yang betul-betul Islami berasaskan konsep tauhid dan taklif. Cara terbaik bagi PTS ialah menerima gagasan Persuratan Baru sebagai kaedah yang boleh dipromosikan tanpa ragu-ragu; walaupun tidak dapat dijamin PTS akan mendapat banyak wang seperti dengan menggunakan Teknik Surah Yusuf itu.  Jika mencari wang itu lebih penting dan lebih utama kepada PTS dan penulis, maka teruskan saja menggunakan Teknik Surah Yusuf. Tak perlu fikirkan mengenai mutu karya yang diterbitkan, asal laku dibeli, oleh itu boleh diulang cetak berkali-kali.  Akan tetapi, jika dapat dihindarkan, tak perlu ditulis blurb dengan pujian yang tidak pada tempatnya, pujian yang foni. Walaupun novel fatwa Teknik Surah Yusuf itu ciri Islamnya hanya di kulit saja,  Majlis Fatwa Kebangsaan dan JAKIM tidak akan mengharamkannya, kecuali novel Faisal Tehrani yang diterbitkan oleh PTS, Sebongkah Batu di Kuala Berang, khabarnya diharamkan oleh JAKIM kerana sebab-sebab yang tidak dijelaskan. Tetapi itu hanya musibah kecil, dibandingkan dengan musibah besar yang menanti.  Wallahu a’lam.

Mohd.  Affandi  Hassan,
Petaling Jaya 10/12/2011.

52 comments:

  1. Tuan, saya cuma mahu bertanya dengan kejernehan seorang muda yang betul-betul mahu menambah ilmu.

    Saya beranggapan bahawa karya yang dilabel sebagai novel cinta Islami ini sebagai 'bala tentera' untuk melawan novel cinta pop yang langsung murahan dan picisan tetapi berlambak di pasaran. Maka, saya merasakan yang novel cinta Islami ini tidak apa kewujudannya, tetapi tidaklah perlu dijulang sangat.

    Apa pandangan ini menurut tuan boleh dipakai?

    ReplyDelete
  2. Bagi saya ia bukan isu mencari duit sahaja. Menulis karya Islami itu juga tujuannya adalah untuk dakwah. Jika novel tidak laku, maka tidaklah ramai yang membacanya.

    Apalah gunanya jika novel tersebut sangat bagus (menurut penilaian Persuratan Baru) tetapi hanya orang sastera sahaja yang membacanya? Malah DBP pun sudah tidak terbitkan lagi.

    Atau mungkin tuan boleh senaraikan karya apa yang mengikut kehendak Persuratan Baru?

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,

    "Apa gunanya karya itu laris jika pada akhirnya tidak mencerdikkan pembaca, menggalak dan menampilkan mediocrity dan pandirisme, malah menggalakkan muda-mudi terus berkhayal".

    Saya amat tertarik dengan kenyataan Tn. Hj. Affandi di atas. Ia memberi maksud yang jelas bahawa penulis karya perlu menggalas tanggungjawab besar ketika memanfaatkan penanya.

    Dalam usaha membenamkan kemungkaran yang berleluasa, kita harus bijak memilih jalan yang terbaik agar tidak muncul kemungkaran yang lain. Jika kita masih belum dapat membezakan antara isi kandungan dan hiasan luaran, di tambah pula dengan kecelaruan tentang keutamaan yang perlu diberi perhatian serius, maka masalah akan tinggal masalah. Apabila hendak menyelesaikan sesuatu masalah, perlu dicari jalan yang betul. Jika sesuatu langkah itu tidak tepat sebagai satu bentuk jalan penyelesaikan, mengapa perlu dibiarkan, mengapa perlu diteruskan, kalau pun tidak dijulang.

    Dakwah adalah soal yang jelas. Dalam berdakwah, bahan dakwah perlu betul dan tepat dengan tujuan dakwah. Malah pendekatan dakwah juga perlu betul. "Betul" di sini membawa maksud ianya selari dengan kehendak Islam. Jika dakwah itu selari dengan kehendak Islam, mengapa kita perlu turuti selera ramai?

    Persoalan seterusnya, dakwah dalam Islam itu luas, dan ada keutamaannya. Setahu saya, dakwah itu...akhirnya mendekatkan kita dengan Allah. Lambakan "novel Islami" kita pada hari ini, kalau tidak semua, kebanyakannya tidak lari dari tajuk cinta. Khuatir juga ada yang salah faham bahawa dakwah dalam Islam itu hanya berlegar pada soal cinta. Atau setidaknya menggambarkan bahawa dalam minda umat Islam ini, yang jadi pokok utamanya cinta. Atau juga masalah utama yang membelenggu umat Islam hari ini adalah soal cinta, sehingga menghendakkan penulis "novel Islami" semunya ke arah itu.

    Selain itu, masalah yang ditimbulkan oleh ramai orang, ialah apabila mereka berfikir secara negatif. Mungkin masalah ini berpunca daripada keraguan atau was-was. Tidak yakin dengan kebenaran. Sekiranya sesuatu benda itu bagus, mengapa timbul isu ianya tidak diterima ramai? Kita terlalu buruk sangka walaupun dengan sesuatu yang kita "yakin" ianya benar dan bagus.

