Inilah sedikit kesimpulan daripada perbincangan kita tentang Teknik Surah Yusuf.
Saya berpeluang melihat perbincangan dalam facebook Puan Ainon Mohd. Ada tiga kesimpulan yang saya perolehi. Pertama, nampaknya pengaruh pengajaran Surah Yusuf belum lagi menyentuh kalbu para pengikut/pengamal Teknik Surah Yusuf. Sikap dan kata-kata mereka dalam facebook menunjukkan sebaliknya. Hasil latihan Puan Ainon Mohd. belum lagi menunjukkan kesan positif. Banyak lagi perlu dibuat untuk membentuk peribadi yang dibayangkan dalam Surah Yusuf. Saya tidak perlu menyalin kata-kata yang digunakan oleh mereka yang telah menerima tarbiah Teknik Surah Yusuf ini, kerana Puan Ainon sendiri sedia maklum. Itu yang penting. Kedua, hampir semua tidak pernah dengar gagasan Persuratan Baru. Untuk berlaku adil kepada mereka, saya fikir wajar jika Puan Ainon perkenalkan gagasan Persuratan Baru dalam latihan amali yang dibuat. Puan Ainon tidak rugi dan mereka pun dapat membandingkan kekuatan Teknik Surah Yusuf sebagai teknik amali, berbanding gagasan Persuratan Baru yang hanya sebuah teori yang belum tentu berguna untuk mereka. Ketiga, semua mereka mempertahankan kekuatan Teknik Surah Yusuf sebagai teknik penulisan novel yang bersifat transformatif, yakni memberi bentuk baru kepada penulisan novel. Saya anjurkan supaya Teknik Surah Yusuf diperkenalkan kepada pelajar universiti. Untuk peringkat pertama, cukup dengan mengadakan siri latihan/penerangan dan sebagainya yang sesuai. Barangkali lebih baik jika gagasan Persuratan Baru dibawa bersama, untuk memberi mereka sedikit pengalaman intelektual yang mungkin berguna. Jika Puan Ainon rasa gagasan Persuratan Baru tidak perlu menyebok dalam latihan khusus itu, saya tidak ada apa-apa bantahan. Tetapi elok juga disebut kritikan Persuratan Baru ke atas Teknik Surah Yusuf untuk menunjukkan Teknik Surah Yusuf itu mendapat perhatian kritis daripada Persuratan Baru. Itulah tiga perkara yang boleh difikirkan, tanpa sebarang obligation.
Mengenai komen-komen dalam blog, pada umumnya komen-komen itu membina dan ada aspek positifnya. Saya ambil maklum teguran dan gesaan anda semua tentang style yang saya pakai yang dikatakan biadab dan sebagainya. Saya tidak boleh komen apa-apa kerana itu penilaian jujur anda sendiri. Dalam hal ini, nampaknya saya terikut-ikut dengan style dan cara ilmuan selain Malaysia yang mungkin biadab semuanya. Untuk itu, lihat polemik antara C. P. Snow dengan F. R. Leavis tentang “The Two Cultures”, dan perhatikan terutama sekali kata-kata kesat pengkritik Inggeris itu. Saya tidak bermaksud menyatakan saya mengikut gaya Leavis; saya cuma ingin membawa perhatian anda tentang style Leavis, salah seorang gergasi kritikan Inggeris. Lihat juga contoh kritikan Chomsky terhadap buku Skinner (Behaviorism, judul buku Verbal Behavior); dan jawapan murid (?, mungkin pengikut) Skinner lebih dari 10 tahun kemudian. Skinner sendiri tidak rasa perlu menjawabnya kerana menurutnya Chomsky bukan tokoh (a nobody) yang perlu diberi perhatian. (Di Malaysia pun ada contoh begini). Banyak lagi contoh yang boleh disenaraikan; tetapi yang dua ini sangat terkenal. Adakah hanya di Barat saja sarjananya kurang ajar dan biadab (kalau kita mahu guna istilah begini)? Di negara Islam pun begitu. Saya rujuk polemik antara Ahmad Amin, tokoh besar Mesir, dengan Muhammad Kurdi Ali, tokoh besar Syria. Untuk yang berminat, boleh rujuk http://hf.uib.no/smi/pao/rooke.html. Di situ boleh dapat banyak rujukan yang diperlukan. Saya harap contoh-contoh ini boleh memberi sedikit gambaran tentang sifat “polemik” di peringkat antarabangsa.