    "Tidak semua komentar yang saya terima dalam blog ini bernas, menggambarkan ketangkasan berfikir orang yang membuat komentar".

    Sekali lagi saya tertarik dengan kenyataan Tn. Hj. Affandi di atas. Tapi mungkin juga ada pemberi komen yang belum sempat mengikuti sepenuhnya tulisan Tn. Hj. Affandi. Saya syorkan untuk dibaca makalah Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani bertajuk: "Ilmu Dan Penjanaan Ilmu Dalam Novel Melati Kota Baru Karya A. Kadir Adabi: Satu Bacaan Intelektual" yang termuat dalam buku "Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori Dan Praktis" suntingan oleh Prof. Dr. Ungku Maimunah Mohd Tahir (UKM).

    Moga kita semua terus diberi petunjuk oleh Allah. Wassalam.

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah, dengan adanya sudut pandang ini, maka tujuan Sastera Surah Yusuf diwacanakan sebagaimana dimahu akhirnya mencapai objektif. Dengan sudut pandang ini, pembangunan karya berdasarkan teknik sastera berbanding teori sastera semata-mata dapat dibawa ke hadapan.

    ReplyDelete
  5. kupasan dan ulasan yang menarik.

    ridwanto

    ReplyDelete
  6. Salam,

    'Persuratan Baru' itu apa ya? Adalah sesuatu yang sangat malang bagi orang sastera kerana sastera hanya untuk orang yang pandai bersastera sahaja! Sastera harus dimanfaat untuk mendidik masyarakat dan diketahui umum. Oleh demikian, orang sastera jangan sombong dan menganggap diri mereka elit kerana kepandaian bersastera itu adalah anugerah Tuhan untuk dimanfaatkan bagi faedah umum. Ia bukan sesuatu yang eksklusif untuk orang tertentu sahaja. Jadi, profesor sastera yang bijak-bijak jangan 'sombong' dengan kebolehan anda, Tuhan boleh sahaja mengambil 'talent' anda kembali!

    Seperkara lagi, tiada salah memakan hasil karya yang juga memberi faedah kepada masyarakat, ia lebih baik daripada hidup memakan royalti daripada buku yang diterbitkan menggunakan 'subsidi' duit rakyat!

    ReplyDelete
  7. Pandai juga encek fendi ni troll. I like. Hahaha

    ReplyDelete
  8. Mencerdikkan pembaca itu penting...
    Tapi bagaimana mahu cerdikkan pembaca kiranya pembaca sendiri memilih bahan 'tidak cerdik'kononnya...

    Mungkin juga komen seperti itu keluar akibat rasa cemburu orang sastera yang karyanya bermutu tinggi tapi langsung tidak mahu disentuh masyarakat kepada orang berkarya pop yang sedang terima royalti berjuta ringgit sekarang seperti RAM.

    Terima lah kehadiran karya pop atau islami tampal-tampal ini dengan hati terbuka nescaya hatimu senang dan lapang...

    Saya pun muak juga baca kritikan faisal tehrani dan nisah haron sehingga mengeji kelompok sasterawan pop (istilah saya sendiri)...

    Jangan dikeji.

    Dulu orang malaysia dikatakan malas baca, sekarang sudah rajin baca kerana karya pop/islami ini..

    Lama-lama kita harap mereka makin minat meninggi kepada karya sastera berat pula...

    Jadi, sasterawan yang perasan karyanya bagus tak payahlah mengkritik teruk-teruk tulisan pop/islami ini, lebih baik anda pergi menulis seperti penulis pujaan saya Dato A.Samad Said.

    promo...CINTA FANSURI...

    ReplyDelete
  9. novel FAISAL TEHRANI iaitu SEBONGKAH BATU DI KUALA BERANG diharamkan JAKIM kerana berbau SYIAH.

    BERHENTILAH faisal tehran-ni tulis unsur syiah kamu.

    TEHRAN -IBU KOTA NEGARA SYIAH IRAN.

    ReplyDelete
  10. Mencari wang sangatlah penting kepada syarikat penerbitan buku swasta, ia bukan seperti yang ANDA fikirkan. kalau DBP yang terbit guna peruntukkan kerajaan dari duit rakyat tak laku tak apa. tapi orang bisnes seperti penerbit swasta perlu fikir periuk nasi banyak orang yang bekerja di bawahnya. dan buku ini dijual berdasarkan permintaan masyarakat...

    Allah melarang kita mengeji pihak yang lain kerana menyangka diri sendiri lebih baik, kerana barangkali yang dikeji itu lebih baik dari yang mengeji.

    ingat apa kata Iblis????

    "Aku lebih baik dari dia (Adam)"

    Apa jadi pada iblis...????

    Anda jawab sendiri...sasterawan yang bagus.
    (emo sikit jangan marah)

    ReplyDelete
  11. Teknik SUrah Yusuf sudah pun gagal di pasaran. Sebutkan sebuah novel yang menggunakan teknik ini yang berjaya?
    Hatta editor PTS sendiri berusaha tidak mahu menggunakan teknik ini kerana tahu ia tidak boleh dijual.... Kalau ada yang mempertahankannya hanya pembodek-pembodek yang terlalu taksub.
    alahai...

    ReplyDelete
  12. Maaf saya ingin mencelah.

    Sepanjang pemerhatian saya. karya sastera islami ini hanyalah satu "genre" yang menggunakan perkataan "islami" untuk membezakan dirinya dari "sastera pop". Maksudnya, kita sudah di beri "preconceived" notion yang adanya unsur-unsur Islami, tetapi malangnya ianya seperti menangguk di air yang keruh. Nah, lihat sahaja betapa berlambaknya karya-karya yang menggunkan lembayung "islami" walhal isinya yang sepatutnya bersifat "islami" itu tidak pula dikupas secara intelektual atau mendalam, hanya melepaskan batuk di tangga sahaja. Tidak ada apa2x yang baru, tiada pula yang mencabar minda, tiada yang membolehkan kita menelusuri mata hati kita, menginsafkan kita, mencerdikkan dan menajamkan hati budi, akal, dan pemikiran kita. Saya mengambil contoh perbandingan sastera islami dengan satu karya barat yang sangat besar iaitu Hemingway's "The old man and the sea" cuba lihat novel hemingway yang begitu nipis (novella?) tetapi setiap perbuatan, keadaan, diskripsi sarat dengan makna yang begit mendalam, sehinggakan ada pengkaji barat yang boleh menganalisa novelnya secara 4 tahap (jewish hermeneutics). Begitu dalamnya maksud novel itu! Alankah malangnya, novel islami kita, yang mana kita tahu tradisi falsafah dan pemikiran islam begitu mendalam sehingga dipinjam oleh pimikiran barat di "cetekkan" hatta di tahap harfiah sahaja. Penulis malas mahu memikirkan ketajaman bahasa, keindahan isi, dan kedalaman makna, cuma mahu menumpang nama di bawah "panji sastera Islami". Kita sudah tidak mahukan ini. Karya ini tidak ubah mahu "appeal" kepada senses sahaja, karya untuk kita duduk-duduk "relaks" lepas itu disudahkan dalam satu duduk. Karyawan janganlah begitu, janganlah malas. Jika mahu menabur budi dalam konteks berdakwah dan berjihad jangan menulis secara ala kadar sahaja.

    Sepatutnya, samada kamu kenal atau tidak Persuratan Baru satu perkara yang perlu diketahui adalah falsafah sebenar Sastera Islam. Bukan hanya pada nama. tapi pada keseluruhannya. Hanya Persuratan Baru sahaja yang benar-benar mahu mengangkat martabat sebenar sastera Islam, tapi alangkah! masih ramai yang mahu menulis mengikut "kebebasan" nisbi-nisbi yang tidak pula menunjukkan kebenaran yang benar (Ultimate Truth). Tidak kurang juga penulis yang lebih kepada retorika dan impressionistic semata-mata untuk menampakkan kecerdikannya, tapi alangkah! masihlah dia mundur dalam pemikirannya.

    Hanya Persuratan Baru sahaja berani mencabar penulis-penulis kita untuk "rise above the challenge", dan saya rasa bukanlah niat affandi hassan untuk mengatakan dia lebih baik dari semuanya, tetapi itulah realiti orang kita, bila dikritik katanya si pengkritik itu rasa serba cukup, sedangkan sudut positif kritikannya dilumpuhkan begitu sahaja. Orang melayu kan pantang dikritik?

    Nah, biar kita ambil pedoman, yang mana kekurangan dalam iman, amal, dan ilmu kita mantapkan lagi. jangan biarkan sastera kita hanyut dalam ombak kegelapan.


    --- seorang lagi anonymous ----

    ReplyDelete
  13. Saya faham beberapa perkara daripada artikel di atas, antara yang saya fahami ialah, tulisan di atas mendakwa novel Islami terbitan PTS yang adalah tidak layak dimasukkan dalam kategori sastera Islami, ini kerana novel-novel Islami tersebut tidak mempunyai kupasan wacana yang mendalam dan berkesan, yang mana wacana itulah merupakan intipati sebenar sastera.

    Begitukah?

    ---anonymous juga---

    ReplyDelete
  14. Jika diikuti tulisan Ainun Mohammed berhubung Teknik Surah Yusof, isteri meminta cerai tidak dibenarkan dalam novel PTS kerana dalam Surah Yusuf tidak ada kes cerai. Aduhai.. tak siapa yang peringatkan beliau ke, dalam surah lain ada sebut tentang talak dan khuluq dan hadis bergegar Arasy itu hadis palsu. Lantas, saya kasihan dengan penulis yang disekat kreativitinya.. bagaimana nak bersastera jika itu tak boleh, ini tak boleh..

    --lagi, lagi anonymous--

    ReplyDelete
  15. salah satu kelemahan teknik surah Yusof ialah membina teori berdasarkan alquran terjemahan sedangkan salah satu syarat pentafsiran al-quran adalah mesti merujuk kepada teks asal bahasa arab dan memahaminya melalui laras bahasa arab itu sendiri, keadaan ini menyebabkan beberapa kesimpulan yang dibuat berdasarkan struktur ayat terjemahan sedangkan struktur ayat asal tidak demikian.