Lain-lain komentar tak perlu disentuh, kecuali mengenai kedudukan penulis “Anonymous”. Saya tidak keberatan menerima komentar daripada mereka. Saya kira mereka lebih jujur memberi pendapat kerana tidak berasa perlu memperkenalkan diri. Ini pun mungkin sesuai dengan kesopanan Melayu, yang selalu disebut “cakap berlapik”. Memang ada blog yang menyatakan komentar dari “Anonymous” tidak diterima; tetapi nama-nama yang digunakan tidak semestinya nama yang empunya diri. Saya pernah lihat orang menggunakan gambar Tok Kenali dan menggelarkan dirinya Tok Kenali memberi komentar yang amat dahsyat bahasanya. Dalam dunia alam cyber yang ada sekarang, kita tidak lagi perlu mengenal manusia sebagai orang; cukup kata-katanya saja. Walaupun begitu, dalam Islam sebesar zarah pun dikira dan akan diperlihatkan. Berasaskan ajaran Islam ini, tidak mungkin ada orang Islam tidak mahu memperkenalkan dirinya; hanya budaya baru alam cyber yang membuat mereka bertindak begitu. Kita tak perlu bimbang, kerana masing-masing ada hujahnya dan habuannya. Oleh itu, saya tidak keberatan menerima orang tidak bernama ini, atau lebih tepat orang yang bermain “ciku cat” di alam cyber.
Akhirnya, saya mendapat banyak faedah daripada perbincangan ini. Pada umumnya perbincangan ini membantu saya lebih memahami hakikat insan dan hakikat amal dalam kehidupan manusia. Selain dari itu, cukup jelas gagasan Persuratan Baru memang diperlukan jika kita ingin membina kembali budaya ilmu dalam persuratan Melayu. Antara ilmu dan emosi (yang ditekankan dan diutamakan dalam Teknik Surah Yusuf), ternyata kita tiada pilihan lain melainkan memilih ilmu (tanpa menolak emosi yang dididik dalam konteks ilmu yang benar). Sebenarnya, membina kembali lebih sulit daripada membina yang baru (seperti yang cuba dibuat oleh Teknik Surah Yusuf), kerana halangannya lebih besar dan lebih keras. Tetapi di situlah duduknya kejayaan yang manis: jika tidak di sini, di tempatnya yang sebenar yang akan dihadapi oleh semua manusia. Semoga anda semua selamat sejahtera.
Mohd. Affandi Hassan,
26/12/2011.
Salam Pak Affandi. Saya sangat baru mengikuti perkembangan PB ini, jadi tidak ada apa-apa yang boleh saya kemukakan di sini, walaupun ada beberapa perkara yang saya dapati di sini (wacana PB) menguatkan beberapa perkara yang sudah saya fikirkan sekian lama. Cuma oleh kerana ia masih belum cukup matang dan memerlukan renungan yang mendalam lagi, maka saya kira mungkin suatu masa nanti baru akan saya jelaskannya.
ReplyDeleteSaya mengikuti polemik PB ini di blog dan FB, sementelahan lagi TSY (ini sebagaimana saya jangkakan akan diperdebatkan seawal kemunculannya) disentuh hebat oleh Pak Affandi. Buat masa ini, saya tidak ada apa-apa telahan, melainkan biar sahaja ia berlalu dalam tempoh masa tertentu kerana yang benar itu akhirnya akan tertonjol sebagai kebenaran juga, sebagaimana pernah Pak Affandi sebutkan dalam kritikan yang lalu tentang kata-kata Sa'di dan Jami itu.