    ReplyDelete
  16. Tuan, saya tahu Teori Surah Yusuf juga tidak digemari oleh editor dan penulis PTS sendiri. Saya ingin tanya adakah karya ainmaisarah yang meletup-letup itu (kononnya) ditulis menggunakan teori surah Yusuf? Tidakkan? Ainsmaisarah membawa agenda baru yang boleh memudaratkan pembaca remajanya.

    Tanpanama

    ReplyDelete
  17. Bagus perbincangan ini....

    ReplyDelete
  18. Ainmaisarah guna Teori Surah Yusof? Jawapannya tentu tidak. Ainmaisarah guna teori lain.. cari wang, cari wang, cari wang.. itu sahaja tanpa fikirkan baik buruk kesan pada remaja. Adakah wajar seorang yang mengakui diri ikon remaja mengajak anak-anak kecil bersolat terawih di masjid dengan pilih saf paling belakang dengan alasan mudah untuk bergambar. Konsep syariah kompliant apakah ini? Kejadian ini berlaku dan saya sebagai pendidik kecewa.

    ReplyDelete
  19. Nabi Muhammad apabila tidak suka dan tidak mahu makan daging dhab, beliau diam sahaja. Beliau hanya makan apa yang beliau suka dan mahu. Tidak pula beliau menjaja rasa jijik beliau terhadap daging dhab. Tidak juga beliau menyindir-nyindir sahabat yang suka dan mahu makan daging dhab. Saya pasti sekiranya Rasulullah, pemimpin paling berpengaruh sepanjang zaman itu ada bersama kita sekarang, beliau langsung tidak akan mengeji daging dhab dan penggemarnya di blog, Twitter atau Facebook.

    ReplyDelete
  20. Maaf numpang bicara...saya di antara novelis yang teraniaya oleh teknik surah Yusof dan orang yang terlalu taksub kepada teknik ini. Sekadar nak curah pengalaman...setelah lebih setahun mengusahakan beberapa novel di bawah PTS, sehingga pada peringkat dah nak diterbitkan...cover, editing semua dah siap dan agreement pun dah saya tandatangani sebelah pihak, sampai saja pada individu yang taksub pada teknik ini...novel saya dianiaya sedangkan dari awal hingga akhir editing bukan saya saja yg terlibat dan patut di salahkan...PTS juga perlu disalahkan. Setelah bertungkus lumus akhirnya mereka di PTS mendiamkan diri setelah pelbagai perubahan telah saya buat pada novel-novel saya yang kononnya tak ikut surah Yusuf.Lebih setahun masa saya membazair dan mereka di PTS senang2 diamkan diri.
    Tak cukup dengan itu sebahagian daripada teks saya dipetik bulat-blat dan dimasukkan dalam khutbah jumaat dan ditayangkan kepada semua orang bahawa inilah contoh teks yang tidak islamik sedangkan yang mengeditnya ialah editor PTS sendiri. Kerana taksubnya mereka pada Surah Yusuf sehingga mereka senang2 memalukan orang dan menganiaya orang. Teima kasihlah Pn Ainon dan editor2 PTS yang begitu islamik sekali. Mungkin begitu agaknya islam mengajar orang melayan seorang yang lain. Taksub dengan teknik islam tetapi melayan sesama manusia dengan cara menganiyai dan memalukan dirinya...

    ReplyDelete
  21. Salam kepada semua pembaca.

    Saya masih ikuti dengan berminat perbincangan, belum mahu menulis pandangan saya. Tapi bila baca komen terbaru/terakhir, saya perlu beri pandangan sedikit. Pertama, adab yang diajarkan kepada kita, kita gunakan gantinama "baginda" bukan "beliau" bila merujuk para nabi. Kedua, biawak pasir tidak boleh dibandingkan dengan Surah Yusuf. Yang jelas, orang beranggapan TSY menggalakkan mediocrity/pandirisme, merendahkan mutu karya kerana mengejar pasaran, dakwaan untuk berdakwah amat meragukan. Silalah jelaskan keraguan/kemusykilan pembaca. Anda sindir orang supaya jangan menyindir, sepatutnya anda jelaskan. Rasa2nya kita dapat agak siapa penulis komen ini, yakni orang yang cukup arif tentang TSY. Tolong bantu kami untuk memahaminya dan melihat di mana kami silap. Tak perlu bawa biawak dalam perbincangan ini, supaya orang tidak gunakan pula peribahasa Melayu pasal biawak. (Nota: biawak pasir Arab lidah satu, kata orang yang melihatnya, sebab itu halal.)

    ReplyDelete
  22. Assalamualaikum,

    Sekiranya para pembaca berkesempatan, saya jemput ke blog saya. Saya ada hurai tentang Qissah al-Qur'an, yang ada kaitan dengan penggunaan TSY. Hal ini yang menjadi asas, mengapa saya tidak bersetuju dengan teknik tersebut.

    Saya mohon kebenaran Tn. Hj. Affandi untuk letak pautan ini: http://rizalnasir.blogspot.com/2011/11/kecelaruan-terhadap-qissah-al-quran.html

    Moga perbincangan ini mendapat keberkatan dari Allah. Wassalam.

    ReplyDelete
  23. PB KA, TSY KA, DUA2 SAMA. SAMA2 MENGAIBKAN ORANG

    ReplyDelete
  24. Salam.

    Tuduhan seorang penulis yang mendakwa dia dikhianati oleh PTS perlukan penjelasan daripada PTS sendiri (secara rasmi).

    Saya gembira membaca komen terakhir yang mengatakan PB dan TSY kedua-duanya mengaibkan orang. Sukar mendapat seorang yang begitu jernih hatinya dan begitu jujur memberi komen. Hendaknya lebih ramai oang seperti beliau supaya kita semua selamat dunia akhirat.

    ReplyDelete
  25. "Apa gunanya karya itu laris jika pada akhirnya tidak mencerdikkan pembaca, menggalak dan menampilkan mediocrity dan pandirisme, malah menggalakkan muda-mudi terus berkhayal".

    Mohon izin mencelah juga,

    Kenyataan diatas mahu saya balas semula,

    "Apa gunanya karya yang dikatakan sangat bagus, ilmiah dan macam-macam istilah lagi, andainya karya itu tidak dibaca. Atau dibaca dengan sangat minimum."

    Saya percaya karya yang baik ialah karya yang mempunyai kandungan yang bermanfaat, disampaikan dengan cara yang indah dan dalam pada masa yang sama dibaca ramai orang.

    Contohnya sudah ada. Al-Qur'an kalamullah adalah sebuah kitab yang memuat sebaik-baik ilmu pengetahuan, disampaikan dengan gaya dan bahasa yang indah (merujuk kepada teks asli dan bukan terjemahannya) dan yang lebih bermakna lagi, kitab itu dibaca ramai orang. Bahkan disebutkan Al-Qur'an merupakan kitab yang paling banyak dibaca sepanjang zaman merentasi pelusuk dunia sejak ia diturunkan beberapa ribu tahun dahulu.

    Saya percaya inilah antara misi utama Pts yakni mahu mendekatkan buku dan ilmu kepada masyarakat setelah sekian lama orang pandai terus menjadi pandai dan orang bodoh terus menjadi bodoh.

    ReplyDelete
  26. Saudara Mohd Riduan Khairi,

    "Contohnya sudah ada. Al-Qur'an kalamullah adalah sebuah kitab yang memuat sebaik-baik ilmu pengetahuan, disampaikan dengan gaya dan bahasa yang indah (merujuk kepada teks asli dan bukan terjemahannya) dan yang lebih bermakna lagi, kitab itu dibaca ramai orang. Bahkan disebutkan Al-Qur'an merupakan kitab yang paling banyak dibaca sepanjang zaman merentasi pelusuk dunia sejak ia diturunkan beberapa ribu tahun dahulu."

    Ini kerana Al-Quran adalah ayat-ayat Allah Maha Agung. Tidak mungkin ada cacat cela. Mengapa hendak disamakan Al-Quran dengan novel-novel karya PTS? PTS perlu sedar dan terima kenyataan, teknik Surah Yusuf mereka bukanlah teknik terbaik dalam pasaran kerana bukan semua buku mereka yang menggunakan teknik ini mencapai apa yang saudara katakan -

    "Karya yang baik ialah karya yang mempunyai kandungan yang bermanfaat, disampaikan dengan cara yang indah dan dalam pada masa yang sama dibaca ramai orang."

    Bagaimanapun saya bersetuju dengan saudara mengenai pandangan saudara itu, cuma apabila ia dikaitkan dengan PTS, maka tidak relevan sama sekali. Pada masa yang sama, saya turut bersetuju dengan pandangan penulis blog ini.

    Apa yang pasti, usah terlampau taksub dengan sesuatu teknik tidak kiralah teknik yang diperjuangkan oleh PTS mahupun oleh penulis blog ini sehingga "membodohkan" orang lain.

    ReplyDelete
  27. Saya ada membeli beberapa buah buku terbitan PTS. Hanya buku Jeniri Amir: Buat Duit Dengan Menulis, yg saya nampak padat, yg lain...lepas beli rasa menyesal. Saya kurang suka buku agama terbitan PTS...takut saya...betul kata tn hj Afandi, baginda Rasulullah wajar disebut Baginda bukan beliau. Pn Ainon sekira-kira kelihatan tenggelam dalam ribut bahasa, emosi, dan semangat kebahasamelayuan dan bahasa tinggi. Saya fikir buku terbitan Utusan jauh lebih baik begitu juga penebitan Yamani. Dalam isu agama, saya khuatir PTS menyimpang...

    ReplyDelete
  28. salam., saya juga setuju dgn komen terakhir. Buku Karangkraf esp Karya Bestari dan Telaga Biru lebih saya minati coz lbh bpijak dibumi nyata

    ReplyDelete
  29. salam semua
    sebagai seorang yang membaca semua karya darilah karya popular sampailah karya sastera saya rasa karya2 terbitan PTS langsung tidak bermutu.lebih indah khabar dari rupa kerana dipenuhi dengan sasterawan palsu.promo bukan main hebat tapi bila diteliti ayat2nya biasa sahaja langsung tiada membantu minda.