Konsep atau pendekatan taklif sebagaimana yang dikemukakan oleh Pak Affandi itu mengingatkan saya pada apa yang disebutkan oleh Tuan Minal dalam kitab Aqidah al-Najin tentang tiga sumber ilmu dalam Islam sebagaimana yang diperakui oleh Ahli Sunnah wal Jamaah, iaitu : Khabar yang benar dan mutawatir, akal qhariziyyah atau alamiah dan pancaindera yang lima, selain intuisi/ ilham. Boleh jadi pada perkiraan saya dihubungkan dalam menguatkan konsep atau pendekatan taklif itu.
Saya melihat persuratan itu dalam konteks yang lebih luas, melibatkan kepelbagaian hasil karya ulama/ilmuan/sarjana Islam dan sebagainya tanpa menyisihkan atau memfokuskan hanya kepada sastera yang mungkin agak sempit skop perbahasannya berbanding persuratan. Bukankah ilmu itu bersifat kesepaduan dan berangkai, yang dasarnya adalah Islam. Jika dipecah-pecahkan, maka bagaimana akan ada nilai estetikanya?
Maaf jika bicara saya ini di luar konteks. Saya masih belajar dan insyaAllah akan terus belajar. Masih anak kecil yang perlukan pedoman yang 'arif setiap kali tersungkur jatuh, pecah lutut, koyak siku dan tangis isak waktu cuba-cuba bertatih. Wassalam.
Salam Sdr. Hafiz,
ReplyDeleteTerima kasih atas komen anda. Memang pertukaran dari kesusasteraan kepada persuratan untuk memenuhi aspek yang sdr. sebut. Bagus jika dalam kelas bahasa etc. kita boleh perkenalkan kepada pelajar kita tulisan dari Agus Salim, Hamka, Za'ba, Burhanuddin, Tok Kenali, ulama-ulama besar dari Patani (Patani sebuah empayar; Pattani yang ditulis oleh Siam hanya merujuk kepada wilayah kecil saja, bukan Negara Patani yag telah dimusnahkan oleh Inggeris dan Siam), dan lain-lain. Kita perkenalkan pelajar kita kepada ilmu, bukan hanya cerita seperti sekarang. Melihat sdr. tinggal di Kota Damansara, Insha Allah kita boleh tertemu, KD dekat rumah saya. Didoakan cita-cita sdr. diperkenan Allah Ta'la.
Assalamualaikum Tuan Afandi..
ReplyDeleteSaya mengikuti dengan setia perbincangan(kadang-kadang ia masuk ke lembah kecaman dan cercaan) di blog ini, ia membuatkan saya kembali hidup.Saya menghormati cara tuan ini. Dan saya sudah mula membiasakan diri style tuan yang seperti mahu bergaduh ini, ini tanggapan saya…hehe. Ini juga style ayah saya.
Saya sudah membaca buku-buku tuan tentang PB. Pertama kali baca Gagasan Persuratan Baru beberapa tahun dulu—sudah tiga kali khatam—saya tersentak dengan kritikan keras ke atas sastera dan karya-karya SN.Belum pernah saya membaca kritikan sastera keras semacam itu.Saya seperti kembali ke zaman muda ayah saya ketika polemik agama memecahbelah ummah di Patani tahun 70-an dan 80-an dulu.