    ReplyDelete
  30. Saya minta pts tidak menggunakan Surah Yusuf dalam menamakan teknik penulisan mereka. Gunakan sahajalah nama lain. Teknik pts, teknik ainon dan sebagainya. Saya khuatir, dengan bersandarkan pada al Quran yang merupakan rukun Islam memberi pemahaman saah kepada orang awam, iaitu, "kalau kau tak ikut teknik Quran ini, kau tak percaya kepada al Quran." Ini samalah dengan kes zaman sekarang, Islam dipandang hina kerana pelakunya tidak mencerminlan Islam. Jadi akan ada tanggapan Surah Yusuf tidak indah pun selepas membaca novel pts yang keras dan tidak ada keindahan selain indah pada nama teknik sahaja. Mohon oramg di pts memikirkan perkara ini.

    ReplyDelete
  31. Maaf, bukan rukun Islam, rukun Iman maksud saya

    ReplyDelete
  32. Saya berharap Puan Ainon dapat menjawab semua tuduhan dan memberi pencerahan tentang teknik suruh yusuf.

    ReplyDelete
  33. Pn Ainon tidak akan menjawab dakwaan berasas ini. Dia lebih suka para pembodeknya yang menjawab bagi pihaknya. Pembodeknya adalah bala tenteranya. Dia hanya menjawab sekali di atas dengan membuat perbandingan mengenai 'dhab' saja.

    TSY adalah satu kegagalan, menyusahkan, memalukan, menganiaya, merosakkan akal dan merosakkan karya!

    -Anon sekali lagi-

    ReplyDelete
  34. buku agama pts diriwayatkan jd direkodkan. pelik je.
    kalau novel perkataan 'tak' pun x boleh pakai. kaku je.

    ReplyDelete
  35. semua manusia ada pandangan.....

    ambil yg baik buang yang buruk.....Puan Ainon manusia biasa.....kdgkala salah dan silap...

    ReplyDelete
  36. Allahhumma sholliala muhammadin tibbilqulubi wadawaiha..

    Ya Allah perbaikilah hati-hati kami
    dari sifat tercela.Wahai tuhan yang membolakbalikkan hati,tetapkanlah kami atas jalan agamamu dan ketaatan...Berilah kami jalan kemudahan melakukan kebaikan dan tutup jalan-jalan keburukan,hasad,sombong,,ke akuan dan permusuhan.Ilmu kami amat sedikit ya allah!maka Engkau tambahkanlah ilmu yang bermanfaat kepada kami Ya Allah..Ilmu yang menjadikan kami takut dan tahu sifat kehambaan.Satukanlah hati-hati kami dan matikanlah kami dalam agama Islam.

    Allahhumma sholliala syaihidina Muhammad ,ya alaali syaihidina Muhammad.

    ReplyDelete
  37. Sasaran utana PTS ialah bisnes. Untuk berjaya dalam bisnes perlukan perbezaan. PTS melakukannya. Hanya tuan yng punya syarikat yg tahu hakikat sebenar. Tapi daripada imej yg ditonjolkan oleh PTS, menegakkan syiar Islam bukanlah agenda utama tetapi yg jadi menegakkan niat bossnya Pn Ainon itu yg utama. saya mula kenali Pn Ainon daripada artikel beliau dalam akhbar Utusan Malaysia. Ideanya mungkin menarik tetapi sampai satu ketika...idea itu menjadi "Tuhan"nya. Penyakit inilah yg kerap meyerang orang yg popular dan terkenal. Bahaya. Teknik surah yusuf itu merupakansalah teknik mengarang yg baik jika digunakan pada tempat yg betul tetapi menamakan teknik tersebut sebagai teknik surah yusuf amatlah berbahaya dan sangat tidak beretika.Pn Ainon bukanlah lulusan sarjana bahasa arab ataupun kesusateraan arab ataupun mana-mana bidang pengajian al-quran. Sgt bahaya fahaman ini, tambahan pula Pn Ainon mempunyai pengikut yg ramai dan ramai ingin popular dengan buku tulisan mereka. target si penulis yg sekian ramai adalah wang...kalaupun niat mereka ingin mendidik tetapi jauh di hati mereka terfikir juga betapa lumayannya royalti yang akan diperolehi jikalau popular. Sebab itu saya rasakan dan menyeru para penulis supaya menghantar karya mereka ke penerbitan yang lain guna untuk menilai mutu pemikiran dan penulisan mereka. Cubalah. Saya sendiri mempunyai banyak hasil penulisan tetapi masih lagi tercari-cari penerbit yang tahu menilai dari segi ilmu dan idea bukannya terfikir untuk melariskan sahaja hasil tulisan kita. Jika rakan-rakan di sini mempuanyai penerbitan lain yg boleh diyakini sila syorkan pada saya.

    ReplyDelete
  38. salam pagi jumaat
    ni pendapat personal aku lah kan
    kalau buku terbitan PTS yang kita boleh beli macam karya Hj Fadzillah Kamsah dan beberapa lagi tokoh yang kita boleh percaya (kalau)
    kalau bab2 novel lain tu semuanya "karya sampah"jer.
    tiada bezanya dengan penerbitan karya popular lain.cuma lebih dimomokkan dengan promosi kononnya karya yang berkualiti.sebenarnya sekadar hampas.
    aku pun setuju kalau teknik tu tidak dimanipulasikan dgn nama TSY.kalau boleh nyatakan sebagai sumber sahaja.nanti akan menimbulkan keliru.

    ReplyDelete
  39. Salam.

    Saya mempunyai seorang anak perempuan yang sangat suka membaca, saya biasanya "scan" dulu novel yang dibacanya. karya Ezee Rahmani boleh dikatakan agak bagus dan mempunyai nilai pendidikan. Tapi jika novel Ain Maisarah, saya dapati pengisiannya "entah apa-apa", takut saya nak bagi anak saya baca... PTS sudah ada nama, pastikan novel yang dterbitkan benar-benar "memandaikan anak bangsanya" seperti yang "diklaim"

    ReplyDelete
  40. Senang cerita penulis yang paling malang di dunia ialah penulis novel tsy

    ReplyDelete
  41. Semoga pentaksub tsy insaf

    ReplyDelete
  42. Pakar-pakar bahasa suka membanggakan ciri-ciri kebahasaan mereka tanpa mempedulikan adab-adab dlm bahasa agama. PTS pernah ubah perkataan 'riwayat' kepada 'direkodkan' atas alasan bahasa. Sy telah pun komen di blog Universiti PTS tentang tidak perlunya ubah perkataan itu kerana 'riwayat' dr bahasa Arab dan 'rekod' dr bahasa Inggeris dan panjang lagilah komen saya.

    Tak tahulah sama ada dah diubah atau tidak.

    ReplyDelete
  43. Teknik Surah Yusof (TSY) dan Persuratan Baru (PB) adalah dua elemen hiperbola yg sengaja dibangga2kan oleh orang2 sastera. Hatta tatabahasa dewan sekalipun hingga sekarang masih menerima 'kemaskini' apatah lagi teori penulisan sastera.

    Pergi sahaja ke mana2 fakulti pengajian Melayu sama ada UKM, UM, USM atau Institut Bahasa sekali pun pasti setiap org pakar bahasa itu memegang ego teknik tatabahasanya sendiri. Mereka tidak habis2 membangga2kan 'kaedah tatabahasa' masing di depan pelajar2 mereka. Tidak cukup dgn itu, ada yg mengkritik rakan sejawat lain di depan pelajar sendiri utk membuktikan kehebatan berbahasa yg ada.

    Hakikatnya, mereka masih tidak mampu menjadi sasterawan Arab kerana tatabahasa Arab tidak pernah berubah sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

    Bayangkan kitab tatabahasa Arab yang dikarang 1000 tahun dahulu masih blh diguna hingga sekarang menjadi silibus wajib Nahu Sorof seluruh dunia. Itulah bezanya pakar bahasa yang 'beragama' bukannya pakar bahasa yg 'menggunakan agama'.

    Wallahu'alam...

    ReplyDelete
  44. Ainon Mohd ialah pakar bahasa yang menggunakan agama? Tesiratnya memang begitu. Aku la ni bila pi kedai buku, aku cari penerbitan lain dulu untuk buku agama. PTS last sekali. Itulah kesan yang rata-rata orang rasai apabila agama cuba diistilahkan mengikut gaya bahasa "kontemporari". Betui ka istilah ni. Aku bedai saja ni. Tidak salah sekiranya Ainon Mohd cuba betulkan mana-mana yg tidak betul. PTS memanglah menjadi bualan ramai. Dah terkenal dah la. Lagipun, bisnes buku agamalah yg paling menguntungkan. Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati dalam menghasilkan penerbitan agama agar mengikut syariat Islam. Jgn cuba timbulkan keraguan. Dan jgn cuba syok sendiri. Ainon kena berdampingan dengan pakar gama yang neutral dan diakui ilmunya.

    ReplyDelete
  45. sy rasa perkataan diriwayatkan yg ditukar kpd direkodkan itu mengelirukan. bg org yg bkn ahli agama sy blh fhm konsep diriwayatkan. tapi direkodkan apa maksud sebenarnya? sy mmg terganggu dgn istilah direkodkan krn itu sy dah lama x beli buku agama pts.

    ReplyDelete
  46. Saling mencaci dan mengkritik tidak membantu apa-apa. Malah, ia hanya memperlihatkan tahap pemikiran kamu semua yang kononnya intelek tetapi sebenarnya kurang matang. Ya, orang tua juga boleh dianggap kurang matang (dan ilmu), sekiranya perkataan yang keluar dari mulutnya adalah sesuatu yang menyakitkan hati mana-mana pihak.

    p/s: Semua yang mengkritik dan mencaci tetapi tidak meletakkan nama sebenar, adalah pengecut yang sejati.

    -Bukan Anonymous, tetapi Nazry Salam.

    ReplyDelete
  47. Akhirnya semua yang memberi kritikan dalam komentar tidak ada satu buku pun dihasilkan.