PTS dan karya terbitannya, bukan semua menerap TSY secara total.Sebagai pembaca novel PTS(berdasarkan buku yang saya baca), hanya beberapa buah sahaja yang menerap TSY sepenuhnya.Tidak semua bestseller.Jika bestseller pun ia belum mampu mengatasi bestseller buku terbitan Alaf 21.Jika kita berada di kedai buku, rak-rak novel alaf 21 banyak dikerumun pelanggan berbanding rak novel PTS.Salju Sakinah bestseller pada saya ia menumpang fenomena Ayat-Ayat Cinta pada ketika itu.Dan Salju Sakinah tidak menerap TSY pun. Kini, tidak ada novel islami PTS baru dikatakan bestseller, letak di tepi novel sejarah Islam Pak Latip(atau mungkin novel Sebarkan Cinta-Mu dilihat mampu menjadi fenomena baru).
Setakat ini sahaja. Banyak lagi yang mahu saya tulis.
Saya hanya pembaca biasa.
Isma Ae Mohamad,
Penulis Rakyat Patani..:)
Sempadan Malaysia-Thai.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteSalam Sdr. Isma Ae Mohamad,
ReplyDeleteTerima kasih singgah di blog saya. Saya berminat dengan novel Sdr. yang sedang dikerjakan itu. Harap dapat lihat tak lama lagi. Saya cuba hubungi sdr. melalui e-mail, rejected. Saya boleh dihubungi di e-mail hmaffandi@hotmail.com. Insha Allah kita akan bertemu untuk bercerita tentang Patani.
InshaAllah saya akan hubungi tuan.Oh, pasal novel sejarah Patani itu, dengan izin tuhan, akan diterbit tak lama lagi, prufnya sudah siap disemak dan akan diterbit oleh rumah penerbitan yang tuan 'hentam' itu,insyaAllah.Harap-harap ia tidak dilabel picisan oleh tuan...hehe.
ReplyDeleteSuka saya petik pandangan kawan saya(kami 'mengumpat' pasal PB lewat malam semalam) dengan harapan ia boleh melembut cara penyampaian tuan(hehe), "Tapi cara Dr Zariat tempohari(PPMN) sangat sedap didengar. Cara dia menerangkan dan bercerita tentang PB seolah dia bukan dari kem AH meskipun dia penganut tegar mazhab PB. Kalau macam ni caranya, semua ornag suka. Apatah lagi PB bila kita perhalusi ada baiknya juga."
*Saya tak hadir PPMN tempohari atas sebab saya bukan warga Malaysia.
Assalamualaikum,
ReplyDeleteBagi saya, jika kita sentiasa berlapang dada dan berfikiran positif, insha Allah semua kritikan yang diterima adalah untuk kebaikan kita juga akhirnya. Pengkritik tidak dapat apa-apa habuan (kecuali habuan ukhrawi, insha Allah), sebaliknya yang dikritik dapat faedah duniawi dan ukhrawi. Lebih-lebih lagi apabila kritikan itu betul dan untuk tujuan pembetulan.
Kritikan akan membuat kita "hidup" kembali, lebih berhati-hati, terus belajar dan mengkaji, seterusnya memperbaiki. Kadang-kadang bila kita terlalu berlapik, orang tak pandang serius terhadap kritikan yang diberi. Sedangkan kritikan yang serius pun, diperlekehkan dan diberi kritikan balas.
Kritikan balas itu baik untuk menghidupkan perbincangan, mencambah pemikiran, mencari titik pertemuan. Tapi yang berlaku sebaliknya, kritikan balas oleh "pengampu" pihak yang dikritik lari dari mawdu' perbincangan.
Hakikatnya, setahu saya, tidak semua perkara yang "tidak sedap didengar" itu merupakan racun, sebaliknya terlalu banyak makan gula-gula, itu yang boleh bawa mudarat.
Semoga perbincangan tentang hal ini memberi faedah kepada kita semua, sama ada pengkritik, orang yang dikritik, tukang pengkritik balas yang berpijak pada maudu', tukang pengkritik yang saja-saja kritik, penulis komen dan juga pembaca blog ini dan tempat-tempat lain.
Wa Allahu yubarik fiina jami'an. Wassalam.