    ReplyDelete
  48. Nazry Salam tidak tahu membezakan antara kritik dengan caci. Setakat ini, tiada siapa pun yg mencaci. Kritik tu ada la. Semua yg mengkritik tu rasanya orang yg pernah membeli, membaca, membelek buku-buku terbitan PTS. Tentulah mereka mempunyai pandangan. Yang hang Nazry pi dok menyampuk buat apa? Tak pasai-pasai kena balun balik. Masalahnya di sini, PTS tidak cermat dalam penggunaan bahasa. Bahasa yg diungkapkan tidak seperti bahasa tinggi yang diwar-warkan. Jangan syok sendiri dalam penerbitan buku-buku agama. kalau nak buat karya picisan dan kemudiannya mendakwa hasil karya ini tinggi, biarkanlah, tapi dalam isi agama, janganlah memandai-memandai walaupun tujuan penubuhan PTS ialah hendak memandaikan bangsa. Setakat ini, saya masih belum berpuashati dengan kualiti bahasa melayu di dalam buku-buku penerbitan PTS. harus ditingkatkan lagi usaha. Sang editor kena banyak mentelaah buku-buku karya sasterawan negara. Antara tokoh bahasa/penulis yang mengagumkan saya ialah Johan Jaaffar, Dinsman, Allahyarham Hassan Ahmad, Prof Hamka, Subki Latif, Dr. Mahathir dll. Penggunaan bahasa mereka tepat, menarik dan terasa seperti dibuai-buai khususnya tulisan Prof Hamka.

    ReplyDelete
  49. Sy lihat diskusi di atas masih beradab walaupun ada sedikit kritikan keras. Biasalah bila tulis dlm blog, tidak semua pandangan diterima sama ada yg memberi komen dan memberi komen. Hatta anak dan bapa pun kadang-kala berselisih pendapat ini kan pula tak tahu siapa yg tulis.

    Teruskan berdiskusi, asal jangan mencarut sudahlah. Sy menyokong semua komen di atas.

    ReplyDelete
  50. salam...

    memang menarik mengenai isu Teknik surah Yusuf .Saya juga pembaca blog Puan Ainon ,FB beliau namun tidak semua saya bersetuju.Terlalu banyak isu atau fatwa songsang beliau yang saya tidak setuju.Dari arena penulisan hinggalah politik.

    Namun beliau adalah manusia yang tidak boleh dikritik,begitu juga pembodek beliau.

    Semoga tulisan saudara akan menyedarkan lebih ramai manusia mengenai beliau....

    Saya terkilan kerna beliau pernah makan gaji dengan DBP namun mengkritik dan memperlekehkan DBP.Tidakkah itu umpama memberi monyet pisang,kemudian monyet itu kenyang,lantas menggigit si pemberi pisang?

    adakah itu juga teknik surah Yusuf?

    Ramai penulis tidak berpuashati dengan PTS namun mereka menjadi lembu ikutan demi wang!

    ReplyDelete
  51. Assalamualaikum, wah wah wah nampak meriah komen-komen yang diterima, saya juga tidak mahu terkecuali untuk mencelah di sini.

    Buat pengenalan, saya merupakan seorang pelajar berusia 17 tahun. Okey muda bukan? Saya pasti tiada sesiapa pun yang mahu membaca komen budak hingusan tetapi sekiranya ada yang baca, alhamdulllah.

    Saya tidak pandai memberi komen setaraf ilmuwan dengan ideologi yang hebat-hebat, cukup saya titipkan beberapa perkara yang saya suka.

    Untuk pengetahuan, saya mula meminati PTS sejak tahun 2008 dengan novel remaja. Bermula dari situ, minat saya untuk membaca novel kian menyubur. Saya mula obses, fanatik dan menjadi penggila kepada novel-novel terbitan PTS.

    Soal Teknik Surah Yusof. Hmmm, bagaimana mahu kata, ya? Sebenarnya, ibu saya ada beli buku Panduan Menulis Novel : Teknik Surah Yusof. Saya suka akan prinsip-prinsip syariah-compliant yang diutarakan oleh Puan Ainon Mohd. Malah, Puan Ainon Mohd. sendiri yang menawarkan diri untuk menjadi rakan Facebook saya. Eh, sudah melalut pula.

    Saya ada terbaca tentang komen mengenai Ain Maisarah. Wah, 'jahatnya' mulut, sudahlah saya ini peminat novel Ain Maisarah. Sekiranya Ain Maisarah tidak menulis novel remaja, habis remaja seperti kami mahu baca apa? Adakah rasional kami membaca novel-novel beraras tinggi dengan perbendaharaan kata yang kemungkinan kebanyakannya tidak difahamai? Tolong jangan patahkan semangat pembaca setia AinMaisarah untuk terus menyokongnya sampai bila-bila.

    Ya, tunggulah nanti kami sudah dewasa, sudah berfikiran agak matang, baru bersedia untuk membaca novel-novel yang bersastera tinggi. Kalau sekarang kami membaca, boleh terkulat-kulat dibuatnya tahu.

    Oh ya, dan ingatlah. Setiap patah perkataan yang kita taip itu akan dicatat oleh kedua-dua malaikat di bahu kita. Tunggu sahaja laporannya di akhirat, ops!

    Saya akan tetap menyokong PTS sampai bila-bila, sampai saya menutup mata.

    Dan ya, saya bukan ANONYMOUS. Lalala. :D

    ReplyDelete